Kerja-kerja menyambung dek keluli terakhir yang menghubungkan jambatan berkenaan yang mempunyai laluan sepanjang 374 meter, siap dilakukan semalam, lapor People’s Daily Online yang dipetik Mail Online.
Jambatan itu terletak di Taman Negara Tianmenshan yang pembinaanya mengambil masa selama setahun dengan kos 26 juta yuan (RM16.4 juta) menewaskan jambatan pejalan kaki yang terdapat di Grand Canyon, Arizona yang hanya terletak pada ketinggian 219 meter.
Biarpun telah siap, jambatan pejalan kaki itu yang direka seorang jurubina, Haim Dotan hanya akan dibuka pada Mei tahun depan.
Rancangan pembinaan jambatan kaca di Zhangjiajie pertama kali diumumkan pada 2012 dengan pembinaannya hanya bermula November tahun lalu.
Syarikat di sebalik pembinaan mengagumkan itu, ‘China Railway Major Bridge Reconnaissance and Design Institute’ pada asalnya mahu menyiapkan jambatan itu pada Julai lalu sebelum membukanya pada Oktober tahun ini.
Bagaimanapun, kesukaran pembinaan struktur dan lokasi jambatan itu, tarikh pembukaannya telah ditunda ke tahun hadapan.
Jambatan pejalan kaki itu menghubungkan tebing curam di ‘Zhangjiajie Grand Canyon’ dan mampu menampung seramai 800 orang pengunjung pada satu masa.
Mereka yang melalui jambatan itu akan menikmati pemandangan indah taman negara itu yang merupakan inspirasi bagi pembuatan senario planet Pandora dalam filem Avatar.