Pages

Monday, July 22, 2013

Kanak-kanak strok lawan ramalan doktor


Isabel Manchip

LONDON 22 Julai - Seorang kanak-kanak perempuan yang mengalami strok ketika berusia setahun, menolak segala ramalan perubatan tentang masa depannya yang tipis untuk pulih dengan belajar untuk berjalan dan bercakap.
Isabel Manchip dari Portsmouth merupakan seorang daripada kanak-kanak termuda di Britain yang menderita akibat strok hingga merosakkan 75 peratus otak kanannya.
Kecederaan otak di bahagian kanan dikenali sebagai hemiplegia, boleh melumpuhkan bahagian kanan badan dan begitu juga sebaliknya.
Kini usia kanak-kanak itu sudah lebih dua tahun, dan dia mula menggunakan bahagian kiri badannya serta memakai anduh setiap hari bagi menyokong tangan kirinya.
Tidak seperti orang dewasa yang terdedah kepada penyakit strok akibat merokok, diet yang teruk dan kolestrol tinggi, punca penyakit itu terhadap kanak-kanak masih belum dapat dijelaskan.
Namun, menurut ibu bapa Manchip, Rebecca, 45, dan Eddie, 48, anak mereka itu dipercayai mengalami strok akibat demam campak pada Disember 2011 dan terpaksa dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) selama lima hari.
Malah, kanak-kanak terbabit tidak mempunyai harapan tinggi untuk hidup apabila doktor memaklumkan bahagian otak kanannya telah mengalami kerosakan sebanyak 95 peratus.
Namun, tiga bulan kemudian, ujian imbasan menunjukkan kerosakan otak Manchip menurun kepada 75 peratus, sekali gus menjelmakan harapan cerah untuk kanak-kanak itu pulih semula.
Kini setelah setahun, Manchip menidakkan jangkaan awal doktor sebelum ini, apabila dia bukan sahaja terus hidup, malah sudah mampu berjalan, berlari dan berbasikal.
Sebelum ini, doktor mendapati, Manchip buta mata kiri, namun kini penglihatan kanak-kanak berkenaan juga telah pulih sepenuhnya. - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130723/lu_08/Kanak-kanak-strok-lawan-ramalan-doktor#ixzz2ZscTCXRf
© Utusan Melayu (M) Bhd 

China dilanda gempa bumi


Seorang lelaki memberi minuman kepada seorang daripada mangsa gempa bumi di wilayah Gansu, China, semalam. - REUTERS
BEIJING 22 Julai - Sekurang-kurangnya 89 orang terbunuh dan lebih 600 lagi cedera apabila dua gempa bumi kuat menggegarkan kawasan pergunungan di pedalaman barat laut China, awal hari ini.
Pusat Pemantauan Geologi Amerika Syarikat (AS) melaporkan, gempa bumi pertama berukuran 5.9 pada skala Richter melanda wilayah Gansu pada kira-kira pukul 7.45 pagi pada kedalaman 9.8 kilometer berpusat di 151 kilometer di barat Beidao.
Gempa kedua pula berukuran 5.6 pada skala Richter melanda wilayah yang sama pada pukul 9.12 pagi pada kedalaman 10.1 kilometer.
Pihak berkuasa wilayah Gansu berkata, gegaran kedua-dua gempa berkenaan menyebabkan lebih 21,000 buah rumah rosak teruk dan lebih 1,200 lagi bangunan runtuh.
Jelas pegawai itu, sebanyak 296 daripada 600 mangsa yang cedera, mengalami luka parah.
Meski pun wilayah Gansu tidak mempunyai ramai penduduk, namun bandar Dingxi yang dihuni kira-kira 2.7 juta penduduk, antara paling teruk terjejas akibat gempa berkenaan.
Sementara itu, sebanyak 380 buah rumah musnah dan beribu-ribu lagi rosak di negeri Zhang, lapor pegawai kerajaan di Dingxi.
Dalam perkembangan sama, portal berita I63.com melaporkan, seramai 500 tentera termasuk 120 pasukan khas penyelamat dikerah ke zon bencana.
Agensi berita Xinhua melaporkan, sebanyak 500 buah khemah dan 2,000 selimut dihantar ke wilayah berkenaan untuk diedarkan kepada mangsa.
Hujan yang turun di kawasan bencana dijangka memburukkan lagi keadaan, sekali gus mengganggu operasi mencari dan menyelamat . - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130723/lu_04/China-dilanda-gempa-bumi#ixzz2ZsbNwCei
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Enjin roket Apollo 11 ditemui

Kumpulan pengkaji Bezos Expeditions memeriksa enjin roket
 Apollo 11 yang ditemui di dasar Lautan Atlantik pada Mac lalu
LONDON 21 Julai - Sekumpulan penyelidik daripada Pusat Angkasa Lepas dan Kansas Comosphere, semalam mengesahkan serpihan roket yang ditemui di dasar Lautan Atlantik pada Mac lalu merupakan enjin roket Apollo 11.
Enjin Apollo 11 yang ditemui oleh kumpulan pengkaji Bezos Expeditions itu pernah digunakan untuk membawa tiga angkasawan termasuk Neil Armstrong ke bulan pada 20 Julai 1969.
Pengesahan itu dibuat berdasarkan nombor siri '2044' yang tertera pada badan enjin tersebut.
Menurut Bezos, enjin roket itu ditemui dengan bantuan kenderaan kawalan jauh berteknologi tinggi yang dicipta untuk tahan tekanan tinggi kedalaman air.
Kenderaan itu dihubungkan dengan kapal di permukaan melalui kabel fiber optik untuk pemindahan data dan kuasa.
Enjin yang ditemui itu berfungsi untuk melancarkan Apollo 11 ke bulan dalam tempoh dua minit, melibatkan penggunaan minyak bernilai 4.5 juta pound (RM21.6 juta).
Enjin itu terpisah daripada roket dan jatuh ke Lautan Atlantik selepas tempoh pelancaran fasa pertama tamat. - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130722/lu_06/Enjin-roket-Apollo-11-ditemui#ixzz2Zmk8GLBD
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Gara-gara pembedahan plastik

Alicia Douvall selepas menjalani pembedahan selama
sembilan jam untuk memperbaiki wajahnya. - AGENSI
LONDON 21 Julai - Demi untuk kecantikan, seorang bekas model terkenal di Britain sanggup membelanjakan kesemua harta bendanya dan hidup dalam kesunyian semata-mata untuk menjalani pembedahan plastik.
Alicia Douvall telah membelanjakan lebih 1.5 juta pound (RM7.3 juta) untuk menjalani pembedahan plastik, sekali gus turut hampir menyebabkan hubungannya dengan anak perempuannya musnah.
Akibat kemaruk untuk kelihatan seperti anak patung Barbie, Douvall telah menjalani lebih 350 prosedur pembedahan, termasuk memendekkan jari kakinya supaya kelihatan cantik ketika memakai selipar dua tahun lalu.
Namun, pembedahan itu mengubahnya menjadi Barbie yang cacat.
"Pembedahan itu telah mengubah saya menjadi seperti Frankenstein dan menyebabkan saya tidak mahu mengambil sebarang gambar kerana berasa terlalu hodoh," katanya.
Douvall kemudiannya menulis hampir berpuluh-puluh surat kepada pakar bedah plastik merayu mereka membaiki semula wajahnya dan menemui dua pakar yang bersetuju melakukannya.
Dalam operasi selama sembilan jam yang berisiko tinggi itu dan berharga 25,000 pound (RM121,867), dia berjaya mendapatkan senyumannya semula.
"Mereka memaklumkan kepada saya operasi ini mungkin akan menyebabkan saya tidak akan sedar lagi atau hasilnya menyebabkan saya menjadi raksaksa.
"Namun, saya tidak kisah dan telah bersedia untuk mengorbankan nyawa saya demi mendapatkan wajah saya seperti dahulu semula," ujarnya.
Douvall mengakui ketaksuban menjalani pembedahan plastik telah memusnahkan kehidupannya dengan setiap wang yang dimilikinya akan dibelanjakan untuk perkara itu sehingga menyebabkan dia kini tinggal di apartmen sewa dan tidak mempunyai pasangan hidup. - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130722/lu_05/Gara-gara-pembedahan-plastik#ixzz2ZmjLCJGj
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Gempa di Gansu, China ragut 19 mangsa, 270 cedera

BEIJING 22 Julai - Sekurang-kurangnya 19 terkorban dan 270 yang lain cedera dalam gempa bumi kuat berukuran 6.6 pada skala Richter yang melanda Wilayah Gansu di barat laut China, pagi ini, kata pihak berkuasa tempatan.
Gempa yang berlaku pada 7.45 pagi itu melanda dua daerah di bandar Dingxi, lapor agensi berita Xinhua.
Menurut Pusat Rangkaian Gempa Bumi China, pusat gempa itu terletak di kedudukan 34.5 darjah latitud utara dan 104.2 darjah longitud timur pada kedalaman 20 km.
Xinhua memetik sumber sebagai berkata kebanyakan kawasan bandar terjejas ekoran gempa bumi itu apabila banyak rumah runtuh.
Operasi menyelamat dijalankan di kawasan bencana itu. - BERNAMA


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130722/lu_15/Gempa-di-Gansu-China-ragut-19-mangsa-270-cedera#ixzz2Zmh2r7Es
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Gunung berapi menjerit?



Gunung berapi menjerit?
Gunung berapi menjerit?
Sesetengah gunung berapi menjerit pada nada paling tinggi akibat pergeseran yang dicetuskan oleh gegaran sebelum meletus.
SEKUMPULAN saintis mendedahkan, gunung berapi mampu menjerit pada nada paling tinggi sebelum meletus.

Pakar Universiti Washington, Amerika Syarikat (AS) yang mengkaji letusan gunung berapi Redoubt, Alaska dalam Mac 2009, mengesahkan perkara itu.

Kumpulan berkenaan menjumpai apa yang dilabelkan sebagai 'jeritan' diikuti aktiviti seismik sewaktu berubah dari denyutan normal kepada gegaran kuat.

Menerusi kajian itu, mereka turut percaya kekerapan gegaran akibat gempa bumi bawah tanah adalah punca kepada kebarangkalian letusan gunung berapi dalam tempoh terdekat.

Bagaimanapun, saintis berpendapat gempa bumi dan gegaran harmoni berlaku apabila magma ditolak keluar melalui saluran sempit di bawah tekanan kuat ke tengah-tengah kawah gunung.

Penuntut kedoktoran sebuah universiti dalam AS, Alicia Hotovec-Ellis berkata, jeritan gunung berapi mampu didengar oleh manusia walaupun pada kekerapan rendah selepas mengeluarkan gegaran harmoni.

Katanya kepada MailOnline, gegaran harmoni meningkat kepada frekuensi yang lebih tinggi kemudian berhenti secara tiba-tiba sebelum gunung berkenaan meletus sebanyak enam kali.

"Sesetengah gunung berapi mengeluarkan bunyi melalui gema magma yang ditolak dari bahagian bawah retakan nipis kerak bumi," katanya.

Katanya, setiap pergerakan secara tiba-tiba membawa kepada gempa bumi kecil sekurang-kurangnya 1.5 pada skala Richter.

Fosil dinosaur syaitan ditemui



Fosil dinosaur syaitan ditemui
Pakar paleontologi menganggarkan saiz pada hayat dinosaur ini kira-kira 4.57 meter panjang dan seberat 2.5 tan.
JIKA dilihat daripada saiz dan  rangka, ia dipercayai hidup pada 76 juta tahun lalu dan mati pada usia muda.

Menurut laporan MailOnline, Nasutuceratops titusi atau dinosaur syaitan, ditemui tertanam di tengah kawasan padang pasir Utah, Amerika Syarikat (AS).

"Kami menggelarnya dinosaur syaitan kerana saiz tanduknya yang melengkung," kata wakil saintis dari Universiti Utah dan Denver, AS.

Dinosaur ini dipercayai mempunyai pertalian darah dengan Triceratops iaitu spesies reptilia bermuncung di pangkal kepalanya.

Ia berhabitat di wilayah Laramidia, iaitu sebuah kawasan Amerika Utara yang  ditenggelami air laut lebih sejuta tahun lalu.

Spesies ini juga berkemungkinan hidup berkumpulan pada zaman T Rex dan pupus ketika bumi dihentam asteroid kira-kira 65 juta tahun lalu. - MailOnline

Air kencing pengecas telefon bimbit



Air kencing pengecas telefon bimbit
Ieropoulos mendakwateknologi ini adalah ciptaan pertama di dunia yang menggunakan air kencing sebagai pengecas telefon bimbit.
SEORANG saintis dari, Universiti West England, Britain, berjaya menghasilkan pengecas bateri telefon bimbit menggunakan air kencing sebagai sumber kuasa elektrik atau sel bahan api mikrob (MFC).

Dr Ioannis Ieropoulos, juga pakar implementasi sumber pelik berkata, cecair pengecas air kencing itu adalah yang pertama kali digunakan di dunia.

"Setakat ini, bahan api yang dijana menerusi air kencing mampu menghidupkan telefon bimbit secara normal," katanya kepada MailOnline.

Bagaimanapun, beliau berkata kuasa MFC dari cecair kumbahan itu hanya menghidupkan telefon bimbit pada tempoh agak singkat.

Baju selam anti jerung



Baju selam anti jerung
SAM turut menghasilkan pelekat papan luncur kepada peluncur yang berani beraksi di perairan dihuni jerung.
SAINTIS Australia berjaya menghasilkan sepasang baju selam anti jerung yang mampu membuatkan si pemakainya menjadi halimunan dari mata kasar jerung sewaktu berenang di dalam laut.

Sepasukan pakar dari Universiti Australia Barat, bergabung mereka pakaian selam itu menggunakan Sistem Tebatan Serangan Jerung (SAM).

"Baju selam yang dinamakan, Elude berjaya menghasilkan satu ilusi halimunan pada pandangan mata jerung kerana ikan tersebut bersifat buta warna. Baju ini juga mampu menyelamatkan nyawa," kata salah seorang pereka kepada MailOnline.

Baju selam anti jerung itu turut dilengkapi corak jalur mirip warna ikan beracun berfungsi sebagai amaran kepada pemangsa akuatik itu agar menjauhi penyelam.

Saintis menjelaskan, walaupun jerung amat sensitif pada deria bau, ia turut bergantung pada penglihatan ketika hendak menyerang mangsanya.

Gempa bumi landa tengah China




LANZHOU- CHINA. Satu gempa bumi dengan magnitud 5.9 skala Ritcher melanda tengah China awal pagi tadi.

Setakat ini, sekurang-kurangnya tiga terbunuh dalam gempa bumi yang melanda negara itu.

Gempa itu berpusat lapan batu di timur Chabu dan kira-kira 110 kilometer di selatan tenggara Lanzhou.

Setakat ini, tiada sebarang kerosakan dilaporkan

Menanti bunga bangkai mekar


PENGUNJUNG melihat bunga bangkai gergasi setinggi 2.3 meter yang akan mekar, di Taman Botani Amerika Syarikat di Washington pada 19 Julai lalu.


WASHINGTON - Taman Botani Amerika Syarikat (USBG) kini menunggu untuk bunga bangkainya berkembang buat kali pertama.
Bunga bangkai atau Titan Arum menjadi tarikan ramai pengunjung apabila tumbuhan itu mekar dan mengeluarkan bau busuk seperti bangkai haiwan atau mayat.
Tumbuhan yang berasal dari Indonesia itu memiliki ketinggian beberapa meter dan amat jarang mekar.
Bunga bangkai yang ditanam di USBC itu sudah berusia 10 tahun dan menunjukkan tanda-tanda ia akan mekar.
"Titan Arum tidak mempunyai kitaran mekar tahunan. Agak sukar untuk meramal bila bunga bangkai akan mekar kerana bunga ini mengambil masa antara beberapa tahun hingga dekad sebelum mengembang," kata USBG dalam satu kenyataan.
Bunga bangkai pertama kali ditemui di hutan hujan Sumatera pada 1878.
Bunga bangkai mekar selama 24 hingga 48 jam sebelum tumbuhan tersebut mati. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0722&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_04.htm#ixzz2ZkmFI1NA 
Hakcipta terpelihara 

Bermain lumpur di Boryeong


PELANCONG asing turut sama memeriahkan pesta lumpur di Boryeong.


BORYEONG, Korea Selatan - Terkenal sebagai antara lokasi lumpur terbaik di dunia, Festival Lumpur Boryeong bermula di Pantai Daecheon di sini pada Jumaat lalu.
Bandar ini terletak kira-kira 190 kilometer ke barat daya ibu kota Korea Selatan, Seoul.
Acara 10 hari itu yang menampilkan hampir 60 program menjadi antara daya tarikan utama kepada pelancong untuk melawat Korea Selatan.
Festival itu menampilkan pelbagai aktiviti unik seperti urut lumpur, pertandingan foto lumpur, pameran kosmetik lumpur dan parti irama hip-hop.
Konsert pembukaan festival itu pada Jumaat lalu pula menampilkan barisan penyanyi terkenal Korea Selatan seperti Ulala Session dan Dal Shabet.
Tiket untuk festival tersebut pula dijual pada harga 10,000 won (RM28.45) untuk pengunjung dewasa dan 8000 won (RM22.75) bagi remaja. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0722&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_05.htm#ixzz2ZklZ8Rvz 
Hakcipta terpelihara 

Petua bagi Ahli Maksiat



Suatu hari, seorang ahli hikmah, Ibrahim bin Adham didatangi oleh orang yang mengaku ahli maksiat. Ibrahim bin Adham memberikan nasihatnya, seraya berkata, "Jika ingin menerima lima syarat dan mampu melaksanakannya, maka tidak mengapa kamu meneruskan sikapmu yang gemar berbuat maksiat."

Mendengar perkataan Ibrahim, ahli maksiat dengan tidak sabar bertanya, "Ya Abu Ishaq (panggilan Ibrahim bin Adham), apa syarat-syaratnya?" Ibrahim bin Adham berkata,

"Pertama, jika ingin melakukan maksiat kepada Allah, janganlah kamu memakan rezeki-Nya." "Lalu aku harus makan dari mana? Bukankah semua yang ada di bumi ini rezeki Allah?" kata sang ahli maksiat kehairanan. Ibrahim bin Adham berkata lagi, "Ya, kalau sudah menyedarinya, masih layakkah kamu memakan rezeki-Nya, sedangkan kamu melanggar perintah-perintah-Nya?”

Kemudian syarat yang kedua, kalau ingin bermaksiat kepada-Nya, maka janganlah kamu
tinggal di bumi-Nya. "Ya Abu Ishaq, kalau demikian, aku akan tinggal di mana? Bukankah semua bumi dan isinya ini kepunyaan Allah?" kata lelaki itu. "Ya Abdullah, renungkanlah olehmu, apakah masih layak memakan rezeki-Nya, sedangkan kamu masih hendak melanggar perintah-Nya?" kata Ibrahim. "Ya benar, " kata lelaki itu tertunduk malu.

Ibrahim bin Adham kembali berkata, "Syarat ketiga, kalau ingin juga bermaksiat, masih mahu makan rezeki-Nya, masih mahu tinggal di bumi-Nya, maka carilah suatu tempat yang tersembunyi dan tidak dapat dilihat-Nya.""Ya Abu Ishaq, mana mungkin Allah tidak melihat kita?" ujarnya. Sang ahli maksiat itu pun terdiam merenungkan petua-petua Ibrahim. Lalu ia kembali bertanya, "Ya Abu Ishaq, kini apa lagi syarat yang ke empat?"

"Kalau malaikat maut datang hendak mencabut ruhmu, katakanlah, "Tangguhkanlah kematianku. Aku ingin bertaubat dan melakukan amal sholeh." kata Ibrahim. "Ya Abu Ishaq, mana mungkin malaikat maut mahu mengabulkan permintaanku itu." jawab lelaki itu. "Baiklah ya Abu Ishaq, sekarang sebutkan apa syarat yang ke lima?" tanyanya lagi.

"Kalau malaikat Zabaniyah hendak membawamu ke neraka di hari kiamat, janganlah engkau ikut bersamanya." "Ya Abu Ishaq, jelas saja mereka (malaikat Zabaniyah) tidak akan mungkin membiarkan aku menolak kehendak-Nya." ujar lelaki itu.

"Kalau demikian, jalan apa lagi yang dapat menyelamatkanmu ya Abdullah?" tanya Ibrahim bin Adham. "Ya abu Ishaq, cukuplah! Cukup! Jangan engkau teruskan lagi, mulai detik ini aku mahu beristighfar dan mohon ampun kepada Allah. Aku benar-benar ingin bertaubat." ujar lelaki itu sambil menangis penuh penyesalan.

Sunday, July 21, 2013

Pisau pintar kesan kanser

Seorang daripada penyelidik yang membangunkan pisau pintar iKnife, melakukan demonstrasi menggunakan daging haiwan di Hospital St. Mary, London, Rabu lalu. - AP
LONDON 20 Julai - Sekumpulan saintis berjaya mencipta sebilah pisau bedah pintar yang boleh mengesan sama ada tisu yang dipotong mempunyai kanser dalam tempoh beberapa saat.
Pisau canggih itu, iKnife yang dicipta saintis di Kolej Imperial London, membolehkan doktor mengurangkan bilangan pembedahan untuk membuang sel kanser.
Kebiasaannya, pakar bedah sukar untuk mengenal pasti tisu yang masih elok atau tisu yang rosak akibat kanser, menyebabkan sel penyakit tersebut masih tertinggal pada tisu pesakit.
Situasi berkenaan membuatkan pesakit kanser terpaksa menjalani pembedahan kali kedua bagi membuang sel-sel tersebut.
Namun dengan iKnife ciptaan saintis Zoltan Takats dan kumpulannya, pisau berteknologi tinggi terbabit boleh mengesan sel kanser yang tertinggal dan memotong bahagian tisu yang berjangkit dengan menggunakan arus elektrik.
Buat masa ini, tisu yang diambil daripada pesakit akan dihantar ke makmal sementara pesakit masih di bawah pengaruh ubat bius dan setiap analisis akan mengambil masa selama setengah jam.
Bagaimanapun, dengan iKnife, proses tersebut hanya mengambil masa tiga saat sahaja.
Meskipun teknologi berkenaan masih dalam tahap percubaan yang mengambil masa dua hingga tiga tahun, Takats yakin hasil ciptaannya itu boleh membantu pakar bedah memudahkan kerja mereka.
"Kos pembuatan iKnife menelan belanja 200,000 pound (RM973,419), tetapi harganya akan diturunkan apabila dikomersialkan nanti," katanya. - REUTERS


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130721/lu_04/Pisau-pintar-kesan-kanser#ixzz2ZmmeTdFF
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Gempa 6.5 skala Richter gegar New Zealand

WELLINGTON 21 Julai - New Zealand Tengah hari ini digegarkan dengan gempa bumi kuat berukuran 6.5 pada skala Richter yang mengakibatkan gangguan kepada sistem pengangkutan dan kerosakan bangunan negara ini.
Pusat Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS), gempa itu berlaku pada pukul 5.09 waktu tempatan di Cook Strait, kira-kira 54 kilometer selatan barat daya Wellington pada kedalaman 14 kilometer.
Geonet, perkhidmatan pemantau gempa bumi negara ini berkata, gempa susulan kuat turut berlaku dan mengakibatkan kerosakan kecil Wellington dan bandar Blenheim, Kepulauan Selatan. - DPA


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130721/lu_10/Gempa-65-skala-Richter-gegar-New-Zealand#ixzz2ZmlxPx00
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Thursday, July 18, 2013

TENTERA BRITISH MEMELUK ISLAM



"Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman"
Surah Al-Mu'minun, Ayat 1

Aku masih ingat ketika berusia 20 tahun, didalam sebuah gereja di Jerman, di sebuah berek Tentera British, mabuk sehingga jam 4 pagi, jelas aku ingat bagaimana aku menangis dan bertanya 'Tuhan' apa tujuan hidupku, untuk apa? Aku tidak tahu ketika itu bagaimana untuk meminta ampun, aku tidak tahu apa yang betul dan apa yang salah. Aku menghabiskan 12 tahun sebagai seorang tentera, di pelbagai tempat, jahil dengan apa yang merosakkan cara pemikiranku telah menyebabkan orang lain menderita. Tetapi aku pastinya tidak boleh menjadi terlalu jahat.

Kemudian aku bekerja dalam perkhidmatan keselamatan yang memberikan aku kesenangan, bekerja di peringkat tertinggi. Aku fikirkan yang aku akan menikmati kehidupan sebenar, tetapi aku tidak pernah benar-benar merasa gembira, sentiasa tercari-cari, tetapi tidak pernah jumpa penyelesaiannya.

Pada tahun 2008 aku telah ke Gambia dengan abangku untuk memancing. Gambia adalah sebuah negara Islam. Orang-orangnya begitu baik, membuatkan aku kurang selesa pada mulanya.

Semua orang yang aku jumpa begitu baik, begitu ramah, begitu mengalu-alukan, pada fikiranku mungkin mereka berbuat baik untuk mengambil kesempatan.

Kemudian aku kembali ke UK. Dirundung masalah. Aku mendapatkan nasihat dan bantuan dari jauh, iaitu dari saudara Hayaz Ibnu Hameen. Aku perlu faham tentang Islam ... ingin mengenali Allah (SWT), dan ingin mengenali siapa Muhammad (saw). Selepas banyak mengkaji dan sedikit usaha, aku dapat merealisasikannya. Selepas 40 tahun mencari, aku menjumpai segala-galanya.

Aku kembali ke Gambia, memeluk Islam. Allah tunjukkan aku jalan. Dan kini aku mula tahu untuk apa aku hidup, apa yang segala-galanya adalah mengenai Islam. Kini namaku Ibraheem Camara. Aku seorang Muslim dan aku menjalankan kerja dakwah di jalan Allah.

Sila SHARE! Mungkin diluar sana ramai yang masih tercari-cari seperti saudara baru kita IBRAHEEM CAMARA. Doakan beliau.

cdt :im muslim and im proud about it.

Wednesday, July 17, 2013

Pekerja binaan temui fosil

FOSIL berusia 50 juta tahun ditemui di tapak projek pembinaan lintasan kereta api di Brisbane kelmarin.- Agensi


BRISBANE - Pekerja-pekerja pembinaan projek menaik taraf sebuah landasan kereta api di sini telah menemui sejumlah fosil tumbuhan dan haiwan purba yang dipercayai berusia 50 juta tahun.
Penemuan fosil itu berlaku ketika pekerja binaan tersebut sedang menggali tanah berhampiran stesen kereta api Geebung pada bulan lalu.
Fosil yang ditemui di dalam tanah sedalam 15 meter dekat kawasan memacak cerucuk itu kemudian telah dibawa ke permukaan untuk dianalisis.
Fosil-fosil yang ditemui itu antaranya ialah fosil buaya, ikan, haiwan moluska air tawar dan tumbuh-tumbuhan.
Kesemua fosil tersebut berada di lapisan minyak syal yang dijangka berusia puluhan juta tahun.
Datuk Bandar Brisbane, Graham Quirk berkata, ia merupakan satu penemuan yang sangat menakjubkan.
Menteri Pengangkutan Australia, Scott Emerson yang menyelia kerja-kerja pembinaan landasan kereta api tersebut berkata, kemungkinan lebih banyak fosil berada di kawasan berkenaan.
Katanya, beberapa jurutera projek tersebut sedang bekerjasama dengan Universiti Queensland dan Muzium Queensland berikutan penemuan fosil berkenaan. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0717&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm#ixzz2ZH86CUZE 
Hakcipta terpelihara 

Tujuh terbunuh dalam protes terbaharu


SEORANG penyokong presiden yang digulingkan, Mohammed Morsi membawa posternya dalam pertempuran di Kaherah kelmarin.- AP


KAHERAH - Pertempuran di antara ratusan penyokong Presiden yang digulingkan, Mohammed Morsi dan pasukan keselamatan di ibu kota Mesir di sini menyebabkan tujuh orang terbunuh, menurut sumber perkhidmatan kecemasan semalam.
Ketua perkhidmatan kecemasan, Mohammed Sultan berkata, sekurang-kurangnya 261 orang cedera dalam kekacauan sepanjang malam itu.
"Dua orang mati di sebuah jambatan di pusat bandar ini manakala lima lagi terbunuh di daerah Giza di sini," kata Sultan.
Menurutnya, sebanyak 19 orang cedera dalam pertempuran dekat Dataran Tahrir dan di atas beberapa buah jambatan utama yang menyeberangi Sungai Nil.
Penyokong Morsi mengadakan protes setiap hari sejak beliau digulingkan oleh tentera pada 3 Julai lalu.
Dalam pada itu, Israel memberi 'lampu hijau' kepada Mesir untuk menghantar dua batalion tenteranya ke Semenanjung Sinai bagi menangani kumpulan militan di kawasan berkenaan semalam.
Rantau tersebut sebelum ini tertakluk kepada perjanjian damai antara Israel dan Mesir pada 1979.
Menteri Pertahanan Israel, Moshe Yaalon meluluskan permintaan Mesir untuk menghantar satu batalion tentera ke El-Arish, utara Sinai dan batalion kedua ke Sharm al-Sheikh di selatan seme- nanjung tersebut.
Sejak dua minggu lalu, militan-militan telah melancarkan serangan hampir setiap hari ke atas pasukan tentera dan polis di Sinai.
Beberapa anggota pasukan keselamatan dan dua penduduk Kristian terbunuh dalam serangan itu. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0717&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz2ZH7ismnK 
Hakcipta terpelihara 

KISAH ULBAH BIN ZAID SIFAKIR YANG DERMAWAN

Ulbah bin Zaid adalah salah seorang sahabat Rasulullah Shallallahu ‘alaihi Wa Sallam dan dia adalah salah satu potret dermawan si faqir. Bagaimana si faqir dermawan? Ini adalah hal yang luar biasa. Biasanya dermawan berasal dari yang kaya. Ulbah bin Zaid si faqir yang sangat dermawan.

Ketika itu musim panas sedang melanda kota Madinah. Ekonomi kaum muslimin sedang gawat. Musim panas sedang berada di puncak. Angin musim itu juga membawa hawa panas. Debu-debu beterbangan mengotori atap-atap dan halaman rumah penduduk kota Madinah. Kulit terasa diiris, mata perit seperti diteteskan air cuka pada luka. Bagi penduduk Madinah musim panas seperti itu biasanya mereka lebih memilih untuk istirahat di rumah atau tinggal di kebun mereka sambil memetik kurma muda yang memang lagi ranum. Kerana pohon kurma berbuah pada musim panas.

Tahun itu bertepatan dengan Tahun kesembilan Hijrah, satu bulan menjelang Ramadhan. Bagi sahabat Rasulullah perkembangan politik Islam di Madinah sangat luar biasa kerana nampak dari pengiriman surat-surat Rasulullah kepada semua Raja yang dikenal oleh bangsa Arab yang menambah panas keadaan baginya. Kerana kalangan sahabat sudah tersebar berita akan persiapan bala tentara Rom sebagai negara yang terbesar saat itu. Sebagai tindak lanjut dari Perang Mut’ah yang sangat terkenal itu, Rom tidak puas dengan hasil yang mereka diperoleh pada peperangan tersebut apalagi dia adalah peperangan Arab melawan Rom iaitu yang kita kenal dengan Perang Tabuk. Di sinilah kisah Ulbah bin Zaid. Dia diselitkan oleh sejarah di dalam sejarah perang Tabuk. Peperangan bagi orang Arab pertama kali melawan Rom.

Kali ini Rasulullah Shallallahu ‘alaihi Wa Sallam mengkhabarkan kepada para sahabat tentang tujuan dan rencana untuk melaksanakan peperangan di daerah Tabuk, sebuah daerah yang sangat jauh bagi bangsa Arab pada saat itu. Mendengar adanya seruan jihad ini maka kaum muslimin berbondong-bondong datang memenuhi kota Madinah dari seluruh pelosok negeri. Bagaimana pula mereka tidak berjihad di jalan Allah sedangkan Gerbang Syurga yang seluas langit dan bumi akan dibukakan untuknya. Rasulullah mengajak para dermawan untuk menginfakkan harta mereka guna bekal bagi pasukan yang akan berangkat menuju medan perang. Peristiwa ini dikenal dengan Jaisyul ‘Usroh.
Ulbah bin Zaid adalah dari suku Anshor dari kabilah Aus, adalah seorang yang fakir dan tidak memiliki harta benda untuk diinfakkan guna mendukung pasukan yang akan pergi berperang. Ia hanya dapat menyaksikan kesibukan kaum muslimin dalam mempersiapkan kelengkapan perang. Semua orang telah melengkapi dirinya dengan perlengkapan perang seperti baju besi, pedang, panah, tombak, unta, kuda dan lain lain. Ia menyaksikan semua itu dengan kesedihan yang mendalam, kerana ia tidak memiliki wang sesen pun untuk membeli peralatan perang tersebut.

Pagi itu, setelah sholat subuh, ia mendengar Rasulullah Shallallahu ‘alaihi Wa Sallam bersabda : “Barang siapa yang mempersiapkan Jaisyul ‘Usroh, untuknya surga”. Panas dingin rasa badannya mendengar sabda Nabi itu, apalagi dalam peperangan ini Rasulullah Shallallahu ‘alaihi Wa Sallam tidak menerima mujahid kecuali mereka yang memiliki kendaraan dan kelengkapan perang.

Ulbah juga melihat ketika Rasulullah duduk di Kota Madinah di Masjid Nabawi. Ulbah melihat Rasulullah duduk dikelilingi para sahabat. Tiba-tiba Abu Bakar datang sambil membawa wang sebanyak 4000 dirham, lalu beliau serahkan kepada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi Wa Sallam guna keperluan perang. Melihat wang sebanyak itu maka Rasulullah bertanya kepada Abu Bakar : “Apa yang engkau sisakan kepada keluargamu?” Abu Bakar menjawab : “Aku tinggalkan Allah beserta RasulNya”. Untuk itu Rasulullah Shallallahu ‘alaihi Wa Sallam berkata: “Tidak ada harta yang bermanfaat bagiku seperti harta Abu Bakar.” Umar datang dengan membawa setengah hartanya. Usman membawa 1000 dinar dan menyerahkannya kepada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi Wa Sallam. Lalu Beliau mengaduk aduknya seraya berkata : “Tidak ada yang membahayakan Usman dengan apa yang dia perbuat setelah ini.” Abdurrahman bin auf membawa 200 uqiyah perak, dan disusul oleh para sahabat yang lain masing masing dengan membawa hartanya.
Para sahabat yang bukan dari golongan berada juga datang berinfak dengan apa yang mereka miliki. Ashim bin Adi membawa 90 wasaq dari kurma kebunnya, sebagian lagi ada yang membawa dua mud bahkan ada yang hanya satu mud (sebanyak dua telapak tangan orang dewasa). Semua kaum muslimin datang berinfak, kecuali para munafiqin.

Melihat hal itu, pulanglah Ulbah dengan membawa kesedihannya. Sampai larut malam ia tidak bisa tidur memikirkan dirinya yang tidak dapat berinfak dan membeli peralatan perang seperti para sahabat lakukan. Dia hanya mebolak-balikkan badannya di atas tikarnya yang lusuh. Selintas timbul dalam fikirannya untuk mengurangi kegundahan hati. Maka ia pun berwudhu lalu melaksanakan sholat. Kemudian ia pun menangis, menumpahkan semua kesedihannya kepada Dzat yang memiliki isi langit dan bumi. Lalu ia berdoa sambil mengangkat kedua tangannya: “ Ya Allah, Engkau memerintahkan berjihad, sedangkan Engkau tidak memberikan aku sesuatu yang dapat aku bawa berjihad bersama RasulMu, dan Engkau tidak memberikan di tangan RasulMu sesuatu yang dapat membawaku berangkat. Maka saksikanlah bahwa sesungguhnya aku telah bersedekah kepada setiap muslim dari semua perbuatan zholim mereka terhadap diriku dari perkara harta, raga atau kehormatan.”

Doa itu ia ucapkan berulang ulang kali seakan akan ia berkata : “Ya Allah, tidak ada yang dapat aku infakkan sebagaimana yang lainnya telah berinfak. Seandainya aku memiliki seperti yang mereka punya, aku akan lakukan untukMu, demi jihad di jalanMu. Yang aku punya hanya kehormatan, kalau Engkau menerimanya, maka saksikanlah bahwa semua kehormatanku telah aku sedekahkan malam ini untukMu!”.
Subhanallah, alangkah jernihnya doa tersebut keluar dari seseorang yang tidak punya; sebuah dermawan dari mereka yang disebut papa.

Pagi harinya, ia mengikuti sholat subuh berjamaah bersama Rasulullah Shallallahu ‘alaihi Wa Sallam. Telah ia lupakan air mata yang telah tertumpah di atas sajadah tadi malam. Tetapi Allah tidak menyia-nyiakannya, Dia khabarkan semua cerita tersebut kepada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi Wa Sallam melalui perantaraan Jibril.
Selesai sholat, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi Wa Sallam bersabda: “Siapa yang tadi malam telah bersedekah? Hendaklah ia berdiri.”

Tidak ada seorangpun dari para sahabat yang berdiri, dan Ulbah pun tidak merasa bahwa ia telah bersedekah.
Lalu Rasulullah Shallallahu ‘alaihi Wa Sallam mendekatinya dan berkata: “Bergembiralah Ulbah. Demi Dzat yang jiwa Muhammad berada di tanganNya, sesungguhnya sedekahmu tadi malam telah ditetapkan sebagai sedekah yang diterima.”

Ular sawa enam meter dalam batang balak

Ular sawa enam meter dalam batang balak
Sofian (kiri) bersama anggota JPAM Temerloh bersama ular sawa yang ditangkap di Kampung Orang Asli Paya Badak.
TEMERLOH – Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) berjaya menarik keluar seekor ular sawa seberat hampir 80 kilogram dalam sebuah batang balak di Kampung Orang Asli Paya Badak, di sini semalam.

Pegawai Operasi JPAM Temerloh, Sofian Sulaiman berkata, ketika ditemui ular lebih enam meter panjang itu sedang mengeram berpuluh telur dalam sarangnya dekat kebun milik seorang penduduk Orang Asli kampung tersebut.

Menurutnya, JPAM menerima aduan daripada Orang Asli di kampung tersebut kira-kira jam 11.27 pagi mengenai penemuan reptilia itu dan bergegas ke tempat kejadian dan tiba jam 11.45 pagi.

“Sebaik tiba kami dimaklumkan reptilia ini bukan berada dalam kediaman penduduk sebaliknya dalam sebuah batang balak yang berlubang.

“Kami terpaksa berjalan kaki kira setengah jam untuk ke lokasi ular sawa itu ditemui dan mengambil masa lebih sejam untuk mengeluarkan reptilia itu dari sarangnya.

“Ketika ditangkap ular berukuran lilit enam meter ini tidak terlalu agresif tetapi sedang mengeram puluhan telur dalam batang balak mati,” katanya.