Pages

Tuesday, August 31, 2010

Pancing ikan piranha di Sungai Thames



RICHARD SALMON menunjukkan ikan piranha yang ditangkapnya.



MARLOW, Britain - Seorang pemancing, Richard Salmon tidak menyangka dia dapat menangkap seekor ikan piranha yang mempunyai gigi tajam dengan menggunakan jorannya di Sungai Thames, lapor sebuah akhbar kelmarin.
Ikan itu yang berasal dari Amerika Selatan mungkin telah dibuang ke dalam sungai tersebut oleh seorang pengumpul haiwan.
Ikan itu digambarkan dalam filem-filem Barat gemar memakan daging manusia.
"Saya membawa pulang ikan itu ke rumah bagi membuktikan saya berjaya menangkap seekor ikan piranha dari Sungai Thames," kata Richard.
Richard yang bekerja sebagai seorang artis grafik menangkap ikan itu di Marlow berdepan dengan Hotel Compleat Angler, Buckinghamshire.
Ikan piranha itu sepanjang 10.16 sentimeter (sm) dan panjangnya boleh mencecah 45.72sm. - Agensi

Pertandingan memasak kemaluan haiwan




DUA wanita menikmati makanan yang dimasak pada Kejohanan Memasak Kemaluan Haiwan Dunia Kali Ketujuh di Ozrem, Serbia kelmarin.


OZREM, Serbia - Kejohanan Memasak Kemaluan Haiwan Dunia Kali Ketujuh diadakan di sebuah kawasan perkampungan di sini kelmarin.
Pada pertandingan itu, para peserta yang terdiri daripada tukang masak akan memasak kemaluan pelbagai jenis haiwan seperti lembu jantan, unta, burung unta dan kanggaru.
"Tujuan festival ini ialah untuk kegembiraan, makanan dan keberanian," kata pakar tukang masak kemaluan haiwan yang merupakan penganjur festival itu, Ljubomir Erovic.
Di Serbia, makanan yang dimasak daripada kemaluan haiwan itu digelar buah pinggang putih. Kemaluan haiwan itu dianggap kaya dengan hormon tertosterone dan berkhasiat untuk lelaki.
"Kemaluan lembu jantan adalah yang terbaik," kata pemenang pertama pada tahun lalu, Zoltan Levai yang memasak kemaluan haiwan dengan dicampur sayur-sayuran.
Pengunjung-pengunjung festival itu akan memakan kemaluan haiwan tersebut dan meminum wain dan bir selain menyejukkan tubuh mereka dengan mandi di sebuah kawasan air terjun berdekatan. - AP

MV Agusta sekali lagi dijual satu euro



GAMBAR menunjukkan Claudio Castiglioni (kanan) dan anak lelakinya, Giovanni Castiglioni yang kini mengendalikan semula jenama MV Agusta.


ROM - Syarikat pengeluar motosikal terkenal dunia, Harley-Davidson menjual syarikat motosikal berkuasa tinggi MV Agusta yang pernah dibeli oleh syarikat Proton dari Malaysia pada harga satu euro (RM4.01), lapor majalah dalam talian, Motorcycle.com.
Menurut majalah itu baru-baru ini, Harley-Davidson menjual MV Agusta kepada Claudio Castiglioni dari Itali.
Majalah itu melaporkan, ia bukannya kali pertama syarikat MV Agusta dijual pada harga satu euro.
Pada 2005, syarikat pengeluar kereta Proton yang memiliki saham majoriti Lotus menjual pemilikan MV Agusta kepada sebuah syarikat kewangan Itali, GEVI SpA pada harga sama.
Pengumuman penjualan itu didedahkan pada awal bulan ini tetapi harga penjualannya cuma didedahkan baru-baru ini.
Keluarga Castiglioni sebelum ini pernah memiliki MV Agusta.
Harley-Davidson telah membelanjakan AS$109 juta (RM342.42 juta) untuk memiliki MV Agusta termasuk AS$70 juta (RM219.90 juta) untuk melunaskan hutang yang wujud.
Syarikat itu telah menumpukan perhatian untuk memotong kos dan memperkemaskan perniagaannya.
Pada Oktober tahun lalu, Harley-Davidson pernah mengumumkan bahawa ia merancang untuk menjual MV Agusta. - Agensi

Heidi menyesal besarkan payu dara






HEIDI MONTAG yang sebelum ini pernah melakukan beberapa pembedahan membesarkan payu dara dan pada bahagian hidung kini berasa risau dirinya akan mengalami nasib seperti Michael Jackson. Dia yang popular menerusi siri The Hills terkenal kerana pernah menjalankan 10 pembedahan kosmetik dalam sehari.
Kini, aktres itu berasa menyesal kerana membesarkan payu daranya kepada saiz G dan mahu mengeluarkan implan tersebut. Katanya: "Payu dara saya membuatkan saya menyesal. Badan saya masih cuba untuk menerima payu dara itu.
"Saya mengambil banyak pil tahan sakit tetapi ia tidak berkesan. Ia amat menyakitkan. Saya terdesak untuk mendapatkan kembali saiz normal. Saya akan mengecilkan saiz mungkin kepada saiz D."
Aktres berusia 23 tahun itu juga menyatakan dia tidak mampu menjalani kehidupan normal kerana saiz payu daranya. Tambah Heidi: "Saya obses dengan senaman dan adalah mustahil bagi saya untuk bersenam dengan payu dara sebenar ini. Saya tidak boleh menjalani kehidupan biasa."
Selain daripada itu, Heidi juga memakai pita hidung sejak November lalu kerana risau hidungnya akan jatuh. Jelasnya kepada majalah Life and Style: "Saya cuba mengekalkan hidung saya seperti mana yang dibedah oleh Dr. Frank Ryan. Saya tidak mahu hidung saya jatuh."
Namun, Heidi juga takut dia tidak mampu memperbaiki kesan yang berlaku selepas pembedahan kerana Ryan telah meninggal dunia dalam satu kemalangan jalan raya awal bulan ini.
"Saya rasa seperti terperangkap dalam diri sendiri. Tiada apa yang boleh diperbaiki. Ryan tahu apa yang dilakukannya dan dia tahu segala-galanya mengenai badan saya," ujarnya.
Heidi juga mengaku pembedahan dramatik itu telah menyumbang kepada masalah perkahwinannya bersama aktor Spencer Pratt.
Kata Heidi: "Tiada orang yang mahu menjaga isteri yang kelihatan seperti dia baru sahaja mengalami kemalangan teruk. Dia ada merayu supaya saya tidak melakukan pembedahan."

Monday, August 30, 2010

Obama tidak bimbang dianggap Islam

Barack Obama




2010/08/30



NEW ORLEANS: Presiden Barack Obama berkata beliau tidak bimbang dengan keputusan satu tinjauan umum bahawa seorang daripada lima rakyat Amerika mempercayai beliau seorang Islam.

Obama, seorang penganut Kristian berkata 'setiap fakta tetap menjadi fakta' yang merujuk kepada agama yang dianutinya.
Dalam satu temubual yang disirkan semalam di “NBC Nightly News,” Obama menyalahkan mengenai maklumat yang tidak tepat menggambarkan dirinya sehingga timbul kekeliruan berhubung kepercayaan agamanya.
Obama berkata, kerjanya tidak akan selesai sekiranya beliau terlalu terpengaruh dengan khabar angin itu, termasuk dakwaan bahawa beliau bukannya lahir di Amerika Syarikat.

Katanya, beliau tidak mampu untuk 'membawa sijil lahirnya yang ditampal di badannya setiap kali keluar rumah'.

Keputusan tinjauan yang dikeluarkan awal awal bulan lalu oleh sebuah kumpulan bebas - Pew Research Center menunjukkan 18 peratus rakyat percara Obama seorang Muslim.

Ia meningkat berbanding 11 peratus mengenai tinjauan sama pada Mac 2009.
Hanya 34 peratus percaya Obama seorang Kristian, berbanding 48 peratus tahun lalu. - AP

Dua juruterbang Russia diculik di Darfur





2010/08/30

KHARTOUM: Dua juruterbang Russia diculik sekumpulan lelaki yang tidak dikenali di Darfur, menjadikannya kes penculikan kedua warga asing di daerah yang bergolak akibat peperangan di barat Sudan, bulan ini. 

Seorang jurucakap, Sawarmi Khaled Saad, berkata Kedua-dua mereka dilarikan di Nyala, ibu kota daerah Selatan Darfur, kira-kira jam 4 petang, Ahad (waktu tempatan).
“Dua juruterbang Russia diculik sekumpulan bersenjata di Nyala. Kami sudah menutup kesemua laluan di sekitar Nyala,” katanya.
Juruterbang terbabit bekerja untuk syarikat penerbangan swasta, Badr. - AFP

PM Britain dapat anak keempat





2010/08/30


DAVID Cameron memangku bayi perempuan, Florence Rose Endellion yang dilahirkan 24 Ogos lalu oleh isterinya, Samantha.
DAVID Cameron memangku bayi perempuan, Florence Rose Endellion yang dilahirkan 24 Ogos lalu oleh isterinya, Samantha.

LONDON: Perdana Menteri Britain, David Cameron dan isterinya, Samantha menikmati hari pertama di luar hospital kelmarin bersama bayi baru mereka, Florence Rose Endellion. 

Keluarga itu menghabiskan percutian mereka di Cornwall, barat daya England, di mana kelahiran awal anak keempat mereka mengejutkan pasangan itu.
Perdana menteri berusia 43 tahun itu merakam gambar bersama bayi perempuannya berusia empat hari kelmarin.
Bayi seberat 2.7 kilogram itu dilahirkan menerusi pembedahan Selasa lalu, di ibu kota Cornwall di Truro. 

Samantha Cameron, 39 dibenarkan keluar dari Hospital Diraja Cornwall, Jumaat lalu. 

Pemimpin Parti Konservatif itu bercadang menjadi perdana menteri pertama Britain mengambil cuti sempena kelahiran anaknya. Mengikut undang-undang Britain, bapa boleh mengambil cuti berbayar sehingga dua minggu. 

Bayaran menjadi bapa itu diperkenalkan dalam kerajaan pimpinan Tony Blair pada 2003. 
Timbalan Perdana Menteri, Nick Clegg mengambil alih tanggungjawab kerajaan campuran ketika Cameron bercuti. 

Pemimpin Liberal Demokrat itu berkata, Jumaat lalu beliau akan terus menjadi pemangku sehingga Cameron kembali bekerja. – AFP

Makkah pasang 1,700 kamera





2010/08/30


SHAHAB (kiri) memberi taklimat mengenai kamera yang dipasang di sekitar Masjidil Haram.
SHAHAB (kiri) memberi taklimat mengenai kamera yang dipasang di sekitar Masjidil Haram.

Sedia hadapi kunjungan jemaah
 

MAKKAH: Jabatan pertahanan awam di Makkah sudah bersiap sedia menangani sebarang kecemasan ketika jemaah umrah dan pengunjung ke Masjidil Haram kian bertambah ketika Ramadan sampai ke kemuncaknya.
Dilengkapkan dengan kemudahan dan peralatan canggih, jabatan pertahanan awam Makkah memantau setiap pergerakan jemaah, terutama di dalam kawasan Masjidil Haram, kata pengarah operasi pasukan itu, Kapten Waleed Abu Shanab.
Beliau memberitahu laman berita Arabnews.com, bilik operasi jabatan itu menerima 21,500 panggilan dalam tempoh 10 hari pertama Ramadan. 
“Jabatan kami sudah memasang 1,700 kamera di setiap pintu masuk dan keluar Masjidil Haram dan di sekitarnya. 

“Kamera ini membantu kami memantau sebarang kecemasan yang mungkin tercetus dan pasukan kami akan dikerah untuk menanganinya segera,” katanya. 

Shanab berkata, pihaknya mengerahkan unit rondaan yang dilengkapi peralatan perhubungan yang canggih. 
“Pasukan ini boleh bergegas ke lokasi insiden dengan segera menaiki motosikal,” katanya. 

Jika perlu unit rondaan ini mampu dengan segera mendapatkan sokongan teknikal seperti penyediaan kemudahan berat untuk memadam api atau melakukan operasi menyelamat. 

Jabatan pertahanan awam juga mempunyai unit khas yang bertanggung jawab menyelaras operasi menyelamat selepas menerima maklumat daripada unit peronda. 
Selain itu, Shanab berkata pihaknya mempunyai pasukan dan kemudahan simpanan di Shumaisi jika diperlukan. 

Beliau berkata bilik operasi jabatan itu mempunyai kemudahan canggih untuk mengenal pasti kesahihan panggilan kecemasan sebelum ia mengerah pasukan. 
“Kami sudah banyak menerima panggilan palsu dan terpaksa memastikan kesahihan setiap panggilan sebelum bertindak,” katanya. 

Jabatan pertahanan awam Makkah turut bersiap sedia dengan kemungkinan bencana seperti banjir dan ribut pasir. 

“Jika kami menerima maklumat mengenai hujan lebat, ribut pasir atau keadaan lain, kami akan mengambil langkah perlu untuk menyelaraskan tindakan dengan jabatan lain,” kata Shanab. – Agensi

Iraq waspada ancaman pengganas





2010/08/30

BAGHDAD: Perdana Menteri Iraq meletakkan negaranya dalam keadaan berjaga-jaga peringkat tertinggi mulai kelmarin berikutan ancaman serangan pengganas, ketika Amerika Syarikat (AS) secara rasmi menamatkan penempatan pasukan tempurnya di negara teluk itu Selasa ini. 

Perdana Menteri, Nouri Al Maliki berkata perisik Iraq mengesan sebuah kumpulan hadapan al-Qaeda dan anggota parti Baath diharamkan pimpinan Saddam Hussain menjalin kerjasama untuk melancarkan serangan bagi mencetuskan ketakutan dan huru hara serta membunuh lebih banyak nyawa orang awam tidak berdosa.”
“Kami mengarahkan pasukan keselamatan Iraq, polis dan tentera serta pasukan keselamatan lain, mengambil langkah berjaga-jaga peringkat tertinggi untuk menggagalkan rancangan penjenayah ini,” kata Al Maliki dalam satu kenyataan kepada televisyen kerajaan malam Jumaat lalu. Beliau tidak memberi perincian maklumat risikan terbabit. – Agensi

Rabai doa hapus Abbas, rakyat Palestin





2010/08/30

BAITULMAQDIS: Ketua spiritual sebuah parti keagamaan dalam gabungan pemerintahan Israel berharap pemimpin Palestin, Mahmud Abbas dan rakyatnya terjerumus daripada dunia menjelang sidang di Washington, sekali gus menimbulkan kemarahan semalam. 

“Semoga sesiapa juga yang membenci Israel, seperti Abu Mazen (Abbas), terjerumus daripada dunia ini,” kata Ketua Parti ultra-Ortodoks Shas, Rabai Ovadia Yosef, dalam ceramah mingguannya malam kelmarin.
“Semoga Tuhan menghapuskan mereka dengan semua rakyat Palestin yang jahat yang menekan Israel,” katanya, sebelum pertemuan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dan Abbas di Washington bagi menyambung rundingan damai secara langsung.
Ketua Perunding Palestin, Saeb Erakat mengecam kenyataan itu sebagai ‘hasutan agar berlaku pemusnahan bangsa’ dan menggesa kerajaan Israel “mengambil lebih banyak daya usaha ke arah mencapai perdamaian dan bukannya kebencian”. – AFP

Banjir di Pakistan mula surut




2010/08/30


KANAK-KANAK mangsa banjir Pakistan  dijangkiti cirit-birit.
KANAK-KANAK mangsa banjir Pakistan dijangkiti cirit-birit.
Bencana sejak sebulan lalu ragut 1,643 jiwa, enam juta tinggalkan kediaman
 

ISLAMABAD: Selepas sebulan hujan musim monsun mencetuskan bencana terburuk di Pakistan, paras banjir mula susut semalam dan Jabatan Kaji Cuaca menjangka keadaan akan bertambah baik berikutan hujan tidak diramal turun untuk beberapa hari akan datang.
“Paras air di kebanyakan sungai sudah susut dan kami yakin dalam tempoh 10 hingga 12 hari lagi paras sungai di wilayah Sindh akan kembali biasa. Bagaimanapun kami akan terus berwaspada,” kata Qamar-uz-Zaman Chaudhryp, pegawai tertinggi jabatan kaji cuaca.

Mesir bom terowong Gaza



SINAI - Pihak berkuasa Mesir memusnahkan 12 terowong bawah tanah yang digunakan untuk menyeludup masuk barangan ke Genting Gaza, kelmarin. 

Terowong yang didakwa digunakan untuk penyeludupan senjata itu ditemui di beberapa kawasan di sepanjang sempadan Sinai dan Gaza. 

Sumber pihak berkuasa Mesir memaklumkan, tentera yang terlibat dalam pengeboman terowong itu bekerjasama dengan pegawai di Gaza bagi memastikan tiada orang awam sedang menggunakan terowong semasa letupan terkawal itu. 

Mesir dan Israel melonggarkan sekatan ke atas barangan ke Gaza selepas insiden serangan konvoi Freedom Flotilla yang mengorbankan sembilan warga Turki, 31 Mei lalu. 

Bagaimanapun, larangan terhadap beberapa jenis makanan dan bahan binaan menyebabkan penduduk Gaza terpaksa bergantung kepada terowong bawah tanah untuk mendapatkan barangan keperluan asas. 

Kaherah mula mengambil langkah bagi menghalang penyeludupan barangan ke Gaza selepas menerima tekanan daripada Amerika Syarikat dan Israel. 

Rejim Zionis mengenakan sekatan ke atas Gaza selepas kumpulan pejuang Hamas menguasai wilayah Palestin itu pada 2007, dan sejak itu melarang semua eksport barangan dari Gaza serta mengenakan kekangan terhadap pergerakan rakyat Gaza.

6 anak dara saman bapa

MADINAH: Enam wanita berusia 30-an sedang menyiapkan dokumen bagi menyaman bapa masing-masing kerana menghalang pernikahan mereka.
Menurut mereka, lelaki terbabit sentiasa menolak pinangan dengan mendakwa dia tidak mempunyai wanita dalam keluarganya bagi merundingkan pernikahan berkenaan.
Dokumen itu menyatakan, bapa terbabit tetap menolak pinangan lelaki yang berminat walaupun mereka warak dan berakhlak baik.

Semua plaintif menuntut mahkamah memberi mereka hak untuk bernikah. - Agensi

7 lagi askar AS maut

KABUL: Tujuh tentera Amerika Syarikat (AS) dan seorang calon ahli Parlimen Afghanistan terbunuh dalam beberapa siri serangan hujung minggu.
Seramai lapan orang awam dan 15 anggota militan turut maut dalam serangan yang dilakukan kumpulan Taliban di wilayah paling berbahaya di Afghanistan. Tiga anggota tentera AS yang terbunuh dalam dua serangan berasingan di timur negara itu, menurut kenyataan Tentera Bantuan Keselamatan Antarabangsa (ISAF). Dua lagi anggota terkorban dalam serangan bom di selatan Afghanistan pada hari yang sama, manakala selebihnya mati dalam serangan berasingan juga di selatan negara itu, semalam. Mereka adalah mangsa terbaru dalam kejadian serangan kumpulan Taliban yang semakin meningkat sejak akhir-akhir ini.
Kematian terbaru itu meningkatkan jumlah tentera Amerika yang mati di Afghanistan bulan ini kepada 42 selepas 66 askar negara itu mati bulan lalu.

Dalam serangan Sabtu lalu, seorang ahli politik yang juga calon pada pilihan raya 18 September depan, Abdul Manan, ditembak mati di wilayah Herat. Taliban yang bertanggungjawab terhadap kematian dua calon Parlimen sebelum ini dipersalahkan di atas kematian Abdul Manan. - AFP

Tandas tembikar John Lennon dilelong RM46,000

LONDON: Tandas yang pernah dimiliki penyanyi kumpulan The Beatles, John Lennon, dijual pada harga RM46,342 atau 10 kali ganda lebih mahal daripada anggaran dalam lelongan awam, semalam.
Lennon yang maut dibunuh di New York pada 1980, memindahkan tandas tembikar itu dari kediamannya di Tittenhurst Park di Berkshire, selatan England untuk digantikan dengan yang baru.
Dia menetap di rumah itu di antara 1969 hingga 1971.

Menurut katalog lelongan, tandas itu diambil tukang rumah Lennon selepas disuruh ‘ditanam bunga atau sesuatu’ di dalamnya.

Tukang itu, John Hancock, menyimpannya selama 40 tahun sehinggalah dia mati baru-baru ini. - Reuters

Kubur MJ bakal digali

LOS ANGELES: Kubur Michael Jackson mungkin terpaksa digali semula dalam usaha peguam mempertahankan doktor peribadinya daripada tuduhan membunuh.


Michael Jackson
Michael Jackson

CONRAD...hadapi tuduhan.
CONRAD...hadapi tuduhan.
Menurut sumber, peguam bela Dr Conrad Murray bercadang untuk mencabar keputusan bedah siasat ke atas mayat penyanyi berkenaan yang mengaitkan kematian Raja Pop berkenaan dengan salah laku perubatan.
Antara lain, Michael (gambar atas) dikatakan menemui ajal kerana diberi ubat pelali Propofol berlebihan.

Kata sumber itu, peguam bela Murray mahu membuktikan bahawa Michael - yang menyambut ulang tahun ke-52 jika hidup, semalam - mungkin maut kerana mengambil dadah lain.

“Justeru, mereka menuntut supaya kubur penyanyi itu digali supaya ujian baru dapat dijalankan sebelum Murray dibicarakan tahun depan,” katanya.

Antara kemungkinan yang boleh dikesan adalah tanda tusukan jarum yang bukan dilakukan suspek.

Sumber itu berkata, pasukan peguam bela Murray akan cuba meyakinkan hakim bahawa tubuh Raja Pop itu gagal berfungsi selepas berdekad-dekad menerima pil penahan sakit dan ubat pelali.

Jika berjaya, katanya, hakim mungkin mengetepikan tuduhan membunuh secara tidak sengaja yang dikenakan ke atas Murray.

Pada masa sama, ketua peguam, Ed Chernoff, mendapat lampu hijau bagi menjalankan ujian semula ke atas sampel tisu Michael yang diambil dan disimpan dalam peti sejuk selepas dia mati pada Jun tahun lalu.

Sementara itu, rakan keluarga Michael berkata, berita itu amat membimbangkan mereka.

“Mereka menguburkan Michael dengan harapan dia dapat berehat dengan aman, tetapi berita ini amat memualkan,” katanya.

SUBHANALLAH ! IKAN DALAM LAUT KAKI EMPAT




JAKARTA - Seekor ikan 'berkaki empat' ditemui di dalam laut pada kedalaman lebih 500 meter di Wilayah Sangihe Talaud dekat perairan Indonesia, lapor sebuah akhbar semalam.

Kaki ikan itu sebenarnya sirip tetapi semasa ia berada di lantai laut, sirip tersebut bertindak seperti kaki untuk mengimbangi pergerakan.

Imej ikan itu dirakamkan oleh sebuah kenderaan robotik yang dilengkapi kamera dalam projek sekumpulan saintis termasuk dari Amerika Syarikat untuk meninjau kehidupan marin di laut dalam.

Gambar seekor ikan seperti jerung turut dirakamkan selain hidupan laut seperti tumbuhan berwarna merah. - Agensi

5 Hari Berturut Mimpi Kiamat, Artis Ini Pakai Tudung




JAKARTA, KOMPAS.com: Mimpi Kiamat, Marshanda Berjilbab
LIMA hari berturut-turut bermimpi tentang hari kiamat, Marshanda merasa takut dan kemudian memutuskan untuk mengenakan jilbab.
"Sebenarnya aku memang mimpi, tapi aku enggak tahu ada hubungannya apa enggak, karena aku sempat mimpi lima hari berturut-turut, itu mimpi kiamat, kayak film Armageddon itu, dan aku takut banget," kisah Marshanda ketika hadir dalam acara santunan untuk anak yatim piatu, di Hotel Sofyan, Menteng, Jakarta Pusat, Jumat (27/8/2010).
Dara yang akrab disapa Caca ini pada mulanya belum konsisten menutup auratnya dengan jilbab. "Aku sempat latihan pakai jilbab ke mall, tapi saat itu aku belum konsisten. Pas 12 Juni (2010) itu (setelah bermimpi), aku semakin menyadari, mataku dibuka banget untuk bersyukur atas yang diberikan Allah, besar banget cinta Allah yang dikasih," ujar Chacha. "Besoknya aku pakai jilbab dan sampai sekarang alhamdulillah," sambungnya.
Atas keputusan menutup auratnya itu, kekasih pembawa acara Ben Kasyafani ini juga akan lebih selektif lagi menerima tawaran berakting dalam sinetron. "Insya Allah setiap ada sinetron aku mau tetap pakai jilbab, kalau harus melepas aku enggak mau," katanya lagi. (AK)
SUMBER:
Ibnu Hasyim: 5 Hari Berturut Mimpi Kiamat, Artis Ini Pakai Tudung

Apa khabar umat Islam Itali?

Teks & Gambar JUFITRI JOHA

Berdiskusi bersama anak jati kelahiran bumi Turin, Irfan Azri Riccardo (kiri).

KETIBAAN di Lapangan Terbang Torino, Itali disambut dengan penuh mesra oleh Irfan Azri Riccardo Perlo dan isterinya, Azreen Perlo.
Irfan baru beberapa bulan memeluk Islam, sekali gus menikahi gadis pilihan hatinya yang merupakan seorang rakyat Malaysia yang juga merupakan sahabat baik saya ketika sama-sama menyertai program pertukaran belia satu ketika dahulu.
Seperti kelaziman, pengembaraan ke negara-negara tertentu bukan sekadar melihat pemandangan dan kesan-kesan sejarah tetapi yang paling penting adalah menjejaki kehidupan dan perjuangan umat Islam agar dapat diselami dengan penuh kesedaran dan keinsafan.
Kembara ke bandar Torino atau Turin juga sama halnya. Bukan sekadar untuk mencari Alfa Romeo atau Fiat atau Kappa atau Prada mahupun pasukan bolasepak Juventus. Tetapi menyambung tali persaudaraan sejagat umat antara Malaysia dengan Itali.
Irfan merupakan anak jati kelahiran bumi Turin yang datang daripada keluarga beragama Katolik.
"Siapa sangka cucu seorang paderi Katolik masuk Islam," Irfan berkongsi cerita tentang latar belakang beliau dan juga sejarah kemasukan nur hidayah Islam ke dalam hatinya.
Dia merupakan seorang ahli geologi yang sekarang bertugas dengan syarikat pembinaan terowong berpengkalan di Turin.
Pernah menetap selama dua tahun di Taiping ketika ditugaskan oleh syarikatnya untuk melaksanakan projek di sana.
Bertitik-tolak dari situ, membawa beliau kepada perkenalan dengan seorang gadis yang akhirnya menjadi permaisuri hatinya yang banyak membimbing beliau untuk hidup sebagai Muslim.
Kehidupan umat Islam di Itali juga tidak terlepas daripada pihak yang kurang senang dengan kehadiran serta pertambahan jumlah bilangan mereka.
Archbishop Kardinal Giacomo Biffi dan Ketua Parti Pembangkang Northern League, Umberto Bossi umpamanya antara pihak yang lantang menentang pemberian hak asasi secara sewenang-wenangnya kepada umat Islam terutamanya imigran Muslim yang kebanyakan datang dari negara Maghribi.
Mereka berhijrah ke Itali semenjak 1970-an atas faktor ekonomi.
Golongan seperti Biffi dan Bossi bertegas bahawa hak dan taraf kerakyatan harus diberikan keutamaan kepada imigran Katolik yang datang dari Filipina dan negara Amerika Latin.
Namun begitu, sikap xenophobic itu bukan sahaja kurang disenangi oleh umat Islam malahan di kalangan aktivis Katolik sendiri.
Sikap itu lebih cenderung kepada pendirian golongan far right atau lebih menyerupai fahamanfasisme yang dipelopori Mossoulini satu ketika dahulu yang amat benci kepada pendatang asing dan imigran.
Menurut sumber Islam Online, dengan jumlah mencecah 500,000 orang di Itali, Islam menjadi agama kedua terbesar selepas Katolik mengalahkan mazhab-mazhab lain dalam Kristian.
Bilangan masjid-masjid dan pusat kebudayaan Islam di seluruh Itali semakin berkembang dan bertambah.
Manakala masjid pertama di Greek (Rome), ibu kota Itali dibuka pada 1995 selepas dana pembinaannya ditampung oleh 23 negara Islam dari Algeria sehingga ke Yaman.
Peluang menemui Imam dan jawatankuasa Masjid Tayyibah. Sheikh Said Ait El Jide, Imam Besar Masjid Tayyibah memberi kesempatan untuk menyelami serba sedikit kehidupan umat Islam di Turin terutama perkembangan dan perjalanan aktiviti masjid.
Menurut Sheikh Said, Masjid Tayyibah mampu menampung kehadiran 1,500 jemaah pada waktu puncak Solat Jumaat.
Ia merupakan masjid terbesar di Kota Turin ini dan terletak di celah-celah kawasan perumahan.
Di sebelah masjid juga terletaknya pejabat Persatuan Islamiyyah al-Alb. Walaupun lawatan yang amat singkat kerana kesuntukan masa, namun ia amat bermanfaat dan berharga sebagai pertemuan mahabbah dan ukhuwah.
Islam pernah bertapak kukuh di Kepulauan Sicily, di bahagian selatan Itali selama hampir lebih 200 tahun iaitu pada 827 sehingga 1061 masihi, iaitu selepas 116 tahun Islam membuka Andalus.
Namun umat Islam kurang berjaya menembusi Semenanjung Itali untuk penyebaran dakwah Islamiah.
Setelah empat hari berada di Turin, saya meninggalkan kota yang dikhususkan sebagaiInternational Training Capital of the United Nation System, dengan penuh kenangan dan berharap dapat kembali semula untuk meneruskan jejak umat di kota-kota lain di Itali seperti Greek, Milan dan Catania Sicily yang menempatkan antara tiga masjid terbesar di Eropah.

Tidak gugur kefarduan Jumaat


Soalan
Sejauh mana kekal hukum pengguguran solat Jumaat apabila hari raya jatuh pada hari Jumaat. Sebabnya masih ada yang keliru dan mengambil langkah memilih untuk hadir salah satu daripada solat tersebut?
Jawapan
Dalam persoalan ini para ulama berselisih pendapat dalam menentukan kefarduan Jumaat.
Jumhur ulama bersetuju untuk tidak menggugurkan kefarduan Jumaat walaupun hari raya jatuh pada hari Jumaat yang telah dituntut oleh Allah SWT.
Imam Ahmad bin Hambal r.a berpendapat bahawa solat Jumaat gugur sekiranya hari raya jatuh pada hari Jumaat, ini kerana sudah ada solat yang menghimpun manusia seumpama dengan solat Jumaat dan falsafahnya juga sama. Ditambah lagi, hari raya kebiasaannya orang sibuk dengan aktiviti khusus hari raya.
Imam Ahmad juga berhujah bahawa Saidina Uthman bin Affan mengizinkan penduduk kawasan tinggi di Madinah supaya tidak datang bersolat Jumaat.
Akan tetapi ulama menolak bahawa amalan seorang sahaja dari kalangan sahabat tidak boleh dijadikan hujah dalam persoalan pengguguran solat Jumaat. Hal ini juga tidak disepakati oleh jumhur ulama.
Penolakan ini dikukuhkan lagi dengan penghujahan daripada ayat al-Quran itu sendiri, dalam perintah solat Jumaat Allah SWT berfirman yang bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman! Apabila diserukan azan (bang) untuk mengerjakan sembahyang pada hari Jumaat, maka segeralah kamu pergi (ke masjid) untuk mengingati Allah (dengan mengerjakan sembahyang jumaat) dan tinggalkanlah berjual-beli (pada saat itu); yang demikian adalah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui (hakikat yang sebenarnya). (Jumu'ah: 9)
Di dalam ayat kefarduan Jumaat ini Allah SWT menyuruh dan meminta menuju ke masjid dengan kadar segera kepada menunaikan solat Jumaat seperti mana pada Jumaat-Jumaat yang lain termasuklah Hari Raya Aidilfitri mahupun Hari Raya Aidiladha.
Dalam kitab Rahmatul Ummah fi Ikhtilaf al-A'immah karya Imam Al-Dimasyqi, telah dinyatakan bahawa: "Apabila hari raya jatuh pada hari Jumaat, maka menurut pendapat Imam asy-Shafie yang sahih, dinyatakan bahawa tuntutan solat Jumaat tidak gugur daripada penduduk kampung (pemastautin) yang mengerjakan solat Jumaat. Adapun bagi mereka yang datang dari kampung lain, tuntutan tersebut digugurkan.
Demikianlah menurut pendapat Imam Shafie yang sahih. Sekiranya mereka telah menunaikan solat hari raya, dibenarkan bagi mereka untuk terus pulang, tanpa mengikuti solat Jumaat. Menurut pendapat Imam Abu Hanifah, bagi penduduk kampung mereka wajib menunaikan solat Jumaat. Menurut Imam Ahmad pula tidak wajib solat Jumaat sama ada penduduk tetap ataupun tidak. Kewajipan solat Jumaat gugur setelah mengerjakan solat hari raya. Tetapi mereka wajib solat Zuhur.
Ad-Dimasyqi tidak menampilkan pendapat Imam Malik. Ibnu Rusyd dalam kitabnya Bidayatul Mujtahid menyatakan bahawa pendapat Imam Malik selari dengan pendapat Imam Abu Hanifah. Dinukilkan bahawa, "Imam Malik dan Abu Hanifah bersependapat, 'Jika hari raya jatuh pada hari Jumaat, maka mukalaf dituntut untuk melaksanakan kedua-duanya'.
Berdasarkan keterangan-keterangan yang telah diberikan, ternyata bahawa dalam hal ini terdapat empat pendapat:
Solat Jumaat tidak gugur terhadap penduduk kota ( ahlul madinah) yang di tempat mereka ada dilaksanakan solat Jumaat. Bagi mereka yang datang dari kampung atau gurun, atau dari kampung yang yang terletak di kawasan yang tinggi, yang di kawasan mereka tidak dilaksanakan solat Jumaat, kewajipannya digugurkan.
Maka sekiranya mereka iaitu mereka yang datang dari kampung telah menunaikan solat hari raya, mereka boleh terus pulang, tanpa mengikuti solat Jumaat. Inilah pendapat Imam Shafie. Pendapat ini juga merupakan pendapat Uthman dan Umar bin Abdul Aziz.
Solat Jumaat tetap wajib ditunaikan, sama ada penduduk kota di kawasan yang dilaksanakan solat Jumaat mahupun bagi penduduk luar. Pendapat inilah yang dipegang oleh Imam Abu Hanifah dan Imam Malik. Maka, solat Jumaat tetap wajib dan tidak gugur biarpun sesudah menunaikan solat hari raya.
Tidak wajib solat Jumaat, tetapi mereka wajib solat Zuhur. Demikianlah pendapat Imam Ahmad.
Secara dasarnya, Imam Shafie tetap mewajibkan solat Jumaat yang jatuh pada hari raya. Namun beliau menetapkan kewajipan tersebut terhadap penduduk kota. Bagi penduduk desa atau padang pasir (badwi) yang berkunjung ke kota untuk solat raya (dan solat Jumaat), dan di tempat mereka tidak dilaksanakan solat Jumaat, maka mereka dibenarkan untuk tidak mengerjakan solat Jumaat.
Bagi kita rakyat Malaysia yang berpegang dengan mazhab al-Syafie adalah tidak gugur kefarduan Jumaat sekiranya hari raya jatuh pada hari Jumaat. Kebenaran yang diberi oleh Imam al-Syafie kepada penduduk yang berjauhan dari masjid adalah dengan tujuan tidak membebankan mereka, sedangkan mereka terpaksa keluar dua kali untuk ke masjid. Di negara kita keadaannya sangat berlainan, kita tidak menghadapi kesukaran untuk ke masjid, manakala masjid pun tidak sejauh mana dari rumah.