Pages

Wednesday, April 20, 2016

Remaja masih sekolah kini jutawan kasut


16 April 2016 4:00 PM



Sering diberi hadiah berupa kasut oleh ibunya telah menarik minat anak muda kelahiran Amerika Syarikat, Benjamin Kapelushnik, 16, untuk menjual koleksi kasut berjenama sehingga berjaya mengumpul pendapatan sebanyak AS$1 juta (RM3.89 juta) dalam tempoh beberapa tahun lalu.
Benjamin Kapelushnik atau lebih dikenali ‘The Sneaker Don’ menjadi penjual semula (reseller) kasut-kasut berjenama yang berada di pasaran sehingga bergelar jutawan muda.
Lebih membanggakan, dia turut menjual semula kasut kepada penyanyi tersohor antarabangsa, Chris Brown dan Dj Khaled yang juga merupakan pelanggan tetapnya setiap kali koleksi terbaharu dikeluarkan.
Benjamin semakin dikenali dengan jualan kasut yang jarang diperoleh apabila dia diperkenalkan dengan Dj Khaled yang ketika itu memerlukan tiga pasang kasut jenama Nike ‘Pantone’ pek Air Jordan XI.
Dijadikan cerita, kejayaan itu bermula apabila Benjamin menerima kasut pertamanya iaitu Nike Galaxy LeBron dan Kobe dari ibunya. Tanpa mengetahui apa-apa mengenai kasut tersebut, dia telah menjadikan kasut itu sebagai kasut harian dengan memakainya ke sekolah.
Benjamin berkata, kasutnya mula menjadi tumpuan para pelajar di sekolah dengan menganggap kasut itu kelihatan hebat dan berbeza dengan kasut yang dipakai mereka. Daripada situ, dia sedar bahawa kasutnya mempunyai nilai harga yang mahal di pasaran.
“Pada mulanya, pengetahuan saya mengenai dunia kasut tidak banyak, tetapi sejak ditegur rakan-rakan, minat saya terhadap kasut semakin bertambah sehingga saya berjaya mengumpul pelbagai koleksi kasut berjenama.
“Ketika itu, saya hanya mengumpul kasut keluaran terbaharu jenama terkenal seperti Adidas, Nike, dan sebagainya sebelum merancang untuk menjualnya semula kepada orang lain,” katanya yang dipetik daripada complex.com.
Melihat latar belakang keluarga Benjamin, dia sendiri memang dilahirkan dalam keluarga yang berada. Jadi, tiada masalah untuknya mendapatkan dana awal bagi memulakan perniagaan tersebut.
Tambah Benjamin, pada mulanya, minat berniaga sekadar suka-suka sahaja. Bermula dengan menjual sepasang kasut daripada koleksinya, minat itu semakin bercambah dan menjadi serius sehingga jualan kasut yang diusahakannya mendapat sambutan hangat daripada orang ramai.
Bercerita mengenai koleksi kasut yang diperolehinya, Benjamin berkata, untuk mendapatkan kasut terbaharu, beliau menggunakan khidmat ‘orang dalam’ yang memegang kontrak kasut di antara Nike dan Adidas.
“Khidmat orang dalam itu memudahkan urusan saya dengan pelbagai pihak,” ujarnya ringkas.
Dalam pada itu, katanya, apabila tidak ada koleksi yang diinginkan pembeli, Benjamin sanggup mengupah rakan-rakannya untuk beratur membeli kasut terbabit dengan memberi upah sebanyak AS$50 (RM194) setiap seorang.
“Ini bagi memastikan koleksi yang dipesan oleh pelanggan dapat saya tunaikan meskipun terpaksa berhabis duit untuk mengupah rakan-rakan. Keuntungan yang saya perolehi lebih daripada 30 peratus daripada setiap pembelian itu,” katanya.
Mengulas mengenai cabaran, katanya, cabaran yang dihadapinya adalah apabila mereka perlu berbahagi masa, antara pelajaran dan perniagaan yang semakin ramai pengikutnya di laman sosial Instagram sehingga pernah ditegur gurunya kerana membawa telefon ke sekolah.
Menurut Benjamin lagi, dia turut bercadang untuk membuka kedai bagi menempatkan koleksi kasut jualannya bagi memudahkan pelanggan memperolehnya dengan cepat, berbanding berurusan di Instagram yang mengambil masa lebih lama.
“Saya tidak akan menjual kasut di Instagram untuk jangka masa panjang kerana saya akan melanjutkan pengajian ke kolej, selain mahu memberi tumpuan kepada kehidupan saya sebagai remaja,” ujarnya. -Susunan SITI AISHAH
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/remaja-masih-sekolah-kini-jutawan-kasut-1.261875#sthash.tayCwStK.dpuf

No comments: