Menurut portal mirror.co.uk, sindrom aneh itu menyebabkan Jody Robson, 24, langsung tidak mengingati detik kelahiran anak sulungnya beberapa tahun lalu selepas tertidur dan hanya mengetahui perkara itu setelah diberitahu oleh suaminya 11 hari kemudian.
Selain tertidur selepas melahirkan anaknya, Robson turut terlepas pelbagai lagi perkara bermakna di dalam hidupnya kerana masalah yang dihadapi itu.
“Saya hanya akan terjaga dua atau tiga minggu selepas menutup mata. Saya pernah terlepas waktu cuti dan hari jadi kakak saya yang ke-18 kerana masalah ini.
“Namun, amat mengecewakan apabila saya langsung tidak mengingati detik-detik melahirkan anak sulung saya, Harley yang sepatutnya menjadi waktu paling berharga. Saya fikir itu episod pa­ling menyakitkan yang pernah saya alami,” katanya.
Robson dipercayai menghidap sindrom Kleine Levin iaitu sejenis gangguan neurologi yang jarang berlaku, menyebabkan pesakit tidak dapat bangun daripada tidur sehingga berminggu-minggu.
Masalah tersebut juga menyebabkan ibu kepada dua anak itu terpaksa mengambil masa beberapa minggu untuk kembali sedar dan mengingati semula siapa diri serta keluarganya akibat lena yang panjang.
“Apabila saya bangun daripada tidur, segala-galanya seperti mimpi. Apabila orang bercakap, tiada apa yang masuk ke dalam fikiran saya, jadi saya hanya melihat mereka dengan wajah yang pelik.
“Episod tidur yang panjang itu tidak begitu menakutkan, tetapi apa yang lebih membimbangkan ialah pemulihan selepas itu. Risau jika tidak mampu kembali normal lagi dan hari-hari saya berlalu begitu sahaja,” katanya.