Pages

Tuesday, August 31, 2010

Dunia Islam derma RM3.2 bilion



WANITA Pakistan ini dengan wajah suram memegang anaknya yang tidak sedar setelah mengalami penyakit bawaan air di hospital Nowshera, Pakistan yang teruk dilanda banjir. - AP


ISLAMABAD 30 Ogos – Negara, pertubuhan dan individu Islam di seluruh dunia menjanjikan bantuan kewangan dan bekalan kemanusiaan berjumlah hampir AS$1 bilion (RM3.2 bilion) untuk membantu Pakistan menangani banjir terburuk dalam sejarah negara ini.
Setiausaha Agung Pertubuhan Persidangan Islam (OIC), Ekmeleddin Ihsanoglu semalam berkata, jaminan bantuan itu diterima daripada negara-negara Islam, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam, institusi OIC, dan teleton yang diadakan di Arab Saudi, Turki, Kuwait, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Qatar.
“Mereka menunjukkan mereka adalah antara penyumbang terbesar bantuan sama ada dalam bentuk bekalan keperluan mahupun wang tunai,” kata Ihsanoglu mengenai pelbagai penderma itu.
Beliau berkata demikian semasa sidang media bersama dengan Menteri Luar Pakistan, Shah Mahmood Qureshi di sini.
Ihsanoglu tidak memberi pecahan bantuan yang dijanjikan atau menyatakan jumlah wang yang akan disalurkan menerusi kerajaan Pakistan berbanding menerusi pertubuhan bebas.
Perdana Menteri, Yousuf Raza Gilani mengkritik sumbangan yang disalurkan kepada NGO asing dan bukan kepada kerajaan Pakistan, dengan berkata, kebanyakan wang berkenaan akan dibazirkan.
“Sebanyak 80 peratus bantuan tidak akan disalurkan terus kepada rakyat Pakistan, sebaliknya ia akan disalurkan menerusi NGO dan mereka akan mengambil separuh daripadanya,” kata Gilani.
Pengumuman OIC mengenai bantuan itu dibuat ketika banjir menenggelamkan sebuah bandar besar di Pakistan dan pihak berkuasa sedang berusaha untuk membina benteng baru dengan tanah liat dan batu untuk mencegah sebuah lagi bandar besar daripada mengalami nasib yang sama.
Negara-negara asing telah menjanjikan bantuan berjuta-juta dolar AS untuk membantu Pakistan menghadapi banjir tersebut yang bermula sebulan yang lalu berikutan hujan monsun yang sangat lebat.
Namun sesetengah pegawai mengkritik dunia Islam kerana memberi sumbangan yang disifatkan tidak memadai.
Pengumuman Ihsanoglu itu dipercayai bertujuan untuk menangkis kritikan tersebut. – AP

No comments: