Pages

Wednesday, December 30, 2015

Rakam gambar anjing laut comel


gambar menunjukkan seekor anak anjing laut berenang di Laut Bering, dekat Rusia.- AGENSI


MOSCOW, Rusia – Seorang jurugambar dasar laut di sini berjaya merakam gambar seekor anak anjing laut yang memberi gaya comel baru-baru ini.
Beberapa gambar yang dimuat naik di internet menunjukkan mamalia kecil itu takut dengan kehadiran jurugambar tersebut di dasar laut.
Biarpun masih kecil, haiwan itu mahir menyelam . Anak anjing laut itu mundar-mandir di dasar laut bersendirian tanpa ditemani ibunya.
Gambar haiwan itu yang dirakam di Laut Bering berhampiran Rusia disiarkan oleh Pertubuhan Fotografi Dunia. Gambar itu tercalon untuk merebut Anugerah Fotografi Dunia Sony 2016.
Anugerah itu merupakan sayembara tahunan yang diwujudkan sebagai platform kepada jurugambar-jurugambar amatur untuk menyiarkan karya mereka, Pertandingan itu turut menarik penyertaan jurugambar profesional.
Hadiah lumayan bernilai lebih £3,000 (RM20,000) menanti pemenang pertandingan itu.- AGENSI


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=1230&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz3vkphR4Cd 
Hakcipta terpelihara 

Tuesday, December 29, 2015

Pasangan beli rumah agam berusia lebih 300 tahun




MEMPUNYAI 94 buah bilik, rumah agam ini sedang menjalani proses pengubahsuaian sejak dua tahun lepas sebelum dibuka kepada umum. - Agensi


PERTH – Sepasang suami isteri di sini nekad membeli sebuah rumah agam yang telah mengalami kerosakan teruk dan melakukan kerja-kerja pengubahsuaian selama dua tahun.
Rumah besar itu dibeli oleh Karina dan Craig Waters yang dinamakan sebagai Chateau de Gudanes pada tahun 2013 dan terletak di selatan Perancis.
Dalam proses pengubahsuaian tersebut, mereka turut menemui beberapa penemuan mengejutkan seperti sebuah lorong bawah tanah misteri, artifak lama dan lukisan besar di bawah lapisan kertas dinding.
“Selepas selesai pengubahsuaian, rumah ini akan dibuka kepada orang ramai kerana kami bercadang untuk membuka kafe dan mengadakan program lawatan ke seluruh bahagian rumah selain menjadikannya sebagai hotel,” ujar Karina.
Rumah agam yang dibina sekitar tahun 1700-an itu mempunyai 94 buah bilik dan mengalami kerosakan yang sangat teruk dengan kebanyakan bilik tidak mempunyai siling selain tiada bekalan elektrik. – Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=1228&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm#ixzz3vhdnYa1p 
Hakcipta terpelihara 

Guna keldai bawa wanita hamil ke hospital


Keldai yang siap dipakaikan tali pinggang keselamatan.

BADAN
 kebajikan British sedang mencuba untuk memasang tali pinggang keselamatan pada keldai yang membawa wanita hamil ke hospital di negara-negara miskin.
Tali pinggang itu disesuaikan supaya wanita hamil itu mampu memanjat ‘ambulans keldai’ tersebut, lapor Mirror.com yang memetik daripada Sunday People.
Keldai masih menjadi kenderaan biasa yang membawa wanita-wanita hamil di negara-negara dunia ketiga.
Kebanyakan keluarga seperti di Afrika tidak mempunyai kereta tetapi kebanyakan penduduk kampung mempunyai akses kepada keldai atau kuda untuk ke hospital.
Penggunaan tali pinggang pada pelana ini akan dapat mengurangkan risiko wanita-wanita hamil ini jatuh.
Pelana itu dicipta oleh badan kebajikan SaddleAid di Anglesey, North Wales yang telah diuji oleh keldai di Welsh dipanggil Queenie untuk memperbaiki tahap keselamatan alat tersebut.
Ia juga telah diuji di Afghanistan dan dijangka akan digunakan untuk bakal-bakal ibu di Ethiopia, tahun depan.
Badan itu juga dilaporkan mahu melatih penduduk untuk menggunakan pelana itu yang dikatakan boleh juga digunakan di UK untuk membantu golongan kurang upaya menyertai menunggang kuda atau keldai dengan selesa
.

Miliki bakat 'ngeri' boleh pusing kepala 180 darjah


Sedutan rakaman video yang dimuatnaik oleh Sergio Tapia, kelmarin.

"OH Tuhan saya tak boleh teruskan menonton," kata seorang pelayar YouTube pada sebuah video yang dimuatnaik kelmarin.
Video tersebut menunjukkan seorang remaja yang mempunyai bakat pelik: dia mampu memusingkan kepalanya 180 darjah!
Selain memusingkan kepalanya, remaja tersebut juga menunjukkan kebolehan menari tanpa memusingkan kepalanya.
Sepanjang rakaman tersebut, seorang lelaki yang didakwa ayah kepada remaja terbabit membantu memegang kepala remaja tersebut supaya tidak bergerak.
Video tersebut yang dimuatnaik oleh Sergio Tapia sudah menarik hampir sejuta penonton.
Kebanyakan pelayar meluahkan rasa ngeri terhadap aksi-aksi yang terakam dalam video tersebut
.

Sotong gergasi muncul di pelabuhan Jepun


Sedutan video yang dirakam oleh Akinobu Kimura

TOKYO - JAPAN. Kemunculan tiba-tiba seekor sotong gergasi mengejutkan orang ramai di Toyama Bay, 25 Disember lepas.
Menurut laporan CNN, sotong tersebut didakwa berenang di bawah bot nelayan dan berada di lokasi tersebut selama beberapa jam sebelum berlalu pergi.
Seorang penyelam, Akinobu Kimura berjaya merakam gerak geri sotong tersebut selama beberapa minit.
"Sotong tersebut kelihatan sempurna, mengeluarkan dakwat dan cuba membelit saya menggunakan rungutnya," kata Akinobu.
Katanya, beliau kemudian memandu sotong tersebut ke tengah lautan dan sotong tersebut akhirnya hilang di laut dalam.
Sementara itu, penjaga akuarium Uozu, Yuki Ikushi memberitahu CNN terdapat 16 penampakan sotong gergasi pada musim menangkap ikan yang lepas.
"Kita mungkin akan nampak lagi (sotong gergasi) pada musim ini, tapi memang sangat jarang mereka berenang berdekatan bot milik nelayan," kata Yuki.
Difahamkan, sotong gergasi berkenaan berukuran kira-kira 13 meter (43 kaki) dan hanya terdapat di lautan dalam
.

Korea Selatan jadi lokasi pilihan untuk ubah wajah


Gambar-gambar sebelum dan selepas pembedahan

SEHINGGA
 kini, Korea Selatan masih menjadi destinasi utama untuk mereka yang mahu menjalani pembedahan kosmetik.
Ini termasuklah mereka yang mengalami kecederaan kekal pada wajah akibat kemalangan atau penyakit, mahu meningkatkan keyakinan diri ataupun sengaja mahu mengubah wajah tanpa alasan yang kukuh.
Foto-foto perubahan sebelum dan selepas pembedahan kosmetik yang banyak tersebar di laman sosial adalah bukti pembedahan kosmetik 'masih laku'.
Terbaru, seorang blogger berumur 28 tahun dari Singapura menjalani pembedahan kosmetik di Seoul kerana wajahnya menjadi 'longgar' selepas bersalin.
"Berat badan saya bertambah 35 kilogram selepas bersalin," kata Ang Chiew Ting kepada The New Paper.
"Di bawah dagu juga terdapat simpanan lemak yang langsung tidak mahu hilang," kata Chiew Ting yang memiliki ketinggian 1.72 meter.
Chiew Ting adalah antara penggemar pembedahan plastik dan sudah menjalani beberapa prosedur pada 2010, 2013 dan 2014
.

'Kek' najis lembu laris dijual di Internet

New Delhi: Sama seperti pengguna di seluruh dunia, rakyat India juga gemar membeli belah di Internet tetapi ada satu produk yang dilaporkan sangat laris jualannya di negara itu.
Beberapa syarikat jualan dalam talian di India memberitahu, ‘kek’ najis lembu adalah antara produk paling popular di Internet.
Najis lembu digaul dengan rumput kering sebelum dijemur dihasilkan di kawasan pedalaman dan biasanya dijadikan bahan bakar.
Sejak ratusan tahun, ‘kek’ najis lembu digunakan penduduk kampung di India untuk memanaskan rumah dan dalam upacara keagamaan.
Kini syarikat jualan dalam talian termasuk Amazon dan eBay mula menjual ‘kek’ najis lembu itu untuk penduduk di kawasan bandar.
Apa yang menarik, menurut syarikat berkenaan, sejak ‘kek’ najis lembu mula dijual di Internet beberapa bulan lalu, produk berkenaan mendapat sambutan yang luar biasa.
“Kek najis lembu disenaraikan beberapa penjual kami sejak Oktober lalu dan ia mendapat sambutan hangat pembeli,” kata jurucakap Amazon India, Madhavi Kochar. - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 Disember 2015 @ 6:09 AM


SEORANG wanita membuat ‘kek’ najis lembu di sebuah kampung di India.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/103141#sthash.oreQXThs.dpuf

Saturday, December 26, 2015

Kek usia 46 tahun masih elok ditemui


Kek yang berusia 46 tahun dan masih boleh dimakan. - Foto Metro.uk

NOTINGHAM - BRITAIN. Walaupun telah disimpan 46 tahun lalu, namun sebiji kek yang dibuat pada tahun 1969 berada dalam keadaan masih elok.
Kek berkenaan ditemui masih dalam keadaan berbalut oleh keluarga seorang wanita ketika mengemas dapur selepas kematiannya di Nottingham.
Kek itu kemudiannya diserahkan kepada Jabatan Mikrobiologi, Universiti Nottingham untuk dianalisis bagi memastikan sama ada ia masih boleh dimakan atau tidak.
Pakar mengukus kek tersebut terlebih dahulu selama lima jam untuk membunuh bakteria sebelum merasanya Profesor Christine Dodd berkata, kek berkenaan sedikit kering namun mempunyai rasa yang sedap.
"Ia dibalut secara tradisional dan kelihatan elok, rasanya sangat sedap.
"Kami berminat untuk melihat bagaimana kek berkenaan disimpan kerana ia masih elok sehingga hari ini," katanya dipetik Mirror.uk.
Kek berkenaan dibuat untuk sebuah majlis perkahwinan yang diadakan tahun 1969.
Penggunaan alkohol yang tinggi menyebabkan kek berkenaan masih elok sehingga hari ini
.

Berkahwin di tengah lautan



PONDOK di tengah Lautan Hindi ini dibina khas untuk diadakan majlis perkahwinan. - AGENSI


MALE, Maldives – Sebuah resort di sini menawarkan perkhidmatan kepada pengunjung untuk mengadakan majlis perkahwinan mereka di tengah Lautan Hindi.
Resort Empat Musim di Pulau Landaa Giraavaru, Maldives itu menyediakan penginapan di satu lokasi mewah kepada pasangan pengantin untuk mengikat tali perkahwinan berlainan daripada kebiasaan.
Resort tersebut mempunyai sebuah pondok kecil dengan pintu terbuka dan tingkap yang besar selain dihias dengan perabot dan lilin serba putih.
Terletak kira-kira 50 kilometer dari tanah besar, rumah kecil itu juga memiliki lantai kaca yang membolehkan pasangan pengantin dan tetamu melihat terus ke laut ketika menikmati suasana romantis.
Bagaimanapun, pasangan pengantin tidak berpeluang untuk mengadakan majlis perkahwinan secara besar-besaran kerana lokasi itu membenarkan 16 tetamu sahaja, namun pastinya berbaloi dengan suasana yang ada. – Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=1226&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm#ixzz3vNEk9X6a 
Hakcipta terpelihara 

Friday, December 25, 2015

Jururawat menang arang batu pertandingan kurus badan


JURUJAWAT, Yelena Salnikova (jaket biru) dari sebuah bandar kecil Berezovsky, Russia, mendapat trak yang penuh dengan arang batu daripada pihak berkuasa di Kemerovo. - Foto AP
SIBERIA: Seorang jururawat di sebuah bandar di sini mendapat hadiah paling istimewa apabila pihak berkuasa menghadiahkan trak yang penuh dengan arang batu sebagai hadiah selepas berjaya menurunkan berat badan sebanyak 30 kilogram dalam pertandingan menguruskan badan anjuran gabenor.
Gabenor Wilayah Kemerovo, Aman Tuleyev yang lebih dikenali sebagai Kuzbass mengumumkan dia akan mula membayar penduduk yang berbadan besar dengan arang batu dalam usahanya untuk melahirkan "penduduk sihat".
Selepas berbulan-bulan bermain ski, berbasikal dan roller blade, Yelena Salnikova dari bandar Berezovsky gembira apabila memerhati trak sampai di rumahnya dan menurunkan lima tan arang batu di halaman.
"Selonggok besar arang batu, ia membakar begitu panas. Tiga bekas sudah cukup untuk sehari," katanya dalam temubual televisyen.
Jururawat berusia 43 tahun itu amat gembira apabila menerima hadiah istimewa itu dan bergambar untuk tatapan media.
"Saya lihat balik jumlah pil yang bertimbun dan saya faham ia menjadi terlalu bahaya," katanya yang berjaya menurunkan berat badan dari 112 kilogram kepada 80 kilogram. - AFP

Angkat jaring, jumpa ikan marlin

Kuala Selangor: Ikan marlin biru seberat lebih 100 kilogram (kg) tersangkut pada jaring empat nelayan yang menangkap ikan di perairan Sekinchan, di sini, 1 tengah hari tadi.
Seorang daripada nelayan berkenaan, Yasir Mohammed, 52, berkata, dia bersama tiga lagi rakannya turun ke laut kira-kira 12 tengah hari untuk menangkap ikan di perairan berkenaan.
Katanya, ketika mahu memeriksa tangkapan kira-kira 1 tengah hari, mereka terkejut apabila jaring yang cuba dinaikkan berasa berat.
"Kami terkejut kerana ikan marlin seberat lebih 100kg tersangkut pada jaring.
"Ini adalah kali pertama kami menangkap ikan seberat itu sejak menjadi nelayan kira-kira 20 tahun lalu," katanya yang berhasrat untuk menjual ikan berkenaan kepada pembeli yang berminat.
Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Disember 2015 @ 4:57 PM


Ikan marlin yang tersangkut pada jaring tengah hari tadi menjadi tumpuan ramai. FOTO Suzaini Sulaiman
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/102344#sthash.RyfSKqUQ.dpuf

Al-Quran 1,370 Tahun Ditemui


Diterbitkan: Khamis, 23 Julai 2015 10:08 AM
Analisa terhadap manuskrip al-Quran ini mendapati usianya mencecah lebih 1,300 tahun.

LONDON: Manuskrip al-Quran tertua di dunia berusia 1,370 tahun yang ditemui dipercayai ditulis individu yang mengenali Nabi Muhammad SAW.
Tinggalan sejarah berharga yang dipercauyai ditulis kurang 20 tahun selepas kewafatan Rasulullah itu milik Universiti Birmingham di sini.
Analisis radiokarbon yang dilakukan di Universiti Oxford menunjukkan naskhah itu dihasilkan sekitar 568 hingga 645 Masihi dengan ketepatan 95.4 peratus.
Profesor Agama Kristian dan Islam universiti berkenaan David Thomas berkata: “Ujian itu memang penemuan mengejutkan di dalam koleksi universiti kami, malah manuskrip ini tidak mustahil dihasilkan dalam tempoh beberapa tahun pengasasan Islam.
“Nabi Muhammad menerima wahyu antara 610 hingga 632 Masihi bererti kemungkinan besar orang yang merekodkan manuskrip ini juga hidup pada masa itu, malah mungkin turut mengenalinya.
“Tulisan ini mampu menyokong pandangan bahawa teks al-Quran tidak diubah dan ditulis tidak lama selepas diwahyukan.”
Manuskrip berkenaan sebahagian daripada koleksi Mingana bagi manuskrip Asia Barat merangkumi dua kekulit serta ditulis menggunakan bentuk tulisan ‘Hijazi’ Arab lama.
Manuskrip itu akan dipamerkan di Institut Seni Halus Barbaer universiti terbabit, Oktober depan.

Helaian Asal Al-Quran Tertua Ditemui Di Universiti Birmingham


Diterbitkan: Khamis, 24 Disember 2015 11:31 PM

HELAIAN Al-Quran tertua ditemui di sebuah universiti di Britain yang dipercayai  adalah salinan asal daripada kitab suci umat Islam.

Ketua akademik Jamal bin Huwareib percaya helaian yang ditemui di Universiti Birmingham awal tahun ini merupakan salinan Al-Quran yang pertama oleh Abu Bakr, yang merupakan rakan rapat kepada Nabi Muhammad SAW.

Muka surat tersebut dipercayai berusia di antara 1,448 dan 1,371 tahun, ditemui berada di perpustakaan universiti tersebut terikat bersama helaian Al-Quran yang lain dari abad ketujuh.

Pengarah Urusan Yayasan Mohammed bin Rashid Al Makroum, Mr bin Huwareib yang tiba di Birmingham untuk pengesahan manuskrip ini berkata kepada BBC: "Ia merupakan penemuan terpenting bagi seluruh masyarakat Islam di dunia. Saya percaya ini adalah Al-Quran Abu Bakr.
"Versi, koleksi dan manuskrip ini adalah tunjang kepada ajaran Islam, Al-Quran adalah akarnya.

"Ia bakal menjadikan revolusi dalam kajian Islam".

Apartment Di Hong Kong Catat Rekod, Dijual Pada Harga AS$76.7 Juta


Diterbitkan: Jumaat, 25 Disember 2015 3:11 PM

HONG KONG: Sebuah pangsapuri mewah di Hong Kong mencatat rekod apabila ia dijual pada harga HK$594.7 juta (AS$76.7 juta) beberapa hari sebelum Krismas, menjadikan ia sebagai rumah bertingkat termahal pernah dijual di bandar itu dan mungkin di Asia, menurut laporan, Jumaat.
Seorang pembeli yang tidak dikenali telah membayar lebih dari HK$103,700 bagi setiap kaki persegi unit itu yang berkeluasan  5,732 kaki persegi (532 meter persegi) di menara pansapuri mewah 39 Conduit Road di bandar selatan China, sebuah kawasan perumahan golongan pertengahan, The Apple Daily dan The Standard melaporkan.

Unit itu yang terletak di tingkat 46 dengan pemandangan ikonik Victoria Harbour dan bumbung berkeluasan 1,754 kaki persegi telah disenaraikan pada harga HK$646.48 juta di laman web pemaju Henderson Land Properties.

Harga itu mengatasi rekod terdahulu HK$470 juta yang dibayar untuk unit mewah keseluruhan lapan tingkat di Opus Hong Kong, sebuah bangunan kediaman 12 tingkat yang direka oleh Pritzker pemenang hadiah arkitek Frank Gehry pada tahun 2012.

Henderson Land tidak dapat dihubungi untuk mendapatkan komen pada Jumaat yang merupakakan cuti umum.

Ikan separuh badan hidup normal 6 bulan


Sedutan video yang dimuatnaik oleh Matichon TV di YouTube.
BANGKOK - THAILAND. Seorang lelaki memelihara seekor ikan yang kehilangan separuh badannya di sebuah pasar dan menamakannya I-Half, enam bulan lepas.
Menurut Dailymail, Watchara Chote, 36 yang berasal dari Ratchaburi membeli ikan tersebut selepas berasa kasihan melihatnya di sebuah tangki di pasar ikan.
Menerusi sebuah video yang dimuatnaik semalam oleh Matichon TV di YouTube, ikan tersebut dilihat bernafas secara normal walaupun gagal berenang kerana kehilangan ekor dan separuh badan.
Ikan jenis Hypsibarbus Wetmorei bagaimanapun dilaporkan mati baru-baru ini.
Watchara kemudian membeli sebuah keranda kecil untuk ikan terbabit menggunakan wang derma orang ramai.

Tembok pisahkan golongan kaya, miskin


Tembok pisahkan golongan miskin, kaya

Tembok Berlin Peru dibina bagi melindungi golongan kaya di Las Casuarinas, sekali gus menghalang golongan miskin daripada memasuki kawasan tersebut. AGENSI
LIMA 24 Dis. – Pembinaan sebuah tembok sepanjang 10 kilometer di sebuah kawasan pinggir bandar raya Lima bagi membahagikan kawasan penempatan golongan kaya dengan miskin mendapat kritikan daripada pelbagai pihak.
Laman web Oddity Central melaporkan, tembok yang turut dikenali sebagai Tembok Berlin Peru itu dibina bagi melindungi golo­ngan kaya di Las Casuarinas, sekali gus menghalang golongan miskin daripada memasuki kawasan tersebut.
Kawasan penempatan golo­ngan miskin yang terletak di pinggir Vista Hermosa berada dalam keadaan daif sehinggakan ada di antara rumah penduduk tidak mempunyai peralatan kemudahan paling asas.
“Rumah kayu hanya diterangi dengan api lilin dan beratapkan kayu reput terletak hanya beberapa kilometer sahaja daripada kediaman mewah bernilai jutaan ringgit,” lapor media tempatan.
Kebanyakan penduduk Peru tidak bersetuju dengan pembinaan tembok berkenaan yang disifatkan sebagai sesuatu yang hina dan telah melancarkan kempen memuat naik video dan gambar tentang situasi yang dihadapi oleh penduduk miskin di laman sosial untuk memalukan mereka yang menyokong idea tersebut.
Bagaimanapun, penduduk yang menetap di Las Casuarinas beranggapan tembok berkenaan penting bagi melindungi mereka daripada sebarang bentuk aktiviti jenayah.
“Terdapat tembok di seluruh kawasan bandar. Saya rasa tindakan tersebut bukan suatu diskriminasi. Bagi pihak lain, mereka merasakan pembinaan tembok sebagai satu penindasan kerana kami berjauhan dengan penduduk miskin,” kata penduduk Las Casuarinas, Renzo Alberti.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/tembok-pisahkan-golongan-kaya-miskin-1.172653#sthash.VILGohDs.dpuf

Thursday, December 24, 2015

39 Bekas Rakan Sekelas Terkejut Terima iPhone 6s


Diterbitkan: Rabu, 23 Disember 2015 4:23 PM

ZHEJIANG: Ahli perniagaan di sini mengejutkan 39 bekas rakan sekelasnya apabila menghadiahkan iPhone 6s pada majlis perjumpaan yang diadakan pada hujung minggu lalu.
Lelaki itu dengan nama Zhang mengagihkan telefon bimbit berkenaan pada majlis makan malam di Ningbo, di wilayah ini.
Setiap telefon berwarna emas sekurang-kurangnya berharga RMB5,288 (RM3,517) dan ia ditempah khas dengan ukiran "Sebagai memperingati Kelas 1998 Sekolah Rendah Beilun Sanshan" pada bahagian belakang.
Media tempatan melaporkan, mereka sedang menikmati hidangan yang dihoskan Zhang apabila kotak berisi iPhone itu diletakkan di meja jamuan.
"Ambil satu setiap seorang sebagai cenderahati," kata Zhang yang berusia di awal 30an itu.
Gambar hadiah iPhone itu dimuatnaik salah seorang rakannya pada laman blogmikro Weibo.
"Dia bukannya nak menunjuk-nunjuk kekayaannya tetapi sekarang bersikap pemurah kerana dia seorang yang baik dan menghargai persahabatan kami," kata salah seorang rakan sekelasnya.
Zhang bukannya individu pertama yang menghadiahkan iPhone sebagai cenderahati kepada bekas rakan sekelasnya.
Pada 2014, taikun negara itu, Qian Fenglei memberikan 14 bekas rakan kelasnya di sekolah menengah iPhone 6s sebelum produk itu dilancarkan di China.

Gajah dapat hadiah but


Wasana mampu berjalan dengan but khas yang dipasang di kakinya. AGENSI
BANGKOK 23 Dis. – Seekor gajah di utara Thailand baru-baru ini dihadiahkan sejenis kasut but khas bagi melindungi kakinya yang hancur akibat terpijak periuk api ketika berjalan di sebuah kawasan pembalakan.
Portal Daily Mail melaporkan, gajah yang diberi nama Wasana itu diselamat Pusat Perlindungan Gajah Boon Lotts setelah dijadikan sebagai haiwan pengangkut selama hampir beberapa tahun di kawasan industri tersebut.
But buatan Australia itu ditempah khas dan dihantar ke Thailand untuk membantu Wasana kembali bergerak walaupun tidak lagi mampu menjalankan aktiviti mengangkut kayu seperti biasa.
“Wasana kehilangan satu kaki­nya selepas terpijak periuk api ketika menjalankan kerjanya. Justeru, pakar di kawasan perlindungan ini memasang sejenis but khas kepada haiwan malang itu.
“Gajah itu kini mampu berjalan tanpa rasa sakit dan but tersebut direka khas untuk melindungi kakinya daripada kerosakan yang lebih teruk serta jangkitan lain,” lapor Daily Mail.
Tempat perlindungan yang ditubuhkan pada tahun 2005 itu terletak di Sukhothai, utara Thailand dan menyediakan tempat tinggal kepada lapan ekor gajah termasuk Wasana.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/gajah-dapat-hadiah-but-1.172175#sthash.LQBejAMP.dpuf

Wanita lahirkan anak ketika tidur

Jody Robson tidur lena walaupun keadaan bising di sekitarnya.

Jody Robson tidur lena walaupun keadaan bising di sekitarnya. AGENSI
BIRMINGHAM 23 Dis. – Seorang wanita dari Birmingham dilapor melahirkan anak sulungnya ketika tidur disebabkan masalah gangguan tidur luar biasa yang dihida­pinya sejak kecil.
Menurut portal mirror.co.uk, sindrom aneh itu menyebabkan Jody Robson, 24, langsung tidak mengingati detik kelahiran anak sulungnya beberapa tahun lalu selepas tertidur dan hanya mengetahui perkara itu setelah diberitahu oleh suaminya 11 hari kemudian.
Selain tertidur selepas melahirkan anaknya, Robson turut terlepas pelbagai lagi perkara bermakna di dalam hidupnya kerana masalah yang dihadapi itu.
“Saya hanya akan terjaga dua atau tiga minggu selepas menutup mata. Saya pernah terlepas waktu cuti dan hari jadi kakak saya yang ke-18 kerana masalah ini.
“Namun, amat mengecewakan apabila saya langsung tidak mengingati detik-detik melahirkan anak sulung saya, Harley yang sepatutnya menjadi waktu paling berharga. Saya fikir itu episod pa­ling menyakitkan yang pernah saya alami,” katanya.
Robson dipercayai menghidap sindrom Kleine Levin iaitu sejenis gangguan neurologi yang jarang berlaku, menyebabkan pesakit tidak dapat bangun daripada tidur sehingga berminggu-minggu.
Masalah tersebut juga menyebabkan ibu kepada dua anak itu terpaksa mengambil masa beberapa minggu untuk kembali sedar dan mengingati semula siapa diri serta keluarganya akibat lena yang panjang.
“Apabila saya bangun daripada tidur, segala-galanya seperti mimpi. Apabila orang bercakap, tiada apa yang masuk ke dalam fikiran saya, jadi saya hanya melihat mereka dengan wajah yang pelik.
“Episod tidur yang panjang itu tidak begitu menakutkan, tetapi apa yang lebih membimbangkan ialah pemulihan selepas itu. Risau jika tidak mampu kembali normal lagi dan hari-hari saya berlalu begitu sahaja,” katanya.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/wanita-lahirkan-anak-ketika-tidur-1.172203#sthash.HRdudWVX.dpuf

Al-Quran tertua berasal dari Mesir


Disahkan menerusi manuskrip yang sepadan di Perancis
24 Disember 2015 1:00 AM




PARIS 23 Dis. - Manuskrip al-Quran di Universiti Birmingham, England yang dipercayai naskhah tulisan tangan ayat suci umat Islam tertua dunia, dikenal pasti berasal dari sebuah masjid tertua di Mesir.
Agensi berita BBC melaporkan, manuskrip yang berusia sekurang-kurang 1,370 tahun itu pernah disimpan di Masjid Amr ibn al-As di Fustat, Mesir.
Pakar Sejarah al-Quran Kolej de France, Profesor Francois Deroche berkata, lokasi asal itu dikenal pasti kerana salinan tersebut sepadan dengan manuskrip yang terdapat di Perpustakaan Kebangsaan Perancis, Bibliotheque Nationale de France.
Perkara tersebut turut dipersetujui oleh seorang pengkaji, Alba Fedel yang merupakan individu pertama meneliti keaslian dan kesahihan manuskrip yang dijumpai di Universiti Birmingham terbabit.
Manuskrip al-Quran yang berada di Perancis dibawa ke Eropah oleh Asselin de Cherville, yang ber­khidmat sebagai naib konsul di Mesir ketika negara tersebut berada di bawah penguasaan tentera Napoleon Bonaparte pada awal kurun ke-19.
Deroche berkata, bekas isteri De Cherville pernah cuba untuk menjual manuskrip tersebut serta beberapa manuskrip kuno Islam yang lain kepada Perpustakaan Britain sekitar tahun 1820-an.
Jelasnya, manuskrip al-Quran abad ke-19 itu kemudian dihantar ke Perpustakaan Kebangsaan Kaherah dari Masjid Amr ibn al-As di Fustat, dan ketika dalam perjalanan, beberapa helaian manuskrip telah hilang atau dijual di pasar barangan antik.
Sehinggalah pada sekitar tahun 1920-an, seorang lelaki Iraq, Alphonse Mingana yang merupakan seorang peneroka yang dibiayai oleh keluarga Cadbury membeli manuskrip tersebut dan membawanya ke Birmingham.
“Sudah tentu tiada sebarang kesan rasmi tentang penjelajahan tersebut, namun perkara itu sedikit sebanyak menjelaskan kepada kita tentang bagaimana Mingana membawa barangan bernilai dari Fustat,” ujar Deroche.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/al-quran-tertua-berasal-dari-mesir-1.172210#sthash.uEAic2jS.dpuf