Pages

Monday, November 28, 2011

China ronda Sungai Mekong



Sebuah kapal peronda tentera laut China meronda di Sungai Mekong. - AGENSI


SHANGHAI 27 Nov. - China dilapor bakal berkerjasama dengan Laos, Myanmar dan Thailand untuk mengadakan rondaan di Sungai Mekong selepas 13 kelasi China terbunuh dalam satu serangan di laluan sungai itu pada Oktober lalu.

Agensi berita Xinhua semalam melaporkan kerjasama tersebut yang membabitkan pasukan yang dilengkapi senjata, akan bermula pada 15 Disember ini.

Menurut Xinhua yang memetik kenyataan Kementerian Keselamatan Awam China, polis negara ini akan menyertai pasukan dari Laos, Myanmar dan Thailand untuk menjamin keselamatan urusan perdagangan di laluan kapal tersebut.

Sekurang-kurangnya 13 kelasi dua kapal kargo China terbunuh dalam serangan di Sungai Mekong pada 5 Oktober lalu, dipercayai dilakukan oleh kumpulan pengedar dadah di kawasan Segi Tiga Emas itu yang terkenal dengan aktiviti penyeludupan dadah.

Polis Thailand turut menahan sembilan askar yang disyaki membunuh kelasi-kelasi terbabit dan dipercayai mempunyai kaitan dengan kumpulan pengedar dadah Myanmar.

Laluan Sungai Mekong dari wilayah Yunan di barat daya China yang mengalir ke Asia Tenggara, merupakan laluan utama perdagangan melibatkan beberapa negara termasuk Kemboja dan Vietnam.

Serangan tersebut membangkitkan kemarahan China, sekali gus memanggil wakil diplomatik Thailand, Laos dan Myanmar bagi menggesa pihak berkuasa di ketiga-tiga negara terbabit mempercepatkan siasatan.

Beijing bakal mengetuai rondaan tersebut dan menubuhkan ibu pejabat bagi memudahkan komunikasi antara negara-negara yang terlibat dalam kerjasama itu pada setiap hari.

Polis keempat-empat negara terbabit turut meneliti cara yang lebih berkesan dalam meningkatkan kawalan di kawasan itu dan China dilapor akan melatih serta menyediakan kemudahan kepada polis Laos dan Myanmar. - AFP

Utusan Malaysia Online - Luar Negara:

'via Blog this'

Pakistan kaji pakatan dengan AS


ISLAMABAD 27 Nov. - Pakistan hari ini mengumumkan akan mengkaji semula pakatannya dengan Amerika Syarikat (AS) dan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO), selepas lebih 26 anggota tenteranya terbunuh dalam serangan udara merentasi sempadan oleh NATO.

Pakistan bertindak menutup sempadannya dengan Afghanistan kepada NATO, sekali gus akan menghentikan saluran bekalan bantuan kepada lebih 130,000 tentera asing yang menjalankan operasi memburu Taliban, dan mahu AS meninggalkan pangkalan udara rahsia yang dilaporkan digunakan oleh pesawat tanpa juruterbang milik Agensi Perisikan Pusat (CIA).

Islamabad turut memanggil Duta AS, Cameron Munter berhubung serangan itu dan menyifatkan serangan itu sebagai melanggar undang-undang antarabangsa serta memberi amaran kepada tentera asing akan menerima akibat yang buruk, tindakan paling tegas yang diambil.

Tentera NATO yang diketuai AS di Afghanistan mengaku 'kemungkinan besar' pesawat mereka yang menyebabkan kematian tentera Pakistan itu semalam, sekali gus memburukkan lagi hubungan antara kedua-dua negara itu selepas pembunuhan Osama bin Laden.

Komander AS di Afghanistan berjanji melakukan siasatan penuh berhubung serangan itu dan mengucapkan takziah kepada mangsa yang terkorban dalam insiden di sempadan Afghanistan dan Pakistan itu.

Upacara pengkebumian akan diadakan pada pukul 9.30 pagi (12.30 tengah hari waktu Malaysia) hari ini di bandar Peshawar.

Menurut Pakistan, helikopter dan pesawat pejuang NATO melancarkan serangan sepanjang malam Jumaat dan Sabtu ke atas dua pos sempadan tentera, menyebabkan antara 24 hingga 26 tenteranya terkorban dan 13 lagi cedera.

Jurucakap NATO bagi Tentera Bantuan Keselamatan Antarabangsa (ISAF), Brigadier Jeneral Carsten Jacobson mengesahkan, tentera asing yang bekerjasama dengan tentera Afghanistan meminta bantuan serangan udara untuk operasi serangan berhampiran sempadan. - AFP

Utusan Malaysia Online - Luar Negara:

'via Blog this'

Syria kena sekatan



Penunjuk perasaan prokerajaan membawa kain rentang tertera gambar presiden Bashar Assad semasa mengadakan demonstrasi di Damsyik, semalam mengecam keputusan Liga Arab mengenakan sekatan ke atas Syria. - AGENSI


KAHERAH 27 Nov. - Menteri-menteri ekonomi Liga Arab, semalam bersetuju mengenakan sekatan ke atas Syria selepas Damsyik tidak mengendahkan tempoh yang diberikan untuk menamatkan tindakan kekerasan terhadap penunjuk perasaan di negara itu.

Kumpulan menteri ekonomi yang berhimpun di Kaherah bagi menangani krisis di Syria itu berkata, beberapa pegawai kanan negara itu telah disekat daripada melakukan perjalanan melalui lapangan terbang di negara-negara Arab.

"Perdagangan antara kerajaan Arab dengan Syria turut dihentikan, kecuali barangan keperluan penduduk," kata menteri-menteri itu dalam satu kenyataan.

Sebagai sebahagian pakej sekatan, kerajaan Arab akan menghentikan urusan dengan Bank Pusat Syria dan menggantung penerbangan syarikat milik kerajaan negara itu, kecuali untuk membawa barangan keperluan.

Kumpulan Menteri Arab itu turut menuntut negara-negara anggota membekukan aset milik pegawai-pegawai Syria dan menarik balik pelaburan di negara itu.

Menurut kenyataan tersebut, sekatan itu turut dibuat bagi mengelak rakyat Syria menderita.

Menteri-menteri Luar Liga Arab pula dijadualkan mengadakan mesyuarat hari ini berhubung isu Syria yang akan turut dihadiri Menteri Luar Turki, Ahmet Davutoglu.

Tempoh akhir yang ditetapkan oleh Liga Arab untuk Damsyik menyokong rancangan membenarkan Liga Arab memantau negara itu, menghentikan kekerasan dan memulakan dialog telah tamat semalam, tetapi tidak diendahkan oleh Syria. - dpa

Utusan Malaysia Online - Luar Negara:

'via Blog this'

Remaja ‘samseng’ dera seksual


Oleh Hanneeyzah Bariah Baharin

2011/11/28

MARANG: Hasrat seorang remaja perempuan berusia 14 tahun berhijrah dan merubah diri menjadi insan lebih baik dengan memasuki sekolah pemulihan akhlak di sini bertukar tragedi, selepas dia menjadi mangsa penderaan seksual dan buli lima pelajar senior di sekolah berkenaan, petang Khamis lalu.

Kejadian malang itu menimpa mangsa yang hanya dikenali sebagai, Mira, 14, dari Klang, Selangor, dan mendakwa diperlakukan sedemikian oleh lima rakan sebiliknya.
Dalam pertemuan dengan Berita Harian semalam, Mira mendakwa dia didera secara seksual kira-kira setengah jam di dalam asrama sekolah itu, selepas berlaku pertengkaran dengan pelajar senior berusia 14 hingga 17 tahun di dalam bilik mandi kira-kira jam 3 petang.
Katanya, dia yang masuk ke sekolah pemulihan akhlak wanita atas inisiatif sendiri pada September lalu, dipanggil oleh kumpulan pelajar berkenaan ke bilik mandi untuk membantunya mencuci rambut, tetapi ketika itu dia membantah tindakan mereka yang meraba-raba belakangnya.

Namun, dia sekali lagi diganggu pelajar berusia 17 tahun ketika bersiap di bilik untuk menyertai satu program sekolah, tetapi cubaannya melawan ketika itu dibalas dengan tindakan agresif apabila ditolak ke dinding dan kemudian direbahkan di katil.

“Saya menempuh azab kira-kira setengah jam apabila mereka memperlakukan saya seperti binatang,” katanya yang mendakwa perlakuan tidak bermoral itu terhenti selepas seorang pelajar mengetuk pintu bilik memintanya segera ke program berkenaan.

Dalam keadaan kesakitan, lemah serta menangis, Mira berkata, dia pergi ke tingkat bawah sebelum terserempak dengan seorang pelajar senior berusia 19 tahun yang juga rakan baiknya, sebelum menceritakan kejadian itu selepas didesak.
“Selepas memberitahu warden mengenai kejadian itu, saya disuruh berehat sementara menunggu warden menyoal siasat lima pelajar terbabit. Mereka akhirnya mengaku selepas didesak. Saya dihantar pihak sekolah mendapatkan rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu kira-kira jam 10 malam,” katanya.

Sementara itu, ibu mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Nur, 34, berkata dia terkilan kerana pihak sekolah cuba menyembunyikan kejadian yang menimpa anaknya Mira, sebaliknya hanya mengetahui kejadian sebenar daripada Mira.

“Saya terima panggilan polis kira-kira jam 2.15 pagi semalam (Jumaat) memaklumkan Mira dimasukkan ke HSNZ, selepas menjadi mangsa buli,” katanya yang datang dari Klang.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan Ahmad Mazlan Yahaya ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian dan siasatan sedang dijalankan, justeru, tidak dapat mengulas lanjut.
Berita Harian Online | Remaja ‘samseng’ dera seksual:

'via Blog this'

Pakistan arah AS kosongkan pangkalan udara

2011/11/28

ISLAMABAD: Kerajaan Pakistan mendesak Amerika Syarikat mengosongkan pangkalan udara di negaranya dalam masa 15 hari kerana mengesyaki Agensi Perisikan Pusat (CIA) menggunakan ia untuk mengendalikan pesawat kawalan jauh.

Desakan itu dibuat kelmarin selepas helikopter dan jet pejuang Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) menyerang dua pos pemeriksaan tentera Pakistan di sepanjang sempadan Afghanistan, menyebabkan 28 anggota tentera maut.
Islamabad menggariskan tuntutan itu dalam kenyataan yang dihantar kepada wartawan berikutan mesyuarat jawatankuasa pertahanan tergempar yang dipengerusikan Perdana Menteri, Yousuf Raza Gilani.
Pangkalan Udara Shamsi terletak di wilayah Baluchistan. Amerika disyaki menggunakan kemudahan itu pada masa lalu untuk melancarkan pesawat bersenjata kawalan jauh dan pesawat pemantau untuk mengenakan tekanan ke atas pergerakan Taliban dan al-Qaeda di wilayah terpencil Pakistan.

Kejadian kelmarin terus menjadikan hubungan Amerika dan Pakistan yang sudah pun tegang, semakin buruk. Pakistan membalas dengan menutup laluan bekalan utama NATO ke Afghanistan, yang digunakan untuk menghantar material tidak membahayakan pakatan itu.

Serangan itu adalah kejadian tunggal paling buruk seumpamanya sejak Pakistan seolah-olah terpaksa berpakat dengan Washington berikutan tragedi 11 September 2001.

Hubungan antara kedua-dua negara, sekutu dalam kempen memerangi keganasan, tegang berikutan pembunuhan pemimpin al-Qaeda, Osama bin Laden oleh pasukan khas Amerika dalam satu serbuan di Abbottabad Mei lalu, yang disifatkan Pakistan mencabul kedaulatannya.
“Ini adalah serangan ke atas kedaulatan Pakistan. Kami tidak akan membenarkan sebarang bentuk serangan ke atas kedaulatan Pakistan,” kata Gilani.

Kementerian Luar berkata ia akan membawa perkara itu dalam nada paling tegas dengan NATO dan Amerika. –Agensi
Berita Harian Online | Pakistan arah AS kosongkan pangkalan udara:

'via Blog this'

Iran undi usir Duta Britain




2011/11/28

Reaksi balas sekatan Barat berkait program nuklear negara itu

TEHRAN: Parlimen Iran semalam mengundi untuk mengusir Duta Britain sebagai reaksi balas pelaksanaan sekatan terbaru Barat berhubung program nuklear negara itu.

Majoriti 179 ahli parlimen mengundi menyokong usaha mengurangkan hubungan diplomatik dengan utusan bawahan dalam masa dua minggu dan menyeimbangkan hubungan ekonomi dengan Britain ke paras minimum, menurut siaran langsung menerusi radio.
Empat wakil mengundi menentang dan 11 lagi berkecuali.
Ahli parlimen turut menimbang kemungkinan ‘menghukum’ negara lain yang mengambil pendirian seperti Britain.

“Rang undang-undang ini cuma satu permulaan,” kata Speaker Parlimen, Ali Larijani.

Rang undang-undang itu akan dikemukakan kepada Majlis Pengawal Perlembagaan Iran untuk kelulusan sebelum dikuatkuasakan.

Selepas rang undang-undang Parlimen itu diperkenalkan Rabu lalu, Britain berkata, ia kesal jika dutanya ke Tehran, Dominick Chilcott, yang baru menyandang jawatan bulan lalu diusir.
Britain, pada 14 November lalu berkata ia menamatkan semua hubungan sistem kewangannya dengan sistem kewangan Iran. Langkah berkenaan, yang diumumkan selari sekatan diambil Amerika Syarikat dan Kanada, dibuat seminggu selepas laporan pemantau kuasa atom Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyatakan dengan tegas Tehran sedang membuat penyelidikan senjata nuklear.

Britain dan Kanada mempunyai kedutaan di Iran. Amerika menutup kedutaannya di negara itu selepas penuntut menjadikan diplomatnya sebagai tebusan dalam revolusi Iran 1979. Iran menyangkal laporan PBB itu dan menegaskan program nuklearnya untuk tujuan aman.

“Kami percaya adalah penting untuk mengekalkan wakil kanan komunikasi terutama pada waktu seperti ini. Hanya menerusi dialog kita dapat menyelesaikan masalah yang dihadapi,” kata jurucakap Pejabat Luar dan Komanwel Britain.

Penulis rang itu, Allaeddin Boroujerdi, yang mengetuai keselamatan kebangsaan Parlimen dan suruhanjaya dasar luar, berkata: “Jika Britain mengurangkan pendekatan seteru terhadap Iran, kami boleh menjalin hubungan sekali lagi.” – AFP
Berita Harian Online | Iran undi usir Duta Britain:

'via Blog this'

Penerbangan terjejas akibat awan abu



SEBUAH helikopter terbang melintasi awan debu dari gunung berapi Puyehue, Chile.


MONTEVIDEO, Chile - Abu Gunung Berapi Puyehue Chile menyebabkan kelewatan serta pembatalan penerbangan keluar dari Uruguay semalam sekali gus mengecewakan para pelancong yang menggunakan pengangkutan udara di sini, kata beberapa pegawai.

Penerbangan masuk dan keluar dari Buenos Aires telah dibatalkan manakala penerbangan dari Sepanyol berdepan kelewatan berikutan risiko awan abu gunung berapi.

Sejak gunung berapi itu meletus pada 5 Jun lau, perjalanan udara di selatan rantau Amerika Selatan hingga ke Australia terganggu secara berkala berikutan pengeluaran awan abu yang dibawa angin dari gunung berapi Puyehue di banjaran Andes.

Perkhidmatan Geologi dan Perlombongan Kebangsaan Chile menyatakan, gunung berapi Puyehue yang berterusan mengeluarkan abu boleh menjejaskan perjalanan udara selama beberapa bulan.

Pihak berkuasa penerbangan turut bimbang awam abu itu boleh merosakkan pesawat. - AFP

Kosmo! Online - Dunia:

'via Blog this'

Buaya berkeliaran selepas banjir



SEEKOR buaya yang ditangkap di wilayah Nonthaburi, utara Bangkok diletakkan dalam sebuah bot.


BANGKOK - Banjir besar yang semakin surut di Thailand membawa bersama ratusan ekor buaya dari kawasan paya bakau ke kawasan penempatan penduduk di sini.

Berpuluh-puluh ekor reptilia itu termasuk spesies ular berbisa dilihat berkeliaran di beberapa kawasan di ibu kota Thailand tersebut.

Kehadiran tetamu tidak diundang itu mendorong pihak berkuasa melancarkan operasi mencari dan menangkap buaya yang terlepas.

Beberapa pasukan khas Jabatan Perikanan Thai menerima banyak laporan kehadiran reptilia buas itu seperti kejadian yang menimpa seorang penduduk di sini, Anchalee Wannawet.

Lelaki berkenaan melihat seekor buaya sepanjang satu meter dengan mulut terganga luas berada di tepi tandas di luar rumahnya baru-baru ini.

"Saya terus cabut lari," kata pemuda berusia 23 tahun itu.

Selain buaya liar banjir terburuk dalam tempoh separuh abad itu turut menyebabkan ratusan ekor buaya yang menghuni ladang-ladang buaya di pinggir bandar raya ini terlepas. - Agensi

Kosmo! Online - Dunia:

'via Blog this'

Aktivis Greenpeace rantai diri di landasan



SEORANG aktivis Greenpeace menghalang landasan kereta api dekat bandar Lueneburg.


LUENEBURG, Jerman - Sekitar 50 aktivis kumpulan Greenpeace cuba mensabotaj landasan yang dilalui sebuah keretapi mengangkut sisa nuklear ke sebuah loji simpanan di utara Jerman semalam.

Seorang jurucakap polis, Stefan Kuehm-Stoltz berkata, beberapa aktivis merantai diri mereka di landasan untuk menghalang perjalanan kereta api tersebut.

Menurutnya, polis terpaksa menggunakan meriam air untuk menyuraikan mereka.

Kereta api yang membawa 11 kontena berisi sisa nuklear yang telah diproses di Loji La Hague, Perancis itu memasuki Jerman pada Jumaat lalu selepas mengalami kelewatan di Perancis.

Tenaga nuklear tidak popular di Jerman sejak sisa kebocoran loji nuklear Chernobyl di Ukraine pada 1986 memasuki negara itu kerana tiupan angin. - Agensi

Kosmo! Online - Dunia:

'via Blog this'

'Zombi' mengganas di Mexico



ORANG RAMAI berpakaian seperti zombi bergaya di depan kamera semasa menyertai perarakan zombi di Bandar Raya Mexico kelmarin.


BANDAR RAYA MEXICO - Beribu-ribu orang memakai kostum dan mekap menyerupai mayat hidup berhimpun di pusat bandar raya ini sempena acara Jalan Kaki Zombi bertujuan untuk mencatat rekod dunia.

Penganjur acara berkenaan, Pablo Guisa berkata, acara tahunan tersebut yang berlangsung semalam disertai seramai 9,860 peserta.

Selain mencatat rekod dunia, para peserta turut mengumpul derma untuk disumbangkan kepada bank makanan tempatan.

Banyak bandar raya di seluruh dunia mengadakan acara serupa dengan rekod dunia Cities Guinness World Records mengiktiraf Asbury Park, New Jersey, sebagai pemegang rekod dunia dengan 4,093 peserta pada 30 Oktober 2010.

Sebuah kumpulan di bandar raya Brisbane, Australia telah memohon untuk rekod dunia kategori berkenaan apabila mendakwa ia berjaya mengumpulkan seramai 8,000 'zombi' pada bulan lalu. - Agensi

Kosmo! Online - Dunia:

'via Blog this'

Elvis Afghan pujaan wanita Kabul



PENYANYI Farhad Darya (tengah) beraksi semasa mengadakan konsert di Kabul pada 24 November lalu. - AFP


KABUL, Afghanistan - Digelar Elvis Afghanistan, Farhad Darya mungkin satu-satunya lelaki di negara paling konservatif itu yang dapat membangkitkan gelora wanita sehingga mereka menjerit, melambai dan bersiul semasa menonton kosertnya.

Dalam sebuah negara yang mana hak wanita diabai dan muzik diharamkan oleh Taliban hingga 10 tahun lalu, Darya dianggap sebagai ikon di negara itu.

Populariti penyanyi berkenaan terserlah semasa dia mengadakan konsert yang terhad kepada penonton wanita di sini pada minggu lalu.

Konsert itu berlangsung secara rahsia berikutan kebimbangan ia menjadi sasaran serangan bom kumpulan Taliban.

"Saya sentiasa memberitahu semua orang bahawa dia lelaki idaman saya, dia menyanyi dengan baik, personalitinya cukup menarik, dia hebat," kata seorang pelajar wanita berusia 18 tahun Meetra Alokozay.

Populariti Darya di Afghanistan menyebabkan dia dipilih sebagai Duta Muhibbah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Menurut Darya, konsert pada Khamis lalu itu adalah sebahagian kempen memerangi keganasan domestik yang berleluasa di Afghanistan.

"Terdapat masalah besar dalam negara ini. Mereka yang bertanggungjawab dalam politik, kerajaan cuma pandai bercakap tetapi tidak melaksanakannya," kata Darya.

Penyanyi berambut hitam, bermata biru itu masih kacak walaupun usianya kini mencecah 49 tahun.

Dia telah menghasilkan 35 buah album setakat ini dengan kebanyakannya bertemakan politik keamanan.

Lagunya, Kabul Jaan (Kabul yang Dicintai) merupakan lagu pertama dimainkan radio Afghanistan selepas Taliban diusir tentera Amerika Syarikat (AS) dalam tahun 2001.

Elvis Presley ialah antara penyanyi paling popular pada abad ke-20. Lebih 400 juta album penyanyi yang mendapat jolokan Raja Rock&Roll itu dijual di seluruh dunia setakat ini.

Penyanyi dari AS itu meninggal dunia pada 1977. - AFP

Kosmo! Online - Dunia:

'via Blog this'

Empat maut jambatan runtuh di Kalimantan


BEBERAPA anggota polis Indonesia memeriksa tapak jambatan runtuh di bandar Samarinda, Kalimantan Timur semalam.


JAKARTA, Indonesia - Sebuah jambatan sibuk di Kalimantan runtuh dengan menyebabkan sekurang-kurangnya empat orang terbunuh manakala 19 yang lain cedera selepas sebuah bas, beberapa kereta dan motosikal terjatuh ke dalam sungai, kata polis dan saksi.

Seorang pegawai polis, Kapten Syafii Nafsikin berkata, pasukan pencari dan penyelamat bergegas ke tempat kejadian selepas nahas berlaku kelmarin.

Jambatan gantung Kutai Kartanegara sepanjang 700 meter itu dibina menyerupai Jambatan Golden Gate di San Francisco, Amerika Syarikat. Ia menghubungi bandar Tenggarong dan Samarinda di wilayah Kalimantan Timur.

Dalam wawancara bersama stesen televisyen TVONE, saksi kejadian, Syaiful berkata, insiden berlaku ketika jambatan berkenaan sesak dengan kenderaan.

Menurutnya, dia melihat sekurang-kurangnya sebuah bas dan hampir 12 buah motosikal terjunam ke dalam Sungai Mahakam. Beberapa buah kereta turut terjunam ke dalam sungai

"Ramai orang menjeritmeminta tolong ," kata Syaiful.

Jurucakap polis Kalimantan Timur, Kolonel Col. Antonius Wisnu Sutirta berkata, punca jambatan berusia 10 tahun itu tiba-tiba runtuh masih belum dapat dipastikan.

Katanya, semua mangsa yang cedera kini dirawat di beberapa buah hospital berdekatan di wilayah berkenaan. - Agensi

Kosmo! Online - Dunia:

'via Blog this'

Sunday, November 27, 2011

Kami adakan dalam tiap-tiap negeri orang-orang besar yang jahat supaya mereka melakukan tipu daya di negeri itu



وَكَذَلِكَ جَعَلْنَا فِي كُلِّ قَرْيَةٍ أَكَابِرَ مُجَرِمِيهَا لِيَمْكُرُواْ فِيهَا وَمَا يَمْكُرُونَ إِلاَّ بِأَنفُسِهِمْ وَمَا يَشْعُرُونَ
  Dan demikianlah Kami adakan dalam tiap-tiap negeri orang-orang besar yang jahat supaya mereka melakukan tipu daya di negeri itu, padahal tiadalah mereka memperdayakan selain dari dirinya sendiri (kerana merekalah yang akan menerima akibatnya yang buruk), sedang mereka tidak menyedarinya.
  Surah Al An'aam, Ayat 123

Azmin: Umno sudah muflis moral jaga hak rakyat, kami akan ganti

Oleh Mohd Farhan Darwis

PULAI, 25 Nov — Timbalan Presiden PKR Azmin Ali berkata pihaknya sudah bersedia untuk menerajui Malaysia — menggantikan Umno — kerana parti teras BN itu bukan sahaja sudah hilang idealisme perjuangan tetapi juga muflis nilai dan moral bagi mempertahankan hak rakyat.

Berucap merasmikan serentak Kongres Angkatan Muda Keadilan dan Wanita partinya di sini, Azmin menyenaraikan bahawa “Umno sekarang sudah tua yang antidemokrasi, antiintelektual, antihak asasi manusia, antipekerja, sarat dengan politik fitnah dan membudayakan rasuah.”

PKR, komponen Pakatan Rakyat mengadakan kongres tahunannya di Johor, kubu kuat Umno-BN di sebalik spekulasi pilihan raya umum ke-13 akan diadakan dalam waktu terdekat.

“Umno hari ini anti-Melayu, mereka telah membunuh ciri-ciri Melayu yang dianjurkan Islam dan mempertahankan perjuangan kuku besi dan mencabuli hak asasi manusia.

“Transformasi politik Umno telah gagal dan tidak mempunyai iltizam politik, kemenangan Pakatan Rakyat adalah kemenangan untuk rakyat menolak Umno,” katanya sewaktu ucapan tersebut.

Menurut Azmin lagi, ruang demokrasi di negara ini semakin disempitkan oleh Umno melalui beberapa peruntukan dan undang-undang yang dibuat parti itu yang secara jelas memperlihatkan transformasi politik yang dicanangkan Perdana Menteri Najib Razak menunjukkan kegagalan.

“Pemansuhan ISA adalah satu penipuan Umno apabila 13 orang di Sabah ditahan di bawah akta tersebut, lebih malang lagi, apabila akta baru yang menggantikan ISA tetap mengguna pakai elemen tanpa bicara yang bertentangan dengan ‘fundamental liberties’.

“Akta Perhimpunan Aman juga bertentangan dengan hak dan ruang berhimpun untuk rakyat dan sistem demokrasi negara diburukkan lagi dengan isu AUKU-UKM4 yang mana kerajaan secara jelas meremehkan isu ini,” kataya lagi.

Justeru, jelasnya, Pakatan Rakyat dan PKR akan melaksanakan transformasi dan reformasi dalam memperbaiki sitem pendidikan negara berikutan pendidikan merupakan teras kepada pembangunan demokrasi.

“Pendidikan yang bebas daripada pengaruh politik akan membolehkan perkembangan ilmu berlangsung dengan baik,” katanya lagi.

Menyentuh perihal pilihan raya yang dijangka akan dilaksanakan dalam masa terdekat, Azmin mengingatkan setiap sayap parti itu agar menggerakkan kekuatan mereka supaya berterusan kepada momentum yang sedia ada.

“Setiap sayap parti memainkan peranan penting bagi menjamin kemenangan parti. Kemenangan Pakatan Rakyat dan PKR adalah kemenangan untuk rakyat.

“Kemenangan Pakatan Rakyat dan PKR adalah kekuatan rakyat menolak kebobrokan dan menentang kezaliman Umno,” katanya.

Menurutnya, generasi muda berperanan penting memastikan perubahan dapat dilaksanakan dalam pentadbiran negara.

Perkembangan di seluruh dunia jelasnya, menyaksikan kebangkitan generasi muda meggerakkan perubahan dalam negara tersebut.

“Generasi muda perlu memastikan tekad untuk menerajui perubahan yang bakal berlaku, kita melihat generasi muda mempelopori gerakan perubahan yang berlaku di seluruh dunia, sebagai contoh, di Britain dan kebangkitan Arab Spring.

“Ini merupakan cermin anak muda yang menuntut supaya peranan mereka melakukan perubahan diiktiraf oleh kerajaan, dan melakukan perubahan terhadap negara yang zalim dan kejam terhadap rakyatnya,” katanya lagi.

Azmin: Umno sudah muflis moral jaga hak rakyat, kami akan ganti - Yahoo!:

'via Blog this'

10 Penipuan Besar Tentang Israel

Wartawan Belgium, Michel Collon, menggunakan bukunya, ‘Israel, let’s talk about it’ (Israel, mari kita berbicara mengenainya) untuk mendedahkan bagaimana laporan media Eropah melakukan penipuan berdekad-dekad dalam usaha mereka menyokong kewujudan negara haram Israel.

Michel Collon

Dalam buku itu, Collon menyenaraikan 10 penipuan besar disebarkan media Barat bagi menjustifikasi penubuhan negara Israel serta menghalalkan tindakan negara Zionis itu.

Penipuan itu adalah:

1. Penubuhan Israel adalah sebagai reaksi terhadap pembunuhan beramai-ramai bangsa Yahudi ketika Perang Dunia Kedua.

Hakikatnya, kata Collon, projek mewujudkan Israel itu diluluskan Kongres Zionis Pertama di Basel, Switzerland, pada 1897.

Kongres Zionis Pertama di Basel

Dalam persidangan itu, pemimpin Zionis memutuskan untuk menakluk Palestin bagi menyediakan ruang untuk mereka membangunkan Israel.

Untuk makluman, Perang Dunia Kedua berlaku di antara 1939 hingga 1945.

2. Untuk menghalalkan penghijrahan besar-besaran ke Palestin, Yahudi mendakwa wilayah itu adalah warisan mereka selepas diusir pada tahun 70 Masihi.

Kata Collon, data itu hanyalah rekaan semata-mata.

“Saya bercakap dengan beberapa sejarawan terkenal Israel, termasuk Shlomo Sand, yang percaya peristiwa penghijrahan beberapa abad silam tidak pernah berlaku.

Shlomo Sand

“Penduduk Palestin tidak pernah meninggalkan kawasan mereka pada zaman purba.

“Justeru, kedatangan mereka ke Palestin kononnya untuk menduduki tanah warisan tidak berasas sama sekali,” katanya.

Menurut Collon, Yahudi yang mendesak mahu pulang ke ‘tanah asal’ mereka di Palestin sebenarnya berasal dari Barat, Eropah Timur dan Afrika Utara.

Memetik pendapat Sand, Collon berkata, sebenarnya isu negara Yahudi tidak wujud sama sekali kerana bangsa itu yang berada di pelbagai negara tidak memiliki persamaan sejarah, bahasa atau budaya.

“Satu-satunya persamaan mereka adalah agama, tetapi agama bukan asas membina negara,” katanya.

3. Penipuan ketiga ialah dakwaan kononnya Palestin tidak didiami sesiapa ketika Yahudi mula-mula mendudukinya.

Kata Collon, ada beberapa dokumen dan bukti menunjukkan produk pertanian Palestin dieksport ke luar negara pada abad ke-19.

Katanya, Perancis adalah antara negara yang mendapat manfaat daripada produk pertanian Palestin pada abad itu.

4. Ada pihak mendakwa warga Palestin meninggalkan negara mereka secara sukarela.

“Ini satu lagi penipuan,” kata Collon.

Menurut wartawan itu, memang ramai pihak percaya kepada dakwaan palsu berkenaan.

Malah, katanya, pada peringkat awal dia sendiri yakin terhadap tuduhan itu, sehinggalah dia bertemu sejarawan Israel, seperti Benny Morris dan Ilan Pappe.

“Kata Morris dan Pappe, warga Palestin dihalau dan dilarang kembali melalui kekerasan dan keganasan,” katanya.

Warga Palestin dihalau secara besar-besaran pada 1948

Perkampungan Palestin yang ditinggalkan

5. Israel didakwa satu-satunya negara demokrasi di Timur Tengah dan wajib dipertahankan.

Kata Collon, Israel sebenarnya bukan saja negara melanggar undang-undang, malah satu-satunya negara yang tidak dibatasi mana-mana peraturan bagi menjelaskan sempadannya.

“Semua negara di dunia ini memiliki perlembagaan yang menyatakan had batasan masing-masing tetapi tidak bagi Israel.

“Negara itu wujud hasil projek perluasan wilayah yang tidak mengenal batasan dan undang-undangnya amat rasis,” katanya.

Melalui peraturan diguna pakai Israel, kata Collon, negara itu khusus untuk Yahudi dan individu bukan daripada bangsa itu dilihat sebagai ‘bukan manusia’.

“Ia amat bercanggah daripada demokrasi,” katanya.

6. AS didakwa cuba melindungi demokrasi di Timur Tengah melalui Israel.

Pada masa sama, kata Collon, semua pihak tahu AS menyalurkan dana ke Israel sehingga RM9.7 bilion setahun.

“Wang itu digunakan untuk menyerang negara jiran Israel,” katanya.

AS, kata Collon, sebenarnya hanya berminat memastikan aliran petroleum di rantau itu tidak terganggu.

7. AS kononnya berusaha mencapai persetujuan di antara Israel dan Palestin.

“Ia bohong sama sekali,” kata Collon.

Bekas Ketua Dasar Kesatuan Eropah (EU), Javier Solana, pernah memberitahu Israel bahawa negara itu adalah anggota ke-21 EU.

Industri senjata Eropah juga bekerjasama dengan Israel dan menyokong mereka secara kewangan.

Bagaimanapun, kata Collon, apabila warga Palestin memilih kerajaan mereka secara demokratik, Eropah enggan mengiktirafnya, malah memberi lampu hijau kepada Israel menyerang Gaza.

8. Menganggap mana-mana pihak yang mempertikaikan sejarah Israel sebagai anti-Semit.

Sebenarnya, kata Collon, hujah itu digunakan bagi menutup mulut pihak yang cuba mendedahkan tembelang Israel.

“Apabila kita mengkritik Israel, ia bukan semangat anti-Semit, tetapi mengecam dasar kerajaan yang tidak mengiktiraf persamaan hak dan taraf di antara Yahudi, Kristian dan Islam.

“Ia juga memusnahkan keamanan di antara pengikut pelbagai agama,” katanya.

9. Media massa mendakwa Palestin punca keganasan.

Sebaliknya, kata Collon, penjajahan Israel itulah keganasan sebenar kerana mereka merampas tanah dan kediaman penduduk yang berhak.

10. Isu sering dibangkitkan kononnya tiada jalan penyelesaian di antara Israel dan Palestin.

Hakikatnya, kata Collon, penyelesaian boleh dicapai.

“Kita cuma perlu memberi tekanan ke atas sekutu Israel di AS dan Eropah serta rantau lain di seluruh dunia,” katanya.

Bagi Collon, tekanan umum terhadap media massa yang enggan melaporkan kebenaran juga boleh menyumbang kepada penyelesaian sebenar di Timur Tengah.

“Menggunakan Internet atau media lain, marilah kita sama-sama melaporkan berita sebenar mengenai Palestin,” katanya.

http://zharifalimin.blogspot.com/

10 Penipuan Besar Tentang Israel: