Pages

Friday, September 17, 2010

Haiwan aneh ditemui di Kenya




KAMERA yang dipasang di Hutan Boni-Dodori menunjukkan seekor haiwan aneh mencari makanan di Kenya.


NAIROBI - Sejenis mamalia ganjil dipercayai spesies baru tikus kasturi gajah berjaya dirakamkan di hutan Boni-Dodori, pedalaman timur laut Kenya baru-baru, lapor sebuah akhbar semalam.
Saintis-saintis percaya bahawa mamalia sebesar seekor kucing yang mempunyai belalai dan memakan serangga itu merupakan spesies baru tikus kasturi gajah.
Haiwan ganjil itu yang menyerupai kombinasi seekor tenggiling dan kancil pertama kali dirakamkan di Hutan Ndundulu, Tanzania pada 2005.
Namun, beberapa perangkap kamera dipasang di hutan Boni-Dodori selepas seorang ahli Persatuan Zoologi London (ZSL), Grace Wambui terserempak dengan makhluk aneh itu. - Agensi

Ibu buang bayi kerana dirogol majikan


GAMBAR fail menunjukkan seorang jururawat mendukung bayi yang ditemui dalam beg sampah di dalam pesawat Gulf Air di Lapangan Terbang Antarabangsa Ninoy Aquino, Manila pada Ahad lalu.


MANILA - Seorang wanita Filipina mengaku melahirkan seorang bayi di dalam sebuah pesawat sebelum dia membuang anaknya itu ke dalam beg sampah di dalam tandas pesawat yang mendarat di Lapangan Terbang Antarbangsa Ninoy Aqiono di sini pada Ahad lalu, kata seorang Ahli Dewan Perwakilan Rakyat, Lani Mercado semalam.
Menurutnya, wanita Filipina itu hamil selepas dia dirogol oleh majikannya semasa dia bekerja sebagai pembantu rumah di Qatar.
"Dia berasa sakit untuk melahirkan anak," kata Mercado yang menemui wanita berkenaan di sebuah ibu pejabat siasatan polis di sini.
Menurutnya, wanita itu terpaksa membuang anaknya kerana dia berasa bimbang akan mendapat tanggapan buruk daripada keluarganya sendiri.
Mercado berkata, wanita itu menjelaskan isteri majikannya memaksanya kembali ke Filipina sekali gus menyebabkan dia terpaksa menyembunyikan kehamilannya.
Pada Ahad lalu, seorang pengawal keselamatan lapangan terbang itu menemui bayi seberat tiga kilogram yang masih mempunyai tali pusat dan dibalut dengan kertas tisu di dalam sebuah beg sampah dari pesawat yang tiba dari Bahrain.
Pihak berkuasa berjaya mengesan wanita itu di Apayao kelmarin sebelum menahannya untuk disoal siasat di sebuah ibu pejabat siasatan polis di Manila.
Identiti wanita itu diketahui selepas para penyiasat mencari nama penumpang yang duduk di sebuah kerusi yang didapati mempunyai kesan darah. - AP

Palestin tak akan batalkan rundingan



HILLARY CLINTON (kiri) bertemu dengan Mahmoud Abbas di Ramallah, Tebing Barat semalam.


RAMALLAH, Tebing Barat - Israel dan Palestin tiada pilihan kecuali berunding, kata Presiden Palestin, Mahmoud Abbas semalam semasa beliau menemui Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Hillary Clinton ketika usaha-usaha sedang dilakukan bagi menggerakkan rundingan secara langsung di antara kedua-dua belah pihak.
"Kita tiada pilihan kecuali meneruskan usaha ini (rundingan damai)," tambahnya.
Kenyataan Mahmoud membayangkan bahawa beliau tidak akan membatalkan rundingan damai sekiranya Israel tidak melanjutkan pembekuan pembinaan penempatan haram Yahudi di Tebing Barat, Palestin selama 10 bulan yang tamat pada 26 September ini.
Terdahulu, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dan beberapa pegawai lain menyatakan bahawa Israel tidak akan melanjutkan lagi tempoh untuk menangguhkan kerja-kerja pembinaan penempatan Yahudi di Tebing Barat.
Namun, menurut beberapa laporan media pada minggu ini, AS kini berusaha untuk mencari jalan supaya rundingan damai tersebut dapat diteruskan tanpa dipulaukan oleh pihak Palestin.
Menurut sebuah akhbar Arab, Asharq al-Awsat semalam, Mahmoud telah bersetuju dengan usul AS supaya beliau terus berunding dengan Israel dan sebagai balasan Tel Aviv akan melanjutkan pembekuan pembinaan Yahudi di Tebing Barat selama tiga bulan lagi.
Kelmarin, ketika Hillary menemui pegawai-pegawai Israel di Baitulmuqaddis, akhbar Israel, Ma'ariv melaporkan bahawa Netanyahu mempertimbangkan satu lagi usul bagi membolehkan rundingan damai Palestin Israel diteruskan.
Usul tersebut menyatakan bahawa Israel akan terus membina penempatannya di Tebing Barat tetapi pada kadar 1,500 hingga 2,000 buah rumah setahun.
Pemimpin Israel itu turut mencadangkan supaya penempatan Yahudi dibina meliputi 1.9 peratus kawasan di Tebing Barat. - Agensi

Kereta masa depan


Kereta keluaran syarikat Edison2 'Very Light Car No 98' melakukan ujian pemanduan di litar antarabangsa Michigan di Brooklyn, Michigan. - AP


DETROIT 16 Sept. - Sebuah kereta yang sangat ringan dan boleh dipandu sejauh 231 kilometer bagi setiap liter minyak memenangi Automotive X Prize dengan menerima hadiah wang berjumlah AS$10 juta (RM31.2 juta), pada pertandingan untuk membangunkan kenderaan berprestrasi tinggi.
Walaupun, belum dapat dijual dalam bentuknya sekarang, 'Very Light Car No. 98' ciptaan syarikat Edison2 mendapat perhatian dengan langkah inovatif menggunakan bahan ringan, rekaan aerodinamik dan kos pengeluaran yang sangat rendah.
Pengasas Edison2 yang beribu pejabat di Lynchburg, Virginia, Oliver Kuttner berkata, harga sasaran bagi kereta berkenaan ialah sebanyak AS$20,000 (RM62,320).
'Very Light Car No. 98' mampu membawa empat penumpang dan dibina menggunakan kerangka aluminium seberat 376 kilogram atau satu perempat daripada berat purata sebuah kereta.
Ia kelihatan seperti kereta masa depan dengan tayar diletakkan jauh daripada badan kereta untuk membantu mengelakkan kemalangan.
Kuttner yang merupakan seorang pemaju hartanah dan pemandu kereta lumba berkata, sebuah pasukan dengan 100 anggota terdiri daripada pelumba veteran menghasilkan kereta itu.
Mereka memilih untuk menggunakan enjin satu silinder berkuasa etanol berbanding enjin elektrik kerana bateri menambahkan berat dan petrol lebih mudah didapati di mana-mana.
Namun inovasi kereta ini terletak pada rekaan aerodinamik dan penggunaan bahan ringan.
Edison2 memperolehi sebanyak AS$5 juta (RM15.6 juta), separuh daripada wang hadiah itu tetapi Kuttner berkata, Edison2 membelanjakan lebih daripada itu untuk membangunkan kereta itu, tanpa mendedahkan angka sebenar.
Tambahnya, sebahagian wang hadiah itu akan disalurkan kepada pembangunan kereta ringan generasi baru yang mana pasukannya akan memberi tumpuan kepada kereta yang lebih mesra pelanggan dan lebih menarik perhatian tanpa menambah berat atau menjejaskan ciri-ciri penjimatan ekonomi.
Kuttner menjelaskan, sebaik-baik Edison2 yakin kereta itu sudah bersedia untuk dipasarkan, rakan niaga akan dicari untuk pengeluaran dan pemasarannya. - AP

Pope Benedict lawat Britain


EDINBURGH 16 Sept. - Selepas beberapa bulan dibelenggu dengan kontroversi, Pope Benedict XVI mengadakan lawatan selama empat hari ke United Kingdom bermula hari ini ketika orang ramai mula tidak yakin terhadap institusi gereja yang terjebak dengan skandal seks.
Ia merupakan kali pertama seorang Pope mengadakan lawatan rasmi ke United Kingdom atas jemputan keluarga diraja Britain dan Pope Benedict dijadual akan menghadap Ratu Elizabeth II di kediaman rasminya di Scotland.
Pertemuan kedua-dua pemimpin itu bakal menjadi sejarah kerana perbezaan fahaman agama antara negara Protestan dengan Gereja Katolik.
Ratu Elizabeth merupakan Ketua Gereja England yang tidak sefahaman dengan Rom sejak abad ke-16 diikuti sentimen anti-Katolik selama berabad-abad.
Lawatan itu juga dibuat ketika ulang tahun ke-450 Reformasi Scotland.
Gereja Katolik kini dibelenggu kontroversi pencabulan seks yang dilaporkan di beberapa negara seperti Boston dan Belgium melibatkan beratus mangsa termasuk 13 daripada mereka membunuh diri.
Sejak itu, Pope Benedict dikritik hebat kerana reaksinya terhadap kontroversi itu dianggap tidak sesuai.
Dalam pada itu, ketika ditemui pemberita sebelum berlepas ke Britain, Pope Benedict berkata, beliau mengakui pihaknya gagal bertindak pantas mengendalikan paderi yang terlibat dalam kes rogol dan pencabulan kanak-kanak.
Katanya, fokus utama Gereja Katolik kini adalah memulihkan mangsa yang trauma dan mengembalikan keyakinan mereka kepada institusi gereja.
Ketika ditanya tentang lawatannya ke Britain yang dikenali sebagai negara anti fahaman Katolik, beliau berkata, walaupun sedar tentang sejarah Britain itu, namun, harus diingat ia juga merupakan negara yang mengamalkan semangat toleransi yang tinggi. - AP

Jangan bangkit isu nuklear Israel - AS


VIENNA 16 Sept. - Penasihat nuklear Presiden Barack Obama, Gary Samore memberi amaran kepada duta-duta negara Arab hari ini bahawa rundingan damai langsung Asia Barat akan gagal jika mereka memberi tekanan terhadap program nuklear Israel ketika menghadiri mesyuarat yang akan berlangsung di sini, kata beberapa duta negara Arab.
Mereka memberitahu The Associated Press, penasihat Presiden Amerika Syarikat (AS) itu memberi amaran berkenaan ketika mengadakan mesyuarat tertutup dengan diplomat-diplomat negara Arab ke Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA).
Tiga daripada duta-duta itu bersetuju untuk berkongsi maklumat tentang mesyuarat tersebut tetapi enggan nama mereka disiarkan.
Pada persidangan IAEA yang akan diadakan minggu depan, negara Arab merancang untuk memperkenalkan resolusi yang menggesa Israel agar membenarkan program nuklear mereka disiasat oleh panel antarabangsa. - AP
Resolusi yang penah diluluskan dengan majoriti kecil pada persidangan sama yang disertai 151 negara itu, dikatakan hanya akan menambahkan lagi ketegangan di Asia Barat. - AP
Seorang daripada duta itu berkata, walaupun perlu menghadiri mesyuarat ahli majlis IAEA yang disertai 35 negara di sini minggu ini, tetapi fokus sebenar Samore, kini sebenarnya lebih tertumpu untuk mengadakan pertemuan dengan wakil negara Arab untuk memberi amaran kepada mereka agar tidak mengemukakan semula resolusi tersebut.
Israel dipercayai sedang membangunkan program senjata nuklear tetapi mereka tidak pernah memberitahu tentang statusnya.
Sementara itu di Washington, jurucakap kerajaan AS, P.J. Crowley mengakui bahawa pihaknya bimbang rancangan negara-negara Arab itu akan menggugat rundingan damai Asia Barat yang sedang berlangsung.
"Pertama sekali, biarlah kita bercakap berdasarkan fakta. Israel sering memberi kerjasama dengan IAEA sedangkan Iran dan Syria tidak pernah memberi kerjasama mereka," katanya.
Selain itu, duta berkenaan berkata, dalam mesyuarat berkenaan, Samore turut melobi agar negara-negara Arab tidak memilih untuk mengundi resolusi tersebut jika ada yang meneruskan rancangan itu. - AP

Bumi catat suhu paling panas


Imej yang dikeluarkan oleh NASA merakamkan fenomena La Niña dikesan semakin meluas di Lautan Pasifik seperti yang dirakamkan oleh satelit Jason-2. - AP


WASHINGTON 16 Sept. - Dalam tempoh lapan bulan sejak awal tahun ini, bumi mencatat suhu purata paling panas, sekali gus memecahkan rekod suhu panas purata yang dicatat dalam tempoh yang sama pada 1998.
Dalam tempoh lapan bulan itu, bumi mencatat suhu purata 14.7 darjah Celsius iaitu suhu yang sama pernah dicatat dalam tempoh yang sama pada 1998, kata Pentadbiran Hidupan Laut dan Atmosfera Kebangsaan (NOAA).
Ketika 1998 mencatat suhu purata paling panas dalam tempoh lapan bulan itu, 2005 pula mencatat suhu paling panas sepanjang tahun.
Dalam pada itu, NOAA turut mendapati suhu pada bulan lalu merupakan suhu ketiga paling panas bagi bulan Ogos selepas 1998 dan 2009, apabila mencatat suhu mencecah 16.2 darjah Celsius.
Selain itu, suhu musim panas antara Jun hingga Ogos tahun ini merupakan suhu kedua paling panas selepas 1998 apabila ia mencecah 16.2 darjah Celsius.
Dalam satu laporan berasingan, Pusat Data Salji dan Ais Kebangsaan berkata, litupan ais pada musim panas tahun ini di Artik merupakan yang ketiga terkecil berbanding ketika kali pertama saiznya diukur melalui satelit pada 1979.
Saiz bongkah ais yang meliputi laut Artik semakin mencair dan keluasannya yang dicatat seluas enam juta kilometer persegi pada bulan lalu adalah 22 peratus lebih kecil daripada yang pernah dicatat antara 1979 hingga 2000, lapor NOAA.
Bongkah ais yang semakin cair berpunca daripada perubahan cuaca akibat pemanasan global yang menyebabkan suhu bumi semakin meningkat sejak beberapa dekad lalu.
Kecairan ais turut dilaporkan di Greenland dan Antartika yang dibimbangi akan menyebabkan beberapa masalah seperti peningkatan kadar paras laut, pengurangan glasier dan perubahan cuaca dunia.
Satu laporan baru iklim dunia mendapati, beberapa kawasan di timur Eropah, timur Kanada, dan di timur Asia mencatat suhu panas luar biasa, manakala di Australia, tengah Rusia serta selatan Amerika Selatan dicatat mengalami suhu paling sejuk dalam sejarah. - AP

Pelombong diselamat lebih awal


Nelly Burgueno ibu kepada Victor Zamora, salah seorang daripada 33 pelombong yang terperangkap di bawah lombong emas dekat Copiapo 800 kilometer ke utara Santiago membawa kotak bekalan makanan sementara menunggu kerja-kerja menyelamat mangsa, kelmarin. - AFP


COPIAPO, Chile 16 Sept. - Pasukan penyelamat yakin dapat menyelamatkan 33 pelombong yang masih terperangkap di bawah sebuah lombong di sini pada awal November ini, lebih awal daripada jangkaan iaitu pada Krismas ini, demikian menurut ketua jurutera semalam ketika penggalian terus dilakukan.
Dua gerudi yang sedang menggali laluan selamat melepasi aras 300 meter daripada 700 meter kedalaman yang perlu digali untuk menyelamatkan kumpulan pelombong itu, yang terperangkap di bawah tanah sejak 5 Ogos lalu.
"Senario terbaiknya adalah kami dapat membuat lubang yang sampai ke tempat mereka terperangkap pada awal November," kata penyelaras usaha menyelamat, Rene Aguilar, sambil menambah kata bahawa apabila lubang itu siap nanti ia perlu digali sekali lagi dan diperbesarkan untuk mengeluarkan mangsa.
Jelasnya, selewat-lewatnya mereka dapat diselamatkan ialah pada awal Disember ini bagi memastikan pelombong yang terperangkap dapat meraikan Krismas bersama keluarga masing-masing.
Kata Aguilar, gerudi terpantas menggunakan mesin T-130 yang dipanggil pilihan 'Plan B', menyambung kerja dua hari lalu selepas jurutera mengeluarkan serpihan gerudi yang memaksanya berhenti beroperasi selama hampir seminggu. Kini ia berada pada kedalaman 368 meter.
Ujarnya, penggerudi Strata 950 yang merupakan sebahagian daripada 'Plan A' juga menggali semakin dalam hingga pada kedalaman 308 meter sebelum dihentikan pada 380 meter untuk penyelenggaraan rutin.
Penyelamat juga akan meneruskan usaha ketiga, 'Plan C' yang membabitkan sebuah gerudi cari gali minyak yang sudah 70 peratus siap dipasang di sebuah kawasan lapang berdekatan dan akan mula digunakan Isnin ini.
Kumpulan pelombong itu menjadi wira negara apabila ditemui masih hidup pada 22 Ogos lalu, 17 hari selepas terperangkap dalam runtuhan di sebuah lombong emas dan gangsa San Jose, di sini.
Semangat mereka membara minggu ini apabila mendapat berita isteri kepada seorang pelombong yang terperangkap selamat melahirkan anak perempuan dua hari lalu dan pelombong itu berpeluang melihat sendiri video kelahiran anaknya itu, semalam. - AFP

Dunia berdepan banyak bencana


NEW YORK 16 Sept. - Ketua baru misi kemanusiaan Pertubuhan Bangsa- bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran bahawa selepas bencana tsunami Asia, gempa bumi besar di Haiti dan banjir teruk di Pakistan, dunia perlu bersedia untuk berhadapan dengan peningkatan bilangan bencana alam, yang memerlukan kempen baru untuk menanganinya.
Valerie Amos, Setiausaha Rendah Hal Ehwal Kemanusiaan dan Penyelaras Bantuan Kecemasan PBB, menyeru supaya dicari kaedah baru bagi mengendalikan bencana alam yang besar ketika merayu lebih banyak sumbangan dana untuk membantu mangsa banjir Pakistan, esok.
"Ini adalah krisis yang sangat besar dan masih belum diselesaikan. Ia semakin besar dan besar dan besar mengikut masa.
"Banjir ini adalah satu bencana terbesar yang pernah kita alami. Jadi pada masa depan kita perlu mencari jalan baru untuk bekerja, mengumpul dana dan memperluas rangkaian sumbangan," kata bekas menteri Britain itu pada sidang media di ibu pejabat PBB, di sini.
Amos menegaskan bahawa banyak yang perlu dipelajari daripada bencana dahsyat sejak beberapa tahun kebelakangan ini bermula daripada tsunami 2004 yang meragut lebih 220,000 nyawa di beberapa negara sekitar Lautan Hindi hingga kepada gempa bumi besar Haiti pada Januari lalu yang mengorbankan 250,000 orang.
Pegawai PBB berkata, skala bencana di Pakistan adalah lebih besar kerana 21 juta penduduk terjejas dengan kediaman musnah dan kerugian hasil pertanian serta haiwan ternakan akibat banjir.
Pakistan juga menghadapi masalah penempatan populasi pelarian terbesar dunia, kebanyakannya dari Afghanistan.
Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) semalam mengumumkan bantuan kecemasan bernilai AS$451 juta (RM1.4 bilion) untuk Pakistan. Kesatuan Eropah (EU) juga sedang mencari jalan untuk menghulurkan bantuan. - AFP

Lojing diancam pencemaran


Tanah dan bukit ditarah untuk dijadikan kebun sayur dan tanaman bunga di Lojing baru-baru ini. -UTUSAN/Hafiz Johari


GUA MUSANG 16 Sept. - Apakah kawasan Tanah Tinggi Lojing akan menerima nasib yang sama seperti jirannya, Cameron Highlands?
Itu persoalan yang timbul apabila kawasan tersebut seolah-olah dibangunkan tanpa perancangan teliti sehingga menyebabkan pencemaran alam yang serius.
Masalah tersebut bukan baru tetapi telah dibangkitkan beberapa kali sebelum ini, namun sehingga hari ini ia tidak menampakkan sebarang perubahan malah kawasan penanaman sayur dan bunga semakin rancak di tanah tinggi tersebut.
Berikutan itu, kajian yang dilakukan oleh sekumpulan penyelidik Universiti Malaysia Kelantan (UMK) mendapati kawasan pembiakan pelbagai spesies bunga raflesia semakin dihimpit oleh penanam sayur yang ghairah mencari keuntungan tanpa memikirkan kesannya terhadap alam sekitar.
Pensyarah Kanan Fakulti Agro Industri dan Sumber Asli UMK, Zulhazman Hamzah berkata, sekiranya kawasan raflesia diusik, ia juga memberi erti bahawa kawasan tadahan air di Tanah Tinggi Lojing akan musnah.
Beliau berkata, pihaknya menemui kawasan seluas 650 hektar yang menjadi tempat pembiakan raflesia telah diancam dan sedang menunggu masa untuk dimusnahkan sepenuhnya oleh pembangunan tidak terancang.
"Agak sukar untuk menyatakan kawasan tadahan air ini akan selamat kerana ada di antaranya terletak di atas tanah yang telah diberikan kepada individu tertentu.
"Usaha perlu dilakukan secepat mungkin bagi memastikan kawasan ini dapat diselamatkan, jika boleh bukan hanya 650 hektar itu sahaja tetapi kawasan-kawasan lain yang juga sumber alam dan kawasan tadahan air, salah satu caranya ialah mengisytiharkan kawasan tersebut sebagai kawasan pemuliharaan raflesia ," katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.
Tinjauan Utusan Malaysia di kawasan tersebut mendapati beberapa buah bukit telah digondolkan untuk dijadikan kebun sayur atau bunga oleh individu tertentu.
Bagaimanapun ia tidak seteruk dialami oleh Cameron Highlands tetapi limpahan daripada kawasan tersebut dijangka memberikan kesan kepada Lojing kerana peneroka kebun sayur sudah pasti akan mencari tapak baru untuk meluaskan 'empayar' tanamannya.
Menyedari masalah tersebut, Timbalan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob ketika menjawab soalan pada Sidang Dewan Undangan Negeri Kelantan telah menggesa pihak berkuasa tempatan dan agensi yang berkaitan supaya mengambil tindakan tegas bagi menyekat penerokaan haram itu.
Zulhazman Hamzah bersama kudup Reflesia Kerrii di Tanah Tinggi Lojing, baru-baru ini.


Tanah tinggi Lojing terletak dalam jajahan Gua Musang bersempadan dengan Pahang (Cameron Highlands) dan Perak dengan kawasan ketinggian lebih 1,400 meter meliputi seluas 32,000 hektar serta suhu sekitar 16 celsius.
Pada tahun 2007, isu Lojing mendapat liputan meluas media apabila difahamkan kawasan seluas 22,000 hektar telah diluluskan kepada 22 syarikat kerajaan negeri, swasta dan lain-lain untuk pertanian, rekreasi dan ekopelancongan dengan sumber pembalakan di kawasan terbabit dianggarkan RM250 juta.
Isu pembalakan haram dan penerokaan dan pembalakan yang tidak terkawal di kawasan itu kembali memuncak kerana keadaan kemusnahan alam sekitar dilaporkan semakin parah.
Zulhazman berkata, kesemua kawasan raflesia berada di luar kawasan hutan simpan.
Sebahagiannya berada dalam tanah milik kerajaan negeri dan sebahagiannya berada dalam tanah milik persendirian.
"Sekiranya tidak digazetkan sebagai kawasan pemuliharaan raflesia, saya percaya kawasan tersebut akan musnah kerana kebun sayur yang baru dibuka hanya terletak kira-kira dua kilometer sahaja daripada kawasan raflesia tersebut.
"Alam semula jadi akan termusnah, berlaku hakisan cerun bukit, air sungai akan tercemar, mata pencarian Orang Asli suku Temiar sebagai pemandu pelancong untuk melihat raflesia akan terancam," katanya.
Beliau berkata, pihak-pihak berwajib seperti agensi-agensi kerajaan negeri, UMK, Kementerian Pelancongan dan Pejabat Daerah perlu bersama berbincang dan merangka pelan strategi memulihara kawasan tersebut.
Zulhazman berkata, beliau telah menjalankan penyelidikan mengenai raflesia di kawasan itu sejak dua tahun lalu dan mendapati ia telah menarik ramai pelancong termasuk dari luar negara.
"Menerusi teknik Sistem Maklumat Geografi (GIS), saya telah menemui 26 lokasi raflesia dalam kawasan Kampung Cedau, Kampung Kuala Rengi dan Kampung Gedik.
"Bagaimanapun kesemua kawasan ini terletak di luar kawasan hutan simpan dan ia amat penting untuk dijaga daripada dicemari pembangunan.
"Spesies Kerrii hanya terdapat dari kawasan Selatan Thai sehingga ke sempadan Kelantan, Pahang dan Terengganu, ia tidak terdapat di negara lain," katanya.
Menurutnya, UMK telah menghantar kertas cadangan kepada kerajaan negeri meminta kawasan tersebut diwartakan secepat mungkin untuk dilindungi daripada dibangunkan sebagai kawasan pertanian.

Thursday, September 16, 2010

ATM keluar wang palsu

RIYADH: Laporan kononnya beberapa mesin pengeluar wang automatik (ATM) di daerah Hayy Al-Wazarat mengeluarkan wang kertas palsu SR500 (RM420) mencetuskan suasana cemas di kalangan pengguna.
E-mel dan mesej pesanan ringkas (SMS) yang beredar di kalangan warga asing menasihatkan mereka supaya tidak menggunakan mesin itu di daerah berkenaan ketika pengeluaran wang menerusi ATM meningkat ketika cuti Aidilfitri.
Walaupun beberapa usaha dilakukan, akhbar Saudi Gazette gagal menghubungi bank terbabit bagi mendapatkan kenyataannya. Warga India, Firdous Khan memberitahu akhbar itu, sekurang-kurangnya tujuh pengguna ATM yang dikenalinya mengalami kerugian kerana wang palsu itu.

Katanya, seorang rakannya pergi membeli belah di kedai runcit yang berdepan dengan mesin ATM itu dan juruwang dapat mengesan wang palsu berkenaan.

“Ketika cuti Aidilfitri, seorang rakan saya mengeluaran SR3,500 dari mesin ATM dan pergi berbelanja di kedai berhampiran.

“Juruwang kedai itu mengesan mata wang palsu dan melaporkannya kepada polis,” katanya.

Menurutnya, mangsa berdepan dengan kesukaran untuk meyakinkan polis kerana semua wang yang dikeluarkannya daripada mesin itu palsu.

Firdous berkata, pengguna boleh mengeluarkan sebanyak SR5,000 sehari tetapi adalah lebih selamat jika mereka mengeluarkannya dalam bentuk wang kertas SR100 (RM84) bagi mengelak daripada berdepan dengan masalah yang tidak diingini. Bagaimanapun, menurut beberapa pegawai bank, tidak ada mesin ATM di Arab Saudi yang boleh mengeluarkan wang kertas palsu kepada pelanggan kerana semuanya dilengkapi alat pengesan wang palsu. - Agensi

83 terbunuh serangan AS





2010/09/16

Militan di sempadan Pakistan, Afghanistan jadi sasaran 

MIR ALI (Pakistan): Sekurang-kurangnya 83 orang maut dalam 15 serangan udara Amerika Syarikat di sempadan Pakistan, Afghanistan sejak awal September lalu hingga semalam.Ia adalah serangan terbanyak dari udara oleh kuasa besar itu sejak operasi dimulakan pada 204 di kawasan sempadan berkenaan, kata pegawai perisikan.
Serangan diperhebatkan itu menyasarkan satu kawasan pertanian berbukit yang dikuasai militan Haqqani yang memusuhi Amerika di Afghanistan. 

Dalam serangan terbaru, peluru berpandu Amerika membunuh 12 orang lagi di sebuah rumah di Dargah Mandi, 4 kilometer di barat bandar Miran Shah, utara Waziristan dan serangan kedua membunuh tiga lagi. 

Pegawai Amerika berkata, serangan udara berkenaan bertujuan mengehadkan operasi kumpulan Haqqani di sebelah sempadan Pakistan. 

Kebanyakan serangan tertumpu kepada Datta Khel, sebuah bandar dengan 40,000 penduduk yang terletak di sebuah kawasan utama di sempadan. 
Kawasan sempadan itu sudah lama menjadi tempat perlindungan militan dari seluruh dunia termasuk pemimpin al-Qaeda, Osama bin Laden dan pemimpin lain sejak tentera sejak tentera Amerika menawan Afghanistan pada 2001. 

Pegawai perisikan berkata, kebanyakan serangan udara terbaru menyasarkan anggota kumpulan pimpinan Jalaluddin dan Sirajuddin Haqqani, bekas panglima tentera anti-Soviet Union dan anaknya. 

Serangan udara di sempadan Afghanistan terhadap kumpulan itu diketuai Pemerintahan Khas Operasi yang semakin kerap dilancarkan berbanding sembilan tahun lalu. 

Kira-kira 4,000 serangan direkodkan pada bulan Mei dan Ogos dan menjadi tumpuan askar yang pulang dari Iraq. Serangan itu juga tertumpu kepada anggota kumpulan Haqqani. 

Sementara itu, pegawai Amerika tidak memberitahu apakah alasan mereka melancarkan serangan berterusan sekadar menjelaskan cuaca buruk pernah menghalang misi. 

Hingga kini, jumlah tertinggi serangan udara di Pakistan dalam tempoh sebulan ialah 11 pada Januari lalu. 

Pegawai Amerika juga tidak membuat pengakuan terbuka mengenai serangan peluru berpandu itu yang membunuh beberapa pegawai kanan Taliban dan al-Qaeda dengan pengkritik menyifatkannya punca pemberontakan kerana ada yang terbunuh adalah orang biasa. – AP

sakit kepala





LONDON - Seorang wanita dari sebuah kampung di barat daya England menyatakan dia mula bercakap dalam loghat Perancis selepas berulang kali diserang sakit kepala yang teruk.
Keadaan yang menimpa wanita itu dipercayai berlaku akibat sejenis sindrom ganjil yang menurut pakar-pakar saraf akan menyebabkan penduduk tempatan bertutur dalam loghat asing.
Wanita berkenaan, Kay Russell (gambar) berkata, suaranya menjadi semakin serak dan gaya pertuturannya berubah menyebabkan dia dipinggirkan orang ramai.
Wanita berusia 49 tahun itu memberitahu Perbadanan Penyiaran British (BBC) bahawa perubahan yang menimpa dirinya bukan sahaja pertuturannya berubah tetapi turut menjejaskan kehidupannya.
Kisah ganjil yang menimpa wanita tersebut akan disiarkan BBC pada minggu ini. - AP

Sos punca penyakit kronik



PENGGUNAAN sos secara berlebihan boleh menyebabkan penyakit kronik kepada pengguna. - Gambar hiasan


GEORGE TOWN - Memasak tanpa menggunakan sos perasa untuk menyedapkan masakan seolah-olah tidak lengkap bagi manusia zaman ini.
Sos tiram, kicap manis atau masin, sos tomato dan sos cili, misalnya, bukan sahaja menambah perasa tetapi juga membangkitkan selera penggemarnya.
Namun begitu, percaya atau tidak penggunaan penambah rasa seperti sos ke dalam masakan harian didakwa menjadi punca kepada 146 penyakit kronik.
Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) mendakwa, kandungan gula yang terlalu tinggi di dalam kandungan setiap botol sos itu bertindak sebagai 'pembunuh senyap'.
Kajian CAP pada tahun lalu mendapati sebotol sos cili dan tomato daripada pelbagai jenama mengandungi sebanyak 25.9 sudu teh hingga 37.1 sudu teh gula.
Pegawai Pendidikan Pengguna CAP, N.V. Subbarow berkata, penggunaan tanpa kawalan bahan-bahan itu dengan mudah boleh menyebabkan penyakit diabetes, obesiti dan mempercepatkan proses penuaan.

Ulang tahun pendaratan tentera Amerika di Incheon



Bot-bot amfibia Korea Selatan turut mengambil bahagian dalam melakonkan babak pertempuran semasa pendaratan tentera Amerika dan tentera sekutu dari sembilan negara lain di luar perairan Incheon, di barat Seoul, semalam. - REUTERS


INCHEON, Korea Selatan 15 Sept. - Kapal-kapal perang, pesawat pejuang serta anggota marin dari Korea Selatan, Amerika Syarikat (AS) dan Australia, hari ini melakonkan semula babak pertempuran dalam Perang Korea, yang telah mengubah arus perang tersebut, walaupun menerima bantahan dari Pyongyang.
Kira-kira 14,000 orang termasuk veteran perang dari sembilan negara yang terlibat dalam konflik 1950-1953 itu, menyertai upacara itu sebagai memeringati ulang tahun ke-60 pendaratan tentera di Incheon yang diketuai Jeneral AS Douglas MacArthur, kata Kementerian Pertahanan Korea Utara.
Pendaratan tersebut diikuti dua minggu kemudian dengan penawanan semula Seoul dari Korea Utara.
Sebanyak 12 buah kapal, 16 pesawat dan lebih 200 anggota marin dari tiga negara berkenaan mengambil bahagian dalam babak perang itu termasuk lakonan babak pendaratan, intipan secara menyelam dan penerbangan pintas.
Antara mereka yang menyaksikan upacara tersebut ialah 2,000 orang veteran perang dari Korea Selatan dan negara-negara lain yang menghantar tentera menyertai pasukan tentera Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) pimpinan AS bagi mempertahankan Korea Selatan.
Korea Selatan telah melakonkan semula babak pertempuran itu sejak 2008.
Korea Utara, yang menawan Korea Selatan pada 25 Jun 1950, membantah upacara tersebut dan menyifatkan pendaratan asal sebagai ''satu jenayah yang dilakukan bagi menjatuhkan penduduk Korea''.
Suratkhabar parti pemerintah, Rodong Sinmun semalam melaporkan lakonan babak pendaratan itu merupakan satu provokasi terhadap Korea Utara dan menunjukkan cita-cita musuh-musuhnya untuk menawan.... masih tidak berubah walaupun peristiwa itu telah berlalu hampir setengah abad.'' - AFP

Bila pandangan mula pudar


Bayangkan melihat sebatang tiang yang tegak tetapi pada pandangan ia seperti kabur di tengah dan juga condong ke kiri atau ke kanan.
Begitu juga bila melihat sebuah kereta yang laju di jalan raya tetapi pada pandangan, kereta tersebut menyondong ke tepi seolah-olah tidak stabil dan pudar pada bahagian tengah.
Jika itu yang dialami, segerakan berjumpa pakar mata kerana ia petanda awal kepada gejala kemerosotan atau degenerasi makular berkaitan usia (Age-related Macular Degeneration - AMD)
Ia adalah sejenis penyakit mata yang boleh menjejaskan penglihatan pusat tajam yang diperlukan untuk aktiviti pandangan 'lurus ke depan' mata seperti membaca, memandu kereta, mengecam muka dan sebagainya yang memerlukan penelitian.
''Namun, jika dikenal pasti lebih awal, pesakit mempunyai peluang yang cerah untuk menghalang perkembangannya malah boleh mendapatkan semula penglihatan yang hilang melalui rawatan terkini," Kata Pensyarah Kanan Bahagian Ophtalmic Universiti Malaya, Dr. Ahmad Fauzi Mohd. Sharif.
Tegas beliau lagi, AMD adalah penyakit mata kronik dan menjadi salah satu punca utama kehilangan penglihatan yang serius di kalangan golongan dewasa yang berumur 50 tahun ke atas.
Penyakit ini berkait rapat dengan proses penuaan di mana secara perlahan-lahan ia merosakkan bahagian tengah penglihatan atau makular.
''Bahagian makular diperlukan untuk melihat objek secara jelas, selain bagi tujuan menjalankan aktiviti biasa seperti membaca atau memandu.
"Dalam kes-kes tertentu, proses perkembangan AMD berlaku terlalu perlahan sehingga penghidapnya langsung tidak merasai perubahan pada penglihatannya.
''Tambahan pula, AMD tidak menyebabkan rasa sakit. Sesetengah pesakit pula merasakan AMD berlaku terlalu pantas sehingga menjurus kepada kehilangan kedua-dua daya penglihatan," jelasnya lagi.
Dr. Ahmad Fauzi menerangkan, AMD boleh berlaku dalam dua bentuk iaitu lembap atau kering.
Bagaimanapun AMD kering lebih banyak berlaku berbanding kes AMD lembap.
Bahkan daripada keseluruhan kes AMD, kira-kira 70 peratus adalah kes AMD kering berbanding 30 peratus AMD lembap.
AMD lembap terjadi apabila urat-urat darah abnormal di bahagian belakang retina mulai tumbuh di bawah makular.
Oleh kerana urat-urat darah ini masih baru dan 'mentah', kecenderungannya untuk pecah sehingga terkeluar cecair atau darah mudah berlaku.
''Darah dan cecair ini menaikkan makular daripada kedudukan normal di belakang mata. Jadi, kerosakan pada makular berlaku lebih pantas," katanya.
Oleh kerana kerosakan pada bahagian tengah penglihatan terjadi dengan pantas, maka AMD jenis ini juga dikenali sebagai AMD tahap awal - tidak seperti AMD jenis kering yang boleh berlaku secara berperingkat-peringkat.
''Begitupun simptom awal AMD lembap lebih mudah dikesan iaitu jika pesakit mendapati garisan lurus kelihatan seakan bengkang-bengkok," terang Dr. Ahmad Fauzi .
Sementara itu, AMD kering pula terjadi apabila sel yang sensitif pada cahaya di makular mati secara perlahan-lahan sehingga menyebabkan penglihatan bahagian tengah menjadi kabur. Lebih teruk, AMD kering boleh mengakibatkan penghidapnya melihat titik kabur pada tengah-tengah penglihatan.
Simptom yang dialami oleh pesakit yang mengalami AMD kering adalah penglihatan yang sedikit kabur.
''Penghidapnya mungkin sukar mengenali wajah orang lain dan memerlukan lebih banyak cahaya untuk melakukan aktiviti harian seperti membaca buku," katanya sambil memberitahu AMD kering lazimnya menjejaskan kedua-dua belah mata.
Kata Dr. Ahmad Fauzi lagi, AMD biasanya menyerang pesakit dalam keadaan senyap tanpa merasakan kesakitan pada mana-mana bahagian dan juga sebarang perubahan pada penglihatan.

Netanyahu, Abbas sambung rundingan


BAITULMAQDIS 15 Sept. - Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dan Presiden Palestin, Mahmoud Abbas menyambung rundingan hari kedua di Baitulmaqdis hari ini, bagi menyelesaikan pertikaian berhubung penempatan haram Yahudi di wilayah Palestin, yang boleh menggagalkan usaha ke arah perdamaian.
Sebelum itu, Netanyahu mengadakan pertemuan berasingan dengan Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Hillary Clinton sebelum Abbas menyertai mereka petang ini bagi rundingan selama tiga hari yang turut dihadiri utusan AS ke Asia Barat, George Mitchell.
Dua pemimpin itu gagal mencapai kata sepakat, semalam di Mesir berhubung pembinaan penempatan haram Yahudi, namun Mitchell berkata, mereka berbincang pelbagai isu penting yang memisahkan kedua-dua pihak dan mereka juga yakin boleh mencapai penyelesaian dalam tempoh setahun.
Penangguhan sementara pembinaan penempatan haram yahudi oleh Israel selama 10 bulan di Tebing Barat akan berakhir pada 30 September ini dan Palestin berkata, pihaknya akan menarik diri daripada rundingan sekiranya pembinaan itu disambung semula.
Mitchell selepas pertemuan di resort peranginan Sharm el-Sheikh di Laut Merah berkata, beliau percaya rundingan tersebut secara keseluruhannya berjalan ke arah yang betul.
Status Baitulmaqdis, nasib pelarian Palestin, sempadan negara Palestin baru dan pengurusan keselamatan merupakan isu penting yang perlu diselesaikan oleh kedua-dua pemimpin tersebut bagi menjamin satu perjanjian damai yang kekal.
Pusingan terbaru rundingan damai tersebut dilancarkan semula bulan lalu selepas tertangguh selama 20 bulan.
Media Israel melaporkan, Netanyahu mungkin akan ke Washington awal minggu depan dengan spekulasi menyatakan bahawa Presiden AS, Barack Obama mungkin terlibat dalam usaha menyelesaikan kebuntuan berhubung masalah penempatan haram Yahudi.
Netanyahu sebelum ini berkata, beliau tidak akan melanjutkan penangguhan pembinaan penempatan haram Yahudi tersebut, sebaliknya hanya akan mengehadkan skop pembinaan di sebahagian kawasan penempatan. - Reuters

5 terbunuh ketika India cari jalan tamatkan pergolakan


16/09/2010 2:48am

SRINAGAR 16 Sept. - Empat terbunuh dan 30 cedera apabila polis India melepaskan tembakan ke arah penunjuk perasaan di sebuah bandar berhampiran Kashmir.
Kejadian itu tercetus ketika pemimpin-pemimpin parti politik utama di India berdebat mengenai bagaimana untuk menamatkan bantahan puak pemisah selama berbulan-bulan di kawasan tersebut.
Seorang pegawai polis berkata, dalam pertempuran lain, seorang pembantah terbunuh dan dua lagi cedera ketika pasukan keselamatan kerajaan menggunakan senjata berpeluru hidup di Sopore, sebuah bandar di barat laut Srinagar.
Tentera kerajaan melepaskan tembakan apabila kumpulan pembantah bertindak menyerang mereka dengan batu ketika mereka dalam perjalanan pulang ke berek tentera, kata pegawai itu yang enggan identitinya didedahkan. - AP

Perancis haramkan burqa


PARIS 15 Sept. - Senat Perancis hari ini meluluskan rang undang-undang mengharamkan pemakaian burqa dan niqab di tempat awam di negara ini, tindakan yang dilihat sebagai simbol melindungi nilai-nilai Perancis.
Sebanyak 246 anggota Senat mengundi menyokong rang undang-undang tersebut berbanding hanya satu menentang, dan ia kini menunggu kelulusan daripada pemerhati Perlembagaan Perancis sebelum rang undang-undang pengharaman pemakaian burqa dan niqab itu menjadi satu undang-undang.
Penduduk Islam percaya, undang-undang berkenaan merupakan satu tamparan baru buat agama kedua terbesar di negara ini di mana rumah ibadah seperti masjid, dilihat sebagai sasaran kebencian.
Bagaimanapun, pihak yang menyokong rang undang-undang itu berkata, undang-undang itu akan memelihara nilai-nilai Perancis, termasuk asas sekularnya dan tanggapan persaudaraan yang bercanggah dengan golongan yang menutup muka mereka.
Dalam satu usaha untuk menghalang sebarang bantahan terhadap alasan undang-undang itu mungkin menyekat kebebasan beragama, pemimpin di kedua-dua Dewan Parlimen meminta satu badan khas iaitu Majlis Perlembagaan meluluskannya dalam tempoh sebulan.
Sebagai langkah keselamatan, perkataan 'wanita', 'Islam' dan 'niqab' tidak disebut pada mana-mana bahagian dalam rang undang-undang yang mengandungi tujuh artikel tersebut.
"Undang-undang ini adalah hasil perdebatan kompleks yang panjang," kata Presiden Senat, Gerard Larcher dan Ketua Perhimpunan Kebangsaan, Bernard Accoyer dalam satu kenyataan bersama ketika mengumumkan keputusan itu.
Perancis menjadi negara pertama di Eropah meluluskan undang-undang seumpama itu, walaupun negara-negara lain seperti Belgium sedang menimbangkan untuk melaksanakan undang-undang yang sama, selepas ia dilihat bercanggah dengan budaya tempatan.
Sementara itu, keputusan Perancis tersebut mendapat bantahan kuat daripada Majlis Ulama Indonesia atas alasan pemakaian burqa dan niqab di kalangan wanita Asia Barat adalah sebahagian budaya dan kepercayaan mereka.
"Sekiranya Parlimen Perancis mahu memperjuangkan hak asasi kemanusiaan, ia perlu membenarkan wanita memakai burqa dan niqab di tempat awam.
"Jika ia dibuat atas sebab-sebab keselamatan, persoalannya ialah setakat mana ancaman yang boleh ditimbulkan oleh wanita memakai burqa?," kata pengerusi majlis, Amidhan. - AP/AFP

Orang awam terbunuh dalam serangan tentera AS, Iraq


16/09/2010 2:52am

FALLUJAH Iraq 16 Sept. - 7 orang awam antara 18 yang mati ditembak ketika tentera Amerika Syarikat dan Iraq cuba menangkap seorang pemimpin tertinggi Al-Qaeda di sini, semalam.
Kejadian tersebut telah mencetuskan kemarahan awam di kawasan yang pernah menjadi pangkalan pemberontak itu.
Dua anggota tentera Iraq juga terbunuh dalam pertempuran di barat Baghdad, sementara satu serangan pengeboman jalanan di utara negara ini meragut sembilan nyawa askar lain yang sedang dalam perjalanan pulang ke rumah ketika bercuti.
Keganasan terbaru itu tercetus dua minggu selepas Washington secara rasmi mengisytiharkan penamatan operasi tentera di sini dan dengan ketiadaan kerajaan baru yang dibentuk sejak pilihan raya Mac lalu. - AFP