Pages

Monday, November 30, 2015

Nelayan tangkap sotong gergasi 10 meter panjang


Sotong berukuran 10 meter panjang dengan berat 330 kilogram ditangkap dengan menggunakan kaedah pukat tunda di luar pantai wilayah utara Asturias, beberapa kilometer dari Selat Villaviciosa, baru-baru ini. AGENSI
MADRID 29 Nov. – Seekor sotong gergasi yang biasa dilihat pada filem-filem sains fiksyen berjaya ditangkap sekumpulan nelayan di luar pantai Sepanyol, baru-baru ini.
Dipercayai seekor sotong betina, haiwan berukuran 10 meter panjang dengan berat 330 kilogram itu ditangkap dengan menggunakan kaedah pukat tunda pada kedalaman hampir 500 meter, lapor portal mirror.co.uk.
Sotong itu terperangkap pada jaring nelayan yang menaiki bot di luar pantai wilayah utara Asturias, beberapa kilometer dari Selat Villaviciosa.
“Haiwan sebesar ini boleh menakutkan sesiapapun termasuk mereka yang sudah biasa menangkap ikan setiap hari dan menghabiskan hayat di laut sepanjang masa,’’ kata seorang daripada krew bot tersebut yang ditanya tentang tangkapan itu.
Sotong gergasi itu kini dibekukan dan diserahkan kepada kumpulan pakar di pertubuhan Kajian dan Perlindungan Spesies Marin di Sepanyol Utara.
Presiden pertubuhan itu menyifatkan sotong berkenaan merupakan satu contoh luar biasa, satu daripada spesies yang pernah dilihat dalam tempoh beberapa tahun lalu.
Makhluk yang tidak mempunyai tulang belakang dan menakutkan itu boleh membesar mencapai saiz sehingga 13 meter panjang bagi sotong betina, manakala sotong jantan boleh mencecah panjang sehingga 10 meter.
Sementara itu, terdapat laporan akan kewujudan sotong berukuran 20 meter panjang yang tersebar dalam kalangan nelayan berpengalaman Sepanyol, namun berita itu tidak dapat disahkan secara saintifik.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/nelayan-tangkap-sotong-gergasi-10-meter-panjang-1.163756#sthash.juVPOIGo.dpuf

Sunday, November 29, 2015

11,950 batu karang

Kolkata: Seorang doktor terkejut apabila mengeluarkan 11,950 batu karang daripada seorang wanita yang dipercayai mencipta rekod dunia baru.
Minati Mondal, 51, mengalami sakit perut dan refluks asid selama dua bulan.
Dua minggu lalu, dia dimasukkan ke Hospital Debdoot Sevayan di Kolkata dan hasil pemeriksaan serta ultrabunyi menunjukkan dia menghidap batu karang yang teruk di dalam hempedunya.
Bagaimanapun, mereka tidak menyangka jumlahnya begitu banyak.
Pakar pembedahan gastro usus Dr Makhan Lala Saha berkata, dia memang mengagak jumlah batu karang yang banyak, tetapi terkejut besar selepas kiraannya menjangkaui 5,000.
Dia membuang hampir 12,000 batu dalam pembedahan selama sejam.
“Saya begitu terkejut kerana jumlah batu karang terlalu banyak. Saya tidak pernah menyangka hempedu mampu mengandungi jumlah batu sebanyak ini.
“Pembantu saya mengambil masa empat jam untuk mengira jumlah batu yang semuanya berukuran antara 2 hingga lima milimeter. Kami mengambil masa 50 minit untuk membuang semuanya,” katanya.
Menurutnya, dia sudah menulis kepada Royal College of Pathologists di London untuk menyimpan spesimen batu berkenaan di muziumnya.
Ia juga dianggap jumlah batu karang paling banyak dikeluarkan di dunia.
Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 November 2015 @ 1:35 AM


BATU karang dikeluarkan berjumlah 11,950.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/96446#sthash.EbjOvJnD.dpuf

Budak bengkok sanggup lumpuh

New Delhi: Seorang remaja berusia 17 tahun sanggup mengambil risiko mati atau lumpuh sepenuhnya semata-mata mahu menjalani pembedahan bagi memperbaiki tulang belakangnya yang bengkok teruk.
Preeti Kumari Rai, 17, didiagnos dengan skoliosis kongenital pada usia lapan tahun.
Lebih 10 doktor dari pelbagai hospital di New Delhi memberitahunya tiada apa yang boleh dilakukan, namun kini gadis itu menemui seorang pakar bedah yang akan mencuba membaiki keadaannya.
Pembedahan itu mempunyai risiko besar kerana Preeti mungkin maut akibatnya, atau berdepan lumpuh sepenuhnya. Namun dia berazam menjalaninya kerana mahu hidup normal dan berkhidmat dengan kerajaan satu hari nanti.
“Saya amat teruja dan tidak sabar menjalani pembedahan ini.
“Saya tidak takut langsung. Saya cuma mahu peluang untuk sembuh. Saya beritahu doktor, saya sanggup menanggung risiko. Tidak mengapa jika lumpuh.
“Saya tidak takut, tetapi sebelum ini tiada doktor yang cukup berani. Kini saya sudah menemuinya,” katanya.
Preeti, dari Faridabad, hidup normal sehingga lapan tahun apabila belakangnya mula bonjol manakala tulang belakang semakin membengkok.
“Ketika itu kami tidak tahu apa yang tidak kena. Semakin hari semakin sukar dan badan mula menyenget selain tidak dapat duduk tegak. Kemudian bahu saya mula membenjol,” katanya.
Ayahnya Dilip Rai, 45, dan ibu Meena Devi, 40, sebelum itu hilang empat anak lelaki dan penyakit Preeti itu merisaukan mereka.
Dilip yang juga tukang kimpal berkata,: “Kami membawanya berjumpa doktor, tetapi ramai yang memberi diagnosis silap serta memaklumkan kami tiada apa boleh dilakukan.”
Meena berkata, mereka melawat pelbagai doktor, tetapi semuanya memberi jawapan sama.
“Kami harapkan sekurang-kurangnya sedikit harapan, namun tidak seorang pun memberi kata-kata semangat. Kata mereka, walaupun kami mempunyai wang sekalipun tiada apa boleh dilakukan. Memang mengecewakan,” katanya.
Preeti yakin dia akan sembuh dan kembali hidup normal satu hari nanti.
“Saya masih ingat bagaimana rasanya berlari dan duduk tegak. Saya mahu menjadi seperti itu semula.
“Saya yakin ia akan terjadi,” katanya. - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 November 2015 @ 5:06 AM


PREETI bersama ibunya.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/96504#sthash.PRu8urva.dpuf

Mahkamah Eropah kekalkan haram pakai tudung


Mahkamah Hak Asasi Manusia Eropah mempertahankan keputusan Perancis mengharamkan penggunaan tudung di negara tersebut, selepas menolak rayuan seorang pekerja beragama Islam Christiane Ebrahimian yang diberhentikan kerja kerana enggan membuka tudung yang dipakainya. AGENSI
PARIS 27 Nov. – Mahkamah Hak Asasi Manusia Eropah hari ini mempertahankan keputusan Perancis mengharamkan pemakaian tudung di negara tersebut, selepas menolak rayuan seorang pekerja beragama Islam yang diberhentikan kerja kerana enggan membuka tudung yang dipakainya.
Mail Online melaporkan, pada tahun 2000 Christiane Ebrahimian yang bertugas sebagai pekerja sosial di jabatan psikiatri di sebuah hospital di Nanterre diberitahu bahawa kontraknya tidak disambung selepas seorang pesakit mengadu dia enggan membuka tudungnya ketika diminta berbuat demikian.
Dalam penghakimannya, Mah­kamah Hak Asasi Manusia Eropah memutuskan adalah jelas, kepentingan untuk Christiane melaksanakan hak tuntutan agamanya dan dia juga sedar bahawa perlu mengikut kod pemakaian yang telah ditetapkan.
Mahkamah dengan itu mengambil keputusan untuk mengambil tindakan tidak berat sebelah dan memberi keutamaan kepada keperluan meliputi kepentingan semua pihak di negara itu.
Christiane sebelum ini pernah membuat rayuan berhubung kes tersebut di Mahkamah Pentadbiran Versailles Perancis dan Mahkamah Pentadbiran Rayuan namun ditolak.
Selepas gagal dalam dua rayuannya di Perancis, wanita berusia 60an itu membuat rayuan di Mahkamah Hak Asasi Manusia Eropah.
Undang-undang pengharaman pemakaian tudung di negara ini mula dikuatkuasakan pada tahun 2004 dan mendapat kritikan hebat daripada penduduk Islam yang membantah keras larangan tersebut.
Pada bulan Mac lalu, mahkamah tinggi Jerman menetapkan guru-guru beragama Islam dibenarkan untuk memakai tudung selagi tindakan tersebut tidak mengganggu aktiviti persekolahan. – AP/AGENSI
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/mahkamah-eropah-kekalkan-haram-pakai-tudung-1.163107#sthash.KoDyhwyc.dpuf

Itali tutup masjid 'tersembunyi’ banteras aktiviti pelampau


Masjid Besar Rom merupakan satu daripada empat buah masjid yang terdapat di Itali. AGENSI
ROM 28 Nov. – Kerajaan Itali semalam akan melaksanakan operasi menutup masjid-masjid yang dibuka secara 'sembunyi’ di negara ini sebagai sebahagian daripada rancangan untuk membendung penyebaran aktiviti pelampau.
Menteri Dalam Negeri, Angelino Alfano berkata, pihaknya akan menutup beberapa buah tempat rahsia yang tidak dikawal bagi memastikan aktiviti agama hanya dijalankan di kawasan yang dibenarkan sahaja.
“Di Itali terdapat empat buah masjid dan lebih 800 surau.
“Kami akan menutup tempat-tempat rahsia ini bukan bertujuan untuk menghalang aktiviti berkaitan agama tetapi hanya mahu memastikan setiap program dijalankan berada di bawah pengawalan,” jelasnya.
Alfano berkata demikian dalam satu mesyuarat yang dijalankan di bandar kecil Lecce untuk membincangkan tentang risiko pengganas dan pengaruh tempat ibadat orang Islam yang dikenali sebagai 'garaj Islam’.
Sesetengah masjid rahsia di negara ini diwujudkan selepas permohonan untuk membina masjid mengikut saluran yang betul ditentang oleh pihak berkuasa tempatan.
Dalam perkembangan lain, Alfano berkata, sehingga kini langkah-langkah pencegahan dan pengumpulan sumber risikan berkenaan kegiatan pengganas di Itali berjaya dilakukan dengan baik oleh pihak-pihak terbabit.
“Tiada satu tempat pun di dunia tidak diancam risiko, inilah hakikat yang perlu diterima bagaimana perkembangan aktiviti pengganas berlaku sejak dari tahun 2001 sehingga kini,” ujarnya lagi.
Amerika Syarikat (AS) sebelum ini pernah memberi amaran kepada kerajaan Itali bahawa negara itu berkemungkinan besar bakal menjadi sasaran pengganas pada masa hadapan. – AFP
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/itali-tutup-masjid-tersembunyi-8217-banteras-aktiviti-pelampau-1.163291#sthash.G3AlStlT.dpuf

Saturday, November 28, 2015

Robot 'seksi' tarikan utama

Beijing: ‘Robot paling seksi di dunia’ digelar Geminoid F menjadi tarikan utama pengunjung ke Pameran Robot Dunia di sini, minggu ini.
Geminoid F mempunyai ratusan peminat yang memberi jolokan itu kepada robot yang nampak tak ubah seperti manusia, malah pernah berlakon dalam filem Jepun, ‘Sayonara.’
Android dengan ketinggian 1.7 meter itu mampu menggerakkan matanya seterusnya bertindak balas terhadap pandangan mata serta memahami pergerakan bahasa badan.
Perlakuannya juga seperti manusia dengan ‘kulit’ diperbuat daripada getah dengan wajah seorang gadis. Malangnya dia tidak boleh berjalan sebaliknya terpaksa disorong menggunakan kerusi roda.
Robot itu dicipta Makmal Hiroshi Ishiguro, Universiti Osaka yang merancang membina model lebih baik pada masa depan.
Pembantu profesor, Kohei Ogawa berkata: “Matlamat kami adalah untuk mencipta kecerdasan buatan (AI) menggunakan robot ini.
“Buat masa ini sistem pengenalan suara tidak berkesan terutama dalam keadaan bingit. Pada masa depan, kami mahu mewujudkan sistem AI sempurna menggunakan robot ini.”
Robot itu juga mampu senyum, mengerutkan dahi dan menggerakkan mulut, selain menyanyi serta bercakap dengan memainkan rakaman atau menggerakkan mulutnya mengikut bunyi percakapan.
Ia juga mampu ‘meniru’ riak wajah manusia. - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 November 2015 @ 6:20 AM


Geminoid F ‘diserbu’ peminat.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/96355#sthash.na9iqwAy.dpuf

Kahwin RM35 juta

Thiruvananthapuram (India): Ahli perniagaan India terkemuka dari Kerala, Ravi Pillai, dilaporkan membelanjakan Rs550 juta (RM35.1 juta) untuk majlis perkahwinan anak perempuannya yang diadakan sehingga lewat kelmarin.
Majlis perkahwinan gilang-gemilang itu diadakan untuk anaknya, Dr Arathi dengan Dr Adithya Vishnu.
Pillai, 62, dan isterinya Geetha juga mempunyai seorang anak lelaki.
Antara selebriti dan golongan VVIP yang menghadiri majlis berkenaan, termasuk anggota keluarga diraja dari negara Teluk, serta beberapa bintang Mollywood (perfileman Malayali) dan ahli perniagaan.
Seorang pengurus acara berkata, beberapa ahli perniagaan terkenal Kerala turut menghadiri majlis berkenaan kerana ia dilihat sebagai peluang untuk memperluas jaringan dan berkongsi pendapat mengenai peluang pelaburan di Kerala.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 November 2015 @ 6:31 AM


PASANGAN pengantin Arathi (kanan) dan suaminya.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/96361#sthash.g1YCJNIU.dpuf

Abadikan semula foto kahwin selepas 70 tahun


Cao Yuehua dan isteri Wang Deyi memgabadikan semula foto perkahwinan mereka.

CHONGQING - CHINA. Sepasang suami isteri warga tua mengabadikan semula foto perkahwinan mereka sempena ulangtahun perkahwinan yang ke-70.
Cao Yuehua, 97 dan isteri Wang Deyi, 98, kembali semula ke lokasi yang sama ketika mereka merakamkan foto perkahwinan pada tahun 1945, lapor Chongqing Evening News.
Malah pasangan itu juga turut mengenakan pakaian pengantin.
Ini adalah saat yang penuh emosi kepada keluarga apabila Yuehua mendeklamasi puisi yang ditulis kepada isterinya 7 dekad lalu.
Menurut Yuehue, dia menulis puisi tersebut ketika bertugas sebagai penterjemah ketika mengikuti ekspedisi Tentera China  ke Myanmar semasa perang dengan tentera Jepun.
"Saya yakin dengan percintaan antara ibu bapa saya bahawa cinta boleh mengatasi segala-galanya," kata salah seorang anak pasangan itu.
Foto-foto tersebut mendapat perhatian netizen dan China yang rata-rata kagum dengan kisah percintaan pasangan itu.
"Tempat yang sama, berpegangan tangan, menghabiskan kehidupan bersama tidak kira pahit dan manis. Ini adalah rahmat yang paling besar dalam hidup," tulis pelayar di laman sosial Sina Weibo.
Sementara itu, Yuehua turut berharap dapat kembali semula ke tempat tersebut bersama isterinya semasa berumur 100 tahun.

Ibu derma uterus kepada anak


Yang Hua (kanan) tidak memiliki rahim dan uterus sejak dilahirkan, keadaan tersebut telah menyebabkan dia tidak boleh mengandung. AGENSI
BEIJING 27 Nov. – Seorang wanita yang dilahirkan tanpa rahim dan organ pembiakan, kini menjalani ra­watan persediaan untuk me­ngandung selepas organ tersebut didermakan oleh ibunya sendiri.
Portal Mail Online melaporkan, Yang Hua, 22, tidak memiliki rahim dan uterus sejak dilahirkan, menyebabkan keinginannya untuk melahirkan anaknya sendiri tidak boleh dicapai.
Simpati akan nasib yang menimpa, ibu Hua mengambil keputusan untuk menderma uterus miliknya dan sanggup berdepan risiko tinggi menjalani pembedahan pemin­dahan yang sebelum ini belum pernah berjaya dilakukan di China.
Sebelum pemindahan uterus dijalankan, Hua terlebih dahulu menjalani pembedahan memasukkan vagina tiruan pada bulan April lalu bertujuan memudahkan proses pembenihan berlaku.
Pemindahan organ itu hanya dijalankan kelmarin selepas doktor mendapati keadaan vagina tiruan serta fizikal Hua berada dalam keadaan baik.
“Saya sangat mengimpikan untuk mempunyai seorang anak, saya rasa sedih kerana tahu saya tidak mungkin hamil sehinggalah seorang doktor memberitahu akan proses pemindahan rahim.
“Saya tiada pilihan, saya tahu sebelum ini belum ada lagi proses pemindahan rahim yang berjaya dilakukan di China. Saya perlu ambil risiko,” jelasnya.
Doktor berkata, Hua dan ibunya kini berada dalam keadaan baik selepas menjalani pembedahan dan rahimnya juga dilihat mampu berfungsi sempurna.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/ibu-derma-uterus-kepada-anak-1.163049#sthash.fZLlvUG8.dpuf

Lelaki bina pesawat selepas gagal menjadi juruterbang


Asmelash berhasrat untuk menggunakan pesawat ringannya jenis K-570
Asmelash berhasrat untuk menggunakan pesawat ringannya jenis K-570 itu dapat diterbangkan dalam majilis perkahwinannya kelak. Agensi
ADDIS ABABA 27 Nov. – Seorang lelaki Ethiopia yang kecewa ditolak menjadi juruterbang kerana terlalu pendek, nekad membina sebuah pesawat untuk digunakan semasa majlis perkahwinannya.
Portal berita Mail Online melaporkan Asmelash Zeferu yang ditolak untuk memasuki Akademi Penerbangan Pesawat Ethiopia Cawangan Dire Dawa pada 15 tahun lalu kerana ketinggiannya hanya 1.70 meter iaitu 1 sentimeter kurang daripada yang ditetapkan.
Oleh itu, pada hujung minggu ini, pemuda berusia 35 tahun, merancang untuk menerbangkan pesawat ringannya K-570 di Addis Ababa untuk menghadiri majlis perkahwinannya.
Zeferu berkata, dia akan me-ngahwini tunangnya, Seble Bekele sejurus mendarat.
“Saya memutuskan untuk membina sebuah pesawat saya sendiri jika saya gagal untuk menjadi seorang juruterbang. Melalui cara itu saya akan dapat terbang,” katanya kepada CNN.
Pemuda tersebut membina pesawat itu menggunakan sebuah enjin empat silinder dengan 40 kuasa kuda yang diambil dari sebuah kereta Volkswagen Beetle.
Zaferu belajar cara-cara membina dan menerbangkan pesawat tersebut menggunakan maklumat yang disiarkan di laman perkongsian video YouTube.
Zeferu akhirnya memilih sebuah pesawat dari model yang pernah digunakan oleh juruterbang pelatih di Amerika Syrikat pada 1920-an dan 1930-an.
Dia juga menerima nasihat untuk mengubahsuai pesawat tersebut daripada Persatuan Eksperiman Pesawat Belanda, Rene Bubberman.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/lelaki-bina-pesawat-selepas-gagal-menjadi-juruterbang-1.163058#sthash.IxmkhMcP.dpuf

Friday, November 27, 2015

Pemaju menara didapati bersalah curi cahaya matahari

Nanjing (China): Pemaju sebuah menara tertinggi di bandar ini didapati bersalah oleh sebuah mahkamah di sini kerana mencuri cahaya matahari penduduk.
Pemaju Menara Zifeng setinggi 450 meter itu didapati bersalah selepas bangunan berkenaan menghalang cahaya matahari ke rumah penduduk.
Hakim di sebuah mahkamah di sini, kemudian mengarahkan pemaju yang membina menara berkenaan membayar pampasan kepada penduduk.
Seorang penduduk yang dikenali sebagai Chen menerima pampasan paling tinggi apabila menerima bayaran 100,000 yuan (RM66,092).
Undang-undang di China mewajibkan semua bangunan kediaman di China mendapat cahaya matahari minimum dua jam setiap hari ketika musim sejuk.
Sejak menara 89 tingkat itu siap dibina pada 2010, ramai penduduk berhampiran mengadu bangunan berkenaan menghalang cahaya matahari. - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 November 2015 @ 7:02 AM


PEMANDANGAN Menara Zifeng di bandar Nanjing, China.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/96076#sthash.BwBnD3M6.dpuf

Pemilik Facebook Kongsi Gambar Keluarga Dalam Media Sosial


Diterbitkan: Khamis, 26 November 2015 7:17 PM
Pencipta Facebook, Mark Zuckerberg dalam foto keluarganya yang dimuatnaikkan dalam Laman Facebook miliknya baru-baru ini.

PEMILIK dan pencipta Facebook, Mark Zuckerberg telah memuatnaik gambar dia bersama isterinya yang sarat mengandung serta bapa, ibu dan adik perempuannya sempena menjelang perayaan 'Thanksgiving' tidak lama lagi.
Dalam foto yang dirakamkan oleh jurugambar popular dunia, Annie Lebowitz, Mark Zuckerberg kelihatan mendakap isterinya Priscilla - seorang warga Amerika keturunan China-Vietnam - yang kini sedang sarat mengandung dan dijadualkan untuk melahirkan anak sulung mereka tahun depan.
Turut bersama-samanya dalam potret keluarga itu yang jarang-jarang dapat disaksikan oleh dunia ialah ibunya Karen, bapanya Edward dan adik perempuan Arielle.
Mark tidak menyembunyikan perasaan sayangnya kepada ahli keluarga terdekat dan juga isterinya.
"Priscilla dan saya mempunyai begitu banyak perkara yang ingin diucapkan menjelang perayaan Thanksgiving dan musim cuti ini dan keluarga adalah yang teratas di dalam senarai keutamaan saya," tulisnya.
Mark buat pertama kalinya mengumumkan tentang kemunculan anak pertamanya Julai lalu juga menerusi Facebook.
Dia juga telah mengumumkan baru-baru ini akan hasratnya untuk mengambil cuti selama dua bulan untuk mengasuh anaknya sendiri tahun depan.
Facebook - rangkaian sosial dalam talian terbesar dunia - mempunyai polisi yang membenarkan kakitangannya di Amerika Syarikat mengambil cuti selama empat bulan dengan bayaran gaji penuh untuk membantu isteri mengasuh anak di rumah.
Cuti itu boleh diambil secara terus selama empat bulan atau berperingkat-peringkat mengikut kesesuian seseorang kakitangan itu sepanjang tempoh tahun pertama anak itu dilahirkan.
Kajian menunjukkan jika keluarga yang bekerja menghabiskan satu tempoh masa yang tertentu untuk bersama anak mereka yang baru dilahirkan, hasilnya adalah jauh lebih baik sama ada untuk kanak-kanak itu atau keluarga mereka.
Mark Zuckerberg, 31, dan  Priscilla Chan, 30, berkahwin pada 19 Mei 2012 dalam satu majlis yang sederhana dan jauh daripada segala publisiti walaupun dia seorang jutawan sehinggakan para tetamu pada mulanya menyangka mereka hadir untuk meraikan majlis graduasi Priscilla yang baru tamat pengajiannya dalam bidang perubatan.
Mereka mengumumkan majlis perkahwinan mereka - sepertimana juga mereka mengumumkan berita kehamilan Priscilla tidak lama selepas itu - menerusi laman Facebook.
Mark dan Priscilla bertemu buat pertama kalinya ketika mereka sama-sama melanjutkan pelajaran ke Universiti Harvard pada 2003.
Priscilla menyifatkan Mark sebagai seorang suami yang kelakar dan sangat mengambil berat akan orang di sekelilingnya.
"Dia adalah seorang yang sangat sensitif dan sangat-sangat mengambil berat akan orang yang memerlukan bantuan dan sentiasa cuba untuk memenuhi hajat seseorang. Dan itulah Mark yang saya kenali," ujar isterinya itu.
Kedua-dua pasangan tersebut telah menderma sejumlah wang yang besar kepada kerja-kerja amal khususnya yang melibatkan kesejahteraan kanak-kanak termasuklah menderma sebanyak AS$120 juta kepada Sekolah Rendah Bay Area pada tahun 2014 dan sebelum itu pernah menderma sebanyak AS$100 juta kepada Sekolah Rendah Newark pada 2010.

56 tahun dukung isteri kerana sayang


56 tahun dukung isteri kerana sayang
Yuanfa bersama isterinya, Zhou Yuai berkahwin pada November tahun 1958.

SHANDONG - CHINA. Kerana sayangkan isteri, seorang lelaki tua berusia 84 tahun sanggup mendukung dan mengendong isterinya selama 56 tahun usia perkahwinan mereka.
Du Yuanfa bersama isterinya, Zhou Yuai berkahwin pada November tahun 1958.
Memetik laporan Shanghaiist.com, isterinya jatuh sakit ketika dia meninggalkan isterinya untuk mencari rezeki di sebuah lombong arang batu Bandar Tai’an.
“Kami baharu sahaja lima bulan berkahwin. Ketika itu saya dapat surat dari keluarga yang mengatakan isteri sakit dan tak mampu bangun. Saya ambil cuti dan pulang ke kampung segera untuk jaga isteri saya,” katanya.
Penyakit yang menyerang isterinya menyebabkan isterinya lumpuh. Yuai tidak lagi mampu membuat kerja rumah dan terpaksa bergantung sepenuhnya pada orang lain untuk bergerak.
Selama 56 tahun, Yuanfa meletakkan isterinya di atas kerusi roda dan menyorong isterinya ke semua hospital dan jawapan yang diterima oleh doktor-doktor yang merawat isterinya sama.
Yuai disahkan tidak mampu berjalan dan makan dengan sendiri, serta tidak mampu melahirkan anak.
Menurut Yuanfa, ramai sahabat dan ahli keluarga cuba memujuknya untuk menceraikan isterinya, bagaimana Yuanfa sebaliknya terus setia bersama Yuai.
Demi isterinya, Yuanfa sanggup berhenti kerja di lombong arang batu kerana mahu sentiasa menjaga isterinya.
Kata Yuanfa lagi, dia pernah memanjat gunung beberapa kali untuk mencari akar dan daun herba untuk menyembuhkan isterinya.
Pulang ke rumah, Yuanfa akan mereneh herba itu dan merasa ubat akar kayu yang dibuat terlebih dahulu sebelum memberikan ubat herba itu kepada Yuai.
Ia bagi memastikan ubat itu tidak beracun.
Pada musim panas, Yuanfa memandikan isterinya setiap hari bagi memastikan isterinya berada dalam keadaan sejuk dan selesa.
Manakala bagi setiap musim panas pula, Yuanfa akan mengendong isterinya keluar setiap kali matahari memancar di luar rumah.
“Itu semua saya lakukan selama 56 tahun dan saya masih sayangkan dia sehingga kini,” katanya lagi.

Thursday, November 26, 2015

Denda RM41,275 jika pakai burqa


Denda RM41,275 jika pakai burqa
Wanita memakai burqa.

TICINO - SWITZERLAND. Wanita beragama Islam bakal didenda maksimum £6,500 pound (RM41,275) jika memakai burqa atau menutup muka selepas kerajaan tempatan menguatkuasakan undang-undang baharu.
Laporan Dailymail mengatakan Ticino juga akan melarang pemakaian topeng atau balaclava yang selalu dipakai oleh peserta demostrasi.
Pelancong juga tidak terkecuali dari undang-undang baharu tersebut dan akan diberitahu mengenai larangan berkenaan semasa tiba di lapangan terbang.
Parlimen Switzerland pula mempertahankan langkah baharu mereka dan mengatakan ia tidak menyalahi undang-undang persekutuan.
Larangan memakai burqa di Ticino tersebut dilaporkan sama seperti dengan undang-undang di Perancis.
Parlimen Perancis meluluskan larangan memakai burqa pada 2010 dan menyebabkan protes oleh masyarakat Islam yang menuduh kerajaan bersikap diskriminasi.
Usaha sekumpulan peguam Britain untuk menentang undang-undang tersebut juga dinafikan oleh Mahkamah Hak Asasi Manusia Eropah, tahun lepas.

Penumpang pesawat rakam imej misteri



AGENSI - KELIHATAN sebuah piring terbang gergasi terbentuk di atas tanah di satu kawasan padang pasir di Nevada pada 30 Oktober lalu.


CALIFORNIA, Amerika Syarikat – Seorang penumpang yang menaiki sebuah pesawat penerbangan Amerika Syarikat (AS) di sini berjaya merakamkan objek terbang tidak dikenali (UFO) yang mengeluarkan cahaya terang berhampiran pangkalan rahsia tentera udara Area 51.
Lelaki yang tidak didedahkan identitinya itu berkata, dia yang dalam perjalanan dari California ke Houston, Texas terkejut melihat cahaya misteri yang muncul dari sebuah piring logam gergasi.
Dia kemudian merakamkan beberapa gambar imej itu yang muncul di kawasan padang pasir di Nevada sebelum melaporkan kepada Rangkaian Mutual UFO yang menyiasat kemunculan UFO di AS.
“Saya melihat cahaya terang itu semasa menaiki penerbangan pada 30 Oktober lalu ketika melalui satu kawasan padang pasir berhampiran Lunning dan Gabbs.
“Malah, saya melihat sebuah piring besar yang muncul di tengah-tengah kawasan itu yang mengeluarkan cahaya berkenaan. Saya kemudian segera merakamkan piring misteri itu,” katanya
Memetik kenyataan pengarang laman web UFO Sightings Daily, Scott C Waring sebagai berkata, rakaman bentuk piring di atas tanah itu kelihatan seolah-olah seperti UFO mendarat. – Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=1126&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_04.htm#ixzz3sXouYu3u 
Hakcipta terpelihara 

Remaja catat rekod selesai kiub Rubik


Lucas Etter (kiri) ketika menyelesaikan permainan kiub Rubik dalam satu pertandingan di Maryland, baru-baru ini. Agensi
MARYLAND 24 Nov. – Seorang remaja lelaki berumur 14 tahun mencipta rekod baharu dunia apabila berjaya menyelesaikan permainan kiub Rubik dalam tempoh 4.9 saat.
Portal UPI melaporkan, Lucas Etter, 14, berjaya memecah rekod dunia sebelum ini iaitu 5.25 saat dalam satu pertandingan di Clarksville di sini, pada hujung minggu lalu.
Kejayaan Etter itu dirakam dan disiarkan di laman web YouTube.
Mengikut peraturan rasmi, peserta diberikan masa selama 15 saat untuk melihat dan memikirkan cara menyelesaikan kiub Rubik.
Rekod menyelesaikan permainan kiub Rubik itu sebelum ini dicatatkan oleh Collin Burns dalam satu pertandingan di Doylestown baru-baru ini.
Kejayaan Etter merupakan catatan masa rasmi yang berada di bawah lima saat.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/remaja-catat-rekod-selesai-kiub-rubik-1.162070#sthash.fJyw8Pmg.dpuf

Penduduk bina rumah rakit hadapi banjir


ISA MAT (kiri) membina rumah rakit sebagai persediaan menghadapi musim tengkujuh yang bakal tiba di Kampung Limau Kasturi, Gua Musang, Kelantan. UTUSAn/Aimuni Tuan Lah
GUA MUSANG 25 Nov. – Sebanyak 260 keluarga di Kampung Limau Kasturi di sini bersiap sedia menghadapi musim tengkujuh susulan angin monsun timur laut yang boleh mengakibatkan bencana banjir.
Sebagai persediaan, penduduk yang tinggal di pinggir Sungai Galas itu sudah menyiapkan seba­nyak 15 buah rumah rakit, 20 buah bot dan 30 bangsal sementara.
Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) Limau Kasturi, Mohd. Sokani Mat berkata, penduduk kampung sudah membuat persiapan rapi membina rumah rakit dan bangsal sementara sejak Oktober lalu.
Katanya, persiapan tersebut dilakukan selepas kampung yang terletak kira-kira 50 kilometer dari bandar Gua Musang itu terjejas teruk apabila 95 peratus kawasan perkampungan itu tenggelam akibat banjir sebelum ini.
“Pada tahun lalu, hampir 80 buah rumah hanyut dan 100 rumah rosak teruk di kampung ini mengakibatkan penduduk masih trauma sehingga kini.
“Pengalaman lalu menyebabkan kami mendapat idea nak buat rumah rakit dan bangsal sementara yang mana sekurang-kurangnya kami dapat menyelamatkan nyawa dan meminimumkan kerosakan harta-benda,” katanya di sini hari ini.
Sementara itu, salah seorang penduduk, Isa Mat, 59, berkata, setiap keluarga yang ingin membuat rumah rakit terpaksa mengeluarkan perbelanjaan sebanyak RM1,500 hingga RM2,000.
Katanya, rumah rakit tersebut boleh memuatkan tiga keluarga dan jika kawasan kampung dinaiki air bangunan itu berupaya untuk terapung.
“Saya mendapat bantuan ahli keluarga untuk membuat rumah rakit ini dan dapat disiapkan dalam tempoh masa sebulan.
“Antara bahan utama yang diperlukan untuk membina rumah rakit adalah tong plastik, kayu, buluh dan zink,” katanya yang menggunakan 12 tong plastik dan 85 batang buluh untuk menguatkan struktur rumah rakitnya.
Sementara itu, Fatimah Mat, 47, pula berharap bencana banjir tahun ini tidak seteruk tahun lalu.
“Tahun lepas kami tidak bersedia apabila banjir besar yang tidak terduga melanda kampung kami.
“Sepanjang lebih 40 tahun saya tinggal di Kampung Limau Kasturi, tahun lalu adalah malapetaka paling teruk apabila ramai penduduk kehilangan tempat tinggal, kemusnahan harta benda, tanaman dan haiwan ternakan.
“Namun, tahun ini kebanyakan penduduk sudah bersedia menghadapi tengkujuh yang bakal mendatang,” katanya.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/nahas-bencana/penduduk-bina-rumah-rakit-hadapi-banjir-1.162464#sthash.DmB8RYdl.dpuf

Wednesday, November 25, 2015

Beg pintar menjerit 
kawal perbelanjaan


Hasilkan suara setiap kali pemilik keluarkan kad kredit
25 November 2015 12:22 AM



LONDON 24 Nov. - Jika anda sukar mengawal perbelanjaan kad kredit, anda mungkin boleh menggunakan beg pintar yang dihasilkan oleh tiga pelajar di Scotland bagi menangani tabiat buruk itu.
Beg pintar yang diperkenalkan oleh pelajar Kolej Jordanstone di Dundee, Leanne Fischler, Kirsty Sneddon, dan Rebecca Smith itu dilengkapi teknologi bagi mengekang pemiliknya untuk berbelanja berlebihan menggunakan kad kredit.
Menurut portal Mail Online, setiap kali pengguna mengeluarkan kad kredit, beg uniseks tersebut boleh mengeluarkan jeritan menerusi pembesar suara yang berbunyi, ‘Adakah anda perlukan kad kredit?’ atau ‘Anda telah banyak berhutang’.
Malah jelas laporan terbabit, pekikan itu akan bertambah kuat jika kad kredit dikeluarkan dengan lebih kerap kerana beg berkenaan dilengkapi alat khas yang boleh mengesan pergerakan kad kredit.
Fischler, 21, berkata, produk itu dihasilkan dengan matlamat mempunyai fungsi berguna kepada pengguna.
“Saya dan rakan mencipta beg ini dengan harapan dapat mengurangkan pembaziran.
“Kita hidup dalam masyarakat yang sentiasa berbelanja secara berlebihan dan beg ini merupakan cara terbaik kepada mereka yang suka 
melakukan pembaziran,” katanya.
Bagaimanapun tidak dapat dipastikan sama ada beg pintar itu akan dihasilkan secara komersial.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/beg-pintar-menjerit-8232-kawal-perbelanjaan-1.161980#sthash.fh2mNCF1.dpuf