Pages

Thursday, January 9, 2014

Cuaca sejuk melampau landa AS


Cuaca sejuk melampau di wilayah Midwest dan timur AS mengakibatkan permukaan jalan dipenuhi salji tebal dan menjadi licin. - AGENSI
NEW YORK 8 Jan. - Cuaca sejuk melampau di bahagian utara tengah Amerika Syarikat (AS) pada penghujung minggu lalu mula melanda bahagian timur negara ini, dengan suhu di sesetengah negeri dilaporkan jatuh sehingga mencecah paras -62 darjah celsius.
Keadaan itu mengakibatkan cuaca di wilayah Midwest dan timur AS dilaporkan jauh lebih sejuk berbanding benua Antartika, semalam.
Cuaca beku bersejarah itu mengakibatkan lebih 3,700 penerbangan kebanyakannya membabitkan penerbangan dalam negeri dibatalkan, kelmarin dan dijangka berterusan hingga hari ini membabitkan bandar Chicago, Cleveland, New York dan Boston.
Kira-kira 1,200 penerbangan di dua lapangan terbang di Chicago turut dibatalkan, semalam ekoran keadaan sejuk melampau di seluruh negeri ini.
Masalah jadual perjalanan termasuk penerbangan bagi orang ramai dijangka terus berlaku ekoran cuaca sejuk tersebut yang mengakibatkan permukaan jalan dipenuhi salji dan menjadi licin.
Sekolah-sekolah dilaporkan masih ditutup di Washington dan Atlanta dengan peniaga turut menghentikan operasi mereka.
Dalam pada itu, PJM Interconnection yang mengendalikan grid kuasa membekalkan tenaga elektrik kepada lebih 61 juta penduduk di Mid-Atlantic, Midwest dan bahagian selatan AS meminta pengguna supaya menjimatkan penggunaan elektrik kerana cuaca sejuk.
Gabenor negeri Illinois, Pat Quinn dan Gabenor negeri Indiana, Mike Pence turut mengumumkan perintah darurat, langkah pertama dalam usaha mendapatkan bantuan daripada Kerajaan Persekutuan.
Sementara itu, kira-kira 500 penumpang kereta api Amtrak yang dalam perjalanan ke Chicago terpaksa menghabiskan malam mereka di dalam tiga buah kereta api selepas pengangkutan itu terkandas akibat salji tebal di Illinois.
Sementara itu, ahli meteorologi turut memberi amaran bahawa suhu dan angin sejuk itu 'agak berbahaya dan boleh mengancam nyawa', manakala kulit boleh membeku dalam tempoh 10 minit sekiranya angin sejuk bertiup mencapai paras negatif 50. - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140109/lu_03/Cuaca-sejuk-melampau-landa-AS#ixzz2psc1qDuL
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments: