Pages

Tuesday, August 14, 2012

Ketua puak, anak maut diserang militan





   
AL-ARISH (Mesir): Sekumpulan lelaki bersenjata menembak mati seorang pemimpin puak dan anaknya di Semenanjung Sinai yang bersempadan dengan Israel, semalam.
Jurucakap tentera berkata, Khalaf al-Menahy dan anak lelakinya diserang ketika mereka dalam perjalanan pulang dari menghadiri persidangan dianjur pemimpin puak bagi mengecam keganasan.

Insiden itu berlaku ketika pihak keselamatan Mesir menjalankan operasi sejak Rabu lalu ekoran pembunuhan 16 pengawal sempadan pada 5 Ogos lalu.

Operasi itu adalah yang terbesar pernah dijalankan sejak Mesir berperang dengan Israel pada 1973. Huru-hara semakin meningkat di Sinai sejak kejatuhan Hosni Mubarak tahun lalu.

Sebahagian daripada utara Sinai dikawal suku Badwi selepa polis meninggalkan kawasan berkenaan ketika pergolakan politik melanda Mesir. Sementara itu, sumber di Sinai berkata, ratusan suku Badwi mengadakan pertemuan sulit kelmarin untuk membincangkan tindak balas terhadap pembunuhan lima militan Islam oleh pengawal sempadan Mesir.

“Mereka bersetuju memberikan tindak balas yang keras,” katanya. - Reuters

Pembangkang minta sempadan Syria jadi zon larangan terbang





   
BEIRUT: Pemimpin kumpulan pembangkang Syria dalam buangan semalam menggesa kuasa besar dunia menguatkuasakan zon larangan terbang di kawasan sempadan negara itu bagi melindungi orang awam yang diserang pesawat tentera kerajaan.
Presiden Majlis Kebangsaan Syria, Abdelbaset Sieda, berkata langkah itu dapat menyedarkan Presiden Bashar al-Assad bahawa komuniti dunia benar-benar serius menentangnya. “Mesti ada perlindungan khusus.

“Jumlah korban dan kemusnahan semakin bertambah dan jika dibiarkan, kita menuju kemusnahan,” katanya.

Gesaan penguatkuasaan zon larangan terbang dibuat sejak beberapa bulan lalu, tetapi kenyataan Abdelbaset semalam dikeluarkan sehari selepas Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Hillary Clinton, berkata Washington dan Turki membincangkan pelbagai langkah bagi menghadapi serangan Damsyik. - AP

Ayam hasilkan telur luar biasa




   
LONDON: Ketika Annie Egginton meraikan ulang tahun kelahirannya yang ke-59 baru-baru ini, dia terkejut mendapat ‘hadiah’ luar biasa berbentuk telur ayam yang sangat besar, lapor media semalam.
Memelihara ayam betina berusia setahun, Annie dan suaminya, Steve Egginton, bagaikan tidak percaya apabila melihat telur seberat 170 gram berbanding telur biasa 57 gram.

Menetap di Chew Magna, Somerset, pasangan suami isteri itu mendapat kejutan istimewa pada hari pembukaan Sukan Olimpik 2012 baru-baru ini. Menurut Egginton, 60, dia tidak pernah melihat telur sebesar itu walaupun mula memelihara ayam lebih tiga dekad lalu. Ketika ini, mereka memelihara tiga ayam bernama Jessica, Doris dan Henryetta untuk membekalkan telur bagi kegunaan harian. Walaupun mempunyai keistimewaan begitu, Egginton tidak bercadang menyimpan telur dihasilkan Jessica itu, sebaliknya ia dijadikan hidangan sarapan. “Ia sangat lazat dan mengenyangkan,” katanya. - TS

2 beradik kerdil ada siri realiti



Cetak Artikel

TAHUN lalu, Bridgette pernah menjadi wanita paling kerdil di dunia selama beberapa bulan sebelum rekodnya diatasi wanita India, Jyoti Amge.
TAHUN lalu, Bridgette pernah menjadi wanita paling kerdil di dunia selama beberapa bulan sebelum rekodnya diatasi wanita India, Jyoti Amge.
CHICAGO: Bridgette dan Brad Jordan mungkin berkongsi nama akhir dengan legenda bola keranjang, Michael Jordan, tetapi hanya itu persamaan mereka.
Berbanding Jordan yang memiliki ketinggian hampir dua meter, Bridgette dan Brad diiktiraf sebagai pasangan adik-beradik paling kerdil di dunia oleh Rekod Dunia Guinness. Bridgette dan Brad menghidap penyakit jarang ditemui - dikenali sebagai Majewski osteodysplastic primordial dwarfism - dan menjejaskan pertumbuhan otak dan rangka.

Dianggarkan, kurang daripada 200,000 orang penduduk AS mengidap penyakit berkenaan. Bridgette, 23, hanya setinggi 0.68 meter dan terpaksa menggunakan tangga untuk naik ke katil.

   
  • FotoADIK-BERADIK Bridgette dan Brad bersama ibu mereka, Christy.
  • FotoDENGAN ketinggian hanya 0.96 meter, Brad tetap aktif bersukan, termasuk bola keranjang dan golf.
Adiknya, Brad, 21, mempunyai ketinggian 0.96 meter dan ia tidak menghalangnya aktif dalam sukan. Ibu mereka, Christy Jordan, berkata walaupun kerdil, Bridgette dan Brad kelihatan tidak canggung ketika keluar ke tempat awam. Tahun lalu, Bridgette pernah diiktiraf Guinness sebagai wanita paling kerdil di dunia selama beberapa bulan sebelum namanya digantikan dengan warga Nagpur, India, Jyoti Amge, yang mempunyai ketinggian 0.60 meter.

Di sebalik kekerdilan itu, adik-beradik terbabit mula mencipta nama di AS melalui siri realiti sendiri berjudul Big Tiny yang memulakan siarannya hari ini. Program itu difokuskan kepada kehidupan seharian Bridgette dan Brad berdepan urusan biasa yang dianggap remeh manusia biasa. Disebabkan badan yang amat kerdil, Bridgette - mempunyai berat badan 8.2 kilogram - terpaksa mandi di sinki dan membeli-belah menggunakan troli yang lebih tinggi daripadanya.

Brad - 15.9 kilogram - akan mempamerkan kemahirannya sebagai anggota kumpulan sorak kolej serta gerakan gimnastik.

Dalam Big Tiny itu juga, Brad akan menunjukkan gerakan karate dipelajarinya. Selain Christy, turut muncul dalam siri itu ialah kakak mereka, Brandi, yang mempunyai ketinggian normal.

Bagi Bridgette, dia bercita-cita mahu menjadi pereka fesyen, manakala Brad berangan-angan menjadi pelakon.

Mereka kini tinggal di Centralia, Illinois. - DM

Bekas menteri Lubnan disiasat

Foto
Samaha
Disyaki subahat dengan pegawai Syria rancang keganasan

Beirut: Hakim tentera semalam memulakan siasatan ke atas bekas Menteri Penerangan Lubnan, Michel Samaha, yang didakwa secara rasmi terbabit dalam rancangan keganasan bertujuan mengkucar-kacirkan Lubnan.
Beliau didakwa bersama-sama seorang lagi pegawai tentera berpangkat tinggi Syria. 


Perdana Menteri Syria, Najib Mikati, kelmarin berkata hasil siasatan akan menentukan pendirian yang akan diambil dalam usaha mempertahankan kedaulatan negara itu.

Tak masuk campur

“Kami mengamalkan dasar tidak mahu masuk campur dalam hal ehwal negara lain. Kami juga tidak membenarkan pihak lain masuk campur dalam hal ehwal negara ini atau menjadikan Lubnan sekali lagi sebagai arena menyelesaikan masalah atau mengimport krisis luaran ke dalamnya,” kata Mikati dalam satu kenyataan
Dakwaan terhadap Samaha, sekutu dan rakan rapat Presiden Bashar al-Assad, dan ketua Biro Keselamatan Kebangsaan Syria, Mejar Jeneral Ali Mamlouk, dijangka ‘mengeruhkan hubungan sedia tegang kedua-dua negara berikutan siri kejadian berdarah yang sempadan Lubnan dan Syria.
Samaha mengaku

Laporan Samaha mengaku pembabitannya dalam plot keganasan mencetuskan desakan oleh ahli politik Lubnan supaya negara itu memutuskan hubungan dengan rejim Assad.

“Hakim tentera, Riad Abu Ghida, memulakan siasatan semalam,” kata Menteri Kehakiman, Shakib Qortbawi. 

Bercakap dalam temu bual dengan Al-Jadeed TV malam kelmarin, Qortbawi berkata, beliau tidak mengetahui keputusan siasatan awal ke atas Samaha di sebalik kebocoran media.

Samaha, bekas ahli Parlimen dan dua kali menjadi Menteri Penerangan, didakwa kelmarin oleh Tribunal Tentera Lubnan dengan plot membunuh tokoh politik dan agama di negara itu dan merancang serangan pengganas.

Dalam tindakan yang tidak pernah terjadi sebelum ini, Mamlouk dan seorang Brigadier Jeneral Syria, dikenali sebagai Adnan, juga termasuk dalam pendakwaan.

Kumpulan bersenjata

Timbalan Pesuruhjaya di tribunal itu, Hakim Sami Sader, juga mendakwa ketiga-tiga mereka kerana mewujudkan kumpulan bersenjata bertujuan melakukan jenayah terhadap rakyat dan melemahkan pihak berkuasa negara.

Beliau menuduh ketiga-tiga lelaki berkenaan merancang melancarkan pertempuran mazhab menerusi persediaan melakukan serangan pengganas menggunakan bahan letupan yang dibawa Samaha ke Lubnan dan menyimpannya selepas memperoleh ia daripada Mamlouk dan Adnan. - Agensi

Ahmadinejad tiba di Arab Saudi


Mahmoud Ahmadinejad, Presiden IranMahmoud Ahmadinejad, Presiden Iran
Presiden Iran, Mahmoud Ahmadinejad, tiba di Arab Saudi semalam menjelang persidangan luar biasa di Makkah yang dijangka memberi tumpuan kepada konflik di Syria, yang menyaksikan Tehran dan Riyadh mengambil pendekatan berbeza. 

Ahmadinejad tiba di Madinah, di barat Arab Saudi, lapor agensi berita SPA. 
Persidangan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) diadakan hari ini dan esok di Makkah. “Dunia hari ini dalam keadaan amat sensitif. Kumpulan berbeza sedang bekerja dan musuh semakin aktif mencapai matlamat mereka dan banyak tenaga digunakan oleh kerajaan dan kumpulan Islam untuk berbalah dan bergaduh sesama sendiri,” kata Ahmadinejad. - AFP 

Pasangan menang loteri RM731 juta

LONDON: Pasangan British meraih hadiah tertinggi sebanyak 190 juta euro (RM731 juta) dalam loteri EuroMillions, kata pegawai. 

Loteri Kebangsaan Britain berkata, pasangan itu berasal dari Suffolk, tenggara England. 
Mereka dijangka mengumumkan identiti mereka hari ini dan cadangan untuk masa depan mereka. - AFP 

Gempa bumi 5.4 magnitud gegar Pakistan

ISLAMABAD: Gempa bumi sederhana berukuran 5.4 magnitud menggegarkan utara Pakistan awal pagi tadi tetapi tiada laporan kerosakan atau kerosakan, kata Pusat Geologi Amerika Syarikat (USGS). 

Gempa yang berpusat pada kedalaman 35 kilometer dicatat kira-kira 119 kilometer dari Mingaora utara daerah Swat dan 130 kilometer dari Gilgit di Kashmir. 
Kejadian itu berlaku berdekatan sempadan di antara wilayah Khyber Pakhtunkhwa dan Jammu, India serta wilayah Kashmir pada kira-kira jam 1.30 pagi waktu tempatan. 


Pakistan pernah dilanda gempa bumi berukuran 7.6 magnitud pada 8 Oktober 2005 yang mengorbankan lebih 73,000 orang dan mengakibatkan 3.5 juta rakyatnya kehilangan tempat tinggal terutama di Kashmir dan sebahagian Khyber Pakhtunkhwa. - AFP 

Belum ada bukti kehidupan di Marikh




ILUSTRASI pelukis mengenai operasi Curiosity di permukaan planet Marikh pada 5 Ogos lalu.


PASADENA, California - Gambar-gambar yang dihantar kenderaan robotik Curiosity menunjukkan Marikh kelihatan seperti sebuah planet mati, lapor akhbar The Sun kelmarin.
Berdasarkan gambar-gambar berwarna yang dihantar kenderaan itu, permukaan planet tersebut tandus dan berbatu-batu.
Gambar-gambar itu dihantar ke sebuah makmal Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) Amerika Syarikat di sini.
Tiada pokok kelihatan di permukaan Marikh berdasarkan gambar-gambar yang dihantar Curiosity.
Bukit-bukau yang terdapat di planet itu menunjukkan ia digambarkan mirip Gurun Mojave di California, Amerika Syarikat.
Bagaimanapun, para saintis percaya permukaan tanah di planet tersebut tidak tebal sekali gus membolehkan kenderaan itu menggerudi dengan mudah.
Menurut seorang saintis, John Grotzinger, tujahan roket kenderaan robotik itu menyebabkan terbentuk parit sepanjang 0.5 meter di permukaan Marikh.
"Ia kelihatan seperti kami dapat menyaksikan batuan dasar planet Marikh," katanya yang merupakan saintis dari Institut Teknologi California yang berkhidmat untuk misi NASA itu.
Kenderaan robotik itu mendarat di Marikh pada 5 Ogos lalu dengan misi selama dua tahun untuk mencari sebarang tanda kewujudan kehidupan.

GAMBAR pemandangan tandus berlatarbelakangkan banjaran gunung di planet Marikh yang diedarkan oleh NASA pada 9 Ogos lalu.


Ia mendarat di Kawah Crater yang mempunyai pemandangan Gunung Sharp dan jerebu.
Kos projek yang dikendalikan NASA itu ialah AS$2.5 bilion (RM7.8 bilion).
Kenderaan robotik berkuasa nuklear itu mengharungi penerbangan sejauh 566 juta kilometer selama lapan bulan sebelum tiba di Marikh.
Gambar-gambar itu dihantar menerusi dua satelit NASA yang mengorbit Marikh selepas dirakamkan Curiosity.

Sarkas untuk penduduk miskin




BEBERAPA anggota persembahan sarkas Mundata muncul di pentas bagi menghargai sokongan penonton.


LIMA, Peru - Sarkas Mundata yang menjadikan kawasan penduduk miskin di negara ini sebagai lokasi persembahan.
Ia hanya mempunyai sepuluh pekerja yang melakukan pelbagai persembahan.
Bayaran untuk memasuki sarkas itu ialah antara AS$2 (RM6.24) hingga AS$5 (RM15.60). - AP

Imej serpihan meteor Perseid




IMEJ (dalam bulatan) menunjukkan serpihan meteor Perseid.


FORT CHURCHILL, Amerika Syarikat - Imej serpihan meteor Perseid di langit berjaya dirakamkan di sini kelmarin.
Imej itu diperoleh agensi berita AP daripada Kevin Clifford.
Serpihan itu adalah daripada komet Swift-Tuttle yang terbakar selepas melalui atmosfera bumi. - AP

Morsi arah Menteri Pertahanan letak jawatan



TANTAWI


KAHERAH - Presiden Mohammed Morsi melakukan kejutan apabila beliau mengarahkan Menteri Pertahanan, Fil Marsyal Hussein Tantawi supaya bersara.
Presiden Mesir berkenaan turut membatalkan rombakan perlembagaan oleh tentera sebelum ini yang memberikan kuasa eksekutif kepada beberapa orang jeneral Mesir.
Dalam pada itu, Morsi melantik seorang hakim kanan, Mahmoud Mekki sebagai Naib Presiden Mesir.
Keputusan tersebut yang diumumkan kelmarin berkuat kuasa serta-merta.
Berita mengenainya diumumkan oleh jurucakap Presiden, Yasser Ali pada satu sidang media yang disiarkan oleh stesen televisyen negara berkenaan.
Menurutnya, Morsi melantik Abdel-Fattah El-Sissi sebagai Menteri Pertahanan bagi menggantikan Hussein.
Hussein sebelum ini mengetuai Majlis Tentera yang memerintah Mesir selama 17 bulan selepas kejatuhan Presiden Hosni Mubarak pada Februari 2011.
Turut diarahkan bersara adalah ketua nombor dua Majlis Tentera iaitu Ketua Staf Sami Annan.
Sementara itu, beribu-ribu orang berhimpun di Dataran Tahrir di sini semalam sebagai menyatakan sokongan mereka berhubung perubahan kuasa yang diumumkan oleh Morsi.
"Rakyat Mesir menyokong keputusan Presiden," kata mereka.
Tindakan berani itu dibuat seminggu selepas 16 askar sempadan Mesir ditembak mati oleh sekumpulan militan di sebuah pos kawalan sempadan di utara Semenanjung Sinai, dekat Israel.
Peningkatan penentangan kumpulan militan itu berlaku selepas Hosni Mubarak meletakkan jawatan sebagai Presiden pada Februari tahun lalu atas desakan penunjuk perasaan.
Kepimpinan tentera amat berpengaruh di Mesir tetapi setakat semalam tiada tanda-tanda bahawa angkatan bersenjata negara itu mencabar arahan Presiden.
Tiada alasan diumumkan berhubung langkah pertukaran kepimpinan tersebut setakat ini. - Agensi

Jet tentera Syria ditembak jatuh




IMEJ daripada video amatur menunjukkan sebuah jet tentera Syria ditembak jatuh di wilayah Deir el-Zour, Syria semalam.


DAMSYIK - Pemberontak yang dikenali sebagai Tentera Pembebasan Syria (FSA) mendakwa pihaknya menembak jatuh sebuah jet pejuang semalam tetapi kedudukan tentera pemerintah semakin kukuh di bandar raya Aleppo apabila mereka mara ke sebuah daerah baharu yang dikuasai FSA.
Tentera pemerintah turut mengebom beberapa kawasan di sekitar ibu kota Syria di sini dan melancarkan operasi pembersihan di bandar raya berkenaan.
Perkembangan itu berlaku ketika beberapa klip video kontroversi yang menunjukkan kekejaman FSA di sekitar Aleppo disiarkan.
Satu rakaman tersebut menunjukkan anggota-anggota FSA mencampakkan beberapa mayat dari sebuah bangunan pejabat pos manakala klip video kedua memaparkan pemberontak menyembelih seorang lelaki.
Dalam perkembangan berkaitan, media Syria melaporkan sebuah jet tentera terhempas di timur negara itu ketika penerbangan rondaan selepas mengalami masalah teknikal. Menurutnya, juruterbang pesawat itu sempat mengaktifkan kerusi anjal pesawat bagi menyelamatkan diri.
Namun, FSA yang menggesa masyarakat antarabangsa supaya membekalkan organisasi tersebut dengan senjata penangkis pesawat mendakwa pihaknya menembak jatuh jet berkenaan di wilayah Deir Ezzor, timur Syria.
"Ya, kami boleh mengesahkan bahawa sebuah jet pejuang MiG 21 telah ditembak jatuh," kata jurucakap FSA, Kassem Saadeddine. - AFP

Iran bimbang wabak penyakit selepas gempa



RUNTUHAN rumah yang terdapat di Kampung Varzaghan semalam selepas gempa bumi yang berlaku pada Sabtu lalu.


TEHERAN - Gempa bumi berkembar yang memusnahkan sejumlah perkampungan di pedalaman barat daya Iran hujung minggu lalu meragut 306 nyawa dengan kebanyakan mangsa adalah wanita dan kanak-kanak, kata beberapa pegawai semalam.
Bencana itu juga kata mereka, mencetuskan kebimbangan penularan wabak penyakit.
Menteri Kesihatan Iran, Marzieh Vahid berkata, seramai 3,037 lagi mangsa cedera dengan 2,011 orang diberikan rawatan di lokasi kejadian manakala baki mangsa dibawa ke hospital untuk rawatan.
Menurutnya dalam laporan yang disiarkan di laman web Parlimen Iran, sebanyak 700 pembedahan dilakukan bagi menyelamatkan mangsa gempa bumi tersebut.
"Kami masih meneruskan usaha bagi mencari mayat-mayat mangsa," katanya.
Kelmarin pihak berkuasa Iran membatalkan usaha operasi menyelamat selepas memberitahu semua mangsa yang terselamat telah ditemui.
Seorang lagi pegawai, Hassan Ghadami yang merupakan Timbalan Menteri Dalam Negeri Bagi Pengurusan Krisis berkata: "Ramai mangsa terbunuh selepas beberapa jam pertama gempa berlaku ekoran dihempap timbunan runtuhan kediaman mereka.,"
Sementara itu, Ketua Perkhidmatan Kecemasan Iran, Gholamreza Masoumi memberi amaran kemungkinan berlaku wabak penyakit berjangkit ketika mangsa-mangsa tinggal dalam persekitaran kotor dan mengalami kekurangan air dan tandas.
"Satu lagi isu penting adalah sejumlah besar bangkai haiwan yang bergelimpangan di sekitar kawasan gempa dan di dalam sumber air," katanya.
Dua gempa bumi kuat berkenaan yang setiap satu berukuran 6.4 dan 6.3 pada skala Richter menggegarkan barat daya Iran pada Sabtu lalu dengan meruntuhkan banyak bangunan dan kediaman di sejumlah perkampungan di barat daya bandar Tabriz.
Ketua Bulan Sabit Merah Iran, Abdolhossein Faghih memberitahu Parlimen negara itu, 230 buah kampung rosak teruk dengan sejumlahnya musnah sama sekali dalam bencana tersebut.
Dalam perkembangan berkaitan, pemerintah Iran melancarkan satu dana bagi membina semula kediaman di kawasan pergunungan dilanda gempa tersebut menjelang musim sejuk yang akan melanda empat bulan lagi.
Pemerintah turut memberikan bantuan tunai hampir AS$2,000 (RM6,373) kepada setiap keluarga yang terjejas selain pemberian pinjaman dengan kadar faedah rendah sehingga AS$6,000 (RM19,119) untuk setiap keluarga.
Iran turut menolak bantuan luar daripada beberapa buah negara termasuk Amerika Syarikat, Jerman, Taiwan, Singapura dan Rusia. Teheran menyatakan, ia dapat menangani bencana tersebut. - AFP

Monday, August 13, 2012

Bandar eksklusif untuk wanita bekerja



Golongan wanita di Arab Saudi boleh bekerja tanpa melanggar sebarang isyarat selepas bandar baru yang dikenali sebagai Hafuf siap dibina. - AGENSI
RIYADH 12 Ogos - Arab Saudi merancang membina sebuah bandar baru yang eksklusif untuk wanita bagi membolehkan kaum itu bekerja dengan selamat.
Pembinaan bandar Hafuf oleh Pihak Berkuasa Hartanah Industri Arab Saudi itu, kini berada di peringkat pembangunan dan pembinaan dijangka bermula pada tahun depan.
Ia diharap dapat membenarkan wanita bekerja tanpa melanggar undang-undang syariah negara ini.
Bandar di timur negara ini dijangka menarik pelaburan sebanyak 500 juta riyal (RM415.4 juta) dan mewujudkan kira-kira 5,000 peluang pekerjaan dalam sektor tekstil, farmasi dan industri pembuatan makanan.
Ia akan mewujudkan syarikat-syarikat yang diuruskan wanita dan semua kakitangan juga akan terdiri daripada kaum tersebut.
Walaupun undang-undang syariah tidak menghalang wanita bekerja, data menunjukkan hanya 15 peratus wanita mewakili golongan pekerja di negara ini.
Pelan itu sejajar dengan usaha kerajaan untuk membolehkan wanita memainkan peranan lebih aktif dalam pembangunan negara.
Timbalan Ketua Pengarah Pihak Berkuasa Hartanah Industri Arab Saudi, Saleh al-Rasheed berkata, bandar industri sedia ada telah mempunyai kilang milik wanita dan syarikat yang menggajikan wanita.
Sehubungan itu beliau berkata, pihaknya kini berusaha untuk membina bandar industri kedua untuk wanita.
''Kami merancang untuk mewujudkan sejumlah industri khas hanya untuk wanita di bahagian-bahagian tertentu di negara ini,'' katanya. - AGENSI

Iran dilanda gempa



PENDUDUK menyelamatkan seorang wanita di dalam runtuhan sebuah rumah di Kampung Sourmah, dekat pekan Varzaqan selepas dua gempa bumi melanda barat laut Iran, kelmarin.
DUBAI 12 Ogos - Dua gempa bumi kuat menggegarkan barat laut Iran semalam menyebabkan 300 orang terbunuh dan 2,600 lagi cedera.
Pasukan penyelamat bergegas menggeledah runtuhan bangunan di berpuluh-puluh perkampungan sepanjang malam tadi hingga ke hari ini dan kakitangan perubatan berusaha menyelamatkan mangsa.
Beribu-ribu orang bersesak-sesak di kem sementara atau tidur di jalanan selepas gempa yang melanda bandar Tabriz di wilayah Azerbaijan Timur itu dikhuatiri menyebabkan banyak gempa susulan dengan 40 gempa direkodkan berlaku.
Angka kematian dijangka meningkat ekoran ramai mangsa berada dalam keadaan kritikal dan ada yang terperangkap di bawah runtuhan bangunan di kawasan yang sukar dihubungi manakala kegelapan malam menghalang kerja-kerja menyelamat.
Enam perkampungan musnah dan kira-kira 60 lagi kampung menghadapi kerosakan sehingga 50 peratus, lapor media.
Gambar-gambar yang disiarkan di laman web berita Iran menunjukkan banyak mayat, termasuk kanak-kanak, terbaring di atas lantai di bilik mayat di pekan Ahasr dan kakitangan perubatan merawat mangsa cedera di kawasan terbuka ketika waktu senja.
Beberapa imej menunjukkan kerosakan besar terjadi akibat gempa bumi itu dan pasukan penyelamat menarik keluar mangsa dari runtuhan bangunan dengan sesetengahnya masih hidup, tetapi ramai yang telah mati.
Pusat Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS) berkata, gempa pertama yang menggegarkan Iran semalam berukuran 6.4 skala Richter dan berpusat di 60 kilometer ke timur laut bandar Tabriz pada kedalaman 9.9 kilometer.
Gempa kedua pula berlaku 11 minit selepas itu dengan berukuran 6.3 sekala Richter, berpusat di 49 kilometer ke timur laut Tabriz, iaitu berhampiran pekan Varzaghan, pada kedalaman sama.
Beratus-ratus orang berjaya diselamatkan dari bawah runtuhan bangunan tetapi malam yang gelap menghalang bantuan kecemasan.
Operasi menyelamat bagaimanapun dihentikan hari ini selepas semua mangsa yang terselamat telah ditemui.
“Tidak ada lagi mangsa yang terperangkap di bawah runtuhan bangunan dan semua bantuan yang diperlukan sedang diagihkan," kata pegawai Kementerian Dalam Negeri bagi Pengurusan Bencana, Hossein Ghadami kepada televisyen kerajaan.
Beliau turut berharap angka korban tidak meningkat kerana mangsa yang sebelum ini kritikal mula stabil.
- REUTERS/AFP

Lelaki hina isteri Rasulullah dipenjara dua tahun

DUBAI 13 Ogos - Mahkamah Bahrain semalam menjatuhkan hukuman penjara selama dua tahun terhadap seorang lelaki puak Syiah selepas didapati bersalah menghina isteri Rasulullah SAW, Aisyah di Internet.
Lelaki berusia 19 tahun itu dilaporkan menggambarkan keperibadian Aisyah dengan kata-kata berbentuk penghinaan dan memalukan.
Aisyah merupakan tokoh dihormati di kalangan puak Sunnah. - AFP/REUTERS

Rakyat Maghribi protes pemerintah



WARTAWAN SINAR HARIAN
13 Ogos 2012
Rakyat Maghribi protes pemerintah
Kumpulan aktivis meluahkan rasa ketidakpuasan hati mereka dengan protes dan mengibarkan bendera anti kerajaan.
RABAT - Ratusan aktivis berhimpun di bandar utama Maghribi  untuk membantah kerajaan kerana gagal menangani isu rasuah, peningkatan kos sara hidup dan beberapa sebab lain yang mendatangkan ketidakpuasan hati rakyat.

Kumpulan hak asasi, ahli kesatuan sekerja dan gerakan protes 20 Februari, kelmarin berdemonstrasi susulan kecewa dengan kegagalan kerajaan yang memerintah menunaikan janji pilihan raya.

Di Casablanca, hampir 1,000 orang berkumpul sambil melaungkan slogan anti rasuah, mengecam kenaikan harga barangan dan meminta pembebasan beberapa aktivis yang sebelum ini dipenjarakan.

Menurut polis, protes yang berakhir tengah malam kelmarin turut berlaku di jalan-jalan utama Rabat dengan dihadiri lebih 300 penunjuk perasaan yang melaungkan kritikan terhadap Perdana Menteri Abdelilah Benkirane.

Dalam protes itu, aktivis menyalahkan keputusan Parti Pembangunan dan Keadilan (PJD) yang mendalangi kenaikan harga petrol sehingga 20 peratus pada Jun lalu sebaik sahaja kerajaan melancarkan rang undang-undang ketidakmampuan subsidi yang sekali gus meningkatkan harga makanan dan barangan asas lain.

Presiden Mesir arah ketua tentera bersara awal



WARTAWAN SINAR HARIAN
13 Ogos 2012
Presiden Mesir Mohammed Mursi
Mohammed Mesir diberi penghormatan pada hari beliau mengangkat sumpah sebagai presiden negara itu. - Foto ihsan CNN
KAHERAH - Presiden Mohammed Mursi mengarahkan persaraan ketua tentera yang berpengaruh, Fil Marsyal Mohamad Hussein Tantawi - dua bulan selepas beliau dipilih sebagai ketua baru Mesir.
Jurucakap Presiden berkata, deklarasi yang bertujuan mengekang kuasa presiden juga telah dibatalkan.
Laporan media menyebut masih belum jelas sama ada Mohamad yang turut dilucutkan sebagai Menteri Pertahanan akan menerima keputusan itu.
Mohammed mengangkat sumpah sebagai Presiden baru, yang dipilih menerusi pilihan raya selepas Hosni Mubarak digulingkan awal tahun, pada Jun lalu.
Ikhwanul Muslimin, yang dianggotai Mohammed, melalui hubungan yang tegang sejak Hosni jatuh dari tampuk kuasa menerusi kebangkitan rakyat.
Mursi telah menamakan Fil Marsyal Abdul Fatah Khalil al-Sisi sebagai Menteri Pertahanan yang baru dan ketua Majlis Agung Angkatan Tentera, demikian menurut Nile TV.
Abdul Fatah merupakan ketua risikan tentera sebelum ini.

Israel uji amaran SMS mengenai serangan ke atas Iran




         
BAITULMAQDIS: Israel semalam mula menguji sistem amaran mengenai serangan peluru berpandu terhadap Iran menerusi sistem pesanan ringkas (SMS).

Ujian itu dilakukan ketika berita mengenai kemungkinan serangan terbabit menguasai tajuk akhbar media Israel.


Menurut Markas Pertahanan Kebangsaan, ujian itu diadakan hingga Khamis ini dan mesej itu dihantar kepada pelanggan dalam bahasa Yahudi, Arab, Inggeris dan Russia menerusi tiga rangkaian utama Israel - Cellcom, Pelephon dan Orange.

Latihan itu bertujuan untuk menggunakan sistem SMS bagi memberi amaran kepada penduduk Israel mengenai serangan peluru berpandu oleh Iran atau Hizbullah di Lubnan jika tentera Israel melancarkan serangan terhadap kemudahan nuklear Teheran yang didakwa rejim itu bertujuan untuk menghasilkan senjata nuklear. Dalam pada itu, Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu memberitahu mesyuarat mingguan Kabinetnya bahawa Israel mencatatkan kemajuan penting dari segi keupayaan pertahanan. - AFP