Pages

Monday, May 9, 2016

Jadi lelaki sebenar baru boleh pinang

Riyadh: Seorang lelaki Saudi terkejut apabila diberitahu oleh bapa gadis yang hendak dipinangnya supaya mengubah penampilannya sebelum dia boleh berkahwin dengan anaknya.
“Bapa gadis itu memberitahu lelaki berkenaan, dia mesti menukar penampilannya kepada lelaki sejati supaya dia boleh mengahwini anaknya. Selagi dia tidah mengubah penampilannya, pinangannya tidak akan diterima,” lapor akhbar Sada dari bandar Baha, selatan Saudi.
Menurut laporan itu, bapa gadis berkenaan tidak berkenan dengan penampilan lelaki itu yang dikatakan kelihatan seperti wanita, dengan rambut panjang dan berpakaian ketat.
“Kelakuannya juga seperti wanita, menyebabkan bapa itu berpendapat, lelaki itu lebih wanita daripada lelaki. Rambutnya yang panjang tidak sesuai dengan seorang lelaki,” lapor akhbar itu. - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Mei 2016 @ 8:05 AM


GAMBAR hiasan.

Sunday, May 8, 2016

Masjid UK tegah wanita pakai seluar panjang, guna Facebook

DUNIA AHAD, 8 MEI 2016 @ 10:02 AM

MASJID Green Lane di Birmigham.


LONDON: Masjid seluruh United Kingdom mengarahkan wanita Islam supaya tidak memakai seluar panjang, melarang mereka keluar rumah tanpa kebenaran suami atau menggunakan Facebook.

 Ia menimbulkan kemarahan dalam kalangan aktivis anti-ekstremisme dan golongan berhaluan sederhana yang menyifatkan peraturan itu sebagai 'ketinggalan zaman' dan terjemahan mengenai Islam yang 'salah secara keseluruhan', menurut laporan The Times.

 Masjid Green Lane di Birmigham melarang wanita memakai seluar panjang walaupun di depan suami kerana ia menonjolkan susuk tubuh manakala Masjid Pusat di Blackburn pula berkata, wanita perlu memadamkan akaun Facebook untuk melindungi diri daripada 'kejahatan.' Ia memetik ayat al-Quran mengenai dosa alkohol untuk mewajarkan pendirian terhadap 'rangkaian ganas' Facebook. "Facebook membuka pintu untuk melakukan dosa.

Gadis dan wanita Islam menjadi mangsa kejahatan ini," menurut kenyataan. Persatuan Islam Blackburn, ahli gabungan Majlis Islam Britain (MCB), badan induk yang mewakili 500 masjid, mengarahkan wanita tidak meninggalkan rumah tanpa kebenaran suami dan perlu ditemani mahram. - Agensi

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/151541

Bapa ambil kesempatan kahwin baru

Riyadh: Seorang bapa yang mengiringi anaknya untuk berkahwin, akhirnya melangsungkan perkahwinannya sendiri selepas si anak tidak jadi berkahwin.
Akhbar Sada melaporkan, si bapa bersama anggota keluarganya yang lain pergi ke rumah bakal isteri anaknya.
Bagaimananapun, ibu gadis itu enggan mengahwinkan anaknya pada saat akhir atas alasan dia mahu kahwinkan kakak gadis itu terlebih dahulu.
“Anak lelaki itu berang dan membatalkan perkahwinannya sebelum meninggalkan majlis. Bapanya tidak mengekorinya, sebaliknya melamar kakak pengantin perempuan berkenaan. Si ibu serta-merta bersetuju dan menerima lamaran lelaki itu,” lapor akhbar itu dalam laporannya dari Jaza, wilayah di selatan Saudi. - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 Mei 2016 @ 5:05 AM


GAMBAR hiasan.

Jaguar berharga £635 kini dijual £4 juta



Kereta Jaguar C-Type ini berjaya dijual pada harga £4 juta dalam satu majlis lelongan baru-baru ini. - AGENSI


LONDON – Sebuah kereta vintaj Ja­guar yang pernah dibeli pada harga £635 (RM3,665) kira-kira 50 tahun lalu kini memecahkan rekod apabila dijual pada harga £4 juta (RM23 juta) dalam satu majlis lelongan baru-baru ini.
Seorang jurugambar, Guy Griffiths membeli jaguar model XK120c C-Type itu yang pernah menyertai beberapa perlumbaan kereta di seluruh Eropah.
Malah, Griffiths turut memiliki beberapa kereta lumba lama dan dia kini mempunyai sebuah muzium kecil untuk menempatkan kesemua koleksi kereta klasik di rumahnya yang terletak di Cotswolds.
Dia kemudian meninggal dunia pada tahun 2003 dan anak perempuannya, Penny Griffiths-Woodley yang juga me­rupakan seorang pelumba kereta telah mengambil keputusan untuk menjual salah satu koleksi bapanya itu.
Kereta itu merupakan satu daripada 45 buah kereta Jaguar C-Type yang dikeluarkan oleh pengeluar kereta Bri­tain, namun hari ini, hanya lapan buah dikatakan berada di seluruh dunia, malah lima daripadanya masih bertan­ding pada perlumbaan kereta vintaj 24 jam Le Mans di Perancis. – Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0508&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm#ixzz4822Tx0zY 
Hakcipta terpelihara 

Saturday, May 7, 2016

Masjid terbesar Algeria

7 MEI 2016

Masjid terbesar Algeria
Masjid yang dibina antara kawasan tumpuan pelancong dan lokasi yang pernah menjadi kubu kuat ekstremisme itu dijangka siap pada tahun hadapan.


ALGIERS - ALGERIA. Algeria sedang membina sebuah masjid yang bakal menjadi salah sebuah masjid terbesar di dunia.
Masjid yang dinamakan Djamaa El Djazair itu dibina menghadap Teluk Algiers dengan tujuan untuk memerangi ancaman puak pelampau Islam  selain simbol legasi Presiden Abdelaziz Bouteflika.
Struktur itu turut dilengkapi menara setinggi 265 meter dan dewan solat berkeluasan kira-kira 200,000 meter persegi yang mampu memuatkan 120,000 jemaah dalam satu masa.
Selain itu, kompleks tersebut juga menempatkan perpustakaan, sekolah pengajian al-Quran dan muzium kesenian serta kebudayaan Islam.
Difahamkan, idea untuk membina masjid mega itu telah tercetus sejak 1962 ketika Algeria mendapat kemerdekaan daripada Perancis.
Impian itu akhirnya tercapai selepas pelantikan Abdelaziz, pemimpin yang mempunyai minat sangat mendalam terhadap seni dan kebudayaan Islam.   - AFP

Friday, May 6, 2016

30 minit 'bertarung' tangkap tedung selar

Segamat: “Tedung selar itu kelihatan agresif dengan menegakkan kepalanya setinggi 0.5 meter seolah-olah sedia untuk menyerang,” kata Pegawai Ladang Palong Timur 1 Othman Mohamad, 52, yang menceritakan kembali insiden penemuan reptilia terbabit di ladang kelapa sawit seliaannya di Batu Anam di sini, jam 8.30 pagi semalam.
Dalam kejadian itu, pekerja ladang terbabit dikejutkan dengan penemuan reptilia sepanjang 3.5 meter serta seberat 25 kilogram (kg) ketika menyiapkan tugasan masing-masing.
Bimbang dipatuk, aduan dibuat kepada Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Daerah Segamat sebelum empat anggota agensi berkenaan dikerah ke lokasi.
Mereka mengambil masa setengah jam untuk menangkap tedung selar itu.
Othman berkata, ular terbabit turut menyembunyikan diri di dalam lubang apabila kenderaan JPAM masuk ke lokasi berkenaan.
“Reptilia itu menjalar ke dalam lubang berhampiran untuk menyembunyikan diri, namun dapat ditangkap setengah jam kemudian,” katanya.
Sementara itu, Pegawai JPAM Daerah Segamat Staff Muda Mohd Nazlan Ruslan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 9.25 pagi sebelum mengerahkan empat anggotanya ke lokasi.
“Kami menjerit serta membuat bising bagi menarik perhatian ular terbabit yang masuk ke lubang sedalam satu meter.
“Usaha kami berhasil apabila ia mengeluarkan kepalanya daripada lubang sebelum ditangkap,” katanya.
Tedung selar itu kemudian diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Daerah Segamat untuk tindakan lanjut.
Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Mei 2016 @ 10:24 AM


ULAR tedung selar yang ditangkap anggota JPAM Daerah Segamat.

Thursday, May 5, 2016

Ulat bersarang dalam kepala



AGENSI - SEJUMLAH ulat berenga bersarang di dalam kepala seorang lelaki.


LONDON – Seorang lelaki dipercayai menetap di Amerika Selatan terpaksa menanggung penderitaan apabila sejumlah ulat berenga yang masih hidup bersarang di dalam kepalanya.
Lelaki yang tidak didedahkan identitinya itu dipercayai menghidap penyakit cerebral myiasis iaitu jangkitan daripada larva lalat jenis Cochliomyia hominivorax.
Satu klip video yang dimuat naik di internet menunjukkan sejumlah ulat berenga dilihat masih hidup di dalam luka di kepala lelaki itu. Luka itu dipenuhi nanah dan darah.
Video berdurasi 22 saat itu ditonton beribu-ribu kali sejak dimuat naik kelmarin oleh pengguna internet yang dikenali sebagai Mr Smith305 di laman perkongsian web, Liveleak.
Lazimnya, jangkitan larva lalat itu berlaku di kawasan tropika dengan hanya lapan kes cerebral myiasis dilaporkan di seluruh dunia.
“Larva Cochliomyia hominivorax merupakan sejenis lalat yang gemar memakan daging manusia sekali gus boleh memusnahkan tulang dan tisu muka, hidung serta mata jika tidak dirawat dengan segera.
“Malah, larva lalat itu boleh menyebabkan jangkitan pada otak sehingga boleh membawa maut,”kata seorang doktor yang enggan dikenali.
– Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0505&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_05.htm#ixzz47jjGwkgZ 
Hakcipta terpelihara 

Kapal timbul selepas 100 tahun



ABDUL RASHID melihat secara dekat besi bangkai kapal British yang dipercayai karam secara misteri lebih 100 tahun dahulu di Kampung Tanjung, Paloh Hinai, Pekan semalam.


PEKAN – Fenomena El Nino yang mengakibatkan paras air Sungai Pahang menjadi cetek tidak semena-mena membawa kepada kemunculan semula sebuah kapal dipercayai milik British yang karam secara misteri berdekatan Kampung Tanjung, Paloh Hinai di sini kira-kira 100 tahun lalu.
Bangkai kapal sepanjang lebih 30 meter itu mula kelihatan kira-kira sebulan lalu. Sebahagian daripada komponennya seperti tali sauh, kipas serta kebuk pembakaran enjin berkuasa wap masih mengekalkan bentuk asal.
Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Paloh Hinai, Abdul Rashid Abdul Rahman berkata, akibat air sungai Pahang surut, sebahagian daripada komponen kapal tersebut seperti tiang layar dan serombong kapal dapat dilihat, namun kali ini sebahagian besar bangkai kapal itu kelihatan.
Jelasnya, penduduk setempat memang mengetahui kewujudan bangkai kapal tersebut memandangkan kisahnya agak popular dalam kalangan masyarakat setempat.
Cerita Abdul Rashid, kapal dagang itu karam kononnya selepas ia ‘mengganggu’ makhluk halus yang mendiami Sungai Pahang selain sikap sombong kapten kapal.
“Sebelum ini, tiada penduduk yang berani menghampiri bangkai kapal itu kerana mereka telah sekian lama dimomokkan de­ngan cerita orang-orang dahulu. Bagaima­napun, selepas hampir keseluruhan bangkai kapal timbul seperti sekarang, barulah ada yang berani mengambil inisiatif untuk melihat keadaan dan mengambil gambar.
“Kini terpulang kepada kerajaan negeri untuk mengambil tindakan selanjutnya sama ada mahu memelihara nilai sejarah dan menaikkan semula kapal ini,” katanya ketika ditemui di sini semalam.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0505&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_09.htm#ixzz47jitKoNA 
Hakcipta terpelihara 

JPAM Hilir Perak tangkap ular sawa eram 90 telur

ular

BERNAMA

04 Mei 2016 7:51 PM

TELUK INTAN 4 MEI - ANGGOTA Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Hilir Perak mengangkat ular sawa batik sepanjang empat meter yang ditemui di bawah pokok nibong di Kampung Sungai Kerang, Mukim Sungai Durian, di sini hari ini. UTUSAN/AIN SAFREE
TELUK INTAN 4 Mei - Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) menangkap seekor ular sawa batik sepanjang empat meter yang sedang mengeram telur di bawah pokok nibong di Kampung Sungai Kerang, Mukim Sungai Durian dekat sini hari ini.
Pegawai JPAM Daerah Hilir Perak, Mohd. Fadzly Mohamad Zawawi berkata, ketika ditemui ular seberat hampir 100 kilogram itu sedang mengeram 90 telur.
Katanya, kemunculan ular sawa itu disedari seorang penduduk kampung petang semalam ketika sedang membersihkan kebun kelapa sawit miliknya, tetapi JPAM hanya dimaklumkan pagi tadi.

"JPAM diberitahu tentang ular tersebut pada 9.20 pagi ini sebelum empat pegawai dan anggota bergegas ke tempat kejadian. Kami mengambil masa kira-kira 20 minit memujuk reptilia itu keluar dari sarang sebelum menangkapnya.
"Ketika ditangkap ular sawa ini tidak terlalu agresif dan penduduk kampung memaklumkan tujuh atau lapan telur ular telah dimakan biawak berdasarkan kesan sisa," katanya ketika ditemui pemberita di pejabat JPAM Hilir Perak di sini, hari ini.
Mohd. Fazly berkata, ular sawa berkenaan dan telurnya akan diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Teluk Intan hari ini. - BERNAMA
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/jpam-hilir-perak-tangkap-ular-sawa-eram-90-telur-1.312559#sthash.wKFZ14Kp.dpuf

Wednesday, May 4, 2016

Mayat pendaki ditemui beku selepas 16 tahun

3 MEI 2016

Alex Lowe


KATHMANDU - NEPAL. Mayat dua pendaki Amerika Syariakt ditemui beku di Himalaya, 16 tahun selepas mereka terbunuh dalam runtuhan salji.
Pendaki gunung terkenal, Alex Lowe mendaki 8,013 meter puncak Shishapangma di Tibet pada Oktober 1999 bersama jurukamera David Bridge ketika runtuhan berlaku.
Mayat kedua mangsa ditemui masih terperangkap di dalam ais oleh dua pendaki minggu lalu.
Lowe, 40, dianggap salah seorang pendaki gunung  terkenal dalam generasinya kerana telah menyelamatkan beberapa pendaki lain.
Ketika insiden Lowe dan Bridges, 29, yang juga merupakan rakan rapatnya menanda laluan di Shishapangma yang merupakan gunung ke-14 tertinggi di dunia.
Penemuan mayat mereka diumumkan oleh isteri Alex, Jennifer Lowe-Anker yang kini menguruskan sebuah yayasan kebajikan atas nama mendiang suaminya bersama dengan suaminya kini, Conrad Anker.
Anker turut sama di Shishapangma dengan kedua-dua pendaki pada hari runtuhan itu dan hanya cedera ringan.
"Pasangan itu yang berada di Nepal untuk kerja amal minggu lalu menerima panggilan daripada pendaki David Goettler dan Ueli Steck yang menemui dua mayat yang bersalut ais bewarna biru ," kata kenyataan badan amal.
Mereka menyifatkan pakaian serta peralatan mangsa adalah pasti milik pasangan yang hilang.
Mayat kini dijangka akan dikeluarkan dari gunung untuk diserahkan kepada keluarga mangsa.

Islamkan 108,000 orang sejak 1989

3 MEI 2016al-quran
MATLI - PAKISTAN. Seorang pendakwah mengejutkan dunia Islam dengan prestasinya yang mengkagumkan apabila berjaya mengislamkan 108,00,00 pemeluk agama Hindu sejak tahun 1989.
Pendakwah yang dikenali sebagai Deen Mohammad Shaikh, mula menjalankan aktiviti dakwahnya sejak meninggalkan agama kelahirannya iaitu Hindu.
Shaikh merupakan warga kota Matli, Pakistan beliau merupakan Ketua Masjid Jami' Wali Allah dan Madrasah Islam Aisha Ta'limul Quran, sebuah pusat Islam untuk golongan muallaf.
Beliau yang berusia, 70 tahun itu dilihat sering membawa tongkat untuk membantunya berjalan.
Selain kelibat serban yang berwarna merah putih yang dibawa dibahunya tatkala memberikan dakwah kepada kelompok non-Muslim di sana.
Dalam pada itu, Shaikh juga telah mewakafkan sembilan hektar tanahnya untuk disumbangkan kepada para muallaf untuk mendirikan sebuah pusat 'berteduh'.
"Keinginan tulus saya adalah untuk menjadikan penduduk seluruh dunia menjadi Muslim," katanya memetik laporan Express Tribune ketika ditanya tentang 'perjalanan' dakwahnya.
TERLALU CINTAKAN ISLAM
Pembaca khutbah Jumaat di beberapa masjid di Pakistan ini sering menceritakan mengenai perjalannya daripada seorang penganut  Hindu yang taat bernama Jhangli dan menjadi ahli tertinggi dalam agama tersebut.
"Saya terlalu mencintai Islam. Saya membaca al- Quran dan menyedari bahawa 360 dewa ternyata tidak ada gunanya bagi saya," ujarnya.
Katanya, beliau mempelajari al-Quran secara rahsia pada mula-mula beliau tertarik dengan Islam, dan beliau juga belajar berpuasa ketika ingin mengkaji tentang Islam.
Melihat gelagatnya itu, ibunya mula merasakan bahawa anaknya itu mahu bertukar agama, untuk mengelak daripada perkara itu terjadi ibunya lantas mengahwinkannya ketika beliau berusia 15 tahun, kerana pada fikiran ibunya jika beliau dikahwinkan, mungkin beliau tidak akan menukarkan agamanya.
Namun ketertarikannya kepada Islam tidak pernah padam.Saat dipenuhi rasa ingin tahu tersebut, beliau bertemu dengan seorang guru Islam bernama Sain Mohammad Jagsi, yang menyuruhnya mempelajari al-Quran dan Hadis.
Setelah berani mengumumkan bahawa beliau telah memeluk agama Islam, Deen Mohammad Shaikh mulai merencanakan misi untuk mengislamkan orang lain. Dakwahnya dimulai tetangga di belakang belakang rumahnya, sehinggalah ke kota.
Kini, penyebaran Islam Shaikh,  telah tersebar ke seluruh Matli dan orang-orang ramai mulai datang kepadanya hingga dari kota yang jauh seperti Balochistan, termasuk penganut semua agama.
Kemudian, sebuah masjid kecil dibangunkan di kompleks perumahannya dengan beberapa bilik, di mana anak-anak yang kebanyakan perempuan yang baru memeluk Islam, diajarkan bagaimana melafazkan doa-doa dan membaca al-Quran.
Selain itu, beliau tidak menjelaskan secara terperinci bagaimana caranya mengislamkan orang. Semua itu beliau jelaskan secara sederhana dengan perumpamaan 'nugget panas dan belerang'.
"Saya beritahu kepada mereka bahawa saya pernah menjadi pemeluk Hindu juga, dan mereka akan dibakar di neraka jika mereka bukan Muslim." jelasnya.
CABARAN BERDAKWAH
Katanya, ada suara-suara 'dakwah' orang Hindu yang ingin mereka yang memeluk Islam kembali kepada ajaran Hindu. Shaikh  berkata, untuk itu beliau memindahkan mereka ini  ke wilayah Hub Chowk dekat kota Karachi.
"Bila tak dipindahkan, keluarga mereka akan menarik mereka kembali," jelasnya.
Cara ini dipelajarinya daripada pengalaman peribadinya, beliau sebelum ini pernah diculik bersama dengan anak perempuannya oleh mertuanya dan umat Hindu yang berpengaruh di sana dan mengancamnya untuk berhenti mengislamkan orang.
"Mereka tidak ingin umat Hindu yang miskin untuk berdikari dan mereka sangat tidak rela bila para penduduk menjadi Muslim," ujarnya.
Meskipun tercatat sudah 108,000 orang yang sudah memeluk Islam, Shaikh merasa masih belum puas dengan prestasinya. Dia ingin semua orang didunia menjadi Muslim dan belajar dari teladan Rasulullah SAW.

Monday, May 2, 2016

Keajaiban dunia ke-8 ditemui?

Keajaiban dunia ke-8 ditemui?

25 APRIL 2016 SEORANG pemburu emas Nazi, mendakwa bahawa dia telah menemui harta karun peninggalan Nazi pada era Perang Dunia Kedua yang dianggarkan bernilai  £350 juta.
Kurator Muzium, Bartlomiej Plebanczyk percaya, dia telah menemui bilik bawah tanah yang sebelum ini tidak diketahui orang, selepas dia menggeledah kompleks terowong Nazi dan kubunya.
Harta karun yang dikenali sebagai bilik 'Amber' itu berusia 300 tahun yang terletak di Catherine Palace, berhampiran St. Petersburg, hilang lebih daripada 70 tahun yang lalu dengan beberapa saksi mendakwa mereka pernah melihat  'harta'  itu sedang dimuatkan ke dalam kapal Jerman.
Sementara itu, Plebanczyk mendakwa penemuannya  itu adalah harta karun yang pernah disebut-sebut sebagai Keajaiban Dunia ke-8.
Dalam pada itu, memetik media tempatan Plebanczyk kini sedang memohon keizinan  untuk menggali lebih ke dalam  ruang bilik bawah tanah itu, agar membolehkannya  memasukkan kamera video untuk meninjau keadaannya.
"Saya akan cuba menggunakan radar, bagi membolehkan saya menyelongkar lebih lagi.
"Saya perlu menggerudi bilik bawah tanah itu dan akan cuba menurunkan video di sana.
"Bagaimanapun, saya perlu menunggu persetujuan pegawai pemuliharaan sejarah tempatan," katanya dipetik Express.co.uk

Lelaki cipta ‘basikal terbang’



FURZE dirakam terbang dengan hoverbike yang dibina menggunakan kerangka basikal. - AGENSI


LONDON – Seorang lelaki Britain mencipta sebuah kenderaan futuristik yang dinamakan sebagai hoverbike dan boleh bergerak di udara menggunakan dua buah kipas baru-baru ini.
Colin Furze yang mencipta hoverbike itu menyifatkannya sebagai kenderaan paling hebat pernah ditunggangnya. Penciptaan kenderaan itu dibina berdasarkan cadangan daripada beribu-ribu penonton yang mahu dia mencipta mesin boleh terbang.
Furze mencipta mesin itu menggunakan dua buah kipas besar yang dihadapkan ke bawah dan disambungkan kepada dua buah motor serta sebuah rangka basikal. Kipas tersebut digunakan untuk membolehkan kenderaan itu terapung dan berlegar di udara.
Empat rakaman video yang dimuat naik di laman perkongsian video YouTube menunjukkan cara pembinaan kenderaan itu serta hasil terakhir yang diperoleh Furze.
Berdasarkan video terakhir yang dimuat naiknya, Furze dilihat mengendalikan mesin yang sukar dikawal itu di sebuah padang. – Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0502&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm#ixzz47UJcp53d 
Hakcipta terpelihara 

Wanita 100 tahun jadi model iklan fesyen


GILBERT dipilih menjadi model iklan bagi butik Harvey Nichols sempena meraikan ulang tahun majalah Vogue yang ke-100.


LONDON – Sebuah butik terkemuka di sini memilih seorang model berusia 100 tahun untuk memperagakan koleksi pakaiannya di dalam iklan majalah terkemuka, Vogue baru-baru ini.
Butik Harvey Nichols itu memilih warga emas tersebut, Bo Gilbert sempena meraikan ulang tahun bersejarah majalah berkenaan yang ke-100 pada tahun ini.
Ketika sesi penggambaran dijalankan, Gilbert berjaya membuktikan golongan tua masih boleh bergaya tanpa rasa takut pada usia lanjut serta menangani masalah penuaan dalam industri fesyen.
Gambar itu dirakam oleh jurugambar, Phil Poynter yang bekerja dengan butik-butik fesyen terkenal seperti Prada, Louis Vuitton dan Lacoste.
Gilbert dilihat sangat bergaya apabila dia mengenakan kot berwarna merah jambu, seluar berwarna putih dan busana Victoria Beckham serta memakai cermin mata Valentino.
“Saya agak terkejut selepas melihat gambar-gambar yang dirakam itu kerana saya kelihatan sangat cantik walaupun telah tua,” kata Gilbert.
Selain itu, Gilbert akan beraksi dalam satu filem pendek yang dihasilkan butik tersebut dan kempen iklannya turut dipaparkan dalam keluaran bulan Jun bagi Vogue edisi Britain.
Pada April lalu, majalah Vogue edisi Britain memilih penyanyi terkenal, Rihanna sebagai penghias muka depan mereka. – Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0501&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_04.htm#ixzz47UIm9skW 
Hakcipta terpelihara 

Pulangkan buku selepas 67 tahun


AUCKLAND 1 Mei – Seorang wanita di New Zealand terlepas daripada dikenakan denda sebanyak AS$17,000 (RM66,538) gara-gara lewat memulangkan buku yang dipinjam daripada sebuah perpustakaan di sini selama 67 tahun.
Perpustakaan Awam Epson berkongsikan rekod yang menunjukkan tarikh asal seorang pelanggannya meminjam sebuah buku sebelum dipulangkan semula selepas 67 tahun. AGENSI
Menurut kenyataan Perpustakaan Awam Epsom, wanita yang dirahsiakan namanya itu turut memulangkan kad asal pinjaman buku berkenaan yang tertera tarikh 17 Disember 1948.
“Seorang pelanggan datang ke perpustakaan dan memulangkan buku yang dipinjam sejak 67 tahun lalu.
“Dia mengaku tidak sengaja membawa buku tersebut apabila berpindah ke Auckland bersama keluarganya,” jelas kenya­taan itu.
Staf perpustakaan, Zoe Cornelius berkata, buku tersebut berada dalam keadaan baik apabila dipulangkan dan wanita berkenaan tidak dikenakan sebarang denda lewat memandang­kan dia meminjam buku terbabit ketika masih kanak-kanak.
“Kanak-kanak tidak tertakluk pada peraturan tersebut, jadi dia terlepas daripada denda.
“Dia berasa malu kerana lewat memulangkan buku ber­kenaan, tetapi turut berasa gembira kerana telah banyak kali membaca bahan bacaan tersebut sejak berpuluh-puluh tahun lalu,” katanya.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/pulangkan-buku-selepas-67-tahun-1.304530#sthash.48JIwrCW.dpuf

Mayat sami disadur dengan emas

In this photo taken March 16, 2016, a man takes a photo of the

gambar bertarikh 16 Mac lalu memaparkan jasad Fu Hou yang disadur dengan lapisan emas di Quanzhou, tenggara China. – AGENSI
FUJIAN 1 Mei – Seorang sami me­nerima penghormatan daripada sebuah tokong di Quanzhou, tenggara China apabila mayatnya yang telah diawet disadur dengan emas, baru-baru ini.
Menurut laman Daily Mirror, Fu Hou meninggal dunia pada 2012 ketika berusia 94 tahun.
Jasadnya sebelum itu telah diawet dan disimpan di dalam sebuah bekas besar.
Hou dikatakan menerima penghormatan tersebut kerana telah menghabiskan sebahagian besar hayatnya di Tokong Chongfu selepas mula menjadi sami pada umur 17 tahun.
Sebaik sahaja disahkan mati, mayatnya terus dibersihkan dan diawet oleh dua pakar sebelum dimasukkan ke dalam bekas besar itu dalam keadaan bertafakur.
Akhbar The Telegraph melaporkan, upacara ‘pengebumian sementara’ itu dibuat mengikut agama Buddha sepenuhnya.
Selepas beberapa tahun ‘di­semadikan’ dalam bekas besar itu, jasad Hou yang masih berada dalam keadaan yang baik itu dikeluarkan.
Proses menyadur mayatnya dengan lapisan emas dimulakan dengan membersihkan jasad Hou dengan alkohol sebelum tubuhnya dibalut dengan beberapa helaian kain.
Jasad Hu seterusnya disapu dengan sejenis syelek khas sebelum disadur dengan emas di Tokong Puzhao sebagai penghormatan terhadap sami berkenaan.
Keseluruhan proses tersebut mengambil masa tiga bulan dan ja­sad Hou akan dipamerkan di Tokong Chongfu.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/mayat-sami-disadur-dengan-emas-1.304555#sthash.CNFC2iek.dpuf

Sunday, April 24, 2016

Kerbau RM47.8 juta


Johannesburg: Seekor kerbau dinamakan Horizon dilaporkan sebagai paling berharga di dunia apabila bernilai £8.5 juta (RM47.8 juta) disebabkan tanduknya yang berukuran 142 sentimeter.

Horizon sungguh berharga sehingga penjualan milikan sebanyak 25 peratus haiwan itu meraih lebih £2.1 juta (RM11.8 juta) kepada ahli perniagaan Afrika Selatan, Peter Bellingham, pada Februari lalu.

Horizon bagaikan lubuk emas dengan nilai tinggi terletak pada tanduknya yang luar biasa dan gen yang sempurna menyebabkannya menjadi buruan golongan penternak untuk membiakkan kerbau seumpamanya.

Pemilik taman rizab sering membeli kerbau untuk menarik pelancong dan Horizon memberi peluang untuk mereka membiakkan haiwan yang paling besar dan hebat.

Aktiviti memburu juga meraih keuntungan tinggi di Afrika, bererti kerbau dengan tanduk sehebat Horizon pasti menarik minat pemburu paling berpengalaman yang mahukan cabaran.

Horizon membiakkan anak berkualiti tinggi seterusnya nilai kerbau betina yang mengawan dengannya turut bertambah apabila kerbau bunting biasa bernilai £38,000 (RM214,000) manakala yang dibuntingkan Horizon pula lebih £121,000 (RM681,000).

Horizon kini dimiliki empat ahli perniagaan Afrika Selatan dan tinggal di ladang seorang pemiliknya, Piet du Toit di Rustenberg.

Setiap mereka mempunyai pegangan 25 peratus terhadap Horizon dan masing-maing dibenarkan mengawankannya dengan 10 kerbau betina setahun dengan hak terhadap anak dilahirkan.

Du Toit, 45, berkata: “Horizon bukan saja mempunyai tanduk yang hebat, malah sihat dan kerbau yang paling besar. Lazimnya tanduk kerbau cuma antara 91 sentimeter hingga 102 sentimeter.

“Jarang sekali kerbau jantan mampu menurunkan ciri-ciri genetik hebat kepada anaknya, tetapi Horizon menghasilkan anak yang sangat berkualiti tinggi dan ini menambah nilainya.” - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 April 2016 @ 8:03 AM

HORIZON kerbau paling berharga.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/132956#sthash.NSvVRTEn.dpuf

Jumpa harta karun zaman purba belakang rumah


Jumpa harta karun zaman purba belakang rumah

22 APRIL 2016 AARGAU - SWITZERLAND. Seorang petani menemui lebih 4,000 syiling purba dipercayai milik kerajaan Rom belakang rumahnya di Ueken, baru-baru ini.
Menurut laporan CNN, selepas satu lagi operasi cari gali dijalankan, 4,166 keping syiling perak dan tembaga tersebut dianggarkan berumur kira-kira 1,700 tahun.
"Ini adalah penemuan yang menakjubkan," kata Geroge Matter, seorang ahli arkeologis yang menjayakan operasi cari gali kedua.
Kata George, harta karun berkenaan berasal dari zaman pemerintahan Maharaja Aurelian pada tahun 274 dan Maharaja Maximian pada tahun 294.
"Dalam bidang arkeologi sendiri, tak sampai 2,500 syiling dijumpai. Kali ini, kita menemui lebih dari 4,000. Penemuan ini sangat unik," jelas George.
Oleh kerana petani yang menemui syiling tersebut membuat keputusan untuk tidak menyimpannya, maka pihak muzium Vindonissa de Brugg membersihkan dan mempamerkan syiling tersebut di muzim.

Friday, April 22, 2016

Kanak-Kanak Perempuan Lima Tahun Dipaksa Berkahwin


Diterbitkan: Khamis, 21 April 2016 10:39 AM

VIDEO pasangan kanak-kanak yang didakwa dipaksa berkahwin mendapat simpati pelbagai pihak termasuk  Yayasan Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unicef).
Majlis perkahwinan kanak-kanak berusia 10 tahun itu dirakam di Chittorgarh, sebuah bandar di  Rajasthan, utara India.
Rakaman itu dianggap menyayat hati apabila kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun menangis dan meminta bantuan bapanya.
Bagaimanapun dia terus dipaksa untuk mengikuti ritual perkahwinan berkenaan.
Selain itu, seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun turut disuruh berkahwin dengan budak lelaki 11 tahun.
Dia telah dipimpin oleh seorang lelaki dipercayai bapanya untuk mengikuti ritual perkahwinan berkenaan sehingga selesai.
Seorang aktivis kanak-kanak, Kriti Bharti yang juga pengasas Yayasan Saarti berkata, hatinya luluh selepas melihat kanak-kanak tersebut dipaksa berkahwin.
Jelasnya, pertubuhan yang diwujudkan berjaya menghalang 850 perkahwinan kana-kanak di Rajasthan sebelum ini.

Angkut 798 kilogram syiling simpan dalam bank


JILIN, Beijing 21 April – Seorang pengusaha penapis air di bandar ini menggemparkan negara kerana sanggup ‘mengangkut’ beribu-ribu keping duit syiling seberat 798 kilogram untuk disimpan di sebuah bank di sini.
Menurut portal Mail Online, lelaki yang dikenali sebagai Zhang itu memperoleh duit syiling berkenaan hasil perniagaan penapis air yang beroperasi di seluruh Jilin.
Mesin penapis air itu hanya menerima duit syiling bernilai 5 yuan (RM2.9) dan 11 yuan (RM6.50).
Zhang sebelum itu membungkus ribuan keping duit syiling ber­kenaan yang bernilai 100,000 yuan (RM59,732) di dalam gulungan kertas sebelum dibawa ke sebuah bank di Changchun.
Bulan lalu, seorang wanita membawa duit syiling sebanyak 540,000 yuan (RM322,553) untuk disimpan di sebuah bank di bandar Dongyang.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/angkut-798-kilogram-syiling-simpan-dalam-bank-1.283262#sthash.qOpI8wGn.dpuf

Wanita ‘diserang’ tebuan gergasi

TEBUAN gergasi,spesies serangga yang mampu menyebabkan kematian,

TEBUAN gergasi,spesies serangga yang mampu menyebabkan kematian, ditemukan seorang wanita hinggap di atas baju sejuknya diJepun, baru-baru ini. AGENSI
TOKYO 21 April – Seorang wanita Jepun terkejut apabila melihat seekor serangga berbisa dan bersaiz besar ‘merayap’ di atas sehelai baju sejuk di dalam almari pakaiannya.
Serangga itu, seekor tebuan Asia yang besar atau dikenali sebagai ‘vespa mandarinia’ dipercayai hidup liar di sekitar pergunungan di Jepun.
Portal berita Mail Online me­laporkan, serangga tersebut dikenali oleh masyarakat Jepun sebagai ‘osuzumebachi’ dan ‘menyimpan’ racun yang kuat sehingga mampu mero­sakkan tisu manusia.
Tebuan gergasi berkenaan dikesan merayap di atas sehelai baju sejuk berwarna hijau yang tergantung di penyangkut baju milik wanita itu.
Dia amat bernasib baik kerana serangga tersebut tidak menye­ngatnya.
Tebuan Asia merupakan spesies serangga yang paling aktif antara bulan Ogos dan Oktober.
Tahun lalu, beberapa ekor tebuan Asia ‘menyerang’ Eropah selepas ‘diangkut’ secara tidak sengaja melalui sejenis tumbuhan dan menyebabkan enam kematian di Perancis.
Mangsa dilaporkan meninggal dunia selepas disengat.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/wanita-8216-diserang-8217-tebuan-gergasi-1.283264#sthash.UxvXHrZd.dpuf

Wednesday, April 20, 2016

Remaja masih sekolah kini jutawan kasut


16 April 2016 4:00 PM



Sering diberi hadiah berupa kasut oleh ibunya telah menarik minat anak muda kelahiran Amerika Syarikat, Benjamin Kapelushnik, 16, untuk menjual koleksi kasut berjenama sehingga berjaya mengumpul pendapatan sebanyak AS$1 juta (RM3.89 juta) dalam tempoh beberapa tahun lalu.
Benjamin Kapelushnik atau lebih dikenali ‘The Sneaker Don’ menjadi penjual semula (reseller) kasut-kasut berjenama yang berada di pasaran sehingga bergelar jutawan muda.
Lebih membanggakan, dia turut menjual semula kasut kepada penyanyi tersohor antarabangsa, Chris Brown dan Dj Khaled yang juga merupakan pelanggan tetapnya setiap kali koleksi terbaharu dikeluarkan.
Benjamin semakin dikenali dengan jualan kasut yang jarang diperoleh apabila dia diperkenalkan dengan Dj Khaled yang ketika itu memerlukan tiga pasang kasut jenama Nike ‘Pantone’ pek Air Jordan XI.
Dijadikan cerita, kejayaan itu bermula apabila Benjamin menerima kasut pertamanya iaitu Nike Galaxy LeBron dan Kobe dari ibunya. Tanpa mengetahui apa-apa mengenai kasut tersebut, dia telah menjadikan kasut itu sebagai kasut harian dengan memakainya ke sekolah.
Benjamin berkata, kasutnya mula menjadi tumpuan para pelajar di sekolah dengan menganggap kasut itu kelihatan hebat dan berbeza dengan kasut yang dipakai mereka. Daripada situ, dia sedar bahawa kasutnya mempunyai nilai harga yang mahal di pasaran.
“Pada mulanya, pengetahuan saya mengenai dunia kasut tidak banyak, tetapi sejak ditegur rakan-rakan, minat saya terhadap kasut semakin bertambah sehingga saya berjaya mengumpul pelbagai koleksi kasut berjenama.
“Ketika itu, saya hanya mengumpul kasut keluaran terbaharu jenama terkenal seperti Adidas, Nike, dan sebagainya sebelum merancang untuk menjualnya semula kepada orang lain,” katanya yang dipetik daripada complex.com.
Melihat latar belakang keluarga Benjamin, dia sendiri memang dilahirkan dalam keluarga yang berada. Jadi, tiada masalah untuknya mendapatkan dana awal bagi memulakan perniagaan tersebut.
Tambah Benjamin, pada mulanya, minat berniaga sekadar suka-suka sahaja. Bermula dengan menjual sepasang kasut daripada koleksinya, minat itu semakin bercambah dan menjadi serius sehingga jualan kasut yang diusahakannya mendapat sambutan hangat daripada orang ramai.
Bercerita mengenai koleksi kasut yang diperolehinya, Benjamin berkata, untuk mendapatkan kasut terbaharu, beliau menggunakan khidmat ‘orang dalam’ yang memegang kontrak kasut di antara Nike dan Adidas.
“Khidmat orang dalam itu memudahkan urusan saya dengan pelbagai pihak,” ujarnya ringkas.
Dalam pada itu, katanya, apabila tidak ada koleksi yang diinginkan pembeli, Benjamin sanggup mengupah rakan-rakannya untuk beratur membeli kasut terbabit dengan memberi upah sebanyak AS$50 (RM194) setiap seorang.
“Ini bagi memastikan koleksi yang dipesan oleh pelanggan dapat saya tunaikan meskipun terpaksa berhabis duit untuk mengupah rakan-rakan. Keuntungan yang saya perolehi lebih daripada 30 peratus daripada setiap pembelian itu,” katanya.
Mengulas mengenai cabaran, katanya, cabaran yang dihadapinya adalah apabila mereka perlu berbahagi masa, antara pelajaran dan perniagaan yang semakin ramai pengikutnya di laman sosial Instagram sehingga pernah ditegur gurunya kerana membawa telefon ke sekolah.
Menurut Benjamin lagi, dia turut bercadang untuk membuka kedai bagi menempatkan koleksi kasut jualannya bagi memudahkan pelanggan memperolehnya dengan cepat, berbanding berurusan di Instagram yang mengambil masa lebih lama.
“Saya tidak akan menjual kasut di Instagram untuk jangka masa panjang kerana saya akan melanjutkan pengajian ke kolej, selain mahu memberi tumpuan kepada kehidupan saya sebagai remaja,” ujarnya. -Susunan SITI AISHAH
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/remaja-masih-sekolah-kini-jutawan-kasut-1.261875#sthash.tayCwStK.dpuf

Oakwood Tower bangunan kayu tertinggi dunia


Lakaran artis, Oakwood Tower yang akan dibina di pinggir Barbican menggunakan kayu dijangka menjadi bangunan kedua tertinggi di London selepas The Shard apabila siap kelak. Agensi
LONDON 15 April – Sebuah bangunan pencakar langit setinggi lebih 300 meter dijangka dibina di pinggir Barbican dalam kota London hasil cetusan idea sekumpulan kakitangan Universiti Cambridge.
Lebih menarik, bangunan 80 tingkat berkeluasan 93,000 meter persegi yang dikenali sebagai Oakwood Tower itu dibina sepenuhnya daripada kayu dan turut menempatkan beberapa kediaman.
Menurut portal Dailymail.co.uk, konsep bangunan itu diperkenalkan oleh Datuk Bandar London, Boris Johnson dan bakal diiktiraf sebagai bangunan kedua tertinggi di London selepas The Shard serta bangunan kayu tertinggi di dunia.
Pengarah Pusat Cambridge (Inovasi Menggunakan Bahan Semula Jadi), Micheal Romage berkata, Barbican yang wujud sejak pertengahan abad lalu telah berjaya ‘menghidupkan’ kota London dengan suasana kediaman.
Oleh yang demikian ujarnya, London perlu memiliki bangunan tinggi bagi memastikan pembangunan kota itu yang semakin padat dapat diseimbangkan dengan penempatan kediaman.
“Kami percaya orang ramai dan bangunan tinggi terutamanya yang diperbuat daripada bahan-bahan semula jadi mempunyai perkaitan berbanding bangunan yang dibina daripada batu dan konkrit,” katanya.
Ketika ini, blok pangsapuri setinggi 14 tingkat di Bergen, Norway diiktiraf sebagai binaan kayu tertinggi di dunia.
Selain Norway dan Britain, beberapa buah negara termasuk Perancis dan Sweden turut mempunyai perancangan untuk membina bangunan yang sama.
Sementara itu, firma arkitek untuk pembinaan Oakwood Tower iaitu PLP Architecture menerusi wakilnya, Kevin Flanagan berkata, penggunaan kayu sebagai bahan utama dalam pembinaan bangunan boleh menjadi cara baharu mengubah corak pembangunan di London.
“Bangunan kayu sebenarnya mempunyai potensi dari segi seni bina untuk menghasilkan suasana yang lebih menyenangkan selain pengalaman kehidupan di bandar dengan cara baharu,” jelasnya.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/oakwood-tower-bangunan-kayu-tertinggi-dunia-1.267912#sthash.celTJZWn.dpuf