Pages

Monday, November 28, 2011

Syria kena sekatan



Penunjuk perasaan prokerajaan membawa kain rentang tertera gambar presiden Bashar Assad semasa mengadakan demonstrasi di Damsyik, semalam mengecam keputusan Liga Arab mengenakan sekatan ke atas Syria. - AGENSI


KAHERAH 27 Nov. - Menteri-menteri ekonomi Liga Arab, semalam bersetuju mengenakan sekatan ke atas Syria selepas Damsyik tidak mengendahkan tempoh yang diberikan untuk menamatkan tindakan kekerasan terhadap penunjuk perasaan di negara itu.

Kumpulan menteri ekonomi yang berhimpun di Kaherah bagi menangani krisis di Syria itu berkata, beberapa pegawai kanan negara itu telah disekat daripada melakukan perjalanan melalui lapangan terbang di negara-negara Arab.

"Perdagangan antara kerajaan Arab dengan Syria turut dihentikan, kecuali barangan keperluan penduduk," kata menteri-menteri itu dalam satu kenyataan.

Sebagai sebahagian pakej sekatan, kerajaan Arab akan menghentikan urusan dengan Bank Pusat Syria dan menggantung penerbangan syarikat milik kerajaan negara itu, kecuali untuk membawa barangan keperluan.

Kumpulan Menteri Arab itu turut menuntut negara-negara anggota membekukan aset milik pegawai-pegawai Syria dan menarik balik pelaburan di negara itu.

Menurut kenyataan tersebut, sekatan itu turut dibuat bagi mengelak rakyat Syria menderita.

Menteri-menteri Luar Liga Arab pula dijadualkan mengadakan mesyuarat hari ini berhubung isu Syria yang akan turut dihadiri Menteri Luar Turki, Ahmet Davutoglu.

Tempoh akhir yang ditetapkan oleh Liga Arab untuk Damsyik menyokong rancangan membenarkan Liga Arab memantau negara itu, menghentikan kekerasan dan memulakan dialog telah tamat semalam, tetapi tidak diendahkan oleh Syria. - dpa

Utusan Malaysia Online - Luar Negara:

'via Blog this'

No comments: