Pages

Sunday, February 7, 2010

Al-Baqarah, ayat 34: Orang zalim menjadikan iblis sebagai ‘pengganti Allah’

By Editor • February 8, 2010
Bookmark and Share

Oleh DR ZULKIFLI MOHAMAD ALBAKRY

Al–Imam al–Maghari berkata di dalam tafsirnya, selepas Allah s.w.t mengkhabarkan kepada malaikat berhubung dengan kedudukan Adam yang dijadikan sebagai khalifah di muka bumi, lantas Allah memerintahkan mereka untuk sujud penghormatan, bukan ibadat, bagi mengiktiraf kemuliaan dan perasaan kebersalahan, apa yang mereka kata sebelumnya.

Antara keistimewaan Adam dengan kurniaan ilmu yang banyak, sehingga melemahkan malaikat. Allah menambahan pada ayat-ayat berikut, dengan kemuliaan lain, iaitu arahan kepada sekelian malaikat untuk bersujud padanya,ini menambahkan lagi tanda tanda kemuliaan dan kelebihan, jenis kemanusiaan iaitu pada asal manusia Adam a.s.

Ibn Jarir di dalam tafsirnya al–Thabari berkata, seolah–olah peringatan kepada kaum Yahudi yang mendiami kota Madinah bersama Nabi dikira ke atas mereka banyak nikmat dan diberi peringatan sebagaimana yang telah disifatkannya. Firman Allah s.w.t yang bermaksud:

AYAT 34

“Dan (ingatlah) ketika Kami berfirman kepada malaikat sujudlah kamu kepada Adam, maka sujudlah mereka, kecuali iblis. Ia enggan dan takbur, dan adalah ia termasuk dalam golongan orang kafir.”

Allah menyebut “Dan (ingatlah) ketika kami berfirman kepada malaikat”, iaitu ingatlah wahai Muhammad, kepada kaummu, ketika kami berkata kepada malaikat. Syeikh Abdul Rahman al–Sa’di berkata dalam tafsirnya Taisir al–Karim, ayat ini mengandungi banyak pengajaran antaranya mengisbatkan kalam Allah. Ibn Jauzi menafsirkan di dalam kitabnya Zad al–Masir, bahawa terdapat dua pendapat tentang malaikat:
Pertama Semua malaikat Inilah pendapat al–Suddi daripada guru–gurunya.
Kedua Mereka segolongan daripada malaikat, seperti riwayat Ibn Abas, tetapi pendapat yang pertama lagi sahih.

“Sujudlah kamu kepada Adam”, iaitu sujud penghormatan dan membesarkan, bukan sujud ibadat.

Al–Syaukani di dalam Fath al–Qadir berkata, maksud sujud ialah hina dan rendah diri dan kemuncaknya meletakkan wajah muka pada bumi. Inilah juga pendapat Imam al–Nasafi di dalam tafsirnya yang menaqalkan pendapat jumhur ulama.

Terdapat dua pendapat berhubung dengan sifat sujud mereka kepada Adam:

Pertama Iaitu seperti sujud solat. Inilah pendapat yang lebih zahir.

Kedua Iaitu merendahkan kepada seumpama rukuk.

Al–Imam al–Fakhru al–Razi di dalam kitabnya Tafsir al–Kabir berkata, telah ijmak sekalian orang Islam, bahawa sujud tersebut bukan sujud ibadat, kerana sujud ibadat selain Allah boleh membawa kufur.

Al ‘Alamah Thahir ‘Asyur melalui tafsirnya al–Tahrir Wa al–Tanwir berkata, maka adalah sujud merupakan pertama–tama penghormatan yang diterima oleh manusia daripada makhluk alam. Dan disandarkan sujud kepada Adam dengan perkataan “lam” bermaksud “bagi” menunjukkan bahawa mereka ditaklifkan bersujud dengan zatnya dan dia merupakan asal penunjuk “lam ta’lil”, iaitu kerana apabila dikaitkan dengan maksud sujud.

Kemudian beliau menambah pada ayat ini juga dapat dikeluarkan permasaalahan yang cukup menarik tentang penghormatan kepada ilmu dan kelayakan ulama untuk menerima penghormatan dan kemuliaan tersebut kerana tatkala Allah mengajar kepada Adam ilmu yang mana malaikat tidak mempunyainya, menjadikan Adam contoh utama dalam penguasaan penciptaan kajian dan ilmu yang zahir pada manusia selepasnya dan pasti akan zahir penciptaan baru, begitu juga ilmu sehingga binasanya alam ini.

“Maka sujudlah mereka, kecuali iblis”, lantas mereka semua sujud, kecuali iblis. Ulama’ menyebut, pengecualiaan ini ditafsirkan dengan dua pendapat:
Pertama Iaitu pengecualian dari jenis yang sama, diatas pendapat ini iblis termasuk dikalangan malaikat, seperti pendapat Ibn Mas’ud dalam satu riwayat dan Ibn Abas, kecuali ia ditukar rupa oleh Allah menjadi syaitan.
Kedua Ia bukan jenis malaikat, tetapi jenis jin. Inilah pendapat al–Hasan al–Basri dan al–Zuhri.

Justeru jadilah pengecualiaan sebagai pengecualian terputus. Penulis menyokong pendapat kedua-duanya berdasarkan ayat al–Quran yang lain, di dalam surah al– Kahfi ayat 50, maksudnya: “Dan (ingatlah) ketika Kami berfirman kepada para malaikat: Sujudlah kamu kepada Adam, maka sujudlah mereka kecuali iblis. Dia adalah dari golongan jin, maka ia mendurhakai perintah Tuhannya. Patutkah kamu mengambil ia dan turunan–turunannya sebagai pemimpin selain daripada-Ku, sedang mereka adalah musuhmu? Amat buruklah iblis itu sebagai pengganti Allah) bagi orang–orang zalim.”

Berhubung dengan nama iblis, terdapat dua pandangan ulama, seperti yang dinyatakan oleh al – Imam al – Mawardi di dalam kitabnya al–Nukat Wa al–‘Uyun.
Pertama Ia merupakan nama a’jam (bukan Arab), inilah pendapat Abu Ubaidah, iaitu Mu’ammar Bin al–Musanna al–Taimi, al–Zajjaj dan Ibn al–Anbari.
Kedua Diambil daripada perkataan iblas, yang bermaksud putus asa seperti riwayat Abi Soleh.

Ini kerana, “Ia enggan dan takbur” iaitu menegah daripada apa yang diarahkan kepadanya.

Syeikh Rashid Redha, di dalam tafsirnya al–Manar berkata, iblis tidak mematuhi arahan Tuhan dengan merasa besar diri dan mempunyai kelebihan dari manusia. Sifat takbur dan suka menunjuk dengan sifat kesombongan ini, merupakan kesan– kesan daripada perasaan tinggi diri daripada kebenaran. Terdapat “ sin ” dan “ ta’ ” pada permulaan kalimah ini, menunjukkan bahawa takabur bukanlah tabiat iblis, tetapi ia mampu dan bersedia melakukannya.

Al–‘Alamah Thahir al–‘Asyur di dalam tafsirnya berkata, perkataan “istikbar” yang bermaksud “amat angkuh” dan “sombong” kerana “sin” dan “ta”, menunjukkan melampau, iaitu melampau dirinya dengan perasaan besar dan megah atau memberi makna “mubalaghah” dengan maksud amat takbur dan amat sombong.

Justeru, makna kalimah tersebut ialah ia bersifat dengan sifat takbur terhadap Allah, dengan mengingkari untuk sujud kepada Adam tanpa rasa kebersalahan bahkan menguatkan hujah kebatilannya dengan menyatakan kebaikannya kerana diciptakan daripada api sedangkan Adam daripada tanah.

Ibn al–Qayim di dalam kitabnya Miftah Dar al–Sa’adah menjawab permasalahan ini secara panjang lebar, dengan membandingkan dua unsur ini, api dan tanah. Sebenarnya kemuliaan, kebaikan dan kelebihan satu–satu makhluk bukan berdasarkan kepada unsur kejadian tetapi berdasarkan kepada ketakwaan, keimanan, keilmuaan, perhambaan kepada Allah dan ma’rifah, sebagaimana yang dinyatakan dalam ayat dan hadsh. Semoga kita selamat daripada sifat takbur, dan terjebak ke dalam godaan iblis.

“Dan adalah ia termasuk dalam golongan orang kafir”, iaitu jadilah dengan keengganan dan takburnya daripada golongan kafir, sekira–kira merasa hina arahan Allah dengan bersujud kepada Adam. Said Qutub melalui tafsirnya Fi Zilal al–Quran, berkata, sekarang nyatalah medan peperangan yang kekal, peperangan di antara ciptaan kejahatan pada iblis dan khalifah Allah di muka bumi, yang berlaku pada dhamir manusia, di mana kemenangan mungkin berpihak kepada yang baik, berdasarkan sejauh mana pegangan manusia terhadap perjanjiannya dengan Tuhan. Sebaliknya mungkin natijah berubah, di mana kejahatan menguasai tatkala manusia menyerahkan kepada syahwatnya.

No comments: