Pages

Friday, September 17, 2010

Jangan bangkit isu nuklear Israel - AS


VIENNA 16 Sept. - Penasihat nuklear Presiden Barack Obama, Gary Samore memberi amaran kepada duta-duta negara Arab hari ini bahawa rundingan damai langsung Asia Barat akan gagal jika mereka memberi tekanan terhadap program nuklear Israel ketika menghadiri mesyuarat yang akan berlangsung di sini, kata beberapa duta negara Arab.
Mereka memberitahu The Associated Press, penasihat Presiden Amerika Syarikat (AS) itu memberi amaran berkenaan ketika mengadakan mesyuarat tertutup dengan diplomat-diplomat negara Arab ke Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA).
Tiga daripada duta-duta itu bersetuju untuk berkongsi maklumat tentang mesyuarat tersebut tetapi enggan nama mereka disiarkan.
Pada persidangan IAEA yang akan diadakan minggu depan, negara Arab merancang untuk memperkenalkan resolusi yang menggesa Israel agar membenarkan program nuklear mereka disiasat oleh panel antarabangsa. - AP
Resolusi yang penah diluluskan dengan majoriti kecil pada persidangan sama yang disertai 151 negara itu, dikatakan hanya akan menambahkan lagi ketegangan di Asia Barat. - AP
Seorang daripada duta itu berkata, walaupun perlu menghadiri mesyuarat ahli majlis IAEA yang disertai 35 negara di sini minggu ini, tetapi fokus sebenar Samore, kini sebenarnya lebih tertumpu untuk mengadakan pertemuan dengan wakil negara Arab untuk memberi amaran kepada mereka agar tidak mengemukakan semula resolusi tersebut.
Israel dipercayai sedang membangunkan program senjata nuklear tetapi mereka tidak pernah memberitahu tentang statusnya.
Sementara itu di Washington, jurucakap kerajaan AS, P.J. Crowley mengakui bahawa pihaknya bimbang rancangan negara-negara Arab itu akan menggugat rundingan damai Asia Barat yang sedang berlangsung.
"Pertama sekali, biarlah kita bercakap berdasarkan fakta. Israel sering memberi kerjasama dengan IAEA sedangkan Iran dan Syria tidak pernah memberi kerjasama mereka," katanya.
Selain itu, duta berkenaan berkata, dalam mesyuarat berkenaan, Samore turut melobi agar negara-negara Arab tidak memilih untuk mengundi resolusi tersebut jika ada yang meneruskan rancangan itu. - AP

No comments: