Pages

Monday, July 22, 2013

China dilanda gempa bumi


Seorang lelaki memberi minuman kepada seorang daripada mangsa gempa bumi di wilayah Gansu, China, semalam. - REUTERS
BEIJING 22 Julai - Sekurang-kurangnya 89 orang terbunuh dan lebih 600 lagi cedera apabila dua gempa bumi kuat menggegarkan kawasan pergunungan di pedalaman barat laut China, awal hari ini.
Pusat Pemantauan Geologi Amerika Syarikat (AS) melaporkan, gempa bumi pertama berukuran 5.9 pada skala Richter melanda wilayah Gansu pada kira-kira pukul 7.45 pagi pada kedalaman 9.8 kilometer berpusat di 151 kilometer di barat Beidao.
Gempa kedua pula berukuran 5.6 pada skala Richter melanda wilayah yang sama pada pukul 9.12 pagi pada kedalaman 10.1 kilometer.
Pihak berkuasa wilayah Gansu berkata, gegaran kedua-dua gempa berkenaan menyebabkan lebih 21,000 buah rumah rosak teruk dan lebih 1,200 lagi bangunan runtuh.
Jelas pegawai itu, sebanyak 296 daripada 600 mangsa yang cedera, mengalami luka parah.
Meski pun wilayah Gansu tidak mempunyai ramai penduduk, namun bandar Dingxi yang dihuni kira-kira 2.7 juta penduduk, antara paling teruk terjejas akibat gempa berkenaan.
Sementara itu, sebanyak 380 buah rumah musnah dan beribu-ribu lagi rosak di negeri Zhang, lapor pegawai kerajaan di Dingxi.
Dalam perkembangan sama, portal berita I63.com melaporkan, seramai 500 tentera termasuk 120 pasukan khas penyelamat dikerah ke zon bencana.
Agensi berita Xinhua melaporkan, sebanyak 500 buah khemah dan 2,000 selimut dihantar ke wilayah berkenaan untuk diedarkan kepada mangsa.
Hujan yang turun di kawasan bencana dijangka memburukkan lagi keadaan, sekali gus mengganggu operasi mencari dan menyelamat . - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130723/lu_04/China-dilanda-gempa-bumi#ixzz2ZsbNwCei
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments: