Pages

Wednesday, May 2, 2012

Mayat dalam lumpur

Mayat dalam lumpur - Melaka & NS - Sinar Harian:

Mayat dalam lumpur
Beginilah keadaan mayat mangsa sebelum dihantar ke Hospital Tampin untuk bedah siasat
GEMENCHEH – Seorang pembantu kedai ditemui mati lemas di dasar sebuah kolam ikan berhampiran tempatnya bekerja di Felda Bukit Jalor, di sini, lewat petang kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.10 ­petang itu, mangsa, Hamdan Baharudin, 43, ditemui anggota Balai Bomba dan Penyelamat Gemas dalam lumpur di dasar kolam berkenaan.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Wooi Kooi Cheang berkata, pada awalnya mangsa dipercayai ke kolam berkenaan untuk mandi, kira-kira jam 4.30 petang.

“Tetapi selepas 10 minit kelibatnya tidak muncul di permukaan air, ia menimbulkan tanda tanya orang ramai yang berada di kedai berkenaan.

“Akibat bimbang, mereka ke kolam berkenaan untuk melihat keadaan mangsa dan segera menghubungi anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Gemas, kemudiannya Balai
Bomba dan Penyelamat Gemas bagi mendapatkan bantuan,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, mayat mangsa yang ditemui dalam lumpur di dasar kolam dihantar ke Hospital Tampin untuk bedah siasat.

“Kes berkenaan diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya.

Sementara itu, Ketua Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Gemas, Johari Masun berkata, pihaknya menerima panggilan kira-kira jam 5.04 petang dan tiba di lokasi kejadian jam 5.35 petang.

“Kami berjaya menjumpai mayat mangsa setengah jam kemudian iaitu kira-kira jam 6.10 petang,” katanya.

Siapa bakal terajui Mesir?

Siapa bakal terajui Mesir? - Global - Sinar Harian:


Bekas perdana menteri Mesir,  Mubarak
Bekas perdana menteri Mesir, Mubarak
Pilihan raya presiden pertama di Mesir telah menjadi topik hangat untuk diperkatakan berikutan sebelum ini,10 calon dilarang untuk bertanding.

Selepas mengkaji semula kelayakan mereka yang berhasrat untuk turun ke gelanggang, akhirnya, 13 daripada 23 calon dibenarkan bertanding untuk merebut kerusi bekas presiden Hosni Mubarak yang digulingkan kira-kira 14 bulan lalu.

Bekas perdana menteri zaman pemerintahan Mubarak, Ahmed Shafiq turut tersenarai walaupun pada mulanya namanya dikecualikan tetapi Suruhanjaya Pilihan Raya membuat keputusan akhir membenarkan beliau bertanding semula.

Pilihan raya pusingan pertama itu akan diadakan pada 23 dan 24 Mei depan, iaitu lebih setahun selepas kebangkitan revolusi rakyat.

Antara calon pilihan lain yang akan memberi saingan hebat adalah Pengerusi Parti Kebebasan dan Keadilan (FJP) di bawah Ikhwanul Muslimin, Mohammed Mursi, bekas Ketua Liga Arab, Amr Moussa dan calon parti bebas, Abdel Moneim Aboul Fotouh.

Dalam satu kenyataan, Ketua Suruhanjaya Tinggi Pilihan Raya Presiden, Farouk Sultan berkata, badan tersebut memutuskan untuk menerima rayuan Shafiq yang berani menentang pengecualian beliau.

Sebelum ini, pencalonan beliau dilucutkan berikutan undang-undang yang ditetapkan tidak membenarkan mana-mana pegawai dari era pemerintahan Mubarak bertanding.

Menerusi rayuannya, beliau mendakwa undang-undang sementara diluluskan Majlis Tertinggi Tentera adalah tidak berperlembagaan dan perkara itu telah dirujuk kepada Mahkamah Perlembagaan Mesir.

 Jurucakap Ikhwanul Muslimin, Mahmoud Ghozlan bertindak mengkritik jawatan kuasa tersebut yang dianggap tidak tetap pendirian.

“Mereka sepatutnya bertindak sebagai badan berkecuali tetapi masih keliru untuk membuat keputusan tepat. Perkara ini tetap mengikut undang-undang dan kita tidak mempunyai hak untuk mempertikaikan sama ada ia perlembagaan yang sah atau tidak,” menurutnya.

Tetapi, Sultan telah memberi jaminan awal bahawa mereka tidak menentang atau membuat konfrontasi dengan mana-mana calon yang telah dilucutkan kelayakan untuk membuat rayuan.

Mereka yang dilucutkan kelayakan untuk bertanding termasuklah, bekas perisik, Omar Suleiman, calon awal perdana menteri Ikhawanul Muslimin, Khairat al-Shater dan calon parti konservatif Islam, Hazem Abu Ismail.

Menurut pegawai kerajaan, Shater dilarang bertanding kerana sabitan jenayah, manakala Abu Ismail pula mengalami masalah kelayakan berikutan arwah ibunya didakwa pemegang kewarganegaraan Amerika Syarikat.

Suleiman juga dikeluarkan daripada senarai calon kerana dia hanya memperoleh 31 sokongan daripada 30,000 yang diperlukan bagi melayakkannya bertanding.

 Keputusannya untuk bertanding pada awal bulan ini mencetuskan kemarahan kebanyakan penduduk di negara itu terutamanya orang Islam.

Mereka menuduhnya sebagai sebahagian bekas pegawai utama Mubarak yang mahu membangkitkan semula rejim bekas presiden digulingkan tersebut.

Calon presiden yang bakal menggantikan Mubarak dilihat datang dari pelbagai latar belakang dan mewakili kumpulan masyarakat di negara itu.

Dalam perkembangan terbaru, reformis Mesir, Mohamed ElBaradei yang sebelum ini pernah menyatakan bahawa beliau tidak mahu bertanding untuk jawatan presiden kembali menyertai arena politik dengan menubuhkan parti baru didakwa bertujuan menyatukan penduduk Mesir.

Beliau menyatakan Parti Perlembagaan yang belum didaftarkan secara sah itu juga berperanan untuk menyelamatkan revolusi 25 Januari dari peralihan demokratik kotor.

“Saya berharap kewujudan parti ini akan membolehkan Mesir membina negara mengikut dasar demokrasi dan keadilan,” jelasnya lagi.

Pada masa ini, Mesir masih lagi ditadbir oleh Majlis Tentera walaupun dalam pilihan raya Parlimen baru-baru ini, parti di bawah Ikhwanul Muslimin dan parti ultrakonservatif, Salafi telah memperoleh majoriti 70 peratus.

Keadaan tersebut menyebabkan sebilangan rakyat bangkit mengadakan protes kembali menuntut pemerintah tentera melepaskan kuasa mereka.

Bagi meredakan ketegangan, kelmarin kerajaan sementara pimpinan Jeneral Hussein Tantawi itu memberi jaminan akan merombak Kabinet tetapi adakah ia sekadar janji kosong untuk memuaskan hati semua penduduk di Mesir?

Iran ancam tindak balas

myMetro | Iran ancam tindak balas: "TEHERAN: Iran semalam berkata, ia akan bertindak balas terhadap keputusan Kanada menutup bahagian visa di kedutaannya di bandar raya ini yang digunakan beribu-ribu rakyat negara itu.

“Mereka mendakwa keputusan itu adalah langkah berjimat-cermat. “Tetapi kami akan mengikuti sebarang tindakan yang mencetuskan kerumitan kepada warga kami,” kata jurucakap Kementerian Luar, Ramin Mehmanparast kepada wartawan. “Jika ada pihak yang menjejaskan kepentingan negara kami, kami akan bertindak balas,” katanya.


Kedutaan Kanada, dalam pengumuman Ahad lalu menerusi laman web rasminya berkata, ia menutup bahagian visanya sebagai langkah untuk menjalankan operasi secara lebih berkesan dan cekap. - AFP"

'via Blog this'

Teheran selar tindakan Washington

myMetro | Teheran selar tindakan Washington: "TEHERAN: Menteri Pertahanan Iran semalam berkata, tindakan Amerika Syarikat menempatkan jet penggempur stealth di Emiriah Arab Bersatu (UAE) sebagai langkah yang akan menjejaskan keselamatan serantau.

“Mengerahkan F-22 di pangkalan udara di UAE adalah tindakan berbahaya dan menjejaskan keselamatan serantau,” kata Ahmad Vahidi.
Beliau menyifatkan penempatan itu sebagai ‘perang psikologi.’ - AP"

'via Blog this'

2 renjer tentera Thai korban terbaru letupan bom tepi jalan

myMetro | 2 renjer tentera Thai korban terbaru letupan bom tepi jalan:


BANGKOK: Dua anggota renjer tentera terbunuh dan enam cedera apabila sebutir bom yang diletakkan di sebuah motosikal meletup di Pattani, semalam.
Menurut polis, anggota tentera dari unit renjer itu menaiki sebuah trak pikap dalam perjalanan keluar bertugas apabila sebutir bom seberat 10 kilogram diletupkan di sebuah jalan berdekatan kem tentera. 
Kira-kira 5,000 orang terbunuh di selatan Thailand sejak 2004 dalam keganasan yang melibatkan kumpulan pemisah Islam.

Penduduk Thailand majoritinya adalah beragama Buddha tetapi penduduk di tiga wilayah paling selatan negara itu, Pattani, Yala dan Narathiwat, beragama Islam dan merupakan sebahagian daripada kesultanan Melayu Islam sehingga dimansuhkan pada 1909.

Kira-kira 30,000 tentera dikerahkan ke wilayah itu untuk menghalang pemberontakan tetapi tidak berjaya.

Perdana Menteri Yingluck Shinawatra melawat wilayah itu Ahad lalu untuk bertemu ulama dan ketua komuniti termasuk pegawai dari agensi negeri, bertegas mengatakan kerajaan mahu wilayah itu aman.

Dalam kejadian paling ganas pada 31 Mac lalu, beberapa siri letupan membunuh 13 orang, termasuk 10 di jalan paling sibuk dengan orang yang membeli-belah dan tiga lagi mangsa di sebuah tempat letak kereta bawah tanah di sebuah hotel mewah.

Kira-kira 300 lagi cedera dalam kejadian itu. - Reuters

Bilionair cair dalam pesawat

myMetro | Bilionair cair dalam pesawat:


PRAMUGARI Virgin Atlantic menunjukkan kiub ais berbentuk wajah Branson. Gambar kecil, Richard Branson.
PRAMUGARI Virgin Atlantic menunjukkan kiub ais berbentuk wajah Branson. Gambar kecil, Richard Branson.
LONDON: Anda berada 9,800 meter di udara, mempunyai kelengkapan tidur mewah dan bersedia untuk menikmati minuman.
Tetapi kemudian, berlaku kejutan apabila anda melihat kepala Sir Richard Branson berada dalam minuman di sebalik potongan lemon.
Mimpi ngeri itu kini menjadi kenyataan bagi semua penumpang kelas satu Virgin Atlantic yang boleh menikmati beberapa kiub ais Branson dalam minuman mereka.

Kiub ais itu direka supaya ketua Virgin itu boleh menjelajah bersama-sama dengan penumpangnya dan mereka pula boleh menikmati pengalaman untuk minum bersama dengan usahawan bilionair itu.


Ia memerlukan enam minggu bagi pasukan empat pereka berkemahiran untuk menghasilkan acuan untuk membuat kiub ais itu.

Mereka memperoleh ukuran tepat bagi kepala Branson dengan menggunakan teknik fotografi terperinci dan teknologi pengimbasan laser.

Keputusannya sungguh menakjubkan. Kiub ais itu sungguh luar biasa, lengkap dengan janggut dan gigi pemilik syarikat penerbangan itu.

Kiub ais itu adalah satu daripada aspek ‘bar dalam pesawat’ syarikat berkenaan, yang paling panjang di udara.

Ketua Eksekutif Virgin Atlantic, Steve Ridgway berkata: “Benson sudah pasti gembira jika mempunyai peluang untuk duduk dan minum bersama dengan semua penumpang. Tetapi jadualnya tidak memungkinkan keadaan itu berlaku.

“Kini dia sudah boleh menyertai tetamu kami ‘menerusi semangat’ di kabin kelas pertama.”

Dan bagi mereka yang tidak berminat terhadap bilionair berusia 61 tahun itu, boleh melihat Branson cair dalam minuman masing-masing. - DM

3 maut, 3 parah bas rempuh penghadang

Berita Harian Online | 3 maut, 3 parah bas rempuh penghadang:

KEADAAN bas persiaran yang rosak teruk selepas terbabas dan merempuh pembahagi jalan di Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS) di Bukit Beruntung, Rawang, jam 3.20 pagi tadi. Kemalangan itu meragut tiga nyawa termasuk pemandunya. - Foto Noor Hazwan Hariz Mohd

HULU SELANGOR: Hasrat 48 penduduk Kampung Sungai Lah, Chenderiang, Perak untuk bercuti ke Melaka sempena cuti Hari Pekerja semalam tidak kesampaian apabila tiga daripada mereka maut selepas bas persiaran dinaiki terbabit dalam kemalangan di Kilometer (km) 434, Lebuh Raya Utara Selatan arah ke selatan, awal pagi semalam. 

Mangsa yang maut dalam kejadian jam 1.50 pagi itu ialah dua penumpang, K Virmala, 55 dan Setapa a/k Mat, 46 serta pemandu bas, S Velmuruvu, 45 akibat tersepit di bawah bas. Seramai 24 lagi penumpang cedera termasuk tiga parah.
Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Norel Azmi Yahya Affandi, berkata kemalangan berlaku selepas bas terbabit merempuh tembok penghadang di plaza tol baru Sungai Buaya-Rawang berhampiran Bukit Beruntung sebelum terbalik.
Katanya, pemandu bas dipercayai tidak perasan kewujudan tembok penghadang itu yang dalam pembinaan berikutan keadaan jalan yang gelap. 

“Akibat rempuhan, bas itu terbalik dan cermin depannya pecah menyebabkan pemandu serta dua penumpang tercampak keluar dan kemudian tersepit di bawah bas. Ketiga-tiga mangsa mati di tempat kejadian,” katanya. 

Beliau berkata, polis masih menjalankan siasatan mengenai punca sebenar kemalangan dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. 

Seramai 24 penumpang yang cedera, termasuk tiga parah dihantar ke Hospital Sungai Buluh untuk rawatan. Ketiga-tiga mangsa yang parah dilaporkan dalam keadaan stabil. 
Sementara itu, anak kedua Vimala, K Ravinathan, 37, yang ditemui di bilik mayat Hospital Kuala Kubu Bharu (HKKB), berkata ibunya amat teruja apabila dipelawa rakannya menyertai rombongan ke Melaka kerana hanya dikenakan bayaran RM50. 

“Ibu saya penoreh getah dan pendapatannya tidak seberapa. Jadi bila dia dapat peluang pergi ke Melaka dengan bayaran hanya RM50, dia sangat teruja,” katanya. 

Sementara itu, tiga wartawan sambilan daripada satu keluarga yang dalam perjalanan membuat liputan kemalangan itu, cedera selepas terbabit dalam kemalangan berasingan di persimpangan ke Tol Rawang, awal pagi semalam. 

Dalam kejadian pada jam 3 pagi itu, tiga beranak terbabit, Sarinah Salleh, 46 dan dua anaknya, Ina Shamsuri Ibrahim, 26 serta Afiq Shahif Ibrahim, 24 dirempuh sebuah kenderaan pacuan empat roda (4X4), yang datang dari arah bertentangan.

Remaja lemaskan bayi dalam baldi

Berita Harian Online | Remaja lemaskan bayi dalam baldi:

SUNGAI PETANI: Seorang remaja lelaki berusia 17 tahun melemaskan bayi yang baru dilahirkan teman wanitanya yang juga pelajar sebuah sekolah menengah di sini, dalam baldi berisi air sebelum menanamnya di kawasan semak berhampiran kilang di Taman Ria Jaya di sini, Ahad lalu. 

Difahamkan pelajar perempuan Tingkatan Lima terbabit melahirkan bayi itu di rumahnya dalam keadaan cukup sifat, malam Sabtu lalu.
Selepas melahirkan bayi malang itu, teman lelaki pelajar perempuan terbabit yang bekerja di pasar malam di sini, bertindak melemaskan bayi itu dalam baldi berisi air sebelum membungkusnya dan disimpan di almari.
Keesokan harinya, pelajar perempuan terbabit memasukkan mayat bayi itu ke dalam begnya untuk dibawa ke sekolah. 

Dia kemudian menghubungi teman lelakinya pada kira-kira jam 10 pagi sebelum keluar dari sekolah. 

Pasangan kekasih itu kemudian menanam mayat bayi itu di kawasan semak berhampiran kilang di Taman Ria Jaya di sini. 

Sumber berkata, mayat bayi itu hanya ditemui polis pada jam 11 malam kelmarin selepas pelajar perempuan itu ditahan di rumahnya di Taman Kelisa di sini, manakala teman lelakinya ketika sedang berniaga di pasar malam berhampiran taman berkenaan pada jam 9 malam kelmarin. 
Beliau berkata, perbuatan pasangan kekasih terbabit terbongkar selepas pelajar perempuan itu menceritakan kejadian kepada beberapa rakannya yang kemudian melaporkannya kepada seorang guru kaunseling. 

Katanya, siasatan awal menunjukkan bayi lelaki malang itu masih bernyawa ketika dilahirkan. 

“Dua remaja terbabit membawa polis ke tempat mayat bayi itu ditanam. Ketika ditemui mayat bayi itu berada dalam keadaan sempurna dengan tali pusatnya yang sudah dipotong,” katanya ketika ditemui di sini, semalam. 

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Muda, Deputi Superintendan Ricky Tey, ketika ditemui di lokasi kejadian semalam mengesahkan dua remaja terbabit ditahan bagi membantu siasatan. 

Katanya, remaja perempuan itu kini ditahan dan rawat di wad bersalin Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) di sini. 

NATO didakwa bunuh 4 budak

Berita Harian Online | NATO didakwa bunuh 4 budak:

Penduduk usung mayat, halang lebuh raya

KANDAHAR: Beratus-ratus penunjuk perasaan Afghanistan semalam menuduh tentera Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) diketuai Amerika Syarikat membunuh empat kanak-kanak dalam pertempuran dengan militan di bandar di selatan negara itu, kata pegawai dan saksi. 

Penunjuk perasaan, yang mengusung mayat empat kanak-kanak berusia lapan hingga 12 tahun, menghalang lebuh raya Kabul-Kandahar dan melaungkan slogan anti-Amerika, kata mereka.
Jurucakap Pasukan Bantuan Keselamatan Antarabangsa (ISAF), Leftenan Komander Brian Badura, berkata laporan awal menun-jukkan kanak-kanak itu maut akibat tembakan militan.
“Kami sedar mengenai kejadian di selatan Afghanistan kelmarin. Polis Tempatan Afghanistan (ALP), bersama-sama penasihat ten-tera asing, mengadakan pertemuan dengan penduduk tempatan ketika mereka diserang. 

“Laporan awal menunjukkan beberapa kanak-kanak maut dan cedera akibat serangan itu. Mereka dipindahkan oleh tentera pakatan ke kemudahan perubatan untuk mendapat rawatan,” katanya. 

Timbalan Gabenor Zabul, Mohammad Jan Rasoulyar, berkata kanak-kanak itu terkorban ketika kejadian berbalas tembakan antara Taliban dan ISAF serta pasukan keselamatan Afghanis-tan di Shahjoy, kelmarin. 

Pertempuran meletus apabila pasukan keselamatan bertemu dengan pemimpin komuniti tempatan dan diserang militan. 
“ISAF dan tentera Afghanistan membalas tembakan. Dalam kejadian itu, empat kanak-kanak maut dan beberapa lagi cedera. Hari ini mereka membantah pembunuhan kanak-kanak itu,” kata Rasoulyar. 

Pegawai berkata, siasatan awal menunjukkan kematian disebabkan tembakan Taliban. 

Pegawai polis, Mohammad Zahir, berkata beratus-ratus penduduk mengambil bahagian dalam bantahan itu. Mereka mengusung mayat empat kanak-kanak yang didakwa maut akibat tembakan ISAF. 

Kematian di kalangan penduduk awam adalah isu sensitif dalam perang diketuai Amerika memerangi Taliban dan selalu menjadi punca ketegangan antara Kabul

Cawan pernah diguna Lady Gaga jadi rebutan

Kosmo! Online - Dunia:



GAMBAR fail menunjukkan Lady Gaga memegang cawan teh pada satu sidang akhbar di Tokyo pada 23 Jun tahun lalu.


TOKYO - Beberapa peminat menawarkan lebih empat juta yen (RM151,350) untuk membeli sebiji cawan teh yang pernah digunakan oleh penyanyi terkenal, Lady Gaga dalam satu lelongan amal di Internet.
Lelongan itu bermula semalam dan berlangsung selama lima hari.
Set cawan dan piring buatan China itu pernah digunakan oleh Lady Gaga pada satu sidang media di Tokyo tiga bulan selepas tsunami melanda bahagian timur laut Jepun pada Mac tahun lalu.
Ketika itu, Lady Gaga memberitahu wartawan bahawa dia akan melelong cawan tersebut yang mempunyai tanda gincunya.
Cawan itu turut mengandungi autograf penyanyi itu.
Hasil jualan amal berkenaan akan digunakan bagi membantu membiayai artis muda Jepun yang berminat untuk menyambung pelajaran ke Amerika Syarikat.
Cawan tersebut dilelong di laman web Yahoo! Japan Auctions tengah hari kelmarin dengan harga permulaan ditetapkan pada satu yen (RM0.03).
Lelongan itu akan berakhir pada Ahad ini.
Sekitar 19,000 orang terkorban dalam bencana gempa bumi dan tsunami yang melanda Jepun pada tahun lalu. - AFP

Lukisan The Scream diramal dilelong RM454.2 juta

Kosmo! Online - Dunia:


DUA kakitangan memegang lukisan The Scream di firma Sotheby's di New York pada 12 April lalu.


NEW YORK - Lukisan yang dihasilkan pelukis terkenal, Edvard Munch mungkin menjadi yang termahal pernah dilelong di dunia.
Menurut seorang pakar seni, lukisan itu yang berjudul The Scream mampu dilelong pada harga AS$150 juta (RM454.2 juta) dalam satu lelongan di sini pada hari ini.
Terdapat empat versi The Scream yang dihasilkan oleh Much.
Namun, hanya sebuah lukisan tersebut menjadi milik seorang individu.
Lukisan yang dilelong firma Sotheby's itu merupakan versi tahun 1895.
Ia menjadi milik Petter Olsen.
Bapa Olsen ialah rakan dan jiran Munch.
Seorang pakar seni di London, Nicolai Frahm percaya lukisan berkenaan akan dapat dijual pada harga RM454.2 juta.
Pada tahun 2010, lukisan yang dihasilkan Pablo Picasso berjudul Nude, green leaves and bust mencipta rekod dunia kerana dilelong pada harga AS$106.5 juta (RM322.4 juta). - REUTERS

AS dedah amalan guna dron di beberapa negara

Kosmo! Online - Dunia:


GAMBAR fail menunjukkan sebuah dron milik Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan Amerika Syarikat.




