Pages

Friday, September 17, 2010

Palestin tak akan batalkan rundingan



HILLARY CLINTON (kiri) bertemu dengan Mahmoud Abbas di Ramallah, Tebing Barat semalam.


RAMALLAH, Tebing Barat - Israel dan Palestin tiada pilihan kecuali berunding, kata Presiden Palestin, Mahmoud Abbas semalam semasa beliau menemui Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Hillary Clinton ketika usaha-usaha sedang dilakukan bagi menggerakkan rundingan secara langsung di antara kedua-dua belah pihak.
"Kita tiada pilihan kecuali meneruskan usaha ini (rundingan damai)," tambahnya.
Kenyataan Mahmoud membayangkan bahawa beliau tidak akan membatalkan rundingan damai sekiranya Israel tidak melanjutkan pembekuan pembinaan penempatan haram Yahudi di Tebing Barat, Palestin selama 10 bulan yang tamat pada 26 September ini.
Terdahulu, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dan beberapa pegawai lain menyatakan bahawa Israel tidak akan melanjutkan lagi tempoh untuk menangguhkan kerja-kerja pembinaan penempatan Yahudi di Tebing Barat.
Namun, menurut beberapa laporan media pada minggu ini, AS kini berusaha untuk mencari jalan supaya rundingan damai tersebut dapat diteruskan tanpa dipulaukan oleh pihak Palestin.
Menurut sebuah akhbar Arab, Asharq al-Awsat semalam, Mahmoud telah bersetuju dengan usul AS supaya beliau terus berunding dengan Israel dan sebagai balasan Tel Aviv akan melanjutkan pembekuan pembinaan Yahudi di Tebing Barat selama tiga bulan lagi.
Kelmarin, ketika Hillary menemui pegawai-pegawai Israel di Baitulmuqaddis, akhbar Israel, Ma'ariv melaporkan bahawa Netanyahu mempertimbangkan satu lagi usul bagi membolehkan rundingan damai Palestin Israel diteruskan.
Usul tersebut menyatakan bahawa Israel akan terus membina penempatannya di Tebing Barat tetapi pada kadar 1,500 hingga 2,000 buah rumah setahun.
Pemimpin Israel itu turut mencadangkan supaya penempatan Yahudi dibina meliputi 1.9 peratus kawasan di Tebing Barat. - Agensi

No comments: