Pages

Monday, April 7, 2014

Larang makanan halal di sekolah


Paris: Pemimpin parti Barisan Kebangsaan Perancis Marine Le Pen berkata semalam, ia akan menghalang sekolah daripada menawarkan makanan alternatif bukan daging babi kepada pelajar Islam di 11 bandar yang dimenanginya dalam pilihan raya majlis tempatan baru-baru ini.

Marine ketika memberitahu demikian berkata, penawaran seumpama itu bertentangan dengan nilai sekular Perancis.
Negara berkenaan mempunyai undang-undang ketat mengenai tradisi sekular tetapi tuntutan berkait dengan agama semakin meningkat sejak beberapa tahun kebelakangan, khususnya daripada penduduk minoriti Islam yang berjumlah lima juta orang.

“Kami tidak akan melayan sebarang tuntutan berkait dengan agama dalam penyajian makanan di sekolah.


“Tidak ada alasan untuk memasukkan agama dalam kehidupan orang awam. Itu undang-undang Perancis,” kata Marine.


Agama Islam dan Yahudi mengharamkan penganutnya memakan daging babi.

Datuk Bandar Arveyres, Benoit Gheysens memberitahu AFP, langkah itu diambil kerana kos menyediakan makanan alternatif yang tinggi dan kebanyakannya membazir.

Di Hayanges, bandar di timur Perancis, datuk bandar dari parti berkenaan, Fabien Engelmann bercadang mengadakan ‘Pesta Daging Babi’ di pusat bandar.

Dia mendakwa pesta berkenaan bukan bertujuan untuk menghina masyarakat Islam tetapi untuk membantu mengurangkan kadar pengangguran yang tinggi.

Barisan Kebangsaan yang mempunyai dasar antipendatang sering menyuarakan kebimbangan mengenai peningkatan pengaruh Islam dalam kehidupan seharian di Perancis.

Kontroversi sering tercetus di negara itu mengenai sekolah yang menyediakan makanan alternatif - daging lembu atau ayam sebagai ganti kepada babi - dalam menu untuk pelajar beragama Islam. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/04/06

No comments: