Pages

Wednesday, August 25, 2010

3 Sumpahan syaitan untuk orang kaya


http://www.freefoto.com/images/33/15/33_15_57---Fire-Flame-Textures_web.jpg?&k=Fire+%2F+Flame+Textures
Nabi Muhammad s.a.w. bersabda: “Syaitan laknatullah berkata: “  Orang kaya tidak dapat selamat dari tiga macam iaitu:
  • Saya perhias didalam pandangannya sehingga tidak  akan menunaikan  kewajipan agamanya.
  • Saya ringankan tangannya sehingga dikeluarkan tidak pada tempatnya atau senang membelanjakan harta untuk perkara haram.
  • Saya tambahkan perasaan kecintaan dalam hati mereka  kepada dunia sehingga dia berusaha mendapatkan dunia  walau tidak melalui cara yang halal.

Gadis Mexico Ratu Universe




2010/08/25

Jimena Navarrete teruskan penguasaan peserta Amerika Latin 

LOS ANGELES: Gadis berambut coklat dari Mexico, Jimena Navarrete, 22, dinobatkan sebagai Ratu Universe dalam pertandingan yang berlangsung di Las Vegas semalam, meneruskan dominasi peserta Amerika Latin yang memenangi gelaran itu selama tiga tahun berturut-turut. 

Tempat kedua dimenangi Ratu Jamaica, Yendi Phillipps, manakala Ratu Australia, Jesinta Campbell di tempat ketiga, Ratu Ukraine, Anna Poslavksa di tempat keempat dan Ratu Filipina, Venus Raj di tempat kelima.Navarrete dari Guadalajara, menjadi rakyat Mexico kedua dianugerahkan gelaran itu selepas kemenangan Lupita Jones pada 1991. Venezuela memenangi gelaran itu pada 2008 dan 2009 tetapi sesuatu yang mengejutkan apabila negara itu gagal untuk melepasi bahagian pertama selepas seramai 83 peserta dikurangkan kepada 15 orang.Turut tersingkir pada peringkat itu adalah Ratu Amerika Syarikat, Rima Fakih, seorang peserta Islam berketurunan Lubnan yang baru-baru ini dilaporkan menentang rancangan pembinaan sebuah masjid di bekas tapak Pusat Dagangan Dunia di New York. 

Daripada awal, pertandingan itu menyaksikan saingan rapat antara peserta Mexico, Jamaica dan Filipina yang semuanya mendapat tumpuan bagi acara pakaian mandi dan gaun malam. Bagaimanapun, Ratu Filipina gagal menonjol ketika sesi menjawab soalan. 

Ratu Jamaica, yang gemarkan aktiviti lasak termasuk terjun jurang dan berenang bersama jerung, memberikan kejutan kepada penganjur. Beliau menyatakan tentangan terhadap hukuman mati kerana menyifatkan hanya Tuhan yang berhak mencabut nyawa seseorang. 

Manakala Ratu Mexico dengan bantuan seorang jurubahasa tidak mempunyai masalah menjawab soalan mudah mengenai ancaman internet kepada kanak-kanak. 
Sementara Campbell, Ratu Australia, 19, yang menjadi peserta paling muda ke peringkat akhir turut menarik perhatian apabila menyatakan kerajaan tidak berhak menetapkan peraturan pakaian keagamaan bagi wanita. Ratu Ukraine pula menyokong penggunaan mesin imbasan badan di lapangan terbang. Reuters 

Jemaah Masjid Nabawi meningkat




2010/08/25

MADINAH: Bilangan jemaah di Masjid Nabawi meningkat sehingga satu juta orang pada bulan Ramadan menjadikan perbelanjaan untuk mengadakan majlis berbuka puasa semakin tinggi. 

Sudah menjadi tradisi penduduk di Madinah untuk menyediakan makanan bagi majlis berbuka puasa sejak sekian lama.Walaupun Masjidil Haram di Makkah hanya membenarkan pemberian kurma dan kopi Saudi untuk berbuka puasa, pihak berkuasa di Madinah tidak menghalang tradisi pemberian makanan berbuka puasa oleh penduduk kepada jemaah Masjid Nabawi.Ketua Perhubungan Awam dan Media di Masjid Nabawi, Abdul Wahid Al-Hattab berkata, sejak jam 3 petang setiap hari pada bulan Ramadan lebih 10,000 orang mula membawa makanan ke masjid. Selepas solat Asar, kain alas meja sudah mula dibentangkan. 

Ia mungkin kelihatan sukar tetapi kata Wahid, mereka yang menghidangkan makanan sudah mempunyai tempat masing-masing. Ada yang menghidangkan untuk 100 orang, manakala yang lain 200 dan seterusnya. 

Setiap orang disediakan dengan yogurt, roti dikenali dengan Shraik, kurma, Dugga dan kopi Saudi. Makanan terbabit membabitkan kos sekurang-kurangnya SR2.5 (RM2.09) untuk seorang. Agensi 

Banjir: Pakistan perlu beberapa tahun untuk pulih




2010/08/25

SUKKUR: Pakistan mungkin mengambil masa bertahun-tahun lamanya untuk pulih daripada bencana banjir yang dialami sekarang, kata Presidennya, Asif Ali Zardari, ketika rundingan bermula dengan Tabung Mata Wang Antarabangsa (IMF) semalam. 

Pegawai di wilayah Sindh berkata sehingga 600,000 orang berada dalam keadaan bahaya akibat kenaikan paras air di selatan, hampir sebulan selepas bencana itu menjejaskan satu perlima daripada negara berkenaan dan menyebabkan kira-kira empat juta orang kehilangan rumah.Kami akan memperkukuhkan tebing sungai tetapi kira-kira 500,000 hingga 600,000 orang di kawasan rendah masih berada dalam bahaya dan kami sedang berusaha untuk meminta mereka meninggalkan kawasan terbabit, kata Menteri Perairan Sindh, Jam Saifullah Dherjo.Mangsa banjir mengeluh kerana tindakan kerajaan yang lembap dalam menangani banjir yang menenggelamkan kawasan perkampungan, jambatan, jalan raya, tanaman, dan ternakan. 

Pakistan menghadapi cabaran memperoleh bantuan mencukupi dan memastikan pihak militan tidak mengambil kesempatan daripada bencana itu untuk mengambil ahli baru. 

Selepas mengadakan perbincangan hari pertama dengan pegawai Pakistan semalam, pegawai kanan IMF berkata negara berkenaan berdepan dengan pilihan sukar mengenai cara untuk mengagihkan peruntukan yang sedikit bagi pembangunan semula. 

Masood Ahmed, pengarah bahagian Asia Barat dan Asia tengah IMF, berkata bencana itu memberi kesan berpanjangan ke atas ekonomi Pakistan yang rapuh sejak sebelum banjir lagi. 
Zardari dan pegawai kerajaan lain melahirkan kebimbangan pihak militan akan cuba mengeksploit kesukaran yang dihadapi rakyat Pakistan. 

Saya lihat pertubuhan berkenaan dan ahli mereka cuba mengambil kesempatan daripada krisis kemanusiaan ini, kata Zardari dalam temuramah yang disiarkan oleh akhbar Independent di Britain. 

Zardari, yang dikecam kerana meneruskan lawatannya untuk menemui pemimpin Britain dan Perancis ketika bencana itu berlaku, mempertahankan tindakan kerajaan. 

Saya mempunyai sebab saya sendiri untuk berada di mana dan pada waktu bila, kata Zardari. Masalah ini memerlukan penyelesaian jangka panjang. Reuters 

Roket angkasa lepas buatan sendiri



SEORANG lelaki duduk dalam roket ciptaan dua pereka Denmark.


COPENHAGEN - Dua pereka Denmark mencipta roket buatan sendiri yang pertama di dunia dan direka untuk membawa manusia ke bulan, lapor sebuah akhbar semalam.
Roket setinggi sembilan meter tersebut yang menggunakan cecair oksigen sebagai bahan api merupakan cetusan idea sebuah firma, Suborbitals di sini yang diketuai oleh pencipta Kristian von Bengtson dan Peter Madsen.
Pada 30 Ogos ini, roket itu yang dinamakan Pengangkut Atmosfera Ekso Hibrid (HEAT) akan dilancarkan ke angkasa lepas dari sebuah kapal selam di Laut Baltik.
Sekiranya, ujian pelancaran itu berjaya, roket itu akan digunakan untuk membawa Madsen ke angkasa lepas dalam masa terdekat.
Roket itu dibina sejak 2004 tanpa peruntukan kerajaan tetapi ia menerima sumbangan dalam bentuk penajaan, derma dan penglibatan sukarelawan. - Agensi

Minuman ringan beralkohol



MOHAMED menunjukkan sebahagian minuman ringan beralkohol menggunakan label buah-buahan di pejabatnya di Pulau Pinang semalam.


GEORGE TOWN - Kerajaan digesa mengharamkan minuman ringan beralkohol yang menggunakan label buah-buahan kerana ia dibimbangi menjejaskan otak penggemarnya terutama pelajar dalam jangka panjang.
Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), S. M. Mohamed Idris berkata, satu kajian hasil daripada aduan guru-guru mendapati, sekelompok pelajar sebuah sekolah di barat daya Pulau Pinang telah ketagih minuman tersebut.
Beliau berkata, terdapat 15 jenis minuman mengandungi alkohol sehingga 5.5 peratus kini dijual secara meluas di pasar raya dan kedai 24 jam di negeri itu.
Menurutnya, ia juga diletakkan sebaris dengan minuman biasa dan boleh dibeli oleh sesiapa sahaja termasuk remaja dan kanak-kanak.
"Penjualan minuman dengan harga di antara RM4 hingga RM10 sebotol ini bertentangan dengan undang-undang yang melarangnya dibeli oleh individu berumur 18 tahun ke bawah,'' katanya pada sidang akhbar di sini semalam.

Kerapu gergasi berjaya ditangkap




IPOH 24 Ogos - Seekor ikan kerapu gergasi sepanjang 2.5 meter dan berat 148 kilogram berjaya ditangkap oleh seorang nelayan di Pantai Remis.
Ikan kerapu gergasi yang cukup untuk dijadikan hidangan kepada lebih 400 orang itu kemudian dibeli oleh seorang pengusaha restoran di sini.
Pengusaha restoran tersebut, Teoh Kar Hooi berkata, ikan kerapu yang dianggarkan berusia lebih 30 tahun itu dibeli dengan harga RM8,000.
"Saya terkejut apabila nelayan itu yang juga rakan saya menyerahkan kerapu gergasi ini.
"Dia tangkap ikan kerapu gergasi ini dekat Pantai Remis malam semalam menggunakan pukat tarik," katanya kepada pemberita di restorannya di Pasir Putih di sini hari ini.
Kah Hooi yang menjalankan perniagaan restoran sejak lebih 20 tahun menyifatkan kerapu gergasi itu amat istimewa untuk dijadikan hidangan.
Malah katanya, dengan adanya sajian ikan istimewa tersebut, restorannya akan menjadi tumpuan kepada pengunjung di bandar raya ini.
"Ini adalah kali kedua rakan saya mendapat kerapu gergasi. Kali pertama beberapa tahun lalu dan beratnya 170 kilogram," katanya.
Bagi dirinya pula sebagai pengusaha restoran kata Kah Hooi, ini adalah kali kelapan dia menghidangkan ikan gergasi seumpama itu.

Tuesday, August 24, 2010

Masa untuk berhenti merokok


JIKA bagi wanita, kedatangan bulan puasa masa paling baik untuk mula berdiet, berbeza pula lelaki yang lebih kepada untuk berhenti merokok.
Tapi untuk menghilangkan tabiat merokok bukanlah satu perkara yang mudah, lebih-lebih lagi jika rokok sudah menjadi teman sejati sejak sekian lama.
Menurut Dr. Azrul Rozaiman Abdullah dari Hospital Pakar An-Nur Hasanah, Bangi, Selangor, perokok terbahagi kepada beberapa kategori dan ini ditentukan menerusi satu ujian yang dinamakan Fagerstrom test for Nicotine Dependence.
"Secara umumnya, ketagihan ada empat kategori iaitu rendah, rendah hingga sederhana, sederhana dan ketagihan tinggi.
"Dari senarai yang diberikan di atas, golongan perokok yang paling sukar membuang tabiat merokok ialah yang ketagihan tinggi," jelasnya ketika sesi ceramah sempena seminar Sakit Bukan Halangan Meraih Takwa.
Seminar tersebut anjuran Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM), Persatuan Perubatan Islam Malaysia (PPIM) dengan kerja sama Hospital Pakar An-Nur (HPAN), Bangi, baru-baru ini.
Dr. Azrul Rozaiman juga memberitahu pendapat yang mengatakan perokok wanita lebih berisiko mendapat penyakit kronik berbanding lelaki tidak benar kerana semuanya bergantung kepada dos bahan-bahan kimia yang disedut ke dalam tubuh.
"Selain itu faktor mudahnya penyakit terjadi akibat merokok juga bergantung kepada kekuatan tubuh individu itu sendiri. Individu yang mempunyai sistem imunisasi yang kuat, sihat dan tanpa penyakit kronik lain.
"Ada perokok yang memberitahu bahawa apabila mereka berhenti merokok mereka akan menjadi tidak sihat. Ini berlaku kerana ketagihan rokok tegar menyebabkan mereka secara fizikal dan psikologikal terpaksa bergantung dengan aktiviti merokok untuk mengekalkan paras nikotin dalam badan. Dengan itu mereka dapat kekal 'rasa seronok' dan akan rasa sebaliknya jika tidak mengambil rokok," ujarnya.

Teknologi baru cegah strok


PAKCIK, ubat ini pakcik makan sebiji setiap hari. Jangan ambil lebih. Pastikan pakcik makan pada masa yang sama setiap hari. Jika terlupa, sebaik-baiknya terus makan apabila teringat.
"Jangan sekali-kali gandakan dos makan dua biji pula ya. Lagi satu, jangan lupa bulan depan datang semula ke sini untuk kita buat pemeriksaan darah.''
Itu antara pesanan yang sering diterima pesakit jantung yang bergantung sepenuhnya kepada pengambilan ubat jenis warfarin.
Warfarin adalah sejenis dadah pencair darah yang cukup berbahaya jika tersalah dos.
Penolong Ketua Jabatan Kardiologi Institut Jantung Negara (IJN), Dr. Razali Omar memberitahu, pesakit yang terambil dos yang salah boleh berhadapan dengan masalah pendarahan serius.
"Warfarin berfungsi mengurangkan risiko serangan strok iskemik, tetapi pada masa yang sama jika tersalah ambil akan mendedahkan pesakit kepada risiko strok pendarahan pula," katanya.
warfarin terkenal di kalangan pesakit warga emas yang mengalami gangguan fungsi jantung seperti pemfibrilan atrium (AF).
Walaupun mempunyai kesan sampingan, ia merupakan ubat paling berkesan untuk menghalang pembentukan darah beku yang berpunca daripada AF, sekali gus mengurangkan risiko serangan strok sehingga 67 peratus.
Tetapi dengan perkembangan teknologi, kini pesakit jantung mempunyai pilihan.
Penemuan teknologi baru yang dikenali Left Atrial Appendage Occluder (LAA Ocluder) merupakan khabar gembira buat pesakit komplikasi AF.
Mereka tidak perlu lagi bergantung kepada ubat pencair darah seperti warfarin
LAA Ocluder lebih praktikal dan selamat untuk mengurangkan risiko serangan strok dan telah diperkenalkan oleh IJN baru-baru ini
Teknologi itu mula diperkenal dan dipraktik secara meluas di Amerika Syarikat (AS) dan negara-negara Eropah. Di rantau Asia, setakat ini hanya tiga negara sudah mengamalkannya iaitu Hong Kong, Singapura dan Malaysia.
"Komponen asasnya ialah alat Watchman yang boleh berkembang menjadi penutup. Alat itu akan dimasukkan ke dalam jantung pesakit untuk menyumbat pintu masuk ruang kosong yang dipanggil apendaj atrium kiri (LAA) yang terletak di atrium kiri jantung. "Tujuan penyumbatan ini adalah untuk menghalang sebarang ketulan darah beku yang terbentuk di dalam LAA keluar dari situ. Pada masa yang sama, ia berfungsi menyekat darah dari luar masuk dan bertakung dalam LAA.

Berazam bersihkan rezeki


berniaga di bulan Ramadan bukan sahaja boleh mengaut keuntungan tetapi pada masa sama jalan mudah untuk bersedekah. - Gambar hiasan


KERANA merebaknya kes-kes rasuah, yakni kes yang melibatkan pengumpulan perolehan secara menyalahi hukum adat dan hukum agama, maka negara terpaksa menyediakan peruntukkan khas bagi kewujudan agensi khusus iaitu; Biro Pencegahan Rasuah (BPR) yang kini dikenali dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Sepatutnya di sebuah negara yang majoriti penduduknya beragama Islam, agensi seperti BPR/SPRM tidak perlu wujud kerana larangan mengaut perolehan secara tidak halal telah termaktub dalam hukum hakam. Misalnya melalui ayat 172 surah Al-Baqarah yang bermaksud: Wahai orang-orang beriman, makanlah makanan halal yang Kami kurniakan kepada kamu.
Bukan sahaja kita umat Islam dilarang memakan dan meminum makanan dan minuman yang tidak halal, malah para rasul sendiri juga dilarang sama. Ini terbukti melalui ayat 51 Surat Al-Mukminin, mafhumnya: Wahai sekalian Rasul, makanlah daripada makanan yang baik (halal) dan lakukanlah amalan saleh.
Rasulullah SAW pula bersabda, bermaksud: "Setiap jasad yang membesar daripada benda-benda yang haram, maka api nerakalah yang layak baginya." (riwayat al-Baihaqi dan Abu Nuim)
Mengutamakan kehalalan dalam mengumpul sumber perolehan dan juga dalam pelbagai urusan penting kerana sehebat mana pun kita beribadat kalau apa yang kita makan dan memberi makan kepada isteri dan anak cucu kita bukan daripada punca yang halal, maka ketaatan serta ketakwaan kita akan ada cacatnya, doa kita tidak akan makbul.
Hanya sebutir kurma demikian jadinya kepada Ibrahim Ibnu Ibrahim. Macam mana dengan kita yang menyalahgunakan kuasa mendapatkan kawasan balak atau mengumpul kekayaan secara tidak betul.
Bagaimana dengan kita yang ponteng kerja, yang datang lambat tetapi balik awal sebagai pekerja, yang membuat tuntutan palsu dan sebagainya?
Sempena Ramadan kali ini, marilah sama-sama kita membaiki diri, sama-sama kita berazam untuk nantinya BPR/SPRM tidak perlu wujud kerana tidak ada kerja yang perlu dilakukan kerana kita semua patuh pada hukum hakam dalam mengaut perolehan.

Amar syahid di medan Uhud


Amar bin Sabit adalah sahabat Nabi Muhammad. Beliau berasal daripada Bani Asyahali. Salah seorang daripada tokoh terkenal dalam kaumnya ialah Saad bin Muaz yang memeluk Islam sebelum Amar.
Amar sangat berpegang teguh kepada agama nenek moyangnya. Hal itu menyebabkan beliau sukar menerima agama Islam.
Malah, Amar pernah berkata kepada salah seorang yang sudah memeluk Islam: "Apakah kebenaran dalam agama kamu? Tunjukkan kepada saya mengenai kebenaran itu. Saya tidak teragak-agak mengikutinya."
Ketika ramai daripada kaumnya sudah menerima Islam, pintu hati Amar tetap tertutup.
Sehingga pada suatu hari, semasa Nabi Muhammad bersiap untuk pergi ke medan Perang Uhud, Amar t datang berjumpa.
Kata Amar: "Wahai Nabi Muhammad, saya mahu memeluk agama Islam."
Nabi Muhammad terkejut mendengar kata-kata yang keluar dari mulut Amar. Tindakan Amar menyebabkan Nabi kehairanan. Sebelum ini, Amar adalah seorang yang angkuh dan enggan menerima sedikit pun ajaran Islam.
Kemudian Nabi Muhammad bertanya: "Benarkah apa yang kamu katakan itu Amar?"
"Benar," jawab Amar.
"Ini adalah satu keajaiban dari Allah," kata Nabi Muhammad.
"Saya mahu memeluk agama Islam," kata Amar dengan tegas.
Kemudian Amar berkata lagi: "Saya juga mahu bersama-sama menyertai angkatan perang Islam ke Perang Uhud."
"Saya sudah bersedia dengan pedang saya," Amar berkata sambil menunjukkan pedang yang sudah siap ada di tangannya.
Selepas mendengar berita baik dari Amar itu, Nabi Muhammad gembira.
"Syukur kepada Allah. Akhirnya terbuka juga pintu hati Amar memeluk agama Islam," kata Nabi Muhammad sendirian.
Mulai pada hari itu, Amar sah menjadi orang Islam selepas mengucapkan dua kalimah syahadah.
Berita keislaman Amar tidak diketahui oleh sesiapa kecuali Nabi Muhammad. Selepas sah menjadi orang Islam, Amar bangkit menuju ke medan perang Uhud mengikuti Nabi Muhammad.
Peperangan yang berlaku dengan pihak musuh sangat sengit. Di situ Amar menunjukkan keberanian dan kepahlawanannya. Dalam kumpulan tentera Islam itu, ada yang hairan dengan kehadiran Amar.
Salah seorang daripada tentera Islam itu berkata kepada Amar: "Buat apa kamu ikut kami berperang?"
Amar tidak peduli dengan pertanyaan orang itu, beliau terus sahaja mara ke hadapan menentang musuh Islam.
"Kamu bukan orang Islam. Kamu sengaja mahu mempersendakan kami dengan kekuatan kamu itu," kata salah seorang tentera Islam itu lagi.
Pada masa itu, badan Amar berlumuran darah. Beliau bergelut dengan pihak musuh bagi menegakkan Islam. Akhirnya beliau jatuh ke bumi. Sebelum Amar menghembuskan nafasnya yang terakhir, beliau sempat menjawab pertanyaan orang itu tadi.
Kata Amar: "Saya sudah beriman kepada Allah dan Nabi Muhammad. Saya adalah orang Islam seperti kamu. Saya sudah melawan musuh sedaya upaya saya. Semoga Allah memberkati saya."
"Betulkah apa yang kamu katakan itu?" tanya orang itu kepada Amar. Orang itu terkejut mendengar berita ke-Islaman Amar.
Amar gugur sebagai seorang pahlawan Islam yang syahid. Berita kematian Amar sampai ke pengetahuan Nabi Muhammad.
Nabi Muhammad berkata, "Amar masuk syurga kelak."
Tentera Islam lain terkejut dengan berita itu. Mereka sebenarnya tidak mengetahui bahawa Amar sudah memeluk Islam semasa berperang. Mereka juga terharu dengan semangat Amar yang tinggi semasa melawan musuh.
Pernah dilaporkan oleh Abu Hurairah dari hadis Nabi Muhammad bahawa salah seorang yang layak masuk syurga tanpa bersembahyang, berpuasa dan lain-lain ialah Amar bin Sabit.
Begitulah kisah sahabat Nabi Muhammad yang ikhlas menegakkan agama Islam.
Orang yang mengaku bahawa dirinya Islam sanggup mati demi membela agama Islam. Orang yang baik sentiasa diredai Allah.

Sumbangan rakyat Malaysia kepada mangsa banjir Pakistan


24/08/2010 10:35pm

KUALA LUMPUR 24 Ogos – Rakyat Malaysia dari segenap lapisan masyarakat secara aktif menyediakan bantuan kemanusiaan kepada mangsa banjir di Pakistan, dan setakat ini telah menyumbang sejumlah Rs6.2 juta pada Tabung Bantuan Banjir Perdana Menteri 2010.
Pejabat Suruhanjaya Tinggi Pakistan dalam satu kenyataan hari ini berkata, selain itu, syarikat pengilang tempatan iaitu Julie’s Perfect Food Manufacturing (M) Sdn. Bhd. juga menyumbangkan biskut bernilai Rs1.4 juta.
Syarikat itu turut menyerahkan cek bernilai Rs81,000 kepada Pesuruhjaya Tinggi Pakistan Masood Khalid hari ini.
Sementara itu, masyarakat Pakistan di Malaysia menghantar Rs1.7 juta bantuan dalam bentuk wang tunai dan barangan seberat 4,900 kilogram kepada mereka yang terjejas akibat banjir.
"Selain itu, pelbagai persatuan dan syarikat telah bergiat aktif dalam mengumpul dana untuk mangsa banjir,” katanya.
Kerajaan Malaysia juga berikrar untuk menyumbangkan AS$1 juta, manakala Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri-isteri Menteri dan Timbalan Menteri (Bakti) telah menghantar bantuan bernilai Rs46 juta melalui dua pesawat milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) baru-baru ini.
Banjir yang melanda Pakistan baru-baru ini telah meragut 1,600 nyawa, manakala sejuta penduduk lagi kehilangan tempat tinggal.
Selain itu, kehidupan sejumlah 3.5 juta yang lain turut terjejas. – Bernama

Pakistan terus dibelenggu banjir


satu keluarga meredah air banjir untuk kembali ke kampung mereka di Sultan Kot, kira-kira 51 kilometer dari Sukkur, wilayah Sindh di Pakistan, semalam. - REUTERS


KARACHI 23 Ogos - Pihak berkuasa Pakistan hari ini berusaha menyelamatkan Shahdadkot, sebuah bandar di wilayah selatan yang terjejas akibat banjir, selepas satu perpindahan besar dilakukan ketika banjir terus memburukkan lagi keadaan.
Banjir hampir sebulan telah mengorbankan 1,500 mangsa dan menjejaskan sehingga 20 juta penduduk di seluruh negara ini dalam bencana terburuk melanda Pakistan, dengan ancaman penyakit mula menular di kem-kem yang menempatkan mangsa banjir yang tinggal sehelai sepinggang.
Berpuluh-puluh ribu mangsa dipindahkan dari kawasan terjejas akibat banjir di selatan negara ini semalam termasuk bandar Shahdadkot, dengan kebanyakan daripada 100,000 penduduknya diiringi ke tempat selamat dengan apa juga cara.
"Buat masa ini kami cuba melindungi Shahdadkot, yang terancam oleh paras air yang semakin meningkat," kata Menteri Pengairan wilayah Sindh, Jam Saifullah Dharejo kepada AFP.
Menurut beliau, benteng yang dibina untuk melindungi bandar berkenaan dari banjir, berada di bawah tekanan dan pihaknya sedang cuba menyelamatkan bandar tersebut daripada banjir yang tidak pernah berlaku sebelum ini.
"Bagaimanapun, masih ada mangsa yang terkandas di kampung-kampung ini (di sekitar Shahdadkot) dan kita sedang berusaha untuk menyelamatkan mereka," katanya.
Dharejo dalam pada itu menyatakan, setakat ini tiada ancaman banjir dilapor di Hyderabad, bandar kedua terbesar di Sindh dan keenam terbesar di Pakistan yang dihuni 2.5 juta penduduk.
Kerajaan Pakistan yang lemah berhadapan kemarahan ramai rakyat berikutan usaha bantuan yang lembap, ketika pegawai memberi amaran negara ini mengalami kerugian ekonomi sehingga AS$43 bilion (RM137.6 bilion).
Jutaan mangsa banjir yang terselamat terdesak mendapatkan makanan, tempat perlindungan, air bersih dan bantuan kemanusiaan untuk terus hidup, ketika kebimbangan semakin meningkat ekoran penularan penyakit taun, demam kepialu dan hepatitis.
Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) dijangka memulakan perbincangan dengan pegawai-pegawai Pakistan hari ini bagi menyusun semula pinjaman bernilai AS$10 bilion (RM32 bilion). - AFP

Rejim Yahudi dakwa kubur Palestin palsu


BAITULMAQDIS 23 Ogos - Ketegangan politik mengenai tanah perkuburan Islam di Baitulmaqdis yang bermula dengan dakwaan tidak sensitif ke atas rancangan menubuhkan muzium toleransi agama di tapak itu, bertambah buruk apabila timbul pertikaian lebih hangat sama ada beratus-ratus batu nisan di situ benar atau palsu.
Kedamaian tanah perkuburan Mamilla terganggu bulan ini dengan jentolak Israel memusnahkan batu nisan di tengah malam dan protes orang Islam. Kawasan batu nisan sunyi di barat Baitulmaqdis ini kini menjadi titik genting dalam tuntutan ke atas kota suci ini antara Israel-Palestin.
Sejak awal tahun ini, aktivis dari Pergerakan Islam di Israel membersihkan dan memulihkan makam di tanah perkuburan itu yang dikatakan menempatkan makam sarjana Islam yang dikebumikan bersama pahlawan yang menentang tentera Salib iaitu Salahudin al-Ayyubi.
Namun pihak berkuasa Yahudi menuduh aktivis terbabit tidak memulihkan tetapi menghasilkan beratus-ratus kubur dalam cubaan politik untuk mengukuhkan pemilikan terhadap tapak itu.
Bulan ini, majlis perbandaran tiba pada waktu malam dan menggunakan jentolak untuk meratakan 300 penanda makam yang didakwa pegawai dan ahli arkeologi Israel sebagai palsu dan tidak mengandungi mayat. - AP

Masjid WTC: Suasana makin tegang


KUMPULAN penyokong pembinaan masjid berdekatan tapak bangunan World Trade Center di Manhattan, New York berdepan dengan penentang berhampiran lokasi bangunan yang dicadang untuk dibina Pusat Islam di New York, kelmarin. - AFP/ AP


NEW YORK 23 Ogos - Rancangan pembinaan masjid berhampiran Ground Zero menarik beratus-ratus penunjuk perasaan yang menyokong dan membantah projek tersebut semalam, di sekitar lokasi pembinaan di Manhattan.
Kumpulan yang membantah dilihat membawa sepanduk-sepanduk mengaitkan Islam dengan darah, manakala kumpulan penyokong melaungkan 'Katakan tidak kepada kebimbangan perkauman!' di samping bendera Amerika Syarikat (AS) yang dikibarkan kedua-dua kumpulan.
Pada masa sama, dua individu bertanggungjawab membina projek tersebut mempertahankan rancangan mereka tetapi seorang daripadanya berkata, pihak penganjur mungkin sedia berbincang tentang lokasi pembinaan alternatif.
Seorang lagi, Imam Feisal Abdul Rauf semasa satu kunjungan ke Asia Barat berkata, objektif yang dibawa projek tersebut bersifat positif dan beliau berharap ia boleh mendatangkan pemahaman ramai.
Di sekitar kawasan bangunan lama yang dikepung, lokasi yang bakal membangunkan masjid serta pusat masyarakat Islam setinggi 13 tingkat, polis mengasingkan dua kumpulan penunjuk perasaan.
Tiada laporan dibuat tentang pertempuran fizikal, tetapi perang mulut dilapor berlaku termasuk antara seorang lelaki dan wanita yang menjerit satu sama lain di sepanjang sekatan jalan ketika cuaca hujan.
Sepanduk-sepanduk yang diangkat penunjuk perasaan di belakang sekatan polis tertera perkataan 'SHARIA', menggunakan tulisan seakan darah bagi menggambarkan undang-undang syariah yang menjadi pegangan Islam.
Pada satu laluan pejalan kaki berhampiran, polis mengusir satu kumpulan yang mengibarkan sepanduk dengan gambar mangsa dipukul, direjam dan lain-lain penyeksaan yang dilaksanakan mengikut undang-undang syariah.
Perhimpunan kumpulan propembinaan masjid yang diadakan satu blok dari lokasi tunjuk perasaan yang membantah, menyaksikan beratus-ratus penyokong melaungkan 'Islam dialu-alukan di sini!' dan 'Kami katakan tidak kepada kebimbangan perkauman!'.
Sementara itu, Miss USA 2010, Rima Fakih, seorang gadis keturunan Arab, menyokong kenyataan Presiden Barack Obama tentang hak kebebasan beragama, namun mengatakan masjid perlu dibina di lokasi lebih jauh dengan mengambil kira kebimbangan tragedi berbanding agama. - AP

10 MAKHLUK ANEH TEMUAN DR.TAKESHI YAMADA




Bumi semakin tua, tetapi masih banyak sekali misteri yang belum terungkap yang masih menjadi rahasia alam bagi kita selaku manusia yang mendiami bumi ini. Atau juga mungkin keunikan atau keanehan itu sendiri sebenarnya berada tidak jauh dengan kita.
Dr Takeshi Yamada, peneliti asal Jepang, yang melakukan penelitian, perjalanan yang mungkin sudah mengelilingi sebagian dari dunia ini, menemukan 10 makhluk aneh yang mengegerkan dunia ilmu pengetahuan.
Oke, kita lihat aja semua penemuan aneh bin ajaib dari sang Dr Takeshi Yamada :

Salah satunya adalah monyet vampire di China. Seperti yang kita ketahui tentang vampire, maka hidup monyet vampire ini tergantung dari menghisap darah makhluk lain.

Yang menjadi keunikan dari mahluk ini adalah, dalam kegiatan beraktivitasnya sebagian besar banyak menggunakan tangannya, seperti halnya kita manusia. Dan spesies ini diyakini sebagai mata rantai yang terputus dari evolusi manusia sehingga berbentuk seperti sekarang. Keunikan yang lainnya, mahluk ini dalam membangun sarangnya sama seperti burung, dengan cara menenun sarangnya.

Berikutnya Penemuan Dr Takeshi Yamada yang lainnya yang tak kalah menghebohkan adalah keong raksasa yang ditemukan oleh Dr Takeshi Yamada dari laut terdalam. Kakinya yang mirip seperti chupacabra, oleh karena itu diberi nama siput chupacabras.

Penemuan selanjutnya adalah siput pemakan daging yang terbesar di dunia ini. Yang ditemukan pada awal tahun 2007. Dan siput ini juga mempunyai senjata yang mematikan, yaitu racun yang konon katanya sangatlah mematikan.

Yang tak kalah mengerikan adalah blue merman yang ditemukan di Pulau Sado. Mirip spesies kadal atau bunglon. Makhluk ini juga berbahaya pada tangan-tangannya yang bisa mengembang. Bila usianya semakin bertambah, bintang ini akan terlihat mirip kodok.

Mumi bayi berwajah dua ini kini berada di museum kedokteran di Coney Island Hospital.

Kemudian penemuan Naga laut raksasa. Disebut naga laut raksasa ditemukan di dasar laut Pulau Awaji. Makhluk ini diduga telah punah pada awal abad ke-20.

Dua spesies baru kepiting ladam, diduga hidup masa masa pra sejarah sekitar 400 juta tahun lalu. Baru baru ini kepiting purba ini ditangkap oleh tim peneliti dasar laut dari Universitas Higashi Osaka Jepang. Masih ada empat species kepiting purba yang diindetifikasi hidup 250 juta tahun lalu.

Penemuan kali ini tak kalah aneh, semut berwajah manusia. Dalam mitologi India dipercaya orang bertabiat buruk akan bereinkarnasi menjadi semut. Ada banyak semut-semut berwajah manusia yang ditemukan di India, melebihi di negara manapun. Salah satu contohnya adalah yang dimiliki dr Takeshi Yamada yang merupakan hasil ekspedisi tahun 2004. Coney Island Anthropoliogical Institute juga memiliki koleksi ini.

Makhluk yang berasal dari St Helena ini, diduga telah punah pada beberapa decade yang lalu diduga karena pembangunan pelabuhan udara internasional di sana. Himpunan ilmuwan dan pemerhati entomologists melakukan protes dalam beberapa tahun terakhir yang menyebabkan punahnya spesies ini. Penelitian yang dipimpin Dr Takeshi Yamada pada 2005 menemukan beberapa spesies baru earwigs raksasa. Penelitian ini merupakan bagian dari program yang dilakukan di Coney Island University.

Fiji Mermaid sepanjang 6 kaki mirip putri duyung ditemukan di Shikoku, Jepang. Disebut Ningyo Shinko. Banyak tempat keramat agama Shinto dan kuil Budha mengabadikan mermaid ini sebagai makhluk suci.Orang datang untuk bersembahyang di tempat2 ini setiap hari.

sumber http://wahw33d.blogspot.com/2010/06/10-makhluk-aneh-hasil-temuan-dr-takeshi.htmL
http://www.freetaskatcampuss.co.cc/2010/06/10-makhluk-aneh-temuan-drtakeshi-yamada.html