Pages

Saturday, May 5, 2012

Guru cair pujukan rakan facebook rugi RM75,900

myMetro | Guru cair pujukan rakan facebook rugi RM75,900:

KOTA BHARU: Akibat termakan pujuk rayu seorang wanita mendakwa dari United Kingdom (UK) yang dikenali melalui laman sosial, facebook, seorang guru kerugian RM75,900 selepas menyerahkan wang berkenaan kepada suspek konon untuk urusan pembelian produk hormon tumbesaran haiwan.
Difahamkan, mangsa berusia 30 tahun berkenalan dengan wanita itu sejak awal tahun ini sebelum ditawarkan produk berkenaan yang kononnya lebih murah dan boleh memberikan keuntungan berganda jika dijual semula.

Mangsa menyerahkan wang dalam tempoh tiga hari dengan memasukkan wang pendahuluan dalam akaun bank milik individu tidak dikenali.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Kelantan, Superintendan Mohamed Zulmazi Che Daud berkata, mangsa membuat pembayaran pendahuluan RM45,900 pada jam 2.56 petang, 26 April lalu, di sebuah bank di Kota Bharu.

Menurutnya, pada 27 dan 28 April pula, mangsa membuat pembayaran RM30,000 menerusi akaun sama.

“Mangsa menghubungi suspek untuk berjumpa dan suspek mendakwa berada di Kuala Lumpur pada 28 April lalu untuk urusan pembelian produk itu.
“Mangsa diarah berjumpa suspek di sebuah hotel di Kuala Lumpur pada jam 9 malam, 30 April lalu, namun sebaik tiba, suspek tidak muncul sebelum mangsa menyedari ditipu selepas mendapati wanita itu tidak menginap di hotel berkenaan,” katanya.

Katanya, mangsa membuat laporan di Balai Polis Kota Bharu, Rabu lalu.

20 mangsa bom Taliban

myMetro | 20 mangsa bom Taliban: "KHAR (Pakistan): Seorang pengebom berani mati berusia belasan tahun meletupkan dirinya di bandar ini, menyebabkan sekurang-kurangnya 20 orang terbunuh dan puluhan lagi cedera.

Kumpulan Taliban mengaku bertanggungjawab terhadap serangan berkenaan dan berkata, ia mensasarkan ketua polis tempatan dan timbalannya.
Pegawai perisik berkata, pengebom berkenaan berusia antara 14 hingga 16 tahun. - AFP"

'via Blog this'

Russia ancam serang sistem antipeluru berpandu Nato

myMetro | Russia ancam serang sistem antipeluru berpandu Nato: "MOSCOW; Ketua Turus Tentera Russia semalam berkata, negaranya mungkin melancarkan serangan awal terhadap kemudahan pertahanan peluru berpandu Nato di Eropah bagi melindungi keselamatannya.

Kenyataan Jeneral Nikolai Makarov itu menyerlahkan bantahan Russia terhadap sistem antipeluru berpandu yang mahu dibina oleh Amerika Syarikat dan Nato di Poland dan Romania, kononnya untuk melindungi Eropah daripada serangan Iran.

Makarov, dalam satu persidangan yang turut dihadiri pegawai Amerika Syarikat dan Nato, mengulangi ancaman untuk menempatkan lebih banyak peluru berpandu di selatan dan barat laut Russia sebagai persediaan melancarkan serangan terhadap kemudahan pertahanan di Eropah itu.

Moscow percaya sistem pertahanan peluru berpandu itu akan melemahkan keupayaan senjata nuklearnya, bukan semata-mata untuk menangani peluru berpandu Iran. - AFP"

'via Blog this'

Tentera Mesir ulangi ikrar serah kuasa

myMetro | Tentera Mesir ulangi ikrar serah kuasa: "KAHERAH: Pemimpin tentera yang memerintah Mesir semalam mengulangi ikrar untuk menyerahkan kuasa kepada kerajaan awam dalam masa dua bulan lagi.

Ikrar berkenaan dibuat sehari selepas pertempuran menyebabkan 11 orang terbunuh, berpunca daripada ketegangan politik.


Kejadian itu, secara tidak langsung mencetuskan tuduhan bahawa tentera cuba menimbulkan huru-hara bagi membolehkannya terus berkuasa.

Pada masa sama, Majlis Pemerintahan Tentera memberi amaran kepada penunjuk perasaan antikerajaan bahawa kekerasan akan digunakan jika mereka menghampiri bangunan Kementerian Pertahanan.


Pertempuran kelmarin berlaku apabila penyokong tentera menyerang kumpulan penyokong parti Islam yang mengadakan tunjuk perasaan di luar Kementerian Pertahanan untuk mendesak tentera mengakhiri pemerintahan mereka.


“Pihak tentera dan Majlis Tertinggi komited untuk menyerahkan kuasa pada 30 Jun. Kami tidak ingin untuk terus berkuasa,” kata Mejar Jeneral Mohammed al-Assar pada sidang akhbar. - AFP"

'via Blog this'

Kubu Fordow tetap operasi

myMetro | Kubu Fordow tetap operasi:

VIENNA: Iran semalam berkata, ia tidak akan menggantung program pengayaan uraniumnya dan tidak akan menutup kubu nuklear bawah tanah di Fordow.
Kenyataan Iran itus secara tidak langsung menunjukkan ia sudah menggariskan had untuk rundingan dengan kuasa besar dunia pada hujung bulan ini.

Bulan lalu, seorang pegawai kanan Amerika Syarikat berkata, negara itu dan sekutunya akan mendesak Iran menghentikan aktiviti pengayaan uranium gred tinggi serta menutup kemudahan nuklear di Fordow pada rundingan itu kelak.
Bagaimanapun, duta Iran ke Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA), Ali Asghar Soltanieh memberitahu Reuters, dia tidak melihat kewajaran untuk menutup Fordow yang menurutnya, diletakkan di bawah pemerhatian IAEA.

“Apabila anda mempunyai tempat selamat di bawah kawalan IAEA, mengapa anda memberitahu saya supaya menutupnya?” kata Ali, menjelaskan lagi hasrat Iran yang membina kawasan itu untuk melindungi program nuklearnya daripada menjadi sasaran serangan Amerika Syarikat dan Israel.

“Fordow ialah tempat selamat. Kami menghabiskan sejumlah besar wang dan masa untuk memiliki sebuah tempat selamat,” kata duta berkenaan.
Iran dan kuasa besar dunia menyambung semula perbincangan mengenai program nuklearnya pertengahan April lalu di Istanbul, selepas tertangguh selama lebih setahun. Ia dilihat sebagai peluang untuk meredakan ketegangan dan mengelak ancaman tercetusnya Perang Asia Barat yang baru.

Mereka dijadual berunding lagi pada 23 Mei di Baghdad. Barat menuduh program nuklear Iran bertujuan menghasilkan bom atom dan mahu Teheran memberi jaminan bahawa ia tidak merancang sedemikian. Ini boleh dilakukan dengan membenarkan lebih banyak pemeriksaan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan mengehadkan kapasiti pengayaan uraniumnya.
Iran menolak tuduhan itu, sebaliknya berkata, program nuklearnya bertujuan untuk keamanan.

“Satu perkara yang jelas: aktiviti pengayaan uranium tidak akan digantung,” kata Ali. - Reuters

Imelda Marcos anggota Parlimen kedua terkaya di Filipina

myMetro | Imelda Marcos anggota Parlimen kedua terkaya di Filipina:


MANILA: Imelda Marcos mengisytiharkan pendapatan bersihnya sebanyak AS$22 juta (RM67 juta) yang tercatat dalam rekod Parlimen dan dia masih lagi cuba berusaha agar kerajaan melepaskan hartanya sejak dua dekad rejim diktator suaminya digulingkan.
Balu diktator Ferdinand Marcos mengisytiharkan kekayaan sebanyak 932.8 juta peso (RM67 juta) pada 2011 dalam rekod yang dikeluarkan kelmarin, menunjukkan beliau adalah ahli politik kedua terkaya di Filipina, di belakang wira peninju dan ahli Kongres, Manny Pacquiao.

Jumlah yang diisytihar oleh Marcos, 82, adalah 50 peratus lebih tinggi dari 2010, termasuk aset terbaru yang diserahkan oleh kroni diktator itu. Pemberontakan besar-besaran menggulingkan kuasa diktator itu pada 1986 menyebabkan ahli keluarganya melarikan diri ke luar negara.
Sejak itu Manila berusaha mendapatkan semula harta kekayaan yang dikatakan dikumpul melalui rasuah oleh keluarga Marcos dan kroninya sepanjang 20 tahun dia memerintah. Diktator yang digulingkan itu mati dalam buangan pada 1989 dan ahli keluarganya dibenarkan pulang ke Filipina.

Pada 2010, balunya dilantik sebagai ahli Kongres.

Sebelum dilantik, Marcos mengadu dia hampir muflis, walaupun tinggal di kondominium mewah dan sering memakai banyak perhiasan ketika muncul di khalayak ramai. - Manila Times

Harta Zuckerberg dijangka berjumlah RM54 bilion

myMetro | Harta Zuckerberg dijangka berjumlah RM54 bilion:


SAN FRANCISCO: Mark Zuckerberg akan menjadi antara orang paling kaya di dunia dengan harta berjumlah RM54 bilion apabila saham Facebook diapungkan di pasaran saham 18 Mei ini.
Pengasas laman sosial berusia 27 tahun itu akan bernilai lebih tinggi berbanding pesaing teknologi lain, termasuk Ketua Pegawai Eksekutif Microsoft, Steve Balmer yang berusia 56 tahun, dua kali ganda usia Zuckerberg, menurut dokumen yang difailkan oleh Facebook pada pihak berkuasa kewangan Amerika Syarikat.

Beliau juga akan lebih kaya daripada Michael Dell, 47, dan bilionair keluli Russia, Vladimir Lisin, 55.
Zuckerberg yang akan memegang jawatan CEO juga akan mengekalkan kira-kira 58 peratus kuasa mengundi syarikat.

Saham Facebook ditetapkan antara RM84 hingga RM105 untuk diapungkan membolehkan syarikat itu dinilaikan pada RM238 bilion, pengapungan tertinggi dalam sejarah Silicon Valley.

Pelabur dijangka berebut untuk mendapatkan saham itu, walaupun sebahagian mereka menyuarakan kebimbangan mengenai pertumbuhan jangka panjang rangkaian sosial berkenaan Sambutan terhadap saham Facebook dijangka tinggi bukan setakat kerana jumlah wang yang akan dihasilkan tetapi ia sendiri adalah amat popular.
Rangkaian sosial online itu mempunyai 900 juta pengguna di seluruh dunia. - DM

Buaya 4.4 meterditangkap di Australia

Kosmo! Online - Dunia:



GAMBAR yang disiarkan semalam menunjukkan buaya sepanjang 4.4 meter yang ditangkap di Sungai Daly, selatan Darwin.


SYDNEY, Australia - Seekor buaya air masin sepanjang 4.4 meter yang membaham sembilan ekor anjing peliharaan ditangkap di sebatang sungai di utara Australia, menurut satu laporan semalam.
Laporan akhbar Northern Territory Newsmenyatakan, buaya ganas itu ditangkap di penempatan penduduk Sungai Daly, sekitar 225 kilometer ke selatan bandar raya Darwin selepas reptilia itu menakutkan penduduk setempat.
Seorang pegawai polis, Mark Casey memberitahu, pejabatnya menerima sembilan aduan tentang anjing peliharaan penduduk dibaham haiwan itu dalam tempoh sebulan.
"Buaya adalah bahaya yang menanti kerana anda menyangka ia batang kayu terapung di permukaan sungai," kata Casey.
Menurutnya, selain haiwan itu, terdapat dua lagi buaya besar dan seekor buaya kecil yang masih berkeliaran di kawasan berkenaan.
Buaya air masin yang boleh membesar hingga sepanjang 7 meter dan mencapai berat satu tan, kerap ditemui di bahagian utara Australia.
Sebanyak dua orang mati akibat serangan haiwan itu di Australia pada setiap tahun. - AFP

Surat Osama didedahkan

Kosmo! Online - Dunia:





SURAT Osama yang didedahkan Pusat Memerangi Keganasan Tentera Amerika Syarikat kelmarin.



WASHINGTON - Bekas ketua Al-Qaeda, Osama bin Laden pernah menyuarakan kebimbangan tentang kelunturan kepercayaan dunia Islam terhadap rangkaiannya dalam beberapa pucuk surat yang ditulis semasa dia bersembunyi di sebuah banglo di bandar Abbotabad, Pakistan.
Dalam surat berkenaan, beliau turut khuatir berhubung organisasi pengganas berkenaan yang semakin tidak tersusun.
Sebilangan dokumen berkenaan yang dirampas dalam serbuan pasukan komando AS, Navy Seal ke kediaman Osama di Abbottabad, disiarkan di Internet kelmarin oleh Pusat Memerangi Keganasan Tentera AS.
"Saya merancang untuk mengeluarkan satu kenyataan bahawa kita (Al-Qaeda) akan memulakan fasa baharu bagi membetulkan kesilapan yang kita lakukan," kata Osama dalam sepucuk surat berkenaan pada 2010.
"Dengan berbuat demikian, kita akan memperoleh kembali kepercayaan sebahagian besar mereka yang telah hilang keyakinan terhadap perjuangan kita," tambahnya.
Dokumen berkenaan turut menyuarakan kekesalan Osama ekoran tindakan anggota-anggota Al-Qaeda yang membunuh terlalu ramai orang Islam.
Namun, sehingga ke akhir hayatnya, Osama tetap memberikan tumpuan untuk menyerang rakyat AS dan berkomplot membunuh barisan pemimpin tertinggi negara kuasa besar berkenaan termasuk Jeneral David Petraeus, Naib Presiden Joe Bidden dan tidak terkecuali, Presiden AS, Barack Obama.
Ketua Al-Qaeda itu terbunuh dalam serangan komando AS ke kediaman persembunyiannya di Abbottabad pada 2 Mei 2011 ketika berusia 54 tahun. - Agensi

Friday, May 4, 2012

Arab Saudi ulangi amaran

myMetro | Arab Saudi ulangi amaran: "RIYADH: Arab Saudi sekali lagi berkata, ia tidak akan bertolak ansur mengenai ancaman terhadap kedaulatan negara Teluk Arab.

Ia amaran terbaru kepada Iran selepas Presiden Mahmoud Ahmadinejad melawat sebuah pulau yang dituntut oleh Teheran dan juga Emiriah Arab Bersatu.


Amaran itu, yang ketiga sejak beberapa minggu lalu oleh anggota Majlis Kerjasama Teluk (GCC), dibuat ketika kebimbangan semakin meningkat di rantau berkenaan, berkait dengan Iran.

“Sebarang ancaman yang berlaku di mana-mana negara jiran kami, adalah ancaman terhadap kami juga,” kata Putera Mahkota Saudi, Naye al-Saud, pada mesyuarat GCC di Riyadh. Beliau mengecam peranan Iran yang mencetuskan kekacauan pengikut Syiah di Bahrain dan pendudukan negara itu di Pulau Abu Musa yang dianggap sebagai penjajahan. - Reuters"

'via Blog this'

Tahanan mogok lapar meningkat

myMetro | Tahanan mogok lapar meningkat: "BAITULMAQDIS: Jumlah warga Palestin di penjara Israel yang mengambil bahagian dalam mogok lapar besar-besaran kini meningkat kepada 1,550 orang.

Menurut jurucakap Perkhidmatan Penjara Israel, Sivan Weizman, jumlah itu bertambah selepas 100 lagi tahanan Palestin menyertai mogok berkenaan dua hari lalu.
Jumlah itu adalah lebih sepertiga daripada 4,700 warga Palestin yang ditahan di penjara Israel.

Persatuan Doktor Untuk Hak Asasi berkata, dua tahanan, Bilal Diab dan Thaer Halahla yang mogok sejak 64 hari lalu, kini berdepan dengan maut. - AFP"

'via Blog this'

Israel paling bahaya: Iran

myMetro | Israel paling bahaya: Iran:


VIENNA: Seorang pegawai kanan Iran berkata semalam, senjata nuklear Israel yang tidak diisytiharkan menjadi ancaman paling besar terhadap keamanan Asia Barat.
Timbalan Menteri Luar, Mohammad Mahdi Akhondzadeh, ketika berucap pada mesyuarat Mengehadkan Senjata yang dihadiri 189 negara, juga menyelar ‘beberapa negara yang bersenjata nuklear’ dan sudah memeterai Perjanjian Mengehadkan Senjata (NPT) bahawa simpanan senjata mereka dan permodenannya adalah ancaman paling serius terhadap kehidupan manusia.

Beliau menuduh mereka tidak mencapai keberkesanan dan kemajuan sistematik dalam melaksanakan tanggungjawab melucutkan senjata nuklear menerusi komitmen kepada Perjanjian Mengehadkan Senjata.
“Beberapa negara tertentu tidak menunjukkan keikhlasan dan semangat politik, sebaliknya bersikap hipkorit berhubung dengan tanggungjawab mereka terhadap perlucutan senjata nuklear,” kata Timbalan Menteri Luar Iran itu. Kenyataannya dilihat sebagai usaha untuk mengalihkan kebimbangan antarabangsa bahawa Iran berhasrat menghasilkan senjata menerusi aktiviti nuklearnya.

Walaupun beliau tidak menyebut nama negara itu, penggunaan kata ‘beberapa’ membayangkan beliau bercakap mengenai Amerika Syarikat, Britain dan Perancis.

Iran mengambil tindakan berhati-hati untuk tidak mencetuskan kemarahan Russia dan China, dua lagi negara yang mempunyai senjata nuklear dan menandatangani NPT serta menentang sekatan yang dikenakan terhadap Iran oleh Washington dan sekutu Baratnya.
Amerika Syarikat dan sekutunya melihat Iran sebagai ancaman nuklear di Asia Barat kerana keengganannya menghentikan kerja pengayaan uranium dan aktiviti lain yang boleh digunakan untuk menghasilkan senjata.

Tetapi Iran dan negara Arab berkata, senjata nuklear Israel yang tidak diisytihar menjadi ancaman paling utama. - AFP

Obama dingin dengan kekasih

myMetro | Obama dingin dengan kekasih:


PADA zaman muda, Obama gemar menghabiskan hujung minggu dengan menikmati kopi sambil menyelesaikan silang kata dalam akhbar New York Times bersama kekasihnya.
PADA zaman muda, Obama gemar menghabiskan hujung minggu dengan menikmati kopi sambil menyelesaikan silang kata dalam akhbar New York Times bersama kekasihnya.
GENEVIEVE mengesyaki Obama pernah melalui pengalaman pahit sehingga menyebabkan dia menjadi pendiam.
GENEVIEVE mengesyaki Obama pernah melalui pengalaman pahit sehingga menyebabkan dia menjadi pendiam.
WASHINGTON: Diari rahsia seorang wanita Australia yang pernah menjadi teman wanita Barack Obama menunjukkan sikap Presiden Amerika Syarikat itu terhadap cinta ketika zaman mudanya.
Kandungan diari itu turut membayangkan sifat pendiam dan tenang Obama.

Hubungan romantis Obama dengan Genevieve Cook itu berlangsung pada 1980-an, ketika mereka berusia dalam lingkungan 20-an.
Sedutan kandungan catatan peribadi Genevieve itu disiarkan majalah Vanity Fair berdasarkan buku Barack Obama: The Story ditulis David Maraniss.

Anak seorang diplomat Australia, Genevieve mengenang bagaimana Obama menghabiskan masa hujung minggunya dengan bersantai sambil meminum kopi dan menyelesaikan silang kata dalam akhbar New York Time.

Dalam buku berkenaan, Maraniss memetik kata-kata Genevieve yang menceritakan bagaimana Obama melakukan aktiviti itu tanpa berbaju dan hanya mengenakan sarung biru putih.
Buku itu turut memuatkan catatan Genevieve mengenai perkembangan hubungan romantiknya dengan Obama kemudian menjadi dingin apabila mereka tinggal bersama.

“Kehangatan seksual memang ada, tapi selebihnya agak menekan dan saya dapati segala-galanya tidak beres.
“Saya dapati hati saya mahu keluar daripada semua itu,” katanya.

Catatan Genevieve turut menunjukkan Obama cuba memujuk dirinya supaya menerima keadaan dirinya yang lahir dalam keluarga berbeza budaya dan bangsa.

Ibu Obama adalah warga AS berkulit putih, manakala bapanya berkulit hitam berasal dari Kenya dan mereka menghabiskan sebahagian hidupnya di Indonesia.

Dia juga berdepan dengan pelbagai cabaran sebelum namanya melonjak sebagai seorang ahli politik tertinggi di AS dua dekad kemudian. Kata Genevieve, kemesraan Obama mengelirukan.

“Dia bermulut manis, terbuka dan mempercayai, tetapi di situ juga ada yang dingin,” katanya.

Pada 1984, Genevieve menulis di diarinya: “Obama masih menghantui saya, tapi terlalu banyak yang berlaku dan tak terjangkau. Dijaga, dikawal.” Setahun kemudian, selepas hubungan mereka berakhir, Genevieve mengimbau semula kenangan bersama Obama dalam diarinya.

Kata Genevieve, dia yakin Obama menyembunyikan emosi yang dicarinya dalam diri pemuda itu.

“Saya tertanya-tanya jika sikap pendiam Obama bukan saja sifat semula jadinya, tetapi akibat calar emosi yang menyebabkannya sukar menjalin hubungan walaupun selepas dia melepasi pengalaman berkenaan,” katanya.

Genevieve bertemu Obama dalam sebuah parti Krismas di New York pada 1983.

- AFP

Mangsa culik ditemui di R&R

Berita Harian Online | Mangsa culik ditemui di R&R:

pix_gal0
KUALA LUMPUR: Pelajar Sekolah Antarabangsa Mont Kiara, Nayati Shamelin Moodliar, 12, yang dilaporkan diculik ketika berjalan kaki ke sekolahnya sejak seminggu lalu dibebaskan pagi semalam, kira-kira 19 jam selepas ibu bapanya membayar sejumlah wang tebusan kepada kumpulan penculiknya.

Dalam kejadian jam 7.55 pagi itu, kanak-kanak terbabit ditinggalkan bersama telefon bimbit milik seorang suspek kes penculikannya di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Sungai Buloh sebelum mangsa menghubungi ibu bapanya memaklumkan pembebasannya dan meminta mengambilnya di tempat kejadian.
Bertindak atas maklumat itu, ibu bapa mangsa, Sham Moodliar, 41, dan Janice Smith, 40, kedua-duanya warga Belanda, bergegas ke lokasi dan menemui anak lelaki mereka dalam keadaan selamat tetapi keletihan, selain ketakutan sebelum memaklumkan polis mengenai penemuannya.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohmad Salleh ketika mengesahkan pembebasan mangsa, berkata kanak-kanak itu ditemui sendiri oleh keluarganya di hentian berkenaan tanpa sebarang kesan kecederaan kecuali mengalami trauma berikutan kejadian menimpanya sejak seminggu lalu.

“Mangsa diambil sendiri oleh ibu bapanya selepas dihubungi anak mereka. Ada kemungkinan mangsa ditinggalkan di situ ketika kumpulan penculiknya dalam perjalanan melarikan diri. Kita mengesahkan memang ada wang tebusan ibu bapa mangsa yang mendorong kepada pembebasannya pagi ini.

“Berdasarkan maklumat yang diterima, ibu bapa mangsa membayar wang tebusan itu di satu lokasi di Cheras kira-kira jam 12 tengah hari semalam selepas mengadakan beberapa siri rundingan dengan kumpulan penculik. 

“Bagaimanapun, saya tidak boleh mendedahkan berapa jumlah wang tebusan yang dibayar, namun jumlahnya ‘boleh tahan’,” katanya kepada pemberita, di sini semalam. 
Dalam kejadian 27 April lalu, Nayati yang lengkap berpakaian sekolah diculik dua lelaki tidak dikenali menaiki PROTON Gen-2 disyaki kereta curi, ketika sedang berjalan kaki di persimpangan Jalan Kiara - Jalan Kiara 1 untuk ke sekolah kira-kira jam 7.35 pagi, malah tempat kejadian hanya 700 meter dari rumah keluarganya di Kondominium 10 Mont Kiara.

Ibu bapanya kemudian membuat laporan di Balai Polis Mont Kiara selepas dimaklumkan mengenai kehilangannya oleh pihak pengurusan sekolah pada jam 7.45 pagi sebelum polis mengklasifikasikan kejadian itu sebagai kes penculikan dan disiasat mengikut Seksyen 3 Akta Penculikan.

Mohmad ketika mengulas lanjut, berkata pihaknya tidak terbabit langsung dalam keputusan pembayaran wang tebusan itu, sebaliknya dilakukan keluarga mangsa sendiri yang risaukan keselamatan anak mereka.

“Polis sedang menjalankan siasatan kes ini mengikut Seksyen 3 Akta Penculikan yang membawa hukuman mati jika sabit kesalahan. Kita juga sedang giat mengesan dan memburu kedua-dua suspek. 

“Polis akan mengambil keterangan kanak-kanak itu secepat mungkin bagi membantu siasatan,” katanya.

Ditanya mengenai kemungkinan kes berkenaan turut membabitkan ahli keluarga mangsa seperti dilaporkan sebelum, beliau memaklumkan perkara itu masih dalam siasatan.

Sementara itu, Janice ketika dihubungi semalam menyatakan rasa syukur di atas penemuan anak lelakinya, malah turut merakamkan penghargaan kepada rakyat negara ini, terutama Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang bertindak pantas dalam usaha mengesan kanak-kanak berkenaan.

“Syukur, Nayati selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan. Bagaimanapun, dia sedikit trauma dengan kejadian itu dan sedang berehat. 

“Kepada Kerajaan Malaysia, khususnya PDRM, terima kasih kerana memberikan keutamaan kepada keselamatan anak kami, termasuk merancang rapi setiap tindakan yang diambil dalam menyelesaikan kes itu tanpa membahayakan nyawa Nayati.

“Kami akan mengadakan sidang media esok (hari ini), anda (wartawan) boleh bertanyakan lebih lanjut mengenai kejadian ini. Kami berharap pihak media memahami situasi kami sekeluarga,” katanya sambil menyatakan hasrat mereka untuk terus menetap di negara ini walaupun masih trauma dengan kejadian berlaku.

Ulama Indonesia khuatir Syiah


JAKARTA: Ulama Jawa Barat yang bernaung di bawah kepemimpinan Majlis Ulama Indonesia dan Forum Jemaah memberi amaran kepada orang ramai supaya tidak terpengaruh dengan ajaran Syiah.

Amaran itu dikeluarkan berikutan perbezaan mazhab antara Syiah dan Sunnah yang lebih berpengaruh di Indonesia.
“Ada sekurang-kurangnya tiga masalah dalam Syiah. Pertama, mereka menganggap al-Quran diubah suai. Kedua, hanya ulama Syiah ada kuasa utama mentafsir hadis.
“Ketiga, Syiah membenarkan kahwin kontrak mengikut kepentingan sendiri. Ia boleh digunakan hingga menyebabkan pelacuran seolah-olah dibolehkan,” kata ketua forum berkenaan, Athian Ali, kepada Jakarta Post, kelmarin.

Pemimpin Majlis Ulama Indonesia cawangan Jawa Barat, Rafani Akhyar, mengesahkan mereka perlu berwaspada penyebaran Syiah kerana ia membawa pengaruh negatif kepada umat Islam Indonesia.

“Kita perlu berhati-hati dengan agenda politik Syiah kerana ia boleh membahayakan idea Negara Kesatuan Republik Indonesia (NKRI),” katanya.

Berdasarkan perspektif Syiah, ulama yang memegang kuasa penuh mentadbir negara, bukan kerajaan. Sementara itu, di Sampang, Madura, sesi keterangan membabitkan ulama Syiah, Tajul Muluk, masih berterusan.
Tajul dihadapkan ke mahkamah kerana polis menganggap kepercayaan agamanya mendorong umat Islam mengambil langkah ganas.

Sementara itu, sarjana Syiah Indonesia, Jalalluddin Rahmat, pula berpendapat tuntutan mengelak daripada terpengaruh dengan ajaran mazhab berkenaan bertentangan Perlembagaan yang menjamin kebebasan beragama.

Keputusan yang dikeluarkan pelbagai persidangan antarabangsa mengenai Sunnah dan Syiah, termasuk deklarasi Makkah, deklarasi Amman dan deklarasi Bogor, juga menjamin kebebasan kedua-dua mazhab itu, katanya.

Pegawai Suruhanjaya Kebangsaan bagi Hak Asasi Manusia (KOMNAS HAM), Hesti Armiwulan, pula berkata ketika suruhanjaya itu tidak terbabit perbezaan ideologi atau agama, ia melihat pihak yang mencabar Syiah mungkin mencabul kebebasan beragama yang dilindungi undang-undang. – Agensi

Tahanan Palestin mogok lapar

Berita Harian Online | Tahanan Palestin mogok lapar:

BAITULMAQDIS: Seramai 1,550 rakyat Palestin di penjara Israel menyertai mogok lapar besar-besaran dan dua daripada mereka sudah berlapar selama 64 hari, kata pegawai penjara Israel. 

Jurucakap penjara, Sivan Wiezman memberitahu, 100 banduan lain mula bertindak enggan makan sejak dua hari, menjadikan bilangan mereka yang menyertai mogok lapar meningkat kepada 1,550 atau lebih satu pertiga daripada keseluruhan 4,700 tahanan Palestin.
Dua daripada mereka, Bilal Diab dan Thaer Halahla, melakukan mogok lapar selama 64 hari, menyebabkan kumpulan Physicians for Human Right (PHR) – Israel memberi amaran bahawa mereka berdepan risiko maut.
Mahkamah Agung Israel semalam mendengar satu rayuan terhadap mereka yang ditahan tanpa didakwa. Prosiding itu juga digunakan bagi memperbaharui tempoh tahanan mereka sehingga enam bulan lagi. 

Selasa lalu, Diab berpindah dari penjara Ramle ke hospital Assaf HaRofeh berhampiran, sehari selepas PHR memberi amaran bahawa dia terancam jika tidak mendapat perhatian perubatan secukupnya. 

“Bilal dalam keadaan stabil selepas dipindahkan ke jabatan gasteroenerologi di Hospital Assaf HaRofeh,” kata peguamnya, Jamil Khatib. 

Seorang penasihat perundangan kepada Kelab Tahanan Palestin, Jawad Boulos yang melawat Diab kelmarin berkata, dia dirantai pada katil hospital dan dipantau empat pengawal keselamatan. 
Diab enggan berurusan dengan doktor sehingga mereka menanggalkan rantai itu dan memberitahu pengawal: “Setiap kali anda lebih kejam, saya akan lebih percaya dengan pendirian dan kepercayaan bahawa kebebasan adalah perkara paling berharga dalam hidup,” kata Boulos. 

Seorang doktor PHR yang memeriksa Diab mendapati dia mengalami sakit perut dan mungkin mengalami pendarahan dalaman. Katanya, Halahla juga perlu menjalani imbasan CAT dengan segera. 

Khatib yang mewakili Halahla, cuba untuk melawatnya di penjara Ramle pada Rabu tetapi tidak dibenarkan, katanya. 

Majoriti tahanan mula tidak makan sejak 17 April lalu dalam satu tuntutan termasuk menambah akses kepada peguam dan lawatan keluarga selain menamatkan hukuman ditahan bersendirian dan mengakhiri tempoh penahanan. 

Weizman berkata, satu suruhanjaya penjara memeriksa isu keadaan di tempat tahanan itu tetapi tidak memberikan tarikh bila ia akan diserahkan. Suruhanjaya terbabit mula bekerja sebelum bermulanya mogok lapar berkenaan. 

Human Right’s Watch turut berkata, Israel perlu segera mengemukakan dakwaan atau membebaskan mereka yang dipenjarakan tanpa dakwaan yang dipanggil tahanan pentadbiran. – AFP

Haiwan sebesar biri-biri pernah tinggal di pokok

Kosmo! Online - Dunia:



BLACK merakamkan gambar tulang rangka seekor haiwan sebesar biri-biri yang ditemui di Tapak Warisan Dunia Riversleigh di Queensland.


SYDNEY - Australia pernah mempunyai haiwan yang sebesar biri-biri dan tinggal di dahan pokok kira-kira 15 juta tahun lalu, kata seorang ahli paleontologi, Karen Black semalam.
Black berkata, anggota-anggota penyelidikannya telah menemui fosil haiwan itu di Tapak Warisan Dunia Riversleigh di Queensland.
Kerja-kerja untuk mencari fosil itu telah dilakukan sejak tahun 1993.
Beliau berkata, haiwan itu seberat 70 kilogram dan mempunyai pertalian dengan wombat yang merupakan haiwan seperti beruang.
Black menyatakan ia mungkin haiwan memanjat pokok yang terbesar pernah wujud ketika itu. - Agensi

Batu 2,000 tahun ada sel darah manusia

Kosmo! Online - Dunia:



MIKROSKOP pengimbas menunjukkan sel darah manusia pada batu tajam yang dijadikan pisau.


BANDAR RAYA MEXICO - Beberapa batu tajam yang berusia 2,000 tahun didapati mempunyai sel darah dan cebisan tisu termasuk otot, kulit, rambut serta tendon manusia.
Institut Sejarah dan Antropologi Mexico menyatakan penemuan yang dibuat oleh para penyelidik itu menyokong dakwaan tentang amalan penggunaan batu tersebut dalam upacara pengorbanan manusia.
Menurut institut itu kelmarin, ia menggunakan mikroskop pengimbas semasa membuat penemuan tersebut.
Batu-batu itu ditemui di Cantona, negeri Puebla, Mexico.
Ia diserahkan kepada seorang penyelidik di institut tersebut, Luisa Mainou oleh beberapa ahli antropologi selepas menemuinya dua tahun lalu.
Seorang profesor madya dalam bidang antropologi di Universiti Florida, Susan Gillespie menyatakan batu-batu itu digunakan untuk memotong daging manusia. - AGENSI

Tumpang kereta dapat wang

Kosmo! Online - Dunia:



NURAINI yang menjadi 'joki' menahan kereta di Jakarta pada 8 Februari lalu.


JAKARTA - Sejumlah orang memperoleh pendapatan dengan menumpang kereta bagi melalui laluan tertentu di bandar raya ini.
Ratusan lelaki, wanita dan kanak-kanak menunggu di beberapa laluan penting pada setiap hari dengan menawarkan perkhidmatan untuk menumpang kereta persendirian semasa waktu puncak.
Ketika waktu puncak itu, kereta-kereta persendirian dikehendaki membawa hanya tiga penumpang di laluan-laluan penting.
Sejumlah orang yang menawarkan perkhidmatan itu diberi gelaran sebagai 'joki'.
Antara yang menjadi 'joki' itu ialah ibu yang mengendong anak dengan kain.
Seorang 'joki' yang hanya mahu dikenali sebagai Jimmy, 22, memakai pakaian kemas semasa dia menawarkan perkhidmatan itu.
"Para pemandu kereta BMW dan Mercedes selalu mengambil saya kerana saya boleh berpura-pura menjadi saudara dan rakan majikan.
"Pemandu-pemandu tidak mahu ditangkap oleh polis menyebabkan joki perlu membantu mereka untuk mengurangkan risiko ditangkap," katanya.
'Joki' itu boleh didenda sehingga AS$109 (RM330.95) jika ditangkap polis.
Menurut Jimmy, dia memperoleh sebanyak AS$7.50 (RM22.76) sehari dengan menjadi 'joki'.
Namun, kebanyakan wanita yang menjadi 'joki' kerap mengalami gangguan seksual daripada pemandu kereta.
Salah seorang daripada mereka, Nuraini, 39, menyatakan, ketika dia hamil, seorang pemandu meminta dia melakukan perbuatan tidak senonoh.
"Ia amat tidak selesa menyebabkan saya bertindak keluar dari kereta itu," katanya.
Peraturan berkongsi kereta itu diperkenalkan pada tahun 1992 bagi mengurangkan kesesakan jalan raya. - AFP

Thursday, May 3, 2012

Orang Islam kian ramai di AS

Berita Harian Online | Orang Islam kian ramai di AS:

Bilangan Muslim capai 2.6 juta di Midwest, selatan Amerika Syarikat

CHICAGO: Bilangan penduduk Islam Amerika Syarikat dilaporkan bertambah sejak sedekad lalu dan buat pertama kali mengatasi penduduk Yahudi di kebanyakan kawasan Midwest dan Selatan, manakala kebanyakan gereja utama pula mula susut pengunjung, menurut satu bancian agama yang disiarkan kelmarin. 

Bilangan penduduk Islam meningkat kepada 2.6 juta pada 2010 daripada 1 juta pada 2000 berpunca daripada peningkatan penghijrahan dan mereka yang memeluk Islam, kata penyelidik yang membuat kajian dengan Persatuan Statistik Badan Agama Amerika, Dale Jones.
“Kristian adalah kumpulan terbesar di setiap negeri tetapi kami dapati sesuatu menarik ialah pertumbuhan pengikut Mormon yang mencatat peningkatan terbesar di 26 negeri,” kata Jones yang membentangkan laporan itu pada satu persidangan di Chicago.
Nama rasmi gereja utama Mormon berasal di Utah ialah The Church of Jesus Christ of Latter-day Saints. 

Bilangan pengikut Mormon bertambah sebanyak 45 peratus kepada 6.1 juta pada 2010, berdasarkan bancian yang meminta 236 pemimpin agama mengira penganut mereka. Ahli keluarga juga termasuk dalam kiraan itu. 

Secara kasar, sebanyak 55 peratus rakyat Amerika menghadiri sesi di gereja, kata data terbabit. Pada masa sama, kebanyakan kajian menganggarkan secara purata 85 peratus rakyat Amerika mengakui percaya kepada agama, walaupun mereka mungkin tidak ke gereja. 

Kira-kira 158 juta rakyat Amerika dikelaskan sebagai ‘tidak mengikuti mana-mana agama’ dalam kajian itu. Ketika membandingkan agama utama, kajian itu mendapati bahawa pengikut Katolik, kumpulan penganut agama terbesar merosot sebanyak lima peratus kepada 58.9 juta sejak 10 tahun lalu. 
“Pengikut Katolik menunjukkan jumlah penurunan terbesar khususnya di Maine yang menjadi lokasi skandal seorang paderi hingga mencetuskan perhatian ramai,” kata Jones. Di New England, bilangan majlis pengebumian penganut Katolik mengatasi jumlah anggota baru, katanya. 

Antara agama besar lain di Amerika, pengikut Southern Baptist Convention adalah stabil pada 19.9 juta sepanjang dekad itu, United Methodist Church pula merosot sebanyak empat peratus kepada 9.9 juta pengikut manakala Evangelical Lutheran Church kehilangan 18 peratus kepada 4.2 juta dan Episcopal Church kehilangan 15 peratus daripada pengikutnya kepada 1.95 juta. 

Jemaah Protestan Evangelical pula terus berkembang walaupun secara perlahan kepada 50 juta penganut. 

Apa yang mengejutkan ialah peningkatan penganut agama bertempat di kawasan bandar dan kebanyakannya membabitkan kumpulan kurang daripada 100 ahli serta tidak membabitkan kawasan yang menempatkan gereja besar, kata Jones. – Reuters