Pages

Saturday, March 19, 2011

Radiasi dikesan di California





2011/03/19

VIENNA: Bahan radiasi dalam kadar kecil dipercayai dari loji nuklear Fukushima, Jepun, dikesan di selatan California, sebelah barat pantai Amerika Syarikat, kata sumber diplomatik yang merujuk kepada data sebuah agensi pemantauan nuklear di sini, semalam. 

Tahap radiasi dikesan terlalu rendah untuk mengancam manusia. seorang daripada diplomat itu mendedahkan bahan itu ‘terlalu sedikit.’
Ditanya jika mereka percaya ia berasal dari loji Fukushima yang melepaskan radiasi selepas rosak kerana gempa minggu lalu, diplomat itu berkata: “Itulah kesimpulannya.”
Pertubuhan Perjanjian Pengharaman Ujian Nuklear Menyeluruh (CTBTO) di sini mempunyai lebih 60 stesen di seluruh dunia. – Agensi 

Tahap amaran ancaman radioaktif dipertingkat





2011/03/19

Suhu reaktor 1, 2 dan 3 Fukushima Daiichi gagal dikawal

TOKYO: Jepun menaikkan tahap amaran mengenai ancaman radioaktif loji nuklear Fukushima Daiichi daripada skala empat kepada lima, menjadikannya dua peringkat di bawah tragedi Chernobyl di Ukraine pada 1986. 

Skala lima daripada tahap tertinggi iaitu tujuh mengikut ukuran antarabangsa bermakna ‘sebarang kemalangan yang memberi kesan buruk secara lebih meluas.’
Peningkatan tahap amaran itu berpunca daripada kebimbangan atas keadaan reaktor di bangunan 1, 2 dan 3 Fukushima Daiichi selepas kegagalan menyejukkannya.
Kereta bomba tentera meneruskan usaha menyejukkan unit reaktor loji berkenaan dengan tahap air di sekurang-kurangnya satu kolam bahan api reaktor 3 terlalu rendah sekali gus menyebabkan rod bahan api terdedah. 

Jika kolam itu kering, lebih banyak bahan radiasi akan terlepas ke atmosfera, lapor Perbadanan Penyiaran Britain (BBC), semalam. 

Jurutera memecahkan tembok bangunan untuk menyalurkan satu talian elektrik bagi menghubungkannya dengan kolam itu tetapi usaha mereka disekat tahap bahan radioaktif. 

Talian elektrik itu perlu dihubungkan bagi menggerakkan semula pam air bagi mencurah air ke unit reaktor untuk menyejukkannya. 
Helikopter tentera yang menjirus air dari udara sejak kelmarin diarah bersedia menyambung tugas. Rakaman televisyen operasi menjirus air ke reaktor itu dari udara menunjukkan sebahagian besar air tidak mengenai sasaran kerana ditiup angin. 

Pegawai Perancis dan Amerika Syarikat sebelum ini menyifatkan keadaan di Fuku- 
shima lebih serius daripada apa yang diakui Jepun. 

Tahap radiasi lebih tinggi daripada normal juga dicatat di beberapa tempat 30 kilometer dari lokasi loji berkenaan, manakala di Tokyo keadaan masih normal. 

Loji nuklear itu bermasalah sejak gempa bumi 9 skala Richter disusuli tsunami melanda negara Matahari Terbit itu, Jumaat minggu lalu menyebabkan lebih 16,000 orang maut atau hilang. 

Salji yang semakin tebal juga merumitkan usaha mencari lebih ramai mangsa tertimbus di bawah bangunan. 

Berjuta-juta orang belum mendapat bekalan air, elektrik atau makanan dan beribu-ribu lagi kehilangan tempat tinggal. 

Penduduk seluruh Jepun bertafakur selama seminit semalam pada 0546 GMT (1.46 petang waktu Malaysia) bagi mengingati bencana terbaru itu. – Agensi 

Jurutera Jepun kaji timbus loji nuklear





2011/03/19

TOKYO: Jurutera Jepun mungkin menimbus loji nuklear yang musnah menggunakan pasir dan simen konkrit sebagai cara untuk mengelakkan pelepasan radiasi besar-besaran, kaedah yang digunakan untuk menutup kebocoran besar di Chernobyl, Ukraine, pada 1986. 

Ini adalah kali pertama mereka menyarankan langkah menimbus kompleks itu selepas tindakan seperti menjirus air menggunakan helikopter tidak banyak menampakkan kejayaan.
“Tidak mustahil untuk menyaluti rektor dengan konkrit. Tetapi, perkara utama kami ketika ini ialah untuk menyejukkan reaktor itu dulu,” kata pegawai dari pengendali loji nuklear, Tokyo Electric Power Co (TEPCO) dalam sidang akhbar.
Jepun memasuki minggu kedua selepas dilanda gempa bumi berukuran 9 skala Richter dan tsunami setinggi 10 meter di bandar timur laut negara itu dan meragut ribuan nyawa, serta menghadapi krisis nuklear paling teruk sejak Chernobyl. 

Jutaan penduduk Jepun masih berada di rumah dan bangunan sejak Jumaat berikutan kebimbangan penyebaran bahan radioaktif dari kompleks yang terletak 240 kilometer di utara Tokyo, walaupun angin membawa asap tercemar itu jauh dari kawasan penduduk di bandar ke Lautan Pasifik. 

Radiasi tidak memberikan risiko segera kepada kesihatan manusia di luar lingkungan loji itu, kata wakil Pertubuhan Kesihatan Sedunia di China, Michael O’Leary. 

“Pada masa ini, masih belum ada bukti yang penyebaran radiasi melepasi zon di kawasan rektor itu sendiri,” kata O’Leary kepada wartawan di Beijing. 
Malapetaka nuklear di Jepun turut mencetuskan amaran global dan penilaian terhadap keselamatan loji tenaga atom di seluruh dunia. 

Presiden Amerika Barack Obama berkata beliau sudah mengarahkan penilaian menyeluruh terhadap loji nuklear negara itu dan merayu Washington menyokong Jepun. 

Pengendali nuklear utama Amerika berkata ia akan mengambil masa berminggu untuk menyejukkan batang bahan bakar di loji Fukushima. 

“Ini adalah sesuatu yang mengambil masa untuk menyelesaikannya, mungkin berminggu untuk mengakhiri kepanasan ini daripada reaktor dan kolam kegunaan bahan bakar,” kata Pengerusi Pengendali Suruhanjaya Nuklear, Gregory Jaczko di Rumah Putih. – Reuters 

Penduduk AS, China panik





2011/03/19

PENDUDUK China berebut membeli garam di Lanzhou, wilayah Gansu, kelmarin.
PENDUDUK China berebut membeli garam di Lanzhou, wilayah Gansu, kelmarin.
Beli pil iodin, garam kerana percaya dapat elak kena radiasi

LOS ANGELES: Penduduk Amerika Syarikat (AS) dan China yang panik dengan kemungkinan radiasi akibat kebocoran loji nuklear di Jepun sampai ke negara berkenaan bertindak membeli pil iodin, garam dan tempat perlindungan bagi haiwan kesayangan yang mempunyai penapis gas.

Khabar angin mengenai penyebaran radiasi turut menyebabkan farmasi dan kedai ubat di Russia, Timur Jauh dan British Columbia, Kanada kehabisan pil iodin walaupun pegawai kesihatan menegaskan potasium iodin bukan anti radiasi.
Malah, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) turut meminta supaya masyarakat antarabangsa bertenang.
“Rujuk dulu pada doktor anda sebelum telan pil iodin. Jangan sesekali cuba makan pil tanpa saranan doktor,” tulis WHO dalam Twitter sebelum ini.

Tetapi, kenyataan itu tidak mampu menahan penjualan 14 pil pottasium iodin daripada pembida di lelongan eBay dan ia mencecah AS$540 (RM1,647). 

Warga Amerika cuba melindungi diri daripada bahan radiasi dengan menggunakan topeng gas dan pil anti radiasi selepas Pakar Bedah Umum Amerika, Regina Benjamin memberi amaran supaya rakyat bersedia dengan radiasi merbahaya itu.

Malah, ada penduduk yang membeli tempat perlindungan haiwan kesayangan yang mempunyai penapis gas. 
Terbaru, Presiden Amerika. Barack Obama tidak menjangka tahap radiasi merbahaya akan sampai ke negara itu meskipun ada kebimbangan mengenainya selepas penumpang pesawat di Los Angeles diimbas untuk radiasi seperti juga di Chicago dan Dallas.

Berita itu tersebar sebaik Jabatan Negara berkata pesawat pertama memindahkan warga Amerika dari Jepun selepas gempa bumi dan tsunami turut mencetuskan krisis loji nuklear.

Setiausaha Rendah Amerika, Patrick Kennedy memberitahu sidang akhbar pesawat yang membawa kurang 100 penumpang adalah keluarga pegawai Amerika dari Tokyo dan mereka akan dihantar ke Taipei, Taiwan.

Di Beijing pula, orang ramai menyerbu kedai di Beijing, Shanghai dan beberapa kawasan lagi untuk membeli garam yang dikatakan boleh digunakan untuk melindungi daripada pendedahan radiasi walaupun radiasi akibat kemusnahan loji nuklear itu tidak mungkin sampai ke negara itu.

Pembelian panik itu akibat khabar angin yang mengatakan garam iodin boleh menghilangkan keracunan radiasi, maklumat palsu yang disebarkan selepas berita kebocoran loji berkenaan.

Khabar angin juga semakin bertiup. Ada mesej sistem pesanan ringkas (SMS) menambah rasa panik apabila menyebarkan berita debu nuklear dari Jepun akan ke seluruh Asia.

Malah, khabar angin tersebar mengatakan radiasi yang bocor itu masuk ke laut dari loji nuklear Fukushima di Jepun, justeru garam yang diambil dari laut, bukan sumber utama garam di China, mungkin tercemar. – Agensi
bharian

Jet pejuang Barat sedia serang Libya





2011/03/19

Setiausaha Agung PBB, Ban Ki-moon
Setiausaha Agung PBB, Ban Ki-moon
PBB lulus zon larangan terbang, Gaddafi umum gencatan senjata serta-merta

GENEVA: Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) semalam meluluskan penguatkuasaan zon larangan terbang ke atas Libya serta ‘semua langkah wajar’ untuk melindungi orang awam daripada serangan tentera rejim pemimpin negara itu Muammar Gaddafi. 

Anggota Majlis Keselamatan mengundi 10-0 dengan lima negara tidak hadir termasuk Russia dan China yang mempunyai kuasa veto. India, Jerman dan Brazil juga menyuarakan kebimbangan berikutan kelulusan tindakan ketenteraan oleh pasukan asing di Libya.
Libya kemudian mengumumkan gencatan senjata serta-merta sebagai mematuhi tuntutan Majlis Keselamatan.
Tetapi, penentang menuduhnya satu cubaan Gaddafi menipu masyarakat antarabangsa. 
Amerika, Perancis dan Britain memberi isyarat mereka sudah membuat rancangan untuk menghalang serangan ke atas orang awam dan menguatkuasakan zon larangan terbang dengan bantuan negara Arab lain. 

Tindakan menghalang serangan tentera Gaddafi mungkin dimulakan menjelang esok atau Isnin menggunakan pesawat pejuang, pengebom dan pesawat peninjau. 

“Memandangkan keadaan semakin kritikal sekarang, saya menjangka tindakan segera akan diambil selepas resolusi itu diluluskan,” kata Setiausaha Agung PBB, Ban Ki-moon selepas undian. 
Beliau memberi jaminan untuk ‘bekerjasama rapat dengan negara anggota dan pertubuhan serantau bagi menyelaraskan tindak balas secara berkesan’. 

Pengundian dibuat, lima hari selepas Liga Arab menggesa PBB ‘memikul tanggungjawabnya’ dengan menguatkuasakan zon larangan terbang ke atas Libya. 

Timbalan Duta Libya ke PBB yang berpaling tadah, Ibrahim Dabbashi, terus menggesa dunia bertindak segera bagi menghalang lebih banyak keganasan. 

“Nyawa orang awam semakin diancam bahaya dan saya meminta masyarakat antarabangsa bertindak segera,” katanya. 

Duta Lubnan Nawaf Salam yang bercakap kepada negara Arab kelmarin berkata beliau berharap langkah itu akan ‘memainkan peranan sewajarnya’ bagi menghalang Libya daripada meneruskan keganasan. 

Sementara itu, China amat meragui dan sukar mempercayai keputusan yang diambil Majlis Keselamatan PBB. 

Kementerian Luar China dalam kenyataannya berkata, negara itu menentang penggunaan tentera dalam hal-ehwal antarabangsa. – AP 

Iran berjaya cipta piring terbang



AGENSI berita Fars menyiarkan ilustrasi yang menunjukkan bentuk piring terbang ciptaan saintis Iran yang kelihatan sama dengan gambar piring terbang dalam filem keluaran Hollywod pada tahun 1950-an.


TEHERAN - Para saintis di Iran berjaya mencipta piring terbang yang pada kebiasaannya dikaitkan dengan teknologi makhluk asing, lapor sebuah akhbar semalam.
Agensi berita Fars di negara itu turut menyiarkan ilustrasi sebuah piring terbang yang didakwa ciptaan para saintis negara berkenaan yang sedang berlegar-legar di sebuah kawasan hutan.
Dalam ilustrasi itu, bentuk piring terbang tersebut mirip sebuah piring terbang yang terdapat dalam satu filem keluaran Hollywood pada 1950-an.
Menurut laporan tersebut, ukuran dan saiz piring tersebut tidak dinyatakan tetapi mendakwa ia kecil dan mampu terbang.
"Antara kelebihan piring terbang itu adalah ia merupakan pengangkutan yang mudah dikendalikan ketika mula bergerak, semasa terbang dan bunyi yang tidak kuat.
"Ia dikendalikan secara automatik dengan dilengkapi penstabil imej, sistem penentuan global (GPS), perakam aerial dengan gambar kualiti HD (berdefinisi tinggi)," lapor agensi berita ISNA.
Cita-cita Iran dalam mengembangkan program angkasa lepas telah mengejutkan dunia Barat.
Pada tahun lepas, negara itu turut mengumumkan kejayaan melancarkan roket ke angkasa lepas yang membawa tikus, kura-kura dan cacing.
Iran sering kali mengemukakan kejayaan mereka yang pelik dalam bidang saintifik dengan bukti-bukti yang sukar dipercayai.
Tentera laut Amerika Syarikat (AS) di Teluk Parsi masih lagi belum mengesan sebarang kehadiran piring terbang Iran itu. - Agensi

Dulu bercahaya, kini Tokyo bergelap




SUASANA gelap tanpa lampu elektrik di daerah Akihabara, Tokyo semalam.


TOKYO – Bandar raya Tokyo yang dihuni 13 juta penduduk kini bergelap ekoran langkah penjimatan tenaga elektrik akibat kerosakan yang berlaku pada loji jana kuasa nuklear Fukushima Daiichi di Fukushima ekoran gegaran gempa bumi kuat pada 11 Mac lalu.
Loji jana kuasa nuklear itu yang terletak sejauh 250 kilometer dari sini kini dalam proses disejukkan selepas meletup sebanyak empat kali selepas gempa bumi berukuran 9 pada skala Richter berlaku.
Para penduduk di bandar raya ini juga sanggup berkurung di rumah kerana bimbang akan terdedah pada radiasi selepas berlaku kebocoran pada jana kuasa tersebut.
Jika terkena radiasi, asid deosirikbonukleik (DNA) akan rosak, kanser terutamanya tiroid akan dihidapi selain penyakit paru-paru, perut dan usus.
Namun, setakat ini, pihak berkuasa Jepun menyatakan kadar radiasi masih tidak berbahaya buat penduduk di Tokyo.
Banyak bangunan di bandar raya ini mengambil keputusan untuk menutup lampu bagi mengelak bekalan elektrik terputus selepas amaran diberikan oleh Menteri Perdagangan, Ekonomi dan Industri Jepun, Banri Kaieda bahawa satu kawasan yang luas di Jepun mungkin tidak mendapat bekalan elektrik jika penggunaan tenaga tidak dijimatkan.
Salah sebuah kawasan hiburan seks yang terkenal di Roppongi, di sini lengang menyebabkan para pekerja di pusat-pusat hiburan diarah pulang awal kerana kekurangan pelanggan.
“Mereka (pihak pengurusan) menyatakan saya boleh pulang awal,” kata seorang wanita Britain yang menjadi pelayan di sebuah pusat hiburan.
– Agensi
kosmo

Libya akan diserang?




PARA pemberontak menggunakan kereta kebal semasa mengawal pintu masuk ke bandar Tobruk, Libya kelmarin.


PARIS – Perancis akan memulakan operasi ketenteraan menentang Libya dalam tempoh beberapa jam lagi bagi membantu para pemberontak menentang kepimpinan Muammar Gaddafi di negara itu.
Operasi ketenteraan itu juga dilakukan selepas Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) meluluskan resolusi kelmarin yang menguatkuasakan zon larangan terbang di Libya dan melancarkan satu operasi ketenteraan untuk mengatasi kemaraan tentera Gaddafi.
Jurucakap pentadbiran Perancis, Francois Baroin mengesahkan bahawa negaranya akan memulakan operasi ketenteraan itu.
Tindakan itu sekali gus akan membolehkan Libya diserang sekali gus menggulingkan Gaddafi yang telah memerintah hampir 42 tahun.
Gaddafi sebelum ini menyatakan beliau tidak akan berundur sebaliknya akan terus berjuang menentang para pemberontak.
Pemberontakan di negara itu bermula pada 15 Februari lalu selepas para penentang melihat kejayaan para penunjuk perasaan berhimpun di Tunisia dan Mesir sehingga mengakibatkan kedua-dua presiden di negara tersebut meletakkan jawatan.
Para pemberontak mendakwa Gaddafi gagal memerintah dengan baik manakala pembaziran wang negara yang dilakukan anak-anaknya didedahkan media.
Sementara itu, satu gencatan senjata diumumkan oleh Menteri Luar Libya, Moussa Koussa.
Menurutnya, pihak tentera akan menghentikan serangan serta-merta ekoran resolusi PBB itu.
Dalam perkembangan sama, Perdana Menteri Britain, David Cameron berkata, tentera negaranya akan menghantar jet-jet pejuang Tornado dan Typhoons termasuk pesawat lain bagi memastikan zon larangan terbang itu dikuatkuasakan.
Sumber-sumber diplomatik menyatakan, Amerika Syarikat (AS) dan salah sebuah negara Arab mungkin menyertai operasi ketenteraan itu. – Agensi

Radioaktif akan tersebar ke Britain




GAMBAR disiarkan kelmarin menunjukkan reaktor nuklear No.3 di loji jana kuasa nuklear Fukushima Daiichi di Fukushima yang mengalami kerosakan.


STOCKHOLM - Seorang pakar nuklear Sweden memberi amaran debu radioaktif dari loji nuklear Fukushima-Daiichi di Jepun yang bocor akan sampai ke Britain dalam masa dua minggu lagi, lapor sebuah akhbar semalam.
Pakar Institut Kajian Pertahanan Sweden, Lars-Erik De Geer berkata, ramalan debu radioaktif akan tersebar ke Britain dibuat berdasarkan data yang dikumpulkan oleh sekumpulan saintis yang memantau ujian nuklear di China.
Seterusnya, kata De Geer, debu radioaktif itu akan tersebar ke serata Eropah yang jaraknya lebih 14,000 kilometer dari Fukushima, Jepun.
"Namun, orang ramai tidak perlu bimbang kerana debu itu tidak berbahaya kepada manusia," katanya.
Menurut pakar berkenaan, debu radioaktif dari loji nuklear Fukushima Daiichi telah mencemari Amerika Syarikat (AS) selepas ia dikesan melekat pada pesawat-pesawat komersial yang tiba di negara kuasa besar itu.
Menurutnya, asap radiasi pula diramal melanda bahagian perairan barat AS yang terletak lebih 10,000 kilometer dari Jepun, lewat semalam.
Buat masa ini usaha sedang dilakukan bagi menyejukkan nuklear tersebut selepas ia rosak akibat gegaran kuat gempa bumi.
Beberapa pegawai menyatakan, mereka mungkin meletakkan beberapa reaktor nuklear di bawah struktur konkrit bagi mengelak penyebaran debu radioaktif.
Sementara itu, jumlah mangsa korban rasmi dalam gempa bumi dan tsunami yang melanda Jepun pada 11 Mac lalu meningkat kepada 6,539 orang sekali gus melebihi angka korban akibat gempa bumi di Kobe pada 1995.
Agensi Polis Kebangsaan Jepun menyatakan, jumlah mangsa yang hilang pula meningkat sedikit kepada 10,254 orang dengan angka keseluruhan mereka yang mati dan hilang setakat ini adalah 16,893 orang.
Sejumlah 2,513 yang lain cedera dalam bencana itu.
Perdana Menteri Jepun, Naoto Kan semalam menyatakan bahawa pihaknya akan mengatasi tragedi yang berlaku di negaranya.
"Kami akan sekali lagi membina semula Jepun," katanya.
Menurut Kan, kerajaan negaranya akan melaksanakan kawalan tegas di loji nuklear Fukushima Daiichi yang kini mengalami masalah selepas ia meletup sebanyak empat kali.
Dalam gempa bumi itu, hampir 400,000 orang hilang tempat tinggal. - Agensi

Friday, March 18, 2011

30 mati ditembak di Sanaa

SANAA: Sekurang-kurangnya 30 orang terbunuh apabila pasukan keselamatan Yaman dan kumpulan bersenjata pro-kerajaan melepaskan tembakan terhadap penunjuk perasaan antikerajaan di Sanaa selepas solat Jumaat. - Reuters 

Libya isytihar gencatan senjata





2011/03/18

TRIPOLI: Menteri Luar Moussa Koussa berkata Libya mengisytiharkan gencatan senjata segera dan menghentikan semua operasi ketenteraan. 

Keputusan itu dibuat selepas Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu meluluskan resolusi pelaksanaan zon larangan terbang dan membenarkan "segala tindakan perlu" bagi melindungi rakyat Libya, termasuk serangan udara.
Koussa berkata, gencatan senjata itu akan "membawa negara kembali selamat" dan memastikan keselamatan semua rakyat Libya.
Namun, beliau menyelar kelulusan tindakan ketenteraan antarabangsa yang disifatkan sebagai mencabuli kedaulatan Libya. - AP 

Angka korban gempa bumi, tsunami cecah 6,539 orang



18/03/2011 3:35pm

TOKYO 18 Mac - Angka korban rasmi akibat bencana gempa bumi dan tsunami yang melanda Jepun pada 11 Mac lalu hari ini meningkat kepada 6,539 orang, lebih tinggi berbanding jumlah korban gempa bumi Kobe pada 1995.
Agensi Polis Kebangsaan melaporkan, seramai 10,354 yang lain disenaraikan sebagai hilang, menjadikan jumlah yang maut dan hilang kini kepada 16,893.
Seramai 2,513 yang lain turut cedera dalam bencana tersebut.
Pada Januari 1995, satu gempa bumi sekuat 7.2 pada skala Richter menggegar bandar pelabuhan Kobe, barat Jepun dan mengakibatkan 6,434 maut.
Gegaran terbaru minggu lalu itu merupakan bencana terburuk Jepun selepas gempa bumi Great Kanto 1923 dengan magnitud 7.9 pada skala Richter yang mengorbankan lebih 142,000 nyawa. - AFP
utusan

Bahrain tahan enam pemimpin pembangkang



Pihak berkuasa Bahrain menggunakan jentolak bagi membersihkan khemah-khemah yang dibina oleh penunjuk perasaan antikerajaan di Dataran Mutiara di Manama, semalam. - REUTERS


MANAMA 17 Mac - Bahrain hari ini menahan sekurang-kurangnya enam pemimpin kuat pembangkang, sehari selepas mengambil tindakan kekerasan terhadap penunjuk perasaan Syiah mencetuskan kritikan Amerika Syarikat (AS) dan meningkatkan kebimbangan tercetusnya konflik serantau.
Jalan-jalan di negara ini, bagaimanapun kembali tenang selepas pasukan tentera Bahrain menggunakan kereta kebal dan helikopter untuk menyuraikan penunjuk perasaan dan membersihkan khemah-khemah yang menjadi simbol kepada tuntutan mereka untuk mendapatkan lebih banyak hak dan kuasa di bawah pemerintahan Sunni oleh penunjuk perasaan yang didominasi oleh Syiah.
Seramai tiga anggota polis dan tiga penunjuk perasaan dilaporkan terkorban dalam pertempuran antara tunjuk perasaan dan pasukan keselamatan, semalam.
Antara mereka yang ditahan sepanjang malam tadi termasuklah, Haq Abdel Wahhab Hussein yang mengetuai pergerakan menuntut penggulingan kerabat diraja, menurut parti pembangkang terbesar Weqaf.
Ibrahim Sharif, ketua parti sekular berhaluan kiri Waad dilaporkan turut ditahan.
"Dua anggota tentera yang bertindak seperti samseng memanjat pagar rumah kami dan seorang daripadanya mengacu senjata ke muka Ibrahim.
"Seorang lagi pergi ke garaj untuk membawa anggota lain masuk dan mereka menyelongkar kediaman kami," kata isteri Ibrahim, Farida Ismail kepada Reuters melalui panggilan telefon.
Penahanan itu dibuat selepas kemasukan tentera dari negara Sunni lain seperti Arab Saudi, Qatar, Kuwait dan Emeriyah Arab Bersatu (UAE) ke negara ini yang dibimbangi akan meningkatkan campur tangan negara Syiah, Iran.
Penahanan itu turut membangkitkan protes simpati daripada penganut Syiah di seluruh rantau itu, termasuk di timur Arab Saudi.
Sumber perubatan berkata, berpuluh-puluh orang dibawa ke Hospital Antarabangsa Bahrain semalam ekoran cedera terkena peluru getah dan sesak nafas terhidu gas pemedih mata yang digunakan polis antirusuhan. - REUTERS

Jutawan wanita Singapura sumbang S$1 juta



Elaine Low


SINGAPURA 17 Mac - Seorang jutawan wanita muda tempatan menderma sebanyak S$1 juta (RM2.34 juta) bagi membantu mangsa gempa di Jepun, dua kali ganda jumlah bantuan yang disumbangkan oleh kerajaan Singapura sendiri, lapor media serta pegawai hari ini.
Cek sumbangan itu diserahkan Elaine Low kepada Duta Jepun ke Singapura, Yoichi Suzuki semalam, kata seorang pegawai di Kedutaan Jepun kepada AFP.
Low mengendalikan syarikat perlombongan arang batu berpangkalan di Indonesia yang turut mengimport kelengkapan diperlukan dari Jepun serta membekalkan arang batu ke loji kuasa Jepun.
Katanya, dia mahu membantu rakyat Jepun yang terjejas teruk akibat bencana gempa bumi dan tsunami.
"Keluarga dan saya merasakan ia adalah satu bencana yang malang dan mahu menawarkan bantuan," kata Low, 24, seperti yang dipetik akhbar Straits Times.
Kerajaan Singapura kelmarin melancarkan satu tabung bagi mengumpul dana untuk mangsa gempa bumi dan tsunami di Jepun dan menyalurkan bantuan berjumlah S$500,000 (RM1.19 juta) kepada Palang Merah dalam bentuk modal pelaburan. - AFP
-utusan

Bertarung habis-habisan



TOBRUK, Libya 17 Mac - Pemimpin Libya, Muammar Gaddafi berkata, tenteranya akan 'bertarung habis-habisan' hari ini ketika Washington menyuarakan hasrat kepada Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berhubung penguatkuasaan zon larangan terbang di Libya.
Kenyataan terbaru Gaddafi itu dibuat selepas tenteranya memaksa pemberontak berundur di bahagian barat Libya dan akan menggempur kubu kuat pemberontak di Benghazi, timur negara ini, sebalik seruan gencatan senjata oleh Setiausaha Agung PBB, Ban Ki-moon.
"Pertempuran bermula hari ini (semalam). Esok (hari ini) akan menyaksikan pertempuran sengit di Misrata.
"Bermula malam ini, kamu diseru mengangkat senjata dan esok kita akan bertempur," katanya kepada sekumpulan golongan muda di Misrata seperti yang dilaporkan televisyen.
Gaddafi turut menyeru penyokongnya supaya tidak 'membiarkan Misrata jatuh ke tangan kumpulan lelaki yang gila'.
Kelmarin, stesen televisyen Libya melaporkan tentera akan bergerak menuju ke Benghazi dan semalam anak pemimpin tersebut, Seif al-Islam menjangkakan krisis Libya akan berakhir dalam tempoh 48 jam.
Seorang jurucakap pemberontak di Misrata, kira-kira 150 kilometer dari ibu negara Tripoli semalam berkata, pihaknya berjaya mematahkan serangan tentera kerajaan, menyaksikan empat orang terkorban, sementara 10 yang lain cedera.
Saksi mendakwa krisis politik Libya kini merebak di Zintan, bandar pertama di barat Libya yang kini berada dalam genggaman pemberontak.
Saksi di Ajdabiyah pula mendakwa, pertempuran masih tercetus di sana.
Seorang doktor memberitahu AFP melalui telefon, pertempuran masih berlaku semalam di Ajdabiyah yang juga merupakan laluan ke Benghazi. - AFP
-utusan

Haba di loji nuklear semakin panas



Anggota tentera mengangkat satu mayat mangsa tsunami yang ditemui di bawah runtuhan bangunan di bandar Otsuchi di daerah Iwate, ketika salji mula turun di bandar itu, semalam. - AFP


TOKYO 17 Mac - Kebimbangan berhubung krisis nuklear Jepun semakin meningkat hari ini apabila helikopter tentera menggugurkan air ke atas loji kuasa nuklear yang semakin panas.
Di loji kuasa nuklear Fukushima, helikopter enjin berkembar Chinook menggugurkan bertan-tan air dalam usaha terdesak untuk menyejukkan reaktor yang terjejas akibat gempa bumi besar dan tsunami pada Jumaat lalu, mengakibatkan beribu-ribu penduduk yang hilang tempat tinggal kini berada dalam kesejukan ekoran ketiadaan bekalan elektrik.
Operasi helikopter di loji kuasa No. 1 Fukushima, di pantai Pasifik kira-kira 250 kilometer dari Tokyo dilakukan bagi memastikan batang besi bahan api terus berada dalam reaktor dan bekas simpanan bahan api tenggelam di bawah air.
Ancaman terbaru di loji tersebut adalah kolam menempatkan batang besi bahan api yang mengandungi rod bahan api terpakai yang masih belum dikeluarkan dari reaktor tetapi masih tinggi dengan kandungan radioaktif.
Struktur itu direndam dalam air sejuk selama bertahun-tahun sehingga ia memancarkan haba yang cukup bagi membolehkan simpanan dijalankan.
Menurut pakar, air di sebuah daripada kolam tersebut mula tersejat kerana rod mula memanas dan suhu semakin naik di dua lagi kolam selepas sistem pam penyejuk rosak akibat impak tsunami.
Pakar memberi amaran, jika tangki tersebut kering sehingga mengakibatkan rod terdedah, batang besi itu boleh melebur atau terbakar sekali gus mengakibatkan paras radiasi tinggi yang boleh membawa maut. - AFP
-utusan

Tinggal nama dalam peta


RATA...sebuah perkampungan di daerah Natori musnah akibat gempa bumi dan tsunami.
RATA...sebuah perkampungan di daerah Natori musnah akibat gempa bumi dan tsunami.

SENDAI: Umpama dilanggar garuda. Itu perumpamaan tepat bagi menggambarkan kemusnahan teruk yang melanda wilayah timur laut Miyagi iaitu satu daripada empat wilayah terjejas akibat gempa bumi dan tsunami yang genap seminggu hari ini.
Daerah Natori dalam wilayah itu adalah paling teruk terjejas dan ada beberapa kampung kini hanya tinggal nama dalam peta Jepun selepas semua itu lenyap sekelip mata sebaik berlaku bencana.

Di daerah ini saja, 2,000 mayat sudah ditemui manakala lebih 10,000 daripada 930,000 orang dilaporkan hilang.

Usaha mencari dan menyelamat juga agak perlahan kerana keadaan cuaca sejuk hingga mencecah suhu -4 darjah di bawah tahap beku.

Setakat ini, puluhan ribu rumah penduduk dalam lingkungan 10 kilometer dari pantai ranap dibadai tsunami dianggarkan setinggi 10 meter.

Mengikut statistik terkini dikeluarkan pihak berkuasa Jepun, 10,000 mayat sudah ditemui di empat wilayah berkenaan manakala jumlah mereka yang hilang masih belum dapat dipastikan tetapi dianggarkan berjumlah lebih 20,000 orang.

Apa yang menghairankan, tiada penduduk berkeliaran mencari barangan berharga di rumah masing-masing yang ranap sebaliknya semua berlindung di pusat penempatan sementara yang banyak diwujudkan di setiap kawasan berlaku bencana.

Tinjauan Harian Metro ke kawasan sekitar Lapangan Terbang Antarabangsa Sendai mendapati kawasan itu tiada lagi berpenghuni dan terbiar kosong.
hmetro

Jepun ada 48 jam elak 'Chernobyl baru'


Loji nuklear boleh meletup menyebabkan tragedi lebih besar apabila paras radiasi meningkat
Foto
HELIKOPTER tentera Jepun membawa air laut untuk dijirus ke reaktor nuklear Fukushima bagi menyejukkannya, semalam.

Foto
TOKYO: Jepun ada masa 48 jam untuk mengawal dengan segera krisis nuklearnya sebelum ia berdepan satu malapetaka 'lebih buruk berbanding Chernobyl'.
Jepun bergegas untuk mengelak kebakaran lebih teruk loji nuklearnya yang melepaskan radiasi pada tahap 809 mikrosievert sejam (unit radiasi) minggu ini.
Ada cubaan untuk menyejukkan kawasan itu dengan menjirus air laut dari helikopter dibatalkan kerana paras radiasi berbahaya di persekitaran bahagian atas loji.

Bacaan radiasi dekat bangunan itu mencapai 4,000 mikrosievert sejam ketika usaha itu dilakukan awal semalam.

Pihak berkuasa keselamatan nuklear di Perancis, berkata mereka pesimis sama ada jurutera Jepun dapat menghalang kebakaran teruk di loji jana kuasa Fukushima selepas satu kolam mengandungi batang besi bahan api nuklear berkeadaan terlalu panas dan mendidih dalam keadaan kering.

Thierry Charles, seorang pegawai keselamatan di Institut Keselamatan Nuklear dan Perlindungan Radiologi Perancis (IRSN), berkata: “Tempoh 48 jam berikutnya akan menjadi penentu. Saya amat pesimis kerana sejak Ahad lalu, saya lihat hampir tiada satu pun penyelesaian berkesan.”
Ditanya mengenai jumlah maksimum pembebasan radioaktif, beliau berkata: “Ia mungkin dalam kadar sama seperti Chernobyl.”

Insiden di loji jana kuasa nuklear Chernobyl di Ukraine pada 26 April 1986 menyebabkan 57 kematian langsung, dengan tambahan 4,000 kematian akibat kanser.

Paras radiasi dalam bangunan yang dilanda bahaya itu malam tadi dikatakan amat tinggi selepas digegarkan dengan letupan awal, bermakna radiasi mungkin sudah berada dalam atmosfera.

Tokyo Electric, pemilik loji terbabit, berkata lima pekerjanya terkorban di tempat kejadian, dua lagi masih hilang dan 21 cedera.

Malam kelmarin, seorang ketua keselamatan nuklear Amerika, berkata kerajaan Jepun gagal mengakui tahap bahaya penuh situasi di loji Fukushima manakala amaran kepada rakyatnya tidak mencukupi dan tidak jelas.

Gregory Jaczko, pengerusi Suruhanjaya Kawal Selia Nuklear Amerika, memberi amaran, jika paras radiasi ‘amat tinggi’ adalah mustahil untuk kakitangan membuat pembetulan di loji mengambil kira ‘dos’ yang mereka mungkin alami berpotensi membawa maut dalam jangka pendek.

Jabatan Negara Amerika pula menyatakan, kerajaan menyewa sebuah pesawat untuk membawa warga Amerika keluar dari Jepun dan mengarahkan ahli keluarga petugas diplomatik pulang dari Nagoya dan Yokohama, membabitkan 600 orang.

Pihak berkuasa kesihatan di beberapa negara mula gusar dengan sebarang kemungkinan seseorang dijangkiti radiasi dengan bertindak melancarkan pemeriksaan terhadap orang ramai, penumpang pesawat dan bot.

Ada laporan dari Korea Selatan dan Taiwan menyatakan pelancong yang tiba dari Jepun didapati ada sedikit tahap radiasi. – Agensi

Libya kutuk resolusi Majlis Keselamatan PBB

TRIPOLI: Libya berkata resolusi Majlis Keselamatan PBB yang membenarkan serangan udara terhadap tentera kerajaan "mengancam perpaduan" negara itu dan bersamaan dengan gesaan supaya rakyatnya saling berbunuhan. 
“Resolusi itu menunjukkan sikap agresif masyarakat antarabangsa yang mengancam perpaduan Libya dan kestabilannya," kata Timbalan Menteri Luar, Khaled Kaaim.
Beliau berkata, undian Majlis Keselamatan PBB itu juga bersamaan dengan "gesaan supaya rakyat Libya saling berbunuhan" dan sejajar kehendak Perancis, Britain dan Amerika yarikat untuk melihat negaranya berpecah.
Majlis Keselamatan PBB dengan 15 anggota itu meluluskan resolusi yang membenarkan "segala tindakan perlu" bagi menguatkuasakan zon laranggan terbang, melindungi kawasan orang awam dan melaksanakan gencatan senjata terhadap tentera Muammar Gaddafi.


Resolusi itu diluluskan dengan 10 undi menyokong dan lima berkecuali.


Anggota tetap China dan Russia adalah antara negara yang berkecuali tetapi tidak menggunakan kuasa veto untuk menolak resolusi itu. - AFP 

PBB benarkan serangan udara di Libya





2011/03/18

PERTUBUHAN BANGSA-BANGSA BERSATU: Majlis Keselamatan PBB mengundi membenarkan serangan udara bagi menghentikan asakan tentera Muammar Gaddafi terhadap kawasan yang dikuasai pemberontak dengan pengeboman dijangka dilancarkan tidak lama lagi. - AFP