Pages

Wednesday, December 2, 2015

Batu 'terapung' di India



BATU 
gergasi dikenali sebagai Krishna's Butter Ball merupakan satu fenomena unik yang boleh ditemui di bandar Mahabalipuram di selatan India.
Menurut Amusing Planet, batu yang mempunyai ukuran ketinggian melebihi 10 meter dengan diameter melebihi lima meter ini terletak di lereng sebuah bukit dan menjadi tarikan bagi penduduk dan pelancong asing.
Jika dilihat pada mata kasar, batu gergasi ini sudah pasti bergolek ke bawah namun ia tetap kekal pada kedudukan asal selama ratusan tahun.
Masyarakat tempatan percaya batu tersebut dihasilkan daripada mentega, namun ada juga yang menganggap batu berkenaan dihasilkan oleh makhluk asing.
Apa pun, batu yang turut dikenali sebagai Vaan Irai Kal oleh penduduk tempatan ini benar-benar satu fenomena alam yang menakjubkan.
-

34 tahun guna beg plastik sama

Wrexham (Wales Utara): Seorang pesara masih menyimpan dan menggunakan beg plastik pasar raya Tesco sejak mula memperolehnya pada 1981.
Martin McCaskie, 72, menganggarkan, dia menggunakan beg plastik itu lebih 2,000 kali sepanjang tempoh itu.
“Saya sentiasa melipatnya dengan baik dan menyimpannya di dalam saku kerana yakin saya pasti menggunakannya.
“Beg plastik itu terbukti amat berguna lebih-lebih lagi selepas pasar raya berkenaan mengenakan bayaran untuk setiap beg plastik empat tahun lalu,” kata bekas juruteknik pemprosesan itu.
Menurutnya, dia berpegang kepada konsep ‘tidak membazir.’
Bagaimanapun, itu bukannya satu-satu beg plastik lama yang masih di simpanannya.
“Banyak beg plastik yang saya simpan dan ini antara yang paling lama,” McCaskie berkata, mengenai beg plastik Tesco yang dikeluarkan sempena ulang tahun ke-50 penubuhan pasaraya berkenaan.
Anaknya Helen berkata, beg plastik yang sudah berusia 34 tahun itu masih dalam keadaan baik, kecuali berlubang kecil.
Menurut McCaskie, beg plastik lama lebih tahan kerana lebih tebal berbanding yang ada sekarang. - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Disember 2015 @ 8:40 AM


MCCASKIE menunjukkan beg plastik lama (kanan) dengan yang baru (kiri).
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/97048#sthash.xrcnhCqP.dpuf

Bot hantu Korea Utara terdampar di pantai Jepun

Tokyo: Beberapa bot nelayan dengan mayat reput terdampar di pantai Jepun sejak beberapa minggu lalu.
Bot itu dipercayai milik Korea Utara yang hanyut jauh dari pelabuhan di negara itu.
Setakat ini, tidak ada kenyataan dikeluarkan Korea Utara mengenai kehilangan bot negara itu.
Bagaimanapun, pemimpinnya Kim Jong Un sebelum ini pernah mengarahkan tentera negara itu meningkatkan aktiviti perikanan sebagai cara untuk menambah pendapatan menerusi tukaran wang asing dan membekalkan sumber makanan kepada rakyat negara itu.
Pengawal pantai dan polis Jepun melaporkan penemuan 12 bot, termasuk sebahagiannya hampir musnah, di pantai negara itu, sejak Oktober lalu, dengan 22 mayat di dalamnya.
Pihak berkuasa Jepun enggan mengulas mengenai identiti bot mahupun mayat berkenaan.
Bagaimanapun, satu pelekat tulisan tangan yang ditemui pada sebuah bot itu menunjukkan ia milik unit 325 tentera Korea Utara.
Kain reput yang ditemui juga menunjukkan ia cebisan bendera negara itu.
Pakar berkata, bot nelayan dibawah kawalan tentera Korea Utara itu mungkin hanyut kerana tidak dilengkapi peralatan secukupnya untuk belayar di laut bergelora selepas dikerah Kim untuk menangkap lebih banyak ikan. - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Disember 2015 @ 6:44 AM


GAMBAR menunjukkan sebuah bot dipercayai milik Korea Utara yang terdampar di Wajima, tengah Jepun.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/97266#sthash.FZO8eqPn.dpuf

Taj Mahal sah bukan kuil

New Delhi: Kerajaan India semalam menolak dakwaan sekumpulan peguam kononnya Taj Mahal, antara keajaiban dunia, ialah kuil Hindu.
Menteri Kebudayaan Mahesh Sharma memberitahu Parlimen negara itu, kerajaan tidak mempunyai bukti untuk menyokong dakwaan peguam berkenaan.
Kumpulan peguam itu memfailkan petisyen di sebuah mahkamah Mac lalu dengan mendakwa monumen itu perlu diserahkan kepada penganut Hindu untuk membolehkan mereka melakukan upacara keagamaan di situ.
Taj Mahal dibina pada abad ke-17 oleh maharaja Mughal Shah Jahan selepas isterinya meninggal dunia.
Enam peguam pelampau Hindu di Agra, tempat terletaknya monumen berkenaan memberitahu mahkamah, mereka mempunyai bukti menunjukkan Taj Mahal asalnya kuil yang dibina untuk tuhan Shiva.
Mereka mendesak mahkamah mengisytiharkan monumen itu kuil Hindu.
Pembinaan Taj Mahal disiapkan oleh Shah Jahan pada 1653 sebagai makam untuk isteri ketiga yang juga yang paling disayanginya, Mumtaz Mahal yang meninggal dunia selepas melahirkan anak mereka yang ke-14.
Seorang pemimpin pelampau Hindu dari Parti Bharatiya Janata (BJP) juga mencetuskan kontroversi apabila mendakwa Shah Jahan membeli monumen berkenaan yang sebelum itu dikenali sebagai kuil Tejo Mahalaya. - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Disember 2015 @ 7:09 AM


TAJ Mahal
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/97281#sthash.8jGBtRj2.dpuf

Tuesday, December 1, 2015

Tuai padi guna mesin rumput


Sedutan rakaman yang menunjukkan petani muda di China menggunakan mesin rumput yang diubahsuai untuk menuai padi dengan lebih berkesan, pantas dan menjimatkan. AGENSI
BEIJING 30 Nov. – Seorang petani di China menampilkan idea yang unik untuk menuai padi dengan cara yang lebih pantas dan berkesan berbanding kaedah tradisional.
Berdasarkan rakaman video yang tersebar dalam laman perkongsian video, LiveLeak, seorang petani yang tidak dinamakan menggunakan mesin rumput yang diubahsuai untuk menuai padi di sawah yang luas.
Menurut portal Mirror, rakaman tersebut juga menunjukkan petani muda berkenaan menyiapkan tugas menuai padi dalam tempoh yang singkat dengan menggunakan peralatan tersebut.
Bagaimanapun lokasi kejadian tidak dapati dipastikan, tetapi dipercayai berlaku di China.
Kebiasaannya pesawah akan menuai padi menggunakan peralatan tradisional seperti sabit untuk memotong padi dan cara terbabit memakan masa yang lebih lama dan memenatkan.
Walaupun pada zaman moden ini terdapat mesin menuai padi yang besar, ramai pesawah tidak mampu membayar sewa untuk peralatan terbabit dan ciptaan petani muda itu mungkin boleh menjadi pilihan kepada mereka.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/tuai-padi-guna-mesin-rumput-1.164188#sthash.qba2Zmil.dpuf

Monday, November 30, 2015

Kambing jadi sahabat harimau

Moscow: Seekor kambing sepatutnya menjadi hidangan tengah hari seekor harimau apabila dimasukkan ke dalam tempat kurungan haiwan buas berkenaan di Taman Safari Far Eastern di Shkotovsky baru-baru ini.
Bagaimanapun, perkara sebaliknya berlaku apabila harimau itu tidak membaham kambing berkenaan, malah kedua-dua haiwan itu menjadi kawan baik.
Pekerja di safari berkenaan berkata, harimau Siberia yang diberi nama Amur itu diberi makan kambing hidup sekali setiap dua minggu.
Katanya, Amur biasanya tidak menunggu lama apabila terus membaham kambing yang dimasukkan ke dalam tempat kurungannya itu.
“Kambing ini dimasukkan ke tempat kurungan Amur sejak beberapa hari lalu untuk dijadikan makanan harimau itu.
“Namun, kambing itu tidak menunjukkan rasa takut ketika berada dalam kandang harimau, malah mula berkawan dengan haiwan berkenaan,” katanya.
Kerana keberanian kambing itu petugas menamakannya Timur.
Persahabatan kambing dengan harimau itu semakin erat dan kedua-dua haiwan itu sering dilihat bersama-sama.
“Lebih mengejutkan, kambing itu berani tidur di tempat tidur Amur menyebabkan harimau berkenaan terpaksa tidur di luar.
“Mungkin Timur terlalu berani sehingga Amur menganggapnya bukan sebagai mangsa atau mungkin juga Amur kesunyian kerana tinggal seorang diri sejak beberapa tahun lalu,” jelasnya. - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 November 2015 @ 5:07 AM


DUA haiwan ini menjadi sahabat baik dan sering bersama di Taman Safari Far Eastern di Russia.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/96687#sthash.4i5YghUB.dpuf

Jaga parkir anak

Nanjing, China: Pada setiap hari satu pasangan warga emas dilihat bergilir-gilir duduk menjaga sebuah tempat letak kereta di tepi sebatang jalan di bandar ini.
Pasangan suami isteri berkenaan setia duduk di atas bangku di ruangan tempat letak kereta itu dari pagi hingga ke petang.
Mereka bergilir-gilir duduk di situ tanpa menghiraukan cuaca panas, hujan ataupun bersalji.
Pada mulanya pengguna dan penduduk di Jalan Nanjing Yancang menyangka pasangan berkenaan diupah menjaga tempat letak kereta itu.
Bagaimanapun, selepas diselidik pasangan itu sebenarnya menjaga tempat letak kereta untuk anak lelaki mereka sendiri.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 November 2015 @ 5:12 AM


WANITA tua ini setia menjaga tempat letak kereta untuk anak lelakinya.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/96724#sthash.BU0Zo1SC.dpuf

Kabut berbahaya litupi bandar raya Beijing



SEORANG lelaki memakai topeng muka ketika kabut tebal melitupi ibu kota China Beijing, kelmarin.- REUTERS


BEIJING – Kabut tebal, antara yang terburuk menyelubungi Beijing semalam dengan kadar pencemaran udara mencecah 15 kali ganda lebih tinggi daripada tahap selamat yang ditetapkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), menurut satu perangkaan Amerika Syarikat (AS).
Pihak berkuasa di ibu negara China itu memberi amaran ‘pencemaran teruk’ berlaku dan menasihatkan sekitar 20 juta warga Beijing supaya berada di dalam rumah.
Indeks kepekatan PM2.5 Beijing yang merujuk kepada jumlah partikel bersaiz kurang daripada 2.5 mikrometer didapati mencecah 356 mikrogram untuk setiap satu meter padu pada pukul 11 pagi kelmarin (waktu tempatan).
Tahap itu adalah yang ter–tinggi dalam kiraan skala tersebut dan dianggap ‘sangat berbahaya’, menurut penyata indeks kualiti udara Kedutaan AS di Beijing.
Kadar pendedahan maksimum harian kepada partikel PM2.5 yang dicadangkan WHO ialah 25 mikrogram bagi satu meter padu.
Partikel halus itu membawa risiko tinggi kepada kesihatan kerana mampu melekat di dalam paru-paru manusia.
Dalam pada itu, ramai pejalan kaki di Beijing memakai topeng muka atau menggunakan sehelai kain untuk menutup hidung dan mulut mereka semalam, tetapi ramai pekerja dan perniagaan berada di luar dan tidak mengendahkan nasihat pihak berkuasa.
“Memang keadaannya begini setiap kali tiba musim sejuk," kata seorang peniaga tepi jalan.- DPA


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=1130&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_04.htm#ixzz3svBVjbXX 
Hakcipta terpelihara 

Lembu atas atap rumah




LEMBU ini terpaksa diselamatkan oleh pasukan bomba selepas terperangkap di atas bumbung sebuah rumah di kampung Shibden, Yorkshire. - AGENSI


YORKSHIRE, Britain – Seekor lembu di sini terpaksa diselamatkan oleh anggota-anggota bomba selepas haiwan itu terperangkap di atas bumbung sebuah rumah setinggi enam meter baru-baru ini.
Lembu itu dipercayai terjatuh ke atas bumbung rumah berkenaan di kampung Shibden, Yorkshire Barat semasa meragut rumput di sebuah bukit berhampiran.
Pemilik rumah menghubungi pihak bomba selepas melihat lembu malang itu kira-kira pukul 9 pagi (waktu tempatan) pada Sabtu lepas.
“Kami terpaksa menghubungi seorang doktor haiwan untuk menyuntik lembu itu dengan ubat bius dan membawa binatang itu turun menggunakan abah-abah khas," kata seorang jurucakap Bomba dan Penyelamat Yorkshire.
Penduduk tempatan turut membantu operasi menyelamat itu yang mengambil masa hampir tiga jam. Lembu itu kemudian dibawa kembali ke padang ragut tersebut. - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=1130&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm#ixzz3svB7DlpU 
Hakcipta terpelihara 

Belanja RM90 juta untuk majlis perkahwinan anak


Yogesh membelanjakan RM90 juta untuk majlis perkahwinan anak lelakinya yang diadakan selama tiga hari berturut-turut di Florence, Itali bermula Rabu lalu. - AGENSI


FLORENCE, Itali – Seorang jutawan dari India membelanjakan £14 juta (RM90 juta) untuk mengadakan majlis perkahwinan anak lelakinya selama tiga hari berturut-turut di sini bermula Rabu lalu.
Kira-kira 500 tetamu diundang ke majlis perkahwinan Rohan Mehta dan pasangannya, Roshni dengan mereka disediakan penginapan mewah di beberapa buah hotel di sekitar bandar ini.
Pengantin lelaki merupakan anak lelaki tunggal pengasas empayar Petrochem di Dubai pada 1995, Yogesh Mehta.


ROHAN dan Roshni (tengah) menari sambil diperhatikan tetamu jemputan. - AGENSI


Pasangan pengantin baharu itu akan membina kehidupan baharu di Dubai.
Jutawan itu yang turut dikenali sebagai Yogi telah menulis tentang majlis meriah itu awal minggu lalu di akaun Twitter miliknya dan menggelarkannya ‘perkahwinan magis RORO’.


PARA tetamu dihidangkan dengan pelbagai juadah istimewa sepanjang tiga hari majlis tersebut berlangsung. - AGENSI


Bagaimanapun, media Itali melaporkan Majlis Perbandaran Florence telah menolak permohonan untuk menggunakan seekor gajah bagi membawa pengantin lelaki ke lokasi majlis tersebut.
Menurut akhbar Florence, La Nazione, permohonan itu ditolak atas faktor kesihatan dan keselamatan di samping kebimbangan berhubung kebajikan haiwan itu. - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=1130&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz3svAsJOsY 
Hakcipta terpelihara 

Nelayan tangkap sotong gergasi 10 meter panjang


Sotong berukuran 10 meter panjang dengan berat 330 kilogram ditangkap dengan menggunakan kaedah pukat tunda di luar pantai wilayah utara Asturias, beberapa kilometer dari Selat Villaviciosa, baru-baru ini. AGENSI
MADRID 29 Nov. – Seekor sotong gergasi yang biasa dilihat pada filem-filem sains fiksyen berjaya ditangkap sekumpulan nelayan di luar pantai Sepanyol, baru-baru ini.
Dipercayai seekor sotong betina, haiwan berukuran 10 meter panjang dengan berat 330 kilogram itu ditangkap dengan menggunakan kaedah pukat tunda pada kedalaman hampir 500 meter, lapor portal mirror.co.uk.
Sotong itu terperangkap pada jaring nelayan yang menaiki bot di luar pantai wilayah utara Asturias, beberapa kilometer dari Selat Villaviciosa.
“Haiwan sebesar ini boleh menakutkan sesiapapun termasuk mereka yang sudah biasa menangkap ikan setiap hari dan menghabiskan hayat di laut sepanjang masa,’’ kata seorang daripada krew bot tersebut yang ditanya tentang tangkapan itu.
Sotong gergasi itu kini dibekukan dan diserahkan kepada kumpulan pakar di pertubuhan Kajian dan Perlindungan Spesies Marin di Sepanyol Utara.
Presiden pertubuhan itu menyifatkan sotong berkenaan merupakan satu contoh luar biasa, satu daripada spesies yang pernah dilihat dalam tempoh beberapa tahun lalu.
Makhluk yang tidak mempunyai tulang belakang dan menakutkan itu boleh membesar mencapai saiz sehingga 13 meter panjang bagi sotong betina, manakala sotong jantan boleh mencecah panjang sehingga 10 meter.
Sementara itu, terdapat laporan akan kewujudan sotong berukuran 20 meter panjang yang tersebar dalam kalangan nelayan berpengalaman Sepanyol, namun berita itu tidak dapat disahkan secara saintifik.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/nelayan-tangkap-sotong-gergasi-10-meter-panjang-1.163756#sthash.juVPOIGo.dpuf

Sunday, November 29, 2015

11,950 batu karang

Kolkata: Seorang doktor terkejut apabila mengeluarkan 11,950 batu karang daripada seorang wanita yang dipercayai mencipta rekod dunia baru.
Minati Mondal, 51, mengalami sakit perut dan refluks asid selama dua bulan.
Dua minggu lalu, dia dimasukkan ke Hospital Debdoot Sevayan di Kolkata dan hasil pemeriksaan serta ultrabunyi menunjukkan dia menghidap batu karang yang teruk di dalam hempedunya.
Bagaimanapun, mereka tidak menyangka jumlahnya begitu banyak.
Pakar pembedahan gastro usus Dr Makhan Lala Saha berkata, dia memang mengagak jumlah batu karang yang banyak, tetapi terkejut besar selepas kiraannya menjangkaui 5,000.
Dia membuang hampir 12,000 batu dalam pembedahan selama sejam.
“Saya begitu terkejut kerana jumlah batu karang terlalu banyak. Saya tidak pernah menyangka hempedu mampu mengandungi jumlah batu sebanyak ini.
“Pembantu saya mengambil masa empat jam untuk mengira jumlah batu yang semuanya berukuran antara 2 hingga lima milimeter. Kami mengambil masa 50 minit untuk membuang semuanya,” katanya.
Menurutnya, dia sudah menulis kepada Royal College of Pathologists di London untuk menyimpan spesimen batu berkenaan di muziumnya.
Ia juga dianggap jumlah batu karang paling banyak dikeluarkan di dunia.
Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 November 2015 @ 1:35 AM


BATU karang dikeluarkan berjumlah 11,950.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/96446#sthash.EbjOvJnD.dpuf

Budak bengkok sanggup lumpuh

New Delhi: Seorang remaja berusia 17 tahun sanggup mengambil risiko mati atau lumpuh sepenuhnya semata-mata mahu menjalani pembedahan bagi memperbaiki tulang belakangnya yang bengkok teruk.
Preeti Kumari Rai, 17, didiagnos dengan skoliosis kongenital pada usia lapan tahun.
Lebih 10 doktor dari pelbagai hospital di New Delhi memberitahunya tiada apa yang boleh dilakukan, namun kini gadis itu menemui seorang pakar bedah yang akan mencuba membaiki keadaannya.
Pembedahan itu mempunyai risiko besar kerana Preeti mungkin maut akibatnya, atau berdepan lumpuh sepenuhnya. Namun dia berazam menjalaninya kerana mahu hidup normal dan berkhidmat dengan kerajaan satu hari nanti.
“Saya amat teruja dan tidak sabar menjalani pembedahan ini.
“Saya tidak takut langsung. Saya cuma mahu peluang untuk sembuh. Saya beritahu doktor, saya sanggup menanggung risiko. Tidak mengapa jika lumpuh.
“Saya tidak takut, tetapi sebelum ini tiada doktor yang cukup berani. Kini saya sudah menemuinya,” katanya.
Preeti, dari Faridabad, hidup normal sehingga lapan tahun apabila belakangnya mula bonjol manakala tulang belakang semakin membengkok.
“Ketika itu kami tidak tahu apa yang tidak kena. Semakin hari semakin sukar dan badan mula menyenget selain tidak dapat duduk tegak. Kemudian bahu saya mula membenjol,” katanya.
Ayahnya Dilip Rai, 45, dan ibu Meena Devi, 40, sebelum itu hilang empat anak lelaki dan penyakit Preeti itu merisaukan mereka.
Dilip yang juga tukang kimpal berkata,: “Kami membawanya berjumpa doktor, tetapi ramai yang memberi diagnosis silap serta memaklumkan kami tiada apa boleh dilakukan.”
Meena berkata, mereka melawat pelbagai doktor, tetapi semuanya memberi jawapan sama.
“Kami harapkan sekurang-kurangnya sedikit harapan, namun tidak seorang pun memberi kata-kata semangat. Kata mereka, walaupun kami mempunyai wang sekalipun tiada apa boleh dilakukan. Memang mengecewakan,” katanya.
Preeti yakin dia akan sembuh dan kembali hidup normal satu hari nanti.
“Saya masih ingat bagaimana rasanya berlari dan duduk tegak. Saya mahu menjadi seperti itu semula.
“Saya yakin ia akan terjadi,” katanya. - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 November 2015 @ 5:06 AM


PREETI bersama ibunya.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/96504#sthash.PRu8urva.dpuf

Mahkamah Eropah kekalkan haram pakai tudung


Mahkamah Hak Asasi Manusia Eropah mempertahankan keputusan Perancis mengharamkan penggunaan tudung di negara tersebut, selepas menolak rayuan seorang pekerja beragama Islam Christiane Ebrahimian yang diberhentikan kerja kerana enggan membuka tudung yang dipakainya. AGENSI
PARIS 27 Nov. – Mahkamah Hak Asasi Manusia Eropah hari ini mempertahankan keputusan Perancis mengharamkan pemakaian tudung di negara tersebut, selepas menolak rayuan seorang pekerja beragama Islam yang diberhentikan kerja kerana enggan membuka tudung yang dipakainya.
Mail Online melaporkan, pada tahun 2000 Christiane Ebrahimian yang bertugas sebagai pekerja sosial di jabatan psikiatri di sebuah hospital di Nanterre diberitahu bahawa kontraknya tidak disambung selepas seorang pesakit mengadu dia enggan membuka tudungnya ketika diminta berbuat demikian.
Dalam penghakimannya, Mah­kamah Hak Asasi Manusia Eropah memutuskan adalah jelas, kepentingan untuk Christiane melaksanakan hak tuntutan agamanya dan dia juga sedar bahawa perlu mengikut kod pemakaian yang telah ditetapkan.
Mahkamah dengan itu mengambil keputusan untuk mengambil tindakan tidak berat sebelah dan memberi keutamaan kepada keperluan meliputi kepentingan semua pihak di negara itu.
Christiane sebelum ini pernah membuat rayuan berhubung kes tersebut di Mahkamah Pentadbiran Versailles Perancis dan Mahkamah Pentadbiran Rayuan namun ditolak.
Selepas gagal dalam dua rayuannya di Perancis, wanita berusia 60an itu membuat rayuan di Mahkamah Hak Asasi Manusia Eropah.
Undang-undang pengharaman pemakaian tudung di negara ini mula dikuatkuasakan pada tahun 2004 dan mendapat kritikan hebat daripada penduduk Islam yang membantah keras larangan tersebut.
Pada bulan Mac lalu, mahkamah tinggi Jerman menetapkan guru-guru beragama Islam dibenarkan untuk memakai tudung selagi tindakan tersebut tidak mengganggu aktiviti persekolahan. – AP/AGENSI
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/mahkamah-eropah-kekalkan-haram-pakai-tudung-1.163107#sthash.KoDyhwyc.dpuf

Itali tutup masjid 'tersembunyi’ banteras aktiviti pelampau


Masjid Besar Rom merupakan satu daripada empat buah masjid yang terdapat di Itali. AGENSI
ROM 28 Nov. – Kerajaan Itali semalam akan melaksanakan operasi menutup masjid-masjid yang dibuka secara 'sembunyi’ di negara ini sebagai sebahagian daripada rancangan untuk membendung penyebaran aktiviti pelampau.
Menteri Dalam Negeri, Angelino Alfano berkata, pihaknya akan menutup beberapa buah tempat rahsia yang tidak dikawal bagi memastikan aktiviti agama hanya dijalankan di kawasan yang dibenarkan sahaja.
“Di Itali terdapat empat buah masjid dan lebih 800 surau.
“Kami akan menutup tempat-tempat rahsia ini bukan bertujuan untuk menghalang aktiviti berkaitan agama tetapi hanya mahu memastikan setiap program dijalankan berada di bawah pengawalan,” jelasnya.
Alfano berkata demikian dalam satu mesyuarat yang dijalankan di bandar kecil Lecce untuk membincangkan tentang risiko pengganas dan pengaruh tempat ibadat orang Islam yang dikenali sebagai 'garaj Islam’.
Sesetengah masjid rahsia di negara ini diwujudkan selepas permohonan untuk membina masjid mengikut saluran yang betul ditentang oleh pihak berkuasa tempatan.
Dalam perkembangan lain, Alfano berkata, sehingga kini langkah-langkah pencegahan dan pengumpulan sumber risikan berkenaan kegiatan pengganas di Itali berjaya dilakukan dengan baik oleh pihak-pihak terbabit.
“Tiada satu tempat pun di dunia tidak diancam risiko, inilah hakikat yang perlu diterima bagaimana perkembangan aktiviti pengganas berlaku sejak dari tahun 2001 sehingga kini,” ujarnya lagi.
Amerika Syarikat (AS) sebelum ini pernah memberi amaran kepada kerajaan Itali bahawa negara itu berkemungkinan besar bakal menjadi sasaran pengganas pada masa hadapan. – AFP
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/itali-tutup-masjid-tersembunyi-8217-banteras-aktiviti-pelampau-1.163291#sthash.G3AlStlT.dpuf