Pages

Monday, August 2, 2010

Obama hantar surat amaran kepada Abbas



RAMALLAH 1 Ogos - Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama memberi amaran kepada Mahmoud Abbas bahawa hubungan AS-Palestin mungkin terjejas jika Presiden Palestin itu enggan menyambung semula rundingan damai secara langsung dengan Israel.
White House semalam enggan mengulas mengenai amaran yang disuarakan itu dalam sepucuk surat yang diutus kepada Abbas.
Pentadbiran Obama sejak beberapa hari lalu mendesak pemimpin Palestin tersebut supaya melangkah segera ke meja rundingan langsung.
Menurut pegawai kanan Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) yang mendedahkan perkara itu, Obama mengirim surat 'ugutan' berkenaan, amaran paling keras AS kepada Abbas setakat ini, pada 16 Julai lalu.
Abbas berkata, beliau hanya akan berunding jika Israel memberi komitmen terhadap rancangan untuk menubuhkan sebuah negara Palestin di Tebing Barat, Genting Gaza dan timur Baitulmaqdis tanpa banyak pindaan.
Beliau juga menuntut Israel membekukan semua aktiviti pembinaan penempatan haram Yahudi di wilayah Palestin tersebut.
Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu enggan terikat dengan sebarang komitmen sebelum rundingan langsung diadakan dan telah membekukan pembinaan perumahan baru Yahudi selama 10 bulan di Tebing Barat tetapi tempoh itu berakhir pada September ini.
Awal minggu ini, anggota kanan PLO diberi taklimat mengenai percubaan terbaru bagi melancarkan semula rundingan langsung.
Semasa mesyuarat itu, seorang pembantu kanan Abbas meringkaskan kandungan surat Obama.
"Obama dalam surat itu meminta Abu Mazen (Abbas) melangkah ke meja rundingan langsung dan berkata, beliau tidak dapat membantu Palestin melainkan mereka kembali mengadakan rundingan langsung," kata pegawai tersebut.
Obama mahu Abbas memenuhi permintaan itu, jika tidak hubungan antara Palestin dengan Amerika mungkin terjejas, katanya. - AP

No comments: