Pages

Sunday, February 21, 2010

Ziarah ke rumah isteri tahanan ISA Tawau, Sabah

Oleh: admin | 1 January, 2009 | Posted in berita, sabah | Leave comment

Sudah lama aku menyimpan hasrat untuk menziarahi mereka. Sebagai Pengerusi Lajnah Kebajikan PAS Sabah dan Dewan Muslimat Sabah, aku merasa suatu tanggungjawab yang sangat besar yang sedang ku pikul. Alhamdulillah, apabila mesyuarat ditetapkan di Tawau, aku fikir inilah peluang terbaik bagiku untuk menemui mereka.

Sengaja tidak memaklumkan lebih awal sebagaimana biasa sekiranya sesiapa berhasrat menziarah mereka. Aku dimaklumkan selalunya mereka keberatan menerima tetamu lebih-lebih lagi dari PAS. Mungkin kerana fitnah daripada pihak polis cawangan khas (SB) yang mengelirukan mereka.

Alhamdulilah…taktik kali ni berjaya dengan izin Allah menemukan aku dengan isteri-isteri tahanan ISA di Tawau. Ternyata mereka tidak banyak berbeza daripada isteri-isteri di Sandakan. Cuma saja mereka agak beruntung kerana ada yang mempunyai pekerjaan dan keluarga memberi sokongan.

ImagePun begitu, ketika tiba di destinasi yang pertama, rumah di bawah kolong yang dihuni oleh Azlina dan 3 orang anaknya, aku terasa sebak. Maklum, aku juga seorang wanita, isteri dan ibu. Lebih-lebih lagi apabila Azlina menceritakan yang suaminya ditahan ketika dia mengandung 6 bulan anak yang kini berusia 2 tahun. Spontan aku yang juga sedang membawa kandungan berusia 6 bulan terasa keperitannya�

Selesai memberikan sedikit penerangan dan memaklumkan tentang sumbangan pihak Harakah dan GMI kepada mereka, rombongan kami meneruskan perjalanan ke rumah isteri seterusnya, Normahal. Tiba di destinasi kali ini, aku agak lega melihat rumah yang diduduki oleh keluarga ini. Sempurna pada penglihatanku. Rupanya dimiliki oleh kawan lepada suazi Normahal.

Aku lihat papan putih untuk mengajar anak-anak terlekat di dinding rumah. Anak-anak Normahal sibuk mewarna. Ketika aku bertanya kalau mereka masih ingat ayah. Masing-masing nampak keliru. Entah apa yang sedang difikirkan mereka. Apa yang kulihat ternyata Normahal pula yang bergenang air mata menehan rasa yang dipendam sekian lama. Ah ! Jangan gugur dulu air mataku…aku harus kuat untuk memberi sokongan pada mereka.

ImageKetika ku tanyakan umurnya, ternyata Normahal baru berusia 26 tahun. Sekali lagi aku meletakkan diriku pada tempatnya dengan usia 26 tahun.Kadang-kadang hidup ini terlalu kompleks kalau tidak saja diletakkan segala persandaran kepada Allah.Siapalah kita untuk mempersoalkan ketentuanNya. Setelah lebih kurang setengah jam, aku dan rombongan meminta diri untuk meneruskan perjalanan…sempatku tinggalkan kad nama dengan pesanan supaya terus menghubungi aku bila-bila masa.

Jarak lebih kurang 350km dengan tempat aku menetap menyukarkanku untuk selalu menziarahi mereka separti isteri-isteri di Sandakan…semoga Allah mengampunkan aku yang tak mampu memikul tanggungjawab seberat ini. Aku juga sempat berpesan kepada Timbalan Pengerusi Lajnah Kebajikan Dewan Muslimat yang menetap di Tawau supaya selalu menjenguk mereka dan menjadikan mereka teman akrab, bukan sekadar �mangsa� yang memerlukan perhatian.

Seterusnya aku dibawa masuk ke kawasan Flat Guru di SMK Kinabutan, Tawau. Nak menemui Kak Rusiah. Isteri tahanan ISA yang juga seorang guru. Sunyi flat guru ni, maklumlah cuti sekolah. Tapi mereka sekeluarga lebih selesa di sini. Mesra kak Rusiah menyambut kedatangan kami. Rumah tersusun rapi, menggambarkan kehidupan seorang guru yang berdisiplin. Anak-anak kak Rusiah masuk ke bilik. Senyap. Jarang-jarang ku lihat suasana begini di rumah isteri-isteri tahanan. Rak buku pun tersusun rapi.

Perit apabila 3 tahun tanpa suami

Rupanya kak Rusiah sedang melanjutkan pelajaran. Ambik PJJ katanya. “Kalau suami kakak tak bebas juga agaknya kakak teruskan lagi ambik Master”. Sempat kak Rusiah bergurau. Bukan apa katanya, supaya sibuk dan tak sempat memikirkan ketiadaan suami tersayang…Kelakar, mesra tapi ku lihat matanya masih memendam suatu rasa yang hanya di mengetahuinya…

Bersama 5 orang anak, kak Rusiah meneruskan hidup. Baginya dia jauh bernasib baik berbanding mangsa-mangsa yang lain. 3 tahun tanpa suami memang perit, tapi itulah bahagian baginya ketika ini. “Tatkala ada jiran di hadapan rumah kematian suami kerana kemalangan, kakak masih boleh mengharap kepulangan suami. Kakak yakin semua ini ada hikmah yang sangat besar. Insya-Allah.� Sekali lagi aku kaku menahan rasa. Kerana ketabahan inilah Allah memilih dia.

Aku yakin ujian ini membuat kak Rusiah ibu berumur 38 tahun ini semakin bijak dan matang menangani hidup. Aku dimaklumkan guru-guru lain memberi kerjasama yang baik. Sehinggakan jadual pembelajaranpun dapat disesuaikan dengan masa menghantar dan mengambil anak di sekolah. Syukur…masih ada yang sayang…

Selesai solat Maghrib di rumah kak Rusiah kami memohon diri. Sempat menyampaikan ucapan terima kasih kepada semua yang memberi sumbangan dan apa juga bantuan kepada mereka khususnya Harakah dan GMI.

Keletihan semakin terasa. Anak di dalam perut bergerak aktif. Pinggangku dah terasa berdenyut. Mungkin letih sejak mesyuarat pagi tadi. Takpe nak�ini sajalah yang mampu ummi buat. Mudah-mudahan naluri yang baik akan kamu warisi dewasa kelak. Melihat ketabahan dan segala bentuk kehidupan mereka, aku insaf betapa besarnya anugerah Allah untukku sekeluarga. Alhamdulillah�ya Allah. Ampunkan kami atas segala dosa dan kederhakaan kami sepanjang kami memikul tanngungjawab sebagai khalifahMu di atas muka bumi ini�.

Kereta kami bergerak lagi. Kak Halimah sedang menanti kedatangan kami. Aku terpaksa memaklumkan kedatangan kami untuk bertanya alamat rumah. Alhamdulillah dapat juga aku menemui dia. Menurutnya, dia mengusahakan kedai jahitan untuk menampung keluarga. 2 orang anaknya sudah berusia 13 dan 17 tahun. Baru-baru ni awal cuti sekolah mereka tiga beranak sempat menziarah suaminya di Kamunting. Aku sempat melihat gambar terbaru suaminya. Nampak kurus berbanding gambar sebelum ditahan.

Kak Halimah bersama anak-anaknya tinggal di kawasan perumahan flat yang masih dalam proses pembayaran. Alhamdulillah ada juga tempat berteduh. Jam dah menunjukkan pukul 8 malam. Kami memohon diri. Ini rumah yang terakhir untuk kami ziarah. Lega�tercapai juga hasratku kali ini. Semoga perjalanan ini membawa bersama hidayah dan kasih-sayang Allah buat mereka yang ku tinggalkan dan yang ku temui. Segala puji bagiMu ya Allah�. – azm

Ketua Pengarang Harakah dan HarakahdailyAhmad Lutfi Othman dan Team Harakah akan berkunjung semula ke Sabah untuk menyampaikan sumbangan orang ramai dalam jangka masa terdekat. Oleh itu, jika ada yang prihatin dan simpati kepada keluarga mangsa ISA bolehlah majukan dana dan sumbangan kepada HARAKAHDAILY DOT COM akaun Maybank 564070000336)

–Harakahdaily

No comments: