Pages

Thursday, November 25, 2010

Pokok mati akibat WiFi



GAMBAR menunjukkan pokok ash.


ALPHEN AAN DEN RIJN, Belanda - Satu kajian oleh sekumpulan penyelidik dari Universiti Wageningen, Belanda mendapati radiasi daripada rangkaian gelombang tanpa wayar (Wifi) mungkin boleh menyebabkan pokok yang terdapat berdekatan dengan peranti penghala Internet tanpa wayar mati, lapor sebuah akhbar semalam.
Para saintis itu memperoleh hasil kajian tersebut selepas melakukan kajian ke atas 20 batang pokok ash yang daunnya menjadi kuning.
Hasil kajian itu menimbulkan kebimbangan bahawa radiasi Wifi boleh memberi kesan terhadap tubuh manusia.
Ia turut menyebabkan ibu bapa dan guru-guru berkempen agar peranti Wifi tidak dipasang di sekolah.
Bandar Alphen aan den Rijn yang terletak di barat Belanda mengarahkan kajian itu dilakukan sejak lima tahun lalu selepas mendapati pokok-pokok di kawasan itu mengalami situasi yang tidak normal.
Kajian itu mendapati pokok yang diletakkan paling hampir dengan radio Wifi mempunyai daun berwarna kuning berikutan lapisan kulit luar pokok mulai mati.
Para penyelidik juga mendapati radiasi Wifi boleh menyebabkan pertumbuhan jagung menjadi perlahan. - Agensi

Pelakon lucah Jepun ke Jakarta senyap-senyap






JAKARTA - Penerbit syarikat Maxima Pictures, Ody Mulya Hidayat merahsiakan kedatangan bintang porno Jepun, Maria Ozawa (gambar) yang popular dengan gelaran Miyabi ke Indonesia bagi menjalani penggambaran filem Hantu Tanah Kusir di Jakarta dan Puncak, Bogor, Jawa Barat selama 16 hari, lapor akhbar Kompas semalam.
"Saya merahsiakan kehadiran Miyabi kerana mahukan penggambaran berjalan dengan aman, bukan kerana takutkan kontroversi," kata Ody ketika ditemui selepas tayangan media filem Hantu Tanah Kusirdi sini semalam.
"Kami juga tidak mahu Miyabi diganggu," tambahnya.
Walaupun dirahsiakan, kehadiran Miyabi akhirnya dapat juga dihidu oleh para peminatnya.
"Dia (Miyabi) telah berpindah hotel sebanyak empat kali kerana diganggu oleh peminat-peminatnya yang mengetuk pintu kamarnya pada malam hari kerana mahu meminta autograf dan bergambar. Ini tidak sepatutnya berlaku," jelas Ody.
Beliau tetap optimis bahawa Hantu Tanah Kusir yang menampilkan Miyabi akan mendapat sambutan masyarakat.
"Itu strategi kami. Penonton Indonesia akan datang menonton film ini kerana Miyabi masih popular di Indonesia," katanya. - Agensi

Korea Utara dakwa Korea Selatan provokasi




GAMBAR dari udara yang disiarkan semalam menunjukkan kemusnahan akibat bedilan meriam tentera Korea Utara di Pulau Yeonpyeong, Korea Selatan.


SEOUL - Korea Utara semalam mengulangi dakwaan bahawa Korea Selatan mencetuskan provokasi yang menyebabkan ia melancarkan serangan meriam sebanyak 170 kali ke atas Pulau Yeonpyeong kelmarin.
Semalam, sebuah agensi berita rasmi Pyonyang mendakwa, Korea Selatan melakukan provokasi dengan melepaskan beberapa belas tembakan ke arah perairannya.
"Kami melancarkan serangan balas yang segera bagi menentang provokasi pihak musuh (Korea Selatan)," kata kenyataan agensi berita berkenaan.
Dua anggota marin Korea Selatan dan dua penduduk awam terbunuh dalam serangan ke atas Pulau Yeonpyeong berhampiran sempadan Laut Kuning yang dituntut oleh kedua-kedua negara.
Berang dengan insiden tersebut, Korea Selatan bertindak membatalkan rundingan mengenai penyatuan keluarga antara kedua-dua negara pada hari ini dan menghentikan bantuan banjir kepada Korea Utara.
Tentera Korea Utara melancarkan serangan itu selepas Korea Selatan dikatakan mengadakan satu latihan ketenteraan dekat dengan sempadan.
Sementara itu, China menggesa kedua-dua pihak supaya bertenang dan segera berunding bagi meredakan situasi yang kini amat tegang. - Agensi

29 maut dalam lombong arang batu New Zealand





GAMBAR menunjukkan satu jentera gerudi di Lombong Pike River di New Zealand kelmarin.



GREYMOUTH - Semua 29 lelaki yang terperangkap di dalam sebuah lombong arang batu di New Zealand meninggal dunia selepas letupan kedua menutupi lubang berkenaan.
Polis berkata, peluang menemui mangsa yang masih hidup terkubur sekali gus mengesahkan tragedi itu sebagai kemalangan paling buruk di New Zealand dalam tempoh hampir satu abad.
Seorang pegawai Polis, Gary Knowles, yang mengetuai misi menyelamat berkata, dia berada di lokasi kemalangan di Lombong Pike River apabila letupan kedua berlaku pada pukul 2.37 petang waktu tempatan, lima hari selepas letupan pertama berlaku pada Jumaat lepas.
"Berdasarkan bukti-bukti yang dikemukakan oleh pakar-pakar, kami percaya tiada yang selamat manakala semua orang terbunuh," katanya.
Menurutnya, letupan kedua dipercayai berpunca daripada pengumpulan gas bawah tanah sepanjang lima hari itu.


SEORANG anggota keluarga menangis selepas mendengar pengesahan kematian 29 pelombong di Lombong Pike River, New Zealand semalam.



Mangsa-mangsa yang terkorban berusia dalam lingkungan 17 tahun hingga 62 tahun termasuk dua warga Australia, dua rakyat Britain dan seorang warga Afrika Selatan.
Sementara itu, Perdana Menteri John Key menyifatkan insiden itu sebagai tragedi negara dan menyatakan bendera negara akan dikibarkan separuh tiang sebagai tanda berkabung. - AFP

Kecelaruan Jantina

SETIAP suami isteri pasti mengimpikan zuriat yang lahir seorang bayi sempurna, comel, bijak dan sihat. Maha Suci Allah yang menjadikan manusia itu sebaik-baik kejadian. Namun, manusia hanya mampu merancang dan Allah sentiasa menguji hamba-Nya dengan sesuatu kekurangan bagi menilai tahap kesabaran dan kekuatan iman mereka.
Satu daripadanya adalah Allah s.w.t ciptakan bayi yang baru lahir memiliki dua ciri jantina atau lebih dikenali sebagai khunsa. Malah, khunsa bukan terhad kepada manusia, malah ia turut berlaku kepada hidupan lain seperti siput, kerang dan ikan kerapu yang memiliki dua jantina bagi proses pembiakan.
Kita perlu yakin setiap ciptaan Allah mempunyai hikmah tersembunyi dan ia fitrah yang membuktikan kekuasaan, kebesaran serta keagungan-Nya. Jarang masyarakat mahu membincangkan secara terbuka isu khunsa kerana ia membabitkan maruah, aib dan tabu apatah lagi jika ibu bapa memiliki anak sedemikian. Namun, insan yang dilahirkan sebagai khunsa juga makhluk Allah dan mereka berhak untuk menikmati nikmat serta rezeki Yang Maha Esa.
Khunsa dalam bahasa Arab bererti lembut. Istilah yang sering digunakan dalam bahasa Melayu merujuk kepada golongan kaum yang lembut atau pondan. Pondan pula merujuk kepada lelaki yang memiliki sifat wanita terutama dalam penampilan dan ada yang sanggup merubah kejadian asal dengan membuat pembedahan bagi memiliki organ wanita (payudara dan alat sulit).
Ada riwayat peristiwa khunsa ketika zaman pemerintahan Khalifah Saidina Ali yang menggemparkan masyarakat ketika itu apabila seorang lelaki berkahwin dengan seorang wanita khunsa iaitu memiliki dua alat kelamin. Selepas berkahwin, si suami menghadiahkan isterinya seorang jariah (pembantu). Hasil perkahwinan itu, wanita khunsa berkenaan melahirkan zuriat. Namun, wanita khunsa itu timbul pula berahi kepada jariahnya lalu menyetubuhinya sehingga jariah itu melahirkan anak.
Masyarakat amat terkejut dengan kejadian itu dan menyampaikan berita kepada Saidina Ali. Baginda menghantar pakar bagi mengesahkan jantina wanita khunsa itu. Pengesahan itu membuktikan kedua-dua alat kelamin wanita khunsa berkenaan berfungsi. Dia mengalami haid seperti perempuan dan keluar mani dari zakarnya. ni bermakna wanita khunsa itu boleh dijimak suaminya dan dia dapat menjimak jariahnya.
Namun, Saidina Ali tidak berputus asa bagi mengenal pasti jantina wanita khunsa itu kerana mahu menyelesaikan masalah yang menimpa pasangan terbabit dan menjadi pengajaran kepada umat Islam. Lalu, baginda menghantar pakar menghitung tulang rusuk wanita itu. Ini amat tepat sesuai kepada ketentuan Allah yang menjadikan Hawa dengan mengambil satu tulang rusuk sebelah kiri nabi Adam. Hasilnya, Saidina Ali membuat keputusan wanita khunsa itu adalah lelaki lalu memisahkan perkahwinan dengan suaminya kerana dianggap tidak sah. Hasilnya, Saidina Ali membuat keputusan wanita khunsa itu adalah lelaki lalu memisahkan perkahwinan dengan suaminya kerana dianggap tidak sah.
Dalam Islam, khunsa merujuk kepada seseorang yang dilahirkan secara semula jadi yang diragui jantinanya sama ada mempunyai dua alat kelamin, tiada langsung atau ada alat kelamin lelaki, tetapi batinnya perempuan atau sebaliknya. Jalan terbaik ibu bapa perlu reda dan meminta doktor perubatan mengesahkan jantina bayi mereka sebelum melakukan pembedahan membuang satu alat kelamin itu. Jika khunsa itu menjalani pemeriksaan perubatan dan mengetahui organ seks yang mana yang berfungsi, maka dia tidak boleh pula menyalahkan naluri dan perasan untuk menjadi individu yang bertentangan dengan jantinanya. Itu sebab berlaku masalah besar, si lelaki yang ingin menukar jantina kepada wanita.
Khunsa terbahagi kepada dua jenis iaitu khunsa musykil (khunsa yang diragui) dan juga khunsa ghair musykil (khunsa yang tidak diragui). Khunsa musykil adalah individu yang tidak diketahui langsung jantinanya disebabkan tiada sebarang tanda-tanda yang boleh diklasifikasikan lelaki atau perempuan. Manakala khunsa ghair musykil pula ialah individu yang dapat dipastikan jantina melalui tanda-tanda seperti datang haid dan dari saluran mana air kencingnya keluar. Bagi khunsa yang datang haid, dia adalah seorang wanita dan jika air kencingnya keluar melalui zakar bermakna dia lelaki atau jika melalui faraj, dia wanita.
Mengikut hukum syarak, khunsa ghair musykil harus berkahwin, tetapi khunsa musykil diharamkan berkahwin. Jika khunsa ghair musykil seorang lelaki, maka pasangannya mestilah seorang perempuan. Manakala jika khunsa itu seorang perempuan, pasangannya adalah seorang lelaki. Malah, harus bagi individu (khunsa ghair musykil) memotong atau membuang salah satu alat kemaluannya yang tidak berfungsi bagi tujuan persetubuhan atau membuang air kecil.
Khunsa dan pondan adalah dua istilah berbeza kerana khunsa dilahirkan mempunyai dua alat kelamin manakala pondan atau mak nyah sengaja melakukan perubahan bentuk fizikal dari lelaki kepada wanita. Masyarakat perlu memperbetulkan pandangan terhadap mereka yang dilahirkan khunsa dan golongan pondan secara adil.

Derita khunsa

KUALA LUMPUR: Selalu saya berdoa, ambillah nyawaku ketika masih sihat (ada kudrat), bukannya ketika sudah terlantar. Bukan menolak takdir, tetapi tidak mahu menyusahkan sesiapa. Jika sudah terlantar, nanti menyusahkan orang, kata seorang khunsa yang menderita pelbagai jenis penyakit termasuk reput tulang sejak 20 tahun lalu.
Mahu dikenali Suraya, 58, derita ditanggung khunsa yang memilih meneruskan hidup sebagai wanita itu bagaikan tiada kesudahan.
Ketika zaman kanak-kanak sehingga remaja, dia berdepan tekanan perasaan akibat kecelaruan jantinanya dan sejak dewasa sehingga menjengah ke usia tua dia menanggung kesakitan berikutan penyakit dialaminya.
Suraya mendakwa episod deritanya bermula apabila dia mengambil sejenis pil hormon wanita dikenali dengan nama dexamethasone ketika berusia 27 tahun.
Saya ada dua alat kelamin, lelaki dan wanita tapi jiwa serta naluri saya lebih terarah kepada lelaki. Masalahnya, fizikal saya seperti wanita dan ibu bapa pula mendidik saya supaya menjadi wanita. Arwah nenek pula mengisytiharkan saya wanita.
Biasalah.. cakap orang tua kita kena dengar. Arwah nenek beritahu ayah dan ibu supaya terima ketentuan Allah. Dan, sejak itu saya dididik menjadi wanita, katanya.
Suraya berkata, dari kecil dia disuruh memasak, membasuh dan melakukan seperti apa yang dilakukan seorang wanita.
Oleh kerana jiwa dan naluri saya lebih terarah kepada lelaki, saya cukup tidak suka melakukan pekerjaan itu (memasak dan membasuh). Saya dipakaikan dengan pakaian wanita tetapi perwatakan saya lebih kepada lelaki, katanya.
Menurut Suraya, walaupun jiwanya memberontak mahu menjadi seorang lelaki, dia patuh dengan kehendak ayah dan ibunya.
Saya menjadi seperti wanita. Pakai baju wanita dan bersekolah menengah pun di sekolah wanita. Namun, saya tidak mampu mengetepikan jiwa dan naluri lelaki yang ada dalam diri saya.
Disebabkan tidak mahu melawan cakap orang tua, sampai satu tahap saya mengambil keputusan untuk menjadi wanita yang sejati, katanya.
Menurut Suraya, dia berjumpa doktor dan hasil pemeriksaan doktor pakar mengesahkan fizikalnya lebih cenderung kepada wanita biarpun mempunyai alat sulit lelaki dan wanita.
Doktor menyarankan saya mengambil pil dexamethasone yang berfungsi menambah hormon wanita dalam tubuh saya.
Jika mahu jadi lelaki, saya perlu menjalani pembedahan pada alat kemaluan tapi alat sulit lelaki saya tidak boleh berfungsi seperti lelaki lain dan saya juga tidak boleh mendapat zuriat.
Disebabkan tidak mahu pening kepala saya ikut nasihat doktor dengan makan pil dexamethasone. Hasilnya, ciri-ciri wanita mula terserlah pada diri saya. Saya ada buah dada, tetapi tidaklah sempurna seperti wanita sebenar.
Suara saya juga berubah daripada garau kepada sedikit halus. Paling mengejutkan, saya datang haid di ketika usia 28 tahun, katanya.
Menurut Suraya, malangnya nikmat menjadi wanita hanya dirasakannya buat seketika saja kerana selepas lima bulan, dia mendakwa mula menerima kesan sampingan daripada ubat yang diambil.
Berat badan saya naik mendadak, tulang dan sendi sakit. Seluruh badan saya sakit, daripada tengkuk sampailah ke kaki. Pemeriksaan doktor juga mendapati tulang saya mereput.
Jari tangan, kaki menjadi bengkok, kaki, tangan bengkak, dan tapak kaki menggelupas dan pecah menyebabkan kesakitan sehingga sukar bergerak, katanya.
Suraya berkata, dia berkali-kali dinasihatkan doktor supaya menjalani pembedahan tetapi ayahnya tidak membenarkannya kerana bimbang berlaku perkara tidak dingini kepadanya.
Disebabkan itu saya banyak bergantung kepada ubat dan menjalani fisioterapi. Bagaimanapun, pada 2000, saya mengalami sakit yang teruk pada bahagian pinggul sebelah kanan.
Kerana tiada pilihan saya terpaksa menjalani pembedahan penggantian sendi pinggul kanan. Pembedahan itu dilakukan pada April 2000, katanya.
Menurut Suraya, pada 2006, dalam keadaan masih menderita pelbagai penyakit tulang dan sendi, dia berdepan masalah sakit tulang belakang.
Doktor yang merawat saya memberitahu tulang saya mereput dan perlu dibedah. Tulang yang reput itu perlu diganti dengan tulang plastik.
Ayah tidak membenarkannya kerana bimbang saya langsung tidak boleh bergerak jika melakukan pembedahan itu, katanya.
Suraya berkata, sejak 20 tahun lalu, hospital umpama rumah keduanya kerana dia perlu mendapatkan pelbagai rawatan dan ubat untuk penyakit tulang dan sendi yang dialaminya.
Perasaan menyesal kerana memilih mengambil pil berkenaan memang ada, tetapi saya pasrah dan menganggapnya takdir. Derita yang saya tanggung amat perit untuk ditempuh. Fikiran terganggu, perasaan terguris, katanya.
Menurut Suraya dia tidak diberitahu kesan pengambilan pil berkenaan oleh doktor yang merawatnya dulu menyebabkan dia tidak berfikir panjang menerima tawaran yang diberi.
Mungkin pada tahun itu (1978) doktor tidak arif dengan kesan yang bakal diterima oleh pengguna pil itu. Selepas beberapa tahun barulah saya diberitahu oleh doktor lain bahawa pil berkenaan boleh mereputkan tulang.
Saya juga membaca beberapa laporan di akhbar yang turut menyatakan kesan pengambilan pil berkenaan boleh menyebabkan tulang mereput dan sendi rosak, katanya.
Suraya berkata, walaupun pil itu menjadi punca kepada penderitaannya, dia tidak boleh berhenti daripada mengambilnya setiap hari.
Jika saya tidak makan pil itu, saya tidak boleh bangun dan hanya mampu berbaring. Wajah dan tubuh saya pula dipenuhi bintik merah. Selama tiga hari tidak mengambil pil itu, nyawa saya mungkin melayang. Itu nasihat doktor yang perlu saya patuhi, katanya.
Gara-gara penderitaan dialami, dia terpaksa berhenti kerja lebih awal daripada yang sepatutnya dan kini terpaksa menggunakan tongkat dan kerusi roda untuk bergerak.
Sudah puas saya menangis. Apa pun saya reda dengan ketentuan Allah SWT. Cuma, saya berasa sangat sunyi, katanya.
Suraya kini menetap bersama adiknya di ibu kota dan bercadang untuk pulang ke kampung dan menghabiskan sisa hidupnya di sisi ayah dan ibunya.

Hujan rahmat dan pelangi indah mewarnai Tanah Suci Mekah 1431

Hujan tak selalunya singgah di Mekkah.


Tapi, minggu lalu, petir sabung menyabung di langit kota suci. Air melimpah ruah turun dari langit.
Para jemaah haji, yang basah dan melintasi genangan air, tetap tabah beribadah.
kumpulan jemaah haji ini dalam hujan lebat turun, mereka berjalan menuju tempat melempar jumrah di Mina, Mekkah, Saudi Arabia, Rabu (17/11)
Hujan lebat disulami ribut petir turun di sekitar Jamrat, Mekkah, Arab Saudi.
Hujan tersebut meyebabkan beberapa kawasan melempar Jamarat banjir. Khamis (18/11)
Hujan lebat telah membasuh dosa2 tetamu Allah
Segelintir jemaah haji berjalan didalam limpahan air hujan untuk melakukan lontar jumroh Nafar Awal di Jamrat, Mekkah, Arab Saudi
Setelah hujan reda, cahaya pelangi mula terlihat di bukit2 sekitar Mina.

Semoga ibadah haji semua umat Islam bagi tahun 1431, diterima Allah SWT
Kredit post dari CG forum

Berkayuh ke Makkah



Ia bermula dengan satu pertanyaan biasa - apa akan berlaku jika beberapa sahabat cuba ke kota suci Makkah di Arab Saudi dari rumah mereka di Afrika Selatan dengan menunggang basikal untuk menunaikan haji? 

Dan selepas melalui 12 negara, sembilan bulan serta ribuan kilometer kemudian, dua penduduk Cape Town, Nathim Cairncross, 28, dan Imtiyaz Ahmad Haron, 25, berjaya menjawab pertanyaan itu. 

Kedua-dua sahabat itu mula berkayuh dan tiba di sempadan Arab Saudi, akhir Oktober lalu, iaitu hampir tiga minggu sebelum ibadah haji bermula secara rasmi. 

Ibadah haji yang jatuh pada bulan terakhir dalam kalendar Islam dan bermula pada 14 November tahun ini adalah ibadah yang menjadi salah satu daripada lima tiang agama Islam dan diwajibkan ke atas umat Islam yang mampu, sekurang-kurangnya sekali seumur hidup. 

Kedua-dua lelaki muda ini mula merancang perjalanan mereka Disember tahun lalu, selepas Nathim menyuarakan idea unik itu kepada Imtiyaz, sahabat yang telah dikenalinya selama tujuh tahun. 

Imtiyaz pada masa itu sedang mempersiapkan diri untuk menjalankan ibadah haji yang ditunaikan lebih dua juta umat Islam di Arab Saudi, setiap tahun. 

Mendapat inspirasi daripada kisah-kisah jemaah haji yang terpaksa menempuh perjalanan penuh berliku untuk ke Makkah demi menunaikan haji, Imtiyaz memutuskan untuk melakukan yang sama dan bersetuju dengan cadangan Nathim. 

Dan mereka berazam untuk hanya menggunakan basikal untuk tiba ke destinasi itu. 

"Saya mempunyai prinsip dalam hidup. Jika saya bekerja kuat untuk mendapatkan sesuatu, pada akhirnya, ia akan menjadi lebih bermakna kerana saya akan lebih menghargainya. 

"Dan selepas sembilan bulan mengayuh basikal merentasi Afrika dan Timur Tengah, sudah tentu saya lebih menghargai pengalaman menunaikan haji ini," kata Nathim. 

Perjalanan kedua sahabat itu bermula pada pagi dingin yang disirami hujan, 7 Februari lalu di sebuah masjid di Cape Town, di mana hampir 500 penduduk berkumpul mengucapkan selamat jalan kepada Nathim dan Imtiyaz. 

Mereka kemudian diiring keluar dari bandar itu oleh kelab basikal tempatan sejauh 70 kilometer sebagai tanda sokongan kepada usaha sahabat itu dan kemudian menyambung perjalanan secara sendirian hanya berbekalkan basikal, peta dan keazaman yang tinggi. 

"Kami bukan penunggang profesional, tetapi kami menjalani latihan fizikal termasuk naik turun gunung, berlari di pantai dan berenang selama dua bulan sebelum memulakan perjalanan," kata Nathim.

Ulama Indonesia dipenjara kahwin budak




SEMARANG - Seorang ulama Indonesia yang mencetuskan kemarahan ramai kerana berkahwin dengan seorang kanak-kanak perempuan berumur 12 tahun dipenjara selama empat tahun, semalam. 

Pujiono Cahyo Widianto, 46, didapati bersalah oleh mahkamah Indonesia kerana mengadakan hubungan seksual dengan kanak-kanak bawah umur dan turut didenda sebanyak 60 juta Rupiah (RM21,000). 

Ulama yang juga ahli perniagaan itu mengadakan majlis perkahwinan besar-besaran dihadiri ribuan tetamu semasa berkahwin dengan Lutfiana Ulfa, pada 2008. 

Pujiono, yang juga dikenali sebagai Sheikh Puji menegaskan tidak melakukan kesalahan kerana mendakwa kanak-kanak itu sudah baligh semasa berkahwin. 

Bagaimanapun, Pujiono membangkitkan kemarahan ramai, termasuk Majlis Ulama negara itu apabila menyuarakan hasrat untuk mengahwini dua lagi kanak-kanak yang berumur tujuh dan sembilan tahun. 

Undang-undang di Indonesia menghalang kanak-kanak perempuan berumur di bawah 16 tahun daripada berkahwin.

Wanita hina Islam bakal diampun




ISLAMABAD - Presiden Pakistan, Asif Ali Zardari akan mengampuni seorang wanita Kristian di negara itu yang dijatuhi hukuman mati atas dakwaan menghina agama Islam, menurut pegawai kerajaan, kelmarin. 

Gabenor Punjab, Salman Taseer berkata, Asif menegaskan beliau tidak akan membenarkan wanita itu, Asia Bibi, menjadi mangsa undang-undang kontroversi tersebut. 

"Beliau (Asif) adalah seorang pemimpin yang liberal, berfikiran moden dan tidak akan membiarkan wanita malang ini dijadikan sasaran dan dihukum," katanya. 

Bibi, 45, yang bekerja di sebuah ladang disabitkan bersalah oleh mahkamah Pakistan atas dakwaan melanggar undang-undang menghina agama di negara itu selepas dilaporkan mengutuk Nabi Muhammad, awal bulan ini. 

Wanita itu menjalani hukuman penjara sejak 15 bulan lalu selepas dijatuhi hukuman mati dan telah memfailkan rayuan kepada Mahkamah Tinggi Pakistan. 

Menurut pihak pendakwa raya, Bibi dilaporkan menghina Nabi Muhammad semasa bertengkar dengan rakan sekerjanya yang enggan meminum air daripada bekas yang disentuh Bibi, dakwaan yang disangkal oleh wanita itu.
Sinar Harian

Serumah bersama 24 kambing

SERONOK...Wahid melihat kambing yang dipelihara di rumahnya sejak 10 tahun lalu.
SERONOK...Wahid melihat kambing yang dipelihara di rumahnya sejak 10 tahun lalu.


LEDANG: Walaupun tinggal sebumbung dengan 24 kambing milik mereka di Pekan Rawang di sini, sejak 10 tahun lalu, Wahid Husin, 58, dan isteri, Ijah Jaafar, 40, tidak menganggap bau serta kesesakan di dalam rumah kerana kehadiran ternakan berkenaan mengganggu mereka sebaliknya menambahkan lagi keceriaan.
Mereka yang mendakwa sudah biasa hidup sebumbung dengan haiwan terbabit malah tidak sanggup membiarkan ternakan itu tinggal di luar.
“Ada rakan serta jiran mengesyorkan kami melepaskan kambing itu ke luar rumah tetapi kami bimbang hilang dicuri atau mengganggu ketenteraman penduduk,” katanya, semalam.

Wahid yang mendakwa tidak cukup modal membina kandang kambing berkata, sudah lama dia merancang membina kandang berkenaan tetapi hasrat sering terbantut kerana ada lagi perkara penting perlu dilakukan dengan wang yang ada.


Bagaimanapun, Wahid tetap berharap impiannya untuk mempunyai kandang kambing terlaksana.

Menurut Wahid, pada mulanya dia hanya membela dua kambing sebagai haiwan peliharaan tetapi lama-kelamaan membiak hingga mencecah 24 ekor.
“Semua ini bermula selepas saya mengambil keputusan berhenti kerja di sebuah kilang perabot berhampiran dan membela kambing bagi mengisi masa lapang.

“Tidak pula saya jangka kambing dulunya hanya dua ekor kini membiak sebanyak sekarang menyebabkan rumah kami sesak,” katanya.

Pasangan yang masih tiada cahaya mata itu amat menyayangi kambing berkenaan sehingga tidak sanggup menjualnya kepada orang ramai.

AS, Korea Selatan berlatih perang di Laut Kuning




2010/11/25

PENDUDUK tempatan dari Pulau Yeonpyeong tiba di Pelabuhan Inchon dengan kapal polis semalam selepas Korea Utara melancarkan serangan kelmarin.
PENDUDUK tempatan dari Pulau Yeonpyeong tiba di Pelabuhan Inchon dengan kapal polis semalam selepas Korea Utara melancarkan serangan kelmarin.
Seoul henti bantuan banjir yang dijanji kepada Korea Utara

SEOUL: Amerika Syarikat dan Korea Selatan semalam mengumumkan keputusan untuk mengadakan latihan tentera laut bersama sementara Washington berikrar berganding bahu dengan Seoul berikutan serangan paling dahsyat oleh Korea Utara sejak beberapa dekad lalu.

Dalam kenyataan bersama pertama mereka berikutan bedilan Pyongyang terhadap sebuah pulau kecil Korea Selatan, kedua-dua Presiden, Barack Obama dan Lee Myung-Bak bersetuju mengadakan latihan ketenteraan bersama dan menaruh harapan agar China dapat mengawal negara sekutunya itu.Korea Selatan, yang membantah berikutan tindakan terhadap orang awam yang tidak boleh bertindak balas itu, berkata ia akan menghentikan bantuan banjir yang dijanji kepada Korea Utara. Ia juga sudah membatalkan rundingan berhubung usaha untuk menyatukan keluarga yang terpisah oleh peperangan Korea.
Pembedilan artileri ke atas pulau Yeonpyeong, berhampiran sempadan dipertikaikan di Laut Kuning, menyebabkan orang awam yang panik melarikan diri dan pasaran saham di seluruh dunia merudum kelmarin.

Ia menimbulkan keraguan mengenai tujuan Korea Utara mengambil tindakan sedemikian, beberapa hari selepas program nuklearnya dihebahkan kepada umum.

Perdana Menteri Jepun, Naoto Kan menggesa China supaya menggunakan “pengaruh besarnya terhadap Korea Utara” bagi meredakan ketegangan. 

Satu kenyataan Rumah Putih berkata Obama menghubungi Lee bagi mengisytiharkan pendirian Amerika Syarikat untuk berganding bahu dengan sekutunya, Korea Selatan, yang menempatkan 28,500 anggota tentera AS. 
Kedua-dua pemimpin bersetuju mengadakan ‘latihan ketenteraan bersama dalam beberapa hari akan datang,’ kata kenyataan itu.

Latihan ketenteraan empat hari itu membabitkan kapal laut pembawa pesawat AS bermula Ahad ini di Laut Kuning, kata Pasukan Keselamatan AS di Korea.

Katanya, latihan itu dirancang sebelum ‘serangan artileri’ berkenaan, yang menunjukkan komitmen AS kepada kestabilan serantau dan mengelakkan peperangan. 
Bedilan itu membunuh dua anggota marin Korea Selatan. Mayat dua orang awam dilaporkan ditemui semalam, lapor stesen televisyen YTN. – AFP 

Memikul Nafsu

alt
Suatu hari, seorang pemuda diserahkan oleh bapanya kepada seorang guru sufi untuk dididik cara mengawal nafsunya.
"Siapkan bekalan. Mari ikut saya bermusafir," kata guru sufi itu sebaik sahaja pemuda itu tiba di madrasahnya.
Pemuda itu agak terkejut kerana dia masih keletihan akibat perjalanan yang jauh ke madrasah guru sufi itu.
"Apa yang perlu saya bawa?"
"Bawa pakaian sehelai dua," jawab guru sufi.
Mereka pun memulakan perjalanan yang agak jauh. Setelah agak lama,mereka menemui satu bukit yang agak tinggi.
"Kita akan mendaki bukit ini."
"Mana jalannya?"
"Kita susuri jalan di tepi lereng bukit," kata guru sufi.
"Nanti, nanti... saya sangat keletihan. Alangkah baik jika ada keldai. Kita boleh menunggangnya."
"Kamu hendak menunggang keldai? Baiklah, mari kita membelinya dahulu."
Dalam hatinya berasa lega, dia tidak akan terpaksa berjalan lagi. Dia sangat-sangat keletihan. Setelah guru sufi membeli dua ekor keldai, dia pun berkata, "Sekarang ada dua ekor keldai. Saya akan menunggang salah seekor daripadanya..."
"Dan saya akan menunggang seekor lagi," pintas pemuda itu.
"Tidak!" kata guru sufi itu.
"Mengapa?"
"Jangan bertanya, patuh saja!"
Pemuda itu terkejut, tapi tidak berani melawan.
"Habis, kita akan biarkan seekor keldai ini berjalan tanpa membawa apa-apa beban?"
"Tidak, sebaliknya kamulah yang akan memikulnya!"
"Memikul keldai menaiki bukit yang tinggi itu?"
"Ya. Pikul keldai itu dan naik ke atas bukit," jawab guru sufi itu pendek dan tajam.
Maka dengan susah payah, dia memikul keldai itu sambil menyusuri jalan di tepi lereng bukit itu. Termengah-mengah. Dia benar-benar keletihan. Sebaliknya guru sufi bersantai-santai menaiki keldainya berjalan di hadapan pemuda itu. Belum sampai separuh perjalanan,pemuda itu pun jatuh keletihan. Dia hampir pengsan. Setelah merawat si pemuda dan memberinya minuman,guru sufi itu pun berkata, "Anakku,keldai itu umpama nafsumu. Allah ciptakan nafsu untuk kau menungganginya bukan kau ditunggangi olehnya."
"Maksud tuan?"
"Dengan menurut nafsumu, kau akan disusahkannya. Jiwa, hati dan badanmu akan kelelahan. Kehendak nafsu tidak ada batas dan tidak pernah puas. Lepas satu-satu kehendak dan kerenahnya. Ini samalah dengan kau memikul keldai dan menaiki bukit yang tinggi."
Pemuda itu terdiam.
"Sebaliknya, jika kau menunggangi nafsu dengan mengawal dan menguruskannya, kau akan mendapat kemudahan dalam menjalani kehidupan. Nafsu berguna selagi dia menjadi hamba tetapi apabila dijadikan tuan, apalagi tuhan, maka hidup kita akan dihancurinya."
"Seperti saya yang memikul keldai tadi?"
"Ya. Dan lihat pula betapa mudahnya menyusuri jalan di lereng bukit itu dengan menaiki keldai. Begitulah nafsu apabila dikawal dan digunakan ke arah kebaikan."
"Ya,ya. Orang yang mengikut perintah hawa nafsunya bagaikan memikul keldai menaiki bukit!"
PENGAJARAN: Nafsu adalah sebahagian daripada diri kita yang jika tidak dikawal akan menyusahkan kita. Oleh sebab itu, kawallah nafsu bukan kita dikawalnya. 

Wednesday, November 24, 2010

LUAHAN SUAMI DAPAT KAWIN LG..

Mohd AzliAlhamdullillah ade jugak makhluk Allah yang berfikiran macam nie... Amin...
Saya sendiri sebagai lelaki rasa tercabar apabila isteri saya sering mewar-warkan kepada saya bahawa umur saya dah melewati 40 tahun. Life starts at 40. 'Kalau U rasa U nak pasang lagi satu, I izinkan', kata isteriku.

Bila berangan tentang nak kahwin lain ni memanglah seronok. Tersengih-sengih aje lah I at that time. 'Dunia ni dah terbalik gamaknya, kawan-kawan aku siap pegi Siam sana nak nikoh lagi satu, ni bini aku siap suruh pasang sorang lagi...?!'

Tak tahulah kalau isteri I tu main reverse psikologi dengan I. Tapi lepas I berfikir panjang, rasa-rasanya tak nak lah.

Sebab apa ? Bila mengenangkan umur I yang dah 40+. Let's say kalau I kahwin dengan anak dara, katakan umur 22 tahun. Memang lah seronok beb. Seronok benda yang kat dalam seluar dalam tu
ajelah.

Tentang makan minum, pakai I, kemas rumah dan kegemaran I, rasa nya I tentu asyik teringatkan my first wife. Tak perlu nak ajar, I suka makan apa, cam mana cara nak masaknya, baju I kena gosok cam gini, kalau I bangun tidur I suka kalau my wife dah siapkan segala gala nya lah. Tak perlu I bagitau, dia dah tahu apa I suka. Cerita apa I suka kat TV, teh atau kopi manis macam mana, hobi apa, sukan kegemaran ... semua dia dah tahu. Tak perlu start balik macam zaman umur 20-an dulu ...

Rasa rasa dapat ke isteri muda I suruh buat gitu, tentu dia banyak ragam. Ye lah dia muda, I kandah tua.
Mesti dia kata I ni mengada-ngada. Sure I yang kena manjakan dia lebihlah, sebab dia muda. Silap haribulan, takut lari lak, kan...

Isteri muda ni bukan macam yang dah bersama dgn kita sejak muda. Kalau kita rasa isteri tua banyak belanja, isteri yang muda pasti lagi teruk. Eh, budak 20-an zaman sekarang, dengan henbeg Gucci, dengan nak tudung kain Mawi dan henpon jenama Nokia N95, Itu tak termasuk kereta, paling korok pun mesti nak Honda atau Toyota. Perempuan muda sekarang mana main naik Proton atau Perodua. Kalau I tak bagi barang-barang tu, dia tak nak bagi 'barang' dia lak malam-malam. Sedangkan dengan isteri tua, awal-awal kahwin naik motorsikal cabuk pun sanggup, berpanas berhujan, dukung anak kita dicelah motor tu.

Ahh ... terkenang juga zaman 'miskin' dulu tu. Rumah dengan bini tua dulu pun setakat apartmet 3 bilik. Tidur atas tilam nipis, dapur pun kecik, perkakas pun tak banyak.

Oh, untuk isteri muda, terpaksa aku buat OT untuk bayar rumah teres dua tingkat tu, nak bayar peti ais Samsung dan TV Sony Bravia 40-inci mu itu ... Dah umur 40-an ni, darah tinggi lak aku ni kena buat OT setiap hari. Hari minggu pun kena cari duit ... nak tengok bola pun tak dapat ... Lebih haru lagi, tentu anak anak I akan memberontak sakan. Yelah… sekarang ni kanbanyak kes bapak kahwin lain anak-anak lebih tertekan. Ramai jadi liar, hisap dadah, jadi mat rempit dan bohsia.

Sebab tension bapak kawin baru. Takut mereka menjauhkan diri dari I, malah akan membenci pula. Disebabkan masyarakat kita ni memandang serong pada keluarga yang bapak mereka kahwin lebih dari satu. Kalau I ada anak dengan isteri baru, tentu kecik sangat lagi di masa I dah tua dan memerlukan perhatian dari anak-anak.

Sedangkan rumah isteri muda tengah hiruk pikuk dengan anak-anak kecil (kandah ada experience dengan isteri pertama –bagaimana kelam kabutnya dia menguruskan anak-anak). Sedangkan di rumah isteri tua, anak anak dah besar, boleh tolong mak dan sedang seronok bergurau senda bersama ibunya membincangkan topik-topik terkini dan juga kehidupan mereka.

Duduk rumah bini muda, I yang tua-tua ni lak kena salin pampers dan bagi baby mandi. haha ... kalau tak buat, takut isteri muda merajuk pulak.

Tak boleh jadik nih. Banyak benda yang kena repeat. Mula-mula kawin tentu seronok. Paling lama setahun-dua. Bila dah ada anak,tanggungjawab baru bermula semula sebagaimana dengan isteri pertama dulu-dulu. Tapi masa ni kita dah tak larat nak basuh berak anak, nak pegi shopping beli baju anak anak, nak dukung anak-anak. Leceh lah nak kena teman isteri muda buat semua tu.

Silap haribulan orang kata tengah pilih baju cucu. Eii tak sanggup pula. Paling takut, orang ingat isteri muda tu anak I ... lagi haru... Balik rumah mertua pula, teringatkan masa akad nikah dulu, beria ria kita nakkan anak dia. Lepas tu kita kawin lagi satu. Tentu muka nih tak tahu nak letak kat mana. Orang tua tak kan nak straight to the point. Tanya itu ini.

>Kalau dia nak bercakap tentang tu cukup dengan jelingan dan kerlingan mata,buat kita dah tak senang duduk. Tak kanraya asyik balik umah mak mertua baru aje. Apatah lagi kalau I ni lak umur nak sama dengan mak-bapak mertua baru I tu…..Hish banyak lah lagi….

Bagi korang yang suka berbincang pasal benda yang indah-indah kawin dua nih silakanlah. Tapi bagi I selagi hayat dikandung badan, selagi tu lah I tak nak tambah. Tak nak lah mendabik dada. Cakap besar. Tapi sekadar menurutkan nafsu dan benda dalam seluar tu rasanya tak pernah kurang pun layanan isteri pertama terhadap I.

>Keluarga ni, kita bina keluarga bahagia yang di depan mata. Bukannya yang di dalam kepala. Bukannya di dalam seluar dalam je. Hadapi hari esok yang tentu dengan keluarga yang banyak mengharungi susah senang dari mula. Pengorbanan isteri (walaupun kadang kala dia pernah merungut, salah kita juga, cuai dan mengabaikannya) .

Apa apa pun semuanya bermula dengan kita. Insaflah. Kalau nak ikut nabi, rasa rasanya solat subuh pun kita terlepas kalau isteri tu tak kejutkan. Bukan nak kata solat Subuh, kekadang waktu lain pun terlambat atau terlepas.

Baca Quran pun sekali-sekala, baca Yassin pun hanya bila ada orang meninggal. Ikut sunnah Nabi apa nama tu. Tak payah lah yang lain lain. Kang ada yang nangis bila disebutkan. Cukuplah. Sesungguhnya amat bertuahlah suami-suami yang mempunyai isteri yang menyuarakan pendapat di ruangan ni. Membuktikan mereka sayang, kasih dan cinta pada kalian. Apa sangatlah kita nih.

Macam nabi konon. ye ke? Bab kawin kawin aje nih cam nabi. Bab menegakkan benda dalam seluar dalam je nak ikut sunnah. Cuba bab menegakkan agama Islam,masih lagi terkial kial.

Wallahualam.

-suami orang-