Pages

Sunday, April 18, 2010

Cinta kerana mata Sukarno





SEPANJANG hidupnya Presiden Sukarno atau lebih dikenali dengan panggilan Bung Karno memang penuh dengan kontroversi. Seperti para pemimpin sezaman, keluar masuk penjara adalah lumrah, semata-mata demi mempertahankan cita-cita Indonesia yang merdeka.
Sukarno memang terkenal kerana keberaniannya menentang Amerika Syarikat dan Inggeris demi membebaskan Indonesia daripada pengaruh penjajahan baru. Namun sebagai manusia, beliau juga terikat dengan kontroversi kisah percintaannya.
Mereka yang pernah bernikah dengan Bung Karno ialah Inggit, Fatmawati, Hartini, Ratna Sari Dewi, Harjatie dan Yurike Sanger.
Yang terbaru diselongkar ialah kisah cinta Yurike Sanger, gadis remaja yang masih di sekolah menengah dengan Bung Karno. Yurike menceritakan kisah cintanya itu kepada seorang wartawan kanan iaitu Kadjat Adra‘i.
Menjadi isteri Bung Karno disifatkan oleh Yurike sebagai suratan nasib dan kehendak Tuhan. Gadis itu bercita-cita mahu menjadi pramugari.
Namun perjalanan nasib menyebabkan Yurike terpaksa melupakan hasrat tersebut. Dia akhirnya menjadi isteri kepada pemimpin yang bukan sahaja dikagumi di Indonesia, bahkan di dunia.
Segala-galanya bermula dengan kedatangan bintang filem bernama Dahli ke sekolahnya pada awal 1963. Rupa-rupanya bintang filem itu sudah lama mengamati Yurike untuk dijadikan anggota Barisan Bhinneka Tunggal Ika iaitu sebuah kumpulan 50 remaja yang mengenakan pakaian tradisi Indonesia pada acara-acara kepresidenan.
Penyertaan pertama Yurike dalam majlis kepresidenan adalah di Istana Olahraga (Istora) Bung Karno.
“Aku yang merupakan anggota Barisan Binneka Tunggal Ika termuda tampil dengan kebaya Jawa,” tulisnya mengenang peristiwa berkenaan.
“Bermimpikah aku? Bung Karno memperhatikanku lebih dari sekilas. Barangkali kerana tahu aku pendatang baru dalam Barisan Bhinneka Tunggal Ika, (Bung Karno) lalu bertanya, “Siapa namamu?”
Yurike menjawab semua pertanyaan singkat presiden dengan perasaan bercampur aduk; bingung, malu dan bangga.
Yurike tidak dapat menyembunyikan rasa kagumnya sejak tatapan pertama dengan Bung Karno itu. " Matanya yang jernih dan terang itu sepertinya hinggap ke pusat mataku dan sampai bila-bila pun tidak akan dapat ku lukiskan dengan jelas,” katanya.
Hubungan itu semakin berkembang hinggalah pada satu hari Bung Karno menyatakan hasrat untuk menghantar Yurike pulang selepas satu acara. Percaya atau tidak, Yurike duduk bersebelahan Bung Karno di tempat duduk belakang kereta sedan jenis Lincoln.
Perasaan kekok menyelimuti dirinya selama perjalanan pulang. “Tempat duduk itu lebar sekali. Ku rasa untuk empat orang pun masih lega. Terbelenggu oleh sikap segan yang demikian besar, juga rasa malu yang sungguh tak teratasi, duduk ku seolah menyatu dengan pintu.”
Sulit
Perjalanan secara sulit mengelilingi kota atau diistilahkan oleh Bung Karno sebagai incognito itu semakin kerap dilakukan. Hingga satu malam, sebuah kejutan lain dialami Yurike ketika diajak ke tepi pantai.
Dimulai dengan pertanyaan Bung Karno soal suami idaman Yurike, akhirnya Bung Karno dengan serius menyatakan. “Apa adik tidak tahu Mas mencintai adik?”
“Seperti langit runtuh. Kepala semakin berpinar-pinar bagai ditimpa benda yang berat sekali mengingatkan pernyataan sedemikian dan tidak kurang rasa terkejut menerkamku,” tulis Yurike mengungkap perasaannya ketika itu.
Setelah hubungan mereka semakin intim, Bung Karno akhirnya menyatakan hasrat untuk meminang Yurike. Ternyata ibu bapa Yurike marah lantaran bimbang dituduh mengejar kekayaan tetapi pada masa yang sama takut untuk menolaknya. Namun akhirnya mereka bernikah juga.
Ternyata menjadi isteri orang nombor satu negara tidak selamanya indah. Kesepian yang menerpa dirinya bukannya berkurang. Makin lama makin terasa menyesakkan.
Bergulir
“Hari demi hari bergulir sesuai dengan kehendak sang waktu. Kadang ku rasakan hari merangkak lambat manakala kami tidak saling bertemu. Kadangkala bagai sekejap manakala nafas kerinduan harus runtuh oleh arus perpisahan yang menerjang,” tulis Yurike lagi menceritakan perasaannya.
Suatu hari, Bung Karno datang tanpa memberi khabar lebih dulu. Pada saat itu, Yurike mestinya berasa senang dan menerima sang suami dengan hati berbunga-bunga. Tapi tidak pada hari itu. Kehadiran tersebut merupakan sebuah kabar buruk. Dia datang menaiki jip yang dikawal beberapa anggota polis tentera. Wajahnya datar, jauh daripada ungkapan kegembiraan.
Itulah yang terjadi beberapa ketika Suharto dilantik menjadi presiden pada 12 Mac 1967. Yang lebih menyesakkan, Bung Karno menyarankan agar Yurike mengajukan permintaan cerai.
Menurut Bung Karno, situasi politik dalam negeri dan keadaan kesihatannya memberi kesan yang kurang baik bagi kehidupan Yurike zahir dan batin. Awalnya dia menolak, dengan menegaskan hanya ingin hidup selamanya dengan Bung Karno. “Saya tidak minta apa-apa lagi. Mata Bung Karno berkaca-kaca. Hatiku pun menangis sejadinya,” tulis Yurike.
Akhirnya Yurike bercerai dengan Bung Karno secara baik. Perceraian itu sungguh mengharukan kerana mereka masih saling menyintai. Yurike menyimpulkan: ‘‘Perpisahan yang justeru terjadi ketika mereka tengah dekat dan sangat rapat.’’
Namun, di atas segala kepedihan itu, yang paling menyesakkan tentulah ia mendengar khabar meninggalnya ‘sang penyambung lidah rakyat Indonesia’ itu pada 21 Jun 1970.
“Kata orang aku tidak sekadar meratap, tetapi histeria. Aku tidak peduli. Berkali-kali ku panggil namanya hingga suaraku tak terdengar lagi...”

No comments: