Pages

Tuesday, March 10, 2015

Kanak-kanak 5 tahun dimasukkan darah 60 kali


Jo Rose (kiri) dan Gordon (kanan) terpaksa membawa Amie (tengah)
Jo Rose (kiri) dan Gordon (kanan) terpaksa membawa Amie (tengah) ke hospital setiap empat minggu bagi menjalani proses memasukkan darah selepas Amie dikesan menghidap penyakit kurang sel darah merah sejak dilahirkan. – AGENSI
LONDON 9 Mac – Seorang kanak-kanak perempuan Britain menga­lami sejenis penyakit darah yang jarang berlaku sehingga menyebabkan dia terpaksa menjalani 60 proses memasukkan darah dalam tempoh usia lima tahun.
Malah kanak-kanak tersebut, Amie Rose terpaksa dimasukkan ke hospital setiap empat minggu bagi menjalani rawatan, ekoran penyakit Diamond Blackfan Anaemia atau kekurangan darah merah yang hanya dihidapi kira-kira 125 orang di negara ini.
Menurut laporan Mail Online yang memetik kenyataan ibu Amie, Jo Rose dari Horley, anak­nya itu menghadapi masalah degupan jantung berbunyi selepas dilahirkan tetapi doktor memaklumkan masalah tersebut akan hilang dalam tempoh enam minggu.
Jelas Rose, beberapa hari kemudian, dia membawa Amie untuk sesi pemeriksaan kesihatan dan mendapati muka anaknya kelihatan pucat, sekali gus membuatkan doktor mengambil keputusan menjalankan ujian darah bagi mengetahui masalah yang dihadapi kanak-kanak itu.
“Apabila keputusan keluar, doktor mendapati anak saya tidak mempunyai sel darah merah yang mencukupi dan Amie terpaksa menjalani proses memasukkan darah.
“Namun, selepas beberapa hari keluar wad, Amie mengalami kesukaran untuk bernafas dan terpaksa dimasukkan semula ke hospital bagi menstabilkan kan­dungan zat besi dalam badannya,” katanya.
Bagaimanapun Amie masih perlu menjalani pembedahan memasukkan satu liang khas yang disambung pada urat leher yang bercantum dengan jantungnya.
Setiap minggu, Amie dibawa berjumpa jururawat untuk membuang lebihan zat besi menggunakan sejenis pam yang disambung pada liang terbabit untuk membuang zat besi yang berlebihan kerana situasi itu boleh mengakibatkan kematian atau kegagalan fungsi organ utama.
Menurut bapa Amie, Gordon, 53, pada usia empat tahun, Amie mula diberi ubat antibiotik bagi mengatas masalah sistem ketahanan diri yang lemah dan hanya menggunakan pam tersebut pada waktu malam sahaja.
“Kami berharap kadar kan­dungan zat besi dalam badannya menjadi normal sehingga hujung tahun ini supaya Amie boleh menjalani pembedahan pemindahan tulang sumsum bagi menyelamatkan nyawanya.
“Pembedahan berkenaan boleh mengubah hidup Amie dan tidak perlu lagi menjalani rawatan yang sedang dihadapi sekarang ini,” katanya.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/kanak-kanak-5-tahun-dimasukkan-darah-60-kali-1.67558#sthash.d1LikzOp.dpuf

Monday, March 9, 2015

Mayat beku misteri ditemui


Mayat beku misteri ditemui
Rangka misteri dipercayai milik pendaki yang menyertai misi pada 1959.
PICO DE ORIZABA - MEXICO. Seramai 12 ahli pasukan penyelamat terkejut selepas menemui dua rangka manusia dipercayai membeku sehingga menjadi ‘mumia’ ketika menjalankan usaha mencari dan menyelamat di kawasan pergunungan tertinggi Mexico, baru-baru ini.

Menurut metro.uk, Rangka manusia itu ditemui pada ketinggian 310 meter (m) dari puncak gunung Pico de Orizaba yang setinggi 5,636 m.

Menurut Datuk Bandar Chalchicomula de Sesma, Juan Navarro, identiti kedua-dua rangka itu masih belum dikenal pasti.

“Siasatan awal mendapati mayat tersebut mungkin milik pendaki yang menyertai ekspedisi pada 1959.

“Pada tahun tersebut, hanya empat pendaki selamat kembali manakala tiga lagi dilaporkan hilang,” katanya.

Pasukan penyelamat berdepan kesukaran meneruskan usaha mencari mayat ketiga berikutan kabus tebal menyelubungi kawasan pergunungan itu.

Pulau terpencil di dunia


Pulau Tristan da Cunha hanya didiami kira-kira 300 penduduk dan
Pulau Tristan da Cunha hanya didiami kira-kira 300 penduduk dan terletak di kaki Gunung Berapi Queen Mary’ Peak, selain menjadi penempatan paling terpencil di dunia. – AGENSI
TRISTAN DA CUNHA 8 Mac - Sebuah kawasan penempatan terletak di sebuah pulau di Atlantik Selatan dilabelkan sebagai lokasi penduduk paling terpencil di dunia kerana kedudukannya yang jauh dari kawasan penempatan yang lain.
Menurut laporan Mail Online, Pulau Tristan da Cunha hanya dihuni tidak melebihi 300 orang penduduk dan terletak di kaki gunung berapi yang masih aktif.
Pulau itu terletak paling hampir dengan kawasan penempatan iaitu 2,339 kilometer dari Afrika Selatan dan 3,360 kilometer dari benua Amerika Selatan.
Malah, satu-satunya jalan menghubungkan pulau tersebut dengan dunia luar adalah melalui laut dan mengambil masa enam hari dengan menaiki bot dari Afrika Selatan dan perjalanan selama berbulan-bulan jika meredah Laut Atlantik Selatan.
Keluasan Pulau Tristan da Cunha hanya 60 kilometer persegi dan satu-satunya penempatan yang wujud di situ dipanggil Edinburg Tujuh Lautan, iaitu 2,061 meter dari puncak Gunung Berapi Queen Mary.
Meski pun saiz penempatannya tidak besar dan terletak terpencil dari dunia luar, pulau itu menyimpan banyak sejarah dan memiliki terlalu banyak kehidupan liar yang unik yang menjadi tarikan pelancong untuk berkunjung ke Tristan da Cunha.
Antara haiwan yang menjadi tarikan pelancong ialah penguin yang mempunyai kening kuning, Rockhopper dan burung berparuh kuning, Albatross, manakala daripada sudut sejarah, pula pulau itu menjadi lokasi perhentian penting bagi kapal yang meredah Lautan Atlantik sejak zaman dahulu kala lagi.
Bagaimanapun, pelancongan bukan merupakan industri utama pulau tersebut kerana majoriti pendapatan penduduk adalah daripada aktiviti komersial penjualan udang kara Trista, setem yang unik dan syiling untuk pengumpul barangan lama.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/pulau-terpencil-di-dunia-1.67319#sthash.UiDlPf0t.dpuf

Jurubina perkenal konsep menara puting beliung


Firma jurubina Kinslow, Keith and Todd Inc bercadang membangunkan
Firma jurubina Kinslow, Keith and Todd Inc bercadang membangunkan Tornado Tower di Tulsa yang dapat memberi nafas baharu kepada bandar itu di Oklahoma. – AGENSI
NEW YORK 8 Mac – Jurubina dari negeri Oklahoma, Amerika Syarikat bercadang membangunkan sebuah bangunan pencakar langit di bandar Tulsa di sini yang berbentuk seperti menara puting beliung.
Bandar Tulsa yang terletak di kawasan yang kerap berlaku puting beliung dan kebanyakan bangunan tingginya diberi nama sempena keadaan cuaca, dilapor sedang menimbangkan untik membina menara yang digelar Tornado Tower itu, sekali gus memberi nafas baharu kepada kawasan berkenaan yang kini menempatkan sebuah garaj sementara berhampiran Pusat BOK.
Firma jurubina itu Keith and Todd Inc, yang beribu pejabat di Tulsa, Kinslow, memaklumkan kepada sebuah majalah tempatan tentang idea Tornado Tower kini memperkenalkan konsep menara puting beliung itu yang menempatkan sebuah muzium cuaca dan pusat penyelidikan.
“Masih tiada pelanggan buat masa ini, bangunan itu hanyalah sebuah lukisan konsep tentang sebuah bangunan yang boleh dibangunkan di bandar ini,’’ kata jurutera, Andrew Kinslow kepada portal Fox23 yang dipetik Mail Online.
Rancangan untuk membina menara berbentuk puting beliung itu buat masa ini masih pada ketinggian antara 20 dan 30 tingkat dengan beberapa tingkat bangunan itu menampilkan perhiasan seni taman di luar bangunan tersebut.
Menurut jurubina itu, pada Februari lalu, mereka dihubungi beberapa pelabur berpotensi yang berminat tentang projek itu dan reaksi yang diterima syarikat itu agak positif.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/jurubina-perkenal-konsep-menara-puting-beliung-1.67297#sthash.OHh5BbHT.dpuf

Bapa pos diri dari London ke Australia


Reg Spiers
Reg Spiers

SYDNEY 8 Mac – Seorang bapa bertindak nekad menghantar dirinya melalui pos dalam sebuah kotak dari London ke Australia, semata-mata mahu menghadiri majlis ulang tahun kelahiran anak perempuannya.
Laman web Mirror.uk me­laporkan, Reg Spiers yang juga seorang atlet merejam lem­bing Australia tiba di Britain pada 1964 bagi menjalani proses pemulihan kecederaan yang dialaminya.
Bagaimanapun, kecederaannya itu gagal dipulihkan dan dia mengambil keputusan untuk bekerja di lapangan terbang di London bagi mencari wang untuk pulang ke tanah air, sebelum kesemua duit yang dikumpulnya dicuri.
Spiers berkata, dia perlu segera pulang ke Adelaide, selatan Australia dan hanya satu cara sahaja yang difikirkannya ketika itu iaitu menyeludup diri di dalam kotak.
“Ini satu kerja gila, tapi saya tiada pilihan, selain mencuba. Saya tidak takut gelap. Di dalam kotak itu, saya turut meletakkan makanan, selimut serta minuman. Saya juga tidak memakai pakaian ketika memasuki kotak berkenaan.
“Pengalaman saya bekerja di bahagian kargo memainkan pe­ranan penting dalam proses penyeludup­an ini. Banyak pengalaman pahit manis saya rasai sepanjang perjalanan itu,” jelas Spiers.
Tambah Spiers, dia bersyukur kerana perjalanan ke Australia berjalan dengan lancar dan kesemua penga­laman menarik yang dialami sepanjang pengembara­an itu dikongsi di dalam buku autobiografinya yang bertajuk Out of the Box.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/bapa-pos-diri-dari-london-ke-australia-1.67288#sthash.RqxWCcvY.dpuf

Sunday, March 8, 2015

Kanak-kanak jadi ‘beku’ pada musim sejuk



Agensi - Hughes bersama anaknya, Gracie yang tidak boleh berada dalam cuaca sejuk.


SOUTH WALES – Seorang kanak-kanak di sini terpaksa memakai sarung tangan khas ketika musim sejuk bagi mengelakkan badannya ‘membeku’ seperti watak puteri Elsa dalam filem Frozen keluaran Disney.
Kanak-kanak tersebut, Gracie Hughes, 2, yang juga peminat setia filem itu menghidap sejenis penyakit ‘Raynaud’ menyebabkan badannya bertukar menjadi biru apabila terdedah kepada cuaca sejuk.
Ibu kanak-kanak itu, Laurie Hughes, 27, berkata, Gracia didiagnosis menghidapi penyakit itu ketika berusia 16 bulan apabila dia ­men­yedari badan anaknya sering kese­jukan dan bertukar menjadi biru sejak dilahirkan.
“Musim sejuk amat mencabar baginya dan suhu akan diambil sebanyak tiga kali sehari bagi memastikan dia tidak berada di bawah 34 darjah Celsius.
“Ketika musim sejuk, Gracia tidak boleh bermain di luar rumah dan tidak boleh makan makanan sejuk seperti aiskrim. Dia terpaksa memakai sarung tangan khas yang membantu menyalurkan 95 peratus haba ke badannya,” jelas Hughes. – Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0308&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm#ixzz3TkLuALzb 
Hakcipta terpelihara 

Mayat pendaki dijumpai 
selepas 55 tahun hilang


Satu daripada mayat pendaki, ditemui dalam keadaan seperti diawet
Satu daripada mayat pendaki, ditemui dalam keadaan seperti diawet di puncak Gunung Pico de Orizaba yang terletak di sempadan negeri Veracruz dan Puebla, Mexico, kelmarin. – AFP
MEXICO CITY 7 Mac – Misteri kehilangan beberapa orang pendaki gunung terungkai selepas 55 tahun, apabila mayat dua daripada mereka dijumpai di puncak gunung tertinggi negara ini, Isnin lalu.
Menurut Mail Online, mayat pertama ditemukan oleh sekumpulan pendaki kira-kira 310 meter dari puncak Gunung de Orizaba, yang mempunyai ketinggian 5,610 meter.
Kumpulan pendaki yang terdiri daripada 12 orang itu terpaksa mendaki puncak gunung tersebut yang terletak kira-kira lima jam dari Mexico City yang juga dikenali sebagai Gunung Berapi Citlaltepetl.
Menurut Datuk Bandar Chalchicomula de Sesma, mayat kedua pula ditemui hanya 150 meter dari mayat pertama dan lengkap berpakaian.
Mayat itu berada dalam keadaan seperti diawet ber­ikutan cuaca sejuk di puncak gunung berkenaan.
Pegawai tempatan menge­syaki, dua mayat itu adalah rakyat tempatan Mexico yang hilang selepas runtuhan salji 55 tahun lalu di puncak gunung tersebut yang merupakan lokasi terkenal kepada pendaki-pendaki gunung.
Sehingga kini, identiti sebenar mayat tersebut belum dikenalpasti.
Usaha seterusnya oleh pasukan penyelamat untuk mencari mangsa-mangsa lain terjejas berikutan cuaca buruk.
Kedua-dua mayat tersebut dihantar ke Hospital Puebla bagi menjalani ujian asid deoksiribonukleik (DNA).
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/mayat-pendaki-dijumpai-8232-selepas-55-tahun-hilang-1.66952#sthash.V2yeGVnP.dpuf

Saturday, March 7, 2015

Pulih daripada amnesia selepas dakap adik



INMAN yang menghidap amnesia hampir dua tahun lalu, kini kembali mengenali keluarga, kawan dan dirinya selepas dipeluk adik lelakinya, Caleb baru-baru ini.


DEVON, Britain – Seperti satu keajaiban apabila seorang remaja perempuan di sini kembali pulih daripada penyakit amnesia yang dihidapinya selepas dipeluk adik lelakinya.
Remaja tersebut, Chloe Inman, 16, menderita kehilangan memori hampir dua tahun lalu apabila melakukan rawatan mengeluarkan cecair dari tulang belakangnya.

KASIH sayang seorang adik berjaya mengembalikan ingatan Inman selepas dua tahun menghidap amnesia. - AGENSI


Doktor serta ibu bapanya telah mencuba pelbagai cara untuk memulihkan ingatan Inman, namun remaja tersebut masih gagal untuk mengenal keluarga, kawan-kawan mahupun dirinya sendiri.
“Ia suatu detik yang sukar apabila hilang seluruh kehidupan saya,” katanya.
Namun, semuanya berubah apabila dia dipeluk oleh adik lelakinya, Caleb, 7, yang pada waktu itu datang ke biliknya baru-baru ini.
Inman memberitahu, sebaik Caleb memeluknya, ingatan terhadap keluarganya kembali pulih seperti sediakala. – AGENSI


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0307&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm#ixzz3TdNEDo4O 
Hakcipta terpelihara 

Raih pendapatan £16,000 sebagai penguji pelet paintball


WILLS (kiri) perlu berdiri tanpa menggerakkan badan bagi membolehkan penembak menyasarkan pelet itu di bahagian badannya. - AGENSI


LONDON – Seorang pelajar aliran komputer grafik di Universiti Kingston di sini, meraih pendapatan sebanyak £16,000 (RM88,949) setahun apabila menjadikan dirinya sebagai sasaran peluru dalam sukan paintball.
Pelajar tersebut, Jordan Wills, 19, berkata, dia ditembak di bahagian badan dengan pelet pada jarak antara tujuh hingga sembilan meter dengan kelajuan 64km/sejam selama dua hari seminggu.

KESAN lebam di badan Wills akibat impak daripada ditembak pelet paintball. - AGENSI


Wills bekerja sebagai penguji impak peluru paintball berkata, tugasnya hanya perlu berdiri di satu tempat dan menjadi sasaran manakala penembak akan menyasarkan pelet tersebut di bahagian badannya.
“Saya menggemari sukan paintball dan sudah biasa ditembak dengan pelet. Walaupun kelihatan lebam di badan, kesakitan yang dialami tidaklah seteruk seperti disangkakan orang ramai.

SALAH seorang penembak bersedia menembak Wills untuk menguji impak peluru paintball tersebut.- AGENSI


Sementara itu, pemilik sebuah tapak paintball di sini yang juga majikan Wills, Justin Toohig mengakui, ia adalah satu pekerjaan ekstrem, namun, beliau menegaskan langkah-langkah keselamatan telah diambil pihaknya.
“Selepas ditembak, Wills akan memberi maklum balas kepada syarikat pengeluar pelet paintball untuk menentukan tahap keselamatan dan kualiti palet untuk sukan ini,” katanya. – AGENSI


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0307&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz3TdMmGkxw 
Hakcipta terpelihara 

Remaja dilapor mati 36 kali


Gambar tidak bertarikh menunjukkan Sara Brautiga mendapatkan rawatan
Gambar tidak bertarikh menunjukkan Sara Brautiga mendapatkan rawatan di hospital di Doncaster kerana menghidap penyakit unik yang menyebabkan jantungnya berhenti berfungsi secara tiba-tiba. – AGENSI
LONDON 6 Mac – Seorang remaja wanita Britain diisytiharkan mati sebanyak 36 kali sepanjang 2012 selepas menghidap penyakit ganjil yang membuatkan jantungnya berhenti secara tiba-tiba akibat kekurangan darah.
Menurut laporan portal berita Daily Mirror, remaja berusia 21 tahun itu, Sara Brautiga, menghidap penyakit berkaitan jantung yang dikenali sebagai Sindrom Postural Orthostatic Tachycardia (PoTS) sejak empat tahun lalu.
Jelas laporan itu, akibat sindrom tersebut, Brautiga mengalami masalah kadar degupan jantung yang meningkat dengan cepat sehingga menyebabkan organ itu berhenti berdegup dan tekanan darahnya menurun.
Apabila keadaan itu berlaku, doktor merekodkan remaja yang berasal dari Doncaster tersebut sebagai mati secara klinikal.
Menurut Brautiga, ada ketika dia ‘mati’ selama setengah jam dan membolehkan jantungnya dipenuhi darah semula dan kembali berfungsi seperti normal.
“Kebiasaannya saya akan berasa pening, sakit dan teramat letih sebelum sindrom itu menyerang dan menyebabkan saya ‘mati’ sebentar.
“Sepanjang waktu itu, saya masih boleh mendengar bunyi di sekeliling saya dan saya selalu cuba untuk menjerit, tetapi tiada suara yang keluar,” katanya.
Brautiga berkata, setiap kali jantungnya berhenti, pasukan perubatan perlu mengejutkannya melalui kesakitan dan tidak boleh diberikan bantuan pernafasan selagi jantung tidak dipenuhi darah.
Katanya, sudah banyak kali dia bangun dengan kesan lebam yang teruk dan pernah satu ketika pasukan perubatan cuba mengorek kukunya tetapi masih gagal sehingga dia kembali sedar.
“Akibat sindrom ini, saya tidak lagi boleh menyertai aktiviti sukan dan harapan untuk menjadi tentera laut juga musnah selain memberi kesan kepada pemanduan dan pekerjaan saya.
“Tetapi saya tidak akan mengalah dengan penyakit ini dan saya kini sedang menyertai kelas tarian untuk mendapatkan semula kehidupan saya yang ceria sebelum ini,” katanya.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/remaja-dilapor-mati-36-kali-1.66579#sthash.MPCHSMEy.dpuf

Friday, March 6, 2015

Tinggal dalam gua untuk jimat

Beijing: Seorang lelaki, Shi Zhiyong, 35, sanggup tinggal di dalam gua yang gelap gelita dan sempit sejak enam bulan lalu semata-mata untuk membolehkan dia berjimat dan menghantar lebih banyak wang kepada keluarganya di wilayah Hebei.
Agensi berita Xinhua melaporkan, Shi bekerja untuk menyara ibu, bapa, isteri dan dua anaknya.
Menurut laporan itu, lelaki berkenaan mengambil keputusan untuk bekerja di bandar Jinan yang jauh dari kampungnya kerana ia menawarkan gaji lebih tinggi berbanding bekerja di bandar Handan di wilayah Hebei.
“Di Jinan, saya memperoleh 3,000 yuan (RM1,700) sedangkan di tempat asal saya, pekerjaan yang sama menawarkan gaji 1,800 yuan (RM1,050),” katanya.
Shi sebelum ini membelanjakan 200 yuan (RM116) daripada gajinya untuk bayar sewa bilik, talian telefon bimbit dan arak sementara makan dan minum hariannya ditanggung majikannya.
Apabila menemui gua sedalam 10 meter itu September lalu, dia mengambil keputusan untuk tinggal di dalamnya supaya dia tidak perlu menyewa bilik dan berjimat sebanyak 100 yuan (RM58) lagi.
Bagaimanapun, dia tidak memberitahu keluarganya mengenai gua itu, sebaliknya berkata, dia menginap di asrama syarikat atau hotel.
Menurutnya, dia bangun jam 6 pagi setiap hari dan menggunakan tandas syarikat untuk mandi. Apabila pulang, dia akan mandi di tandas awam yang terletak berhampiran gua itu. - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Mac 2015 @ 7:57 AM


SHI dalam gua tempat dia tinggal sejak enam bulan lalu.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/34752#sthash.lvESFniz.dpuf