Pages

Friday, February 5, 2010

Bayi gempa ditemui hidup

Bayi Ajaib Di Bawah Runtuhan



BEICHUAN 17 Mei – Satu keajaiban berlaku apabila seorang bayi perempuan berusia 13 hari ditemui hidup setelah dikeluarkan dari runtuhan bangunan di Xingxiu, daerah Wenchuan, semalam.
Ibu bayi tersebut turut diselamatkan. Mereka merupakan antara 163 mangsa gempa yang berjaya diselamatkan dalam operasi menyelamat semalam.
Turut berjaya diselamatkan dalam operasi yang masuk hari keenam itu adalah murid perempuan berusia 10 tahun dan dua warga asing dari Jerman dan Amerika Syarikat.
Pasukan penyelamat turut berjaya menyelamatkan berpuluh-puluh murid yang terperangkap di sebuah sekolah rendah, juga di Xingxiu.
Ekoran penemuan banyak mangsa yang masih hidup, Presiden China, Hu Jiantao menggesa pasukan penyelamat supaya bertindak lebih pantas bagi menyelamatkan mangsa-mangsa yang masih terperangkap.
“Walaupun, peluang terbaik untuk menyelamatkan mangsa, iaitu 72 jam selepas berlaku gempa, usaha menyelamatkan mangsa yang masih terperangkap tetap menjadi keutamaan kita,” kata Jintao kepada mangsa-mangsa yang terselamat, iaitu seminggu selepas China meraikan kejayaan membawa Obor Sukan Olimpik ke Puncak Everest.
Pasukan penyelamat meneruskan gerakan menyelamat, sementara pihak berkuasa pula menumpukan usaha untuk menyediakan perlindungan dan makanan kepada berjuta-juta lagi penduduk yang kehilangan tempat tinggal.
Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Ban Ki-moon pula mengumumkan bantuan kemanusiaan berjumlah AS$7 juta (RM22.71 juta).
Angka korban rasmi bencana itu kini meningkat kepada 28,881 orang berbanding 22,069 orang semalam. Sementara mangsa yang cedera pula berjumlah 198,347 orang.
Kira-kira 4.8 juta penduduk pula kehilangan tempat tinggal.
Sementara itu, China juga telah melaksanakan pelan kecemasan kemalangan nuklear dan mengarahkan kakitangannya bersedia menghadapi keadaan kecemasan, berikutan gempa bumi termasuk yang membabitkan beberapa tapak simpanan nuklearnya.
Sebelum ini, pemantau nuklear Perancis berkata, beberapa tempat simpanan nuklear China mengalami kerosakan kecil akibat gempa itu, tetapi tidak ada sebarang kebocoran dilaporkan.
China dipercayai mempunyai sebuah reaktor penyelidikan, dua tapak pengeluaran bahan bakar dan dua tapak simpanan senjata atom di wilayah Sichuan yang terletak antara 60 hingga 145 kilometer dari pusat gempa.
utusan

No comments: