Pages

Thursday, May 19, 2011

Maut dirempuh kereta sewa


ORANG ramai mengangkat motosikal Honda EX5 ditunggang Mohd. 
Shazwan yang maut dalam kemalangan di Kuala Terengganu kelmarin.


KUALA TERENGGANU - Seorang bapa tidak menyangka akan bertemu dengan anaknya yang telah bertahun tidak bertegur sapa dalam keadaan menyayat hati apabila remaja itu meninggal dunia selepas motosikal yang ditungganginya bersama rakan wanita dirempuh sebuah kereta sewa kelmarin.
Kejadian pukul 8.30 malam itu menyebabkan Mohd. Shazwan Yusrien, 19, mati di tempat kejadian selepas dia tercampak kira-kira 50 meter dari lokasi dia dirempuh di persimpangan lampu isyarat Kuala Ibai dekat sini.
Rakan wanita Mohd. Shazwan bersama pemandu dan penumpang kereta sewa berkenaan turut cedera dan dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah.
Difahamkan, kemalangan itu berlaku apabila motosikal jenis Honda EX5 ditunggang Mohd. Shazwan yang dalam perjalanan dari Jalan Tok Adis ke Masjid Tengku Tengah Zaharah telah melanggar lampu merah di persimpangan tersebut lalu dirempuh kereta sewa berkenaan. Kereta itu dalam perjalanan dari Kuala Terengganu ke Chendering.
Yusuf Mohamad, 43, memberitahu, Mohd. Shazwan tidak menegurnya selepas dia mengambil keputusan untuk berpisah dengan bekas isterinya beberapa tahun lalu.KOSMO

Budak tersepit di celah dinding



WAJAH budak lelaki yang tersepit di celah dua bangunan di Daye, tengah China.


BEIJING - Seorang budak lelaki dari Daye di wilayah Hubei tengah China tersepit di celah dinding bangunan selama tiga jam sebelum diselamatkan beberapa anggota bomba, lapor sebuah akhbar semalam.
Budak lelaki itu bersembunyi di celah ruang kecil berukuran 15 sentimeter di antara dua bangunan semasa dia bermain permainan sembunyi bersama rakan-rakannya baru-baru ini.
Pihak bomba dihubungi selepas beberapa rakan dan orang ramai gagal menariknya keluar dari celah bangunan itu.
Beberapa anggota bomba bertindak memasuki salah sebuah bangunan bagi memecahkan dinding berhampiran budak itu untuk menyelamatkannya. - Agensi

Seratus UFO di Shinjuku




KIRA-KIRA 100 objek terbang tidak dikenali (berwarna putih) berlegar-legar di ruang udara Shinjuku, Tokyo pada April lalu.


TOKYO - Sekumpulan cahaya misteri yang dipercayai objek terbang tidak dikenali (UFO) berlegar-legar dengan laju di ruang angkasa Shinjuku, Tokyo, lapor laman Rocketnews24 semalam.
UfO itu muncul pada 8 April lalu pada pukul 4 petang dan klip video tersebut disiarkan di laman YouTube.
Menurut individu yang merakamkan klip itu, sejumlah orang turut melihat UFO itu di luar rumahnya.
Dia berkata, terdapat 100 UFO yang bergerak sebelum ia berkurangan sehingga menjadi 20 buah sahaja.
Terdapat dua buah pesawat terbang berdekatan UFO itu tetapi objek tersebut mungkin berada pada altitud yang lebih tinggi, katanya. - Agensi

Sakit jantung sudah wujud pada zaman firaun




GAMBAR yang disiarkan kelmarin menunjukkan salah satu mumia yang diimbas dengan menggunakan komputer di Muzium Kaherah Mesir pada 10 Mei lalu.


PARIS - Seorang puteri Mesir yang hidup di antara 1580 dan 1550 Sebelum Tahun Masihi merupakan manusia pertama dalam sejarah diketahui menghidap penyakit jantung koronari.
Penyakit itu dikesan menerusi imbasan komputer yang memberikan imej terperinci ke atas mumia Puteri Ahmose-Meryet-Amon yang meninggal dunia semasa berumur dalam lingkungan 40-an.
Menurut Persatuan Kardiologi Eropah, puteri itu didapati mempunyai aterosklerosis atau satu pengumpulan bahan lemak di dua dari tiga saluran koronari.
"Pada hari ini, dia mungkin memerlukan pembedahan pintasan jantung," kata ketua analisis mumia itu, Gregory Thomas yang juga Pengarah Pendidikan Nuklear Kardiologi di Universiti of California di Irvine, Amerika Syarikat menerusi telefon.
Menurutnya, dia berasa terkejut dengan jumlah pengumpulan lemak yang ditemui itu.
Separuh daripada mumia yang dikaji itu menunjukkan terdapat tanda-tanda pengapuran dalam saluran arteri yang menunjukkan tanda aterosklerosis.
Purata kematian mumia itu ialah kira-kira 45 tahun. - AFP

Detik-detik cemas wanita mahu bunuh diri




LEHER wanita itu sempat ditarik daripada jatuh oleh seorang pegawai tempatan.


CHANGCHUN - Ratusan orang berkumpul untuk melihat detik-detik cemas seorang wanita yang memakai baju pengantin berwarna putih duduk di tepi tingkap apartmennya di sini kerana mahu membunuh diri kelmarin.
Wanita berusia 22 tahun itu cuba terjun dari tingkap di tingkat tujuh tetapi dia sempat diselamatkan oleh seorang pegawai tempatan.
Dia dipercayai mahu membunuh diri selepas teman lelakinya selama empat tahun memutuskan hubungan selepas mereka merancang untuk berkahwin.
Namun, wanita itu akhirnya diselamatkan oleh seorang pegawai tempatan, Guo Zhong Fan yang pantas memegang leher, bahu dan gaun wanita tersebut.
Seorang lagi lelaki kemudian memanjat keluar dari satu lagi tingkap untuk menolak kaki wanita itu bagi membantu menyelamatkan mangsa. - Agensi

Tentera Mesir tiada rancangan maafkan Hosni



KAHERAH - Majlis ketenteraan yang mentadbir Mesir buat sementara menolak spekulasi bahawa ia akan memaafkan bekas Presiden, Hosni Mubarak.
Hosni, 83, yang kini sedang disiasat kerana rasuah dan penyalahgunaan kuasa ditahan di sebuah hospital di pusat peranginan Sharm el-Sheikh di negara ini.
Isterinya, Suzanne yang juga sakit semasa ditahan pihak berkuasa telah dibebaskan kelmarin selepas bersetuju menyerahkan sejumlah aset tetapi berdepan dengan siasatan rasuah.
"Majlis Tertinggi Angkatan Tentera menegaskan tidak terdapat sebarang kebenaran berhubung apa (berita) yang disiarkan oleh media bahawa pihak majlis akan memaafkan bekas presiden dan keluarganya," kata satu kenyataan tentera yang disiarkan di laman Facebook.
Hosni meletakkan jawatan pada 11 Februari lalu selepas penunjuk perasaan berkumpul selama 18 hari di Dataran Tahrir, Kaherah bagi menuntut beliau meletakkan jawatan selepas berkuasa hampir 30 tahun. - Agensi

Kawan rosakkan kereta Lamborghini RM1.1 juta



KERETA Lamborghini Murcielago yang remuk teruk dalam kemalangan di Sydney pada Ahad lalu.


SYDNEY - Seorang remaja berusia 22 tahun dilaporkan memandu sebuah kereta sport Lamborghini Murcielago bernilai AS$363,657 (RM1.1 juta) milik kawannya yang melanggar sebuah teksi, lapor sebuah akhbar semalam.

Dia memandu kereta itu pada pagi Ahad lalu sebelum hilang kawalan di sebatang jalan raya di Sydney, Australia. Lebih malang lagi, kereta tersebut kemudian bertembung dengan sebuah teksi yang mengakibatkan kedua-dua buah kereta mengalami kerosakan teruk.

Pemandu teksi itu merupakan wanita berusia 51 tahun dan dia terperangkap di dalam kenderaan lebih sejam sebelum diselamatkan dengan sebelah kakinya patah.

Pemilik kereta Lamborghini Murcielago yang berusia 30 tahun itu mungkin berdepan masalah untuk menuntut kerugian daripada syarikat insurans kerana kereta tersebut tidak diinsuranskan kepada pemandu berusia bawah 25 tahun.

Dia memberi pinjam kepada rakannya itu namun keretanya kini sukar untuk dikenali pasti kerana remuk teruk.

"Saya menganggap pemandu kereta itu berada (dirawat) dalam ambulans kedua. Sukar dipercayai dia masih boleh berjalan tanpa sebarang kecederaan," kata seorang saksi, Daisy Buckle.

Seorang lagi penumpang kereta sport itu yang berusia 26 tahun mengalami cedera ringan di bahagian dada.

Kereta sport Lamborghini Murcielago didedahkan kepada umum pada tahun 2002.

Pembuat kereta dari Itali itu menggunakan enjin bersesaran 6.2 liter V12.

Pihak polis sedang menyiasat kemalangan itu dan akan mendakwa pemandu tersebut kerana memandu secara berbahaya.

Seorang jurucakap polis mengesahkan bahawa pemandu itu tidak berada di bawah pengaruh alkohol. - Agensi

Kosmo! Online - Dunia

Wednesday, May 18, 2011

Amerika lanjutkan sekatan ekonomi ke atas Myanmar


WASHINGTON: Amerika Syarikat kelmarin melanjutkan sekatan ekonomi ke atas Myanmar sambil menggesa negara itu agar melaksanakan lebih banyak pembaharuan politik.Presiden Barack Obama dalam kenyataannya kepada Dewan Kongres berkata beliau bertindak demikian kerana Myanmar telah mengambil tindakan yang disifatkan 'bermusuhan dengan kepentingan Amerika'.Sekatan ekonomi Amerika sepatutnya luput akhir bulan ini.Menurut Encik Obama, sekatan itu dilanjutkan kerana pemerintah Myanmar melakukan 'penindasan besar-besaran ke atas pembangkang demokratik' di negara itu.Pada 2009, pentadbirannya melancarkan dialog dengan Myanmar selepas merumuskan usaha memencilkan negara itu sebelum ini gagal mencapai matlamat yang diinginkan.Namun, Amerika kecewa dengan hasil dialog dan menolak gesaan beberapa negara Asean agar melonggarkan sekatan ke atas Myanmar selepas negara itu mengadakan pilihan raya umum yang pertama dalam tempoh 20 tahun pada November tahun lalu.Kelmarin, Presiden Myanmar, Encik Thein Sein, dalam ucapannya yang disiarkan di televisyen, mengumumkan pemerintahnya akan mengurangkan setahun tempoh tahanan bagi semua banduan.Hukuman mati yang dikenakan ke atas banduan pula akan digantikan kepada hukuman penjara seumur hidup.Secara keseluruhan, sekitar 17,000 akan dibebaskan ekoran pengurangan tempoh tahanan itu.Namun, sebahagian besar golongan itu dipercayai merupakan penjenayah biasa.Myanmar kini masih memenjarakan lebih 2,000 tahanan politik.Antara tahanan politik itu ialah seorang aktivis pelajar, Min Ko Naing, yang dikenakan hukuman penjara 65 tahun dan seorang pemimpin parti etnik minoriti, Hkun Htun Oo, yang menjalani hukuman penjara lebih 80 tahun.Pemerintah Myanmar, bagaimanapun, menafikan adanya tahanan politik sambil menegaskan semua banduan didapati bersalah atas tuduhan jenayah.Amerika dan para aktivis demokrasi menggesa agar tahanan politik itu dibebaskan.'Kami ingin mengulangi gesaan kami agar semua tahanan politik dibebaskan segera,' kata jurucakap Jabatan Negara Amerika, Encik Mark Toner.Pemimpin pembangkang, Cik Aung San Suu Kyi, dibebaskan daripada tahanan dalam rumah beberapa hari selepas pilihan raya umum diadakan.Pihak pembangkang dan pemimpin Barat menyambut baik pembebasan itu tetapi mendakwa pilihan raya Myanmar tidak dijalankan secara bebas dan adil.Pemerintah Myanmar digesa agar mengambil lebih banyak tindakan untuk memperbaiki rekod hak asasi kemanusiaannya. -- AP, AFP.
Cyberita Online Luar Negara

Ibu pejabat agensi antirasuah Libya antara bangunan diserang Nato

TRIPOLI: Sebuah bangunan perkhidmatan keselamatan dan ibu pejabat agensi antirasuah terbakar di sini semalam selepas menjadi sasaran serangan udara pesawat Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato).
Kepulan asap putih kelihatan dari kawasan itu selepas letupan kedengaran sekitar 1.30 pagi (waktu tempatan) dan ia disusuli bunyi siren ambulans.Ketua agensi antirasuah Libya berkata beberapa kakitangannya cedera dalam serangan itu tetapi tidak memberikan butir lanjut.Jurucakap pemerintah Libya, Encik Mussa Ibrahim, berkata Majlis Peralihan Kebangsaan (NTC) menyasarkan agensi tersebut kerana ingin memusnahkan fail-fail berkaitan bekas pegawai rejim yang belot dan menyertai pasukan pemberontak.'Kami percaya Nato telah diperdaya untuk memusnahkan fail-fail berkaitan kes rasuah pegawai itu,' kata Encik Mussa kepada wartawan.Sementara itu, Ketua Pendakwa Raya Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) kelmarin memohon supaya waran tangkap dikeluarkan terhadap Encik Muammar Gaddafi, sehari selepas rejim pemimpin Libya itu menawarkan perdamaian sementara sebagai balasan menghentikan serangan udara yang diketuai Nato itu.Encik Luis Moreno-Ocampo berkata waran berkenaan turut dipohon terhadap anak lelaki Encik Gaddafi, Encik Seif al-Islam, dan Ketua Risikan, Encik Abdullah Senussi, atas jenayah terhadap kemanusiaan.'Kami mempunyai bukti yang sangat kukuh. 
Kami hampir bersedia menjalankan perbicaraan... Gaddafi memerintah Libya melalui rasa takut dan rakyat Libya mula hilang rasa takut itu,' kata Encik Moreno-Ocampo.Pihak pendakwa raya telah mewawancara saksi yang melihat serangan pasukan keselamatan pemerintah ke atas orang awam dan mendapatkan bukti daripada 1,200 dokumen, rakaman video dan foto.Pihak pendakwa raya juga sedang menyiasat dakwaan berlaku kejadian rogol beramai-ramai oleh pasukan keselamatan.
Pegawai Libya, bagaimanapun, mengecam ICC dan menyifatkannya sebagai mahkamah yang diwujudkan pihak Barat untuk menghukum pemimpin-pemimpin Afrika. -- Reuters, AP.Cyberita

7,000 penduduk dipindah kerana kebakaran hutan

OTTAWA: Kira-kira 7,000 penduduk dipindahkan selepas kebakaran hutan merebak ke bandar Slave Lake di barat Canada pada awal musim kebakaran hutan, kata pihak berkuasa kelmarin.

Dua kebakaran memusnahkan 2,900 hektar hutan berhampiran sebelum merebak ke bandar ini dan turut mengancam tiga bandar lain.


'Tiada amaran dikeluarkan terhadap kebakaran yang merebak dengan pantas. Berkemungkinan tiupan angin menyebabkan api menyeberangi lebuh raya dengan pantas ke bandar,' kata Datuk Bandar Slave Lake, Cik Karine Pillay-Kinee, kepada saluran televisyen CBC.
Banyak rumah dan bangunan musnah dan siaran televisyen menunjukkan 1,000 anggota bomba berusaha keras memadamkan api yang marak membakar sebaris bangunan, sebagai usaha menyelamatkan sakibaki bandar yang terletak di 250 kilometer utara Edmonton, Alberta.
Kebakaran itu turut memaksa syarikat-syarikat minyak di utara Alberta menghentikan pengeluaran sehingga berpuluh-puluh ribu tong kelmarin.'Anda boleh rasakan bahang api, bau asap yang tebal... anda boleh lihat beberapa kawasan masih terbakar dan anggota bomba kami sedang berusaha mengawal kebakaran,' kata Cik Pillay-Kinee. -- AFP, Reuters.Cyberita

Kereta rempuh rumah






HEMPAP...kereta Proton Persona terbabas dan  merempuh rumah mangsa.
HEMPAP...kereta Proton Persona terbabas dan merempuh rumah mangsa.



ROSAK...sebahagian rumah mangsa yang dihempap kereta Proton Persona.
ROSAK...sebahagian rumah mangsa yang dihempap kereta Proton Persona.

ALOR GAJAH: “Syukur kerana kemalangan ini tidak membabitkan kehilangan nyawa. Selalunya, anak-anak duduk di beranda sebelum mengaji,” kata Sabrina Taib, 36, menceritakan kejadian sebuah kereta terbabas dan melanggar dinding rumahnya di Kampung Parit Melana, Durian Tunggal, dekat sini, petang kelmarin.
Menurutnya, kereta Proton Persona dipandu seorang lelaki itu terbalik dengan empat tayar di atas dan berlaku limpahan petrol sehingga mencetus kebimbangan berlakunya kebakaran.

“Masa itu saya duduk berehat dengan tiga anak saudara di bahagian belakang rumah pusaka itu sambil menonton televisyen kira-kira jam 3.20 petang.

“Tiba-tiba saya dengar dentuman kuat di bahagian depan rumah disusuli bunyi kaca pecah. Mulanya saya terfikir pokok tumbang atau rumah dipecah masuk.

“Disebabkan tidak sedap hati, saya membuka pintu belakang dan berjalan ke hadapan rumah sebelum ternampak sebatang dahan patah, namun tiada pokok tumbang.


“Saya terus berjalan ke depan dan tergamam melihat sebuah kereta terbalik dengan empat tayar di atas di beranda rumah. Sebaik terbau petrol saya terus berlari mendapatkan pertolongan anak saudara untuk mengeluarkan mangsa kemalangan itu,” katanya.

Menurutnya, anak saudaranya yang membantu memberitahu ada petrol melimpah keluar dari kereta berkenaan.

“Kami seperti hilang arah kerana takut sesuatu lebih buruk berlaku iaitu kereta itu meletup sebelum pemandu kereta yang cedera merangkak keluar kira-kira lima minit kemudian dan terus naik ke atas jalan kerana rumah kami berada di bawah tebing di selekoh.

“Kemudian anggota polis tiba diikuti anggota bomba menyembur cecair bagi menghalang limpahan minyak petrol itu,” katanya yang masih terkejut.

Sabrina berkata, dia bersyukur kerana tiada ahli keluarganya atau orang lain mengalami kecederaan teruk dalam kemalangan itu.


Katanya, kejadian itu kali kedua dan kemalangan pertama berlaku sekitar 1980-an apabila tayar sebuah lori tercabut serta terpelanting ke rumah berkenaan tetapi tidak membabitkan kehilangan nyawa atau kerosakan.


“Setengah jam sebelum kejadian, suami ada bersama pesakit di sebuah bilik di tepi beranda yang rosak teruk. Kebetulan dia (suami) yang juga pengamal perubatan tradisional pergi merawat pesakit di Tampin, Negeri Sembilan.


“Saya anggarkan kerosakan dialami kira-kira RM20,000,” katanya.


Sementara itu, jurucakap polis trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Alor Gajah mengesahkan menerima laporan kemalangan itu ketika dihubungi petang semalam.


Menurutnya, hasil siasatan awal pihaknya tidak menolak kemungkinan kemalangan dipercayai berlaku apabila pemandu terbabit gagal mengawal kenderaannya akibat dipandu laju sebelum terbabas dan melanggar rumah terbabit.


Katanya, kes berkenaan kini disiasat mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu cuai dan berbahaya hingga menyebabkan kemalangan serta Peraturan 10 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas, Akta Pengangkutan Jalan 166/59.
myMetro

Gempa sederhana landa Pulau Mariana

myMetro
"KUALA LUMPUR: Satu gempa bumi sederhana berukuran 5.2 pada skala Richter dikesan di selatan Pulau Mariana, kira-kira 2,394 kilometer timur laut Davao, Filipina pada pukul 10.42 pagi ini.

Jabatan Meteorologi Malaysia dalam satu kenyataan hari ini berkata ia dikesan kira-kira 3,250 kilometer timur laut Lahad Datu, Sabah.


Menurutnya gempa itu tidak mencetuskan ancaman tsunami."

Kembalikan Amal


SANAA: Keluarga balu termuda Osama bin Laden di Yaman menuntut wanita terbabit dikembalikan ke negara itu bersama lima anaknya selepas mereka ditahan Pakistan sejak pemimpin al-Qaeda berkenaan dibunuh Amerika Syarikat awal bulan ini.
Waris Amal Abdulfattah, Zakariya, berkata dia menerima jaminan daripada Duta Yaman di Islamabad bahawa wanita terbabit kini sihat walaupun cedera terkena peluru pada kakinya.

Kata Zakariya, Amal dan semua anaknya - tiga perempuan dan dua lelaki - mesti dibawa pulang dari Pakistan.
“Anak sulung Amal, Safiya, baru berusia 10 tahun,” katanya semalam.

Sebelum itu, kumpulan hak asasi manusia Yaman, Pertubuhan Kebangsaan Mempertahankan Hak dan Kebebasan (HOOD) berkata mereka kini bekerjasama dengan pihak berkenaan bagi membawa pulang Amal, 29.

Peguam HOOD, Abdulrahman Baraman, berkata pertubuhan itu kini bertindak bagi pihak keluarga Amal.
Abdulrahman berkata, HOOD akan meminta kerajaan Yaman menuntut pembebasan Amal serta membawanya kembali ke negara asal.

“Amal tak bersalah. Satu-satunya jenayah Amal ialah bernikah dengan Osama,” katanya.
HOOD juga, kata Abdulrahman, bercadang menghubungi pertubuhan hak asasi antarabangsa bagi mendapatkan bantuan.

Sebelum ini, Islamabad berkata, tiada mana-mana negara membuat permohonan mengekstradisi dua balu Osama.

Selain Amal, seorang lagi balu Osama berasal dari Arab Saudi.

Amal bertemu jodoh dengan Osama selepas diuruskan orang tengah pada 1999. - AFPmyMetro | Kembalikan Amal

Pemberontak Islam Russia teruskan perjuangan



MOSCOW: Pemimpin kumpulan pemberontak Islam paling dikehendaki Russia, Doku Umarov, berkata kematian Osama bin Laden tidak memberi kesan besar kepada perjuangan mereka.
“Adakah kematian Osama memberi kesan kepada dunia? Rasanya, golongan kafir pun tak yakin hidup mereka menjadi lebih mudah,” katanya dalam temu bual disiar laman sesawang Kavkaz Centre, semalam.

Kata Umarov, selama ini semua petunjuk membuktikan kematian seseorang pemimpin jihad tidak menghentikan perjuangan Islam.
Pernah cuba dibunuh pasukan keselamatan Russia melalui serangan udara Mac lalu, Umarov turut menafikan kematian pejuang pemberontak Islam Russia baru-baru ini menjejaskan aktiviti mereka.

Katanya, perjuangan itu akan diteruskan di seluruh negara tetapi kematian anggotanya memaksa mereka menukar taktik.

“Mungkin keadaan di Nalchik (terletak di Kabardino-Balkariya dalam wilayah Caucasus) tetapi berlaku serangan besar di Vladivostok.
“Kami melihat seluruh Caucasus dan Russia sebagai pentas operasi ketenteraan tunggal,” katanya.

Umarov mengetuai pertubuhan kabur, dikenali Emiriah Caucasus yang berjuang membentuk kerajaan Islam di rantau itu.
Mac lalu, Russia mengebom kubu kumpulan itu di wilayah Ingushetia tetapi Umarov terselamat. - AFPmyMetro

2 tentera Pakistan cedera ditembak helikopter Nato


MIRANSHAH: Serangan helikopter Nato dari Afghanistan di Wacha Bibi, Waziristan Utara, mencederakan dua tentera Pakistan, semalam.
Kejadian itu berlaku hanya sehari selepas Senator Amerika Syarikat, John Kerry, cuba meredakan ketegangan negara itu dengan Islamabad ekoran operasi membunuh Osama bin Laden di Abbottabad, awal bulan ini.

Pegawai Nato berkata, helikopter terbabit menembak satu pos pemeriksaan tentera di Wacha Bibi selepas mereka diserang.
Washington menganggap wilayah sempadan Pakistan - Afghanistan itu sebagai pusat persembunyian al-Qaeda, manakala Taliban dan militan lain merancang menyerang kepentingan AS serta Barat dari situ.

Kenyataan dikeluarkan Islamabad berkata, dua helikopter Nato menceroboh ruang udara Pakistan pada awal pagi.

“Tentera melepaskan tembakan ke arah pesawat itu, menyebabkan berlaku tembak-menembak yang mencederakan anggota keselamatan Pakistan,” kata kenyataan itu. - AFPmyMetro | 2 tentera Pakistan cedera ditembak helikopter Nato

Jejak Osama bin Ladin: 'Osama orang budiman, mesra'


GAMBAR Hamid bersama Osama bin Laden dalam pertemuan pada 1997.
GAMBAR Hamid bersama Osama bin Laden dalam pertemuan pada 1997.

Pengarang Zeo TV News kagumi keperibadian pemimpin Al-Qaeda

BERBEZA dengan apa yang digambarkan pihak Barat, karektor Osama bin Laden sebenar ialah lelaki budiman, mudah mesra, lembut tutur kata dan amat menghormati tetamunya. Ini diakui Pengarang Zeo TV News Pakistan, Hamid Mir, satu-satunya wartawan di dunia yang berpeluang menemuramah Osama dalam beberapa pertemuan sulit sekitar Afghanistan, termasuk di lokasi persembunyiannya di pergunungan Tora Bora.Hamid, 42, kali pertama bertemu lelaki paling dikehendaki itu pada 12 Mac 1997. Beliau tidak percaya langsung Osama seorang pengganas yang mempunyai rangkaiannya di seluruh dunia.
“Siapa Osama pun (ketika pertemuan pertama) saya tidak tahu... beliau belum cukup terkenal ketika itu. Tidak banyak maklumat mengenainya ketika itu, kecuali dikaitkan dengan serangan bom di Kedutaan Kenya, Tanzania. Berita Harian

Senjata nuklear penyelamat Pakistan daripada musibah

WASHINGTON: Pengasas program nuklear Pakistan secara habis-habisan mempertahankan pendirian negaranya memiliki senjata itu sebagai faktor yang menghalang mereka daripada menerima nasib seperti yang menimpa Iraq atau Libya.


Ketika memberitahu pandangannya menerusi majalah Newsweek, Abdul Qadeer Khan, berkata senjata nuklear Pakistan berupaya menghalang peperangan dengan seteru ketatnya India yang dituduhnya menjalankan ‘program atom besar-besaran’ kerana bercita-cita untuk mencapai status kuasa dunia.
“Jangan ketepikan fakta bahawa tiada negara yang mempunyai keupayaan nuklear menjadi sasaran ketenteraan atau penjajahan serta kawasan sempadannya ditulis semula.
“Jika Iraq dan Libya menjadi kuasa nuklear, mereka tidak akan dimusnahkan dengan cara yang kita lihat baru-baru ini,” kata Qadeer.

Beliau juga berpendapat bahawa Bangladesh tidak akan mendapat kemerdekaan pada 1971 jika Pakistan mempunyai senjata nuklear.

Pada masa itu, India menyokong kemerdekaan Bangladesh yang berhasil selepas pertempuran sembilan bulan yang dihentikan tentera Pakistan selepas pertumpahan darah dahsyat.

Ramai rakyat Pakistan menganggap Qadeer sebagai wira negara kerana membangunkan bom nuklear pertama di sebuah negara Islam. India dan Pakistan melakukan ujian nuklear pada 1998.
Qadeer mengakui pada 2004 beliau melakukan penjualan nuklear rahsia di pasaran gelap kepada Iran, Libya dan Korea Utara. Namun, beliau kemudian menarik balik kenyataannya dan pada 2009 dibebaskan daripada tahanan rumah, walaupun diminta mendiamkan diri.

Pada Mac lalu, kuasa Barat melancarkan satu kempen ketenteraan ke atas Libya berhubung kebimbangan keganasan ke atas orang awam. Pemimpin Libya, Muammar Gaddafi bersetuju pada 2003 untuk menamatkan program nuklearnya dan cuba berbaik dengan Barat.

Pakistan semakin bimbang mengenai program nuklearnya selepas tentera Amerika Syarikat berupaya memasuki negara itu secara rahsia untuk membunuh lelaki paling dikehendaki dunia, Osama bin Laden, yang tinggal di bandar tentera Abbottabad, pada 2 Mei lalu.

Qadeer menyelar rakyat Pakistan tertentu yang memegang pandangan bahawa mereka tidak mampu untuk terus memiliki program nuklear sendiri kerana negara itu dibelenggu kemiskinan. – AFP
Berita Harian

Menteri Minyak Libya belot


FOTO 27 Mei 2009 menunjukkan Shokri menjawab pertanyaan media sebaik tiba di Vienna untuk menghadiri sidang OPEC.
FOTO 27 Mei 2009 menunjukkan Shokri menjawab pertanyaan media sebaik tiba di Vienna untuk menghadiri sidang OPEC.

Libya nafi Shokri Ghanem berpaling tadah selepas lari ke Tunisia

TUNIS: Menteri Minyak Libya, Shokri Ghanem, sudah berpaling tadah daripada pentadbiran Muammar Gaddafi dan lari ke Tunisia, dakwaan yang disahkan oleh pemberontak tetapi dinafikan oleh Tripoli.
“Beliau berada di hotel dengan sekumpulan pegawai Libya lagi,” kata sumber di Tunisia kepada agensi berita manakala seorang lagi sumber keselamatan menyatakan Shokri, 68, dalam perjalanan ke Tunis.
Tetapi, seorang pegawai Libya di ibu negara Tripoli menegaskan, tiada tanda-tanda bahawa Shokri yang juga pengerusi Perbadanan Minyak Kebangsaan Libya (NOC) sudah belot.

“Saya tiada berita menyatakan beliau meletakkan jawatan, berpaling tadah atau seumpamanya. Sudah menjadi kerjanya untuk bergerak ke sana sini dan menghubungi syarikat minyak.

“Jadi, kami tidak mendengar apa-apa pun selain daripada beliau menjalankan tugas seperti biasa,” kata pegawai itu lagi yang dipetik agensi berita Reuters.

Menurut satu lagi laporan oleh agensi Agence France Presse (AFP), Shokri sudah melintasi masuk sempadan Tunisia menggunakan sebuah kereta dan berada di hotel pulau Djerba.
Pengurusan hotel itu memberitahu, pegawai kanan Libya berkenaan membawa anggota keluarganya tetapi tidak diketahui destinasi mereka.

Buat masa ini, Shokri belum menghubungi pegawai kerajaan Tunisia selepas melintas sempadan Ras Jedir.

Ada juga laporan memetik seorang pekerja hotel berkenaan sebagai memberitahu bahawa Shokri sudah mendaftar keluar hotel paling mewah di Djerba itu.

Anggota keselamatan di lapangan terbang Djerba berkata, Shokri tidak dikesan berada di terminal berkenaan.

Jika Shokri benar-benar belot, beliau adalah pegawai paling kanan meninggalkan kerajaan Gaddafi selepas pemberontakan meletus pertengahan Februari lalu.

Bekas Menteri Luar, Mussa Kussa berpaling tadah di Britain pada Mac lalu selepas keluar dari Libya dan masuk ke Tunisia.

April lalu, Jabatan Perbendaharaan Amerika Syarikat membekukan aset lima pegawai kanan Gaddafi termasuk Shokri bagi memaksa orang kanan pemimpin itu belot. – AFP/Reuters Berita Harian

Imam, anak nafi bantu Taliban



HAFIZ MUHAMMED (kanan) dan anaknya, Izhar ketika didakwa di mahkamah, semalam.
HAFIZ MUHAMMED (kanan) dan anaknya, Izhar ketika didakwa di mahkamah, semalam.

Hafiz Muhammad, Izhar Khan dituduh beri wang kepada militan

MIAMI: Seorang imam berusia 76 tahun dari Florida dan anak lelakinya diarah hadir di sebuah Mahkamah Persekutuan Amerika Syarikat kelmarin untuk berdepan dakwaan memberi sokongan termasuk wang kepada Taliban Pakistan.
Hakim majistret Barry Garber menjadualkan sesi perbicaraan 23 Mei ke atas Hafiz Muhammad Sher Ali Khan kelahiran Pakistan, imam Masjid Miami dan anak lelakinya Izhar Khan, 24, yang juga seorang imam di sebuah masjid lain di Florida.
Dua tertuduh, yang membuat kemunculan mahkamah pertama di sini sejak ditahan Sabtu lalu, akan ditahan sehingga sesi mahkamah berikutnya, arah Garber. Kedua-duanya warga Amerika.

Peguam bela untuk Hafiz Khan berkata anak guamnya bercadang membuat pengakuan tidak bersalah.

Kedua-duanya adalah antara enam orang termasuk tiga lagi anggota keluarga lain Hafiz Khan, yang didakwa atas tuduhan bersubahat memberi wang dan sokongan kepada Taliban Pakistan yang dianggap organisasi Pengganas oleh Amerika.

Cucu Hafiz Khan, Alam Zeb, 19, yang menjadi seorang daripada tiga tertuduh masih bebas di Pakistan, menafikan tuduhan, mengatakan keluarga itu hanya membantu mangsa perang.
Dakwaan ke atas keenam-enam mereka didedahkan ketika hubungan Amerika dengan Pakistan tegang berhubung serbuan Amerika yang mengorbankan pemimpin al-Qaeda, Osama bin Laden di Pakistan minggu lalu.

Kedua-dua imam dan anak lelakinya digari dan dirantai dan memakai seragam penjara berwarna kelabu dan kopiah. Hafiz Khan, yang memakai cermin mata tebal, kelihatan pucat.

Seorang penterjemah Urdu-Inggeris membuat terjemahan untuknya. – Reuters Berita Harian

Hosni Mubarak rayu diberi pengampunan


pix_gal0
Bekas Presiden Mesir mohon maaf kepada rakyat, isteri serah aset

KAHERAH: Bekas presiden Mesir, Hosni Mubarak akan mengemukakan permohonan maaf secara rasmi kepada rakyat negara itu dan merayu diberi pengampunan, tiga bulan selepas beliau digulingkan dalam satu tunjuk perasaan besar-besaran.
Isteri Mubarak, Suzanne akan menyerahkan asetnya dan bakal dibebaskan daripada tahanan atas langkahnya itu.
Seorang pegawai berkata, siasatan oleh pendakwa raya anti-rasuah mendedahkan bahawa Suzanne memiliki AS$3 juta (RM9.13 juta) dalam akaun bank di Mesir dan sebuah villa di pinggir bandar tempat beliau dan suaminya tinggal.

Tidak jelas berapa banyak wang disimpan Mubarak di luar negara.

Pegawai itu yang enggan dikenali berkata, kes ke atas isteri pemimpin berkenaan belum ditutup namun penyerahan wang terbabit menyebabkan beliau dibebaskan dengan bersyarat.

Mubarak pula sedang merangka surat untuk disiarkan di televisyen Mesir dan negara Arab, memohon maaf bagi pihak diri dan keluarganya atas sebarang kesalahan kepada rakyat, lapor akhbar al-Shorouk.
“Beliau juga akan memohon maaf terhadap sebarang sikap yang berpunca daripada maklumat salah yang diterima daripada penasihatnya,” kata akhbar itu lagi.

Mubarak, 83, dan isterinya Suzanne, 70, ditahan di sebuah hospital di pusat peranginan Sharm el-Sheikh dekat Laut Merah, selepas mengalami serangan jantung ketika disoal siasat atas dakwaan rasuah.

Mubarak juga bersedia menyerahkan asetnya kepada kerajaan dalam usaha untuk kemungkinan ‘mendapat pengampunan’ Majlis Tertinggi Angkatan Tentera,” kata al-Shorouk.

Satu sumber tentera memberitahu, beberapa pihak di Mesir dan negara Arab lain, meminta supaya Mubarak diberi pengampunan ‘mengikut kaedah yang boleh diterima undang-undang.’

Pengampunan itu boleh diberi kepada Mubarak, Suzanne dan dua anak lelaki mereka, Alaa dan Gamal yang ditahan di penjara Tora di Kaherah atas dakwaan rasuah.

Bagaimanapun, sumber berkenaan berkata Alaa dan Gamal, berkemungkinan besar tidak akan diberi pengampunan.

Sekurang-kurangnya 846 orang terbunuh, manakala 6,000 lagi cedera dalam tunjuk perasaan Februari lalu.

Majlis Angkatan Tentera yang mengambil alih pemerintahan sementara berikutan peletakan jawatan Mubarak 11 Februari lalu memberi jaminan untuk membawa semua pemimpin di bawah pemerintahan beliau yang melakukan kesalahan ke muka pengadilan. – AFP

INFO

Kekayaan keluarga Hosni Mubarak


  • Keluarga Mubarak dianggar memiliki harta bernilai 40 bilion euro (RM172.68 bilion).

  • Kekayaan itu dipercayai hasil sumber mineral Mesir, hartanah, industri pelancongan dan penswastaan.

  • Mereka menyimpan aset dalam akaun bank di seluruh dunia sejak beberapa tahun lalu.

  • Anak lelaki Mubarak, Gamal, pewaris presiden pula memiliki kekayaan bernilai AS$17 bilion (RM51.72 bilion) sementara seorang lagi anaknya Alaa, memiliki AS$8 bilion (RM24.34 bilion).

  • Isterinya, Suzanne, dianggar memiliki kekayaan antara AS$3 hingga AS$5 bilion (RM9.13 hingga RM15.21 bilion).

  • Keluarga itu memiliki hartanah mewah termasuk rumah bandar Georgia di London, memudahkan mereka membeli-belah di Harrods, serta hartanah di Los Angeles, Washington dan New York.
Berita Harian