Pages

Friday, May 29, 2015

Janin kembar dalam perut bayi

Janin kembar dalam perut bayi
Bayi berkenaan berada dalam keadaan stabil.

JIANSU - CHINA. Sepasukan doktor berjaya mengeluarkan janin kembar dalam perut seorang bayi yang baru dilahirkan di Changzhou, wilayah Jiangsu.

Pada mulanya, doktor mengesyaki terdapat sesuatu yang tidak kena pada bayi berkenaan yang mempunyai berat tiga kilogram kerana mempunyai bentuk perut yang pelik dari kebiasaannya bayi normal.

Hasil imbasan mendapati, terdapat tumor sebesar 16 sentimeter sedang membesar di dalam perut bayi perempuan berkenaan.

Selepas menjalani pembedahan selama 2 jam, doktor berjaya membuang ketulan tersebut yang dipercayai janin bayi yang dianggarkan berusia 8 hari.

Para doktor percaya, ketulan tersebut adalah janin kembar yang terjadi apabila embrio kembar yang tidak dipisahkan sepenuhnya antara satu sama lain semasa kehamilan.

Janin tersebut juga telah ditumbuhi rambut.

Bunyi aneh kembali, kali ini di negara barat

Bunyi aneh kembali, kali ini di negara barat
Bunyi aneh ini kedengaran seperti tiupan trompet.

TERRACE - KANADA . Gempar, satu fenomena bunyi aneh seolah-olah bunyi tiupan trompet ‘mengganggu’ penduduk di negara barat.
 
Memetik laporan CNN, bunyi tersebut boleh didengari di Jerman, Amerika Syarikat (AS) dan Kanada.
 
Penduduk di Australia juga difahamkan turut mendengari bunyi aneh ini dan kebanyakan mereka memuat naik video rakaman fenomena tersebut di Youtube.
 
Memetik laporan tersebut lagi bunyi aneh yang pernah kedengaran pada tahun 2012, kembali ‘menghantui’ penduduk di kawasan negara tersebut bermula pada April tahun ini.
 
Malaysia juga perlu mengalami fenomena serupa yang berlaku di Kota Samarahan pada Januari 2012.
 
“ Hal tersebut telah dibuktikan daripada  sejumlah video yang dipertontonkan di YouTube. Meskipun  datang dengan judul yang berbeza-beza, namun bunyi yang terdengar itu mirip antara satu negara dengan negara lain,” petik kenyataan itu.
 
[ARTIKEL BERKAITAN: Dengkuran misteri dari langit]
 
Manakala memetik laporan Tech Times, seorang warga Kanada, Kimberly Wookey mengaku dia ‘dibangunkan’ oleh bunyi tersebut yang seolah-olah seperti tiupan trompet.
 
“Ini kali kedua saya dengar sendiri bunyi aneh ini di Kanada. Bunyinya sangat kuat, anak saya yang mendengarnya juga berada dalam keadaan ketakutan,” katanya.
 
[ARTIKEL BERKAITAN:  'Suara dari langit' terjawab]
 
Sementara itu menurut kenyataan Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas (Nasa), punca bunyi itu adalah terhasil daripada fenomena alam yang biasa.
 
“Kebisingan suara tersebut datang dari Planet Bumi sendiri,” petik kenyataan tersebut.

Ibu terima buah pinggang anak selepas mati

Ibu terima buah pinggang anak selepas mati

BEIJING - CHINA. Hidup ini penuh dengan pelbagai ujian, itulah yang terjadi kepada pasangan Zhou Lu, 21, dan Chen Xiaotian, 27, apabila doktor mengesahkan bahawa anak lelaki mereka yang berusia lima tahun menghidap tumor otak tahap kritikal.
 
Apa yang menyentuh perasaan pasangan ini lagi, anak mereka dikhabarkan tidak akan mampu hidup sehingga dewasa dek kerana penyakit tersebut.
 
Menurut laporan Sunnyskyz, ibarat sudah jatuh ditimpa tangga, sebulan kemudian ibunya Zhou Lu pula dikesan menghidapi penyakit buah pinggang.
 
Akhirnya, kedua-duanya sama-sama berjuang di hospital selama bertahun-tahun, kerana penyakit ‘masing-masing’.
 
Si ibu Zhou memerlukan dialisis, manakala si anak Chen memerlukan rawatan tumor hampir setiap masa, apa yang lebih menyedihkan tumor otak Chen telah mengganggu saraf optiknya sehingga mengakibatkan dia hilang penglihatan dan hanya mampu berbaring di kamar tidur hospital.
 
Tatkala itu, para doktor sudah kehabisan ikhtiar untuk menyelamatkan Chen, sementara si ibu Zhou boleh pulih sekiranya mendapat ginjal (buah pinggang) yang baharu.
 
"Mereka mengatakan bahawa cucu saya tidak akan bertahan (hidup lama) , tetapi ginjalnya boleh membantu ibunya’kembali hidup’ ," ujar nenek Chen.
 
Namun, mendengar khabar tersebut, si ibu Chen, Zhou menolak dan tidak ingin langsung mendengar kata-kata  tersebut.
 
Baginya biarlah dia menderita, bukan anaknya yang sudah sedia menderita sakit tumor.
 
Ternyata, Chen mengetahui perkhabaran neneknya itu, bahawa dia boleh menyelamatkan ibunya sekiranya dia menderma ginjalnya kepada ibunya.
 
Tatkala itulah, Chen merayu untuk menyelamatkan ibunya, walaupun dia sendiri hanya mampu terlantar di hospital.
 
"Ibu, aku ingin menyelamatkan hidupmu," pintanya. Mendengar permohonan sang anak, ibunya menjadi begitu hiba, katanya bagaimana dia mampu hidup tanpa anaknya di sisi.
 
Ternyata niat suci Chen ‘dipermudahkan’ beberapa hari kemudian, Chen menghembuskan nafas terakhir. Akhirnya transplantasi ginjal (pemindahan buah pinggang) berhasil dilakukan ke atas ibunya Zhou.
 
Bagi menghormati anak yang berhati mulia itu, para doktor menundukkan badan (sebagai tanda hormat) kepada Chen sebelum pemindahan ginjal itu dilakukan.

Thursday, May 28, 2015

Iklan cari buah pinggang

Columbus (Amerika Syarikat): Seorang lelaki memerlukan buah pinggang baru dan dia menggunakan kenderaannya untuk memberitahu orang ramai mengenainya.
Neal Raisman, 67, bekas profesor dan pentadbir sebuah kolej menghidap masalah buah pinggang dan terpaksa menjalani dialisis tiga kali seminggu.
Bagaimanapun, itu tidak menyelesaikan masalahnya.
Selepas gagal menemui penderma dalam kalangan keluarga dan rakannya, Raisman mengambil keputusan mencari orang yang memiliki buah pinggang sesuai untuk menggantikan organ miliknya yang bermasalah itu.
Dia mencari orang berkenaan menerusi iklan yang ditampalkan pada belakang SUVnya.
Sejak bertindak demikian, Raisman menerima beberapa panggilan dan teks pesanan ringkas, tetapi sehingga kini masih belum ada yang serius.
“Ada yang menelefon saya, menawar untuk menjual buah pinggang mereka secara haram. Tetapi, mereka setakat bercerita saja,” katanya.
Menurut bekas profesor itu, dia akan mengekalkan iklan itu sehingga dia menemui penderma yang dapat menyelamatkan nyawanya.
Raisman berkata, iklan itu mungkin dapat membantu pesakit lain sepertinya.
“Mungkin ada yang hendak menderma buah pinggang, tetapi tidak sesuai untuk saya. Mungkin ia sesuai untuk orang lain yang berdepan masalah seperti saya,” katanya. - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Mei 2015 @ 7:08 AM


RAISMAN bersama isterinya menunjukkan iklan di belakang SUV mereka.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/53911#sthash.zKJVklSO.dpuf

Penerbangan ditangguh, juruterbang belanja piza

Penerbangan ditangguh, juruterbang belanja piza
Antara salinan paparan yang dimuatnaik oleh penumpang penerbangan DL1346

TENNESSEE - AMERIKA SYARIKAT. Seorang juruterbang bertindak memberikan piza kepada penumpang selepas penerbangan pesawat terpaksa ditangguh, semalam.

Menurut Dailymail, penerbangan Delta DL1346 dari Philadephia sepatutnya tiba di Atlanta namun tersadai di lapangan terbang Knoxville selepas cuaca di Georgia  menghalang sebarang pendaratan.

Menurut seorang penumpang, Khoury Ashooh berkata pesawat berpusing beberapa kali berdekatan Georgia dan kemudian berpatah kembali dan mendarat di Knoxville.

Penerbangan tersebut yang terpaksa ditangguh selama tiga jam menyebabkan kapten juruterbang memesan piza untuk diberikan kepada penumpang yang resah.

"Kami tersekat di lapangan terbang dan mereka buat parti piza!" kata Riley Vasquez yang berkongsi berita tersebut di Twitter.

"Penerbangan Delta menguruskan hal ini dengan baik. Anda hebat," kata Vasquez.

Difahamkan, beberapa penerbangan Delta yang tertangguh dari Ohio, Illinois dan Mississippi juga diberikan layanan sama.

Wanita nyaris maut tertelan senduk

Wanita nyaris maut tertelan senduk
Gambar X-ray Guan Hsuing. - Foto South China Morning Post

GUANDONG - CHINA. Seorang wanita nyaris maut selepas tertelan sebuah senduk yang digunakannya untuk membersihkan kerongkong.

Menurut South China Morning Post, Guan Hsuing, 31 gagal bernafas selepas panik dan menyebabkan kerongkongnya mengecut dan menyekat senduk tersebut dari dikeluarkan.

Anak beliau yang berusia empat tahun kemudian mendapatkan bantuan kecemasan dan mangsa dibawa ke hospital Kanghua.

Doktor yang terkejut dengan keadaan Hsuing kemudian  bertindak melakukan pembedahan kecemasan dan terpaksa memotong oesophagus beliau yang rosak sebanyak 20 sentimeter.

Doktor tersebut, Xiao Pu memberitahu bahawa kejadian sedemikian sangat mengejutkan dan sangat jarang berlaku.

Wednesday, May 27, 2015

Sambut cucu ke-100

QUINCY (Illinos): Pasangan suami isteri Leo dan Ruth Zanger yang mempunyai 46 cicit dan seorang piut, menerima kehadiran cucu ke-100 apabila Jaxton Lee dilahirkan pada 8 April lalu.
Leo Zanger berkata, dengan jumlah anggota keluarga yang begitu besar, mereka boleh membina satu bandar baru.
Pasangan itu berkahwin selama 50 tahun dan mempunyai 12 anak dengan paling muda, Joe, 31.
Sebahagian besar anggota keluarganya tinggal di Quncy dan apabila berkumpul, mereka menyewa dewan gereja serta memerlukan lebih 20 kilogram daging dan 10 ayam belanda sebagai hidangan.
Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Mei 2015 @ 6:23 PM



PASANGAN suami isteri Leo dan Ruth Zanger bersama cucu ke-100. - Foto AP
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/53860#sthash.8i9fkc4o.dpuf

Ribuan obor-obor terdampar di pantai

Ribuan obor-obor terdampar di pantai
Obor-obor gergasi bersaiz lebih besar dari pelampung mula muncul dan terdampar di sekitar persisiran pantai.

DEVON - BRITAIN. Penggemar sukan air kini terpaksa berhati-hati ketika menjalankan aktiviti di perairan pantai British.

Ini kerana memetik laporan Metro.co.uk, ribuan obor-obor gergasi bersaiz lebih besar dari pelampung mula muncul dan terdampar di sekitar persisiran pantai negara itu.

Menurut pakar, makhluk yang diukur sepanjang enam kaki ini mula ‘berhijrah’ dari laut Mediteranean ke persisiran pantai di Britain disebabkan kekurangan makanan di habitat asalnya.

“Lebih banyak plankton boleh ditemui di pantai di iklim yang lebih panas. Oleh sebab itu mereka (obor-obor) ke sini.

“Mereka tidak ada masalah untuk mencari makanan di pantai ketika air pasang, namun ketika arus air surut mereka akan terperangkap di sini,” katanya seperti yang dipetik menerusi portal tersebut.

Walaupun sesungutnya tidak membahayakan pengunjung, ia masih boleh menyebabkan ruam teruk sekiranya rawatan awal tidak diperoleh.

Jurugambar hidupan liar, Steve Trewhella berkata, dalam sehari, dia boleh menemui lebih dari 25 ekor obor-obor Barrel di sepanjang pantai.

“Kali ini bilangan obor-obor yang terdampar di sini lebih banyak daripada tahun lepas,” katanya.

Senyum jika tak mahu didenda RM3,963

Senyum jika tak mahu didenda RM3,963

OXFORD - BRITAIN. Senyum atau didenda. Itu adalah undang-undang baharu yang diperkenalkan oleh Majlis Bandaraya Oxford kepada pemuzik jalanan di sini.

Pemuzik jalanan diwajibkan untuk senyum sepanjang masa ketika membuat persembahan atau akan didenda sebanyak £1,000 (RM3,963) jika ingkar.

Majlis bandaraya itu memperkenalkan sebuah undang-undang Perlindungan Awam untuk mengekang tabiat anti sosial di mana pemuzik jalanan dikehendaki untuk "senyum, berseronok dan menghiburkan orang ramai".

Jika disabit kesalahan, pesalah boleh dikenakan denda sekurang-kurangnya £1,00( RM386) hingga £1,000 (RM3,963) dan lesen untuk mengadakan persembahan juga turut ditarik balik.

Walau bagaimanapun kod undang-undang baharu itu mendapat bantahan daripada pemuzik jalanan kerana menganggap ia adalah 'jenayah' kepada mereka.

Salah seorang pemuzik jalanan profesional, Jonny Walker berkata, sebanyak 5,000 tandatangan berjaya dikumpul sebagai tanda bantahan terhadap undang-undang baharu itu.

"Sebagai seorang pemuzik jalanan, anda tidak menyakiti orang. Undang-undang ini tidak perlu kerana ia akan mewujudkan suasana takut dan dalam kawalan," katanya.

Selain itu, kod undang-undang itu juga tidak membenarkan pemuzik mengadakan persembahan lebih dari satu jam di tempat yang sama dan tidak dibenarkan bermain alatan muzik dengan kuat.

Malah mereka juga diharamkan untuk berdiri atau menyelubung diri dengan selimut atau beg tidur kerana ia memberi gambaran seperti seorang pengemis.

Sementara itu, Ahli Majlis David Thomas turut mengkritik pelaksanaan undang-undang tersebut kerana menyifatkannya sebagai 'cara malas untuk membuang orang  jalanan'.

Ketua Ahli Majlis, Bob Price pula berkata, "senyum, berseronok dan hiburkan orang ramai" adalah bertujuan untuk menggalakkan orang ramai menganggap busking sebagai menyeronokkan, bukan hanya sebagai satu cara untuk membuat wang.

"Ia bukan satu elemen kanun yang akan menjadi subjek tindakan penguatkuasaan," katanya.

Dua bulan kembara cari isteri

Beijing: Seorang lelaki tua menjadi rakyat China terbaru yang mengembara atas nama cinta.
Menurut laporan NetEase News, lelaki tua itu mula melancarkan gerakan mencari isterinya yang dikatakan berdepan dengan masalah mental selepas dia dirompak dan hilang pada awal April lalu.
Lelaki itu serta-merta mengumpulkan barangan miliknya ke dalam beca dan menariknya sepanjang dua bulan lalu, bergelandangan di beberapa bandar China dengan harapan untuk menemui semula isterinya.
Selain mengumpul dan menjual barangan yang boleh dikitar semula, lelaki itu juga bergantung kepada derma, khususnya makanan dan air daripada penduduk tempatan di bandar yang dilaluinya.
Lelaki itu yang namanya tidak disiarkan, turut membawa bersama-sama dua anjing sebagai teman mengembara.
Bagaimanapun, setakat ini, usahanya belum berjaya. - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Mei 2015 @ 7:40 AM


- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/53422#sthash.6QcJaOXB.dpuf

Tuesday, May 26, 2015

Ibu sedih tidak sentuh anak


LONDON 25 Mei – Perkara pertama yang mahu dilakukan oleh seorang ibu sejurus melahirkan bayi dalam kandungannya adalah untuk memeluk bayi itu, namun bagi seorang wanita Britain, dia bukan sahaja tidak dapat memeluk bayinya selepas melahirkan anak itu, tetapi hampir tidak dapat menyentuh anaknya langsung pada setiap hari.
Tia menghidap sejenis penyakit kulit luar biasa yang menjadikan kulitnya mudah tertanggal apabila kulitnya disentuh. AGENSI
Berita sedih yang menimpa Annemarie Price itu berlaku selepas anak perempuannya, Tia didapati mengalami sejenis penyakit kulit luar biasa yang menjadikan kulit anaknya itu mudah tertanggal jika kulitnya disentuh.
Sehingga Tia berumur dua tahun, Price tidak dapat menyentuh anaknya berikutan penyakit ‘epidermolysis bullosa’ atau Sindrom Rama-rama yang dialami Tia, yang mengakibatkan kulitnya mudah tertanggal, meskipun terkena sedikit sentuhan sahaja.
Malah, jika terdedah kepada sinar matahari untuk beberapa saat, kulit kanak-kanak itu boleh me­lepuh dengan teruk.
“Saya perlu berhati-hati. Dia tidak dapat dipegang dengan ta­ngan kerana tindakan itu akan mengoyakkan kulitnya,’’ kata Price sebagaimana lapor portal redbook.
Bagaimanpun setelah lama menguruskan anaknya, Price telah menemui cara untuk menyentuh anak kecilnya itu.
“Dia gemar duduk pada lutut saya dan kami boleh menyentuhnya, namun kami perlu menyentuhnya dengan lembut,’’ katanya.
Price berkata, dia akan memulakan kehidupan setiap hari dengan membalut kaki Tia dengan pembalut baharu dan memeriksa sebarang lepuhan baharu dan proses itu amat menyakitkan anaknya.
‘Dia (Tia) akan menangis dan memberitahu saya supaya berhenti semasa menukar pakaiannya. Tangisannya amat menyedihkan saya dan saya akan meminta maaf kepadanya setiap kali selepas menukar pakaiannya,’’ kata Price.
Demi menghiburkan Tia, Price akan membawa anaknya itu bermain dengan kanak-kanak lain di tempat permainan khas kanak-kanak sebanyak dua kali seminggu.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/ibu-sedih-tidak-sentuh-anak-1.95713#sthash.xN1JLfOK.dpuf

Monday, May 25, 2015

Amerika guna tuk-tuk

DENVER: Tuk-tuk yang terkenal di Bangkok, Thailand, memasuki fasa baru apabila dipasarkan di Amerika Syarikat tetapi sebagai kenderaan lebih moden - beca elektrik.
Syarikat di Amsterdam, Belanda, yang mengeluarkan tuk-tuk sudah menandatangani perjanjian lesen dengan eTuk Denver, Amerika Syarikat, membenarkan syarikat itu mengeluar dan menjual versi elektrik kenderaan berkenaan.
Syarikat itu mahu menjadikan tuk-tuk yang mesra alam sebagai kenderaan di bandar serta pelancong di Amerika Syarikat.
Pengarah jualan eTuk USA, Michael Fox, berkata syarikat itu sudah menjual tuk-tuk kepada orang perseorangan, syarikat pemasaran dan vendor makanan dengan harga antara AS$16,950 hingga AS$25,000.
eTuk Denver pula sudah melancarkan perkhidmatan sewa tuk-tuk di Denver selepas mendapat kelulusan Suruhanjaya Kemudahan Awam Colorado .
Selain Bangkok, tuk-tuk yang kelihatan seperti beca beroda tiga, biasanya menggunakan enjin motosikal, juga digunakan di Manila, Filipina serta beberapa negara Amerika Latin. - AP
Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Mei 2015 @ 7:10 PM


Pekerja kilang eTuk di Denver, Amerika Syarikat, memeriksa tuk-tuk elektrik yang dibina syarikat itu. - Foto AP
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/53356#sthash.XhB9NTlX.dpuf

Laluan khas untuk si comel berkaki dua

Laluan khas untuk si comel berkaki dua
Laluan khas untuk itik demi keselesaan dan keselamatan haiwan tersebut.

LONDON - BRITAIN. Prihatin! Dek kerana bimbang akan keselamatan itik yang sering bersesak di atas jalan,  satu laluan khas dibina bagi memastikan haiwan itu selamat dan ada laluan sendiri.

Itulah yang dilakukan oleh Yayasan Canal & River Trust. Yayasan ini bertangungjawab membina laluan pejalan kaki untuk itik di sekitar kota London, Birmingham dan Manchester.

Kota-kota ini memang memiliki sungai dan tasik  yang cukup luas. Biasanya di sekitar kawasan ini terdapat jalan kecil yang dilalui oleh pejalan kaki dan motosikal.

Oleh kerana sering menganggu laluan kenderaan dan manusia, yayasan ini memutuskan untuk menyediakan haiwan berkaki dua tersebut laluan sendiri.

Tujuannya adalah untuk mendorong pejalan kaki agar lebih prihatin terhadap alam sekitar, di samping untuk memberi keselesaan kepada itik-itik tersebut.

Dengan adanya ‘Duck Lanes’ , diharapkan manusia agar dapat menghormati hak itik sepertimana manusia

Lelaki disahkan mati hidup semula

Milwaukee (Amerika Syarikat: Seorang lelaki yang disahkan mati selepas ditemui tidak sedarkan diri di kediamannya menggerakkan anggota tubuhnya ketika hendak dibawa ke rumah mayat.
Teman wanita lelaki berusia 46 tahun itu gagal menghubunginya selama dua hari sebelum meminta bantuan polis untuk mengesannya.
Seorang anggota polis pergi ke apartmen lelaki itu dan memasukinya bersama-sama pengurus bangunan.
Di dalam, mereka menemui lelaki itu yang dikenali sebagai Thomas Sancomb tersembam di hujung katil, menurut laporan Pusat Perubatan Milwaukee County.
Pasukan perubatan yang dipanggil ke kediaman itu berkata, tubuh Sancomb sejuk dan kaku menyebabkan mereka tidak berusaha menyedarkannya, sebaliknya mengisytiharkan dia mati, kata penyiasat forensik Genevieve M Penn.
Adiknya, John Sancomb, dimaklumkan menerusi telefon dan dia mohon supaya bedah siasat dilakukan bagi menentukan punca kematian abangnya.
Bagaimanapun, ketika hendak diusung ke kenderaan yang akan membawanya ke rumah mayat, tangan kiri dan kaki kanan Sancomb bergerak. Nadinya juga berdenyut semula.
Dia segera dihantar ke hospital berhampiran, tempat dia kini dirawat dan menjalani pemeriksaan.
Jurucakap Hospital St Mary’s Evan Solochek enggan mendedahkan maklumt lanjut kerana terikat dengan undang-undang privasi.
Bagaimanapun, keluarga Sancomb berkata, lelaki itu kini semakin pulih. - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Mei 2015 @ 7:53 AM


SANCOMB
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/53154#sthash.eCME8bkv.dpuf

Ragam pemandu meletak kenderaan



SALAH satu kereta yang diparkir di garisan kuning.


YORKSHIRE BARAT, Britain – Beberapa keping gambar yang disiarkan di portal Huddersfield Daily Examiner baru-baru ini menunjukkan pemandu di pekan kecil itu seolah-olah tidak tahu bagaimana cara sepatutnya meletak kenderaan.
Menurut portal tersebut, mereka meminta peminat di laman sosial Facebook mengirimkan gambar cara kenderaan diparkir dan hasilnya amat mengejutkan.
“Daripada gambar-gambar yang diterima, kami menyimpulkan bahawa pemandu di Huddersfield meletak kenderaan sesuka hati mereka,” kata portal itu.
Antara gambar yang ada termasuklah meletak kenderaan di garisan kuning, tempat parkir orang kelainan upaya (OKU) dan tidak memasukkan kereta ke dalam garisan parkir yang ditetapkan.
Malah, ada juga pemandu yang bertindak meletak kenderaan di laluan yang menghalang pengguna untuk keluar masuk.
“Sesetengah mereka benar-benar tidak berfikir sebelum meletak kenderaan,” komen seorang pengguna di portal tersebut. – Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0525&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm#ixzz3b6IF3VWu 
Hakcipta terpelihara 

Kucing obes jalani diet turun berat badan


Moggy dikatakan mempunyai perwatakan yang baik

Moggy dikatakan mempunyai perwatakan yang baik
SUSSEX 24 Mei – Seekor kucing yang terlalu gemuk, Moggy, mendapat latihan daripada jurulatih peribadi bagi menurunkan berat badannya yang mencecah 22 paun, sama berat dengan seekor kanggaru kecil.
Menurut laporan Daily Mail, Moggy kini mengikuti diet khas dan program senaman bagi menurunkan berat badannya yang didakwa dua kali berat purata seekor kucing normal.
Namun, Moggy dikatakan tidak mempunyai sebarang masalah kesihatan dan merupakan seekor kucing yang menarik.
Moggy yang berusia lapan tahun itu kini sedang mencari rumah kediaman selepas diserahkan kepada sebuah rumah angkat, Pusat Perlindungan Kucing Angkat Kebangsaan di Haywards Health di Sussex West.
Dia kini menerima latihan daripada pelatih peribadi selepas tiba di pusat penjagaan haiwan itu.
Seorang doktor haiwan di pusat itu, Vanessa Howie berkata, ia mungkin mengambil masa selama setahun untuk menurunkan berat badan Moggy sebanyak 11 paun.
“Kami telah menetapkan diet khas yang direka khusus untuk menurunkan berat badannya. Ia adalah diet rendah kalori, tinggi protein tetapi masih dalam lingkungan pemakanan yang seimbang,’’ katanya.
Menurutnya, adalah sangat penting bagi seekor kucing tidak menjalani diet yang melampau kerana ia boleh memudaratkan kesihatannya. Penurunan berat badan secara tetap adalah cara yang terbaik.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/kucing-obes-jalani-diet-turun-berat-badan-1.95363#sthash.PzlML2GF.dpuf

Blogger kecantikan raih pendapatan lumayan


LONDON 24 Mei – Seorang blogger kecantikan mampu meraih pendapatan lumayan mencecah AS$15,000 (RM53,981), dengan hanya membuat ulasan berkenaan sesuatu produk kecantikan dan memuat naik video tersebut untuk tatapan pengikutnya.
Danielle Bernstein
Mail Online melaporkan, Danielle Bernstein, 22, yang merupakan pemilik blog We Wore What mendedahkan, setiap ulasan produk kecantikan yang dibuatnya, dia menerima tajaan antara AS5,000 (RM17,993) dan AS$15,000 (RM53,981).
Bernstein yang ketika ini memiliki 992,000 orang pengikut berkata, kadar tajaan bergantung kepada berapa ramai pengikut di dalam blog, selain berapa panjang durasi video serta bagaimana hubungan seseorang blogger dengan syarikat kecantikan terbabit.
“Saya pernah mempromosi produk kecantikan terkenal Lancôme dan saya mendapat tajaan bernilai AS$15,000 (RM53,981) untuk setiap produk yang diulas.
“Lebih ramai pengikut, lebih banyak syarikat yang berminat untuk menaja anda bagi mempromosikan produk kecantikan mereka. Tajaan kadang-kala boleh mencecah sehingga berjuta ringgit,” jelas Bernstein.
Menurut Bernstein, kadar bayaran bagi laman sosial Instagram agak berbeza, di mana bagi pemilik yang mempunyai beratus ribu orang pengikut, setiap produk yang diulas akan menerima bayaran antara AS$500 (RM1,799) dan AS5,000 (RM17,993).
“Kalau laman sosial tersebut mempunyai berjuta-juta pengikut kadar tajaan boleh mencecah AS$100,000 (RM359,878),” ujarnya.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/blogger-kecantikan-raih-pendapatan-lumayan-1.95373#sthash.gJDHcyD6.dpuf

Saturday, May 23, 2015

Sanggup tinggal dalam kereta kerana anjing

Sanggup tinggal dalam kereta kerana anjing
Hillary tinggal di dalam kereta kerana enggan berpisah dengan anjingnya.

KENT - ENGLAND. Seorang wanita menghabiskan masa selama empat bulan tinggal di dalam kereta kerana enggan berpisah dengan anjing peliharaannya.

Hillary Barrows, 57, sebelum ini bekerja sebagai guru bahasa Inggeris pulang ke kampung halamannya Januari lalu dan menyewa di sebuah flat.

Namun, Hillary terpaksa berpindah keluar dari rumah tersebut  kerana tidak mampu untuk membayar sewa.

Walaupun ditawar untuk tinggal di rumah kebajikan, namun, Hillary enggan berbuat demikian kerana terpaksa berpisah dengan anjing peliharaannya.

Dia kemudian mengambil keputusan untuk tinggal di dalam kereta Alfa Romeo miliknya.

"Saya kehabisan duit untuk menyewa rumah dan walaupun ditawarkan untuk tinggal di rumah kebajikan, saya menolaknya kerana tidak dibenarkan untuk membawa haiwan peliharaan.

"Salah satu tempat yang boleh tinggal adalah kereta," katanya dipetik Metro.uk

Menurutnya, dia tidak menghadapi sebarang masalah untuk tinggal di dalam kereta kerana kemudahan yang disediakan seperti tandas awam untuk mandi, kedai makanan segera yang dibuka 24 jam membolehkannya mengecas telefon bimbit dan komputer.

20 tahun menunggu cinta di stesen kereta api

20 tahun menunggu cinta di stesen kereta api
Ah Jin - Foto Tecent

TAINAN - TAIWAN. Seorang lelaki sanggup menghabiskan masanya selama 20 tahun untuk menunggu kekasih hatinya di sebuah stesen kereta api dan tidak pernah meninggalkan tempat itu.

Menurut laporan Tencent, lelaki tersebut dikenali sebagai Ah Ji menunggu teman wanitanya di stesen kereta api di Tainan selama lebih 20 tahun namun kekasihnya itu tidak pernah muncul.

Lelaki tersebut jatuh cinta dengan seorang wanita tempatan dan kedua-duanya telah bersetuju untuk bertemu di stesen kereta api berkenaan, namun wanita tersebut gagal menepati janjinya itu.

Lelaki yang kini berusia 47 tahun bagaimanapun tidak pernah berputus asa menanti kekasihnya itu dan enggan meninggalkan stesen berkenaan walaupun cuba dipujuk ahli keluarganya.

"Saya hanya mahu menunggunya," katanya.

Menurut salah seorang ahli keluarganya, Ah Ji kini enggan bercakap dan akan berdiam diri jika ditanya mengenai masa lalunya.

Nenek 65 tahun selamat lahir anak kembar empat

Nenek 65 tahun selamat lahir anak kembar empat
Gambar arkib Annegret Raunigk ketika usianya 55 tahun bersama anak-anak dan cucu-cucunya.

BERLIN - JERMAN. Seorang  nenek 65 tahun yang mempunyai 13 orang anak dan 7 cucu selamat melahirkan bayi kembar empat, Selasa lalu.

Annegret Raunigk melahirkan tiga bayi lelaki dan seorang bayi perempuan pramatang secara pembedahan di Hospital Berlin.

Keempat-empat bayi tersebut dilahirkan ketika usia kandungannya 26 minggu dan kini berada dalam keadaan baik dan mempunyai peluang cerah untuk hidup.

Annegret yang mempunyai 13 orang anak yang berusia di antara 9 hingga 44 tahun mengambil keputusan untuk mempunyai anak lagi selepas anak bongsunya, 9 tahun inginkan seorang adik.

Menurut AP, Annegret hamil melalui kaedah IVF yang dilakukan di Ukraine kerana prosedur tersebut adalah diharamkan di Jerman.

Keputusannya untuk melahirkan bayi di usia emas mendapat kritikan beberapa pakar perubatan kerana menganggap warga emas itu tidak mampu secara fizikal untuk mengandung empat bayi.

Walaubagaimanapun, Annegret percaya setiap orang perlu diberi peluang untuk memilih jalan hidup yang diingininya.

Orang utan dibicara


Kes pertama dunia haiwan punyai hak seperti manusia

Nasib Sandra yang berjuang untuk kebebasannya dilapor akan diketahui
Nasib Sandra yang berjuang untuk kebebasannya dilapor akan diketahui di sebuah mahkamah Argentina pada bulan ini. AGENSI
BUENOS AIRES 22 Mei - Nasib seekor orang utan betina yang kebebasannya diperjuangkan oleh kumpalan hak asasi haiwan, dilapor akan diketahui di sebuah mahkamah Argentina pada bulan ini selepas sebuah lagi mahkamah memutuskan bahawa haiwan itu mempunyai hak asasi tertentu sama seperti manusia.
Akhbar Sydney Morning Herald melaporkan, antara hak asasi itu termasuk orang utan yang bernama Sandra yang berasal dari Sumatera, Indonesia itu perlu dibebaskan dari Zoo Buenos Aires,
Dalam kes pertama seumpama itu di dunia, sebuah mahkamah di Buenos Aires pada Disember tahun lalu memutuskan, Sandra yang berumur 29 tahun patut mendapat hak yang sama seperti manusia.
Keputusan itu berikutan tindakan Persatuan bagi Pegawai-pegawai dan Peguam Hak Asasi Haiwan (AFADA) yang mewakili Sandra memfailkan writ habeas corpus, satu dokumen yang biasanya digunakan bagi mencabar kewajaran penahanan atau pemenjaraan individu yang tidak sah, November tahun lalu.
Peguam AFADA berhujah, beruk juga mempunyai fungsi kognitif yang mencukupi dan tidak boleh dianggap sebagai objek dan pada masa sama mempunyai emosi sama se­perti manusia walaupun tidak mempunyai bentuk fizikal manusia.
Keputusan itu menurut peguam, juga akan membuka ruang untuk membolehkan beruk dan haiwan lain yang mendapat la­yanan buruk di zoo, sarkas, taman tema air dan makmal untuk mendapat kebebasan mereka.
Hakim, Elena Libertori akan mendengar hujah peguam AFADA sekali gus menentukan Sandra dapat dibebaskan ke habitat liar ataupun ditempatkan di pusat perlin­dungan haiwan.
Peguam AFADA, Andres Gil Dominguez berkata, hakim ‘telah mendengar keterangan pakar dari Amerika Syarikat, melalui Skype, dan pengakuan da­ripada seorang ketua zoo’.
Sandra yang mempunyai berat 50 kilogram dan tinggi 1.5 meter dilahirkan di Zoo Rostock di Jerman pada 1986 dan dihantar ke Argentina pada 1994, dikenali kerana bersifat pemalu dan sering bersembunyi di kandangnya.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/orang-utan-dibicara-1.94691#sthash.DMqqpAOU.dpuf

Hotel terbesar dunia di Mekah

rendering by Dar Al-Handasah

Abraj Kudai, rendering by Dar Al-Handasah

23 Mei 2015 12:53

Arab Saudi sedang membina sebuah hotel bertaraf lima bintang yang akan menempatkan lebih 10,000 buah bilik, dijangka diiktirafkan sebagai hotel paling besar di dunia. Hotel itu akan siap sepenuhnya pada 2017. AGENSI


MEKAH 22 Mei – Arab Saudi sedang membina sebuah hotel bertaraf lima bintang yang akan menempatkan lebih 10,000 buah bilik, dijangka diiktirafkan sebagai hotel paling besar di dunia.
Portal Mail Online melapor­kan, hotel setinggi 44 tingkat dan dikenali sebagai Abraj Kudai itu, dijangka siap sepenuh-nya pada tahun 2017.
Reka bentuk hotel moden dan canggih tersebut dihasil-kan oleh syarikat pembinaan terkenal, Dar Al Handasah dan dibina di tanah seluas 4.6 juta meter persegi.
Menurut laman web reka bentuk, designMENA, kerja-kerja pembinaan projek menelan belanja 2.25 bilion pound (RM12.6 bilion) yang turut memiliki 70 buah restoran, kawasan pendaratan helikopter dan sebuah kubah terbesar di dunia itu kini giat sedang dijalankan.
“Sebanyak 10 tingkat hotel berkenaan akan menyediakan kemudahan bertaraf empat bin­tang untuk tetamu-tetamu manakala dua lagi tingkat lagi pula bertaraf lima bintang,” jelas designMENA.
Kumpulan Dar Al Handasah dalam laman webnya berkata, hotel berkenaan turut menawarkan pelbagai perkhidmatan menarik kepada pelanggannya seperti kemudahan stesen bas, pusat membeli belah dan pusat konvensyen.
“Reka bentuk dan kemudahan yang ditawarkan setanding dengan mana-mana hotel hebat yang kini kebanyakannya berada di Las Vegas dan kami yakin semua pihak akan kagum de­ngan seni binanya,” ujar Kumpulan Dar Al Handasah.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/hotel-terbesar-dunia-di-mekah-1.94705#sthash.iLlSQnHy.dpuf