Pages

Monday, November 29, 2010

Kereta Aminulrasyid turut dikejar beberapa penunggang motosikal

SHAH ALAM: Mahkamah Sesyen di sini hari ini diberitahu bahawa kereta yang dipandu Aminulrasyid Amzah pada hari dia mati ditembak, bukan sahaja dikejar kereta peronda polis malah oleh beberapa penunggang motosikal.

Saksi ke-32 pendakwaan, R Lokman Hakim R Daly, 23, berkata beliau dan dua rakannya mengejar kereta itu selepas ia melanggar kereta milik seorang rakannya yang bernama Syafiq.
"Saya dan dua lagi rakan saya bernama Abdul Hadi dan Sufian mengejar kereta Iswara tersebut untuk meminta ganti rugi," katanya pada perbicaraan Koperal Jenain Subi yang didakwa menyebabkan kematian Aminulrasyid, 15, di Jalan Tarian 11/2, Seksyen 11 di sini, antara 1.10 pagi dan 2 pagi, pada 26 April lalu.
Jenain, 48, didakwa mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan yang membawa
hukuman maksimum penjara 30 tahun, dan boleh dikenakan denda, jika sabit
kesalahan.

Aminulrasyid disahkan meninggal dunia akibat luka tembakan di kepalanya.

Menceritakan insiden itu, Lokman Hakim yang bekerja sendiri berkata beliau sedang minum di sebuah restoran di Seksyen 7 apabila mendengar bunyi dentuman seperti kereta berlanggar pada kira-kira 12.15 malam.
"Syafiq kemudian pergi tengok dan dapati bumper bahagian depan kereta jenis Toyota Celica miliknya yang diletakkan di tepi jalan berdekatan restoran, telah tertanggal sedikit kerana dilanggar oleh kereta Iswara itu, yang kemudian
beredar meninggalkan restoran.

"Saya dan dua lagi rakan terus menaiki motosikal untuk mengejar kereta
Iswara itu bermula dari Seksyen 8 terus ke Seksyen 9 hingga ke Bulatan Kayangan,
dan akhirnya ke Persiaran Dato' Menteri di mana saya telah terjatuh di tepi
jalan," katanya sambil menambah bahwa kereta Iswara itu dipandu laju dan
melanggar kira-kira enam lampu isyarat.

Ditanya bagaimana boleh terjatuh, Lokman Hakim berkata selepas memasuki
Persiaran Dato' Menteri, kereta Iswara itu dipandu perlahan berikutan keadaan
jalan yang berbukit dan ketika cuba memotong kereta tersebut, beliau telah
dihimpit ke kanan jalan menyebabkan beliau terpaksa menjatuhkan badan bagi
mengelak daripada terlanggar pembahagi jalan.

"Saya tidak dapat cam wajah pemandu itu tetapi berdasarkan tangan dan
tubuhnya yang kecil, saya lihat pemandu kereta itu ialah seorang budak lelaki
berumur lingkungan 17 tahun tahun dan penumpang di sebelahnya juga seorang budak
lelaki yang kurus, kecil dan sebaya dengannya pemandu itu," katanya.

Saksi itu berkata beliau cedera di kedua-dua belah tangan serta lutut dan telah mendapatkan rawatan di sebuat pusat perubatan di Seksyen 20 sebelum
membuat laporan di Ibu pejabat Polis Daerah Shah Alam pada 3.30 pagi hari yang
sama.

Terdahulu, Lans Koperal Madi Samsudin dari Cawangan Persenjataan Balai Polis Seksyen 6 yang menyambung keterangannya hari ini berkata, sejumlah 10 butir peluru telah digunakan oleh senjata milik anggota peronda polis konstabel
sokongan Mohd Izham Mahayadin, yang turut mengejar Aminulrasyid pada hari
kejadian.

Saksi ke-26 pendakwaan itu berkata, beliau memberi selaras submachine gun jenis HK MP5 dan empat magazine mengandungi 100 butir peluru kepada Mohd Izham, yang menjalankan tugas rondaan pada 25 April lepas, namun hanya menerima 90 butir peluru apabila anggota polis itu memulangkannya semula pada pagi 26 April.

"Semasa menyerahkan semula senjata, Mohd Izham beritahu dia ada lepaskan
tembakan tetapi dia tidak pasti berapa banyak. Selepas itu, saya kira jumlah
peluru yang tinggal dan saya dapati ada kekurangan 10 butir peluru daripada 100
butir peluru yang saya beri sebelum itu," katanya.

Turut memberi keterangan pada perbicaraan hari ini ialah Konstabel Rozaini Haili yang bertugas di cawangan persenjataan Balai Polis Seksyen 6 di sini.

Perbicaraan di hadapan Hakim Latifah Mohd Tahar bersambung esok. - BERNAMA 

No comments: