Pages

Wednesday, October 20, 2010

41 maut banjir di Vietnam



Kakitangan perubatan memindahkan seorang pesakit ke atas sebuah bot untuk dihantar ke hospital lain berikutan banjir di wilayah Nakhon Ratchasima, timur laut Bangkok, kelmarin. - REUTERS



HANOI 19 Okt. - Bahagian tengah Vietnam dilanda banjir teruk, mengakibatkan 41 orang terkorban dan ramai penduduk terjejas, ketika pasukan penyelamat bertungkus-lumus mencari 15 mangsa penumpang bas, yang hilang akibat dihanyut banjir.
Hujan lebat mula melanda tiga wilayah iaitu Nghe An, Quang Binh, dan Ha Tinh minggu lalu.
Polis Ha Tinh berkata, sebuah bas hilang di lebuh raya utara-selatan utama akibat banjir, semalam.
Menurut televisyen kerajaan, beratus-ratus tentera menggunakan bot dan pengesan logam bertungkus-lumus mencari penumpang-penumpang bas terbabit.
"Pagi ini kami menggunakan tentera dan bot khas mereka untuk mengesan bom dan periuk api dalam usaha mengesan lokasi bas itu. Namun, ia masih belum berhasil," kata Leftenan Jeneral Pham Quoc Cuong kepada televisyen milik negara.
Timbalan ketua polis daerah Nghi Xuan, Tran Van Long berkata, bas yang hanyut itu membawa antara 33 hingga 37 penumpang dan setakat ini lapan orang berjaya diselamatkan.
Sementara itu di Thailand, banjir kilat di wilayah Nakhon Ratchasima, timur laut negara itu, mengorbankan sekurang-kurangnya tujuh orang sejak awal minggu lepas dan mengakibatkan sebahagian besar daerah itu ditenggelami air.
Pegawai di Jabatan Pencegahan dan Pengawalan Bencana berkata, banjir di wilayah itu merupakan yang terburuk dalam tempoh tiga dekad, apabila tiga orang dilaporkan maut, sementara seorang yang lain masih hilang.
Gabenor wilayah, Rapee Phongbupakit berkata, sebanyak 24 daripada 32 daerah di wilayah itu ditenggelami air, menyebabkan lebih 200,000 penduduk terjejas. - AFPhttp://www.utusan.com.my

No comments: