Pages

Monday, August 30, 2010

Apa khabar umat Islam Itali?

Teks & Gambar JUFITRI JOHA

Berdiskusi bersama anak jati kelahiran bumi Turin, Irfan Azri Riccardo (kiri).

KETIBAAN di Lapangan Terbang Torino, Itali disambut dengan penuh mesra oleh Irfan Azri Riccardo Perlo dan isterinya, Azreen Perlo.
Irfan baru beberapa bulan memeluk Islam, sekali gus menikahi gadis pilihan hatinya yang merupakan seorang rakyat Malaysia yang juga merupakan sahabat baik saya ketika sama-sama menyertai program pertukaran belia satu ketika dahulu.
Seperti kelaziman, pengembaraan ke negara-negara tertentu bukan sekadar melihat pemandangan dan kesan-kesan sejarah tetapi yang paling penting adalah menjejaki kehidupan dan perjuangan umat Islam agar dapat diselami dengan penuh kesedaran dan keinsafan.
Kembara ke bandar Torino atau Turin juga sama halnya. Bukan sekadar untuk mencari Alfa Romeo atau Fiat atau Kappa atau Prada mahupun pasukan bolasepak Juventus. Tetapi menyambung tali persaudaraan sejagat umat antara Malaysia dengan Itali.
Irfan merupakan anak jati kelahiran bumi Turin yang datang daripada keluarga beragama Katolik.
"Siapa sangka cucu seorang paderi Katolik masuk Islam," Irfan berkongsi cerita tentang latar belakang beliau dan juga sejarah kemasukan nur hidayah Islam ke dalam hatinya.
Dia merupakan seorang ahli geologi yang sekarang bertugas dengan syarikat pembinaan terowong berpengkalan di Turin.
Pernah menetap selama dua tahun di Taiping ketika ditugaskan oleh syarikatnya untuk melaksanakan projek di sana.
Bertitik-tolak dari situ, membawa beliau kepada perkenalan dengan seorang gadis yang akhirnya menjadi permaisuri hatinya yang banyak membimbing beliau untuk hidup sebagai Muslim.
Kehidupan umat Islam di Itali juga tidak terlepas daripada pihak yang kurang senang dengan kehadiran serta pertambahan jumlah bilangan mereka.
Archbishop Kardinal Giacomo Biffi dan Ketua Parti Pembangkang Northern League, Umberto Bossi umpamanya antara pihak yang lantang menentang pemberian hak asasi secara sewenang-wenangnya kepada umat Islam terutamanya imigran Muslim yang kebanyakan datang dari negara Maghribi.
Mereka berhijrah ke Itali semenjak 1970-an atas faktor ekonomi.
Golongan seperti Biffi dan Bossi bertegas bahawa hak dan taraf kerakyatan harus diberikan keutamaan kepada imigran Katolik yang datang dari Filipina dan negara Amerika Latin.
Namun begitu, sikap xenophobic itu bukan sahaja kurang disenangi oleh umat Islam malahan di kalangan aktivis Katolik sendiri.
Sikap itu lebih cenderung kepada pendirian golongan far right atau lebih menyerupai fahamanfasisme yang dipelopori Mossoulini satu ketika dahulu yang amat benci kepada pendatang asing dan imigran.
Menurut sumber Islam Online, dengan jumlah mencecah 500,000 orang di Itali, Islam menjadi agama kedua terbesar selepas Katolik mengalahkan mazhab-mazhab lain dalam Kristian.
Bilangan masjid-masjid dan pusat kebudayaan Islam di seluruh Itali semakin berkembang dan bertambah.
Manakala masjid pertama di Greek (Rome), ibu kota Itali dibuka pada 1995 selepas dana pembinaannya ditampung oleh 23 negara Islam dari Algeria sehingga ke Yaman.
Peluang menemui Imam dan jawatankuasa Masjid Tayyibah. Sheikh Said Ait El Jide, Imam Besar Masjid Tayyibah memberi kesempatan untuk menyelami serba sedikit kehidupan umat Islam di Turin terutama perkembangan dan perjalanan aktiviti masjid.
Menurut Sheikh Said, Masjid Tayyibah mampu menampung kehadiran 1,500 jemaah pada waktu puncak Solat Jumaat.
Ia merupakan masjid terbesar di Kota Turin ini dan terletak di celah-celah kawasan perumahan.
Di sebelah masjid juga terletaknya pejabat Persatuan Islamiyyah al-Alb. Walaupun lawatan yang amat singkat kerana kesuntukan masa, namun ia amat bermanfaat dan berharga sebagai pertemuan mahabbah dan ukhuwah.
Islam pernah bertapak kukuh di Kepulauan Sicily, di bahagian selatan Itali selama hampir lebih 200 tahun iaitu pada 827 sehingga 1061 masihi, iaitu selepas 116 tahun Islam membuka Andalus.
Namun umat Islam kurang berjaya menembusi Semenanjung Itali untuk penyebaran dakwah Islamiah.
Setelah empat hari berada di Turin, saya meninggalkan kota yang dikhususkan sebagaiInternational Training Capital of the United Nation System, dengan penuh kenangan dan berharap dapat kembali semula untuk meneruskan jejak umat di kota-kota lain di Itali seperti Greek, Milan dan Catania Sicily yang menempatkan antara tiga masjid terbesar di Eropah.

No comments: