Pages

Sunday, December 13, 2015

Gambia diisytihar negara Islam


Penduduk Gambia kini berjumlah 1.8 juta dengan 95 peratus adalah beragama Islam.

BANJUL - GAMBIA . Presiden Gambia, Yahya Jammeh, semalam, mengisytiharkan negara bekas sekular itu sebagai republik Islam.
Beliau berkata, langkah itu sebagai sebahagian daripada usaha mewujudkan jurang negara Afrika Barat itu dengan era kolonialnya.
"Sejajar dengan nilai dan identiti negara, saya mengisytiharkan Gambia sebagai sebuah negara Islam. Keputusan ini adalah muktamad.
"Pengumuman ini tidak bermakna kod etika pemakaian dikuatkuasakan serta merta," katanya
.

Wanita Saudi keluar mengundi

Riyadh: Menutup tubuh dari kepala hingga ke kaki dan ditemani waris lelaki, wanita di Arab Saudi mengundi buat kali pertama, semalam.
Buat kali pertama juga, wanita dibenar menjadi calon dalam pilihan raya majlis tempatan, satu-satunya badan perundangan yang dipilih di negara itu.
“Kini wanita mempunyai suara,” kata Awatef Marzooq selepas membuang undi di sebuah sekolah di sini.
“Saya menangis. Biasanya kami menonton di televisyen wanita di negara lain mengundi ketika pilihan raya,” katanya.

Walaupun pilihan raya itu turut ditandingi beberapa calon wanita, Awatef memberitahu, dia mengundi calon lelaki.
“Saya mengundi calon lelaki, tetapi saya berharap ada calon wanita yang menang,” jelasnya.
Arab Saudi adalah negara pemerintahan beraja mutlak dan mempunyai sekatan yang ketat terhadap wanita termasuk larangan memandu.
Ia juga adalah negara terakhir di dunia yang membenarkan wanita mengundi dan bertanding dalam pilihan raya.
Di luar sebuah pusat pembuangan undi untuk wanita di sini, pengundi wanita yang memakai jubah hitam tiba menaiki kereta yang dipandu lelaki.
Sebilangan wanita meminta jurugambar tidak merakamkan gambar mereka sebelum bergegas masuk ke dalam kereta.
Seorang lelaki, Mohammed al-Shammari yang menghantar anak perempuannya berkata, dia menyokong wanita mengundi.
“Selagi anak saya tidak bercampur dengan lelaki apa salahnya untuk dia mengundi?” jelasnya.
Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 Disember 2015 @ 5:09 AM


SEORANG wanita memasukkan kertas undi ke dalam peti undi di Riyadh, semalam.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/99868#sthash.ilrU8jKF.dpuf

Wanita berat badan 294kg salahkan ibu bapa kerana obes


AGENSI - WEBSTER yang memiliki berat badan 294kg merupakan salah seorang daripada 12 peserta program realiti televisyen TLC, My 600 lb Life musim keempat.


TEXAS – Seorang wanita yang memiliki berat badan 294 kilogram (kg) menyalahkan kedua-dua ibu bapanya kerana menyebabkan dia ketagih kepada makanan sekali gus mengalami masalah obesiti yang kronik.
Nikki Webster, 33, berkata, sejak kecil lagi ibu dan bapanya akan menyediakan apa sahaja makanan yang dia mahu makan, malah mela­yannya seperti seorang permaisuri.
“Sejak kecil saya menjadi seorang yang ketagih kepada makanan dan akhirnya semua ini ‘membunuh’ saya.
“Sebaik bangun tidur, saya menjadi tidak sabar untuk makan. Ibu atau bapa saya pula akan menyediakan makanan, malah saya tidak perlu turun ke bawah untuk sarapan di bilik tidur,” kata Webster dengan linangan air mata.
Dia menceritakan demikian dalam satu program realiti tele­visyen TLC, My 600lb Life musim keempat yang akan mula ditayangkan pada 6 Januari depan.
Webster merupakan salah seorang daripada 12 individu obes yang memaparkan kisah hidup mereka selain bertanding antara satu sama lain untuk menurunkan berat badan. – Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=1213&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_05.htm#ixzz3u9buGb3L 
Hakcipta terpelihara 

Friday, December 11, 2015

Batal kahwin kerana gagal jawab soalan matematik


Gambar hiasan
MAINPURI - INDIA . Gara-gara gagal menjawab soalan matematik yang dikemukakan, seorang pengantin perempuan mengambil keputusan nekad dengan membatalkan perkahwinannya yang berlangsung di Gulariapur, India Isnin lalu.
Menurut tetamu yang hadir, wanita itu merupakan lulusan tahap 8 dan ingin menjadi seorang guru.
Bapa pengantin perempuan, Srikrishna Babu Saxena, berasal dari Gulariapur menetapkan perkahwinan anak perempuannya Khushboo dengan seorang lelaki yang berasal dari Saraia, Omveer.
Semasa upacara perkahwinan bermula, salah seorang rakan pengantin perempuan memberitahu kepada wanita itu bahawa bakal suaminya itu gagal untuk membaca mentera perkahwinan dengan sempurna.
Perkara tersebut menyebabkan Khusboo mengambil keputusan untuk bertanya beberapa soalan matematik kepada bakal suaminya sebelum mereka berkahwin.
Walaupun pada mulanya dihalang oleh ibu-bapnya, Khusboo tetap melakukan perkara demikian kerana dia tidak mahu berkahwin dengan seorang lelaki yang buta huruf dan kurang bijak.
Pengantin lelaki gagal mengira wang syiling malah turut tidak mampu untuk membezakan antara nombor 69 dan 79.
Selepas gagal menjawab beberapa soalan yang dikemukan Khusboo, dia nekad membatalkan perkahwinan dengan lelaki berkenaan.
Sementara itu, penduduk kampung bangga dengan tindakan Khusboo malah bapanya turut memohon maaf kerana mengaturkan perkahwinan dengan orang yang tidak mempunyai berpendidikan.
" Kami hanya melihat lelaki berkenaan dari jauh, malah turut tidak dibenarkan untuk bercakap.
"Oleh itu, kami tidak boleh membuat penilaian dan mengetahui bahawa lelaki berkenaan kurang bijak,' kata bapa pengantin perempuan dipetik Hindustantimes.
Walau bagaimanapun, pengantin lelaki tersebut kemudiannya berkahwin dengan wanita lain pada Rabu.

Thursday, December 10, 2015

Tujuh rakyat Australia mahu hidup di Marikh




ILUSTRASI menunjukkan misi kehidupan baharu di Planet Marikh menjelang 2023. - Agensi


CANBERRA – Seramai tujuh warga Australia semakin hampir merealisasikan impian mereka untuk hidup di Planet Marikh selepas menewaskan lebih 200,000 calon lain untuk projek perintis berkenaan sejak 2013.
Mereka yang terdiri daripada empat wanita dan tiga lelaki merupakan antara 100 calon utama untuk misi ke Marikh itu.
Sekiranya terpilih, mereka akan dihantar ke planet itu oleh sebuah organisasi bukan bermotifkan keuntungan, Mars One yang merancang menghantar empat penduduk Bumi ke Marikh menjelang 2023. Mereka tidak akan kembali ke Bumi.
Setibanya di Marikh mereka akan tinggal dalam sebuah kediaman seluas 50 meter persegi setiap seorang yang dilengkapi kemudahan seperti tempat tidur, ruang tamu, dapur dan ruang untuk menanam tumbuhan.
Salah seorang calon tersebut merupakan bekas anggota komando yang kini menjadi pelawak, Joshua David Richards, 30, dari Melbourne.
“Jika berpeluang, saya akan membawa sebuah kamera bagi berkongsi pengalaman bersama penduduk di Bumi,” kata Richards. – Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=1210&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm#ixzz3trrWgGOE 
Hakcipta terpelihara 

Fosil dua dinosaur dijumpai di Yunan


Imej merakamkan fosil dinosaur yang dijumpai di Yunan, China, baru-baru ini. Agensi
BEIJING 9 Dis. - Sebahagian penduduk di China gempar apabila sekumpulan pekerja binaan menemukan dua fosil haiwan prasejarah dinosaur berleher panjang yang berukuran 9.14 meter panjang di tapak projek pembinaan jalan raya di Yunan di sini, baru-baru ini.
Portal berita Mail Online melaporkan, fosil dinosaur itu dipercayai milik spesies Lufengosaurus magnus dan Lufengosaurus huenei yang hidup kira-kira 180 juta tahun lalu.
Fosil tersebut ditemukan pada jarak 500 meter antara satu sama lain ketika sekumpulan pekerja binaan jalan raya membersihkan tanah dan batuan bagi membina lebuh raya baru di kota Lufeng, Yunan.
Beberapa pakar palaeontologi berkata, rangka dinosaur Lufengosaurus magnus ditemukan bersama tulang belakang yang lengkap dan dua kaki belakangnya.
Jumlah keseluruhan panjang fo­sil itu secara purata berukuran lima meter panjang, namun para pakar percaya haiwan tersebut mungkin berukuran sembilan meter panjang semasa hidupnya.
Namun sayangnya, kepala fosil dinosaur itu hilang akibat hakisan cuaca.
Sementara itu, fosil Lufengosaurus huenei pula dijumpai dalam keadaan kurang sempurna bersama dua tulang kaki serta beberapa bahagian ekor.
Pengarah Jabatan Perlindungan Warisan Geologikal, Wang Tao, di Biro Sumber Lufeng Land berkata, sebuah muzium mungkin dibina di kawasan berkenaan bagi memelihara fosil tersebut.
Langkah itu bermaksud, projek pembinaan jalan raya yang dirancang sebelum ini mungkin dilencongkan bagi memelihara fosil berkenaan.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/fosil-dua-dinosaur-dijumpai-di-yunan-1.167346#sthash.yxQbPxIT.dpuf

Wednesday, December 9, 2015

Telefon pintar pertama boleh dibasuh


Digno Rafre yang boleh dibasuh dengan sabun

TOKYO - JEPUN. Bagi menggelakkan telefon pintar penuh dengan kotoran dan bakteria, sebuah syarikat pengeluar telefon di Jepun telah mencipta sebuah telefon pintar yang boleh dibasuh dengan sabun.
Telefon pintar kalis air sudah mula dipasarkan namun Syarikat KDDI berkata, rekaan yang dinamakan 'Digno Rafre" akan dilancarkan secara rasmi di Jepun pada minggu depan hadapan dan akan menjadikan satu-satunya telefon pintar yang boleh dibasuh dengan sabun.
"Pasukan pembangunan rekaan kami telah membasuh telefon pintar tersebut lebih 700 kali untuk menguji ketahanannya," kata jurucakap syarikat kepada AFP.
Telefon pintar tersebut dicipta untuk ibu -bapa yang sentiasa mahukan telefon bimbit bebas bakteria dan selamat untuk anak-anak.
Namun, menurut jurucakap syarikat, hanya beberapa jenis sabun yang boleh digunakan untuk membasuh telefon tersebut dan hanya akan dijual di Jepun buat masa ini
.

Peristiwa dunia sepanjang 2015



KONFLIK  
di rantau Asia Barat menjadi antara peristiwa hitam yang tercatat dalam sejarah dunia sepanjang 2015.
Selain konflik Palestin-Israel yang tidak pernah berpenghujung, negara-negara seperti Lubnan, Yaman dan Mesir terus berdepan dengan masa depan tidak menentu ekoran pergolakan politik dan perang saudara.
Malah, episod paling malang dan menyayat hati berlaku di bumi Syria selepas puluhan ribu rakyatnya terbunuh manakala ratusan ribu yang lain menjadi pelarian kerana perang saudara.
Campur tangan Amerika Syarikat (AS), Rusia, Perancis dan Britain mengusutkan lagi situasi di negara tersebut.
Dalam pada itu, seperti tahun-tahun sebelum ini juga, bencana alam yang mengorbankan ratusan nyawa dan kemusnahan dalam skala besar turut mengisi jendela dunia 2015.
Tahun ini, Nepal berdepan amukan alam cukup hebat apabila negara itu dilanda gempa bumi berkekuatan 7.8 magnitud pada 25 April lalu.
Hampir 10,000 penduduk terkorban manakala puluhan ribu lain hilang tempat tinggal ekoran bencana alam tersebut.
Berikut adalah antara peristiwa yang menggemparkan dunia sepanjang tahun ini.
Perancis diserang
Beberapa kartunis terkenal adalah antara 12 orang yang terbunuh apabila lelaki bersenjata menyerbu pejabat akhbar satira Perancis, Charlie Hebdo di Paris pada 7 Januari lalu.
Ketua Pengarang, Stephane Charbonnier yang dikenali sebagai Charb dan kartunis yang dikenali sebagai Cabu, Tignous dan Wolinski adalah antara mereka yang terbunuh.
Pada 13 November lalu, Perancis sekali lagi digemparkan dengan serangan keganasan di enam lokasi sekitar Paris yang meragut 153 nyawa.
Presiden Perancis, Francois Hollande mengisytiharkan darurat susulan serangan berkenaan yang disifatkan sebagai ‘serangan keganasan tidak dijangka’, memaksa penutupan sempadan-sempadannya selain pengerahan kira-kira 1,500 anggota tentera tambahan ke Paris.
Enam hari selepas kejadin itu, polis Perancis mengumumkan dalang serangan berdarah di Paris, Abdelhamid Abaaoud disahkan terbunuh dalam serbuan polis di sebuah apartmen di St. Denis, pinggir Paris.
Nahas pesawat Germanwings
Pesawat Airbus penerbangan tambang murah Lufthansa, Germanwings terhempas di kawasan pergunungan Alps di selatan Perancis, pada 24 Mac lalu ketika dalam perjalanan dari Barcelona, Sepanyol ke Duesseldorf, Jerman.
Sumber berkata, pesawat itu mengeluarkan isyarat kecemasan pada pukul 9.47 pagi waktu tempatan (5.47 petang waktu Malaysia).
Difahamkan, kesemua 150 penumpang dan kru pesawat malang itu terbunuh.
Menurut pendakwa raya, pembantu juruterbang Germanwings, Andreas Kubitz memang berniat menjunamkan pesawat tersebut di pergunungan Alps.
Serangan berdarah di universiti Kenya
Empat lelaki bertopeng daripada kumpulan pelampau al-Shebab dari Somalia membunuh sekurang-kurangnya 147 pelajar selepas menyerbu sebuah universiti di Kenya pada 2 April lalu.
Serangan itu adalah yang terburuk di Kenya selepas pengeboman terhadap kedutaan Amerika Syarikat di Nairobi pada 1998 yang menyebabkan 213 orang terbunuh.
Lelaki berkenaan yang lengkap bersenjata dan memakai jaket yang disalut bahan letupan, meletupkan diri selepas serangan selama 16 jam di pusat pengajian tinggi itu berakhir.
Penyerang yang melontarkan berpuluh bom tangan dan menembak daripada senjata automatik, kumpulan lelaki berkenaan menyerbu universiti itu pada waktu subuh dan mula menahan tebusan bukan beragama Islam.
Kesemua penyerang terbunuh selepas meletupkan diri apabila tentera kerajaan mula menyerbu universiti itu untuk membebaskan tebusan.
Hungary tutup sempadan
Kerajaan Hungary menutup sempadannya dengan negara jirannya Croatia pada 17 Oktober lalu  bagi mengekang kemasukan pelarian.
Menurut laporan AFP, askar dan polis Hungary memasang kawat berduri di laluan utama sempadan ke negara ini selepas menerima sekurang-kurangnya 1,500 pelarian yang tiba menaiki kereta api.
Tindakan Budapest itu memaksa Croatia mengambil keputusan untuk mengalihkan laluan pelarian ke Slovenia, langkah yang menyebabkan pelarian tidak mempunyai pilihan sama ada kekal di Croatia atau bergerak ke Slovenia.
Namun kerajaan Slovenia bertindak menggantung perkhidmatan kereta api dengan Croatia, sekali gus merumitkan lagi krisis tersebut.
Tiga penganut Islam AS dibunuh
Tiga sekeluarga Islam, ditembak mati oleh seorang lelaki berfahaman aties di rumah mereka di Carolina Utara, Amerika Syarikat dalam satu kejadian pada 10 Februari lalu.
Portal berita Independent melaporkan, mangsa yang merupakan penganut Islam Amerika dikenali Deah Shaddy Barakat, 23, isterinya, Yusor Mohammad Abu Salha, 21, dan adik perempuan Yusor, Razan, 19.
Deah yang baru sebulan berkahwin, merupakan pelajar jurusan perubatan pergigian di Universiti Carolina Utara dan sukarelawan yang membantu memberi rawatan pergigian percuma kepada kanak-kanak di Palestin.
Beberapa sumber memberitahu WRAL News, ketiga-tiga mangsa ditembak di kepala.
Suspek, lelaki tempatan dikenali sebagai Craig Hicks, 46, telah ditahan kerana disyaki membunuh ketiga-tiga mangsa.
Indonesia laksana hukuman mati
Pada 29 April lalu, pihak berkuasa Indonesia telah melaksanakan hukuman mati terhadap tujuh pengedar dadah, termasuk dua rakyat Australia oleh skuad penembak khas meskipun mencetuskan kemarahan dan tentangan antarabangsa.
Tujuh yang dihukum mati itu termasuk seorang pesalah lelaki tempatan yang menjalani hukuman selepas tengah malam di sebuah penjara yang berciri keselamatan tinggi.
Bagaimanapun, hukuman terhadap seorang lagi pesalah warga Filipina, Mary Jane Veloso, ditangguhkan selepas seseorang disyaki merekrutnya menjadi keldai dadah dengan membawa masuk dadah ke Indonesia.
Kematian tragis Aylan Kurdi
Berita penemuan mayat seorang kanak-kanak yang juga salah seorang pelarian dari Syria, Aylan Kurdi ternyata menggemparkan dunia.
Aylan, 3, adik kepada Galip Kurdi, 5 adalah antara dua beradik yang mati lemas selepas bot mereka karam dan ditemui hanyut di pantai Bodrum, Turki dalam kejadian 2 September lalu.
Media Turki melaporkan Aylan dan Galip berasal dari Kobane, sebuah bandar yang terletak berhampiran sempadan Turki.
Kemalangan di Makkah
Lebih 100 jemaah haji termasuk dari Malaysia terkorban dalam tragedi kren tumbang di Masjidilharam, Makkah dalam kejadian 9 September lalu.
Difahamkan, tragedi itu berlaku kira-kira pukul 5 petang (waktu tempatan).
Susulan itu, Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdul Aziz Al-Saud, mengarahkan pemberian pampasan kepada semua mangsa yang meninggal dunia sebanyak satu juta riyal Saudi (RM1.1 juta). Sementara, mereka yang mengalami kecederaan ringan pula itu akan menerima wang pampasan sebanyak 500,000 riyal Saudi (RM573,610).
Bagaimanapun, pada 24 September Saudi sekali lagi degemparkan dengan tragedi rempuhan di Mina.
Difahamkan, kematian akibat rempuhan itu meningkat kepada sekurang-kurangnya 1,633 orang, menurut kiraan diberikan oleh pegawai asing.
Jumlah kematian tersebut menjadikan tragedi pada 24 September lalu itu sebagai kejadian paling berdarah dalam sejarah musim haji.
Arab Saudi sebelum ini menyatakan, sebanyak 769 jemaah terbunuh dalam tragedi berkenaan
.

11,950 batu karang



MASALAH
 pedih ulu hati dan sakit perut yang dialami seorang wanita di India selama dua bulan akhirnya terjawab selepas doktor berjaya mengeluarkan 11,950 batu karang, sekali gus mencipta rekod dunia baharu.
Minati Mondal, 51, dimasukkan ke Hospital Debdoot Sevayan di Kolkata, Bengal Barat selepas imbasan ultrabunyi menunjukkan wanita tersebut menderita penyakit batu karang.
Dr Makhan Lala Saha berkata, beliau terkejut selepas mengeluarkan hampir 12,000 batu karang ketika prosedur laparoskopi yang berlangsung selama sejam.
"Saya tidak menyangka hempedu mampu menampung jumlah batu sebanyak itu. Pembantu saya mengambil masa kira-kira empat jam untuk mengira jumlah batu berukuran antara 2 milimeter (mm) dan 5 mm tersebut," jelasnya.
Menurutnya lagi, beliau juga telah menghantar surat kepada Royal College of Pathologists di London untuk menyimpan spesimen tersebut di muzium. - Daily Mai
l

Pokok tukar jantina


Spesies Fortingall Yew

SEBATANG 
pokok yang dipercayai tertua di Eropah telah bertukar jantina.
Spesies Fortingall Yew berusia 5,000 tahun yang tumbuh di Perthshire, Scotland dikatakan mula mengeluarkan beri yang biasanya dihasilkan oleh pokok betina.
Saintis di Taman Botani Diraja di Edinburg berkata, mereka juga terkejut apabila melihat fenomena jarang berlaku tersebut.
Dr Max Coleman memberitahu, pokok jantan mempunyai struktur kecil bulat yang melepaskan debunga apabila ia mencapai tempoh matang manakala pokok betina pula akan menghasilkan beri pada musim luruh hingga sejuk.
"Pertukaran jantina itu mungkin akibat faktor persekitaran," katanya.
Menurutnya lagi, legenda masyarakat tempatan mendakwa tokoh Empayar Rom, Pontius Pilate yang didakwa kononnya dilahirkan dalam bayang-bayang pokok tersebut. - BB
C

Tuesday, December 8, 2015

Kubu Terakhir Adolph Hitler Didedahkan


Diterbitkan: Isnin, 7 Disember 2015 11:46 AM

SEORANG jurugambar mendakwa berjaya menyelinap masuk ke sebuah kubu terhebat pada zaman perang dunia yang terletak di Perancis untuk merakam gambar.
Marc Askat menembusi kubu milik tentera Nazi yang menjadi lokasi Adolph Hitler merancang segala strategi peperangan.
Kubu iu merupakan sebuah bangunan rahsia di Perancis dan tidak boleh diakses oleh orang awam.
Alasannya, kubu tersebut menjadi lokasi latihan tentera negara berkenaan selain menghalang daripada ia menjadi tempat lawatan orang ramai dan mengingati tentera nazi.
Berikut merupakan gambar yang dirakam oleh Askat.

Tags / Kata Kunci:

Monday, December 7, 2015

Harta karun RM8.4b ditemui

Cartagena: Pihak berkuasa semalam mengumumkan ia menemui rangka kapal Sepanyol yang sarat dengan emas, perak dan batu berharga, 300 tahun selepas ia dikaramkan Britain di Laut Caribbean.
“Ia penemuan harta karun paling bernilai pernah ditemui dalam sejarah kemanusiaan,” kata Presiden Juan Manuel Santos, semalam.
Dia berkata demikian di bandar pelabuhan Cartagena, berhampiran tempat pakar menemui harta itu.
Pemburu harta karun berusaha mencari kapal itu sejak puluhan tahun lalu yang disifatkan oleh beberapa pihak sebagai ibu kepada semua kapal yang karam.
Jumlah harta yang dipercayai berada dalam rangka kapal itu dianggarkan bernilai sekitar AS$2 bilion (RM8.4 bilion).
Nilainya sepatutnya lebih tinggi tetapi menurun kerana kejatuhan mendadak harga perak, menurut Sea Search Armada (SSA) yang berpejabat di Amerika Syarikat.
SSA yang mendakwa menemui tempat rangka kapal itu terdampar pada awal 1980-an, terbabit dalam pertelingkahan sengit dengan kerajaan Colombia mengenai hak ketuanan terhadap harta itu.
Kapal itu, San Jose, karam pada Jun 1708 berhampiran Islas del Rosario, di pesisir pantai Colombia ketika bertempur dengan kapal Britain yang cuba merampas kargonya, sebahagian daripada Perang Rebut Takhta Sepanyol.
San Jose kapal utama mengetuai sekumpulan kapal membawa emas, perak dan barangan berharga lain dari tanah jajahan Sepanyol di benua Amerika untuk Raja Philip V.
Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 Disember 2015 @ 5:09 AM


GAMBAR yang dirakam di dasar laut menunjukkan antara artifak ditemui dalam kapal San Jose.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/98379#sthash.hPeM9DIQ.dpuf

Guna kayu api ganti petrol, diesel


Antara pemandu di Ukraine yang mengubahsuai kenderaan mereka untuk menggunakan kayu api sebagai sumber kuasa enjin. AGENSI
KIEV 6 Dis. - Harga minyak yang tidak menentu di serata dunia mendorong sekumpulan pemandu di Ukraine mencari alternatif dengan menggunakan kayu sebagai sumber kuasa menggerakkan ken­deraan mereka, sekali gus tidak bergantung lagi kepada petrol atau diesel sebagai sumber bahan api.
Menurut laporan Oddity Central, jumlah pemandu di Ukraine yang mengubah kenderaan mereka semakin meningkat walaupun teknologi itu bukan sesuatu yang baharu kerana pernah digunakan secara meluas semasa Perang Dunia Pertama.
Sebagai contoh, Eugene Chernigov, 36, sanggup menukarkan kereta model Opel miliknya menjadi kenderaan yang menggunakan kuasa pembakaran kayu api sejak tahun lalu.
Bekerja sebagai guru matematik, Chernigov mempelajari kaedah terbabit menerusi Internet dan menghabiskan masa selama dua bulan untuk membaca topik bagi memahami teknologi yang pernah digunakan pada tahun 1939 itu.
Menurutnya, tugas untuk membina sistem minyak alternatif me­rupakan perkara mudah sekiranya konsep teknologi itu difahami.
“Saya menyambungkan alat pembakar kayu api dengan bahagian enjin dan gas yang terhasil daripada pembakaran kayu api akan terkumpul dalam bekas besi yang diletakkan di belakang kereta.
“Gas yang terkumpul itu menjadi bahan api alternatif dan mampu bergerak sejauh 100 kilometer bagi pembakaran kayu seberat 18 kilogram,” katanya.
Selain kayu api, Chernigov turut menggunakan botol plastik untuk dibakar dan menyifatkan teknologi terbabit sebagai menjimatkan serta mesra alam kerana hanya mengeluarkan wap air dan karbon dioksida berbanding asap tercemar yang dikeluarkan oleh kenderaan yang menggunakan petrol atau diesel.
Idea Chernigov dan beberapa pemandu lain mendapat perhatian media, sekali gus mendorong lebih ramai orang mengubah kenderaan mereka menggunakan kaedah yang sama bagi menjimatkan minyak.
Namun Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri Ukraine menyatakan penggunaan sistem tenaga yang tidak berdaftar merupakan satu kesalahan dan kaedah terbabit masih lagi dikaji supaya keselamatan orang ramai terjamin.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/guna-kayu-api-ganti-petrol-diesel-1.166287#sthash.QkcoH2pP.dpuf

Biawak gergasi ‘ceroboh’ rumah


Seekor biawak gergasi mengejutkan seorang warga emas apabila bertindak memanjat dinding rumahnya, satu perbuatan yang jarang dilakukan oleh reptilia jenis itu. AGENSI
ALBURY, Wales 6 Dis. – Seorang warga emas terkejut dan tergamam seketika selepas melihat kelibat seekor biawak gergasi berlegar-legar di kawasan persekitaran rumahnya di sini, baru-baru ini.
Laman web mirror.co.uk me­laporkan, Eric Holland, 80, berkata, apa yang lebih mengejutkan adalah biawak berkenaan bertindak memanjat dinding rumahnya, satu perbuatan yang jarang dilakukan oleh reptilia jenis itu.
Kata Holland, dia mula menyedari kehadiran biawak yang mempunyai kuku sepanjang kira-kira 40 milimeter itu selepas terdengar bunyi dentuman kuat di luar rumahnya.
“Kejadian tersebut begitu mengejut dan mengerikan saya. Saya belum pernah melihat seekor biawak memanjat dinding sebelum ini.
“Saya dapat lihat dengan jelas bagaimana biawak tersebut mencengkam batu-bata dinding dengan ekornya bergerak mengetuk batang paip yang kebetulan terletak berhampiran dinding yang dipanjat,” jelasnya.
Tambahnya, dia sempat menangkap gambar biawak berkenaan sebelum binatang liar tersebut melarikan diri.
“Sejak hari itu saya tidak pernah melihatnya lagi. Sebagai langkah berjaga-jaga, saya akan memakai kasut but dan seluar panjang setiap kali keluar dari rumah, bimbang diserang oleh biawak tersebut,” ujarnya lagi.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/biawak-gergasi-8216-ceroboh-8217-rumah-1.166306#sthash.aJdSeSrl.dpuf

Sunday, December 6, 2015

Manusia paling banyak gigi

New Delhi: Purata manusia memiliki 32 gigi, tetapi bagi Vijay Kumar, dia mempunyai lebih banyak daripada itu.
Kumar dari Bangalore, India, diiktiraf oleh Rekod Dunia Guinness sebagai orang yang mempunyai paling banyak gigi, 37 semuanya.
Lelaki berusia 27 tahun itu mula menyedari dia memiliki sesuatu yang luar biasa di dalam mulutnya ketika berumur belasan tahun.
Bagaimanapun, dia hanya cuba untuk mendapatkan pengiktirafan Guinness beberapa tahun lalu.
Kini dia bangga dengan pengiktirafan itu yang dianggapnya sesuai dengan cabaran dihadapinya setiap hari.
“Ke mana saya pergi, saya menggosok gigi setiap kali selepas makan. Jika tidak, saya tidak rasa selesa kerana ada saja sisa makanan terselit pada gigi, lebih-lebih lagi di bahagian atas.
Mendapat pengiktirafan Guinness adalah langkah pertama. Bahagian paling sukar ialah merakam gambarnya, menurut jurugambar Guinness Ranald MacKechnie. - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 Disember 2015 @ 5:07 AM


KUMAR menunjukkan giginya.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/98209#sthash.u4qSZwmA.dpuf

Kucing mati hampir 24 jam hidup kembali


Sedutan rakaman keluarga Bingham menyelamatkan seekor anak kucing yang disangka mati beku.

UTAH - AMERIKA SYARIKAT. Seekor anak kucing yang disangka mati beku akibat tertanam oleh salji hidup kembali selepas diberi rawatan kecemasan lebih sejam.
Melalui rakaman yang dimuatnaik oleh Branden Bingham di Youtube, bangkai anak kucing berkenaan  ditemui ketika keluarga Bingham keluar dari rumah untuk bermain salji yang turun semalaman.
Salah seorang ahli keluarga Bingham kemudian membawa bangkai anak kucing tersebut masuk ke rumah dan meletakkannya di tepi api sambil memberikan CPR dan mengurut jantungnya lebih sejam.
Mereka bagaimanapun berhenti merakam kejadian kerana menyangka anak kucing tersebut sudah benar-benar mati dan meninggalkannya di tepi api untuk bermain salji.
Menakjubkan apabila sekembalinya keluarga Bingham ke dalam rumah, anak kucing tersebut ditemui bernafas walaupun lemah.
Keluarga Bingham kemudian membawa anak kucing tersebut ke klinik haiwan untuk rawatan susulan.
Perkongsian keluarga Bingham telah menarik perhatian berjuta-juta pelayar laman Youtube yang kebanyakannya memuji tindakan keluarga Bingham dalam menyelamatkan haiwan malang berkenaan.
"Saya menangis menonton video awak. Terima kasih kerana tidak putus asa menyelamatkan anak kucing itu," komen Melina dari London, Britain di Youtube.
"Anak kucing yang comel! Matanya memang cantik, awak patut terus membelanya," kata Murasaki dari Amerika Syarikat
.

Jambatan paling ngeri dunia di China


Pemandangan memukau jambatan kaca yang telah siap di Taman Negara Tianmenshan, di Zhangjiajie di wilayah Hunan, tengah China. AGENSI
BEIJING 4 Dis. - Pembinaan jambatan gantung kaca paling panjang dan tertinggi di ‘dunia’ pada ketinggian 298 meter di atas sebuah ngarai di Zhangjiajie di wilayah Hunan, tengah negara itu berjaya disiapkan semalam.
Kerja-kerja menyambung dek keluli terakhir yang menghubungkan jambatan berkenaan yang mempunyai laluan sepanjang 374 meter, siap dilakukan semalam, lapor People’s Daily Online yang dipetik Mail Online.
Jambatan itu terletak di Taman Negara Tianmenshan yang pembinaanya mengambil masa selama setahun dengan kos 26 juta yuan (RM16.4 juta) menewaskan jambatan pejalan kaki yang terdapat di Grand Canyon, Arizona yang hanya terletak pada ketinggian 219 meter.
Biarpun telah siap, jambatan pejalan kaki itu yang direka seorang jurubina, Haim Dotan hanya akan dibuka pada Mei tahun depan.
Rancangan pembinaan jambatan kaca di Zhangjiajie pertama kali diumumkan pada 2012 dengan pembinaannya hanya bermula November tahun lalu.
Syarikat di sebalik pembinaan mengagumkan itu, ‘China Railway Major Bridge Reconnaissance and Design Institute’ pada asalnya mahu menyiapkan jambatan itu pada Julai lalu sebelum membukanya pada Oktober tahun ini.
Bagaimanapun, kesukaran pembinaan struktur dan lokasi jambatan itu, tarikh pembukaannya telah ditunda ke tahun hadapan.
Jambatan pejalan kaki itu menghubungkan tebing curam di ‘Zhangjiajie Grand Canyon’ dan mampu menampung seramai 800 orang pengunjung pada satu masa.
Mereka yang melalui jambatan itu akan menikmati pemandangan indah taman negara itu yang merupakan inspirasi bagi pembuatan senario planet Pandora dalam filem Avatar.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/jambatan-paling-ngeri-dunia-di-china-1.165725#sthash.sQnL8IUy.dpuf

Thursday, December 3, 2015

Hidup dirantai untuk hilang ketagih arak

Beijing: Seorang lelaki di sini sanggup merantai lehernya di loteng dalam usaha untuk menghentikan ketagihannya terhadap arak.
Zhang Rui, 30, dari Bengbu di wilayah Anhui, pernah menjadi pemandu profesional.
Bagaimanapun, sejak enam bulan lalu, dia mula ketagih arak.
Menyedari masa depannya akan musnah jika tidak berusaha untuk berubah, Zhang bersetuju mengurung dirinya, termasuk merantai lehernya di loteng rumah ibu bapanya sehingga ketagihannya itu pulih.
Keluarganya percaya dia akan pulih dengan menjalani rawatan seumpama itu di loteng seluas 10 meter. Dengan menggunakan rantai sepanjang empat meter, Zhang hanya boleh bergerak di sekitar tempat tidurnya.
Di loteng berkenaan, Zhang jarang tidur, sebaliknya banyak menghabiskan masa dengan komputer ribanya. Dia hanya makan sekali sehari.
Walaupun merasa terseksa, Zhang akur dengan pilihan keluarganya.
Tekanan yang dihadapinya kadang kala menyebabkan dia cuba menanggalkan mangga yang mengikat rantai pada lehernya.
Ibu Zhang berkata, dia tidak pasti berapa lama anaknya akan kekal dirantai seperti itu.
“Tetapi, ini satu-satunya cara yang membolehkan saya mendapatkan semula anak saya,” kata wanita itu. - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Disember 2015 @ 7:16 AM


ZHANG rela dirantai untuk ubati ketagihannya.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/97522#sthash.9ZRskOZl.dpuf

Mark Zuckerberg derma RM190 bilion


Bagi projek kebajikan sempena kelahiran anak

Mark Zuckerberg (kiri) dan isteri, Priscilla, bersama anak perempuan mereka, Max. AFP
SAN FRANCISCO 2 Dis. - Pengasas Facebook, Mark Zuckerberg akan menyumbang 99 peratus saham Face­book Inc. miliknya yang ketika ini bernilai AS$45 bilion (RM190 bilion) untuk melaksanakan satu projek kebajikan yang memfokus kepada potensi dan kesamarataan.
Rancangan tersebut ditulis dalam sepucuk surat kepada anak perempuannya, Max, yang baru dilahirkan dan disiarkan dalam laman rasmi pengasas Facebook itu.
Pendedahan tersebut menarik perhatian lebih 570,000 pengguna termasuk penyanyi Shakira, bekas Gabenor California Arnold Schwarzenegger dan isteri pengasas Microsoft, Melinda Gates yang menekan butang like.
Zuckerberg, 31, yang akan menyelia inisiatif baharu itu bersama isterinya, Priscilla Chan kekal menguruskan laman web sosial terbesar tersebut.
Beliau bagaimanapun akan mengekalkan saham majoriti di Facebook yang bernilai AS$303 bilion (RM1.283 trilion) ketika pasaran saham ditutup semalam.
Usahawan itu merancang untuk kekal sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Facebook.
Projek terbaharu tersebut yang dikenali sebagai Inisiatif Chan Zuckerberg bukan projek kebajikan pertamanya.
Ketika berumur 26 tahun, beliau menandatangani Ikrar Memberi yang menjemput individu dan keluarga kaya di seluruh dunia untuk berjanji memberi separuh daripada kekayaan mereka untuk kebajikan. – REUTERS
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/mark-zuckerberg-derma-rm190-bilion-1.164825#sthash.VlO8Q2Il.dpuf