WASHINGTON, Amerika Syarikat (AS) - Pegawai anti pengganas White House, John Brennan mendedahkan kepada umum berhubung keputusan untuk membunuh sasaran Al-Qaeda dengan menggunakan dron.
Ia merupakan kali pertama pentadbiran Obama mendedahkan amalan tersebut secara terperinci kepada umum tentang penggunaan pesawat tanpa juruterbang itu.
Bercakap di sini kelmarin, Brennan berkata, Presiden Barack Obama mahukan amalan tentera AS diketahui setahun selepas serbuan oleh komando Tentera Laut telah menyebabkan Ketua Al- Qaeda, Osama bin Laden terbunuh di bandar Abbottabad, Pakistan.
"Ya, bagi menghalang serangan pengganas ke atas AS dan bagi menyelamatkan nyawa rakyat AS, pentadbiran negara ini melancarkan serangan terhadap pengganas Al-Qaeda tertentu, kadangkala dengan menggunakan pesawat kawalan jauh yang dikenali sebagai dron," kata Brennan.
Menurutnya, sasaran serangan dron dipilih bergantung kepada tahap ancaman individu ke atas keselamatan AS.
Brennan berkata, membunuh anggota Al-Qaeda dengan menggunakan dron adalah sah di sisi undang-undang seperti yang dilakukan terhadap komander tentera Jerman dan Jepun semasa Perang Dunia Kedua.
Pakistan kelmarin mengutuk serangan tentera AS yang menyebabkan tiga suspek militan mati di barat laut negara tersebut.
Sebelum ini, negara tersebut mengutuk serangan yang menggunakan pesawat tanpa juruterbang itu.
Bagaimanapun, dia membenarkan dron tersebut digunakan di beberapa kawasan yang didiami penduduk suku kaum. - AGENSI

Tuesday, May 1, 2012

Tahanan mogok lapar dipaksa makan

myMetro | Tahanan mogok lapar dipaksa makan:


DUBAI: Isteri seorang aktivis Bahrain mendakwa, suaminya diseret dan dipaksa makan ketika mogok lapar, tetapi pihak berkuasa menafikan tuduhan berkenaan.
Abdulhadi al-Khawaja ditahan bersama 13 yang lain kerana mengetuai kebangkitan rakyat di negara itu tahun lalu.

Abdulhadi memulakan mogok laparnya sejak lebih dua bulan lalu. Isterinya, Khadija al-Mousawi, berkata dia melawat Abdulhadi semalam dan diceritakan kejadian itu berlaku Isnin minggu lalu.
“Abdulhadi tersedar apabila mendapat dua tiub plastik dimasukkan ke tangannya dan diberi makanan melalui hidung tanpa rela,” katanya.

Sementara itu, Hospital Tentera Bahrain berkata, tahanan itu diberi makanan tambahan terhad.

Namun, apabila kadar gula dalam darahnya turun mendadak, doktor meminta kebenarannya memasukkan tiub untuk diberi khasiat makanan. - Reuters

Terkejut foto dalam laman porno

myMetro | Terkejut foto dalam laman porno:

SINGAPURA: Selepas diberitahu seorang teman, seorang suri rumah, Jules Rahim baru-baru ini terkejut menemui fotonya dipaparkan dalam laman web porno.
Menurut The Straits Times, foto yang menunjukkan dia berbikini itu ditemui dalam laman web mencari pasangan. Di bawah gambar itu tertulis nombor telefon untuk dihubungi dan jumlah kos untuk bersembang.

Gambar itu diambil daripada akaun Facebook milik Jules. Dia memuat naik foto itu tiga tahun lalu.
Ibu kepada empat anak itu memberitahu akhbar berkenaan, pengambilan fotonya daripada Facebook amat memalukan. “Orang mungkin memikirkan yang bukan-bukan mengenai saya,” katanya. Berikutan itu, dia membuat dua laporan polis. Dia juga bercadang untuk memfailkan aduan ke mahkamah atas dakwaan pencerobohan disengajakan. - Straits Times

Lelaki genius kawal lalu lintas

myMetro | Lelaki genius kawal lalu lintas:


BERRY di luar sekolah tempat dia bekerja.
BERRY di luar sekolah tempat dia bekerja.
LONDON: Seorang lelaki genius yang memiliki 11 ijazah universiti dan boleh bercakap lima bahasa dengan lancar, bekerja sebagai pengawal lalu lintas di sebuah sekolah.
Dr Bruce Berry adalah antara orang paling pintar di Britain.

Tetapi, selama lima hari seminggu, dia mengayuh basikal sejauh enam setengah kilometer untuk membantu kanak-kanak sekolah menyeberang jalan. Bruce, 70, yang memperoleh ijazah Doktor Falsafah dengan tesis 425 muka mengenai penulis kelahiran Russia, Andrei Makine, berkata: “Saya gemar berusaha mendapatkan ijazah. Tetapi saya ingin melakukan sesuatu untuk masyarakat. Saya seronok dapat membantu memastikan kanak-kanak selamat ketika pergi dan balik sekolah.” Selain PhD, Bruce mempunyai tiga Ijazah Sarjana Muda, tujuh Ijazah Sarjana dan lancar bercakap bahasa Perancis, Jerman, Itali, Sepanyol dan Russia.
Berry yang masih bujang dan berasal dari Sharlston, West Yorks, mula bekerja sebagai kerani pejabat pos dan belajar ketika mempunyai waktu terluang sebelum menjadi penterjemah.

Bruce menerima gaji sebanyak RM1,000 sebulan untuk mengawal lalu lintas di luar Sekolah Crofton, Wakefield, tempat bapanya pernah mengajar.

“Saya merasakan diri saya sebahagian daripada keluarga di sana,” katanya. - DM

Letupan terbaru korban 20 nyawa di Syria

Berita Harian Online | Letupan terbaru korban 20 nyawa di Syria:

DAMSYIK: Dua letupan terbaru yang mensasarkan bangunan keselamatan di bandar Idlib di barat daya Syria menyebabkan 20 maut dengan misi damai Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) semakin tertekan bagi membawa mengakhiri keganasan yang berlarutan 13 bulan di negara itu.

Keganasan itu bercetus sehari selepas ketibaan ketua pemantau PBB, Mejar Jeneral Robert Mood bagi memastikan gecatan senjata di negara itu dapat dilaksanakan dengan licin.


Kebanyakan yang maut di Idlib membabitkan ahli keluarga anggota keselamatan, demikian menurut Badan Pemerhati Hak Asasi Manusia Syria.
“Letupan bom mensasarkan dua ibu pejabat pasukan keselamatan, sebuah rumah perisikan tentera udara dan satu lagi kediaman perisikan tentera darat," kata
ketua badan pemerhati berkenaan, Rami Abdel.

Agensi berita SANA berkata, kumpulan 'pengganas' bertanggungjawab atas serangan berkenaan yang membabitkan pengebom berani mati.

Stesen televisyen Syria melaporkan, jumlah kematian setakat ini sembilan orang termasuk orang awam, manakala kira-kira 100 lagi parah dalam dua letupan berkembar di kawasan kediaman itu. - AFP

Gara-gara kahwin pelajar dilarang masuk periksa

Berita Harian Online | Gara-gara kahwin pelajar dilarang masuk periksa:
JAKARTA: Enam pelajar sekolah menengah rendah di daerah Kutai Timur, Kalimantan Timur, dilarang daripada memasuki Peperiksaan Kebangsaan (UN) minggu ini kerana sudah berkahwin, lapor akhbar Jakarta Post. 

Pegawai agensi pendidikan wilayah, Imam Hidayat berkata beliau kecewa kerana pelajar lebih mengutamakan perkahwinan berbanding pendidikan.
“Mereka mempunyai masa depan, mengapa memilih untuk berkahwin sekarang,” katanya yang dipetik kompas.com.
Beliau berkata pihak pentadbiran tempatan tidak boleh campur tangan dalam keputusan peribadi setiap pelajar. 

Keputusan agensi pendidikan tempatan itu mencetuskan kontroversi, kerana banyak wilayah lain sudah membenarkan pelajar yang berkahwin malah mengandung mengambil ujian. – Agensi

Bekas menteri minyak Libya ditemui mati

Berita Harian Online | Bekas menteri minyak Libya ditemui mati:


Shukri Ghanem
Shukri Ghanem
Mayat Shukri Ghanem terapung di Sungai Danube di Austria, tiada tanda beliau diserang 

VIENNA: Bekas menteri minyak Libya, yang berpaling tadah dan meninggalkan rejim Muammar Gaddafi untuk menyokong pemberontak, Shukri Ghanem, 69 ditemui mati di Sungai Danube yang mengalir melalui bandar raya ini, kata polis Austria.
Jurucakap polis Roman Hahslinger berkata mayat Ghanem, ditemui terapung di dalam sungai pada awal pagi. Bagaimanapun katanya, mayatnya menunjukkan tiada tanda luaran keganasan.
Beliau berkata punca kematian tidak jelas tetapi menambah, pihak berkuasa akan menjalankan bedah siasat dalam tempoh beberapa hari lagi. 

“Tiada tanda beliau diserang atau kemungkinan seseorang menolaknya. Namun tidak mustahil dia sakit dan jatuh ke dalam sungai,” kata Hahslinger. 

Beliau berkata Ghanem berpakaian lengkap ketika ditemui di dalam sungai namun tiada pengenalan peribadi dibawa selain satu dokumen menyatakan nama syarikat yang juga majikannya. Seorang kakitangan syarikat kemudian dihubungi dan mengesahkan identitinya. 

Hahslinger berkata Ghanem meninggalkan kediamannya awal pagi kelmarin selepas menghabiskan petang Sabtu di rumah bersama seorang rakan. Polis dimaklumkan orang ramai yang melihat mayatnya terapung berhampiran kediamannya di sini, hampir dengan bangunan moden menempatkan agensi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) di ibu kota Austria itu. 
Ghanem adalah bekas perdana menteri Libya yang kali terakhir berkhidmat sebagai menteri minyak di negaranya sehingga 2011. Beliau meninggalkan Libya ke Tunisia dan kemudian Eropah Jun lalu sebagai pemberontak yang menolak untuk menggulingkan Gaddafi, dan kemudian mengumumkan akan menyokong pemberontak. 

Media yang membuat liputan Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) mengingati Ghanem sebagai seorang yang ramah, mudah didekati dan bersedia memberikan nombor telefon bimbitnya kepada wartawan terpilih yang membuat liputan mesyuarat menteri OPEC dan bersedia menjawab panggilan lewat petang daripada mereka. 

Dengan ijazah lanjutan dalam perundangan dan ekonomi, Ghanem memegang jawatan kanan dalam OPEC berpusat di Vienna sebelum pelantikannya sebagai perdana menteri Libya pada Jun 2003, jawatan yang dipegangnya sehingga 2006 sebelum mengambil alih portfolio menteri minyak. 

Ghanem sebagai anggota yang rapat dengan Gaddafi sebelum berpaling tadah. Beliau menegaskan Libya tidak bertanggungjawab atas pengeboman pesawat Pan Am 103 pada 1988 di atas ruang udara Lockerbie, Scotland, yang mengorbankan 270 orang. 

Beliau juga menolak tanggungjawab Libya dalam kejadian tembakan maut 1984 ke atas konstabel British Yvonne Fletcher ketika satu bantahan di hadapan kedutaan negaranya, insiden yang menjurus kepada terputusnya hubungan British-Libya. 

Beliau terus tinggal di sini selepas Gaddafi disingkir dan kemudian dibunuh tahun lalu dalam kempen pemberontak disokong NATO. – AP

One Trade Centre atasi Empire State

Kosmo! Online - Dunia:


BANGUNAN One World Trade Centre di New York yang dirakamkan pada 17 April lalu.



NEW YORK - Bangunan One World Trade Centre yang menggantikan bangunan berkembar World Trade Centre (WTC) diumumkan sebagai bangunan pencakar langit tertinggi New York semalam.
Ketinggian bangunan baharu itu hanya melebihi 381 meter daripada bangunan Empire State di sini selepas para pekerja memasang beberapa tiang besi di atas menara itu.
One World Trade Center kini menjadi mercu tanda kebanggaan bandar raya New York dan pembinaannya bakal siap pada hujung tahun depan.
Menara itu setinggi 541.3 meter dan memiliki 104 tingkat jika siap sepenuhnya.
Ia juga lebih tinggi berbanding WTC yang runtuh akibat serangan pengganas pada 11 September 2001 yang mengorbankan hampir 3,000 orang.
Bangunan tertinggi di dunia kekal milik Burj Khalifa di Dubai yang setinggi 828 meter.
Namun, One World Trade Center akan menjadi bangunan tertinggi di barat AS. - AFP

Monday, April 30, 2012

Lebanon rampas tiga kontena senjata

Utusan Malaysia Online - Luar Negara:


DAMSYIK 29 April - Pegawai perisikan Lebanon hari ini menyoal siasat krew kapal Sierra Leone berhubung tuduhan membawa bekalan senjata untuk pemberontak Syria.
Menurut Lebanon, mereka merampas tiga kontena yang sarat dengan senjata berat, peluru meriam, roket, pelancar roket dan beberapa bahan letupan untuk diberikan kepada pemberontak Syria dari kapal yang beroperasi di Libya itu.
Pihak berkuasa Syria sebelum ini berulang kali mendakwa bahawa senjata telah diseludup dari Lebanon untuk disalurkan kepada pemberontak di negara itu.
Sementera itu, tentera kerajaan menembak mati sekurang-kurangnya 10 pemberontak di wilayah Damsyik, semalam, menurut Pertubuhan Pemantau Syria bagi Hak Asasi Manusia.
Seramai 20 orang awam turut terbunuh, lapan daripada mereka di tengah Hama, dua berhampiran Homs, tiga di Idlib, empat di Aleppo, empat di Damsyik dan seorang di al-Raqqah.
Agensi berita SANA turut melaporkan, tiga tentera dan dua pemberontak maut di bandar Aleppo dalam pertempuran antara tentera dan kumpulan bersenjata.
Kelmarin, Kesatuan Eropah (EU) menyuarakan kebimbangan berhubung potensi tercetusnya perang ekoran gencatan senjata yang berkuat kuasa pada 12 April lalu tercemar setiap hari.
Keganasan terbaru ini berlaku ketika veteran anggota pengaman Norway, Mejar Jeneral Robert Mood dalam perjalanan ke Syria selepas dilantik oleh Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Ban Ki-moon untuk mengetuai misi pemantau. - AFP