Pages

Thursday, September 16, 2010

Perancis haramkan burqa


PARIS 15 Sept. - Senat Perancis hari ini meluluskan rang undang-undang mengharamkan pemakaian burqa dan niqab di tempat awam di negara ini, tindakan yang dilihat sebagai simbol melindungi nilai-nilai Perancis.
Sebanyak 246 anggota Senat mengundi menyokong rang undang-undang tersebut berbanding hanya satu menentang, dan ia kini menunggu kelulusan daripada pemerhati Perlembagaan Perancis sebelum rang undang-undang pengharaman pemakaian burqa dan niqab itu menjadi satu undang-undang.
Penduduk Islam percaya, undang-undang berkenaan merupakan satu tamparan baru buat agama kedua terbesar di negara ini di mana rumah ibadah seperti masjid, dilihat sebagai sasaran kebencian.
Bagaimanapun, pihak yang menyokong rang undang-undang itu berkata, undang-undang itu akan memelihara nilai-nilai Perancis, termasuk asas sekularnya dan tanggapan persaudaraan yang bercanggah dengan golongan yang menutup muka mereka.
Dalam satu usaha untuk menghalang sebarang bantahan terhadap alasan undang-undang itu mungkin menyekat kebebasan beragama, pemimpin di kedua-dua Dewan Parlimen meminta satu badan khas iaitu Majlis Perlembagaan meluluskannya dalam tempoh sebulan.
Sebagai langkah keselamatan, perkataan 'wanita', 'Islam' dan 'niqab' tidak disebut pada mana-mana bahagian dalam rang undang-undang yang mengandungi tujuh artikel tersebut.
"Undang-undang ini adalah hasil perdebatan kompleks yang panjang," kata Presiden Senat, Gerard Larcher dan Ketua Perhimpunan Kebangsaan, Bernard Accoyer dalam satu kenyataan bersama ketika mengumumkan keputusan itu.
Perancis menjadi negara pertama di Eropah meluluskan undang-undang seumpama itu, walaupun negara-negara lain seperti Belgium sedang menimbangkan untuk melaksanakan undang-undang yang sama, selepas ia dilihat bercanggah dengan budaya tempatan.
Sementara itu, keputusan Perancis tersebut mendapat bantahan kuat daripada Majlis Ulama Indonesia atas alasan pemakaian burqa dan niqab di kalangan wanita Asia Barat adalah sebahagian budaya dan kepercayaan mereka.
"Sekiranya Parlimen Perancis mahu memperjuangkan hak asasi kemanusiaan, ia perlu membenarkan wanita memakai burqa dan niqab di tempat awam.
"Jika ia dibuat atas sebab-sebab keselamatan, persoalannya ialah setakat mana ancaman yang boleh ditimbulkan oleh wanita memakai burqa?," kata pengerusi majlis, Amidhan. - AP/AFP

No comments: