Pages

Sunday, September 25, 2011

Palestin kemukakan permohonan keanggotaan PBB



TEBING BARAT - Puluhan ribu penduduk Palestin berhimpun di sini kelmarin untuk memberikan sokongan padu mereka kepada Presiden Pihak Berkuasa Palestin, Mahmoud Abbas ketika beliau merayu Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) supaya meluluskan permohonan keanggotaan Palestin dalam badan dunia itu.
Ketika Mahmoud melambaikan salinan permohonan tersebut di podium PBB, puluhan ribu penduduk Palestin bersorak 'Tuhan Maha Besar!' dan ' Kami akan mempertahankan Palestin dengan darah dan jiwa kami!'
"Saya tidak percaya sesiapa yang memiliki kesedaran walaupun sedikit, sanggup menolak permohonan kami dan penyertaan kami sebagai sebuah negara merdeka," kata Abbas pada Perhimpunan Agung PBB di New York kelmarin.
Beliau secara rasminya menyerahkan permohonan untuk Palestin diterima sebagai anggota penuh PBB kepada Setiausaha Agung badan dunia itu, Ban Ki-moon.
Namun begitu, Amerika Syarikat (AS) berikrar menggunakan kuasa vetonya untuk menghalang cubaan Palestin itu dengan alasan kemerdekaan dan keamanan Palestin hanya boleh dicapai menerusi rundingan langsung antara Palestin dan Israel.
AS dan Kesatuan Eropah sebaliknya menggesa Palestin dan Israel supaya menghidupkan semula rundingan damai dalam tempoh sebulan dan komited untuk mencapai persetujuan damai menjelang penghujung 2012.
Majlis Keselamatan PBB akan membincangkan berhubung permohonan PBB itu esok sebelum ia diluluskan untuk sesi pengundian para anggota PBB pada Perhimpunan Agung badan dunia itu. - AFP

Kubur beca di Dhaka




KAWASAN Mirpur di Dhaka menjadi tempat buangan beribu-ribu buah beca. - Agensi


DHAKA, Bangladesh - Sakit mata memandang! Begitulah pemandangan beribu-ribu buah beca yang ditinggalkan begitu saja di sebuah kawasan lapang di bandar raya ini, lapor sebuah akhbar semalam.
Kawasan Mirpur di sini yang digelar 'kubur beca', menyimpan lebih 15,000 buah kenderaan itu dengan hampir semuanya dijana kuasa kayuhan.
Kenderaan beroda tiga itu semakin terpinggir di sini ekoran ramai pengusaha beca kini lebih gemar menggunakan beca elektrik yang diimport dari India
Selain kurang memenatkan, beca elektrik lebih digemari kerana ia boleh membawa hingga enam penumpang berbanding beca tradisional yang cuma boleh dinaiki oleh tiga orang. - Agensi

Wanita berambut afro terbesar dunia



AEVIN DUGAS mengambil masa dua hari untuk mencuci dan mengeringkan rambutnya. - Agensi


NEW ORLEANS, Amerika Syarikat (AS) - Ramai suami dan teman lelaki gemar mengadu bahawa kaum wanita mengambil masa terlalu lama untuk berdandan, lapor sebuah akhbar semalam.
Namun, bagi seorang wanita di sini, Aevin Dugas, dia terpaksa mengambil masa dua hari untuk mencuci dan mengeringkan rambut kerinting afronya.
Dugas, 36, merupakan pemegang rekod dunia Guinness Book of Records untuk kategori rambut afro asli terbesar di dunia.
Dia yang merupakan seorang pekerja agensi sosial, mengambil masa 12 tahun untuk menyimpan rambutnya hingga setebal 1.32 meter.
Dugas pernah menangis di lapangan terbang selepas pihak keselamatan AS memeriksa rambutnya untuk memastikan tiada bahan letupan disembunyikan di dalam 'mahkota' wanita itu. - Agensi

Bekas tukang sapu jadi Presiden Zambia



MICHAEL SATA (kanan) menyanyikan lagu kebangsaan Zambia selepas beliau mengangkat sumpah sebagai Presiden Zambia yang kelima kelmarin. - AFP


LUSAKA, Zambia - Seorang bekas tukang sapu di stesen kereta api Victoria, London dipilih sebagai Presiden Zambia yang baharu.
Berikrar mahu "menyapu Zambia menjadi lebih bersih", Michael Sata yang menerajui parti Barisan Patriotik, mengangkat sumpah sebagai Presiden Zambia Khamis lalu setelah partinya memperoleh kemenangan tipis dalam pilihan raya baru-baru ini.
Berusia 74 tahun dan mempunyai lapan orang anak, Sata giat menentang pengaruh China yang semakin meluas di negara berkenaan.
Zambia yang dikelilingi lapan negara iaitu Republik Demokratik Congo, Tanzania, Malawi, Mozambique, Zimbabwe, Botswana, Namibia dan Angola adalah pengeluar tembaga terbesar di dunia selain kaya dengan galian lain.
Sata, 74, menuduh pemerintah terdahulu, Presiden Rupiah Banda yang mentadbir Zambia selama 20 tahun sebagai terlalu berlembut dalam menangani gejala rasuah.
Tidak mahu mengulangi kesilapan sama, beliau berikrar akan berkongsi kekayaan hasil mineral negara itu dengan rakyat secara lebih adil dan telus.
"Zambia tidak boleh lagi mundur ke belakang. Kita semua mesti bergerak ke hadapan sebagai satu bangsa," katanya.
Digelar Tedung Selar kerana ucapan berbisanya yang sukar ditepis pihak lawan, Sata lahir di Zambia ketika negara itu masih bergelar koloni British bernama Rhodesia Utara.
Pada tahun 1950-an, beliau berhijrah ke London sebelum diambil bekerja sebagai tukang sapu dan porter oleh syarikat kereta api Britain, British Rail.
Sata kemudian belajar separuh masa untuk mengubah nasibnya. Beliau juga pernah bekerja di sebuah kilang pemasangan kereta di Britain sebelum kembali ke Zambia.
Sata kemudian menyertai pasukan polis negara itu.
Semasa berkempen, Sata pernah bersumpah bahawa beliau tidak akan minum air minuman yang dibotolkan sehingga semua rakyat Zambia mendapat bekalan air bersih.
Walaupun kaya dengan pelbagai hasil Bumi, negara di selatan Afrika itu masih dikategorikan sebagai mundur.
Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), 70 peratus daripada 13 juta rakyat Zambia hidup dalam kemiskinan dengan purata gaji tahunan di negara itu cuma £255 (RM1,250). - Agensi

Saturday, September 24, 2011

Kepentingan Menuntut 'Ilmu




Ibnu Abbas ra.berkata : Bahawa para ulamak mempunyai darjat-darjat di atas orang-orang mukmin sebanyak 700 darjat, jarak antara dua darjat itu adalah sejauh 500 tahun perjalanan.

Mu'az bin Jabal berkata mengenai pengajaran dan belajar ilmu dan meriwayatkannya secara marfuk:
"Belajarlah ilmu, kerana mempelajari ilmu kerana Allah adalah kebaikan dan menuntut ilmu adalah ibadah, kajiannya adalah seperti tasbih, penyelidikannya seperti jihad, pengajarannya adalah sedekah dan pemberiannya kepada ahliyah adalah pendekatan diri kepada Allah. Ilmu adalah penghibur dikala kesepian, teman diwaktu menyendiri dan petunjuk dikala senang dan susah. Ia adalah pembantu dan teman yang baik dan penerang jalan ke Syurga."

Allah mengangkat darjat orang-orang dengan ilmu, lalu menjadikan mereka dalam kebaikan sebagai pemimpin dan pemberi petunjuk yang diikuti, petunjuk dalam kebaikan, jejak mereka diikuti dan perbuatan-perbuatan mereka diamalkan.

Para malaikat ingin menghiasi mereka dan mengusap mereka dengan sayap-sayap. Setiap benda yang basah dan yang kering bertasbih bagi mereka dan memohon ampun bagi mereka, bahkan ikan-ikan dilautan dan binatang-binatang, haiwan-haiwan buas dan ternakan di darat serta binatang dilangit juga memohon ampun bagi mereka. Sebab ilmu menghidupkan hati dan menerangi pandangan yang gelap serta menguatkan badan yang lemah. Dengan ilmu hamba mencapai kedudukan orang-orang yang soleh serta darjat yang tinggi. Memikirkan ilmu sama dengan puasa dan mengkaji ilmu sama dengan solat malam. Dengan ilmu Allah ditaati dan disembah serta di-Esakan. Dengan ilmu manusia berhati-hati dalam mengamalkan agama dan memelihara hubungan kekeluargaan. Ilmu adalah pemimpin dan amal adalah pengikutnya. Orang yang mendapat ilmu adalah orang yang bahagia dan orang yang tidak mendapatkannya adalah orang yang sengsara.

-Mukhtasar Ihya' Ulumuddin - Imam Al Ghazali

129 negara sokong Palestin





PELAJAR-pelajar Palestin turut sama bersorak semasa menyertai demonstrasi membantah ucapan Presiden Barack Obama di Perhimpunan Agung PBB kelmarin yang pro-Israel, di Ramallah, Palestin, semalam. -REUTERS



NEW YORK 23 Sept. - Ketika Presiden Palestin, Mahmoud Abbas bersedia untuk mengemukakan permohonan pengiktirafan sebagai sebuah negara berdaulat, dua per tiga anggota Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sudah menyokong usaha berkenaan.
Delegasi Palestin menyatakan sebanyak 129 negara sudah memberikan sokongan kepada Palestin, lapor saluran televisyen, Al Jazeera.
Keadaan itu membawa makna Palestin menerima sokongan dua pertiga majoriti di Perhimpunan Agung PBB di mana Palestin boleh memilih untuk mendapatkan status bukan anggota dalam badan dunia itu.
''Pada peringkat ini, Palestin boleh ke Majlis Keselamatan PBB di mana Abbas menyerahkan permohonan berkenaan kepada Setiausaha Agung PBB,'' lapor Al Jazeera.
Dalam pada itu, rakyat Palestin mengadakan demonstrasi di jalan-jalan raya di Ramallah dan Gaza, semalam selepas ucapan Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama di Perhimpunan Agung PBB yang dilihat pro-Israel.
Lebih 1,000 penunjuk perasaan yang membawa kain rentang mengecam Obama, berkumpul di luar pejabat Abbas di Tebing Barat sebelum berarak ke pusat bandar.
Di Gaza pula, kira-kira 300 wanita mengadakan demonstrasi di luar pejabat PBB sambil melaungkan slogan anti-Obama.
Ucapan Obama itu mengulangi bantahannya terhadap usaha pengiktirafan Palestin itu dan menunjukkan simpati ke atas kesengsaraan hidup rakyat Israel.
Sementara itu, rakyat Palestin hari ini memberikan sokongan penuh kepada pemimpin mereka yang akan mengemukakan permohonan pengiktirafan tersebut.
Penyanyi dari Jenin, Ahmad Rahal mencipta lagu yang memuji Presiden Mahmoud Abbas sebagai seorang penjaga dan pelindung rakyat Palestin.
Menurut pemilik bengkel, Bilal Abu Ahmed, mereka amat menyambut baik tindakan Abbas dan gembira jika ia berjaya.
"Kami sudah tidak mampu untuk terus menderita. Biarlah anak-anak kami hidup dalam kemerdekaan," katanya. - Agensi

AS jual bom pemusnah kubu bawah tanah kepada Israel

WASHINGTON 24 Sept. – Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama secara rahsia membenarkan penjualan 55 bom pemusnah kubu bawah tanah yang sangat kuat kepada Israel.
Menurut majalah Newsweek yang memetik pegawai AS dan Israel, Obama membenarkan pengeluaran bom dikenali sebagai GBU-28 itu pada 2009.
Bom tersebut mempunyai berat 91 kilogram dan direka untuk memusnahkan sasaran yang keras, sesuatu yang boleh digunakan untuk menyerang tapak nuklear Iran. – AFP

Lelaki ditahan cuba culik wanita untuk jadi hamba seks

DUBAI: Polis Dubai menahan seorang lelaki Arab yang menggoda wanita Asia di internet dan cuba menculik serta menyimpannya sebagai hamba seks.
Polis turut menemui rantai, alat gencatan elektrik, topeng dan kunci daripada suspek di flet kediamannya.

Pengarah Seksyen Siasatan Jenayah, Leftenan Kolonel Ahmad Humaid al-Merri berkata, mangsa diundang bertemu dengan suspek yang dikenali di internet di apartmennya di Deira pada 1 September lalu. Mangsa ke kediaman suspek pada jam 3 petang sebelum diserang dengan alat gencatan elektrik. “Suspek tidak tinggal di bangunan itu tetapi dia tahu ada satu unit studio kosong di bawah bangunan berkenaan dan menyewanya,” katanya.

Suspek menarik mangsa ke dalam studio itu dan cuba untuk merantai mangsa. Bagaimanapun, dia menyedari dia terlupa mengunci pintu dan ketika hendak berbuat demikian, mangsa segera memanjat tingkap dan meloncat keluar untuk melarikan diri.

Keadilan dipersenda

NEW YORK: Denda dikenakan kepada wanita yang memakai niqab (purdah) yang dijatuhkan buat kali pertama oleh mahkamah Perancis, semalam adalah tindakan mempersendakan keadilan, kata Amnesty International.
Polis sudah mengeluarkan beberapa denda serta-merta sejak larangan pemakaian niqab dikuatkuasakan April lalu tetapi perbicaraan menyaksikan dua kes pertama apabila mahkamah mengenakan denda. Wanita Islam yang didenda pula berikrar untuk merayu kes itu ke Mahkamah Asasi Antarabangsa Eropah.

“Ia mempersendakan keadilan dan hari yang memalukan buat Perancis. Wanita terbabit dihukum kerana cara berpakaian yang mereka inginkan,” kata Timbalan Pengarah Amnesty International untuk Eropah dan Asia Tengah, John Dalhuisen. “Undang-undang sepatutnya melindungi hak wanita, tetapi pengharaman itu melanggar kebebasan mereka beragama,” katanya.

Mahkamah di utara Meaux mengarahkan Hind Ahmas,32, membayar 120 euro (RM504), manakala Najate Nait Ali, 36, didenda 80 euro (RM336). Bagaimanapun, dua wanita berkenaan tidak diarah mengambil kursus kewarganegaraan sebagaimana disarankan pendakwa raya. Perancis bukan satu-satunya negara yang melarang pemakaian purdah wanita Islam - Belgium dan beberapa bandar raya di Itali juga mempunyai undang-undang yang sama, manakala negara lain turut bercadang mengikut langkah sedemikian. Jadi, perbicaraan di mahkamah Eropah mungkin memberi kesan yang berbeza. Pihak berkuasa Perancis menganggarkan terdapat kira-kira 2,000 wanita daripada jumlah keseluruhan populasi umat Islam antara empat dan enam juta memakai purdah yang secara tradisinya dipakai wanita di dunia Arab dan Asia Selatan. - AFP

Turki tolak cadangan Perancis Palestin jadi negara bukan anggota PBB

BRUSSELS: Timbalan Perdana Menteri Turki, Bulent Arinc menolak cadangan Presiden Perancis, Nicolas Sarkozy, yang meminta Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) membenarkan Palestin menjadi negara bukan anggota.
“Nampaknya ada sesetengah negara yang mengubah fikirannya mereka disebabkan pengaruh daripada Israel,” kata Bulent.
“Apa yang Sarkozy kata mengenai Palestin sama seperti apa yang dia pernah cakap mengenai Turki, apabila dia mencadangkan Turki tidak menjadi anggota penuh Kesatuan Eropah,” katanya.

Perancis dan Jerman mencadangkan Turki menjadi anggota “perkongsian alternatif” Kesatuan Eropah, di mana cadangan itu sentiasa ditolak oleh Ankara ketika rundingan untuk menjadi anggota penuh, dibuat.


Merujuk kepada permohonan Palestin untuk menjadi anggota PBB, Bulent berkata, “Saya harap, permohonan Palestin menjadi anggota penuh, diterima oleh majlis.”

Dalam ucapannya Rabu lalu di Perhimpunan Agung PBB, Sarkozy meminta PBB menerima Palestin sebagai negara bukan ahli, menaikkan taraf daripada hanya sebagai pemerhati tetapi menolak permohonan Palestin untuk menjadi anggota penuh PBB.

Perdana Menteri Turki, Recep Tayyip Erdogan, dalam ucapannya di Persidangan itu meminta “tekanan” antarabangsa diberikan kepada Israel untuk berdamai dengan Palestin. - AFP

Saudi tawar Turki bekal helikopter perang

RIYADH: Tentera Arab Saudi menawarkan Turki membekalkan helikopter perang untuk tentera udara diraja Saudi, lapor akhbar Turki, semalam.
Akhbar itu melaporkan pihak berkuasa Turki mengadakan perbincangan dengan kerajaan Arab Saudi mengenai pengeluaran pesawat ‘T-129’ yang menjalani ujian penerbangan pertamanya, bulan lalu.

Pengeluaran sejumlah besar pesawat itu dijangka bermula pertengahan tahun depan, tetapi akhbar terbabit tidak menyatakan sumber maklumat diperoleh.

Helikopter T-129 buatan Turki asalnya adalah versi helikopter A-129 yang dihasilkan Itali yang dinaik taraf. Turki menandatangani perjanjian bernilai AS$3.2 juta (RM9.6 juta) dengan Itali bagi mendapatkan hakcipta untuk mengeluarkan helikopter berkenaan.

Tunggu detik bersejarah

RAMALLAH: Rakyat Palestin sudah bersedia untuk meraikan permohonan rasmi untuk menjadi anggota Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu walaupun mendapat tentangan daripada Washington dan Israel, semalam.
Sebuah televisyen besar diletakkan di tengah bandar ini untuk rakyat menyaksikan Presiden Palestin, Mahmud Abbas memberi ucapan bersejarah di Perhimpunan Agung PBB.
Rakyat Palestin dijangka berhimpun pada jam 3petang (waktu GMT), setengah jam awal sebelum Mahmud dijadualkan menyerahkan permohonan secara rasmi kepada Setiausaha PBB, Ban Ki-moon pada jam 3.35 petang (waktu GMT) di New York.

Mahmud dijangka membuat ucapannya pada jam 4.30 petang (waktu GMT) dan Kementerian Hal Ehwal Agama Palestin, telah meminta semua masjid di Tebing Barat melaungkan ucapan “Syukur kepada Allah dan memohon supaya Allah membantu Mahmud untuk merealisasikan impian rakyat Palestin.”


Semua jalan di pekan dan bandar utama dipenuhi kibaran bendera Palestin dan panji-panji logo kempen untuk Palestin menjadi anggota PBB yang ke 194. - AFP

Lahir dengan lidah terjulur

PADANG: Seorang bayi lelaki dilahirkan di Kampung Pampangan di sini dengan lidahnya terjulur.
Bayi pasangan suami isteri, Sartika (23) dan Anton (27, lahir secara normal pada pada 5 September lalu.

Sehingga semalam, bayi itu yang diberi nama Fakri Arrahman sudah dimasukkan ke Hospital Dr M Djamil untuk menjalani rawatan. Pengarah hospital berkenaan, Gustafianof berkata, pihaknya tetap menerima Fakri meskipun dia berasal dari keluarga miskin. Fakri berdepan dengan masalah untuk menghisap susu kerana sebagaian besar rongga mulutnya ditutupi lidahnya yang menjulur.

Lebih membimbangkan lagi, lidahnya semakin membesar dan memanjang. Kos untuk merawatnya ketika ini dtanggung oleh Badan Amil Zakat Kota Padang. - Agensi

Kurung 6 hamba seks bawah tanah

BEIJING: Seorang lelaki ditangkap kerana disyaki membunuh dua pelayan kelab malam dan mengurung empat wanita lain sebagai hamba seks dalam bilik bawah tanah.
Menurut laporan, Li Hao, bekas anggota bomba berusia 34 tahun yang sudah berkahwin dan mempunyai seorang anak, didakwa mengurung wanita berkenaan selama beberapa tahun dalam ‘penjara’ bawah tanah seluas 20 meter persegi yang dibinanya di Luoyang, tengah China.
Akhbar Southern Metropolis Daily melaporkan, Li mengaku membeli besmen itu empat tahun lalu dan menghabiskan masa sebelah malam untuk menggali ‘penjara’ setinggi empat meter di bawah besmen berkenaan, tempat dia tinggal bersama-sama tahanannya selama dua minggu sebulan.

Li memberitahu isterinya dia bekerja syif malam sebagai pengawal. Dia ditangkap awal bulan ini apabila seorang tahanannya meloloskan diri dan membuat laporan di balai polis.


“Li ditangkap dan dihadap ke muka pengadlian. Kami masih menyiasat kes itu,” kata jurucakap polis Luoyang yang enggan memberitahu namanya.

Akhbar berbahasa Inggeris, Global Times memetik seorang penduduk tempatan, Tian Yichen sebagai berkata, kes itu mengejutkan seluruh bandar berkenaan,
“Bangunan yang digunakan Li untuk mengurung tahanannya hanya terletak tiga kilometer dari Biro Keselamatan Awam Luoyang,” katanya. - AFP

Tembak guru sebelum bunuh diri

DAVID...disifatkan pendiam, sopan, budak baik.
DAVID...disifatkan pendiam, sopan, budak baik.

SAO PAULO: Seorang murid berusia 10 tahun menembak gurunya di depan rakan sekelas yang ketakutan sebelum dia membunuh diri.
David Nogueira, anak anggota polis, melepaskan dua das tembakan terhadap Rosileide Queiros de Oliveira dengan menggunakan pistol .38 milik bapanya di depan 25 murid lain.

Ketika guru itu terbaring di lantai dengan lumuran darah, David meluru keluar dari bilik darjah menuju ke dewan dan menembak dirinya di kepala.

Rosileide dikejarkan ke hospital dengan helikopter dan dilaporkan selamat. Tulang pahanya patah sementara kepala lututnya pecah. David juga dibawa ke hospital tetapi mati tidak lama kemudian.

Kejadian berlaku di Alcina Dantas Feijao, sebuah sekolah terkenal di daerah Sao Caetano do Sur di negeri Sao Paulo, Brazil pada jam 3.50 petang waktu tempatan.

Jurucakap Polis Tentera, Robinson Castropil berkata: “Murid itu meminta kebenaran untuk ke bilk air dan apabila masuk ke kelasnya semula, dia menembak guru itu. “Dia kemudian meluru keluar dari kelas itu sebelum menembak dirinya.” Polis masih menyiasat bagaimana David memperoleh pistol itu dan motifnya melakukan jenayah itu.


Menurut rakannya, sehari sebelum kejadian, David bercerita mengenai keinginannya menembak guru itu dan dirinya. Dia bagaimanapun tidak mendedahkan motifnya.

Seorang jiran keluarga murid itu, Paulo Roberto Caetano da Silva, 49, menyifatkan David sebagai ‘pendiam, sopan dan budak baik.’ “Saya tidak percaya dia akan berbuat demikian,” katanya.

Kaunselor keselamatan bandar berkenaan, Moacyr Rodrigues berkata, bapa David, Nilton Evangelista Nogueira menjadi anggota polis sejak 14 tahun lalu dan mempunyai rekod perkhidmatan yang baik. - Agensi

Raja dadah Bolivia kena 14 tahun penjara di AS

MIAMI: Mahkamah Persekutuan Miami semalam menjatuhkan hukuman 14 tahun penjara terhadap bekas raja dadah Bolivia selepas didapati bersalah atas tuduhan menyeludup dadah.

Jeneral Rene Sanabria, yang pernah menjadi pegawai tertinggi polis dalam skuad khas memerangi dadah ketika pentadbiran Presiden Evo Morales pada 2007-2008, ditahan di Panama, Februari lalu sebelum diektradisi ke Miami untuk menghadapi tuduhan itu.
Hakim Ursula Ungaro turut menjatuhkan hukuman sembilan tahun penjara terhadap pembantu Sanabria, Marcelo Foronda.
Saksi memberitahu, sebaik hakim membaca hukuman, Sanabria menangis dan merayu Ungaro mengurangkan tempoh penjara terhadapnya.

Peguam Sanabria berkata, anak guamnnya akan membuat rayuan terhadap hukuman itu. - AFP 

Lima penunjuk perasaan maut serangan tentera Yaman

SANAA: Sekurang-kurangnya lima penunjuk perasaan anti kerajaan mati dalam serangan tentera Yaman selepas berlaku pertempuran hampir sepanjang malam semalam di tengah ibu negara itu.

Saksi memberitahu, askar melancarkan serangan sebaik tengah malam dengan melepaskan tembakan di tengah bandar raya Sanaan, di mana penunjuk perasaan berkumpul dan mengusai dataran di situ sejak Januari lalu.
“Sekurang-kurangnya lima penunjuk perasaan terbunuh," kata seorang pegawai perubatan di khemah hospital yang ditempatkan di dataran berkenaan.
Serangan itu berlaku sebaik kepulangan mengejut Presiden Yaman, Ali Abdullah Saleh selepas meninggalkan negara itu tiga bulan lalu.

Saleh pulang dari Arab Saudi selepas dilaporkan menerima rawatan akibat kecederaan yang dialaminya ketika rusuhan di istananya pada 3 Jun lalu. - AFP 

Turki sekat kemasukan senjata untuk Syria

ANKARA: Kerajaan Turki mengambil tindakan menyekat kemasukan senjata api melalui negara itu ke Syria, kata Perdana Menteri Turki, Recep Tayyip Erdogan, semalam.

Beliau turut memberi amaran tindakan sama akan diambil terhadap sebarang aktiviti menggunakan negara itu sebagai transit kemasukan senjata api sama ada menerusi laluan udara atau darat.
“Pihak berkuasa Turki sudah menahan sebuah kapal menggunakan bendera Syria yang membawa senjata api menerusi Turki," lapor agensi berita Anatolia yang memetik Erdogan yang kini berada di New York kerana menghadiri Sidang Kemuncak Tahunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Erdogan bagaimanapun tidak memberitahu di mana dan bila kapal terbabit ditahan.

Erdogan minggu lalu membidas Presiden Syria, Bashar al-Assad bahawa era pemerintahan bercorak diktator kini sudah berakhir.

Turki melahirkan rasa kecewa dengan Assad dan rejim pemerintahannya yang gagal mendengar kehendak rakyat selepas bercetusnya tunjuk perasaan yang berpanjangan dengan 2,600 orang dilaporkan terkorban. - AFP 

Serpihan satelit NASA mungkin ke Kanada, Afrika, Australia

WASHINGTON: Serpihan angkasa terbesar dalam masa 30 tahun dijadual mencecah bumi dan antara kawasan yang dilintasinya termasuk Kanada, Australia dan Afrika, menurut NASA hari ini.

Ini berikutan kegagalan satelit Amerika Syarikat - Upper Atmosphere Research Satellite (UARS)- yang mempunyai 26 bahagian dijangka akan memasuki semula ruang angkasa bumi tetapi NASA menegaskan ia hanya membabitkan risiko yang kecil.
Data terkini NASA menunjukkan serpihan satelit yang akan memasuki semula ruang bumi antara jam 11 malam Jumaat (0300 GMT Sabtu) dan 3 pagi Sabtu (0700 GMT).
“Dalam tempoh masa itu, satelit berkenaan akan melintasi Kanada, Afrika dan Australia serta melepasi lautan luas di Pasifik, Atlantik and India.

"Risiko terhadap orang awam adalah amat-amat kecil," kata NASA.

NASA berkata, berat serpihan satelit yang akan melepasi ruang angkasa bumi itu dengan terkecil satu kilogram dan sehingga 158 kilogram, dengan serpihannya boleh melayang di angkasa sejauh 800 kilometer.

Satelit yang gagal dan terawang-awang itu gagal dikesan lokasi sebenarnya dan peratusannya mendarat di laut adalah 70 peratus.
“Dalam tempoh lebih 50 sejarah progran angkasa lepas, belum ada lagi menusia yang cedera akibat terkena serpihan angkasa ketika memasuki semula ruang bumi," kata saintis orbit NASA, Mark Matney. - AFP 

Pakistan hentam Amerika Syarikat

ISLAMABAD: Amerika Syarikat ada kemungkinan akan kehilangan sekutunya jika ia terus secara terbuka mengkritik prestasi Pakistan dalam kempen perang memerangi keganasan.

Kamu akan hilang sokongan. Kamu tidak berupaya mengasingkan dan ketepikan Pakistan dan rakyatnya. Jika anda pilih berbuat demikian, itu adalah kehendak mereka sendiri, kata Menteri Luar, Hina Rabbani Khar kepada Geo TV di New York.
Hina Rabbani mengulas kenyataan pengerusi Ketua Turus Bersama Amerika yang bakal melepaskan jawatannya, Laksamana Mike Mullen, di Senat bahawa agensi perisikan atasan Pakistan ada hubungan rapat dengan Rangkaian Haqqani, kumpulan paling ganas tetapi berkesan membantu Taliban di Afghanistan.
Mullen menuduh agensi Perkhidmatan Perisikan Dalaman Pakistan (ISI) memainkan peranan dalam serangan 13 September ke atas kedutaan Amerika di Kabul, dan menyokong militan dikenali sebagai Rangkaian Haqqani.

Rangkaian itu, katanya, adalah sayap penuh ISI. Serangan kedutaan adalah yang terbaru dalam satu siri episod ganas yang menghalang usaha Amerika membawa perang Afghan hampir kepada damai.

Ulasan Mullen dan kenyataan sinis Hina Rabbani menandakan ketegangan retorik luar biasa antara sekutu dalam usaha menentang militan kerana disuarakan secara terbuka sekali gus menunjukkan hubungan AS-Pakistan berada di peringkat paling teruk sejak komando Amerika menyerbu kediaman pemimpin al-Qaeda, Osama bin Laden, di Abbottabad Mei lalu.

Pada peringkat operasi, wajar mengatakan wujud kesukaran serius (antara dua negara), kata Hina Rabbani kepada Geo TV.
Dalam temu ramah berasingan dengan NDTV India, Khar menambah: Menuding jari antara satu sama lain tidak membantu. Menyalahkan pihak tertentu juga tidak membantu...Kami mahu menjadi negara matang, bertanggungjawab yang berjuang menentang keganasan dengan kematangan.

Ketegangan itu mungkin memberi akibat di seluruh Asia, dari India, seteru utama dari segi ekonomi Pakistan, sehingga China, yang semakin rapat dengan Pakistan sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Memutuskan hubungan dianggap mustahil kerana Pakistan meberi laluan membekalkan tentera Amerika di Afghanistan, dan sebagai pangkalan untuk pesawat hendap Amerika.

Pakistan bergantung kepada Washington untuk bantuan tentera dan ekonomi serta menjadi penyokong di pentas dunia. Washington tidak mahu melihat ketidakstabilan lanjut dalam negara senjata nuklear itu.

Namun, sokongan dalam Kongres Amerika untuk kekangan bantuan atau membuat syarat bantuan lebih ketat sudah meningkat. Reuters