Pages

Monday, August 30, 2010

Taun, Jangkitan Vibrio Cholera



oleh Dr. Mohd. Isa Abdul Majid

Penyakit taun atau kolera merupakan penyakit yang tertumpu pada saluran penghadaman akibat daripada jangkitan bakteria vibrio cholera. Ia berlaku apabila kuman taun dari pesakit atau pembawa menjangkiti individu sihat melalui mulut.
Salah satu punca bagaimana kuman taun boleh tersebar ialah melalui pengambilan makanan dari persekitaran yang kotor dan tidak terurus. Ini termasuk makanan yang dicemari kuman taun, tidak dimasak dan dimakan sejuk. Selain itu, lalat dan air minuman yang dicemari najis boleh menyebarkan kuman taun kepada individu sihat lain.

Tempoh bagi kuman taun merebak dalam badan sehingga menunjukkan tanda penyakit adalah dalam masa 5 hingga 6 hari.

Tanda-tanda Jangkitan

1. Cirit-birit berterusan serta muntah yang teruk. Najis cair dan berwarna. Kejadian cirit-birit adalah disebabkan oleh pengeluaran racun atau toksin oleh vibro cholera semasa di usus yang menyebabkan air badan keluar memasuki saluran usus. Selepas beberapa jam, otot penghidap akan mengalami kekejangan terutama di pergelangan kaki dan perut kerana kehilangan garam sodium.

2. Penghidap akan mengalami kejutan dan boleh pengsan. Tekanan darah menurun, nadi lemah, lidah kering dan mata cengkung di samping masalah membuang air kerana kehilangan air yang banyak.

3. Suhu badan meningkat secara mendadak mungkin berlaku dan penghidap akan koma dan mungkin maut. Namun jika cirit-birit dan muntah berhenti, tekanan darah akan meningkat kepada biasa dan penghidap pulih.

Rawatan Penyakit Taun

Dalam jangkitan taun, pesakit akan diberikan gantian bendalir dan elektrolit (garam) yang hilang.

Dalam kes tidak serius, kedua-dua bendalir dan elektrolit diberikan melalui saluran mulut sedangkan pemberian secara suntikan akan dilakukan ke atas pesakit yang mengalami muntah-muntah dan cirit-birit yang serius atau dehidrasi ataupun yang kehilangan air badan sehingga berat badan susut 10%.

Selain menggantikan bendalir dan elektrolit badan yang hilang, ubat antibiotik atau antimikrob diginakan untuk merawat pesakit taun. Antibiotik yang seringkali digunakan dalam merawat jangkitan ialah kumpulan tetrasiklin sebagai pilihan utama manakala trimetofrim-sulfametokasazol, eritromisin, kloramfenikol dan furazolidon juga digunakan sebagai alternatif dalam kes-kes kuman penyakit telah 'lali' kepada antibiotik pilihan utama.

Dalam kumpulan tetrasiklin, doksisiklin merupakan ubat yang seringkali digunakan untuk merawat jangkitan taun. Ubat kumpulan tetrasiklin tidak boleh diambil bersama dengan susu dan hasilan tenusu lain disebabkan bahan tersebut akan mengurangkan tindakan ubat.

Pantang larang yang perlu dipatuhi ialah pesakit tidak mempunyai sejarah tindakbalas alahan kepada ubat ini. Ia tidak sesuai untuk kanak-kanak di bawah umur 8 tahun. Bagi pesakit wanita dan ibu pula, mereka mestilah tidakmengandung dan tidak menyusukan anak.

Dalam kes ibu mengandung atau sedang menyusukan bayi serta kanak-kanak, kumpulan tetrasiklin cenderung terkumpul di dalam tulang dan berupaya menyebabkan gigi bayi dan kanak-kanak berubah warna kepada kekuningan serta pertumbuhan tulang dan gigi kanak-kanak menjadi lambat.

Sebagai langkah berhati-hati untuk mengatasi sebarang kemungkinan kerana menggunakan ubat ini, pesakit hendaklah sentiasa meneliti kesan-kesan sampingan yang sering kali terjadi seperti di bawah :

# Kulit menjadi lebih sensitif apabila terkena sinaran matahari. Pendedahan kepada sinaran matahari walaupun sekejap boleh menghasilkan kerengsaankulit, kegatalan, kulit menjadi merah dan mengelupas.

# Kekejangan otot perut, cirit-birit, rasa mual dan muntah.

# Kesakitan pada bahagian perut, ubun-ubun bengkak pada bayi, sakit kepala, hilang selera makan, warna kulit kekuningan dan perubahan deria penglihatan.

Kesan sampingan yang sering diperhatikan untuk ubat ini ialah cirit-birit, sakit kepala, hilang selera makan, gatal kulit, sakit pada sendi otot, kesusahan menelan makanan, sakit tekak dan demam di samping pengguna akan merasa letih.

Oleh sebab tetrasiklin tidak boleh diberikan kepada kanan-kanak di bawah 8 tahun, maka pesakit kanak-kanak akan diberikan kombinasi 5 mg/kg trimetofrim dan 25 mg/kg sulfametoksazol 2 kali sehari selama 3 hari.

Panduan Elak Jangkitan

* Minum air yang dimasak. Suhu air mendidih akan membunuh bakteria. Gunakan air bersih seperti air paip atau telaga yang dibubuh klorin untuk kegunaan harian seperti membasuh pinggan mangkuk, makanan segar, meggosok gigi dan mengambil wuduk

* Makan makanan panas dan elakkan makanan sejuk seperti ais, aiskrim, air batu campur kerana bakteria taun mudah membiak dalam keadaan sejuk

* Pastikan persekitaran rumah bersih. Musnahkan semua tempat pembiakan lalat dan makanan ditutup

* Sayuran dan buah-buahan segar hendaklah dicuci dengan sempurna menggunakan air bersih

* Hendaklah sentiasa mencuci tangan dengan sabun dan air bersih selepas ke tandas

* Jika ingin makan di gerai, pastikan gerai itu bersih. Bagaimanapun, langkah lebih bijak dengan menghentikan makan di gerai buat sementara waktu

* Jika ada ahli keluarga telah mendapat taun, pastikan ahli keluarga lain diberitahu tentang kebersihan semasa buang air besar bagi mengelakkan ahli keluarga lain daripada dijangkiti penyakit tersebut.

* Pakaian pesakit harus dicuci dengan sabun dan larutan pemutih Clorox untuk membasmi kuman taun

* Dapatkan ubat antibiotik yang diberi oleh pihak hospital atau Jabatan Kesihatan untuk dimakan oleh ahli keluarga yang sihat

* Bawa pesakit yang muntah dan cirit-birit ke hospital dengan segera
SUMBER:
Taun, Jangkitan Vibrio Cholera | SIHAT SELALU

No comments: