Pages

Friday, June 5, 2015

Restoran ‘Saya Tak Tahu’

Rochester (New York): Sebuah restoran baru yang menyediakan masakan Cina dibuka di sini baru-baru ini.
Namanya ‘I Don't Know’ (Saya Tidak Tahu).
Pemiliknya Jessie Dong memberitahu akhbar Chronicle of Rochester, dia mendapat ilham mengguna nama pelik itu daripada sikap anaknya yang sentiasa memberi jawapan ‘Saya tidak tahu’ apabila ditanya mengenai masakan yang hendak disediakannya.
Katanya, apabila tiba masa untuk menamakan restoran itu, keluarganya juga memberi jawapan ‘Saya tidak tahu.’
“Kerana itu saya memberi nama ‘I Don’t Know,’” kata Dong yang berasal dari Guangdong, China. - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Jun 2015 @ 6:58 AM


RESTORAN Saya Tidak Tahu yang baru dibuka di New York.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/55788#sthash.THa7uPZU.dpuf

Mahu tayang karikatur Rasulullah di televisyen

The Hague: Ahli politik anti-Islam Belanda Geert Wilders (gambar) berikrar untuk menyiarkan karikatur kononnya menggambarkan Nabi Muhammad SAW di televisyen pada slot yang diperuntukkan kepada parti politik.
Wilders berkata, dia akan berbuat demikian untuk mempertahankan hak kebebasan bersuara selepas dua militan ditembak mati ketika menyerang pertandingan melukis karikatur untuk menghina Rasulullah SAW di Garland, Texas, bulan lalu.
Menurutnya, ia cara untuk menunjukkan kepada masyarakat Islam bahawa dia dan kumpulan anti-Islam lain tidak akan tunduk dengan ancaman dan cubaan untuk menghalang mereka menghina Nabi Muhammad SAW.
Wilders yang berucap mencaci Islam di acara di Texas itu sejurus sebelum serangan berkenaan, cuba mendapatkan kebenaran Parlimen Belanda untuk mengadakan pameran karikatur Rasulullah SAW.
“Saya akan menayangkan sebahagian kartun di televisyen pada slot yang dibenarkan untuk parti saya,” kata Wilders dalam ucapannya. - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Jun 2015 @ 6:52 AM


- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/55782#sthash.X8nmzGWb.dpuf

Nak sewa keluarga

Colorado: Seorang pelajar di sini yang membesar di pusat penjagaan akan memperoleh apa yang diinginkan - keluarga untuk menyambut hari jadinya.
Natalie Carson, 19, menjadi tumpuan di Amerika Syarikat selepas mengiklankan dalam Craigslist.com dengan berkata, dia tidak pernah gembira pada setiap hari jadinya dan mahu menyewa keluarga untuk meraikan acara itu bulan ini.
Semalam, stesen KMGH-TV melaporkan, sudah ada keluarga yang sedia memenuhi impian Natalie.
Menurut iklan yang disiarkan bulan lalu, Natalie berkata, dia diambil daripada ibu bapanya yang bermasalah ketika masih kanak-kanak dan membesar di sebuah pusat penjagaan itu. Dia tidak pernah diambil sebagai anak angkat sehingga hari ini.
Menurut Natalie, dia bersedia membayar keluarga itu AS$8 (RM30) sejam untuk meraikan hari jadinya bersama-samanya.
“Saya hanya mahu sehari untuk merasa diri saya penting dan istimewa, walaupun hakikatnya tidak begitu. Saya tidak pernah rasa gembira pada hari jadi saya sebelum ini. Tetapi, tahun ini, saya mahu sesuatu yang dapat membahagiakan saya,” katanya.
Natalie berkata, dia menerima banyak tawaran, termasuk daripada keluarga di negeri lain yang sanggup membiayai kos penerbangannya untuk hari itu.
Katanya, dia memilih satu keluarga dari Colorado untuk meraikan hari jadinya dan meminta ia diadakan secara tertutup.
Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Jun 2015 @ 7:04 AM


NATALIE
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/55798#sthash.aKGMSNTr.dpuf

Petik gitar ketika otak dibedah

Rio de Janeiro: Seorang lelaki Brazil mengejutkan doktor dengan menyanyi lagu The Beatles ‘Yesterday,’ sambil memetik gitarnya ketika menjalani pembedahan otak.
Anthony Kulkamp Dias, 33, sedar sepanjang pembedahan membuang ketumbuhan di otaknya dan menyanyi untuk pasukan perubatan yang membedahnya.
Tindakannya membolehkan doktor mengelak daripada menyentuh saraf otak yang mengawal deria, pergerakan dan percakapan.
Kulkamp, pekerja bank, bermula dengan menyanyi lagu Emanuel yang dicipta untuk anaknya yang baru lahir sebelum meneruskan dengan lagu hit Beatles itu.
Kulkamp pemain gitar profesional sejak 20 tahun lalu, disahkan menghidap ketumbuhan berkenaan 15 hari selepas anaknya dilahirkan.
Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Jun 2015 @ 7:05 AM


KULKAMP memetik gitar ketika doktor membedah otaknya.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/55800#sthash.XYsTpJU9.dpuf

Kucing jadi jaga bank

Manila: Sebuah bank mengupah seekor kucing sebagai pengawal keselamatan untuk menangkap tikus yang merosakkan kabel dan dokumen penting.
Kucing berkenaan, Muning, memiliki kad pengenalan sendiri.
Menurut sumber, ia bekerja dengan Bank Pembangunan Filipina di Manila sejak lima tahun lalu.
Sepanjang tempoh itu, ia dianggap kakitangan biasa dan menangkap seekor tikus sehari.
Gambarnya menjadi viral selepas dimuat naik ke Facebook, minggu lalu.
Sumber itu berkata, gaji Muning termasuk lima tin makanan kucing setiap bulan. - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Jun 2015 @ 7:03 AM

MUNING mempunyai kad pekerja sendiri.

Wahab miliki selera pelik

Wahab miliki selera pelik
Kanak-kanak di Kampung Rantau Panjang gemar bermain dengan Wahab menjelang petang.

RANTAU PANJANG - Seekor kambing di Kampung Rantau Panjang kelihatan seperti kambing biasa, tetapi hakikatnya kambing yang diberi nama Wahab’itu tidak makan rumput sebaliknya lebih menggemari nasi dan gula-gula.
Penternak, Hamidah Abdullah, 60, berkata, dia memelihara Wahab sejak ibu kambing berkenaan mati dilanggar motosikal.

Menurutnya, pada mulanya dia memberi minum susu bayi kemudian selepas beberapa bulan, Wahab menggemari makanan kucing.

“Saya pun pelik kerana selepas jemu dengan makanan kucing, dia beralih kepada nasi berlauk gulai ayam dan enggan makan rumput seperti kambing lain.

“Teh sejuk pula minuman kegemarannya, malah dia gemar makan gula-gula dan aiskrim,” katanya.

Hamidah berkata, kerana terlalu sayangkan kambing itu dia enggan menjualnya walaupun diletakkan dengan harga yang tinggi.

Ini kerana katanya, setahun memelihara Wahab, umpama menjaga ahli keluarga sendiri.

Setiap petang Hamidah berkata, Wahab akan bermain bola sepak dan lumba lari bersama anak-anak jiran.

“Dia mungkin tak tahu bermain tetapi dia pandai kejar bola dan kanak-kanak yang berada di depannya, umpama mahu beradu tenaga.

“Namun dia tidak pernah menyerang atau mencederakan kanak-kanak di sini,” katanya.

Beli kereta guna duit syiling

Beli kereta guna duit syiling
Beli kereta guna duit syiling

SHENYANG - CHINA. Seorang pembeli kereta mengejutkan kakitangan sebuah premis jualan dengan membeli sebuah kereta dengan menggunakan duit syiling. 
 
Kereta  yang berharga 680,000 yuan (RM 405, 692) dibayar dengan menggunakan 660,000 yuan (RM393,753) wang syiling dan baki 20,000 yuan (RM11,939) dibayar dengan wang kertas.
 
Jenis kereta yang dibelinya tidak dinyatakan namun kesemua duit syiling berkenaan dibalut kepada 1320 bungkusan dengan berat lebih dari 4 tan. 
 
Memetik laporan Liaoshen Evening News, proses pemindahan wang dari lori ke premis jualan kereta berkenaan mengambil masa lebih 1 jam dengan bantuan 10 orang pekerja.
 
Pembeli yang dikenali sebagai Gan bekerja di sebuah stesen minyak memberitahu, syarikatnya mengumpulkan wang syiling yang diperoleh daripada bas yang berhenti untuk mengisi minyak di stesen minyak itu.
 
"Kami menerima duit syiling selama hampir tiga bulan dan memandangkan lokasi stesen berkenaan berada di luar bandar dan hanya mempunyai beberapa bank, maka kami mengambil keputusan untuk menyimpannya untuk membeli kereta untuk syarikat," katanya. 

Dron pantau pelajar tiru peperiksaan

Dron pantau pelajar tiru peperiksaan
Dron

LUOYANG - CHINA. Pelajar yang berniat untuk meniru semasa peperiksaan harus melupakan hasrat mereka kerana pihak berkuasa tempatan telah meluluskan undang-undang baru untuk menggunakan dron bagi  memantau aktiviti peniruan semasa pemeriksaan kemasukan ke universiti.

Menurut laporan China Daily, kenderaan udara tanpa pemandu itu mempunyai radius penerbangan satu kilometer dan boleh berlegar 500 meter dari atas tanah selain boleh mengimbas 360 darjah dan mampu mengimbas isyarat daripada alat-alat elektronik yang dilarang dibawa masuk ke dalam dewan peperiksaan.

Jurutera projek, Bai Yujun berkata walaupun ia kelihatan seperti dron yang biasa digunakan, alat ini lebih selamat dan lebih stabil.

"Ia boleh berada di udara selama setengah jam, mampu menahan angin yang kuat, dan pendaratan automatik untuk keadaan tertentu," katanya.

Pihak berkuasa meluluskan undang-undang ini berikutan peningkatan kes penipuan yang berlaku dalam peperiksaan "gaokao" iaitu sebuah peperiksaan rasmi untuk kemasukan ke universiti.

Malah lebih daripada 80 pegawai pendidikan, guru, pengawas peperiksaan, pelajar dan ibu-bapa dikenakan hukuman di atas kesalahan bersubahat dalam aktiviti peniruan dalam peperiksaan ini.

Selain pesawat antipenipuan, antara peraturan baru yang diperkenalkan tahun ini, pelajar hanya dibenarkan membawa kad pengenalan pelajar ke dalam dewan peperiksaan.

Pelajar di wilayah ini menghadapi tekanan kuat dalam memperoleh markah yang baik kerana ia penentu penempatan ke universiti.

BBC Mohon Maaf Kerana Kesilapan 'Tweet' Ratu Elizabeth Mangkat


Diterbitkan: Khamis, 4 Jun 2015 8:31 AM

PENYIAR BBC terpaksa membuat permohonan maaf selepas salah seorang wartawannya menulis kenyataan di Twitter mengenai kemangkatan Ratu Elizabeth pada Rabu selepas dia mengingatkan latihan mengenai berita kemangkatan diraja itu adalah benar.
Portal Mirror melaporkan wartawan penyiaran BBC, Ahmen Khawaja mencetuskan kekecohan apabila dia menulis "Elizaberth (sakit) telah mangkat: @BBCWorld."
Bagaimanapun, dia tidak menyedari bahawa laporan yang ditontoninya di studio BBC merupakan rutin latihan untuk pemberitahuan kemangkatan ketua negara United Kingdom itu di mana kakitangan tersebut diminta untuk tidak memaklumkannya di media sosial.
Menyedari kesilapan itu, Khawaja dengan segera memadamkan 'tweet' berkenaan dan memohon maaf tetapi dia kini berhadapan dengan tindakan disiplin di atas perkara tersebut.
Bagaimanapun, yang menghairankan apabila dia turut menulis di Twitter bahawa Ratu Elizabeth dirawat di Hospital Kingd Edward VII tetapi secara kebetulan baginda sebenarnya memang melakukan pemeriksaan kesihatan pada pagi Selasa. 
King Edward VII merupakan hospital yang sering digunakan oleh kerabat diraja menyebabkan ia sebagai kemungkinan bahawa diberitakan sebagai latihan pemberitahuan kematian.
BBC dalam satu kenyataan berkata: "Semasa latihan teknikal untuk berita kemangkatan, seorang wartawan penyiaran BBC telah tersilap menulis di Twitter bahawa seorang kerabat diraja telah nazak.
"Tweet berkenaan telah dipadam segera dan kami memohon di atas sebarang kesilapan."
Kenyataan BBC bagaimanapun tidak merujuk kepada 'tweet' mengenai kemangkatan Ratu Elizah tetapi sumber penyiar itu mengesahkan ia berhubung kesilapan 'tweet' Khawaja. 
Seorang jurucakap menambah: "Berikutan insiden pada pagi tadi, satu siasatan dilakukan sebagai sebahagian daripada tindakan disiplin yang dibuat oleh BBC." - MIRROR

Gempa Bumi Berkekuatan 4.7 Gegar Barat Nepal


Diterbitkan: Rabu, 3 Jun 2015 4:30 PM
Keadaan kediaman penduduk Nepal yang musnah akibat gempa bumi berulang yang melanda sejak April lalu.

KATHMANDU: Gempa bumi berukuran 4.7 pada skala Richter menggegarkan bahagian barat Nepal awal Rabu.
Menurut Pusat Seismologi Kebangsaan (NSC), gempa bumi itu berpusat di Humla, kira-kira 600 kilometer di barat laut Kathmandu.
Setakat ini, belum terdapat laporan tentang kerosakan akibat kejadian itu.
Satu gegaran susulan daripada gempa bumi pada 25 April dirasai di Kathmandu dan kawasan sekitarnya pada Rabu dan menurut NSC, pusatnya dikesan di Dolkha, 85 kilometer di timur Kathmandu.
Sejak Ahad, jumlah gegaran susulan makin berkurang setiap hari.
Lebih 30,000 gegaran susulan, termasuk 295 yang berukuran lebih 4.0 pada skala Richter, direkodkan sejak berlakunya gempa bumi berukuran 7.9 pada skala Richter pada 25 April.
Gempa bumi dahsyat itu serta gegaran susulannya meragut sekurang-kurangnya 8,600 nyawa serta mencederakan lebih 22,000 orang dan menyebabkan kerosakan harta benda bernilai berbilion dolar.
Nepal menganggarkan pembinaan semula struktur yang rosak akan memerlukan perbelanjaan sekurang-kurangnya US$5 bilion dan berjanji akan menyiapkan kerja itu dalam masa tiga tahun.-- Bernama

Gunung Berapi Sinabung Meletus, Beribu Penduduk Dipindahkan


Diterbitkan: Khamis, 4 Jun 2015 10:36 AM

JAKARTA: Lebih 2,000 penduduk di daerah Karo di Sumatera Utara terpaksa dipindahkan ekoran Gunung Sinabung, gunung berapi yang aktif di wilayah itu, kini mula meletus dan mengeluarkan asap tebal.
Menurut laporan MetroTv News, penduduk beberapa kampung di kawasan itu dipindahkan sejauh 7 kilometer dari kawasan gunung itu.
Laporan itu memetik jurucakap Unit Geogologi sebagai berkata, pihak berkuasa tempatan mengeluarkan amaran tahap empat iaitu tahap awas setelah gunung berapi itu mula mengeluarkan asap panas sejak dua hari lepas.
Katanya, penduduk diminta mematuhi arahan untuk berpindah demi keselamatan mereka dan untuk sementara ini mereka akan ditempatkan di pusat perpindahan di wilayah Kabanjahe.
Sejak September 2013, Gunung Sinabung setinggi 2,460 meter dari permukaan laut itu mula aktif dan statusnya sentiasa tidak stabil dan mempunyai gejala untuk meletus pada bila-bila masa.
Kepala Pusat Data Informasi dan Humas Badan Nasional Penanggulangan Bencana (BNPB) Sutopo Purwo Nugroho dipetik sebagai berkata aktiviti vulkanik gunung itu semakin meningkat dan pihaknya sedang memantau perkembangannya dari semasa ke semasa.

Jepun Pertimbang Bina Tandas Dalam Lif


Diterbitkan: Khamis, 4 Jun 2015 11:28 AM

KERAJAAN Jepun kini sedang mempertimbangkan cadangan untuk menyediakan perkhidmatan tandas awam di dalam lif.
Cadangan tersebut dibincang dan dipertimbangkan berikutan kejadian gempa bumi yang sering berlaku di negara itu.
Penyediaan tandas di dalam lif adalah untuk membantu orang ramai yang terperangkap semasa kejadian gempa bumi berlaku.
Orang ramai sering terperangkap di dalam lif selama berjam-jam dan juga berhari-hari akibat kejadian gempa bumi yang sering berlaku.
Jepun dilanda gempa bumi sekuat 7.8 magnitud pada Sabtu yang menyebab ribuan orang ramai terperangkap di dalam lif tanpa kemudahan air dan tandas.
Menurut laporan, struktur kadbod yang boleh dilipat dikatakan akan digunakan berikutan sebahagian lif yang bersaiz kecil dan tidak mampu untuk memuatkan kemudahan tersebut.
Para pegawai dari Kementerian Infrastruktur dan Persatuan Petanda Lif akan bertemu dalam masa terdekat untuk membincangkan cadangan ini dengan lebih lanjut.

DISANGKA TSUNAMI

Gambar menunjukkan fenomena kabus tebal di permukaan laut perairan

Gambar menunjukkan fenomena kabus tebal di permukaan laut perairan New Jersey, Amerika Syarikat Ahad lalu.

Seorang pengawal keselamatan pantai dari Sea Girt, New Jersey, Amerika Syarikat, menggemparkan orang ramai selepas berjaya merakamkan satu fenomena kabus tebal gergasi di perairan itu barubaru ini, yang seakan-akan ombak tsunami bergerak ke pantai.
Fenomena luar biasa itu dirakamkan pengawal tersebut pada hari Ahad lalu selepas hujan lebat melanda kawasan berkenaan.
Jabatan Perkhidmatan Kaji Cuaca Kebangsaan Philadelphia/Mount Holly menjelaskan di laman sosial Facebook mereka, kabus itu terbentuk daripada proses pengeluwapan udara panas di atas air laut yang sejuk.
Penjelasan tersebut membuatkan penduduk sekitar New Jersey lega selepas bimbang dengan ancaman ombak besar yang mungkin berlaku.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/disangka-tsunami-1.99171#sthash.TBohaVfP.dpuf

Thursday, June 4, 2015

Mark Zuckerberg ajak baca buku Ibnu Khaldun

Mark Zuckerberg ajak baca buku Ibnu Khaldun
Salinan paparan perkongsian Mark Zuckerberg di Facebook

KETUA Pegawai Eksekutif laman sosial popular Facebook mengajak pelayar laman sosial membaca buku hasil tulisan ilmuan Islam, Ibnu Khaldun.
 
Dalam sebuah perkongsian kelmarin, Mark Zuckerberg memberitahu beliau dalam proses membaca buku bertajuk Muqaddimah.
 
"Ia mengenai sejarah dunia yang ditulis oleh seorang ilmuan yang hidup pada zaman 1300-an.
 
"Ia memfokuskan bagaimana masyarakat dan budaya berkembang, termasuk kewujudan bandar-bandar, politik, perdagangan dan sains," kata Zuckerberg.
 
Perkongsian tersebut disambut baik oleh peminat dan pelayar laman Facebook, di mana pelayar beragama Islam memuji tindakan Zuckerberg memilih buku berkenaan.
 
"Buku Arab sentiasa pilihan yang bagus. Terima kasih kerana menggalakkan (untuk membaca)," kata Ahmad Soleh.
 
"Saya tidak kisah buku apa atau dari siapa. Asalkan ia menarik, saya akan membacanya! Dan buku hasil Ibnu Khaldun adalah sangat hebat!" kata Maryam.

Pesawat Hipersonik Mampu Terbang Dari New York Ke Los Angeles 30 Minit


Diterbitkan: Rabu, 3 Jun 2015 10:11 AM

TENTERA Udara Amerika Syarikat (AS) mendedahkan bahawa mereka berharap untuk mempunyai sebuah pesawat yang mampu merentasi beberapa negara dalam beberapa minit, menjelang 2023.
Portal MailOnline melaporkan beberapa ujian terhadap pelancar hipersonik telah dijalankan.
Terdahulu, pihak Tentera Udara AS hanya mengatakan bahawa ujian pesawat untuk peluru berpandu itu dapat dilakukan pada 2020.
Ketua Pakar Saintis Tentera Udara AS, Mica Endsley memberitahu Miliary.com bahawa Tentera Udara dan DARPA, yang merupakan entiti penyelidikan Pentagon di AS merancang untuk mempunyai sebuah pesawat udara hipersonik yang baharu dan ditambah baik menjelang 2023.
"Kelebihan hipersonik bukan sekadar ia sesuatu yang boleh pergi sangat laju tetapi ia boleh pergi dalam jarak yang sangat jauh dengan kelajuan itu.
"Sebagai contoh, hari ini untuk pergi ke New York ke Los Angeles mengambil masa lima jam penerbangan menggunakan pesawat komersial. Dengan aset senjata hipersonik, ia boleh melakukan perkara yang sama dalam tempoh 30 minit. Anda boleh pergi ke destinasi lebih jauh dengan kelajuan yang terbaik," katanya. 
Ujian itu merupakan yang keempat dan terakhir bagi penerbangan pelancar X-51A oleh Tentera Udara AS, yang melibatkan peruntukan AS$300 juta (RM1.1 bilion).
Dilaporkan, pesawat hipersonik boleh digunakan untuk mengangkut alat pengesan, kelengkapan atau persenjataan malah teknologi itu diharapkan boleh dijadikan sebagai pesawat penumpang. - MAILONLINE

Kaki pancing rakam gambar dengan ikan gergasi


STOCKHOLM 3 Jun – Seorang kaki pancing, bertindak terjun ke dalam sungai semata-mata mahu bergambar bersama seekor ikan gergasi yang berjaya ditangkap­nya, di perairan Kepulauan Lofoten di Norway, baru-baru ini.
Erik Axner sempat mengabadikan kenangan bersama ikan halibut yang ditangkapnya. AGENSI
Mail Online melaporkan, Erik Axner melakukan aksi itu selepas ikan halibut seberat 101 kilogram yang ditangkapnya tidak muat untuk dibawa naik ke dalam sampan.
Pemuda berusia 24 tahun tersebut terpaksa bertarung selama sejam sebelum berjaya membawa ikan yang mempunyai khasiat tinggi untuk penyakit asma itu ke permukaan air.
Berhasrat untuk mengabadikan pengalaman tersebut, Axner bertindak mengikat badannya de­ngan tali yang disangkut dengan bot sebelum terjun ke sungai dan bergambar dengan haiwan berkenaan.
“Selepas mengambil beberapa keping gambar, saya kembali ke bot dan melepaskan ikan tersebut ke habitat asalnya.
“Ini satu pengalaman manis kerana saya terpaksa bertarung selama lebih satu jam. Walaupun sangat memenatkan, saya berasa sangat puas hati,” kata Axner.
Ikan halibut sering menjadi menu masakan utama di kebanyakan restoran di negara ini, dengan setiap seekor halibut gergasi boleh dijual pada harga 6,000 pound (RM33,879).
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/kaki-pancing-rakam-gambar-dengan-ikan-gergasi-1.98895#sthash.DsgilRUN.dpuf

Wednesday, June 3, 2015

Lembah Nahanni simpan seribu satu misteri

Lembah Nahanni
Lembah Nahanni

LEMBAH Nahanni di Kanada atau sering disebut juga sebagai 'The Valley of Headless Men' adalah lembah yang terbentang seluas 416 kilometer di pergunungan Mackenzi.

Menurut laporan Mysterious Universe, ia mendapat reputasi sebagai salah satu lokasi paling menyeramkan di Amerika Utara kerana pengembara sering menemui bangkai haiwan tanpa kepala.

Malah, beberapa mayat tanpa kepala juga pernah ditemui kawasan tersebut antaranya adik-beradik Willie dan Frank Mcleod pada 1908.

Pada 1917, rangka milik pencari emas, Martin Jorgen telah ditemui dan dipercayai mati akibat dipenggal.

Apa pun, Lembah Nahanni kini berstatus taman negara dan menjadi antara lokasi tumpuan pelancong.

Ia dibuka pada 1972 dan dirasmikan oleh Perdana Menteri Kanada ketika itu, Pierre Elliot Trudeau. - Mysterious Universe


Info: 
 
- Lembah Nahanni tersenarai sebagai tapak warisan dunia Unesco 
 
- Penduduk tempatan sering dimomokkan dengan kisah makhluk misteri dikenali sebagai Naha yang menjaga emas di lembah tersebut.

Jonas Salk: Bapa Biophilosophy

Jonas Salk: Bapa Biophilosophy
Salk menjadi sainstis kerana ingin merawat manusia dan bukan pesakit tunggal.

HASRAT saya ialah untuk ke sekolah perubatan dan menjadi seorang saintis perubatan. Saya tidak berniat menjadi doktor walaupun ketika di sekolah perubatan dan latihan industri, saya melakukan segalanya yang melayakkan diri menjadi doktor perubatan,” - Salk

Apabila tiba musim panas sekitar tahun 1950-an di Amerika, ia menjadi antara waktu paling menakutkan bagi kebanyakan ibu bapa kerana pada ketika inilah ribuan kanak-kanak dijangkiti penyakit polio.

Bagaimanapun, beban itu seolah-olah hilang apabila seorang saintis mencipta vaksin bagi penyakit tersebut setelah penyelidikan teliti selama bertahun lamanya.

Jonas Salk menjadi hero kesayangan ramai dalam sekelip mata apabila hasil ciptaannya iaitu polio vaksin diisytiharkan selamat dan berkesan oleh Universiti Michigan, Amerika Syarikat pada 12 April 1955.

Sebelum Salk mencipta vaksin, polio merupakan penyakit virus terburuk yang menjadi wabak dan membunuh ribuan kanak-kanak serta orang dewasa setiap tahun. Ia menjadi salah satu penyakit zaman kanak-kanak paling ditakuti.

Presiden Amerika Syarikat Franklin D. Roosevelt juga adalah salah seorang mangsa polio paling terkenal dalam sejarah.

Genap 10 tahun selepas kematian Roosevelt, keputusan positif hasil daripada banyak ujian vaksin Salk diumumkan, dan nyata ia disambut baik semua masyarakat di seluruh dunia.

Kehidupan awal

Jonas Edward Salk dilahirkan di New York City pada 28 Oktober 1914. Ibu bapanya Daniel dan Dora Salk adalah migran dari Poland yang tidak mendapat sebarang pendidikan formal di negara asal mereka.

Meskipun begitu, ibu bapanya tetap ingin melihat Salk dan dua lagi adiknya Herman dan Lee berjaya dengan menggalakkan mereka belajar bersungguh-sungguh.

Salk berjaya melanjutkan pengajian di City College of New York (CCNY), dalam jurusan undang-undang sebelum bertukar ke bidang sains perubatan dan memperoleh Ijazah Sarjana Muda dalam bidang kimia pada 1934.

Selepas CCNY, Salk menyambung pengajian di Universiti New York dan dijemput menghabiskan selama setahun dalam penyelidikan influenza. Dari situ, beliau mula bekerja dalam makmal sebelum menemui virus influenza jenis B sekitar tahun 1941.
 
Pembangunan vaksin

Pada 1947, Salk memutuskan untuk mencari sebuah institusi di mana beliau boleh memiliki makmalnya sendiri. Beliau kemudiannya didatangi Pengarah Penyelidikan di Yayasan Kebangsaan bagi Penyakit Polio yang menawarkannya mengambil bahagian dalam projek polio yayasan itu yang ditubuhkan Presiden Roosevelt.

Salk menerima tawaran itu dan melihat ia sebagai peluang membangunkan vaksin untuk polio. Sejak itu, beliau mengabdikan dirinya untuk pembangunan vaksin selama lapan tahun.

12 April 1955, kajiannya membuahkan hasil apabila Dr Thomas Francis Jr dari Universiti Michigan mengisytiharkan vaksin Salk selamat dan ia menjadi berita utama di seluruh dunia.

Bagaimanapun, Salk enggan mempatenkan ciptaannya kerana beliau tidak mempunyai keinginan untuk mendapatkan keuntungan peribadi. Sebaliknya, beliau ingin melihat vaksinnya disebarkan seluas mungkin.
 
Penubuhan Institut Salk
 
Pada tahun 1963, Salk mengasaskan Institut Jonas Salk untuk Pengajian Biologi, sebuah pusat inovatif bagi penyelidikan perubatan dan saintifik di La Jolla, San Diego.

Salk percaya institusi tersebut akan membantu ahli sains baharu dan akan datang membangunkan kerjaya mereka.

Difahamkan, beliau terus menjalankan penyelidikan dan menerbitkan buku, termasuk beberapa buah ditulis dengan kerjasama anak lelakinya yang juga seorang saintis perubatan.
 
Kehidupan peribadi
 
Selepas tamat pengajian pada tahun 1939, Salk berkahwin dengan Donna Lindsay, pelajar sarjana di New York College of Social Work.

Hasil perkahwinan itu, pasangan ini dikurniakan tiga cahaya mata, Peter, Darrell, dan Jonathan Salk.

Bagaimanapun, pada tahun 1970, mereka bercerai dan Salk berkahwin dengan Françoise Gilot, bekas pembantu pelukis terkenal Pablo Picasso.

Salk meninggal dunia akibat kegagalan jantung pada 23 Jun 1995 ketika berusia 80 tahun, di La Jolla, San Diego di California dan dikebumikan di Taman Peringatan El Camino.

Fenomena kilat tanpa henti di Catatumbo

Fenomena kilat tanpa henti di Catatumbo

SUNGAI Catatumbo di wilayah barat Venezuela adalah lokasi di mana kejadian petir atau kilat berlaku hampir setiap saat.

Menurut laporan stormhighway.co, berdasarkan statistik, kawasan itu mengalami 400,000 kali panahan petir dalam setahun.

Fenomena unik dan menggerunkan itu terjadi di muara sungai Catatumbo atau lebih tepat di danau Maracaibo.

Pelanggaran angin yang datang dari pergunungan Andes menyebabkan fenomena ini berlaku.

Ia disebabkan oleh nyahcas elektrik melalui gas terion, khususnya metana yang dicipta oleh penguraian bahan organik dalam paya.
 
Gas menjadi lebih ringan daripada udara dan naik ke awan, memberi tindak balas ribut sekali gus mencetuskan kejadian kilat.


Tahukah anda:

- Kilat muncul sebanyak 289 kali dalam tempoh sejam di sepanjang sungai Catatumbo.

- Pelaut dan penduduk tempatan menjadikan fenomena kilat di Catatumbo sebagai penunjuk arah sekiranya tersesat di lautan.

- Fenomena kilat Catatumbo pertama kali disebut dalam puisi La Dragontea oleh Lope de Vega pada tahun 1597.

Islam berkembang pesat di Britain

Islam berkembang pesat di Britain
Agama Islam dilaporkan berkembang lebih pesat di Britain sejak 2012.

LONDON - BRITAIN . Kajian terbaharu menunjukkan Islam berkembang lebih pesat di Britain berbanding agama lain di negara itu.
 
Keputusan tinjauan NatCen's British Social Attitudes mendapati Church of England kini berada di ambang kepupusan kerana telah kehilangan kira-kira dua juta pengikut sejak dua tahun lalu.
 
"Jumlah pengikut Anglican telah menurun daripada 21 kepada 17 peratus antara 2012 dan 2014 manakala jumlah orang Islam meningkat seramai hampir sejuta dalam tempoh sama, sekali gus menjadikan ia sebagai agama paling pesat berkembang di Britain.
 
"Kira-kira 4.7 peratus atau 2.4 juta penduduk London kini beragama Islam," menurut laporan The Independent.
 
Dalam satu kenyataan, Massoud Shadjareh dari Suruhanjaya Hak Asasi Islam di London memaklumkan statistik itu jelas menunjukkan Islam adalah agama paling pesat berkembang di seluruh dunia walaupun berdepan ancaman Islamophobia.
 
"Ramai orang tertarik dengan Islam kerana ia merangkumi seluruh aspek kehidupan," jelasnya. - Press TV

Umat Islam Denmark bakal puasa 21 jam


Umat Islam Denmark diramal perlu berpuasa selama 21 jam pada Ramadan
Umat Islam Denmark diramal perlu berpuasa selama 21 jam pada Ramadan akan datang, tempoh paling lama dalam sejarah. AGENSI
ABU DHABI 2 Jun – Umat Islam di Denmark bakal berdepan cabaran untuk mengerjakan ibadat puasa bulan Ramadan tahun ini kerana terpaksa berlapar selama 21 jam sehari, berpandukan peta terkini rakaman waktu puasa di seluruh dunia.
Selain itu, penduduk Islam di negara seperti Iceland, Sweden, dan Norway pula perlu berpuasa selama 20 jam.
Portal berita emirates247.com melaporkan, waktu berpuasa sepanjang bulan Ramadan tahun ini dijangka sebagai yang terpanjang dalam sejarah seperti dilapor seorang penyelidik di Planetarium Sharjah di negara ini.
Waktu berpuasa pada tahun ini secara purata dijangkakan selama 15 jam dan 15 minit yang merupakan tempoh paling lama sejak 32 tahun suria dan 33 tahun bulan, jelas seorang Penyelidik Astrologi dan Meteorologi serta Penyelia Am Plane-tarium, Ibrahim Al-Jarwan kepada akhbar Al-Roeya.
Katanya, setiap tahun, waktu berpuasa dijangkakan meningkat dari tahun sebelumnya sehingga bulan Ramadan pada 2018 apabila tempoh berpuasa akan menurun berperingkat-peringkat.
“Kadar suhu sepanjang bulan Ra-madan kali ini dijangka mencecah antara 42 dan 44 darjah Celsius, malah mungkin bertambah sehingga 50 darjah Celsius terutama di kawasan padang pasir,” katanya lagi.
Sementara itu, penduduk di Emiriah Arab Bersatu (UAE) bakal berpuasa untuk tempoh masa secara purata selama 14 jam 51 minit dan jangka waktu berpuasa sepanjang bulan Ramadan kali ini dijang-ka berbeza-beza antara sesebuah negara berdasarkan kedudukan latitud dan longitud.
Berbanding Denmark, Argentina merupakan sebuah negara yang ber-puasa untuk tempoh masa yang paling singkat iaitu selama 9 jam 30 minit.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/umat-islam-denmark-bakal-puasa-21-jam-1.98564#sthash.Q9DmClDy.dpuf