Pages

Monday, August 30, 2010

Demonstrasi anti-Islam di Britain



BRADFORD 29 Ogos - Seramai 13 orang ditahan selepas kumpulan pelampau anti-Islam bertembung dengan penunjuk perasaan anti-fasis di jalan raya bandar Bradford semalam.
Anggota kumpulan anti-Islam, English Defence League (EDL) melontar botol, batu dan bom asap di lokasi penganjuran demonstrasi, ketika anggota polis bertungkus lumus untuk mengasingkan kedua-dua kumpulan berkenaan.
Kehadiran anggota polis yang ramai sedikit sebanyak meredakan keadaan, namun orang ramai tetap bimbang dengan kemungkinan berlaku rusuhan kaum yang pernah terjadi di Bradford pada 2001.
Pihak berkuasa melarang EDL berarak di bandar utara England ini bagi mengelakkan ketegangan.
Kumpulan membenci Islam itu bagaimanapun berkumpul di satu kawasan kecil di bandar Yorkshire, kawasan komuniti terbesar Pakistan dan menjalankan demonstrasi menentang apa yang didakwa mereka sebagai merebaknya Islam radikal di Britain.
Polis berkata, jumlah anggota kedua-dua kumpulan dikatakan berjumlah kurang 1,000 orang.
Walaupun dua sekatan polis dibuat, mereka menghampiri satu sama lain dalam tempoh singkat yang mana anggota EDL membaling botol, tin minuman, batu dan bom asap melepasi halangan yang dibuat anggota keselamatan itu.
Pasukan polis berjaya menghalang EDL daripada terus bertindak ganas ketika mereka melaung-laung dan memegang sepanduk seperti 'kembalikan negara kami', 'jangan benarkan lagi sebarang pembinaan masjid' dan 'tidak kepada undang-undang syariah'.
"Kami tidak bertindak memusuhi semua umat Islam. Tetapi cuma menentang penyebaran fahaman Islam yang radikal.
"Umat Islam normal perlu bangkit dan mempertahankan diri. Kami percaya bukan semua umat Islam adalah orang jahat," kata ketua keselamatan EDL, Leon McCreery. - AFP

No comments: