Pages

Sunday, October 17, 2010

Bicara bunuh bermula



JUTAWAN kosmetik. Kematian Sosilawati perlu dibela dan diberi keadilan.



KES pembunuhan kejam Datuk Sosilawati Lawiya memasuki babak baru minggu ini. Selepas genap sebulan ditahan bagi membantu siasatan, suspek, peguam N. Pathmanabhan serta tiga pekerjanya dibawa ke Mahkamah Majistret Telok Datok, Banting, Selangor bagi menghadapi tuduhan membunuh jutawan kosmetik itu dan tiga rakannya pada bulan Ramadan lalu.
Tiga lagi tertuduh yang didakwa bersama N. Pathmanabhan, 41, ialah pekerja ladang milik peguam berkenaan iaitu T. Thilaiyalagan, 19, R. Matan, 20, dan R. Kathavarayan, 30.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada kesemua tertuduh yang kelihatan tenang semasa pertuduhan dibacakan dalam bahasa Malaysia untuk Pathmanabhan dan bahasa Tamil untuk tiga yang lain.
Kesemua tertuduh didakwa dengan empat tuduhan yang dibacakan berasingan iaitu membunuh Sosilawati, 47, pemandunya, Kamarudin Shansudin, 44, pegawai bank CIMB cawangan Kampung Baru, Noorhisham Mohammad, 38, dan peguam Ahmad Kamil Abdul Karim, 32.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Lot 2001, Jalan Tanjung Layang, Tanjung Sepat, Banting antara pukul 8.30 malam dan pukul 9.45 malam 30 Ogos lalu iaitu pada hari ke-20 Ramadan.
Mereka berhadapan dengan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Majistret Hurman Hussain menetapkan 16 Disember depan untuk sebutan semula kes.
Kisah Sosilawati bermula apabila beliau dilaporkan hilang selepas keluar dari pejabatnya di Kampung Baru, Kuala Lumpur pada 30 Ogos lalu.
Kes ini menjadi sensasi kerana Sosilawati dilaporkan mengeluarkan wang sebanyak RM4 juta kononnya untuk urusan jual beli tanah di Pulau Pinang yang diuruskan oleh peguam yang berpejabat di Banting itu.

SURESH (kiri) dan Sarawanan dipenjara tujuh tahun selepas mengaku bersalah melupuskan bahan bukti pembunuhan Sosilawati Jumaat lalu.


Suspek
Misteri kehilangan pemilik lebih 300 cawangan NV di seluruh negara dan beberapa negara jiran ini mula menunjukkan petanda dengan penemuan kereta mewah milik Sosilawati dan Ahmad Kamil masing-masing di Subang Jaya pada 9 September.
Berdasarkan laporan polis, kenderaan mewah jenis BMW X5 milik Sosilawati dengan nombor pendaftaran WTL 11 dijumpai di Flat Angsana USJ1 Subang Jaya. Kereta BMW M5 milik Ahmad Kamil turut dijumpai di depan Hotel Dorsett, kira-kira lima kilometer dari situ.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Mohd. Bakri Mohd. Zinin pada 12 September lalu mengesahkan kesemua mereka telah dibunuh.
Susulan itu, Pathmanabhan dan tujuh lagi suspek ditahan di antara 9 September dan 12 September.
Siasatan kes pembunuhan itu turut dikaitkan dengan beberapa kes orang hilang dan jenayah komersial di daerah Kuala Langat, termasuk pembunuhan ahli perniagaan dari Chennai, India, Allal Kantan Muthu Raja yang tiba di sini pada 18 Januari lalu.
Selepas pembunuhan Sosilawati berjaya dibongkar, pelbagai cerita mengenainya dilaporkan akhbar termasuk wanita itu dirogol dan disembelih - khabar angin yang dinafikan pihak polis.
Bakri berkata, berdasarkan pengakuan empat daripada enam pekerja itu, mereka menyatakan mangsa-mangsa telah diikat, dipukul, ditikam dan dibakar sebelum abu kesemua mayat itu di buang ke dalam Sungai Panchau.

LADANG Gadong di Tanjung Sepat, Banting menjadi tempat Sosilawati dan rakan-rakannya dibunuh.


Sehingga ke hari suspek didakwa di mahkamah, polis percaya mereka memiliki bukti-bukti kukuh untuk mensabitkan penjenayah terbabit.
Ini termasuk penemuan beberapa serpihan tulang manusia dipercayai milik empat mangsa itu di Sungai Panchau.
Selain tulang, pasukan penyelam polis turut menemui beberapa senjata seperti pisau berbentuk kerambit, batang besi sepanjang 30 sentimeter dan sebatang kayu dengan kesan terbakar di Sungai Kanchong Laut.
Pengakuan
Barangan peribadi mangsa iaitu dua utas jam tangan turut ditemui di sungai itu.
Di dalam Sungai Gelanggang Buaya, Kampung Kelanang pula polis menjumpai enam keping zink yang dipercayai dijadikan pelapik untuk membakar mayat Sosilawati.
Sungai itu terletak kira-kira 20 kilometer dari Ladang Gadong yang menjadi lokasi pembunuhan kejam keempat-empat mangsa. Kepingan zink itu dipercayai dibuang di lokasi yang jauh dari tempat pembunuhan dipercayai bagi menghapuskan bukti.
Persoalannya, adakah semua bukti yang dikumpul memadai untuk mensabitkan jenayah yang dilakukan oleh semua suspek terbabit? Bagaimana jika nanti semua suspek itu dibebaskan berikutan terdapat keraguan pada bukti yang dikemukakan?
Menurut Bekas Ketua Makmal Forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM), Amidon Anan, sains forensik moden kini mampu mengaitkan seseorang suspek kepada mangsa atau kejadian jenayah melalui hubungan persekitaran tempat jenayah itu dilakukan.
Bukan sekadar cap jari, malahan kesan gigitan atau bulu haiwan, sisa tumbuhan, serangga, cecair dan bahan kimia, dadah, mineral, fabrik mahupun kesan cuaca ke atas mangsa, suspek ataupun bahan bukti lain boleh menentukan suspek disabit kesalahan atau dibebaskan.
"Jadi, anggota forensik yang memberi keterangan di mahkamah biasanya terdiri daripada mereka mahir menjawab pelbagai persoalan sains forensik yang mungkin timbul berkaitan bahan bukti atau perkara berkaitan kes tersebut," katanya.

ZINK yang dijadikan pelapik untuk membakar mangsa turut dijadikan bahan bukti.


Bagaimanapun, pengakuan bersalah oleh dua lelaki di Mahkamah Majistret Telok Datok Jumaat lalu mungkin memberi kelegaan kepada pasukan pendakwaan.
Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara tujuh tahun kerana melupuskan bahan bukti dengan membakar dan membuang abu mayat Sosilawati dan tiga yang lain.
Sarawanan, seorang bekas mekanik, dituduh membakar mayat mangsa di Lot 2001, Jalan Tanjung Layang, Tanjung Sepat, Banting pada 30 Ogos lepas antara pukul 9.45 malam dan 12 tengah malam.
Suresh yang tiada pekerjaan tetap pula didakwa menghilangkan bahan bukti itu dengan membuang abu mayat keempat-empat mangsa itu ke dalam Sungai Panchau, Jalan Morib, Banting pada 31 Ogos lalu di antara pukul 8 pagi hingga 10 pagi.
Mereka didakwa melakukan perbuatan itu bagi mengelakkan peguam N. Pathmanabhan dan tiga pekerja ladangnya, T. Thilaiyalagan, R. Matan dan R. Khatavarayan daripada diambil tindakan undang-undang.
Sebenarnya, pendakwaan Pathmanaban dan tiga pekerja Rabu lalu hanyalah permulaan kepada proses mencari keadilan bagi Sosilawati dan rakan-rakannya yang dibunuh kejam. Terpulanglah kepada pihak berkuasa untuk membuktikannya.sumber

Kisah haji yang mabrur

kisah haji yang mabrur -
Perbincangan Dua Malaikat....

Ketika Abdullah bin Mubarak melakukan haji, beliau tertidur di Masjidil Haram, dalam tidurnya beliau bermimpi melihat dua orang malaikat turun dari langit. Berkata seorang malaikat kepada seorang lagi :

"Berapa ramai orang-orang yang mengerjakan haji pada tahun ini?"
Berkata malaikat yang seorang lagi : "Enam ratus ribu orang."

Bertanya malaikat yang bertanya :"Antara 600,000 ribu orang yang berhaji itu berapakah yang diterima haji mereka?"

Berkata malaikat yang menjawab : "Di antara 600,000 ribu itu hanya seorang sahaja hajinya diterima, namanya ialah Muwaffaq dia tinggal di Damsyik. Dia adalah seorang tukang kasut, dia tidak dapat berhaji tetapi hajinya diterima. Maka berkat haji Muwaffaq kesemua 600,000 yang mengerjakan haji diterima."

Abdullah yang sedang tidur terkejut dari tidurnya maka dengan segera dia berangkat ke Damsyik, sampai sahaja dia di Damsyik dia mencari-cari tukang kasut yang disebutkan dalam mimpinya dan akhirnya dia dapat mencari rumah tukang kasut itu. Apabila sampai di hadapan pintu rumah tukang kasut itu,maka Abdullah mengetuk pintu. Pintu pun di buka dan keluar seorang lelaki dari dalam.

Abdullah bertanya lelaki itu : "Apa nama saudara." Berkata lelaki itu :"Nama saya Muwaffaq." Abdullah bertanya : "Tolong terangkan kepadaku amalan apakah yang telah kamu lakukan sehingga mencapai darjat yang tinggi?"

JawabMuwaffaq : "Sebenarnya aku ingin menunaikan haji, tetapi oleh sebab keadaanku maka aku tidak dapat menunaikan haji. Tetapi dengan cara mendadak aku mendapat wang 300 dirham dari kerja menampal sepatu, lalu aku niat untukberhaji pada tahun ini.

"Isteriku pula sedang hamil, suatu hari isteriku tercium bau makanan dari rumah jiranku dan ia ingin memakan makanan yang terbau itu (mengidam), lalu aku pergi ke rumah jiranku dan aku ketuk pintu. Kemudian keluar seorang wanita, maka aku pun beritahu hajat isteriku itu kepadanya."

Jiranku itu berkata : "Oleh kerana kamu tidak tahu keadaanku maka aku terpaksa memberitahumu, sebenarnya anak-anak yatim ku sudah tiga hari tidak makan oleh itu aku keluar mencari makanan. Sewaktu aku mencari makanan akubertemu dengan bangkai himar, maka aku potong sebahagian dagingnya lalu aku masak, maka makanan ini adalah halal untuk kami dan haram untuk kamu."

Apabila aku dengar sahaja kata-kata wanita itu maka aku pulang ke rumah dan mengambil 300 dirham yang ada padaku lalu aku berikan kapada wanita itu danaku katakan kepadanya : "Belanjakan wang ini untuk anak-anakmu. Dan aku berkata pada diriku : Hajiku di muka pintu rumahku (Rumah jiranku) maka kemanakah aku akan pergi."

Wahai saudara-saudaraku, Allah tidak memandang pada harta yang kita miliki tetapi ia memandang pada niat yang suci.

Pernah orang bertanya kepada Rasulullah SAW : "Ya Rasulullah, tunjukkanlah padaku amal perbuatan yang mana bila aku amalkan akan masuk syurga."

Sabda Rasulullah SAW : "Jadilah kamu orang yang baik."
Orang itu bertanya lagi : "Ya Rasulullah, bagaimana aku boleh mengetahui bahawa aku ini telah berbuat baik?"

Sabda Rasulullah SAW :
"Tanyalah pada jiran tetanggamu, kalau mereka berkata kamu baik, maka baiklah kamu. Kalau mereka mengatakan kamu buruk, maka buruklah kamu."

Gadis misteri dakwa RM2,000 pula dikebas jin




2010/10/17

JERTIH: Selepas beberapa hari menerima 'hadiah' berupa 15 biji batu termasuk delima, nilam dan zamrud dianggarkan berharga ribuan ringgit, keluarga gadis misteri, Siti Balqis Mohd Nor, 22, kini bersedih apabila mendakwa wang simpanan RM2,000 lesap. 

Ibu gadis itu, Norizan Said, 47, berkata wang simpanan hasil sumbangan orang ramai yang mengunjungi rumahnya, diletakkan dalam al-Quran tetapi didapati lesap semalam, dipercayai diambil jin yang menjaga anaknya.“Bilik Siti Balqis sentiasa berkunci, malah orang lain tak berani masuk kerana bimbang ditimpa kejadian buruk,” katanya.“Nasib kami bagai jatuh ditimpa tangga. Selepas penat melalui kejadian misteri menimpa Siti Balqis, kami diuji pula dengan kehilangan wang. Siti Balqis tidak dilarikan lagi sejak lima hari lalu, tetapi wang kami pula hilang," katanya. 

Mengenai penemuan 15 biji batu bernilai tinggi yang tiba-tiba jatuh dalam rumahnya sejak tiga hari lalu, Norizan berkata, kejadian itu tidak lagi berlaku semalam selepas Siti Balqis mengalami kesakitan di badannya. 

Katanya, dia juga menolak permintaan orang ramai yang mahu membeli batu berharga itu walaupun pada harga tinggi kerana dinasihatkan pakar perubatan Islam menyimpannya dalam bekas khas yang direndam dengan air zam zam bagi mengelak hilang. 

Sementara itu, Siti Balqis yang diganggu dengan 12 kali percubaan mengghaibkannya oleh jin dua malam lalu, kini dalam keadaan lesu dan tidak berselera makan sambil dikawal ketat penduduk kampung selepas memberitahu tidak mungkin berjumpa keluarganya jika ghaib sekali lagi, sebaliknya hanya mayatnya. 
sumber

Laman Facebook untuk lelaki 100 isteri

NAIROBI: Ahli keluarga lelaki yang mengamalkan poligami terkemuka Kenya, Acentus Akuku memulakan laman sosial Facebook untuk saling berhubung dan mengumpulkan seramai mungkin daripada 100 anggota keluarga mereka bagi memberi penghormatan terakhir kepada beliau. 

Dengan gelaran sebagai ‘Danger’ ramai wanita mendapati beliau seorang yang kacak. Akuku Dander berusia lewat 90-an apabila meninggal dunia akibat sakit tua awal bulan ini.
Beliau mengahwini lebih 100 wanita sepanjang hayatnya dan menjadi bapa kepada hampir 200 anak.
Kini seorang daripada cucu beliau, Nickson Mwanzo membuka laman sosial internet untuk mengumpul anak, cucu dan cicit Akuku supaya dapat berkumpul ketika pengebumian beliau yang dijadualkan Disember depan. 

“Jika anda adalah keluarga Akuku sila sertai dan terangkan mengenai diri anda,” tulis Mwanzo. 

Sehingga kini lebih 2,000 orang mengunjungi halaman terbabit tetapi bukan semua adalah ahli keluarga. Mwanzo memberitahu pemberita bahawa halaman ‘Keluarga Akuku Danger’ adalah tanda ingatan kepada lelaki terbabit. 

Ucapan takziah turut diterima sejak kematian beliau. Satu daripada halaman Facebook yang dihantar mengatakan bahawa Akuku meninggalkan tanda berkekalan bukan hanya di kalangan keluarga tetapi juga seluruh dunia. 
Akuku Danger disifatkan sebagai lagenda di Kenya. Beliau mengahwini isteri pertamanya pada 1939 dan isteri keduanya tidak lama selepas itu menjadikan ia sebagai seorang pengamal poligami ketika berusia 22 tahun. 

Beliau hidup lama dengan 12 isterinya. Beliau berkahwin isteri terakhirnya pada 1992. Beliau mempunyai terlalu ramai anak sehingga Akuku menubuhkan dua sekolah rendah semata-mata untuk memberi pendidikan kepada anaknya selain sebuah gereja untuk dihadiri keluarganya. 

Sehingga hari ini sekolah terbabit masih lagi wujud. – Agensi 

Hobi jerat diri

KUALA LUMPUR: Pada mulanya dia hanya suka-suka mencari kenalan baru menerusi laman sembang ketika melayari Internet sambil mengulang kaji pelajaran.


JIJIK...Syafika bersedia untuk melayan pelanggan.
JIJIK...Syafika bersedia untuk melayan pelanggan.

Tapi, hobi itu akhirnya menjadi racun apabila terjebak dengan lelaki miang yang rupa-rupanya mempunyai niat serong di sebalik perkenalan di alam maya.

Menceritakan kisah silamnya, Syafika berkata, pada mulanya dia menggunakan laman sosial hanya untuk mencari kenalan.

Namun, katanya selepas mempunyai ramai kenalan lelaki, ada antara mereka mengajak dia keluar malah tidak kurang juga sanggup membayar untuk 'tidur' bersamanya.

Pada awalnya dia agak keberatan untuk menerima pelawaan berkenaan, bagaimanapun, selepas dipujuk dan ditawarkan bayaran lumayan, akhirnya dia tewas dan terjebak dalam kancah kehidupan sosial terbabit.

“Sebelum ini, saya hanya melakukan hubungan seks dengan teman lelaki. Selepas kami berpisah, saya tidak berjumpa mana-mana lelaki dan akhirnya tidak dapat menahan nafsu sendiri.

“Sebab itu, saya menerima pelawaan seorang lelaki untuk menemaninya. Dia memberikan saya sejumlah wang tetapi dengan syarat saya perlu mengadakan hubungan seks dengannya.

“Kerana nafsu dan wang tunai yang ditawarkan, akhirnya saya merelakan diri dinodai. Sejak itu, saya aktif melakukan kegiatan ini meskipun masih belajar,” katanya ketika ditemui Metro Ahad.

Bagi mendapatkan kemewahan dengan cara mudah selain melampiaskan nafsunya, Syafika mula menjerat kaum lelaki hidung belang.

“Sejak berjinak-jinak dengan kegiatan berkenaan, saya mula berasa kemewahan. Dengan merahsiakan segala kegiatan ini daripada pengetahuan keluarga, saya semakin aktif melayan lelaki yang dahagakan seks menerusi laman sosial.

“Kini, saya mengenakan bayaran RM80 kepada sesiapa yang menghubungi saya di laman sosial terbabit. Setidak-tidaknya, saya dapat mengumpul wang tambahan sebanyak RM500 sebulan,” katanya.

Bagi mengelak identitinya diketahui, Syafika bertindak memadamkan akaun laman sosialnya selepas mendapat mangsa yang dikehendaki kemudian membukanya semula atas nama berbeza.

“Saya meletakkan gambar sebenar dalam keadaan yang mengghairahkan. Selepas ada lelaki yang cuba berkenalan, saya memberitahu perkara sebenar dan kebanyakannya setuju untuk membayar.

“Kemudian, mereka memasukkan wang berkenaan ke dalam akaun bank saya dan menjemput saya di tempat yang dijanjikan. Selepas itu, terpulang kepada mereka untuk membawa saya ke mana saja.

“Selepas selesai, saya akan memadam akaun laman sosial dan buka yang baru. Setidak-tidaknya, tidak ada yang dapat mencari saya kembali,” katanya. Menurut Syafika, setakat ini aktiviti nakalnya masih belum diketahui ibu bapanya kerana dia bijak menyembunyikan kegiatan berkenaan.

“Kadang-kadang, saya 'online' di rumah saja. Ibu dan ayah tidak menghalang saya menggunakan Internet lebih-lebih lagi atas alasan menyiapkan tugasan universiti.

“Lagipun, mereka tidak mengesyaki apa-apa memandangkan penggunaan laman sosial kini menjadi kepentingan ramai termasuk pelajar seperti saya. Begitupun, saya bukanlah pelacur tetapi lebih kepada golongan bohsia yang sukakan aktiviti sosial,” katanya.

Selain Syafika, Dira, 20, turut menggunakan laman sosial untuk mencari ‘teman’ bagi mendapatkan pendapatan sampingan.

Menurutnya, pekerjaan sebagai pelayan pelanggan (GRO) di sebuah kelab malam membuatkan dia lebih aktif mencari teman selain mengumpul wang sampingan.

“Kebiasaannya, jika saya menerima pelanggan di dalam kelab malam, ‘mummy’ akan mengambil sedikit keuntungan daripada apa yang saya dapat. Sebab itu saya mencari kenalan baru atau pelanggan menerusi Internet. Setidak-tidaknya, saya memperoleh keuntungan bersih.

“Lagipun, kerja ini tidak susah. Jika ada yang memasukkan wang ke dalam bank, saya akan mengambil cuti daripada bekerja dan mengikut lelaki itu. Jika bekerja sekalipun, belum tentu saya mendapat pelanggan,” katanya.

Menurutnya, penggunaan laman sosial memudahkannya melakukan pekerjaan itu. Katanya, meskipun sekadar suka-suka atau demi mencari kemewahan, tiada sesiapa dapat mengesyaki apa yang dilakukannya.

“Mudah dan senang. Lagipun, saya tidak perlu bekerja keras kerana kebanyakan lelaki yang kemaruk seks suka menjadikan laman sosial sebagai tempat mencari pasangan.

“Lagipun, cara begini lebih praktikal daripada ‘menjaja badan’ di tepi jalan. Silap-silap nanti, terserempak dengan kaum keluarga ataupun ditahan pihak berkuasa,” katanya.
sumber

Kriminal: Seronok bunuh

PERBUALAN ringkas ini dirakam antara Maden, 38, bersama operator 999 (polis) selepas membunuh anak saudara perempuannya, Tia Rigg yang baru berusia 12 tahun pada 3 April lalu.
Operator (999): Apa yang sudah berlaku?
Maden: Saya bunuh anak saudara perempuan saya sendiri
Operator: Bila berlaku?
Maden: Saya baru saja selesai membunuhnya
Operator: Kenapa kamu lakukannya?
Maden: Sebab saya seronok untuk melakukannya
Operator: Bagaimana boleh berlaku?
Maden: Saya menikamnya dengan pisau kemudian mencekiknya, itu saja. Selamat tinggal


Dua minit selepas panggilan berkenaan direkodkan, Polis Manchester bergegas ke tempat kejadian kemudian menangkap Maden yang berasal dari Cheetham Hill, Manchester, England.

Tia ditemui terkulai tidak bernyawa dalam keadaan berbogel, kaki masih tersarung stokin dan tangannya terikat di bilik kediaman suspek.

Siasatan awal polis mendapati Tia bukan saja dibunuh dengan kejam oleh bapa saudaranya itu malah sebelum itu mangsa turut dirogol dan didera dengan teruk.

Tia ditikam beberapa kali di perut dan dijerut menggunakan tali gitar. Selain merogol mangsa, Maden turut memasukkan objek keras pada kemaluan mangsa. Polis mengesahkan suspek turut sengaja memperlahankan kematian untuk menyeksa mangsa terbabit.

Pegawai Polis Manchester, Superintendan Mary Doyle, berkata kes berkenaan dianggap jenayah luar biasa dan amat sadis.

“Suspek bukan saja tidak berperikemanusiaan malah melakukan jenayah di luar batas kemanusiaan. Siasatan menunjukkan mangsa didera cukup teruk. Setiap tikaman di perut amat menyakitkan tetapi suspek cuba melambatkan kematian mangsa. Ia satu tragedi,” katanya.

Dalam tempoh tidak sampai tiga bulan, pada 21 Jun lalu, kes ini dibicarakan di Mahkamah Diraja Manchester. Susulan perbicaraan di mahkamah terbabit, pelbagai bukti dan hujah mengejutkan membabitkan suspek.

Maden yang juga duda tanpa pekerjaan ini dipercayai seorang pedofilia atau lelaki yang gila seks terhadap kanak-kanak. Suspek menyimpan lebih 2,000 keping koleksi gambar lucah, selain turut memiliki koleksi filem membabitkan pembunuhan, rogol, keganasan kanak-kanak dan seks.

Ketika melakukan pembunuhan, Maden memuat turun dua dokumen daripada Internet bertajuk ‘Belly Stabbing dan ‘Throat Crush’ yang berkaitan cara membunuh kanak-kanak.

Pendakwa, Gordon Cole berkata Maden dengan sengaja menggunakan fantasi dan nafsu untuk merogol, menyeksa dan membunuh mangsa.

“Dia (Maden) bertindak tanpa perikemanusiaan untuk memberi kesakitan yang teruk terhadap mangsa. Dokumen yang dimuat turun menunjukkan cara membunuh yang kejam dan melambatkan kematian.

“Ia tindakan yang sudah dirancang, walaupun ia hanya bermula dengan fantasi. Apa yang dia inginkan adalah untuk merealisasikan fantasi yang berlegar dalam fikirannya,” katanya.

Maden mendakwa dia mendengar ‘suara jahat’ membisik telinganya untuk melakukan pembunuhan terbabit. Bagaimanapun, mahkamah menolak kenyataan berkenaan kerana suspek disahkan normal dan tidak menghadapi sebarang gangguan mental.

Awal Oktober baru-baru ini, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup terhadap Maden, tanpa parol. Suspek menjadi penjenayah ke-40 dalam sejarah British yang tidak akan dibebaskan dari penjara akibat kesalahan yang dilakukan.

Ibu mangsa, Lynn Ahmed, 34, meluahkan rasa terkilan dan kecewa dengan tindakan kejam abangnya itu.

“Dia (Maden) akan dihantui dengan kematian anak saya sepanjang hayatnya. Hukuman ini adil buat Teapot (nama manja Tia), setidak-tidaknya rohnya dapat ‘pergi’ dengan aman sekarang,” kata ibu malang terbabit.




INFO

SUSPEK: John Maden

UMUR: 38 tahun

PEKERJAAN: Menganggur

JENAYAH: rogol dan bunuh

MANGSA: Tia Rigg, 12 tahun (ketika kejadian)

FAKTA JENAYAH: Maden memperdaya anak saudara perempuannya, Rigg kemudian merogol, seksa dan membunuh mangsa dengan kejam. Selepas merogolnya, Rigg ditikam beberapa kali di perut dan dijerut menggunakan tali gitar sehingga mati. Maden turut memasukkan objek keras pada kemaluan mangsa. Polis mengesahkan suspek turut sengaja melambatkan kematian untuk menyeksa mangsa terbabit. Rigg ditemui terkulai tidak bernyawa berbogel, kaki masih tersarung stokin dan tangannya terikat di bilik kediaman suspek, di Cheetham Hill, Manchester, England.

FAKTA KES: Awal Oktober baru-baru ini, Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup terhadap Maden, tanpa parol, atas kesalahan merogol, seksa dan membunuh kanak-kanak. Suspek menjadi penjenayah ke-40 dalam sejarah British yang tidak akan dibebaskan dari penjara akibat kesalahan yang mereka lakukan.
sumber

Terumbu patung

BANYAK... terumbu 400 patung.BANYAK... terumbu 400 patung.

BANYAK... terumbu 400 patung.

IMEJ mengagumkan ini menunjukkan terumbu baru luar biasa di bahagian timur luar pantai Mexico.


MENYERAMKAN.... patung manusia ditempatkan di dasar laut di timur pantai Mexico untuk dijadikan terumbu.
MENYERAMKAN.... patung manusia ditempatkan di dasar laut di timur pantai Mexico untuk dijadikan terumbu.




HEBAT... Jaseon de Caires Taylor dan ciptaannya.HEBAT... Jaseon de Caires Taylor dan ciptaannya.BANYAK... terumbu 400 patung.


HEBAT... Jaseon de Caires Taylor dan ciptaannya.
Ia dijangka akan menggalakkan pertumbuhan terumbu karang.
Skulptur baru itu diharapkan akan menghasilkan satu sistem terumbu karang dan menarik pelbagai haiwan laut ke Cancun dan Taman Samudera Kebangsaan Isla Mujeres.
Projek berjudul Museo Subacuatico de Arte (MUSA) itu juga bertujuan mengurangkan tekanan terhadap terumbu semula jadi yang terletak tidak jauh jauh dari kawasan itu.
Terumbu karang asli itu berdepan dengan kesesakan kerana dikunjungi lebih setengah juta pelancong setiap tahun.
Mengulas mengenai ciptaannya, Taylor berkata: “Kami mahu menjadikannya lebih mencabar dan lebih besar. Ia melambangkan kehidupan harmoni semula jadi manusia dan hidupan lain.
“Matlamat utama ialah mengurangkan kesesakan pelancong yang menyelam di terumbu karang asli di Cancun setiap tahun. Kira-kira 750,000 orang menyelam di sekitar taman samudera itu dan secara langsung memberi tekanan terhadap terumbu karang asli.
“Dengan adanya terumbu baru ini, pelancong yang melawat terumbu karang asli itu akan berkurangan. Kami mahu menarik mereka ke tempat yang sebelum ini tidak banyak mempunyai kehidupan laut.
“Untuk itu, kami menyediakan kawasan yang mudah dijejaki penyelam, dekat dengan Cancun, Isla Mujeres dan kawasan lain di sekitarnya.”
Menurut Taylor, 36, pelan asal ialah menggunakan 200 patung tetapi kemudian menukar rancangan itu untuk menempatkan 400 patung di dasar laut.
Setakat ini, 350 daripadanya sudah pun diletakkan di kawasan yang ditetapkan,
Taylor berkata, patung itu mewakili pelbagai masyarakat dan ia dibuat oleh penduduk tempatan dengan menggunakan simen khas yang 10 kali lebih keras serta mempunyai pH neutral yang sesuai kepada terumbu karang.
Dengan meletakkannya di dasar laut berbatu kira-kira 10 meter dari permukaan dengan menggunakan penggerudi khas, terumbu itu yang jumlah berat keseluruhannya ialah kira-kira 120 tan, ia diharapkan tidak hanyut walaupun berdepan dengan puting beliung dan ribut yang sering melanda kawasan itu.
sumber

Pelombong popular

BERBEZA daripada kepercayaan banyak pihak, sebenarnya tiada sebarang perancangan dibuat untuk menukar tapak lombong San Jose di Chile menjadi taman tema.


RAWATAN... 33 pelombong yang diselamatkan menjalani pemeriksaan perubatan di Copiapo, Chile.
RAWATAN... 33 pelombong yang diselamatkan menjalani pemeriksaan perubatan di Copiapo, Chile.




sebelum  -  selepas

PELOMBONG TERAKHIR... Luis Urzua (kiri) bersama Presiden Chile, Sebastian Pinera.PELOMBONG TERAKHIR... Luis Urzua (kiri) bersama Presiden Chile, Sebastian Pinera. DAPATKAN RAWATAN... Mario Gomez menunjukkan tanda bagus sebaik tiba di hospital. GEMBIRA... Franklin Lobos bersama anaknya sejurus keluar daripada kapsul penyelamat. TAK TERKATA... Angelica Araya bersama suami, Osman, pelombong kelima dinaikkan ke permukaan.




PELOMBONG TERAKHIR... Luis Urzua (kiri) bersama Presiden Chile, Sebastian Pinera.
Lama sebelum pelombong terakhir ditarik keluar dengan selamat dari kawasan tragedi awal pagi Khamis lalu, tawaran lumayan datang mencurah-curah kepada mereka.

Antara lain, mereka diminta menjadi model bagi pelbagai produk, daripada produk coklat hingga ubat penguat tenaga batin.

Permintaan temubual daripada media juga amat banyak dengan setiap satu menjanjikan imbuhan jauh lebih tinggi daripada gaji bulanan mereka sebanyak RM2,700.

Gergasi teknologi dunia, Apple, menganugerahkan seunit iPod bagi setiap seorang pelombong yang terselamat.

Selain itu, suatu kemestian adalah tawaran daripada penggerak industri perfileman Hollywood.

Beberapa syarikat penerbitan di Britain, Perancis dan Jerman membeli hak mendapatkan cerita mengenai pengalaman mereka terkurung lebih dua bulan di dalam tanah yang ditulis oleh wartawan bebas, Jonathan Franklin, yang bertajuk 33 Men Buried Alive (33 Lelaki Tertanam Hidup-hidup).

Syarikat William Hill pula bersedia dengan idea untuk menerbitkan filem dengan beberapa cadangan judul yang menarik.

Jurucakap syarikat itu, Rupert Adams, berkata operasi menyelamat pelombong itu saja sudah amat menarik dan pihaknya yakin akan ada filem diterbitkan mengenainya tidak lama lagi.

“Tetapi ia hanya akan dianggap berjaya apabila mencatat kejayaan pada musim Krismas nanti,” katanya.

Bagi watak ketua pelombong, Luis Urzua, pilihan popular adalah aktor Benicio Del Toro yang baru saja membawa peranan sebagai ikon Amerika Selatan, Che Guevara dalam filem Che.

Tidak terkecuali adalah pelakon filem Zorro, Antonio Banderas.

William Hill juga menjangkakan, 13 Oktober - tarikh operasi menyelamat itu dijalankan - bakal diumum sebagai hari cuti umum di Chile.

Dua kuasa besar dalam sukan bola sepak, Real Madrid dan Manchester United turut menunjukkan minat apabila menjemput pelombong berkenaan sebagai tetamu istimewa menyaksikan perlawanan mereka di Eropah.

Seorang daripada pelombong terbabit yang menyanyikan lagu Elvis Presley bagi mengekalkan semangat rakan-rakannya ditawarkan melawat kediaman Raja Rock & Roll itu di Graceland, Tennessee.

Sementara itu, nasib pelombong terbabit yang membanting tulang jauh di dalam perut bumi - tanpa mendapat bayaran yang setimpal - dijangka berubah dalam tempoh beberapa bulan akan datang.

Setiap hari sebelum tragedi berlaku, mereka menuruni lubang itu untuk mencari emas dan kini, selepas 10 minggu, mereka menghirup udara segar dengan sesuatu yang lebih bernilai.

Ia berupa pengalaman tidak terbanding dengan apa saja yang ada dalam dunia, iaitu terkurung selama lebih dua bulan di dalam perut bumi.

Kejadian itu turut membawa kesan sampingan bagi banyak isu semasa dunia.

Stesen penyiaran Britain, BBC, misalnya, memendekkan liputan mengenai anugerah Oscar dan Sidang Kemuncak G20.

Selepas diselamatkan, 30 pelombong itu akan menjalani pemantauan berterusan di hospital bagi mengesan jika ada masalah fizikal atau mental.

Tiga lagi rakan mereka pula mengejutkan doktor apabila didapati tidak mengalami sebarang masalah dan dibenarkan pulang.

Pegawai penyelamat berkata, ketika pelombong itu dibawa keluar, hanya segelintir menunjukkan ada masalah kesihatan walaupun kebanyakannya mengadu sukar tidur.

Sesetengahnya didapati mengalami tekanan perasaan yang tidak serius, manakala seorang dirawat kerana pneumonia.

Dua lagi pelombong pula didapati perlu mendapatkan rawatan pergigian.

Sementara itu, kerajaan Chile berjanji untuk menjaga kebajikan pelombong terbabit selama sekurang-kurangnya enam bulan sehingga mereka benar-benar pasti keadaan kembali pulih.

Pada masa sama, pakar perubatan yakin hidup pelombong terbabit tidak akan mengalami masalah untuk kembali menjalani hidup normal.

Presiden Chile, Sebastian Pinera, berkata dia akan menjemput pelombong terbabit ke istana di Santiago sebagai tetamu khas.

Misi menyelamat itu sebenarnya berlangsung di luar jangkaan apabila dilakukan dengan lancar dan pantas.

Seorang demi seorang pelombong muncul dari dalam lubang itu dan melihat bagaimana bumi disinar matahari untuk kali pertama selepas dua bulan.

Insiden terkurung selama 69 hari itu turut mencatat rekod sebagai kejadian terperangkap paling lama dalam sejarah.

Menjelang jam 1.55 pagi (waktu tempatan), semua 33 pelombong berjaya ditarik keluar dan operasi menyelamat itu ditamatkan secara rasmi selepas disempurnakan lama sebelum ia dijangka selesai.

Selepas 69 hari di bawah tanah - termasuk tempoh dua minggu mereka dikhuatiri mati - mereka melambai tangan tanda gembira dan selamat, bukan saja kepada warga Chile, malah penduduk dunia yang mengikuti perkembangan mengenainya.

Di ibu negara Chile, Santiago, bergema dengan bunyi hon daripada orang ramai yang teruja menyambut berita gembira itu, manakala di bandar Copiapo - tempat asal 24 daripada pelombong terbabit - datuk bandarnya mengisytiharkan sekolah bercuti bagi membolehkan orang ramai menyaksikan detik bersejarah berkenaan.

Semua saluran berita, sama ada di Amerika Utara, Eropah atau Asia Barat turut menyiarkan laporan lintas langsung operasi berkenaan. - Agensi
sumber

Pesara maut hospital silap sambung mesin pam darah

LONDON: Kecuaian seorang kakitangan perubatan menyebabkan seorang pesara kerajaan maut apabila tubuhnya kehilangan darah, lapor media semalam.
Dalam inkues diadakan itu, mahkamah diberitahu bahawa mesin berkenaan sepatutnya bertindak sebagai jantung dan paru-paru sementara ketika menjalani pembedahan.

Bagaimanapun, seorang kakitangan hospital tersilap menyambung peralatan itu menyebabkan darah Baines disedut dan tidak dipam semula ke badannya.

Walaupun masih bernafas ketika kesilapan itu disedari, pesara itu disahkan meninggal dunia beberapa hari kemudian akibat kerosakan otak. - Agensi
sumber

China, Jepun berbalas tunjuk perasaan




PELAJAR-PELAJAR universiti membawa sepanduk semasa satu demonstrasi anti-Jepun di Chengdu semalam.




BEIJING - Beribu-ribu penduduk China menyertai demonstrasi semalam bagi membantah tuntutan Jepun ke atas beberapa pulau yang menjadi rebutan kedua-dua negara dalam siri bantahan lebih besar berbanding sebelum ini.
Di bandar raya Chengdu, barat daya China dan bandar raya Zhengzhou, tengah negara berkenaan, ratusan penduduk berarak dengan membawa sepanduk dan kain rentang bagi membantah tuntutan Jepun ke atas Kepulauan Diaoyu.
Agensi berita Xinhua melaporkan lebih 2,000 orang menunjuk perasaan di Chengdu manakala ribuan pelajar kolej berhimpun di bandar Xian, utara China.
Police di Chengdu, Xian dan Zhengzhou berkata, mereka tidak akan bercakap dengan pihak media mengenai perkembangan terbaru itu.
Sebelum ini beberapa bantahan kecil diadakan di luar Kedutaan Jepun di sini dan Konsulat Jepun di Shanghai pada bulan lalu.
Sementara itu, lebih 2,500 penduduk Jepun mengadakan tunjuk perasaan di bandar raya Tokyo semalam bagi membantah tuntutan China keatas kepulauan berkenaan.

Tarikh lahir ajaib

sumber


BARBARA dan Chad Soper bersama anak bongsu mereka Cearra, Cameron dan Chloe.


DETROIT - Dalam sebuah keluarga yang besar, agak sukar untuk seseorang ibu mengingati hari lahir setiap anggota keluarganya, lapor sebuah akhbar semalam
Namun, bagi Barbara Soper, 36 dan suaminya Chad Soper , 33, di negeri Michigan, Amerika Syarikat (AS), tugas itu mudah berbanding kebanyakan keluarga lain.
Masakan tidak, anak bongsu mereka, Cearra lahir pada 10/10/10 manakala tarikh lahir abangnya, Cameron jatuh pada 09/09/09 diikuti oleh kakaknya, Chloe yang dilahirkan pada 08/08/08.
"Chloe adalah nombor bertuah lapan, Cameron nombor bertuah sembilan dan Cearra pula nombor bertuah sepuluh," kata Barbara mengenai tarikh lahir mereka.
Menurutnya, dia dan suaminya tidak merancang kelahiran anak-anak mereka manakala seorang profesor di Universiti California, Philip Stark berkata, kebarangkalian perkara itu berlaku adalah 1 dalam 2,500 kelahiran. - Agensi

Waran tangkap untuk Sean Connery

sumber



COSTA DEL SOL, Sepanyol - Bekas bintang James Bond, Sean Connery (gambar) gagal hadir di mahkamah seperti diperintahkan oleh seorang hakim yang menyiasat satu pertikaian perjanjian hartanah dikenali sebagai Kes Goldfinger, lapor sebuah akhbar semalam.
Connery, 80, sepatutnya hadir di sebuah mahkamah di sini, untuk menjawab soalan berhubung pertikaian tersebut kelmarin.
Dalam faks yang dihantar ke mahkamah berkenaan, bekas ejen 007 itu memberitahu, usia lanjut menyukarkannya untuk melakukan perjalanan jauh dari kediamannya di Bahamas, Amerika Syarikat (AS) bagi kes tersebut.
"Mahkamah masih menimbangkan langkah seterusnya. Waran tangkap antarabangsa mungkin dikeluarkan atau hakim akan membuat permohonan rasmi untuk menyoal Connery di Bahamas," kata seorang jurucakap mahkamah.
Kes berkenaan berkaitan penjualan vila tepi laut milik Connery di sini pada 1995 bagi membuka laluan untuk membina 70 buah flat. - Agensi

iPhone termahal RM24.6 juta




SEPASANG iPhone 4 Edisi Ros Berlian.


LIVERPOOL - Sepasang telefon bimbit pintar iPhone Edisi Ros Berlian dipercayai merupakan iPhone termahal di dunia.
Sebuah akhbar melaporkan kelmarin bahawa kedua-dua iPhone 4 32GB berkenaan dihasilkan oleh seorang pembekal di Liverpool, Stuart Hughes.
Koleksi itu ditempah oleh seorang warga Australia pada harga mencecah AS$8 juta (RM24.6 juta).
Setiap telefon berkenaan ditatah dengan 500 butir berlian berjumlah 100 karat.
Badannya pula disaluti emas dan platinum manakala bingkainya diperbuat daripada granit. - Agensi

Yalal Chin meninggal di sisi isteri



SURIANI (kanan) bersama anaknya, Mohd. Amirul menyiram air ke pusara Yalal di Tanah Perkuburan Islam Kelemak, Alor Gajah semalam.


ALOR GAJAH - Pelakon Yalal Chin atau nama sebenarnya Yalal Abu Chin, 67, meninggal dunia di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) di Cheras kerana sakit jantung pada pukul 12 tengah malam semalam.
Allahyarham sebelum itu dimasukkan ke Unit Rawatan Jantung di PPUKM sejak 3 Oktober lalu setelah diserang sakit dada ketika berada di rumahnya di Bandar Enstek, Sepang, Selangor.
Allahyarham menjalani pembedahan jantung sehari kemudiannya. Pelakon itu juga mengalami pendarahan di dalam otak.
Yalal meninggalkan seorang balu, Suriani Mohd. Yusof, 37, dan seorang anak, Mohd. Amirul.
Allahyarham juga ada 11 orang lagi anak bersama bekas isterinya yang berusia di antara 16 hingga 48 tahun.
Menurut Suriani, suaminya terpaksa dikejarkan ke PPUKM setelah mengadu sakit ketika hendak bangun mendirikan solat Subuh.
"Pada mulanya arwah selamat menjalani pembedahan. Keesokan hari keadaannya semakin pulih.
"Namun, dalam seminggu ini, keadaan arwah kembali kritikal dan akhirnya meninggal dunia pada pukul 12 tengah malam tadi," katanya ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam Kelemak di sini semalam.