Pages

Friday, October 8, 2010

Hidupan sungai mati akibat toksik




BEBERAPA ikan yang mati diletakkan di tebing Sungai Marcal di Kampung Gyirmot, Hungary semalam.


BUDAPEST - Semua hidupan di dalam Sungai Marcal dekat sini yang dicemari lumpur beracun sejak Isnin lalu kini dilaporkan mati, kata seorang ketua sebuah perkhidmatan bantuan bencana, Tibor Dobson semalam.
"Semua ekosistem sungai ini telah musnah kerana kadar alkali yang amat tinggi dan membunuh semuanya," kata Dobson kepada agensi berita rasmi Hungary, MTI.
Beliau mengulas bencana banjir lumpur itu yang berlaku di wilayah sempadan Slovakia dan Austria.
"Semua ikan ditemui mati dan kami juga tidak mampu menyelamatkan tumbuh-tumbuhan di sekitar sungai. Kami telah cuba menurunkan paras alkali di beberapa tempat dengan membubuh asid dan gipsum. Namun, ia merupakan perbuatan yang sia-sia," kata Dobson.
Pencemaran terburuk dalam sejarah Hungary itu berlaku pada Isnin lalu di Ajka, 165 kilometer dari barat Budapest apabila tembok penahan kolam takungan sisa buangan tersebut pecah.
Sebanyak 1.1 juta meter kubik lumpur beracun berwarna merah membanjiri beberapa kampung manakala empat orang terbunuh di Kolontar.
Sungai Marcal merupakan cawangan Sungai Raba dan mengalir ke Sungai Danube yang kedua terpanjang di benua Eropah. - AFP

No comments: