Pages

Friday, August 24, 2012

Tertidur di pesawat, penumpang ‘makan angin’ 18 jam


Tertidur di pesawat, penumpang ‘makan angin’ 18 jam
Pakistan International Airlines (PIA).
LAHORE - Gara-gara tertidur, seorang penumpang Pakistan International Airlines (PIA), yang sepatutnya turun di Paris terpaksa patah balik ke Lahore sebelum meneruskan penerbangan ke ibu negara Perancis itu.

Penumpang itu hanya tersedar dari tidur apabila pesawat hendak mendarat di Lahore, tempat dia berlepas pada hari sebelumnya.

Patrice Christine Ahmed, seorang warganegara Perancis, berlepas dari Lahore menggunakan PIA, Selasa lepas dan sepatutnya terbang ke Paris melalui Milan, Itali.

Setibanya di Lapangan Terbang Charles de Gaulle di Paris, dia sedang tidur dan tidak dikejutkan oleh krew penerbangan semasa pesawat melakukan singgah selama dua jam.

Apabila tersedar, dia mendapati dirinya kembali ke Lahore.

Patrice, yang berkahwin dengan lelaki Pakistan, tidak memberitahu krew kabin mengenai situasinya dan kesilapan itu hanya dapat dikesan apabila pegawai imigresen mendapati visanya telah tamat setibanya di Lahore pada pagi Rabu.

Dia telah mengembara selama 18 jam dan melalui perjalanan sejauh 12,000 kilometer.

Berikutan itu, keluarga wanita tersebut merancang semula perjalanannya ke Paris tetapi menggunakan syarikat penerbangan berbeza.

Jurucakap syarikat penerbangan sedang menyiasat kejadian itu, tetapi menjadi tanggungjawab penumpang untuk mendarat di destinasi mereka.

Ustaz Don: Kami sama seperti pasangan lain


Ustaz Don-Husna selamat diijab kabul
Ustaz Don dan Husna menjadi tumpuan anggota keluarga dan rakan selepas majlis pernikahan pagi semalam. - Foto ihsan Beautifulnara
Ustaz Don: Kami sama seperti pasangan lain
Tidak ketinggalan, saudara mara mengambil peluang bergambar kenangan bersama Ustaz Don.
Ustaz Don: Kami sama seperti pasangan lain
Tidak dilupakan, Ustaz Don begitu gembira bertemu kembali gurunya, Hafizullah.
"BOLEH tak saya skip jawapan itu." Itulah jawapan ringkas penceramah popular, Ustaz Don ketika ditanya mengenai pertemuannya dengan isteri, Husna Mohd Zahry.
Ustaz Don atau nama sebenarnya Don Daniyal Don Biyajid dalam kalangan peminat ceramah agamanya, malah fenomena Ustaz Don sama naik seperti Ustaz Azhar Idrus.

Ceramah yang disampaikan melalui kuliah-kuliah agamanya mula popular melalui laman YouTube sehingga ke laman sesawang Facebook, namun kini dia sudah pun menyampaikan ceramah dan mempunyai peminat yang tersendiri.
Lelaki berusia 28 tahun itu ditemui Sinar Hariansetelah tiba di kampung halamannya di Kampung Dodol sebelum dinikahkan petang semalam di Balik Pulau, Pulau Pinang.

Husna berasal dari Balik Pulau dan majlis kenduri sebelah pengantin perempuan diadakan esok sementara majlis perkahwinan Ustaz Don akan diadakan pada 1 September 2012 di Dewan Kuis.

Dia yang bersahaja dengan kemeja lengan panjang hadir bersama adik bongsunya, Don Asyraf, 24, disambut puluhan saudara-mara dan orang kampung di situ.

Ketika ditemui dia dengan rendah diri memaklumkan jamuan berkenaan diadakan bukan untuk menyambut kedatangannya, sebaliknya adalah jamuan Aidilfitri yang diadakan setiap tahun bersama saudara-mara.

“Alang-alang disebabkan perkahwinan saya diadakan hari esok (hari ini), jadi mereka semua menyambutnya sekali,” katanya.

Don yang kini bekerja sebagai tenaga pengajar di Kolej Universiti Islam Selangor (Kuiscell) mengakui alam perkahwinan yang akan dilalui bersama Husna sama seperti pasangan suami isteri yang lain.

“Bagi saya tiada bezanya, apa yang pasangan lain rasakan itulah yang akan kami rasa, sama sahaja,” katanya.

Ustaz muda yang sentiasa tersenyum itu juga sempat menyampaikan nasihatnya kepada pasangan muda di luar sana.

“Bagi saya mana-mana pasangan yang ingin bercinta lama atau sebaliknya itu adalah subjektif, seperti juga nabi kita tidak pernah meletakkan sesuatu sebaliknya nabi telah meletakkan landasan kepada kita.

“Sebagai contohnya bergantung kepada kita untuk gunakan keretapi bagaimana, ekspres atau keretapi wap, jika terbabas atau sebaliknya itu adalah pada diri kita sendiri.

“Ia adalah bergantung atas kecerdikan kita sendiri, itu subjektif, namun kepada pasangan muda apa yang saya boleh nasihatkan ialah sememangnya kita melakukan kesalahan dan begitu juga orang tua, tidak boleh lari masalah.

“Namun kita masih boleh perbaiki diri kita dan tidak berterusan melakukan kesalahan itu, sebagai orang Islam dan mempunyai iman kita perlu perbaiki,” katanya.

Dia yang mempunyai keluarga di sebelah ibu di Kampung Dodol sementara sebelah bapanya pula di Gelugor.

Mula bersekolah di Sekolah Kebun Sireh Bukit Minyak kemudiannya menyambung pengajian di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Nibong Tebal.

Dia kemudiannya menyambung diploma di Maahad Tahfiz Pulau Pinang dan ke Maahad Qiraat Shoubra Mesir.

Sementara itu, Don Asyraf adik lelaki bongsu Ustaz Don berkata, dia bersyukur kerana akhirnya ada wanita yang boleh mendampingi abang sulungnya itu.

“Kami mempunyai empat beradik, yang sulung adalah kakak dan Ustaz Don adalah abang kedua, dalam keluarga ini adalah perkahwinan kali ketiga buat keluarga kami.

“Mudah-mudahan perkahwinan ini diberkati dan kakak ipar saya dapat meneruskan perjuangan bersama Ustaz Don,” katanya.

Kedua-duanya ditemui ketika majlis jamuan Aidilfitri di rumah bapa saudaranya, Abdul Hamid Abdul Kadir, 74.
Abdul Hamid berkata, sebagai bapa saudara dia begitu seronok anak saudaranya itu akan melalui alam perkahwinan.
Dia yang juga abang kepada ibu Ustaz Don berkata, apa yang menarik mengenai Don Daniyal ialah adab sopannya.

“Sejak kecil memang keluarganya sudah terbentuk dengan akidah Islam, bukan dia sahaja malah kesemua adik beradiknya, dan ketika belajar di Mesir, Daniyal mempunyai seorang guru yang mana dipanggil Sheikh.

“Sheikh berkenaan cacat penglihatan dan dialah yang akan mengambil dan membawa pulang kembali Sheikh setiap hari, adabnya terhadap guru memang terpuji,” katanya kepada Sinar Harian.

Petah berkata-kata

Ketika ditanya siapa lagi ahli keluarga yang mengikut jejak langkah Ustaz Don dalam menyampaikan ceramah, Abdul Hamid memaklumkan adik perempuannya iaitu ibu kepada Ustaz Don sememangnya suka bersyarah dan memasuki pertandingan.

Tidak ketinggalan gembira dengan berita perkahwinan Ustaz Don ialah sepupunya, Mohd Zaki Abdul Hamid, 27.

Dia mengakui sepupunya itu petah berkata-kata sejak dari kecil lagi.

Antara pengalaman yang diingat bersama Don ketika musim perayaan ialah berhari raya di sekeliling kampung.

“Setelah kami masing-masing sambung pelajaran memang lost contact tetapi masih berhubungan, apa pun sebagai sepupu saya mendoakan kebahagiaan dia bersama isteri," katanya.

Ustaz Don-Husna selamat diijab kabul


Ustaz Don-Husna selamat diijab kabul
Ustaz Don dan Husna menjadi tumpuan anggota keluarga dan rakan selepas majlis pernikahan pagi semalam. - Foto ihsan Beautifulnara
Ustaz Don-Husna selamat diijab kabul
Kad majlis perkahwinan Ustaz Don dan Husna. - Foto ihsan melyssanadiea.blogspot.com
[DIKEMAS KINI] SHAH ALAM - Pengacara program 30 Minit Ustaz Don, Don Daniyal Don Bijayid selamat bernikah semalam, di Pulau Pinang, dengan wanita pilihannya, Husna Mohd Zahry.
Majlis pernikahan itu berlangsung dalam suasana sederhana tanpa liputan besar-besaran.

Dalam kenyataannya dipetik Amin Idris Personaliti Al-Hijrah, Don, seorang penceramah bebas, berkata: "Saya hanya bersederhana. Yang penting ialah pengisian selepas kahwin."
Menurut blog hiburanBeautifulnara pula, pasangan pengantin baru itu bakal bersanding 1 September ini.
Husna seorang penuntut tahun kelima jurusan perubatan di Universiti Kaherah, Mesir.
Pasangan yang nampak cantik berseri-seri dalam persalinan berwarna putih itu turut menerima banyak ucapan tahniah daripada peminat dan rakyat Malaysia menerusi laman-laman sosial.
Awal Mei lalu, beliau mengakui bahawa dirinya sudah pun bertunang selepas tersebarnya gambar majlis pertunangan mereka. Majlis pertunangan dikatakan diadakan Mac lalu.

Tempias konflik Syria, imam Sunah maut di Lubnan


Presiden Bashar al-Assad
Presiden Syria, Bashar al-Assad
TRIPOLI - Seorang imam puak Sunah ditembak mati di bandar Tripoli, Lebanon sementara pertempuran baru tercetus antara kumpulan yang pro dan menentang Presiden Syria, Bashar al-Assad.

Pertempuran yang bermula sejak subuh tadi dan berlarutan sehingga petang ini.

Laporan BBC menyebut, Sheikh Khaled al-Baradei terbunuh apabila komuniti Sunah di daerah Qobbeh dan Alawit dari daerah Jabal Muhsin bertempur.

Kematian Sheikh Khaled membawa jumlah yang terbunuh di Tripoli kepada 13 orang sejak Isnin lalu.

Perdana Menteri Lubnan, Najib Mikati menggesa kesemua pihak menyokong usaha menamatkan pertempuran di negaranya.

Katanya, pihak tentera sedang memainkan peranan untuk mengatasi masalah di negaranya.

Laporan itu menyebut bahawa Najib, dari masyarakat Sunah di Tripoli, telah memberi amaran sudah ada usaha untuk mengheret Lubnan ke dalam konflik di Syria.

Oleh itu katanya, perlu ada usaha untuk bekerjasama melindungi Lubnan.

Bashar merupakan anggota komuniti Alawit dan wakil puak Syiah memegang jawatan utama dalam kerajaan dan pasukan keselamatan.

Komuniti Sunah Syria mengetuai gerakan menentang kepimpinan Bashar.

Lebih 18,000 orang dilaporkan telah terbunuh dalam konflik yang berlarutan lebih 18 bulan.

Stor simpanan gading gajah di Zimbabwe




SEORANG pegawai memeriksa stor gading gajah milik Pihak Berkuasa Pengurusan Hidupan Liar dan Taman Negara Zimbabwe di Harare 
kelmarin. - REUTERS


HARARE, Zimbabwe - Pihak berkuasa Zimbabwe menyimpan 50 tan gading gajah yang dirampas daripada pemburu haram.
Gading itu juga diperoleh daripada gajah yang ditemui mati.
Ketua Pengarah Pihak Berkuasa Pengurusan Hidupan Liar dan Taman Negara Zimbabwe, Vitalis Chadenga mahu melelong gading tersebut.
Chadenga juga meminta Konvensyen Perdagangan Antarabangsa dan Spesies terancam Fauna dan Flora membenarkan gading itu dilelong.
Menurutnya, hasil lelongan itu akan digunakan untuk membiayai projek pemuliharaan haiwan. - Agensi

Ikan paus muncul di tepi bot




KEPALA seekor ikan paus humpback muncul dekat seorang peluncur laut (kanan) di San Luis Obispo pada 18 Ogos lalu.


SAN LUIS OBISPO, California - Seorang jurugambar amatur, Bill Bouton merakamkan gambar kepala seekor ikan paus humpback yang muncul di tepi sebuah bot dan kayak dekat pantai di sini pada 18 Ogos lalu.
Beberapa pelancong yang menaiki bot itu turut merakamkan gambar ikan tersebut.
Ikan itu kerap berenang dekat bot dan kayak semasa ia makan ikan sardin.
"Saya berasa amat bertuah," kata Bouton selepas dia berjaya menangkap gambar tersebut. - Agensi

Tangkap ikan layar gergasi di Hawaii



PALMER berdiri di sebelah ikan layar yang ditangkapnya 
di Kailua-Kona, Hawaii pada 18 Ogos lalu.


HONOLULU - Seorang wanita berusia 28 tahun, Molly Palmer menangkap seekor ikan layar seberat lebih setengah tan di Kailua-Kona di Hawaii pada 18 Ogos lalu, lapor agensi berita AFP semalam.
Ikan seberat 463 kilogram (kg) dan sepanjang 3.65 meter itu ditangkap semasa Pertandingan Jemputan Ikan Layar Pulau Besar.
Penganjur pertandingan, Jody Bright berkata, tangkapan itu mengatasi rekod yang dibuat seorang wanita yang berjaya menangkap ikan sama dengan berat 430.91kg.
Bagaimanapun, Palmer tidak diisytiharkan pemenang dan memenangi hadiah wang tunai kerana dia menaikkan ikan tersebut dengan bantuan rakan-rakannya di atas kapal.
Berdasarkan undang-undang pertandingan menangkap ikan antarabangsa, pemenang perlu menangkap dan menarik ikan tersebut di atas kapal tanpa bantuan rakan-rakan.
Menurut kapten kapal, Neal Isaacs, ikan itu ditangkap selepas 40 minit Palmer mula memancing.
Beliau berkata, ikan tersebut mati di bawah kapal selepas pertarungan untuk menangkapnya berlaku.
Kapten kapal dan suami Palmer kemudian memutuskan untuk membawa naik ikan tersebut di atas kapal kerana berat wanita tersebut hanya 72.57kg kurang enam kali ganda berat ikan itu. - Agensi

Tentera Syria tawan semula kawasan Kristian




ASAP kelihatan dari beberapa buah bangunan semasa para pemberontak menentang tentera Syria di daerah Seif El Dawla, Aleppo kelmarin.


BEIRUT - Tentera Syria menawan semula kawasan penganut Kristian di bandar Aleppo selepas pertempuran sengit berlaku dengan para pemberontak, kata beberapa penduduk semalam.
"Kami mempunyai dua hari yang teruk dalam kehidupan kami," kata seorang isteri ahli perniagaan di bandar tersebut yang hanya dikenali sebagai Sonia.
"Jika rumah kami tidak dibina seperti kubu, kami semua telah mati," tambahnya.
Beliau tinggal di kawasan kediaman Telal yang berada semula di bawah penguasaan tentera Syria kelmarin.
Tentera Syria turut merampas kawalan daripada pemberontak di Jdeide.
Menurut beberapa penduduk, pertempuran sengit berlaku di tengah bandar Aleppo, utara Syria.
Kawasan Jdeide dan Telal kerap dikunjungi pelancong kerana ia terkenal dengan keenakan makanan di restoran dan kedai-kedai kraf tangan.
"Pertempuran pada hari Isnin dan Selasa amat sengit dan berlanjutan berjam-jam sebelum pihak tentera menghancurkan semula para pemberontak," kata seorang penduduk tempatan.
Pertempuran di Syria bermula pada Mac lalu apabila sebahagian penduduk memberontak menentang kepimpinan Presiden Bashar Al-Assad.
Lebih 18,000 orang dilaporkan terbunuh dalam pertempuran antara pemberontak dengan tentera Syria.
Para pemberontak itu menuntut Bashar meletakkan jawatan kerana gagal melaksanakan pembaharuan politik dan hak asasi manusia. - Agensi

Lelaki gigit ular tedung hingga mati



GAMBAR fail menunjukkan seekor ular tedung.


KATHMANDU - Seorang petani Nepal menggigit seekor ular tedung sehingga haiwan itu mati, kata polis semalam.
Petani itu, Mohamed Salmo Miya melakukan perbuatan itu bagi membalas dendam selepas haiwan tersebut mematuknya, lapor agensi berita AFP semalam.
Ketua polis tempatan, Uma Prasad Chatrubedi menyatakan Mohamed sedang bertani dekat kampungnya yang terletak 200 kilometer ke tenggara Kathmandu ketika dia dipatuk ular tersebut.
"Seorang petani di Kampung Bardanga telah membunuh seekor ular tedung putih dengan giginya kerana marah.
"Ular tersebut mematuknya semasa dia sedang bekerja di sawah padi miliknya pada Selasa lalu.
"Lelaki itu kemudian berlari dan membunuh ular tersebut," katanya.
Mohamed turut dirawat di sebuah klinik tempatan dan dia kini berehat di rumahnya.
"Saya berasa amat marah selepas ular itu mematuk saya. Kemudian saya mengekori haiwan itu, menangkap dan menggigitnya sehingga mati," dakwanya yang berusia 55 tahun kepada akhbarAnnapurna Post.
"Saya mungkin membunuhnya dengan kayu tetapi saya menjadi 'gila' kerana marah dan mahu membalas dendam.
"Saya membunuhnya dengan gigi saya," tambahnya.
Nepal mempunyai pelbagai jenis ular berbisa dan tidak berbisa.
Salah satu ular berbisa itu dikenali sebagai ular batu India sepanjang 10 meter.
Menurut agensi berita Reuters, seorang pegawai polis, Niraj Shahi berkata, lelaki itu tidak akan didakwa membunuh ular tersebut.
Menurutnya lelaki itu tidak didakwa kerana haiwan tersebut tidak disenaraikan sebagai spesies terancam. - Agensi

Thursday, August 23, 2012

Gadis tikam bapa saudara kerana Internet


TAIPEI 22 Ogos - Seorang remaja perempuan didakwa menikam bapa saudaranya sehingga mati setelah bapa saudaranya itu menegurnya supaya berhenti melayari Internet pada lewat malam.
Menurut laporan berita tempatan, gadis tersebut yang berusia 19 tahun dan dikenali dengan nama keluarga Lin, ditahan di bandar Miaoli di barat laut negara ini selepas dia disyaki menikam bapa saudaranya di perut menggunakan sebilah pisau sepanjang 29 sentimeter.
Berdasarkan siasatan awal, polis berkata, gadis tersebut dikatakan sedang melayari Internet pada kira-kira pukul 2 pagi dan bapa saudaranya meminta dia berhenti melayari Internet, menyebabkan berlaku pergaduhan kecil sebelum gadis tersebut mengeluarkan pisau.
Bapa saudaranya yang berusia 37 tahun itu meninggal dunia di hospital tempatan.
Menurut nenek suspek yang turut tinggal di rumah tersebut, mangsa yang merupakan seorang yang panas baran bertindak memutuskan bekalan elektrik di rumah itu ketika Lin sedang melayari Internet kerana berang dengan tindakan anak saudaranya itu tidak mengendahkan arahannya.
Gadis itu berdepan hukuman penjara sekurang-kurangnya 10 tahun atau hukuman mati jika didapati bersalah. - DPA

Israel serang nuklear Iran November ini?


TEL AVIV 22 Ogos - Satu sumber keselamatan Israel mendedahkan bahawa rejim Zionis itu merancang untuk menyerang loji nuklear Iran sebelum November ini.
Pegawai-pegawai Britain berkata, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu telah memulakan proses ‘melobi’ untuk mendapatkan sokongan ke atas tindakan ketenteraan itu.
Seorang koresponden tentera terkenal bagi Channel 10 News, Israel, mendakwa rejim Zionis itu ‘semakin hampir’ untuk menyerang Iran.
Menurutnya, Netanyahu ‘memutuskan’ untuk menyerang Iran sebelum pilihan raya Presiden Amerika Syarikat (AS) pada 6 November ini.
Pemimpin Israel percaya Presiden Barack Obama yang menerima tentangan hebat daripada calon Parti Republikan, Mitt Romney, akan terpaksa menyokong Israel walaupun ketua tentera AS menentang cadangan itu.
Menurut sumber itu, Obama takut pengundi Yahudi di negeri-negeri utama seperti Florida tidak mengundi menyokongnya pada pilihan raya Presiden AS itu jika Obama tidak menyokong cadangan Israel itu.
Sementara itu, ketegangan meningkat, semalam apabila pemimpin Iran memperkenalkan senjata baru mereka iaitu peluru berpandu jarak dekat Fateh-110 yang direka untuk memusnahkan sasaran dalam jarak 290 kilometer, termasuk kapal-kapal perang AS yang berada di Teluk Parsi.
Semalam, Presiden Iran, Mahmoud Ahmadinejad turut menegaskan bahawa republik Islam itu tidak meragui keupayaan Teheran berdepan tindakan buli dan serangan dari negara asing. - AGENSI

Mesir pohon pinjaman AS$4.8b daripada IMF


KAHERAH 23 Ogos - Mesir telah memohon pinjaman berjumlah AS$4.8 bilion (RM15 bilion) daripada Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) dan berharap perjanjian dapat dimeterai menjelang hujung tahun ini.
Bercakap dalam sidang media bersama Ketua IMF, Christine Lagarde yang dalam lawatannya ke Mesir, Perdana Menteri, Hisham Kandil berkata, dia menjangkakan pinjaman selama lima tahun itu membabitkan faedah sebanyak 1.1 peratus.
``Akan terdapat satu perjanjian ke atas satu pelan pada November atau permulaan Disember yang mana pinjaman akan ditandatangan bersama IMF,’’ katanya. - REUTERS

11kanak-kanak dibunuh dalam serangan di Kenya


MOMBASA, Kenya 23 Ogos - Seramai 11 kanak-kanak dilaporkan telah dibunuh dalam satu pertempuran dipercayai serangan balas dendam ke atas sebuah perkampungan di sini semalam.
Kumpulan penyerang yang bersenjatakan parang, panah dan lembing berkenaan turut dilaporkan membunuh 37 penduduk dewasa kampung tersebut serta .
Selain membunuh, para penyerang turut membakar rumah-rumah penduduk kampung berkenaan.
Menurut Timbalan Ketua Polis Coast, Robert Kitur berkata, serangan itu dipercayai berpunca akibat pertikaian mengenai tanah dan air.
“Mereka bersenjatakan parang, panah dan lembing malah ada di antaranya turut mempunyai senjata api.
“Akibat serangan itu, 31 wanita, 11 kanak-kanak dan enam lelaki serta 60 ekor lembu dibunuh,’’ katanya. - REUTERS

140 lagi korban pertempuran di Syria


Seorang penduduk Syria dibantu rakannya mengangkat seorang kanak-kanak yang cedera dalam serangan udara tentera kerajaan ke atas bandar Azaz di pinggir Aleppo pada 15 Ogos lalu yang memusnahkan kira-kira 10 buah rumah penduduk. - AP
BEIRUT 21 Ogos - Pertempuran antara tentera kerajaan dan pemberontak di seluruh Syria terus berlarutan pada Hari Raya kedua semalam, menyebabkan lebih 140 orang lagi terkorban.
Kebanyakan yang terkorban ialah di selatan wilayah Daraa, pusat kebangkitan rakyat Syria terhadap kepimpinan Presiden Bashar al-Assad, menurut pertubuhan Pemantau Syria bagi Hak Asasi Manusia.
Pertubuhan yang beribu pejabat di London itu berkata, seorang wartawan wanita Jepun yang membuat liputan di bandar Aleppo turut terkorban semalam, manakala tiga lagi wartawan dari Turki, Lebanon dan negara Arab dilaporkan hilang.
Menurut aktivis, bedilan kuat berlaku di Daraa kerana tentera kerajaan percaya beberapa pembelot yang berjawatan tinggi, termasuk Naib Presiden Farouk al-Sharaa, dipercayai bersembunyi di situ.
Pejabat Naib Presiden, bagaimanapun menafikan laporan yang menyatakan Sharaa telah belot dan agensi berita kerajaan turut menafikan Menteri Luar Walid al-Moallem telah dilantik untuk mengisi kekosongan itu.
Bekas Perdana Menteri Riad Hijab, seorang lagi pemimpin kerajaan berprofil tinggi yang belot, sebelum ini dipercayai berada di Dara sebelum melarikan diri ke Jordan.
Pertempuran terbaru ini tercetus ketika pemantau antarabangsa terakhir bersiap-sedia untuk keluar dari Syria selepas Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada minggu lalu menolak untuk melanjutkan mandat mereka yang tamat kelmarin.
Wakil khas baru PBB dan Liga Arab ke Syria, Lakhdar Brahimi dalam kenyataan pertamanya pula menyuarakan rasa marah terhadap pembangkang dan kerajaan Syria.
Sementara itu di Washington, Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama mengeluarkan amaran 'tahap merah' di Syria berhubung penggunaan senjata kimia.
"Akibat yang sangat besar akan diterima Syria jika AS mengesan sebarang penggunaan senjata kimia oleh tentera kerajaan," tegas Obama.
Dalam satu kejadian berasingan semalam, sebuah kereta meletup berhampiran balai polis di tenggara Turki, kawasan yang bersempadan dengan Syria, menyebabkan lapan orang terbunuh dan 50 lagi cedera, lapor media Turki.
Setakat ini belum ada pihak yang mengaku bertanggungjawab atas letupan di Gaziantep itu, tempat kira-kira 70,000 pelarian Syria mendapat pwerlindungan di dalam khemah-khemah di situ. - dpa

PENJARA JADI HOTEL


GAMBAR yang diambil pada 7 Ogos lalu merakamkan pemandangan pelabuhan Pulau Pianosa yang sebelum ini merupakan sebuah tempat seksaan bagi mereka yang melakukan jenayah sejak 1858 dan menempatkan sebuah penjara bagi banduan berprofil tinggi ketika era 1970-an. - AFP
SUATU ketika terkenal sebagai penjara berprofil tinggi di Itali, namun Pulau Pianosa kini berubah wajah menjadi destinasi baru pelancongan di negara itu selepas ia ditutup, baru-baru ini.
Kerajaan Itali telah mewujudkan satu program unik untuk menjadikan kumpulan terakhir banduan di penjara itu sebagai kumpulan contoh untuk dilatih dan bekerja di hotel itu apabila mereka selesai menjalani hukuman.
Mereka akan menjaga kemudahan untuk para pelancong bermula dari perkhidmatan bilik di hotel sehingga memasak dan diambil bekerja oleh koperasi San Giacomo.
Di bawah program itu, banduan perlu berkelakuan baik di penjara dan telah menjalani dua pertiga daripada tempoh hukuman mereka.

Kebakaran hutan, 3,000 dipindahkan


Seorang anggota bomba cuba memadamkan kebakaran di kawasan Hutan Simpan Kebangsaan Boise dekat Featherville, Idaho, kelmarin. - REUTERS
SACRAMENTO, California 22 Ogos - Sebanyak 50 buah bangunan musnah dan kira-kira 3,000 penduduk yang tinggal berdekatan pekan kecil Manton terpaksa dipindahkan ekoran kebakaran hutan melibatkan kawasan seluas 8.5 hektar di utara California.
Memetik kenyataan Bomba Ponderosa, kebakaran itu berpunca daripada petir yang menyambar kawasan semak dan hutan di daerah Tehama dan Shasta, kira-kira 200 kilometer ke utara ibu negeri Sacramento, sejak Sabtu lalu.
Pasukan bomba berjaya mengesan kerosakan dari udara pada salah satu daripada kawasan yang teruk terjejas sehingga selatan Manton, semalam.
"Kerugian akibat kebakaran tersebut dijangka meningkat kerana pasukan bomba belum dapat sampai ke seluruh kawasan yang disambar api," kata jurucakap Jabatan Hutan dan Kawalan Api California, Mike Witesman.
Lebih 2,000 anggota bomba berjaya mengawal api yang marak akibat angin kencang sepanjang semalam, bagi menyelamatkan pekan kecil Shingletown daripada terbakar.
Bagaimanapun, kediaman 200 penduduk masih diancam kebakaran di sekitar cerun dan kawasan pedalaman.
Dua anggota bomba cedera ringan dan sumber rasmi berkata, sebanyak 40 peratus kebakaran telah berjaya dipadamkan setakat ini. - REUTERS

Bashar al-Assad sedia undur?


Beberapa orang ahli keluarga meratapi kematian seorang anggota Tentera Pembebasan Syria yang terbunuh dalam pertempuran dengan tentera kerajaan Syria di Salaheddine di tengah bandar Aleppo, kelmarin. - REUTERS
DAMSYIK 22 Ogos - Timbalan Perdana Menteri Syria, Qadri Jamil berkata, mereka bersedia untuk membincangkan mengenai peletakan jawatan Presiden Bashar al-Assad sebagai sebahagian daripada rundingan bagi menamatkan konflik berdarah yang semakin meruncing di negara ini.
Jamil mengeluarkan kenyataan mengejutkan itu, semalam ketika beliau menjadi wakil Syria ke Moscow dan selepas Rusia memberi amaran kepada Barat atas campur tangan mereka di negara ini ekoran tindakan Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama memberi amaran kepada Damsyik berhubung penggunaan senjata kimia.
Sementara itu di seluruh Syria semalam, sekurang-kurangnya 128 orang lagi terbunuh, termasuk 81 orang awam, menurut pertubuhan pemantau yang turut melaporkan mengenai berlaku bedilan dan pertempuran di Aleppo serta Damsyik.
“Selagi peletakan jawatan Assad dijadikan sebagai syarat untuk memulakan rundingan, sebarang dialog tidak akan tercapai.
“Namun, sebarang masalah dapat dibincangkan ketika sesi dialog (yang dicadangkan) itu, termasuk mengenai isu peletakan jawatan Assad sebagai Presiden Syria," kata Jamil selepas mengadakan rundingan di Moscow.
Menurut satu sumber politik di Damsyik, Jamil dihantar ke Rusia untuk membincangkan mengenai pelan pilihan raya Presiden di Syria, di mana semua calon akan dibenarkan bertanding, termasuk Assad.
Kumpulan pembangkang yang hidup dalam buangan, Majlis Kebangsaan Syria turut berkata, mereka sedang mengkaji pembentukan kerajaan peralihan, tetapi tidak menyatakan sama ada ia turut membabitkan tokoh-tokoh dalam kerajaan Assad.
Sementara itu, di bandar komersial Aleppo, bedilan kuat dilaporkan berlaku di kebanyakan bahagian di bandar tersebut, termasuk di kawasan seorang wartawan Jepun ditemui terbunuh akibat terkena tembakan, kelmarin.
Menurut aktivis, pesawat pejuang turut mengebom kawasan utara pekan Marea.
Tentera Pembebasan Syria (FSA), pula mendakwa mereka telah menguasai dua pertiga bandar Aleppo tetapi satu sumber keselamatan di Damsyik menafikan dakwaan itu.
- AFP

Pertempuran cemari Aidilfitri

SRINAGAR- Ketika umat Islam di Malaysia menyambut Aidilfitri dengan meriah dan penuh muhibah, keadaan amat berbeza di bandar raya yang menjadi ibu negeri Jammu dan Kashmir di India ini.
   
Dalam kegembiraan umat Islam di Malaysia menyambut kedatangan hari mulia itu dengan menunaikan solat Aidlfitri dan mengadakan rumah terbuka, umat Islam di sini pula dilanda suasana huru-hara ketika mereka menyambut 1 Syawal pada Isnin.
   
Ketika kaum muslimin dan muslimat daripada segenap lapisan usia dan latar belakang kehidupan dari seluruh Srinagar berpusu-pusu ke Eidgah untuk menunaikan solat Aidilfitri dan mengucapkan selamat tinggal kepada bulan Ramadan yang penuh
berkat, mereka dikejutkan dengan serangan puak pemisah terhadap polis.
   
Kejadian itu berlaku selepas pihak berkuasa mengenakan perintah tahanan di rumah terhadap beberapa pemimpin puak pemisah, termasuk Mirwaiz Umar Farooq, pengerusi All Parties Hurriyat (Freedom) Conference, yang sepatutnya menyampaikan khutbah pada solat sunat Aidilfitri. Pemimpin pemisah lain yang dikenakan perintah itu ialah Syed Ali Geelani, Shabir Shah dan Muhammad Yasin Malik.
   
Berikutan tindakan itu, rakaman ceramah Mirwaiz dipasang untuk didengari kira-kira 7,000 jemaah yang hadir.

Berikutan kejadian membaling batu terhadap polis dan anggota pasukan separa tentera serta tindakan pasukan berpakaian seragam terhadap pemberontak itu, tiga anggota polis cedera dan sebuah kenderaan berperisai yang dalam perjalanan ke Institut Sains Perubatan Sher-e-Kashmir, dibakar.
   
Greater Kashmir, sebuah akhbar tempatan, memetik seorang pegawai kanan polis yang tidak disebut namanya, sebagai berkata sekatan dikenakan terhadap pergerakan beberapa pemimpin puak pemisah untuk mencegah berlakunya kejadian tidak diingini pada hari sambutan Aidilfitri.
    
Penduduk tempatan memaklumkan kepada penulis bahawa walaupun pihak berkuasa India sering mengenakan perintah tahanan di rumah terhadap para pemimpin pergerakan itu untuk menghalang mereka daripada menghadiri perhimpunan besar, tetapi kali ini orang ramai marah kerana dikenakan pada Aidilfitri.
   
Seorang penduduk yang enggan dikenali dan pernah menyaksikan beberapa aksi anggota puak pemisah dan tentera di negeri ini sejak beberapa dekad lepas, berkata pertempuran pada Isnin itu boleh dianggap satu kejadian kecil.

Bagaimanapun, bagi mereka yang pertama kali melihatnya, termasuk penulis, insiden merupakan pengalaman yang menggerunkan.
   
Keadaan di Jammu dan Kashmir boleh dikatakan tenang kebelakangan ini setelah beberapa tahun dilanda ketegangan akibat tindakan puak pemisah. Namun demikian, ketegangan mudah tercetus apabila timbul isu sensitif.

Umat Islam meliputi 97 peratus daripada keseluruhan penduduk negeri ini, yang terletak berhampiran Azad Jammu dan Kashmir yang dikuasai Pakistan, serta Gilgit-Baltistan.
   
Kehadiran anggota polis dan pasukan separa tentera begitu ketara di Srinagar, dengan pusat pemeriksaan dan sekatan merupakan sesuatu yang tidak asing lagi di hampir semua jalan raya di sini.
   
Dianggarkan terdapat hampir 700,000 anggota polis dan tentera di Jammu dan Kashmir, yang bertugas di bawah perintah darurat yang dikuatkuasakan kerajaan pusat.
   
"Keadaan ini memang mengecewakan dan tidak terdapat tanda-tanda akan reda," kata Ahmed ketika memandu beca bermotornya melepasi satu sekatan polis.
   
"India mahukan Kashmir, Pakistan pun begitu juga. Kami tak mahu kedua-dua mereka. Serahkan saja Kashmir kepada penduduknya," kata lelaki itu yang mencerminkan pemikiran kebanyakan rakyat negeri ini.

Sejurus selepas pertempuran itu, kehadiran pasukan keselamatan dipertingkatkan. Orang ramai cuba beredar dengan segera, terutama mereka yang datang bersama keluarga serta anak dan keadaan ini menyebabkan lalu lintas tidak bergerak.
   
Akhirnya, jalan raya menjadi lengang untuk seketika. Bagaimanapun, beberapa jam kemudian, jalan raya kembali dipenuhi orang ramai yang saling bertukar ucapan. Pelukan dan senyuman melenyapkan kebimbangan yang mereka alami sebelum itu.
   
Anak muda memasang lagu dengan sekuat-kuat hati di dalam kereta masing-masing, meniup vuvuzela dan menimbulkan suasana berpesta di jalan raya.
   
Kebanyakan warga Kashmir bersifat mesra dengan sesiapa saja dan mudah diajak berbual. Mereka dengan senang hati mempelawa orang yang mereka temui untuk menjamu selera, lebih-lebih lagi pada hari perayaan seperti Aidilfitri.
   
Kanak-kanak bersiar-siar dengan bebas di jalan raya, sama seperti pada hari-hari lain, tetapi sesuatu yang memeranjatkan penulis ialah kebanyakan kanak-kanak lelaki gemarkan alat mainan yang berupa senjata api.
   
Mereka yang memiliki senjata api paling besar selalunya berjalan dengan megah dan jarang menolak jika diajak bergambar. Televisyen tidak boleh dipersalahkan 100 peratus tentang perkara ini kerana persekitaran kehidupan, banyak mempengaruhi hidup mereka.
   
Apabila suasana bergembira kembali memenuhi kehidupan mereka, warga Srinagar melahirkan harapan agar keamanan dan keharmonian yang mereka kecapi sekarang akan berkekalan dan tidak diragut kembali daripada mereka. -Bernama

Gempa bumi sederhana di Papua New Guinea

KUALA LUMPUR- Gempa bumi sederhana berukuran 5.8 pada skala Richter melanda Papua New Guinea (PNG) pada pukul 7.38 malam ini.
   
Menurut kenyataan Jabatan Meteorologi Malaysia, gempa berlaku di wilayah New Guinea Timur, 70km timur laut Lae dan 3,394km tenggara Semporna, Sabah.
   
Ia tidak mendatangkan ancaman tsunami kepada Malaysia. -Bernama

Ulang tahun ke-43 peringati serangan Masjid al-Aqsa


Ulang tahun ke-43 peringati serangan Masjid al-Aqsa
Penduduk Palestin terpaksa melalui pemeriksaan pihak berkuasa Israel yang ketat untuk ke Masjid al-Aqsa.
BANDAR GAZA - Penduduk Palestin, kelmarin, memperingati ulang tahun ke-43 insiden serangan ke atas Masjid al-Aqsa yang dilakukan seorang pelampau Kristian dan turut dihadiri Presiden Mahmoud Abbas.

Dalam ucapan beliau, Abbas mengutuk tindakan pihak berkuasa Israel yang sebenarnya bertanggungjawab membenarkan insiden membakar masjid dilakukan sewenang-wenangnya dan Masjid al-Aqsa turut terkena tempias perbuatan biadab mereka.
"Matlamat utama rejim Zionis adalah untuk mencabul kesucian Masjid al-Aqsa bagi membina kuil Yahudi di kawasan itu," katanya.
Abbas turut menegaskan keamanan, keselamatan dan kestabilan tidak dapat dicapai jika Israel masih menawan bandar yang kekal menjadi ibu negara dan teras identiti Palestin.
Kenyataan tersebut dikeluarkan susulan daripada keputusan Majlis Perbandaran Baitulmaqdis pada bulan lalu, untuk mengubah kawasan masjid yang menjadi kiblat pertama orang Islam itu kepada taman awam.
Difahamkan, untuk pertama kali juga anggota polis Israel membenarkan orang Yahudi untuk menggempur masjid itu dan mengancam orang Islam yang sedang beribadat semasa Ramadan.

Serangan ke atas Masjid al-Aqsa pada tahun 1969 itu, dilancarkan  Michael Dennis Rohan yang bertindak biadab membakar kawasan dalam masjid sehingga menyebabkan beberapa tinggalan sejarah Islam termasuk mimbar Saladin berusia 800 tahun musnah.