Pages

Tuesday, March 2, 2010

Bandar musnah dipukul tsunami


SERPIHAN akibat tsunami di Pelluhue, Chile kelmarin.



PENCO, Chile - Kesan pasir, lumpur dan rumpai laut masih melekat di restoran dan rumah selepas ombak besar tsunami melanda sebuah bandar di bandar Penco, di pesisir pantai Chile akibat gempa bumi kuat pada Sabtu lalu.
Gempa bumi kuat yang berukuran 8.8 pada skala Richter itu melanda sebelum subuh sehingga mencetuskan tsunami yang menenggelamkan bandar ini selain beberapa kampung berhampiran.
Banyak kediaman ditenggelami air manakala sejumlah manusia dan haiwan turut hanyut ke tengah laut.
"Ombak itu setinggi kira-kira enam meter," kata seorang penduduk tempatan yang terselamat, Carlos Palma.
Bandar ini yang dihuni kira-kira 50,000 orang, terletak kira-kira 10 kilometer dari Concepcion iaitu pusat gempa bumi itu yang setakat ini, telah membunuh lebih 700 orang ketika angka kematian dijangka terus meningkat.
Gempa itu antara paling kuat pernah direkodkan dan berpusat pada kedalaman 35 kilometer di bawah bumi, mencetuskan ombak tsunami ke pesisir pantai Chile yang didiami 16 juta penduduk.
Tsunami kecil turut melanda negara-negara di Lautan Pasifik termasuk di New Zealand dan Jepun.
Beberapa penduduk berkata, bandar Dichato yang terletak dekat sini musnah dilanda tsunami dan ombak besar itu mungkin kembali melanda pada bila-bila masa.
"Dichato musnah sama sekali. Banyak bot tersadai di atas bumbung-bumbung rumah," kata seorang wanita.
Kebanyakan penduduk bandar itu bermalam di kawasan terbuka kelmarin kerana takut dihempap bangunan dan serpihan.
Di utara bandar ini, dua lagi bandar iaitu Curico dan Talco turut terjejas teruk dan terputus bekalan air serta elektrik sejak Sabtu lepas. - AFP

No comments: