Pages

Tuesday, April 8, 2014

Satu dalam sejuta


8 April 2014
Satu dalam sejuta
Satu dalam sejuta




SEORANG bayi dari Uttar Pradesh, India masih bertahan pada hari keenam kelahiran walaupun dilahirkan dengan jantung di luar.

Menurut doktor, kebiasaannya penghidap cordis ectopia hanya bertahan tiga hari sebelum meninggal dunia.

“Ia satu keajaiban. Biasanya, hanya satu dalam sejuta sahaja pesakit mampu bertahan,” katanya.

Menurutnya, kos pembedahan amat mahal dan hanya dilakukan di hospital swasta.

Sementara itu, ibu bapa bayi tersebut Priyanka, 24, dan Nirbhay Pal, 31, meminta bantuan kerajaan untuk melakukan pembedahan tersebut.

“Kami tidak mampu menanggung kos pembedahan kerana hanya mendapat gaji hari RM9 sehari,” katanya.

Menurutnya, selama ini mereka hanya makan dua kali sehari kerana kemiskinan, laporan dipetik dari The Mirror News.

Peratap profesional diupah tangisi kematian


Beijing: Penduduk China kini boleh mengupah “pelakon” untuk meratapi kematian seseorang jika mereka terlalu sibuk untuk pergi menziarahi keluarga atau waris si mati.

Dengan bayaran kira-kira RM1,630 tujuh ‘peratap profesional’ akan menangisi kematian itu dengan sewajarnya seperti lazim dilakukan penziarah biasa dalam rituan tradisional Cina.


Keadaan itu juga membolehkan orang lain tidak malu atau teragak-agak untuk sama meratap.

Menurut kepercayaan, kematian yang tidak ditangisi menandaka si mati tidak disayangi atau mungkin menyebabkan aib kepada keluarganya.

Foto
SEORANG daripada peratap profesional dibayar pada hari pengebumian.

Foto
TANPA tangisan orang ramai menganggap seseorang yang meninggal dunia tidak disayangi keluarga atau pernah mengaibkan mereka.

Ketua peratap di Feishan di wilayah Fujian, Chen Shuqiang, 35, berkata bisnesnya kini berkembang maju.


“Kebanyakan permintaan adalah untuk peratap di kalangan wanita,” katanya.

Chen berkata, keluarga yang kematian saudara suka jika orang ramai melihat ia diratapi dengan sepenuh hati dan waris begitu bersedih.

Kata Chen, selain diupah oleh keluarga si mati, mereka juga sering dibayar oleh individu yang terlalu sibuk untuk hadir menziarah mayat berkenaan.

“Biasanya kami dibayar untuk harga tujuh peratap profesional,” katanya.

Kebanyakan peratap itu, kata Chen, adalah pelakon.

Chen sendiri pernah menjadi penyanyi kumpulan opera di sebuah kawasan luar bandar namun pendapatan diperoleh tidak memuaskan.

Keadaan berubah apabila dia menukar kerjaya sebagai peratap profesional dan pengalamannya sebagai penyanyi banyak memberi kelebihan. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/04/08

Dibungkus dalam beg mayat sampai mati


Los Angeles: Seorang wanita warga emas meninggal dunia selepas dibungkus dalam beg mayat dan disimpan dalam peti sejuk.

Maria de Jesus Arroyo, 80, ditemui dalam keadaan tergantung dalam beg mayat yang terbuka separuh dengan kesan kecederaan pada muka akibat bergelut untuk menyelamatkan diri.


Pakar patologi kemudian memutuskan Maria tidak terbunuh akibat serangan jantung - seperti dinyatakan doktor sebelum ini - sebaliknya kerana sesak nafas serta kesejukan melampau dalam rumah mayat.

Peguam keluarga Maria, Scott Schutzman berkata, Maria yang sebelum itu tidak sedarkan diri terjaga akibat suhu rendah dalam bilik simpanan mayat.


“Maria bergelut untuk keluar dari beg yang membungkusnya ketika dia menghembus nafas terakhir,” katanya.


Keluarga Maria kini menyaman sebuah hospital di Los Angeles kerana menyebabkan kematian nenek terbabit.

Kejadian berlaku pada musim panas 2010.

Sementara itu jurucakap Pusat Perubatan White menafikan mereka cuai.

“Kami mematuhi semua protokol sepatutnya dan yakin ia akan dibuktikan
di mahkamah,” katanya. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/04/08

Lelaki heret anak dengan kereta


Sana’a: Seorang lelaki membunuh anak lelakinya dengan mengikatnya di belakang kereta dan menyeretnya dalam jarak yang jauh.

Lelaki berkenaan bertindak demikian kerana terlalu marah selepas mendapati anaknya ponteng sekolah pada hari itu.

Remaja berusia 16 tahun itu lebam dan retak di seluruh badan selepas diseret kereta bapanya di kampung mereka di utara Yaman.

Polis menahan si bapa dan mendakwa lelaki itu di bawah tuduhan menyebabkan kematian.

Dia ditangkap selepas pihak sekolah melaporkan remaja itu tidak hadir ke sekolah selama beberapa hari.



-Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/04/08

Habuan budak ‘nakal’


Kecederaan Xiao Bing, 6, dikesan seorang guru di sebuah tadika di Jiangmen di wilayah Guangdong ketika budak terbabit menyalin pakaian untuk menyertai sesi pendidikan sukan.
Melihat kecederaan itu, guru terbabit mengambil gambar Xiao menggunakan telefon bimbit dan menyerahkannya kepada polis.

Namun, walaupun kecederaan itu dilaporkan kepada pihak berkuasa, ibu Xiao tidak ditahan selepas polis Jiangmen mendapati ia tidak terlalu serius seperti dijangka.
Foto
KECEDERAAN Xiao dikesan seorang guru di sekolahnya.

Sumber berkata, polis juga sudah menasihati wanita terbabit supaya tidak lagi memukul anaknya terlalu teruk.

Katanya, Xiao mendakwa dia dipukul dengan dawai penyangkut baju kerana gagal menyiapkan kerja rumah.

“Namun polis mendapati kecederaan itu tidak terlalu serius seperti apa yang dilihat.

“Polis beranggapan memadai jika ibu kanak-kanak terbabit diberi amaran supaya tidak mengulangi perbuatan itu,”katanya.

Menurut sumber berkenaan, ibu dan bapa Xiao tidak berpuas hati dengan pencapaian akademiknya.

Katanya, Xiao juga didakwa nakal dan sering mengabaikan tugasan diberi guru.

Justeru, kata sumber itu, ibu bapa Xiao berpendapat anak mereka perlu diajar supaya lebih bertanggungjawab.- Agensi
Artikel ini disiarkan pada : 2014/04/08

Buku cukai gergasi seberat 7,000 kilogram



BUKU panduan cukai ini memiliki berat 7,000kg dan setebal 41,266 halaman.


BRASILIA - Sebuah buku panduan cukai gergasi diterbitkan oleh seorang peguam di Brazil memiliki sebanyak 41,266 helai muka surat.
Berat buku tersebut pula menyamai seekor gajah dewasa sebanyak 7,000 kilogram(kg).
"Saya menerbitkan buku gergasi ini untuk menunjukkan kepada masyarakat betapa kita perlu mengatasi kerenah birokrasi dan memudahkan cukai kepada rakyat," kata peguam tersebut, Vinicios Leoncio.
"Kita memerlukan sistem percukaian baharu yang lebih mudah," tambahnya.
Firma di Brazil katanya meluangkan masa 2,600 jam setahun untuk menyelesaikan pelbagai cukai yang dikenakan.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0407&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm#ixzz2yEzJsS8S 
Hakcipta terpelihara 

Monday, April 7, 2014

Perangkap sang bedal makan orang


Sang bedal berukuran 5.5 meter panjang dan berat kira-kira setan ditangkap selepas penduduk tempatan mendesak pegawai hidupan liar memburunya. 
Mangsa terbarunya dipercayai bapa dua anak, Bosco Nyansi, nelayan tempatan. 
Baju Bosco yang koyak rabak ditemui terapung di tasik berkenaan oleh penduduk tempatan. 
Foto
BUAYA gergasi yang ditangkap penduduk tempatan.
Tidak ada kesan lain ditemui dan rakannya percaya dia dibaham buaya berkenaan. 
Reptilia berkenaan dipercayai berusia lebih 80 tahun. Ia diyakini memakan dan mencederakan beberapa nelayan sebelum ini kerana minatnya terhadap daging manusia. 

Pegawai hidupan liar memerangkap buaya berkenaan dengan mengguna umpan daging besar ketika memburunya selama empat hari. - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : 2014/04/06

Bayi dituduh rancang bunuh


Muhammad Mosa Khan didakwa bersama 29 anggota keluarga lain berikutan serbuan pihak polis yang menyasarkan penangkapan pencuri gas di sini.
Sepanjang prosiding, Muhammad dilihat duduk di pangkuan bapanya sambil memegang botol susu.

Bayi berkenaan dibenarkan jaminan dan kes akan disebut semula pada 12 April ini.
Foto
MUHAMMAD duduk di pangkuan ayahnya sambil memegang botol susu ketika didakwa.

Mengikut akhbar Express Tribune, keluarga itu didakwa cuba membunuh pegawai polis yang melakukan serbuan apabila membaling batu terhadap mereka.

Laporan polis dibuat terhadap datuk bayi terbabit, Muhammad Yassen, serta keseluruhan keluarganya termasuk Muhammad. 

Menurut ayah Muhammad, mereka sekeluarga memprotes terhadap kekurangan bekalan elektrik di kawasan mereka.

Sementara itu, pegawai polis Sub Inspektor Kashif Ahmed kini digantung kerja kerana mendaftarkan kes berkenaan terhadap Muhammad.

Hakim tidak dapat membatalkan kes terhadap bayi itu kerana di luar bidang kuasanya. 

Sementara itu, Ketua Menteri Punjab Shahbaz Sharif sudah mengarahkan Ketua Polis memastikan laporan baru difailkan.

Dia turut dilaporkan menuntut tindakan tegas terhadap pegawai yang membawa kes berkenaan.- Agensi
Artikel ini disiarkan pada : 2014/04/06

Isteri sakit minta suami kahwin lain


Dubai: Dua wanita tempatan yang menghidap penyakit teruk memberi gambaran jelas mengenai cinta dan pengorbanan apabila meminta suami mereka berkahwin lagi.

Suami mereka bagaimanapun menolak permintaan isteri masing-masing.


Dalam dua kes berasingan dikendalikan Pusat Panduan Keluarga Kerajaan Dubai menyatakan ia terharu dengan apa yang berlaku kepada kedua-dua pasangan berkenaan. Kes pertama membabitkan seorang wanita yang menghidap barah dan mahu suaminya berkahwin lagi kerana merasakan dia tidak mampu melayan suaminya lagi.



“Wanita itu menemui kami selepas gagal memujuk suaminya untuk berkahwin. Katanya, suaminya sudah membawa dia ke pelbagai klinik dan hospital namun doktor gagal mengubatinya.


“Apabila kami memberitahu perkara itu pada suaminya, dia sekali lagi menolak dan memberitahu isterinya, ‘Saya gembira hidup bersama kamu, saya mahu melihat kamu pulih seperti sedia kala dan akan sentiasa berada di sisi kamu selamanya. Saya takkan mengahwini wanita lain,’” kata pengarah pusat berkenaan, Abdul Aziz Al Hammadi.


Akhbar Emarat Al Youm melaporkan, Abdul Aziz menyatakan seorang lagi wanita menderita penyakit tulang dan darah turut memujuk suaminya berkahwin lain kerana tidak mampu menjalankan tanggungjawab sebagai isteri.

Dia juga merasakan yang dia tidak berlaku adil pada suaminya.


“Wanita itu memberitahu suaminya ‘Tolonglah berkahwin lagi. Saya gembira dan mahu kamu juga gembira,’ namun suaminya menjawab ‘terima kasih atas keprihatinan kamu terhadap saya, tetapi saya sudah berpuas hati dengan kehidupan bersama kamu. Apa yang penting kini adalah kesihatan kamu,’” katanya. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/04/07

Nenek mati dalam penyejuk beku


California: Sebuah hospital berdepan saman apabila pesakitnya yang juga nenek berusia 80 tahun mati selepas dimasukkan ke dalam penyejuk beku bilik mayat secara tidak sengaja.

Keluarga Maria de Jesus Arroyo memfailkan saman terhadap hospital di California itu selepas wanita berkenaan tersilap diisytiharkan meninggal dunia akibat serangan jantung sebelum dimasukkan ke dalam peti sejuk berkenaan.


Kesilapan itu hanya disedari apabila kakitangan hospital yang menyediakan mayatnya untuk proses pengebumian melihatnya dalam keadaan lebam pada muka dipercayai akibat mangsa cuba keluar dari peti sejuk itu.

Laporan pakar patologi menunjukkan dia sebenarnya masih hidup ketika dimasukkan ke situ namun tersedar dan berusaha keluar. Akibatnya Maria mati kesejukan.


Suami dan lapan anak Maria pada mulanya memfailkan saman terhadap rumah mayat yang mengendalikan upacara pengebumian itu sejurus selepas kematiannya pada Julai 2010.


Namun hasil laporan patologi berkenaan yang diperoleh pada Disember 2011, mereka memutuskan menyaman hospital berkenaan kerana kecuaian perubatan sehingga mengakibatkan kematian Maria.

Hospital terbabit bagaimanapun menafikan dakwaan itu. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/04/06

Larang makanan halal di sekolah


Paris: Pemimpin parti Barisan Kebangsaan Perancis Marine Le Pen berkata semalam, ia akan menghalang sekolah daripada menawarkan makanan alternatif bukan daging babi kepada pelajar Islam di 11 bandar yang dimenanginya dalam pilihan raya majlis tempatan baru-baru ini.

Marine ketika memberitahu demikian berkata, penawaran seumpama itu bertentangan dengan nilai sekular Perancis.
Negara berkenaan mempunyai undang-undang ketat mengenai tradisi sekular tetapi tuntutan berkait dengan agama semakin meningkat sejak beberapa tahun kebelakangan, khususnya daripada penduduk minoriti Islam yang berjumlah lima juta orang.

“Kami tidak akan melayan sebarang tuntutan berkait dengan agama dalam penyajian makanan di sekolah.


“Tidak ada alasan untuk memasukkan agama dalam kehidupan orang awam. Itu undang-undang Perancis,” kata Marine.


Agama Islam dan Yahudi mengharamkan penganutnya memakan daging babi.

Datuk Bandar Arveyres, Benoit Gheysens memberitahu AFP, langkah itu diambil kerana kos menyediakan makanan alternatif yang tinggi dan kebanyakannya membazir.

Di Hayanges, bandar di timur Perancis, datuk bandar dari parti berkenaan, Fabien Engelmann bercadang mengadakan ‘Pesta Daging Babi’ di pusat bandar.

Dia mendakwa pesta berkenaan bukan bertujuan untuk menghina masyarakat Islam tetapi untuk membantu mengurangkan kadar pengangguran yang tinggi.

Barisan Kebangsaan yang mempunyai dasar antipendatang sering menyuarakan kebimbangan mengenai peningkatan pengaruh Islam dalam kehidupan seharian di Perancis.

Kontroversi sering tercetus di negara itu mengenai sekolah yang menyediakan makanan alternatif - daging lembu atau ayam sebagai ganti kepada babi - dalam menu untuk pelajar beragama Islam. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/04/06

Saturday, April 5, 2014

Kembar reput dua tahun

63-year-old identical twins Anthony and Andrew Johnson's skeletal remains where found sitting in recliners in their living room in Chattanooga, Tenn. Authorities believe they died in 2011 and have been in the home undiscovered this entire time.
Sepasang kembar lelaki seiras yang mayat reput mereka ditemui duduk atas kerusi berbaring di rumah mereka di Chattanooga
Tennessee, Amerika Syarikat: Pihak polis kini menyiasat kematian pelik sepasang kembar lelaki seiras yang mayat reput mereka ditemui duduk atas kerusi berbaring di rumah mereka di Chattanooga, hujung minggu lalu.

Menurut jiran, Barbara Owens, mereka tidak melihat Anthony dan Andrew Johnson, 63, sejak dua tahun lalu, namun tidak mengesyaki apa-apa kerana menganggap pasangan itu tidak keluar rumah disebabkan tidak sihat.


Halaman rumah mereka juga sentiasa bersih manakala surat tidak dibiarkan lama dalam peti surat.

“Memang saya tidak melihat mereka mungkin lebih dari setahun setengah. Saya pernah juga mengandaikan mereka dimasukkan ke pusat penjagaan,” katanya.


Pada Ogos 2011, seorang saudara pasangan itu datang untuk menjenguk mereka, namun tidak dapat memasuki rumah kerana tiada kunci manakala pihak polis enggan memecahkan pintu.


Bagaimanapun, hujung minggu lalu seorang lagi saudara berjaya masuk ke rumah itu sebelum menemui dua mayat berkenaan.

Polis Chattanooga menganggarkan dua beradik itu meninggal dunia sekitar awal 2011 berdasarkan keadaan pereputan mayat dan resit yang ditemui dalam rumah mereka.

Pemeriksa perubatan kini berusaha mendapatkan tarikh dan punca sebenar kematian. Polis bagaimanapun tidak mengesyaki perbuatan jenayah.

Menurut jiran, dua beradik itu menghidap diabetes dan jarang keluar rumah. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/04/04

Tersangkut celah parit selamat telefon bimbit


Telefon bimbit Ella-Anne Birchenough, 16, tercicir dalam parit berhampiran rumahnya di Dover, Kent.
Dia kemudian cuba mengambil alat itu, namun tersangkut dan menghubungi ibunya Joanne Birchenough, untuk mendapatkan bantuan.

Joanne yang bergegas ke tempat kejadian kemudian menghubungi bomba yang mengambil masa hanya kira-kira 15 minit untuk menyelamatkan Ella-Anne.
Foto
ELLA-Anne ketika diselamatkan anggota bomba.

Menceritakan kejadian itu, Ella-Anne berkata, telefon itu terjatuh ketika dia sedang berbual dengan rakannya dalam perjalanan pulang ke rumah.

“Saya terfikir ‘tidak mungkin saya akan membiarkannya di situ’ sebelum terus terjun mengambilnya,” katanya.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/04/04

Batu nisan dalam rumah


Gert Nilsson menggali lantai ruang tamunya di Fuglie, berhampiran Malmo di selatan Sweden apabila dia menemui batu berkenaan.
Batu itu masih baik dan nama yang tertera di atasnya masih boleh dibaca dengan jelas.

Ia nama dua lelaki dan seorang wanita yang mati pada pertengahan 1800-an.
Foto
BATU nisan yang ditemui di ruang tamu kediaman Nilsson.

Nilsson, tukang kayu menghabiskan masa beberapa tahun untuk mengubah suai kediaman keluarganya.

‘Saya menggali agak dalam di ruang tamu apabila cangkul saya terkena sesuatu yang keras. 

“Apabila saya meneruskan kerja dan membersihkan tanah dan pasir di kawasan itu, saya terkejut kerana ia batu nisan, yang selama ini terletak di bawah sofa kami,” katanya.

Panjang batu itu ialah kira-kira 6 kaki dan empat inci tebal.

Tiga nama tertera di atasnya, bersama-sama dengan tarikh kematian.

Batu nisan itu dipercayai dipindahkan dari gereja kecil berhampiran apabila tanah kubur itu dibina semula pada 1904.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/04/05

Gereja dibenar menjadi masjid


SYRACUSE, New York 4 April - Majlis Perbandaran New York memberi kebenaran kepada kumpulan penduduk Islam di kota ini untuk menanggalkan enam batang salib di atas menara bekas sebuah geraja Katolik di Syracuse, yang telah kosong untuk dijadikan masjid.
Kira-kira 200 orang penduduk menurunkan tandatangan mereka dalam satu petisyen melalui dalam talian bagi menggesa Lembaga Pemeliharaan Tanda Tempat di Syracuse untuk mengetepikan permohonan pemilik baharu gereja itu, North Side Learning Center untuk menanggalkan serta membina pagar sepanjang 1.8 meter di kawasan gereja itu.
Sebelum undian dijalankan, Pengerusi jawantankuasa pengubahsuaian gereja itu, Don Radke berkata, majlis perbandaran itu tidak boleh campur tangan dalam sesuatu keputusan melibatkan kebebasan agama.
Sebahagian daripada mereka yang hadir pada mesyuarat itu berbelah-bahagi, ada yang menentang dan sebahagian lagi menyokong cadangan untuk mengubah gereja itu, lapor laman web Post-Standard.
Mereka yang menandatangani petisyen tersebut termasuk penduduk tempatan dan bekas jemaah gereja itu menyatakan bahawa bekas gereja Holy Trinity Catholic Church merupakan mercu tanda di kawasan kediaman itu, yang dibina oleh pendatang Jerman kira-kira 100 tahun lalu, dan tindakan menanggalkan salib-salib tersebut akan mencacatkan seni bina bangunan tersebut.
Gereja tersebut ditutup pada 2010 dan jemaah di gereja itu digabungkan dengan gereja St. John ekoran kemerosotan jemaah di situ kerana ramai penduduk di bandar itutelah berpindah ke luar bandar.
North Side Learning Center, sebuah organisasi sukarela yang menyediakan program celik huruf kepada pendatang telah membeli gereja dan sekolah di situ pada harga AS$150,000 (RM492,224) pada Disember lalu.
Pengarah pusat itu, Yusuf Soule berkata, salib-salib tersebut perlu ditanggalkan kerana umat Islam melarang menyembah berhala atau simbol.
Satu laporan oleh Liga Penduduk Onondaga berkata, terdapat lebih 7,200 pendatang menetap di bandar Syracuse sejak lebih 10 tahun lalu, dengan majoriti daripada mereka datang dari Burma, Bhutan dan Somalia. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140405/lu_05/Gereja-dibenar-menjadi-masjid#ixzz2xxgoDRhJ
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Wanita Indonesia terlepas hukuman pancung


Kakak ipar Satinah Jumadi Ahmad menunjukkan gambar Satinah yang berdepan hukuman pancung setelah didapati bersalah membunuh isteri majikannya di Arab Saudi. - AGENSI
JAKARTA 4 April - Kerajaan Indonesia menyumbang sebanyak Riyal 3 juta daripada keseluruhan Riyal 7 juta (RM6 juta) sebagai wang diyat (pengganti darah) untuk menyelamatkan nyawa seorang rakyatnya, Satinah Jumadi Ahmad yang berdepan hukuman pancung di Arab Saudi atas kesalahan membunuh isteri majikannya dan mencuri wang majikannya.
Satinah yang bekerja sebagai pembantu rumah, sebelum ini dijatuhkan hukuman mati oleh sebuah mahkamah di Arab Saudi selepas didapati salah membunuh isteri majikannya.
Wang diyat itu dituntut oleh keluarga majikannya sebagai syarat untuk membebaskan Satinah daripada hukuman pancung selepas dia didapati bersalah membunuh dan mencuri sejumlah Riyal 37,970 (RM34,000) daripada majikannya pada Julai 2007.
Bagaimanapun, sehingga petang semalam yang merupakan tarikh akhir pembayaran diyat itu, wakil kerajaan Indonesia masih belum tiba di Gaseem, Arab Saudi untuk membuat pembayaran.
“Diharapkan tidak ada perubahan pada terma-terma tuntutan," kata Menteri Koordinasi Politik, Hukum dan Keselamatan, Djoko Suyanto seperti dilaporkan media tempatan hari ini.
Daripada jumlah Riyal 7 juta itu, Djoko berkata, kerajaan melalui Kementerian Luar menyumbang sebanyak Riyal 3 juta (RM2.6 juta) sementara baki Riyal 4 juta (RM3.4 juta) diperoleh daripada sumbangan pelbagai pihak.
Menurut Djoko, wakil kerajaan Arab Saudi telah menghulurkan bantuan selepas Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono menulis surat kepada Raja Arab Saudi, Raja Abdullah memohon bantuan supaya membebaskan Satinah.
Pada awalnya, wang diyat yang dituntut daripada Satinah ialah sebanyak Riyal 15 juta (RM13 juta) iaitu pada 2011, namun jumlah itu dikurangkan kepada Riyal 10 juta (RM8.7 juta) pada tahun berikutnya, sebelum akhirnya ditetapkan kepada Riyal 7 juta.
Perbicaraan kes Satinah ditangguhkan sebanyak tiga kali sebelum mahkamah tinggi Arab Saudi pada Ogis 2011 menjatuhkan hukuman mati ke atas pembantu rumah berusia 41 tahun itu, yang berasal dari Semarang, Jawa Tengah.
Kes yang dihadapi Satinah merupakan kes terbaru melibatkan pekerja Indonesia yang berhadapan hukuman mati di Arab Saudi. - UTUSAN


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140405/lu_02/Wanita-Indonesia-terlepas-hukuman-pancung#ixzz2xxgQihfl
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Budak 5 tahun hafaz al-Quran


BABAR, Bangka - Subhanallah... itulah perkataan pertama yang diungkapkan secara spontan oleh sebahagian tetamu dan penduduk di daerah ini semasa mereka mendengar bacaan ayat-ayat suci al-Quran yang dibacakan seorang kanak-kanak berusia lima tahun, baru-baru ini.
Penduduk ternyata kagum dengan kemampuan hafiz cilik bernama Musa La Ode Abu Hanifah membacakan ayat-ayat suci al-Quran dan dia difahamkan telah menghafal sebanyak 26 juzuk.
Pada majlis pembukaan Musabaqoh Tilawatil Quran (MTQ) peringkat daerah Babar 2014 itu, pihak penganjur menjemput Musa untuk membacakan ayat-ayat suci al-Quran.
Musa yang duduk bersimpuh di atas pentas pertandingan kemudiannya dengan tenang membacakan satu persatu ayat demi ayat daripada surah Makkiyah.
Majlis itu berlangsung di Masjid Raya Al Muttaqin, Kampung Air Gantang, Mukim Parittiga di daerah Babar, Kepulauan Bangka-Belitung.
Para tetamu dan penduduk yang hadir nyata terharu dan kagum dengan kefasihan Musa yang baru berusia lima tahun lapan bulan, berasal dari Pal 4 Muntok membacakan ayat-ayat suci al-Quran itu.
Pegawai dari kementerian agama Bangka Barat, H Abdul Rohim berkata, Allah selalu memberikan kemakmuran kepada hamba-Nya untuk menghafal ayat-ayat al-Quran.
“Musa La Ode Abu Hanifah ini usianya baru lima tahun lapan bulan, dengan lidahnya yang fasih, hafalan al-Qurannya sudah hampir mencapai 26 juzuk," kata Abdul Rohim pada majlis pembukaan MTQ itu sebagaimana lapor Tribunnews.com.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140405/lu_07/Budak-5-tahun-hafaz-al-Quran#ixzz2xxRBiOP2
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Friday, April 4, 2014

London diselubungi debu dari Sahara



KAWASAN di Jambatan Menara kelihatan kabur akibat debu dan sisa pencemaran industri yang berterbangan di London semalam.


LONDON - Debu dari gurun Sahara dan pencemaran asap masih melanda sebahagian besar Britain pada waktu pagi semalam.
Pihak berkuasa mengumumkan bahawa tahap pencemaran udara mencapai tahap tertinggi.
Pencemaran udara yang melanda negara itu sejak kelmarin berpunca daripada pelepasan sisa industri dan habuk yang diterbangkan dari Gurun Sahara di Afrika.
Keadaan itu menyebabkan beberapa bangunan pencakar langit di negara itu hilang daripada pemandangan akibat debu dan sisa industri yang berterbangan di udara. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0404&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_07.htm#ixzz2xtlLi7hU 
Hakcipta terpelihara 

Ketagih makan batu


Pakkirappa mempunyai diet pemakanan yang pelik apabila dia didapati ketagih untuk makan batu bata, batu kerikil dan lumpur. - AGENSI
NEW DELHI 3 April - Seorang lelaki India dari negeri Karnataka, selatan negara ini mempunyai diet pemakanan yang pelik apabila dia didapati ketagih makan batu-bata, batu kerikil dan lumpur.
Ajaibnya, lelaki itu, Pakkirappa Hunagundi, 30, mampu makan sehingga tiga kilogram batu dan lumpur pada setiap hari yang didapati dari jalan-jalan.
Hunagundi dilaporkan mula mempunyai selera terhadap objek yang tidak boleh dimakan orang lain ketika usianya baru mencapai 10 tahun.
Sejak dari itu, dia mula menguyah batu dan lumpur yang terdapat pada dinding dan jalan-jalan raya dan mendakwa diet itu langsung tidak mendatangkan sakit buatnya.
Gangguan pemakanan pelik itu dikenali sebagai 'Pica', sejenis ketagihan terhadap bahan-bahan yang tidak mempunyai nilai pemakanan.
Malah dengan keadaan giginya yang masih sempurna, Hunagundi mengenepikan tanggapan bahawa dia harus menghentikan ketagihannya itu.
"Saya telah makan batu bata dan kerikil kira-kira 20 tahun. Saya suka memakannya dan menjadi sebahagian daripada hidup saya.
"Perkara itu menjadi satu kemestian bagi saya. Saya boleh mengelak daripada makan lauk-pauk, tetapi tidak batu atau lumpur," katanya sebagaimana lapor Mail Online.
Walaupun ibunya cuba memujuk dia untuk meninggalkan diet pelik itu, namun bagi lelaki tersebut, bahan-bahan binaan mempunyai rasa yang lebih baik berbanding makanan biasa. - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140404/lu_06/Ketagih-makan-batu#ixzz2xthBzNqP
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Thursday, April 3, 2014

Korban cinta di Nepal

Oleh Mohd Fadly Samsudin dan Muhammad Hafis Nawawi
Sungai Buloh: Cinta sejati membawanya ke Nepal untuk tinggal bersama suami dengan meninggalkan ibu bapa di tanah air, namun pengorbanan itu akhirnya membawa penderitaan apabila hidupnya bertukar ibarat hamba abdi di bumi asing.
Itulah nasib menimpa Nur Sri Rahayu Marimon, 24, yang kini terpaksa bekerja sebagai pemecah batu dan mencari kayu api untuk menyara kehidupannya bersama dua anak di Pathari 1 Morang, kira-kira 450 kilometer dari Kathmandu, Nepal. 
Menceritakan kisah anaknya itu, ibunya, Jaliah Tamin, 52, berkata anak keenam daripada sembilan beradik itu terkandas di kampung suami di kawasan pedalaman berkenaan sejak empat tahun lalu.

Menurutnya, Nur Sri Rahayu atau lebih mesra dipanggil Ayu berkahwin dengan suaminya, seorang lelaki warga Nepal yang bekerja di sebuah kilang di sini pada 2006 atas dasar cinta, biarpun dia keberatan membenarkan perkahwinan itu dilangsungkan.
Foto
GAMBAR Ayu bersama suami dan anaknya.
Foto
JALIAH Tamin
“Lelaki Nepal itu memeluk Islam dengan menggunakan nama Osman. Disebabkan anak saya nekad untuk berkahwin dengan Osman, saya terpaksa bersetuju menikahkan mereka.



Artikel ini disiarkan pada : 2014/04/03