Pages

Friday, October 8, 2010

Maher Zain pernah jauh dari Islam, lupa baca al-Fatihah



Nama Maher Zain sudah tidak asing lagi kepada peminat seni hiburan, apatah lagi album pertamanya, Thank You Allah, mendapat sambutan yang amat membanggakan. 

Penyanyi berasal dari Lubnan ini, berharap akan dapat berkongsi sesuatu bersama peminat-peminatnya menerusi album yang memuatkan 14 buah lagu itu. 

Berhasrat agar lagu-lagu bercorak ketuhanan semakin dekat di hati pendengar di seluruh dunia, penyanyi yang berusia 28 tahun ini tidak lokek berkongsi pengalaman di sebalik pembikinan album tersebut. 

“Saya mahu sesuatu yang baru dan segar untuk pendengar. Saya mahu mereka terkesan apabila mendengar bait-bait lirik lagu yang saya nyanyikan. 

“Lagi pula, tiga tahun lalu, saya pernah leka dalam menunaikan tanggungjawab saya sebagai Muslim. Saya jauh dengan Allah dan pernah terlupa bagaimana untuk membaca surah al-Fatihah. Saya rasa seperti orang lain,” katanya pada sidang media pelancaran albumnya di Menara Kuala Lumpur baru-baru ini. 

Menurutnya lagi, kehidupannya di negara Barat banyak mengajarnya untuk lebih dekat dengan Allah. 

“Saya pernah tersilap memilih kawan dan mengakibatkan hidup saya tidak ada arah tuju. Bukan mudah untuk saya hidup di negara orang. Jika tak ada iman yang kukuh pasti boleh jauh tersesat,” ceritanya yang mula berhijrah ke Sweeden bersama keluarganya seawal usia lapan tahun. 

Selain hadir untuk melancarkan album, Maher Zain juga akan mengadakan konsert mini Save The Soul bagi membantu mengutip dana untuk Raudhatus Sakinah sebuah institusi yang menjadi pelindung kepada mangsa sosial. 

Konsert mini tersebut akan di adakan di Dewan Majlis Bandaraya Shah Alam pada 14 dan 15 Oktober ini.

No comments: