Pages

Tuesday, July 20, 2010

Kisah Duyung lelaki kacak


ZACHERY sebagai seorang putera duyung yang menjadi rebutan.


MITOS tentang duyung, iaitu kisah cinta tragisnya dengan manusia digemari oleh masyarakat di serata dunia. Pelbagai versi kisah duyung telah dibuat dan lazimnya pembikin sesebuah drama atau filem di seluruh pelosok dunia akan mengangkat karakter ikan duyung perempuan yang jelita sebagai watak utama.
Tetapi, lain pula dengan drama bersiri Slot Lagenda di TV3 yang terbaru ini, drama Duyong Aridinata produksi Zeel Productions dengan menjadikan duyung lelaki yang kacak sebagai watak utama.
Drama yang bersiaran setiap Isnin hingga Khamis itu mengisahkan kehidupan putera duyung yang mencari cinta di kalangan manusia.
Drama Duyong Aridinata yang ingin mengajak para penonton menyelami kisah cinta romantis antara duyung dan manusia.
Drama 20 episod itu membariskan pelakon-pelakon popular seperti Zachery Francis, Fasha Sandha, Natasha Hudson, Rozie Rashid, Tony Eusoff, Maria Farida, Zain Saidin, Jasmin Hamid, Hirzi, Syakilla dan ramai lagi.
Diarahkan oleh Adam Hamid, ia mengisahkan putera duyung, Aridinata yang dilakonkan oleh Zachery Francis, mahu memahami dunia manusia dan mengenali erti cinta sejati.
Melalui bantuan Mek Melusa (Maria Farida), Aridinata dan rakannya Bumatra (Hirzi) berjaya menjadi manusia normal dan hidup di bumi seperti yang mereka inginkan.
Namun, Aridinata akan disumpah menjadi duyung yang hina jika dia tiada wanita yang melafazkan kata cinta kepadanya dalam tempoh tujuh bulan.
Ketika berada di darat, mereka berdua bekerja sebagai juru pandu selam dan berkenalan dengan Cleo (Fasha Sandha) dan Tom Diana (Syakilla).
Aridinata jatuh cinta kepada Cleo namun keadaan menjadi rumit apabila Puteri Antartika (Natasha Hudson) campur tangan kerana dia mahu membalas dendam terhadap Aridinata yang menolak cintanya.
Menurut Adam, dia mengakui Duyong Aridinata mirip drama bersiri Dyesebel dari Filipina yang diminati ramai baru-baru ini dari segi mengetengahkan kisah percintaan duyung.
Bagaimanapun, karya Duyong Aridinata kata Adam, memilih duyung lelaki sebagai watak utama.
Selain itu, perbezaan paling ketara drama tempatan ini ialah pengambaran diadakan di dalam laut.
“Pengambaran di dalam laut diadakan di Pulau Lang, Terengganu dan pemandangannya sungguh indah.
“Kami menyelam sedalam tujuh meter dan pelakon-pelakon saya sungguh hebat kerana tidak menggunakan bantuan oksigen ketika pengambaran dan mereka kelihatan sungguh natural di dalam air.
“Ini adalah arahan saya yang paling mencabar kerana perlu menyelam ke dalam laut untuk memberi arahan namun saya amat berpuas hati dengan hasilnya,” ujar Adam mengenai naskhah yang kini semakin popular di kalangan penggemar drama Melayu.
Tambahnya, drama yang mengambil masa 50 hari pengambaran ini turut menggunakan teknik CGI dan diadakan di studio untuk beberapa babak selain pengambaran biasa di pulau itu sendiri serta sekitar Kuala Lumpur.
Watak-watak duyung dalam drama itu seperti Zachery Francis, Natasha Hudson, Rozie Rashid dan Tony Eusoff beranang ke dalam laut menggunakan kostum ekor ikan duyung yang ditempah khas dari Amerika Syarikat.

No comments: