Pages

Sunday, November 28, 2010

AS panik pendedahan 2.7 juta dokumen sulit





2010/11/28

Julian Assange
Julian Assange
Diplomat Amerika seluruh dunia berdepan diusir gara-gara WikiLeaks

WASHINGTON: Amerika Syarikat berada dalam keadaan kelam kabut bagi menghadapi pendedahan terbaru WikiLeaks mengenai dasarnya dalam hal ehwal antarabangsa termasuk siapa ahli politiknya termasuk di negara sahabat, terbabit dalam amalan rasuah dan salah laku.
Pendedahan lain yang mencetuskan suasana panik itu termasuk penilaian Amerika terhadap bekas Perdana Menteri Britain, Gordon Brown; peluang pemimpin Konservatif, David Cameron dalam pilihan raya; rundingan sulit membenarkan warga Libya yang dituduh meletupkan bom dalam pesawat di Lockerbie, pulang ke negaranya serta dakwaan tertentu termasuk sokongan Amerika kepada gerila Kurdis.
WikiLeaks yang diasaskan oleh Julian Assange sebelum ini mendedahkan butir-butir rahsia operasi tentera Amerika dan sekutunya di Iraq dan Afghanistan.

Jurucakap Jabatan Negara Amerika, P J Crowley berkata. “Pendedahan itu akan mencetuskan ketegangan hubungan kami dengan sahabat di seluruh dunia.”

Pendedahan terbaru dilapor membabitkan 2.7 juta mesej sulit di antara kerajaan Amerika dan kedutaannya di seluruh dunia, dijangkakan minggu depan, lapor akhbar Britain, Daily Mail, semalam.

Selain Britain, Amerika sudah mengambil langkah memberi amaran mengenai pendedahan itu kepada kerajaan Australia, Kanada, Denmark, Norway dan Israel serta mengaku bimbang dengan kemungkinan diplomatnya di seluruh dunia akan diusir di negara tertentu. 
Akhbar The Washington Post melaporkan, pendedahan membabitkan dakwaan Amerika menyokong PKK, sebuah pertubuhan Kurdis yang melancarkan perang terhadap Turki sejak 1984.

Fail dokumen itu hampir dua gigabait dan tujuan utama pendedahannya ialah memalukan kerajaan Barat selain menjejaskan hubungan dengan Amerika.

Amerika mengakui tahu bahawa WikiLeaks memiliki butir-butir komunikasi diplomatiknya dan mengesyaki seorang prebet, Bradley Manning, atas kesalahan memberi maklumat itu.

Selain Britain, Amerika juga memaklumkan sekutunya termasuk Britain, Itali, Israel, Kanada dan Norway mengenai dokumen berkenan.

Jurucakap Cameron, Steve Field, berkata mereka sudah dimaklumkan mengenai pendedahan dokumen itu oleh duta Amerika, Louis Susman. Field enggan mengulas apakah yang diberitahu oleh Amerika kepada Britain dalam perkara itu.

Menteri Luar Itali, Franco Frattini, pula diberitahu Jabatan Negara Amerika bahawa ada kemungkinan dokumen di antara dua negara akan dibocorkan tetapi ‘butir-butirnya tidak diketahui.’ – Agensi

No comments: