Pages

Friday, January 10, 2014

Tentera AS bakar Quran

Tentera AS bakar Quran9 Januari 2014
Penduduk membakar bendera dan poster Obama susulan tindakan jahat askar AS membakar al-Quran dan merosakkan masjid di wilayah Wardak.

KABUL - AFGHANISTAN. Ribuan penduduk mengadakan tunjuk perasaan mengecam tindakan biadab tentera Amerika Syarikat (AS) yang membakar Al Quran dan menyerbu sebuah masjid di barat daya Afghanistan.

Pegawai keselamatan berkata, tindakan kurang ajar tentera AS itu mencetuskan kemarahan hingga menyebabkan sebilangan besar penunjuk perasaan berhimpun membakar poster dan bendera Presiden Barack Obama serta melaungkan slogan anti Amerika di sepanjang jalan dari Kabul ke Kandahar di Wilayah Wardak, semalam.

“Ini bukan kali pertama tentera AS membakar al-Quran. Sejak kebelakangan ini, mereka kerap membakar salinan kitab suci itu dan membakar poster pegawai tertinggi Afghanistan,” katanya.

Sebelum ini, laporan dipetik Al Arabiya, Washington berjanji mengeluarkan semua askar mereka dari Afghanistan mulai 2014 bagaimanapun, perjanjian itu terbatal selepas kedua-dua negara bersetuju menandatangani satu perkongsian strategik yang hanya akan berakhir hujung tahun ini.

Wanita berpurdah dipenjara, didenda

Wanita berpurdah dipenjara, didenda10 Januari 2014
Selain Perancis, Belgium juga antara negara mengenakan denda terhadap wanita yang memakai purdah di tempat awam. Foto: Reuters

VERSAILLES - PERANCIS. Gara-gara memakai purdah di tempat awam, seorang wanita dijatuhi hukuman penjara sebulan dan didenda 150 euro (RM700) oleh mahkamah di Perancis, kelmarin.

Cassandra Belin, 20, turut didakwa bersalah kerana mengeluarkan kata-kata kesat terhadap tiga anggota polis ketika  diberkas pada Julai 2013.

Sebelum keputusan dibuat, peguam defendan, Philippe Bataille berhujah bahawa larangan memakai purdah merupakan satu bentuk sekatan kebebasan beragama dan beliau turut menuntut larangan tersebut ditarik balik, namun ditolak oleh mahkamah.

"Saya akan mengemukakan rayuan bagi meneruskan perjuangan memastikan larangan memakai purdah itu dibatalkan di negara ini," tegasnya yang dipetik Al-Arabiya

Difahamkan, larangan tersebut dikuatkuasakan kerajaan Perancis kononnya atas faktor keselamatan, namun beberapa pengkritik melihat tindakan itu sebenarnya bermotifkan Islamofobia yang bertujuan menyasarkan orang Islam di negara terbabit.

Mufti mangsa fitnah lucah

Bishkek: Pegawai Islam tertinggi Kyrgyzstan semalam dilaporkan terpaksa meletak jawatan selepas klip video memaparkan imej seperti dirinya mengadakan hubungan seks terbesar kepada umum.
Berita itu turut mendorong kira-kira 60 orang berkumpul di luar pejabat Mufti Besar Kyrgyzstan, Rakhmatullah Hajji Egemberdiyev bagi mendesaknya memberi penjelasan terhadap dakwaan berkenaan.

Mereka turut melaungkan kemarahan bagi mendesak Egemberdiyev meletak jawatan. Sebelum ini mufti terbabit berkata, dia mengakui lelaki dalam klip video itu adalah dirinya yang sedang berasmara dengan isteri kedua.
Ketika ini Kyrgyzstan mengharamkan amalan poligami walaupun umum percayai golongan kaya dan bangsawan sebenarnya mempunyai lebih daripada seorang isteri. Beberapa percubaan pernah dibuat untuk menghalalkan poligami di negara berkenaan tetapi belum berjaya. Bekas Presiden Kyrgyzstan, Kurmanbek Bakiyev - yang disingkirkan daripada kuasa pada 2010 juga berpoligami. Klip video itu mula tersebar di YouTube pada 1 Januari lalu dan mencetuskan kemarahan ramai.

Penduduk setempat berkata, Egemberdiyev mesti melepaskan jawatannya kerana “tidak mempunyai nilai moral” lagi untuk menjadi mufti. Klip berkenaan sudah dipadamkan dari YouTube. Egemberdiyev berkata, penyebaran klip video itu mungkin mempunyai motif politik dan didalangi pegawai kanan suruhanjaya agama di Kyrgyztan, Abdulatif Zhumabayev.

“Abdulatif berniat menggantikan saya dengan tokoh lain yang sehaluan dengannya serta menguasai agensi pengurusan haji yang membuat pungutan tinggi setiap tahun,” katanya.
Foto
EGEMBERDIYEV yakin penyebaran klip video seksnya mempunyai motif politik.
Sementara itu sumber berkata Egemberdiyev turut disiasat kerana disyaki cuba mengelak cukai serta mengambil rasuah ketika menguruskan sistem kuota haji. Egemberdiyev menjadi mufti Kyrgyztan pada 2012 dan tokoh keenam disingkirkan dari jawatan berkenaan dalam tempoh empat tahun. Jawatan itu diisi melalui pilihan raya.

Sementara menunggu pemilihan baru pada 8 Februari ini jawatan berkenaan dipangku timbalan Egemberdiyev, Maksat Toktomushev. - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/10

Kereta baharu di dalam kotak



KERETA Nissan itu dihantar kepada seorang pembeli.


MADISON, Wisconsin - Sejumlah orang tertanya-tanya tentang barang yang terdapat di dalam kotak kadbod gergasi yang diangkut sebuah trak di sini baru-baru ini.
Pertanyaan itu dibuat dalam beberapa laman rangkaian sosial selepas mereka menyaksikan trak tersebut bergerak di jalan raya di sini pada Ahad lalu.
Soalan tersebut akhirnya terjawab apabila media pada Isnin lalu mendedahkan bahawa sebuah kereta Nissan Versa Note terdapat di dalam kotak kadbod itu.
Ia dihantar kepada seorang pembeli kereta tersebut di Wisconsin.
Penggunaan kotak yang tertera perkataan Amazon itu juga merupakan kempen pengiklanan syarikat peruncitan online terbesar dunia, Amazon.com dengan syarikat kereta Nissan. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0110&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm#ixzz2pwPhT5fC 
Hakcipta terpelihara 

22,000 orang terjejas Sinabung meletus



BUAH tomato diliputi debu Gunung Sinabung di Karo semalam.


JAKARTA - Ribuan orang mendapatkan perlindungan di masjid-masjid, gereja dan bangunan kerajaan sejak beberapa bulan lalu ekoran Gunung Sinabung di Sumatera Utara meletus.
Perasaan kecewa dan tidak sabar kembali ke rumah masing-masing menyelubungi para petani dan penduduk dalam minggu ini selepas gunung berapi berkenaan menghamburkan lahar dan debu panas.
"Saya berasa bimbang tentang tanaman saya," kata seorang petani, Amsar Tarigan yang tinggal dekat gunung tersebut.
Kebanyakan dari 22,000 orang yang kini mencari perlindungan daripada lahar dan debu panas itu telah meninggalkan ladang koko dan limau selepas gunung berkenaan meletus.
"Kami mahu kembali ke rumah kami dan hidup seperti biasa.
"Bertani merupakan satu-satunya pekerjaan yang kami boleh lakukan. Jika tidak bertani, kami tidak mampu untuk meneruskan hidup," kata Amsar.
Letusan gunung itu menyebabkan dia dan penduduk lain terpaksa menunggu bagi tempoh yang lama sehingga ia tidak lagi menghamburkan debu dan lahar.
Gunung tersebut meletus sebanyak 220 kali sejak Sabtu lalu dengan menghamburkan gas panas dan batu.
Pada Ogos 2010, gunung setinggi 2,460 meter itu telah meletus menyebabkan lebih 30,000 orang terpaksa meninggalkan rumah masing-masing.
Seorang paderi, Bebby Kaban menyatakan, seramai 19 orang telah meninggal dunia kerana menghidap sakit di pusat perlindungan.
Menurutnya, ramai penduduk lagi menunjukkan tanda-tanda dibebani dengan masalah tekanan.
"Penduduk tidak melakukan sebarang pekerjaan. Mereka hanya memandang ke langit," katanya. - dpa


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0110&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm#ixzz2pwOxeIcg 
Hakcipta terpelihara 

Air Terjun Niagara beku


KAWASAN Air Terjun Niagara di sempadan Amerika Syarikat kelihatan beku di Ontario kelmarin.


ONTARIO, Kanada - Beberapa keping gambar berjaya dirakamkan yang menunjukkan Air Terjun Niagara beku di sini akibat cuaca sejuk melampau kelmarin.
Cuaca sejuk yang melampau itu telah menjejaskan kehidupan 240 juta penduduk di Amerika Syarikat (AS) dan selatan Kanada.
Air Terjun itu terletak di sempadan Kanada dan AS.
Pada Selasa lalu, suhu di kawasan air terjun tersebut ialah bawah 18 darjah Celcius.
Namun, kawasan air terjun itu juga pernah menjadi beku pada tahun 1936. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0110&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz2pwOfHaF2 
Hakcipta terpelihara 

Thursday, January 9, 2014

DIA BENAR-BENAR PERMAISURI



Bekas Penganut Kristian, Nicol Queen Memeluk Agama Islam.
Ikuti kisahnya


Saya adalah seorang gadis Amerika yang berasal daripada sebuah pekan kecil di Texas, telah menerima hidayahNya untuk memeluk agama Islam. Saya tahu ianya memeranjatkan bagi sesetengah orang, tetapi bagi diri saya yang menjalani kehidupan terumbang-ambing sebagai seorang jurugambar yang merakam tentang kehidupan di malam hari, telah menjadi pendorong kepada diri saya dalam mencari erti dan matlamat kehidupan ini. Tuhan adalah matlamat utama dan saya tidak sesekali berputus asa di dalam pencarian ini. Kini saya adalah figura umum yang memberi ceramah tentang Islam di Amerika, dan juga merangkap sebagai seorang jurugambar profesional dengan pengalaman lebih dari 10 tahun. Saya amat bersyukur dengan kehidupan baru saya kini, yang telah berkahwin dan dikurniai seorang putera.

Andai ianya berlaku sebegitu mudah. Seumpama memuat naik iklan di laman web, apabila merujuk kepada diri ini yang pertama kali melalui proses transisi dalam meninggalkan kehidupan lampau yang sia-sia demi untuk memenuhi impian dan keinginan mendampingi Tuhan di dalam Islam. Atau mungkin, seperti laman mencari jodoh di alam maya, cuma anda perlu mencari perkara lain yang lebih besar daripada sekadar cinta semata-mata, umpamanya pencarian identiti baru, milik kendiri, persahabatan, atau mungkin karier baru? Wah, adakah pernah ada sesiapa yang menoleh ke belakang di dalam pelayaran dan mengatakan “Aku tidak percaya yang diriku telah berjaya merentasi ribut ini dengan selamat, tetapi adakah ianya berbaloi?” Saya tahu yang saya seringkali mengungkapkan kata-kata tersebut dan saya yakin saya bukanlah berseorangan. Untuk menjadi seorang Muslim, ianya lebih daripada sekadar menukar kepercayaan akidah sahaja.

Di serata dunia hari ini, orang ramai sibuk membaca, ber’blog’, mencari dan bertanya tentang Islam. Ianya telah menjadi topik terhangat dimana-mana, hatta di dalam gereja sekalipun. Disamping menyampaikan ajaran Kristian, gereja juga tidak boleh lari daripada membicarakan subjek berhubung Islam, agama anutan saya kini. Permintaan terhadap informasi berkaitan Muslim dan Islam meningkat dengan mendadak dan kian membesar, sehingga saya boleh memberi perumpamaan seperti bebola salji yang kian membesar semasa bergolek turun daripada bukit kerana mengumpulkan salji di sepanjang perjalanannya. Apa yang menariknya ialah melihat bagaimana masyarakat umum berebut-rebut untuk mengambil cebisan daripada “bebola salji” tersebut.

Keseronokan yang diperolehi apabila anda memeluk Islam, saya gelarkannya sebagai “New Muslim High” (Kenikmatan Saudara Baru Muslim)..(Ketawa). Saya membayangkan jika rasa keseronokan ini dapat dibotolkan dan dijual kepada orang ramai, tentu ramai orang akan turut dapat berkongsi perasaan yang menakjubkan ini. Ianya berlaku secara spontan, bagaikan seseorang mengejutkan anda daripada tidur yang lena dan berkata “Hei, apa khabar? Mari saya kenalkan kamu dengan diri kamu yang baru. Diri kamu yang dulu hanyalah pelanduk dua serupa yang tiada berjiwa. Inilah diri kamu yang sebenar, bersih dan bercahaya, yang kamu ingin bertemu sejak sekian lama”. Bersama-sama perubahan mendadak yang berlaku di dalam hidup ini, kita juga perlu bersedia untuk mendepani arus cabaran yang bakal mendatang.


Website: http://nicolequeen.com/
Blog:http://thequeensofislam.blogspot.com/
YouTube: TheNicoleQueen
Facebook: http://www.facebook.com/Queens.of.Islam

 —

Unta peluk bekas pemilik

Unta peluk bekas pemilikUnta memeluk bekas pemiliknya yang melawat ladang yang kini dimiliki pemilik baharu. Riyadh: Seekor unta menunjukkan emosi seperti manusia dan ingatan yang kuat apabila ia memeluk bekas pemilik warga Arab Saudinya dengan penuh kasih sayang selepas berjumpa kembali sejak sekian lama.

Bekas pemilik unta itu sendiri terkejut apabila unta berkenaan berlari mendapatkannya dan membelit bekas pemilik terbabit dengan lehernya yang panjang itu.

Rindu unta peliharaan


Lelaki berkenaan yang namanya tidak didedahkan dikatakan melawat ladang haiwan kepunyaan pemilik barunya kerana merindui unta yang pernah dipeliharanya itu.

Satu gambar yang diterbitkan akhbar berbahasa Arab, Sada Arabic menunjukkan petani itu dipeluk unta berkenaan dengan lehernya.

Laporan itu menyebut, Ia membelit leher bekas pemiliknya seolah-oleh mengatakan walaupun kamu sudah menjual saya, saya masih menyayangi kamu.

Gambar itu yang turut disiarkan beberapa laman sosial, segera mencetuskan pelbagai ulasan, kebanyakannya menyatakan rasa terharu berikutan kasih sayang yang ditunjukkan unta dan bekas pemiliknya.
Mereka juga terkejut dengan reaksi haiwan itu.

Walaupun lelaki berkenaan mengetahui unta itu akan mengenali beliau, beliau tidak menjangka binatang itu akan menunjukkan reaksi demikian terhadap manusia.

Cuaca sejuk melampau landa AS


Cuaca sejuk melampau di wilayah Midwest dan timur AS mengakibatkan permukaan jalan dipenuhi salji tebal dan menjadi licin. - AGENSI
NEW YORK 8 Jan. - Cuaca sejuk melampau di bahagian utara tengah Amerika Syarikat (AS) pada penghujung minggu lalu mula melanda bahagian timur negara ini, dengan suhu di sesetengah negeri dilaporkan jatuh sehingga mencecah paras -62 darjah celsius.
Keadaan itu mengakibatkan cuaca di wilayah Midwest dan timur AS dilaporkan jauh lebih sejuk berbanding benua Antartika, semalam.
Cuaca beku bersejarah itu mengakibatkan lebih 3,700 penerbangan kebanyakannya membabitkan penerbangan dalam negeri dibatalkan, kelmarin dan dijangka berterusan hingga hari ini membabitkan bandar Chicago, Cleveland, New York dan Boston.
Kira-kira 1,200 penerbangan di dua lapangan terbang di Chicago turut dibatalkan, semalam ekoran keadaan sejuk melampau di seluruh negeri ini.
Masalah jadual perjalanan termasuk penerbangan bagi orang ramai dijangka terus berlaku ekoran cuaca sejuk tersebut yang mengakibatkan permukaan jalan dipenuhi salji dan menjadi licin.
Sekolah-sekolah dilaporkan masih ditutup di Washington dan Atlanta dengan peniaga turut menghentikan operasi mereka.
Dalam pada itu, PJM Interconnection yang mengendalikan grid kuasa membekalkan tenaga elektrik kepada lebih 61 juta penduduk di Mid-Atlantic, Midwest dan bahagian selatan AS meminta pengguna supaya menjimatkan penggunaan elektrik kerana cuaca sejuk.
Gabenor negeri Illinois, Pat Quinn dan Gabenor negeri Indiana, Mike Pence turut mengumumkan perintah darurat, langkah pertama dalam usaha mendapatkan bantuan daripada Kerajaan Persekutuan.
Sementara itu, kira-kira 500 penumpang kereta api Amtrak yang dalam perjalanan ke Chicago terpaksa menghabiskan malam mereka di dalam tiga buah kereta api selepas pengangkutan itu terkandas akibat salji tebal di Illinois.
Sementara itu, ahli meteorologi turut memberi amaran bahawa suhu dan angin sejuk itu 'agak berbahaya dan boleh mengancam nyawa', manakala kulit boleh membeku dalam tempoh 10 minit sekiranya angin sejuk bertiup mencapai paras negatif 50. - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140109/lu_03/Cuaca-sejuk-melampau-landa-AS#ixzz2psc1qDuL
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Lahir janin kembar 10


New Delhi: Seorang wanita berusia 28 tahun mencipta rekod apabila melahirkan 10 janin dikandungnya secara normal.

Doktor di Hospital Peringatan Sanjay Gandhi berkata, Anju Kushwaha yang hamil 12 minggu melahirkan sembilan janin itu ketika dalam perjalanan ke hospital itu Ahad lalu, manakala janin terakhir dilahirkan di hospital.


Dr S K Pathak berkata, wanita terbabit dilaporkan dalam keadaan stabil, namun malangnya semua anaknya itu meninggal dunia.



“Sembilan janin dilahirkan dalam perjalanan ke hospital manakala yang terakhir dilahirkan dengan bantuan pakar kami di dewan bedah.


“Semuanya dilahirkan tidak bernyawa pada usia hampir 12 minggu,” katanya.


Pihaknya mendakwa kes itu adalah kelahiran janin tertinggi daripada satu rahim.

Sebelum ini, pada 1971, seorang doktor di Rom mengeluarkan 15 janin daripada seorang wanita berusia 5 tahun. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/08

20,647 sushi disusun untuk hasilkan nombor sepuluh



BEBERAPA pekerja melakukan kerja-kerja di tepi susunan sushi yang membentuk nombor sepuluh di sebuah pusat beli-belah di Hong Kong semalam.


HONG KONG - Sebanyak 20,647 sushi pelbagai warna disusun bagi menghasilkan nombor sepuluh berjaya dibuat di sebuah pusat beli-belah di sini semalam.
Sushi itu disusun oleh beberapa pekerja kedai menjual makanan Jepun itu dengan melibatkan ruang seluas 37.16 meter persegi.
Ia dibuat bagi meraikan ulang tahun ke-10 penubuhan kedai menjual sushi di pusat beli-belah tersebut.
Susunan itu turut mencipta rekod Guinness World Records bagi kategori bentuk sushi paling besar yang pernah dibuat.
Sushi merupakan makanan Jepun berupa nasi yang diletakkan lauk, terutamanya ikan mentah di bahagian atas atau di dalamnya.
Makanan Jepun itu kemudian dibungkus untuk diedarkan kepada orang ramai secara percuma. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0109&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm#ixzz2pqsSo25s 
Hakcipta terpelihara 

Gunung Sinabung muntah lahar di Sumatera Utara


GUNUNG Sinabung menghamburkan debu dan lahar dekat Karo, Sumatera Utara semalam.


JAKARTA - Gunung Sinabung terus memuntahkan gas panas, lahar dan batu ke udara semalam menyebabkan beribu-ribu penduduk terpaksa dipindahkan, kata seorang pegawai.
Agensi Pengurusan Bencana Kebangsaan berkata, aktiviti terbaharu gunung berapi berkenaan yang bermula pada September lalu menyebabkan lebih 22,000 penduduk terpaksa dipindahkan.
"Gunung itu dijangka terus meletus," kata seorang jurucakap agensi berkenaan, Sutopo Nugroho.
Tambahnya, gunung berapi berkenaan telah memuntahkan gas dan batu-batuan panas lebih daripada 20 kali sejak kelmarin.
Seorang anggota sukarelawan, Riska Siregar berkata, kebanyakan penduduk yang terpaksa berlindung di bangunan kerajaan dan khemah di wilayah Karo, utara Sumatera berada dalam keadaan serba kekurangan.
Katanya, seramai tujuh penduduk meninggal dunia ekoran pelbagai masalah kesihatan seperti tekanan darah tinggi dan masalah pernafasan.
"Sebilangan besar lagi penduduk memerlukan rawatan kesihatan.
"Ramai di antara mereka tertekan kerana terpaksa berpindah dari kediaman mereka selama berminggu-minggu dan kesusahan yang mereka alami juga kurang diberi perhatian,'' katanya.
Bagaimanapun, bekalan makanan untuk penduduk tersebut masih mencukupi untuk beberapa minggu yang akan datang.
Gunung Sinabung setinggi 2,460 meter tidak aktif sejak 400 tahun lalu sebelum ia meletus pada Ogos 2010.
Terdapat 130 gunung berapi yang aktif di kepulauan Indonesia. - dpa


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0109&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz2pqrNeR61 
Hakcipta terpelihara 

Wednesday, January 8, 2014

AS dilanda sejuk melampau


TASIK Michigan beku akibat suhu sejuk melampau di Chicago, Illinois kelmarin.- AFP



INDIANAPOLIS - Aliran udara sejuk berbahaya yang melanda bahagian tengah hingga selatan dan timur Amerika Syarikat (AS) telah menyebabkan banyak sekolah serta perniagaan ditutup manakala 16 orang dilaporkan meninggal dunia.
Suhu di kawasan tersebut semalam mencecah negatif 27 darjah Celsius sekali gus memecah rekod suhu paling sejuk yang pernah dicatatkan di negara berkenaan.
Di Toronto, seorang pegawai di Lapangan Terbang Antarbangsa Pearson memberitahu, suhu sejuk yang ekstrem menyebabkan amaran keselamatan telah dikeluarkan kepada para petugas.
Seramai 187 juta penduduk di kawasan terbabit akan terjejas akibat 'pusaran polar' itu apabila ia merebak ke seluruh AS.
Sebuah syarikat utiliti, PJM Interconnection yang membekalkan tenaga elektrik kepada lebih 61 juta pengguna di tengah Atlantik, tengah dan selatan AS semalam meminta para pengguna menjimatkan penggunaan tenaga ekoran cuaca sejuk.
Dalam pada itu, di Indiana pula lebih 30,000 terpaksa bergelap selepas bekalan elektrik di beberapa kawasan terputus kelmarin.
Lebih 500 penumpang terpaksa bermalam di dalam gerabak kereta api apabila tiga perkhidmatan berkenaan yang menuju ke Chicago terpaksa berhenti akibat salji tebal di Illinois.
Seorang kakitangan meteorologi, Bob Oravec di Pusat Ramalan Cuaca di College Park, Maryland berkata, aliran udara sejuk meningkatkan kebimbangan jalan raya yang basah akibat salji yang cair pada minggu lalu akan membeku semula.
"Bagaimanapun, terdapat tanda-tanda keadaan akan kembali normal apabila suhu kembali meningkat diramalkan di tengah AS,'' katanya. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0108&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz2pkzhNPRl 
Hakcipta terpelihara 

Tuesday, January 7, 2014

Remaja India miliki 14,000 batang pensel



LAKHANPAL bergambar bersama koleksi penselnya di India baru-baru ini.- Agensi


NEW DELHI - Ramai orang gemar mengumpul setem, duit syiling atau rantai kunci tetapi berbeza dengan seorang remaja di India yang menjadikan pensil sebagai koleksi peribadinya.
Remaja berkenaan, Tushar Lakhanpal yang berasal dari sini memiliki lebih daripada 14,000 batang pensel dalam pelbagai bentuk dan saiz.
Tushar, 15, mengumpul pensel tersebut dari 40 buah negara di seluruh dunia.
Dia percaya koleksinya itu mampu untuk mencatat rekod dunia yang baharu. Lebih menarik, remaja lelaki berkenaan turut menyimpan dua batang pensel yang pernah menjadi milik Ratu Elizabeth II.
"Ibu bapa saya membeli set dua batang pensel ini pada harga £400 (RM2,154). Pemerintah Britain berkenaan pernah menggunakan pensil ini," kata Tushar.
"Saya juga memiliki pensel berbau wangi, bertopi dan alat tulis berkenaan yang dihasilkan secara buatan tangan," tambahnya.
Tushar bercita-cita mahu memecahkan rekod dunia koleksi pensel paling banyak milik Emilio Arenas dari Uruguay.
Arenas memiliki sebanayak 14,552 batang pensel dari 60 buah negara pada bulan Ogos 2011. Dia mula mengumpul pensil sejak 60 tahun lalu bermula pada 1956. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0107&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_04.htm#ixzz2pf8uBjM6 
Hakcipta terpelihara 

39 ekor ikan paus mati terdampar di New Zealand



BEBERAPA ekor ikan paus pilot terdampar di sebuah pantai di Wellington, New Zealand semalam.- AFP


WELLINGTON - Sebanyak 39 ekor ikan paus pilot ditemui mati selepas terdampar di sebuah pantai terpencil di New Zealand, kata beberapa pegawai konservasi semalam.
Jabatan Konservasi New Zealand memberitahu, semua paus tersebut dikesan terdampar di pantai Golden Bay, Pulau Selatan sejak kelmarin.
Pengurus Jabatan berkenaan, John Mason berkata, sebanyak 12 ekor paus itu mati secara semula jadi dengan bakinya dihapuskan.
"Kami mendapati paus-paus itu terdampar terlalu jauh dari laut untuk diapungkan semula," kata Mason
Insiden paus pilot terdampar biasa berlaku di New Zealand.
Setakat ini saintis-saintis masih keliru berhubung punca mamalia itu berenang secara beramai-ramai ke daratan. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0107&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm#ixzz2pf8HD8VB 
Hakcipta terpelihara 

Monday, January 6, 2014

Lima anak kahwin serentak

Lima anak kahwin serentak5 Januari 2014Ariffin (kiri) dan Fatimah (kanan) menunjukkan isyarat ‘lima’ dan ‘bagus’ sebagai tanda lima anaknya mendirikan rumah tangga.

ALOR SETAR - Majlis perkahwinan anak pasangan, Che Ariffin Abd Manaf, 54, dan Sharifah Fatimah Syed Hussain, 50, di Seri Aman, Lorong Seri, dekat sini, dimeriahkan dengan sambutan lima menantu serentak.
Kelima-lima anak pasangan, Farhana, 28, Mohd Farhan, 25, Mohd Syafiq, 24, Mohd Anis, 22, dan Mohd Anas, 20, dikatakan menyuarakan hasrat mereka untuk mendirikan perkahwinan secara serentak.
Lima adik beradik berkenaan turut mencipta sejarah tersendiri apabila diarak bersama pasangan masing-masing sejauh 200 meter (m) sehingga ke kediaman mereka dalam cuaca panas terik.

Suap air Yasin

Kira-kira jam 1 petang, perarakan dimulakan dengan anak kedua dari tujuh beradik, Farhana bersama pasangannya, Mohd Shafarin Mansor, 29, diikuti adiknya, Farhan dengan Fatin Fadlilah Mohd Salleh, 25.
Kemunculan Mohd Syafiq dan Syazwani Ghazali, 24, dituruti Mohd Anis bersama Siti Aishah Mohd Noor, 21, serta tidak ketinggalan Mohd Anas dengan isterinya, Nurul Nadjua Izda Mohd Izham, 19.

Kesemua pasangan pengantin dilihat segak mengenakan persalinan berwarna kelabu, manakala ibu bapa mereka sedondon berbaju biru semasa meraikan kehadiran tetamu.

Lebih menarik perhatian, apabila bapa, Ariffin dan ibu, Sharifah, lima adik beradik berkenaan menyuapkan air bacaan Yasin kepada setiap anak dan menantu baru mereka.

Tanda terima menantu

Ariffin berkata, gimik memberi anak dan menantunya minum air Yasin diadakan buat julung kalinya sebagai cara dia gembira menerima kehadiran warga baru dalam keluarga mereka.

Katanya, dia sengaja merancang dan melakukan acara gimik sedemikian sebagai tanda dirinya dan isteri merestui perkahwinan lima anaknya bersama pasangan pilihan hati mereka.
Lebih menggembirakan, katanya, apabila majlis perkahwinan anak menantunya diserikan lagi dengan kehadiran lebih 6,000 tetamu termasuklah ahli keluarga, saudara mara mahupun kenalannya.

Walaupun berhabis kira-kira RM100,000, namun ia berbaloi apabila anaknya gembira, dan puas hati dapat memuaskan hati tetamu.
Teman sekampung jadi pilihan
Berbanding pasangan lain, anak keempat dari tujuh beradik, Mohd Syafiq dan Syazwani antara menjadi tumpuan ramai sebab tinggal sekampung, manakala jarak kediaman mereka hanyalah sekitar 100 meter (m).

Ketika menceritakan detik pertemuan mereka, pasangan terbabit ketawa, malah kelihatan tidak menyangka jodohnya antara mereka kerana ia seakan-akan cinta pandang pertama.
“Saya sering membawa anak saudara bersiar-siar, manakala isteri juga rapat dengan anak saudaranya. Rasanya hati saling terpaut apabila mata bertentang sewaktu dua-dua kami membawa anak saudara keluar berjalan,” katanya.

Katanya, dia kemudiannya berkawan dengan Syazwani yang merupakan pelajar jurusan Syariah Kolej Universiti Insaniah (Kuin) selama setahun, sebelum membuat keputusan untuk mendirikan rumah tangga bersama.

Menurutnya, dia terpikat pada sifat bertanggungjawab, penyayang dan keibuan ditonjolkan pasangannya selama perkenalan mereka.

Pelajaran tak diabaikan
Manakala, pasangan termuda, Mohd Anas bersama Nurul Nadjua Izda, 19, menyatakan usia mereka yang muda bukan halangan untuk mendirikan rumah tangga, sebaliknya mereka sudah bersedia.

Nurul berkata, walaupun telah mempunyai tanggungjawab sendiri terhadap suami, namun ia tidak sekali-kali dijadikan alasan untuk mengabaikan pelajaran.
Meskipun, Anas sudah bekerja, dan Nurul Nadjua Izda masih belajar di tingkatan enam atas Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tunku Abdul Rahman namun ia tidak menjadi penghalang.

Katanya, dia akan memastikan dirinya menjalankan tugasnya sebagai isteri sebaik mungkin, malah perkahwinan tersebut diharap mampu menjadi pendorong semangatnya untuk lebih berjaya.

Majlis perkahwinan lima pasangan terbabit diserikan dengan kehadiran tetamu kehormat seperti Adun Derga, Tan Kok Yew dan Adun Alor Mengkudu, Ahmad Yahya.

AS terus beku

AS terus bekuBeberapa bangunan dilitupi salji hingga menghentikan segala operasi.

WASHINGTON - AMERIKA SYARIKAT. Penduduk Amerika Syarikat (AS) diberi amaran supaya bersiap sedia menghadapi suhu paling sejuk sehingga mencecah -16 Celcius sejak tempoh 40 tahun.

Menurut pakar, hampir 140 juta penduduk akan dilanda suhu sejuk -17 Celcius pada Rabu ini.

Penyelaras Meteorologi Weather Channel, Tom Moore berkata kepada Daily Mail, cuaca baru dikenali sebagai 'pusaran kutub' kini mengancam untuk membawa suhu rendah ke barat tengah negara itu.

"Ia menjadi suhu paling sejuk pada musim ini, berbahaya kerana mempunyai angin yang mengancam nyawa. Dalam keadaan itu, kulit yang terdedah akan mengalami serangan gigitan embun beku dalam tempoh hanya lima minit," katanya.

Pusaran kutub akan menghantar udara sejuk dari Kutub Utara ke AS, sehingga ke Pantai Teluk. Manakala, salji dijangka melanda Ahad ini di barat tengah dan mampu melitupi sehingga 25 sentimeter di sesetengah kawasan.

Ramalan suhu mengejutkan juga dijangka melanda, International Falls di Minnesota dengan -1 Celcius dan bawah -9 Celcius di Indianapolis serta Chicago.

Pesta tangkap ikan dalam ais

Pesta tangkap ikan dalam ais6 Januari 2014

Ratusan orang ramai berkumpul untuk menangkap ikan dengan menggunakan tangan. 

SEOUL - KOREA SELATAN. Walaupun dalam cuaca sejuk, ribuan penduduk Korea Selatan tidak melepaskan peluang mengambil bahagian dalam pertandingan memancing di kawasan ais.

Menurut laporan Daily Mail, menariknya, pemancing perlu menggali lubang ais sedalam 40 sentimeter dan menangkap seberapa banyak ikan menggunakan rod, umpan tradisional atau pun tangan.

Festival Trout Gunung Hwacheon di wilayah Gangwon diadakan setiap Januari turut menampilkan aktiviti sampingan seperti gelongsor ais, bola sepak ais dan mencipta patung salji.

Ritual kesyukuran budaya Sunda

TARIAN kesenian masyarakat Sunda turut dipersembahkan kepada
 orang ramai yang hadir memeriahkan acara adat Serentaun.

HIDUP masyarakat Indonesia yang terdiri daripada pelbagai suku dan keturunan kukuh bersendikan adat.
Bangsa ini sangat teguh melestarikan kebudayaan yang diwarisi daripada nenek moyang mereka.
Kepada masyarakat Sunda di Kampung Sindangbarang, daerah Taman Sari, Bogor, Jawa Barat misalnya, setiap kali tibanya musim menuai padi, ia merupakan hari yang sangat istimewa buat mereka.
Acara yang dikenali sebagai Serentaun di kalangan masyarakat Sunda amat penting untuk diraikan secara besar-besaran.
Baru-baru ini, di Kampung Sindangbarang, kemeriahan upacara Serentaun diadakan penuh tradisi.
Belasan lelaki berbaju hitam berbaris rapi sambil memikul gabah (biji padi yang belum diproses menjadi beras) dan berjalan sambil diiringi permainan alat muzik tradisional Sunda.
Sementara di belakang lelaki-lelaki itu pula, ratusan warga lain menuruti mereka dengan membawa tandu berisi pelbagai hasil pertanian yang diambil dari sawah dan kebun.
Tidak ketinggalan, ribuan anggota masyarakat leka menyaksikan acara itu di sepanjang jalan yang dilalui.
Untuk memberikan pemahaman yang mudah kepada pembaca, acara Serentaun sering disamakan dengan sambutan 'Thanksgiving' yang disambut oleh masyarakat di Barat.
Serentaun yang diwarisi masyarakat Islam Sunda ialah untuk menyatakan rasa syukur kepada Allah atas limpahan rezeki melalui hasil-hasil pertanian mereka.
Memandangkan acara Serentaun semakin jarang diadakan, maka sambutan yang diadakan di Kampung Sindangbarang baru-baru ini menarik perhatian ribuan orang untuk menyaksikannya termasuk pelancong asing.
Selain di Kampung Sindangbarang, Bogor, tiga daerah lainnya di tanah Pasundan (wilayah tempat asal Suku Sunda) yang secara rutin masih menganjurkan acara Serentaun ialah di Desa Cigugur di Kabupaten Kuningan, Desa Ciptagelar di Sukabumi, dan Desa Cisungsang di Lebak.
Masyarakat Sunda di daerah-daerah tersebut menganjurkan acara tersebut pada setiap bulan Muharam dalam kalendar Islam.
Menurut Ketua Adat Kampung Sindangbarang, Akhmad Mikami Sumawijaya, acara Serentaun di kampung tersebut juga pernah melalui era yang gelap apabila tiada sebarang penganjuran dibuat selama 36 tahun.
Katanya, keadaan itu berlaku kerana, selepas pemimpin adat sebelum beliau meninggal dunia, tidak ada mana-mana individu yang mahu mengambil inisiatif meneruskan acara tradisi masyarakat Sunda itu.
"Namun sejak 2004 setelah saya dipilih sebagai pemimpin adat, Serentaun kembali kami rayakan. Kami tidak ingin adat yang telah ada sejak awal abad ke-12 ini hilang begitu saja," kata Akhmad membuka cerita.
Akhmad berkata, Serentaun tidak sekadar acara tahunan, sebaliknya, ia merupakan ruang untuk masyarakat Sunda mengeratkan silaturahim selain mengajak generasi muda supaya mencintai budaya.
Pada acara itu juga, kesemua hasil pertanian akan dibawa dan diletakkan di alun-alun atau lapangan kampung tersebut.
Sebaik perjalanan membawa hasil pertanian itu berakhir, Akhmad bersama para sesepuh adat lain dan seluruh masyarakat Sunda Kampung Sindangbarang akan sama-sama berdoa memohon kesejahteraan.
Selanjutnya, secara berganti-ganti, Akhmad dan sesepuh adat lain memasukkan gabah kering ke dalam rumah tradisional Sunda yang dijadikan sebagai lumbung (setor simpanan).
Gabah-gabah yang disimpan itu merupakan simbol persediaan bahan makanan untuk tempoh setahun akan datang.
Ketika gabah-gabah dimasukkan ke dalam lumbung, orang ramai berebut-rebut menikmati hasil pertanian yang dibawa oleh petani.
Ketika ini, wajah-wajah kegembiraan terpancar pada muka warga yang memeriahkan acara Serentaun.
"Perbuatan merebut-rebut hasil pertanian pula membawa simbol bahawa hasil pertanian yang ada di desa juga dirasakan oleh seluruh warga," kata Akhmad lagi.
Kebahagiaan orang ramai masih belum berakhir kerana di satu sudut lain, kumpulan kesenian akan menghiburkan mereka dengan tarian-tarian tradisional masyarakat Sunda dan antara kesenian yang menarik perhatian ialah tarian Jaipong.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140105/lu_03/Ritual-kesyukuran-budaya-Sunda#ixzz2pZRPiHg1
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Gel makanan elak obesiti dicipta


LONDON 5 Jan. - Saintis Britain berjaya mencipta sejenis gel yang boleh dimakan dan menyebabkan pemakannya rasa kenyang, usaha terbaharu yang dilihat untuk membendung gejala obesiti dalam kalangan penduduk negara ini.
Menurut akhbar Sunday Telegraph, penyelidik Universiti Birmingham membuat penemuan tersebut ketika mencampurkan pelbagai jenis bahan makanan.
Antara bahan tersebut adalah rumpai laut, kanji dan kulit oren, untuk membentuk gam terlarut yang boleh digunakan sebagai bahan pemekat makanan biasa.
Menurut kajian yang diterbitkan dalam jurnal Food Hydrocolloids itu, gam tersebut mula mengembang dan bercampur untuk membentuk sejenis gel apabila terdedah kepada asid di perut.
Saintis kini melakukan kajian untuk membangunkan bahan tersebut supaya boleh digunakan bersama makanan harian.
Ketua projek tersebut, Jennifer Bradbeer berkata, penemuan itu boleh membantu menangani krisis obesiti negara ini di mana 64 peratus orang dewasa United Kingdom (UK) kini dikategorikan sebagai obes atau gemuk. - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140106/lu_11/Gel-makanan-elak-obesiti-dicipta#ixzz2pZNcDqqy
© Utusan Melayu (M) Bhd